Isnin, September 10
Sebahagian Para Ulama’ Masyhur yang Mengambil Tarbiah Sufiyyah
Imam Abu Hanifah r.a..
Imam Al-Haskafi Al-Hanafi berkata:
أن أبا علي الدقاق رحمه الله تعالى قال: (أنا أخذتُ هذه الطريقة من أبي القاسم النصر أباذي، وقال أبو القاسم: أنا أخذتها من الشبلي، وهو من السري السقطي، وهو من معروف الكرخي، وهو من داود الطائي، وهو أخذ العلم والطريقة من أبي حنيفة رضي الله عنه، وكلٌ منهم أثنى عليه وأقرّ بفضله..
Maksudnya:
“Abu ‘Ali Ad-Daqqaq (guru Imam Al-Qusyairi r.a.) berkata: “Saya mengambil tarikat (sufi) ini daripada Abi Al-Qasim An-Nasr Abazi”. Abu Al-Qasim berkata: “Saya mengambilnya (tarikat sufi) daripada Imam As-Syibli dan beliau (As-Syibli) mengambilnya dari Imam As-Sirri As-Saqati. Beliau (As-Sarri/As-Sirri) mengambilnya daripada Imam Ma’ruf Al-Karkhi dan beliau (Al-Karkhi) mengambilnya (tarikat sufi) daripada Imam Daud At-Tho’ie. Adapun Imam Da’ud At-Tha’ie mengambil ilmu dan tarikat (sufi) daripada Imam Abi Hanifah r.a.. Seluruh ulama’ tersebut memujinya (ilmu tasawwuf) dan mengakui kelebihannya”. [Ad-Durr Al-Mukhtar merujuk kepada Hasyiyah Ibn ‘Abidin: 1/43]
Imam Al-Haskafi berkata sebagai catatan terhadap hal tersebut dengan berkata:
فيا عجباً لك يا أخي! ألم يكن لك أسوة حسنة في هؤلاء السادات الكبار ؟ أكانوا مُتَّهمين في هذا الإِقرار والافتخار، وهم أئمة هذه الطريقة وأرباب الشريعة والحقيقة ؟ ومَن بعدهم في هذا الأمر فلهم تبع، وكل ما خالف ما اعتمدوه مردود مبتدع
Maksudnya: “Betapa anehnya wahai saudaraku! Bukankah contoh terpuji ada pada para ulama’ agung tersebut (yang mengambil tarbiah sufi)? Adakah mereka adalah golongan yang ditohmah pada pengakuan (terhadap keagungan ilmu tasawwuf) dan bermegah (dengan ilmu tasawwuf) sedangkan merekalah para imam tarikat (sufi) dan para pemimpin dalam ilmu syariah dan hakikat? Adapun orang yang setelah mereka (kaum sufi),maka kepada merekalah (para ulama’ sufi dahulu) mereka (kaum sufi sehingga hari ini) ikuti. Adapun orang yang bercanggah dengan pegangan mereka (ulama’ sufi terdahulu), maka dialah yang tertolak dan pelaku bid’ah” [ibid]
Para ulama’ seperti Imam Ibn Mubarak, Imam Ahmad dan Imam Sufiyan At-Thauri turut memuji Imam Abu Hanifah sebagaimana disebut oleh Imam Ibn ‘Abidin dalam Hasyiyahnya terhadap kitab tadi. [ibid]
Imam Al-Harith bin Al-Asad Al-Muhasibi
Imam Az-Zahabi menceritakan tentang kecenderungan Imam Al-Muhasibi terhadap ilmu tasawwuf. Imam Az-Zahabi berkata:
صاحب المصنفات في التصوف والأحوال
“(Beliau) adalah empunya tulisan dalam ilmu tasawwuf dan ahwal” [Al-‘Ibar 1/328]
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a.
Imam Al-Ghazali ra. Sememangnya seorang ulama’ sufi yang masyhur khususnya di marhalah akhir daripada usianya. Beliau mengarang banyak buku dalam ilmu tasawwuf khususnya buku Ihya’ Ulumiddin, Minhaj Al-‘Abidin, Minhaj Al-‘Arifin dan sebagainya.
Imam Ibn As-Sholah r.a.
Imam As-Suyuti meriwayatkan bahawasanya, Imam Ibn As-Sholah turut dipakaikan khirqah sufiyyah daripada Imam Abu Al-Hasan Al-Mu’ayyad bin Muhammad At-Thusi [Ta’yiid Al-Haqiqah Al-‘Aliyyah 12-13]
Sultan Al-Ulama’ Imam Izzuddin bin Abdil Salam r.a.
Imam As-Suyuti meriwayatkan bahawasanya Imam Izziddin mengambil pemakaian khirqah sufi daripada Imam As-Sahrwardi [Husn Al-Muhadarah 1/273]
Malah, Imam Izzuddin bin Abdil Salam juga mengarang kitab Zubd Khulasah At-Tasawwuf, suatu kitab yang membahaskan ilmu tasawwuf secara mendalam.
Imam Ibn Al-Jazari r.a..
Beliau turut memakai khirqah sufi dan mengambilnya daripada ulama’ sufi. Beliau berkata dalam Manaqib Al-Asad Al-Ghalib:
وأما لبس الخرقة، واتصالها بأمير المؤمنين علي كرم الله وجهه، فإني لبستها من جماعة، ووصلت إلي منه من طرق رجاء أن أكون في زمرة محبيه، وجملة مواليه يوم القيامة
Maksudnya: “Adapun pemakaian khirqah (sufi) maka bersambung (sanad pemakaian khirqah) kepada Imam Amirul-Mu’minin Ali r.a., maka saya sendiri memakainya daripada beberapa ulama’ (sufi). Maka sampai pemakaian ini kepadaku daripada beliau (Saidina Ali r.a.) dengan banyak jalan dengan harapan agar saya menjadi dalam kalangan golongan pencintanya (Saidina Ali r.a.) dan dalam golongan pengikut-pengikutnya hari Kiamat nanti.
Beliau berkata lagi:
وللشيخ عز الدين المذكور في خرقة التصوف ثلاث طرق: أحمدية، وقادرية، وسهروردية
Maksudnya: “Di sisi Sheikh Izzuddin yang disebutkan tadi ada riwayat pemakaian khirqah tasawwuf (pakaian sufi) melalui tiga jalan (tarikat) sufi iaitu: tariqah ahmadiyyah, tariqah qadiriyyah dan tariqah sahruwaridyyah”
Beliau kemudian berkata:
وأجمع مشايخ التصوف على أن الحسن البصري صحب علي بن أبي طالب ولبس منه والله أعلم، وسألت شيخنا الحافظ إسماعيل بن كثير فقال: لا يبعد أنه أخذ عنه بواسطة، ولقيه له ممكن، فإنه سمع عثمان بن عفان
Maksudnya: Telah bersepakat para ulama’ tasawwuf bahawasanya Imam Al-Hasan Al-Bashri r.a. bersahabat dengan Saidina Ali r.a. lalu mengambil pemakaian khirqah daripada Saidina Ali r.a., wallahu a’lam. Maka saya bertanya sendiri guruku Al-Hafiz Isma’il bin Kathir maka beliau berkata: “Tidak mustahil juga kalau beliau (Imam Hasan Al-Bashri) mengambil pemakaian khirqah daripada Saidina Ali dengan seorang perantara. Namun, pertemuannya (Imam Hasan Al-Bashri) dengannya (Saidina Ali r.a.) suatu yang mumkin (boleh berlaku). Ini kerana, Imam Hasan Al-Bashri meriwayatkan hadith daripada Saidina Uthman bin Affan r.a.. [boleh rujuk kitab beliau Manaqib Al-Asad Al-Ghalib tentang manaqib Saidina Ali bin Abi Thalib r.a.]
Imam Az-Zahabi r.a.
Imam Az-Zahabi turut memakai khirqah (pakaian simbolik bagi kaum sufi yang bersambung silsilah pemakaiannya) sebagaimana perkataan beliau:
ألبسني خرق التصوف شيخنا المحدث الزاهد ضياء الدين عيسى بن يحيى الأنصاري بالقاهرة وقال ألبسنيها الشيخ شهاب الدين السهروردي بمكة
“Sheikhna Al-Muhaddith Az-Zahid Dhiya’uddin Isa bin Yahya Al-Anshari memakaikanku pakaian khirqah tasawwuf di Kaherah. Lalu, beliau berkata: “Sheikh Syihabuddin As-Sahruwardi memakaikanku khirqah tasawwuf di Makkah…” [As-Siyar 22/377]
Imam Az-Zahabi turut menceritakan tentang Imam As-Sahrwardi dengan berkata:
الشيخ الامام العالم القدوة الزاهد العارف المحدث شيخ الاسلام أوحد الصوفية
Maksudnya: “ (Beliau ialah) Sheikh Al-Imam Al-‘Alim Al-Qudwah Az-Zahid Al-‘Arif Al-Muhaddith Sheikhul Islam seorang Sufi yang hebat…” [Siyar pada menterjemahkan manaqib Imam As-Sahrwardi]
Imam Al-‘Iraqi r.a.
Imam Al-Iraqi r.a. merupakan guru kepada Imam Ibn Hajar Al-Asqollani r.a.. Imam Al-‘Iraqi memakai khirqah daripada sebahagian ulama’ sufi, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ibn Hajar r.a.
Antaranya, Imam Imam Al-‘Iraqi mengambil pemakaian khirqah daripada Imam Majduddin At-Tabari [Ad-Durar Al-Kaminah 1/204] dan juga daripada Imam Muhammad bin ‘Atho’illah Al-Iskandari As-Syazili [Ad-Durar Al-Kaminah 2/180].
Imam Ahmad bin Muhammad Al-Qostollani
Imam Ibn Hajar berkata:
ولبس الخرقة من جدته عائشة بنت الشيخ قطب الدين القسطلاني
Maksudnya: Beliau memakai khirqah (sufi) daripada neneknda beliau ‘Aisyah binti Sheikh Qutubuddin Al-Qostollani [Ad-Durar Al-Kaminah: 1/101]
Imam Ibn Kathir r.a.
Imam As-Sofadi meriwayatkan kesufian Imam Ibn Kathir yang mengambil tarikat syaziliyyah [Al-Wafi fi Al-Wafiyyat 21-141]
Imam An-Nawawi r.a.
Imam Al-Nawawi memang terkenal sebagai seorang ulama’ beraqidah ahlus-sunnah al-asya’irah dan juga seorang sufi. Beliau mengarang buku bernama “Maqosid At-Tasawwuf” dalam menjelaskan pendirian beliau terhadap ilmu tasawwuf dan kesufian.
Sheikhul Islam Imam Zakaria Al-Anshori
Beliau terkenal bukan sahaja sebagai ulama’ fiqh mazhab As-Syafi’e, malah beliau juga dianggap sebagai ulama’ sufi yang agung. Beliau juga tidak terlepas daripada tradisi memakai khirqah yang diambil daripada para ulama’ sufi. Antara mereka yang memberi pemakaian khirqah sufi kepada Imam Zakaria adalah: Sheikh Abu Al-Abbas Ahmad bin Ali Al-Atakawiy, Sheikh Abu Al-Fath Muhammad bin Abi Ahmad Al-Ghizzi, Sheikh Abu Hafsh Umar bin ‘Ali, Sheikh Ahmad bin Al-Faqih Ali Ad-Dailami (Ibn Az-Zalbani), Sheikh Zainuddin Abdullah bin Ali Al-Khalil dan sebagainya (mereka semua adalah ulama’ mazhab syafi’e). [rujuk Al-Kawakib As-Sayyarah oleh At-Tamimi dan Ad-Dhau’ Al-Lami’e oleh Sheikh Syamsuddin As-Sakhawi 2/250]
Imam As-Sakhawi r.a..
Beliau berkata dalam menceritakan beberapa ulama’ agung sangat menitik beratkan pemakaian khirqah dalam Al-Maqasid Al-Hasanah [331] antaranya Imam Ad-Dailami, Imam Az-Zahabi, Imam Al-Hikari, Imam Abu Hayyan, Imam Al-‘Ala’ie, Imam Al-‘Iraqi dan sebagainya. Lalu beliau sendiri menjelaskan bahawasanya dirinya sendiri memakai khirqah sufi daripada sebahagian ulama’ sufi dalam buku tersebut.
Imam As-Suyuti r.a.
Imam As-Suyuti r.a. juga seorang ulama’ sufi yang agung di samping kemasyhuran beliau dalam bidang fiqh, hadith dan tafsir. Beliau mengarang banyak risalah membela ilmu tasawwuf dan masalah-masalah kesufian. Malah, beliau mengarang kitab khusus membela keagungan tarikat Syaziliyyah yang diberinama “Ta’yiid Al-Haqiqah Al-‘Aliyyah”.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan