Isnin, September 10
Risalah Mahabbah: Harga Setia
Manusia sering mempunyai pertembungan dengan diri sendiri dalam memilih dan berkehendak, khususnya jika ianya berkaitan dengan pertembungan antara kehendak nafsu diri dengan kehendak syariat Allah s.w.t.. Naluri kecenderungan nafsu yang sentiasa mengajak kepada menyanggahi kehendak Allah s.w.t. melalui syariatNya adalah kecenderungan tabi’ie dalam rangka ujian kepada “kesetiaan” seseorang hamba kepada Tuhannya.
Sesetengah manusia memilih untuk melawan dorongan nafsu yang dinilai sebagai jahat lagi bertentangan dengan syariat Islam, hanya kerana ingin “merasa” dirinya seorang yang baik dan sebagainya. Ini justeru membawa kepada kepuasan hawa yang lebih halus daripada kepuasan dalam maksiat, iaitulah keseronokan nafsu dalam bersifat ujub dalam kebaikan diri. Oleh yang demikian, memilih untuk melawan dorongan kejahatan sekadar untuk merasa “kebaikan diri sendiri” justeru adalah suatu penyakit hati lain yang dikenali sebagai ujub (rasa diri baik) lalu membawa kepada takabbur (rasa diri lebih baik dari orang lain) dan sebagainya.
Ramai manusia tertipu tanpa hidayah Allah s.w.t. dan bimbingan murobbi, tatkala lalai dengan maksiat hati dalam ketaatan zahir, iaitu dengan ujub dalam amal soleh. Ia justeru membawa kepada penyakit lebih berat seperti takabbur yang menjatuhkan Iblis dan riya’ yang sangat ditakuti oleh Rasulullah s.a.w. lalu menilainya sebagai syirik yang kecil lagi tersembunyi.
Melawan nafsu (dengan meninggalkan keburukan) kerana nafsu (untuk merasa diri baik) justeru bukan suatu ubat, tetapi suatu perpindahan antara satu penyakit ke satu penyakit yang lain yang lebih parah. Intipati dan nilai kejayaan perjalanan kerohanian seseorang adalah pada langkah meninggalkan suatu penyakit kepada suatu penyembuhan dan membina benteng diri daripada penyakit kerohanian yang lebih merbahaya.
Oleh kerana itulah, perjalanan kerohanian seseorang itu sangat perlu dipandu oleh seorang murobbi yang pernah ditarbiah sebelum mentarbiah dengan tarbiah yang sahih dan manhaj yang sunni. Peringkat kerohanian dan perjalanan hijrah rohani (Thoriq Al-Hijratain sebagaimana disebut oleh Sheikh Ibn Qayyim) menuju Allah dan Rasulullah s.a.w. perlu dipandu oleh mereka yang sudah sampai kepada hakikat wushul (sampai) kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w..
Bukankah dalam hadith niat, Rasulullah s.a.w. menjelaskan tentang konsep niat yang sangat berharga iaitu, barangsiapa berhijrah menuju Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. kerana Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, maka hijrahnya sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrah yang zahirnya taat, namun kerana perempuan dan dunia, maka hijrahnya hanya sampai kepada apa yang dia ingini walaupun secara zahirnya sampai ke Madinah sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a., tetapi batinnya di sisi Allah adalah Muhajir Umm Al-Qais atau sampai kepada nafsu.
Hijrah itu suatu simbol bagi usaha ketaatan atau “meninggalkan apa yang dilarang dan menuju apa yang diperintah”. Maka, Madinah itu adalah simbol kebaikan dan amal soleh. Proses hijrah atau meninggalkan apa yang dilarang dan menuju apa yang diperintah oleh Allah s.w.t. suatu proses yang sukar dan perjalanannya amat sulit. Ilustrasi ini digambarkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. yang menyebut seseorang yang berhijrah adalah: seseorang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t..” [Hadith Sahih]
Namun, kesusahan dalam perjalanan hijrah tersebut tidak dinilai dan tidak dihargai jika ianya dilakukan kerana nafsu dan kepentingan diri, bukan kerana Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w.. Malah, zahir sahaja sudah sampai kota Madinah dan telah berhijrah sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. berhijrah, namun di sisi Allah s.w.t., barangkali dinilai sebagai Muhajir Umm Al-Qais atau seorang yang ujub dan hamba kepada diri sendiri.
Mungkin sahaja zahir kita melaksanakan sunnah sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. melakukannya, tetapi di sisi Allah s.w.t., kita menuju apa yang kita kehendaki selain daripada Allah s.w.t.. Na’uzubillah.
Seseorang itu jelas menuju apa yang menjadi sebab dia berjalan dan berhijrah. Seseorang mungkin berhijrah menuju Madinah kerana Allah s.w.t. namun tidak berjaya sampai ke Madinah lalu mati di tengah jalan, namun di sisi Allah s.w.t., dia seorang yang berjaya dan mendapat ganjaran dan pahala berhijrah kerana Allah s.w.t.. Seseorang mungkin sahaja menuju Madinah dan sampai ke Madinah, namun tujuan hijrahnya bukan kerana Allah s.w.t., maka di sisi Allah s.w.t., dia hanyalah Muhajir Umm Al-Qais, suatu simbol kepada orang yang melakukan ibadah zahir kerana nafsu diri sendiri.
Melakukan ketaatan kerana dunia, harta, perempuan dan sebagainya hakikatnya adalah kerana mengutamakan nafsu diri berbanding Allah s.w.t. dalam niat kita. Seseorang yang berhijrah kerana nafsu mungkin merasa lapang perjalanannya dan lebih mudah sampai ke Madinah (simbol ketaatan) berbanding seseorang yang berhijrah kerana Allah s.w.t. yang sentiasa dihimpit oleh pemberontakan nafsu di sepanjang perjalanan dan menghadapi permusuhan syaitan, namun orang yang melakukan ketaatan kerana nafsu tersebut, apabila dia sudah jatuh semula ke dalam maksiat, maka sukar untuk kembali semula kepada ketaatan.
Berbeza dengan orang yang menuju ketaatan kerana Allah s.w.t., yang mana perjalanan memperbaiki dirinya mungkin sangat mencabar kerana nafsu dan syaitan tidak meredhainya, namun apabila dia sudah sampai kepada ketaatan, maka dia lebih mudah beristiqamah dan lebih mudah bangkit semula setelah kejatuhan.
Jika nafsu diri sendiri yang ingin rasa diri bagus dan baik menjadi sumber kekuatan dalam ketaatan, maka secara tidak langsung makhluk juga menjadi sumber kekuatan dalam ketaatan. Maka, sebab itulah, seseorang itu boleh melakukan ketaatan yang sangat hebat dengan sebab riya’ berbanding tanpa sebab riya’ (memperlihatkan kebaikan diri kepada orang lain).
Bagi seseorang yang sudah berada di Madinah, namun menyedari niat hijrahnya bukan kerana Allah s.w.t. tetapi kerana kehendak nafsu yang ingin “syok kepada diri sendiri”, maka tukarlah sumber kekuatan diri dengan mula melihat kepada ALLAH s.w.t. dan segenap anugerahNya dalam diri kita.
Muhasabahlah barang sejenak dua. Jika bukan izin dan bantuan Allah s.w.t., mana mungkin kita melakukan ketaatan dan kebaikan. Jika bukan Allah s.w.t. yang tidak mentakdirkan kita seperti golongan fasiq, nescaya kita tidak tergolong dalam golongan yang taat. Maka, di sebalik kebaikan kita bukanlah diri kita untuk kita bangga dan hairan, tetapi di sana adanya ALLAH s.w.t., Tuhan yang harus kita syukuri dan hargai akan setiap anugerahNya dalam menentukan kebaikan dalam diri kita.
Itulah tanda kesetiaan. Allah s.w.t. tidak pernah menyalahkan kita dengan masa lampau yang penuh noda jika kita bertaubat sekarang dan mula melangkah menuju Allah s.w.t. secara sempurna dengan bantuanNya.
Adapun bagi sesetengah orang yang mempunyai kejujuran kepada Allah s.w.t., namun masih lemah untuk melangkah menuju Madinah (ketaatan), maka ingatkanlah kepada diri sendiri, bahawasanya maut kunjung tidak pernah mengenal erti bersedia atau belum. Kalau bukan sekarang masa untuk mula melangkah menuju ketaatan, maka selepas ini belum tentu usia kita masih memberi ruang untuk memulainya.
Hakikat usia kita adalah “sekarang” yang kita miliki, bukan semalam yang sudah berlalu dan bukan juga esok yang bakal tiba tanpa pasti. Oleh sebab itu, janganlah dibiarkan diri kita ditipu syaitan dengan angan-angan yang panjang, seolah-olah kita pasti esok lusa pasti menjadi milik kita jua nanti.
Tanda setia kita kepada Allah s.w.t. yang telah banyak memberi anugerah kepada kita adalah dengan melangkah menuju Alla s.w.t. kerana Allah s.w.t. dan melihat semua langkah kita menuju Allah s.w.t. adalah daripada Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Melihat dan menisbahkan kebaikan kepada diri sendiri adalah pengkhianatan dalam pengkhianatan sedangkan melihat Allah s.w.t. dalam setiap langkah kita menujuNya adalah kesyukuran dalam kesyukuran.
Sentiasalah jaga niat kita sebelum melakukan kebaikan dan jagalah tujuan kita ketika melakukan ketaatan serta muhasabahlah sumber kekuatan kita dalam melakukan amal soleh setelah selesai melakukannya. Jika didapati ada niat kerana selain Allah s.w.t., maka mintalah keampunan daripada Allah s.w.t. terhadap pengkhianatan tersebut. Mintalah juga bantuan Allah s.w.t. dalam menetapkan kejujuran kita kepadaNya dalam segenap detik usia kita.
Sesaat hidup dalam keadaan pengkhianatan itu bisa merugikan seluruh keberkatan usia hidup kita dan sedetik kejujuran itu mungkin boleh memadamkan segala pengkhianatan kita kepadaNya dengan izinNya. Maka, fokuslah kepada rahmat Allah s.w.t., bukan kepada usaha diri sendiri. Usaha kita juga malah daripada Allah s.w.t..
Diriwayatkan bahawasanya, ketika Imam As-Syafi’e di ambang sakaratul maut, para muridnya bertanya kepada beliau, tentang apa yang beliau fikirkan pada ketika itu. Maka, Imam As-Syafi’e menjawab: “Aku tidak nampak lagi apa yang pernah aku lakukan semasa usiaku, tetapi yang aku lihat (perhatikan) hanyalah kepada keampunanNya dan penerimaanNya terhadapku”.
ALLAH… Bilalah kita dapat sedar daripada lamunan “melihat diri sendiri” dengan melihat hanya Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Berbahagialah bagi mereka yang dianugerahkan kesetiaan kepada Allah s.w.t.. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kesetiaan kita selaku hambaNya kepadaNya selaku Tuhan yang Maha Pencinta. Amiin…
Wallahu a’lam
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘AmalahuLlahu bi lutfiHi Al-Khafi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan