Ahad, Mac 27

RUHUL ZIKRI-BAHAGIAN PERTAMA

kata2Syeikh Mahmud al-Kedahi

Petikan dari Buku Ruhul Zikri Jilid yang pertama ini mengandungi sebahagian dari kata-kata sufi Syeikh Mahmud al-Kedahi, pengasas Madrasah Nurul Iman yang dipetik daripada syarahan mahupun nasihat beliau kepada murid-muridnya. Kata-kata sufi yang diungkap oleh Syeikh Mahmud mempunyai mutiara kata makna yang mendalam, dimana ada sebahagian daripada kata-kata beliau tidak boleh difahami atau dibuat bandingan secara langsung mengikut fahaman orang awam.

Mutiara kata yang indah dan bermakna ini juga diharap dengan Rahmat dan Kasih Sayang Allah dapat menangkis tuduhan-tuduhan liar selama ini terhadap ilmu Tasauf. Semoga petikan dari Ruhul Zikri ini menjadi santapan rohani yang dapat membersihkan jiwa dan mendorong hati untuk menjadi hamba Allah yang sehamba-hambaNya di duniaNya ini, Insya Allah.

1. Perkara kerohanian tidak boleh difaham dengan aqal, nafsu dan ilmu. Jika boleh dengan ilmu, sudah tentulah Imam Ghazali tidak mengaji dengan Yusuf Nasaji dan Sheikh Abdul Wahab Sya’rani tidak mengaji dengan Ali Khawas. Cukuplah mereka ini menjadi contoh.

2. Belajar kereta perlu ada guru, nak kenal Allah tak perlu guru. Ini awal-awal lagi syaitan tipu.

3. Duka dan suka di dalamnya makrifah lebih manis daripada madu, lebih putih daripada susu. Duka dan suka di dalamnya kekufuran dan kesyirikkan lebih pahit daripada hempedu dan lebih busuk daripada budu.

4. Kalau nak berjalan (di dalam perjalanan Ahlullah). Mengaku kita tak terpakai (tak berguna dan banyak dosa), lebih senang, mudah-mudahan Allah S.W.T. ampun dosa kita.

5. Bila ibadat kita palsu, kita ikut hawa nafsu. Seperti kapal terbang palsu yang banyak jual di kedai.

6. Selagi mana kita boleh ikut hawa nafsu menunjukkan kita masih palsu.

7. Cari jalan mengendalikan ummah asalkan mempraktikkan Sunnah.

8. Orang yang diberi mudah (untuk menjalani jalan kesufian) apabila ada darah (keturunan) kesufian. Tiada dosa besar. Tiada amalan kejinan (khadam). Banyakkan selawat, istighfar, zikir dan baik adab dengan Allah S.W.T., zuhud, tinggalkan makhluk, bersungguh-sungguh dengan Allah S.W.T., istiqomah, tegas, tiada tujuan dunia dan akhirat.

9. Selagi mana terasa kita banyak ibadat, itu tanda kurang ikhlas tidak menuju “Rodhiah” tetapi terhenti kepada Abid tidak fana’ ‘ul-fana’.

10. Perkara kerohanian tidak boleh difaham melainkan rahmat Allah S.W.T. melalui Rasulullah SAW, melalui ahli zaman dan dengan bermunajat kepada Allah S.W.T. Kalau kenal dengan cerita-cerita orang (perasaan kita tidak sah).

11. Kalau tak senang dengan sesuatu – DIAM!

12. Cakap salah tak cakap salah, cakaplah kerana Allah S.W.T. Semoga jadi hamba Allah S.W.T.

13. Kerja dunia boleh tangguh-tangguh, kerja akhirat tak boleh tangguh-tangguh.

14. Watak Aulia – kena maki tak mudarat, kena puji tak manfaat.

15. Kenal Allah S.W.T. lebih mudah daripada kenal para wali, kerana mereka Allah S.W.T. pakaikan dengan sifat kekurangan. Sebagai mana kafir musyirikin tidak mengenal Rasulullah S.A.W. (walhal Rasulullah, Allah S.W.T. pakaikan baginda dengan penuh sifat-sifat kesempurnaan).

16. Hendak kenal wali tanyalah Allah S.W.T., jangan tanya orang.

17. Para wali tidak boleh dikenal dengan hawa nafsu.

18. Saya berdoa kepada Allah S.W.T. nak jadi hamba Allah S.W.T., bukan nak jadi wali.

19. Buat ibadat nak jadi wali – syirik!

20. Allah S.W.T. tak pilih orang malas jadi wali.

21. Kalau kita kasih orang yang Tuhan benci, itu satu penyelewengan.

22. Orang yang sebenar cinta Allah S.W.T. tidak takut menghadapi cabaran hidup dunia.

23. Saya nak bawa kamu jadi hamba Allah S.W.T.

24. Saya tak ajar kamu melampau (berani dan semangat yang tak ketahuan). Saya tak ajar kamu menjadi pengecut. Saya ajar kamu jadi hamba Allah S.W.T. yang bertaqwa.

25. Saya hamba Allah S.W.T. macam kamu juga. Saya tidak tahu melainkan apa yang Allah S.W.T. bagi tahu. Kalau Dia tak bagi tahu, saya pun tak tahu.

26. Dia Tuhan! kita hamba. Jangan campur urusan Tuhan. Manusia jenis apa ini? Dia nak atur Tuhan. Dia suruh Tuhan ikut dia.

27. Taslim (penyerahan). Nak pun tidak, tak nak pun tidak. Cepat pun tidak, lambat pun tidak.

28. Hidup atas dunia tak mahu ikut nabi, aulia atau orang soleh. Bila mati nak duduk sekali dengan orang soleh ini cerita kartun.

29. Waktu hidup ikut Firaun, Qarun dan Haman. Bila mati nak masuk Syurga, dengan nabi Musa a.s. dan Harun a.s. Logik tak?

30. Tak guna hidup kalau mementingkan diri sendiri sahaja.

31. Uwais Al-Qarni, jasadnya mengembala unta, rohnya mengembala manusia beriman kepada Allah S.W.T.

32. Manusia, banyak tak dapat taufik hidayah sebab ikut nafsu amarah kemudian berdoa dengan Tuhan. Sepatutnya kena tinggalkan nafsu dulu. Allah S.W.T. jadikan nafsu Amarah supaya kita tinggalkan bukan untuk ikut.

33. Cara cuci hati. Banyakkan baca Al-Quran, ingat mati dan hadir majlis zikir. Bila hati suci, barulah ada tauhid.

34. Ilmu (kesufian) ini bukan boleh diwarisi. Kalau boleh tentulah saya bagi anak isteri saya dulu, tetapi ia adalah anugerah Tuhan.

35. Saya mengaji (ilmu perjalanan Ahlullah) dengan air mata (banyak menangis).

36. Penyatuan orang mukmin dengan air mata (menangis kerana mengenangkan keagungan Tuhan). Penyatuan orang yang tak mukmin dengan gelak ketawa. Macam kera maka jadilah kera.

37. Tuhan tidak bagi taufik hidayah pada orang yang zalim. Sebesar-besar kezaliman ialah mengikut hawa nafsu.

38. Berjayanya seseorang itu sebanyak mana tumpuan yang dibuat. Banyak tumpuannya, banyaklah kejayaannya, kurang tumpuannya, maka kuranglah kejayaannya.

39. Matlamat saya bukannya batu, kayu (bangunan) dan ramai orang, tetapi saya nak orang yang bersungguh mengikuti garisan syariat dan Thoriq.

40. Saya mengajar ilmu para wali bukannya tok sami!

41. Saya hanya boleh nasihat, saya tak boleh memberi manfaat dan mudharat. Buat ibadat nak fadhilat, nanti berkulat. Buat nak berkat nanti melekat.

42. Saya kagum dengan ketahanan yang ada pada Hallaj, orang korek mata, kerat tangan dia, dia tidak rasa sakit.

43. Nasihat hanya boleh diberi sebelum nyawa di halqum (garghorah). Selepas garghorah tidak ada gunanya lagi.

44. Kesufian bukan boleh di dapati dengan seminar dan pena. Kesufian boleh di dapati dengan zuhud dan yakin.

45. Kekufuran tidak boleh menghilangkan kekufuran. Hanya keRasulan, kenabian dan kewalian sahaja yang boleh menghilangkan kekufuran.

46. Hanya ketaqwaan yang tinggi sahaja yang boleh menundukkan kesombongan, kekufuran dan kesyirikkan sebagai mana Ibrahim Khalilullah menghancurkan kerajaan Namrud.

47. Jangan buat ibadat pura-pura, nanti jadi kura-kura.

48. Kamu jangan biadap dengan Allah S.W.T.

49. Kamu jangan jadi seperti kerengga, dia duduk di pokok buah-buahan tetapi tak makan buah, bila ada manusia nak ambil buah dia pun kacau (marah).

50. Saya berjalan tidak kisahkan orang. Jangan kacau orang. Orang kacau kita, tidak mengapa.

51. Maksud Al Quran “Hendaklah kamu berzikir banyak, mudah-mudahan kamu semua mendapat kejayaan” (Surah Al Jumaah Ayat 10). Allah S.W.T. tidak bagi tahu banyak mana, sekurang-kurang banyak ialah sampai Mutmainnah.”

52. Selagi belum Mutmainnah, selama itu punah ranah.

53. “Ada yang lain lagikah? Tak ada lagi dah. Mari kita pakat duduk di atas Laila haillallah”. Tok Ayah Said r.a.

54. Nabi Yunus a.s., duduk dalam perut ikan tapi, tak jadi tahi, sebab baginda membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”. Oleh itu supaya kita, tidak menjadi tahi dunia, maka banyakkanlah membaca “Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minazzolimin”.

55. Ulama’ terhijab dengan ilmunya, ‘abid terhijab dengan ibadahnya, zahid terhijab dengan zuhudnya dan soleh terhijab dengan kesolehannya. Ini semuanya dinamakan hijab nurani.

56. Bila mata kita muafakat dengan syariat, telinga kita muafakat dengan syariat, fikiran kita muafakat dengan syariat, tangan kita muafakat dengan syariat, namanya bersungguh-sungguh.

57. Sekiranya apa yang saya anjurkan, sampaikan atau yang saya lakukan ini tidak muafakat dengan garisan Al-Quran dan Sunnah tolong jangan pakai. Saya menerima setiap kritikan yang membina.

58. Matlamat kita ialah keimanan dan ketaqwaan dan menentang kekufuran dan kesyirikan di dalam segenap aspek.

59. Kita tidak menentang sains dan teknologi kerana ia adalah rahmat Allah S.W.T. tetapi kita menentang kekufuran dan kesyirikan di dalam sains dan teknologi.

60. Saya berdoa kepada Allah S.W.T. “Ya Allah, hamba mu ini tak pandai nak memanggil (menyeru) berdakwah macam orang lain. Jadi Engkau hantarlah mereka-mereka yang Engkau Kehendakki dan Rahmati ke sini, sebagaimana Nabi Ibrahim a.s. di perintah oleh Allah S.W.T. menyeru manusia datang ke rumahnya (Baitullah).

61. “Buat kerana Allah – Mahmud!” Nasihat Tuan Guru Haji Hussin Dol r.a. kepada saya.

62. Perjalanan saya muafakat dengan perjalanan Maulana Ilyas r.a. (Pengasas Jemaah Tabligh, Ahli Zaman Abad 14 hijrah) dari segi menghancur hati kepada Allah S.W.T. cuma caranya berbeza tetapi matlamatnya sama. Seperti nelayan nak menjadi jutawan, tauke kilang nak jadi jutawan, peladang nak jadi jutawan. Walaupun caranya berbeza tetapi matlamat mereka sama, nak jadi jutawan!

63. Kamu boleh paksa anak kamu untuk dunia, tak cukup dengan sekolah pergi tusyen lagi. Tapi kenapa dengan halqah zikir kamu tak boleh buat?

64. Sebenarnya kita kena asuh perkara ini (jalan orang-orang muqarrabin) daripada awal lagi kerana semua wali Allah S.W.T. yang besar mula daripada kecil.

65. Punca-punca kehancuran umat Islam hari ini tidak ada lain iaitu ananiah ikut nafsu.

66. Bukan orang lain dan unsur-unsur lain merosakkan kamu tetapi nafsu kamulah yang merosakkkan kamu sendiri.

67. Air mata takut Allah S.W.T. tak sama dengan air mata lembu. Macamana air mata lembu? Bila dia lapar dia menangis, bila dia sakit dia menangis, bila anak dia mati dia menangis. Macam itulah air mata orang tidak takut Allah S.W.T.

68. Menurut hadis, setitik air mata orang yang takut Allah S.W.T. boleh memadamkan api neraka. Apatah lagi api dunia dan bom atom, bom nuklear – kalau dibandingkan dengan api neraka! Sebab itulah Ibllis dan konco-konconya mencari jalan untuk memupuskan jalan-jalan orang yang takut Allah.

69. Allah S.W.T. menceritakan di dalam Al-Quran “Sesungguhnya zikrullah itu Maha Besar, Maha Agung” (Surah Al Ankabut Ayat 45). Maknanya zikrullah itu lebih hebat daripada bom atom. Pasal inilah Yahudi dan konco-konconya menghalang orang berzikir dan halqah zikir.

70. Kalau beramal nak dunia, nak hebat, nak kebal dan bermacam-macam lagi samalah dengan Iblis. Iblis berdoa (meminta kebolehan atau kehebatan) kepada Allah nak menyesatkan manusia.

71. Serban putih dan jubah putih senang di beli, yang tiada dijual perut yang bersih walaupun hendak di beli dari wali Allah bahkan dari Rasulullah kerana taufiq dan hidayah di tangan Allah.

72. Hari ini ramai orang membicarakan karomah para aulia, karomah Sultan ‘Aulia Sheikh Abdul Qadir Al Jilani tetapi kenapa tidak mengkaji cara-cara dan punca-punca hendak mendapat karomah.

73. Saya menceritakan perjalanan muqarrabin. Oleh itu janganlah kamu menghukum (membuat andaian) di atas pandangan orang-orang hasanah. Kerana kebaikkan orang-orang hasanah adalah kekejian bagi orang muqarrabin.

74. Manusia di hari ini hanya menceritakan para aulia yang dah mati seperti Ibnu Arabi, Al Ghazali, Hallaj dan ramai lagi. Tetapi kenapa mereka tak mahu mencari para aulia yang hidup di zaman kita ini? Seolah-olahnya mereka mahu aulia yang dah mati itu hidup semula, lebih baik minta Rasullah S.A.W. hidup balik untuk membimbing kita, kerana baginda Saiyidul Mursalin – ini lebih afdal!

75. Kamu, kereta boleh beli tetapi jam loceng untuk mengejut waktu tahajud tak boleh beli.

76. Berpegang teguhlah dengan kitab Allah dan Sunnah Rasullallah.

77. Orang kafir yang makan ular, bisa ular tidak menjejaskan mereka kerana dalam badan mereka ada sel-sel darah ular. Kita orang Islam tak makan ular, kemudian kita tak buat perkara yang lebih bisa dari bisa ular (zikir, istighfar dan selawat).

78. Bila (iman) kita lemah, maka orang-orang yang lebih lemah daripada kita akan mengambil kesempatan daripada kelemahan kita. Jalan penyelesaiannya, dengan kita memperbaikki diri kita.

79. Allah S.W.T. tak terima doa orang yang mengikut nafsu Ammarah.

80. Maafkan segala kesalahan orang-orang yang membuat kesalahan dengan kita walaupun mereka tidak memohon maaf.

81. Orang yang tak berani menghadapi ujian, itu orang bodoh. Kalau tak ada ombak yang besar macam mana orang yang main luncur ombak hendak rasa keseronokkan bermain ombak.

82. Kalaulah binatang buas boleh di latih sebagaimana harimau, gajah dan beruk sarkes dilatih untuk membuat pertunjukkan (boleh dijinakkan), apatah lagi manusia kerana Allah berfirman “Walhal mereka seindah-indah makhluk Allah” (Surah Tin Ayat 4).

83. Jadilah hamba Allah, buatlah kerana Allah, MasyaAllah!

84. Jikalau kulit saya kamu salin ke tubuh kamu, darah saya kamu tukar ke dalam jasad kamu, daging dan tulang saya kamu pakai sekalipun! Kamu tak akan dapat sebagaimana saya dapat sekiranya kamu tak bersungguh – sebagaimana saya bersungguh-sungguh dengan Allah.

85. Bukan nak (zikir dengan suara) kuat, bukan perlahan. Matlamat kita hancur hati dengan Allah tetapi kebiasaanya nak hancurkan batu gunung untuk buat jalan kena gunakan bahan letupan. Kemudian batu tadi di masukkan di dalam masing penghancur, tentulah proses ini mengeluarkan bunyi yang kuat. Apatah hati manusia lebih keras dari batu.

86. Saya tak bimbang anak-anak saya tak makan kerana rezeki, Allah sudah jamin. Yang saya bimbang anak-anak saya tak ada iman.

87. Saya tak setuju dengan orang-orang yang hanya bercerita tentang datuk nenek mereka orang hebat, orang soleh dan tok wali. Dia tu macam mana? Sepatutnya dia boleh lebih (dapat) lagi, atau pun sekurang-kurangnya dapat sama macam datuk nenek mereka. Kalau guru buat matan, murid buat syarah. Ini tidak – masuk hutan! (tak terpakai).

88. Fahaman Wahabi ialah fahaman yang berpegang kuat dengan zohir syariat. Mereka tidak terbuka rahsia syariat. Jika kita berpegang kuat denga syariat dan hakikat, mereka tak boleh makan kita.

89. Kalaulah anjing yang mengikut pemuda Ashabul Kahfi, Allah masukkan ke dalam syurga. Apatah manusia yang bersungguh-sungguh mengikuti perjalanan Ahlullah. Ada orang yang menulis nama-nama mereka (Ashabul Kahfi) untuk dibuat azimat sahaja. Ini saya tak setuju, sepatutnya kita kena ikut langkah mereka untuk menyelamatkan iman. Kita pun akan sama dapat kekuatan macam mana yang Allah anugerahkan kepada mereka.

90. Kamu tentang makan, kamu pandai. Untuk menyedapkan sesuatu makanan berbagai ramuan digunakan, tetapi kenapa untuk mendapat kemanisan di dalam ibadah – kamu tak pandai?

91. Duduklah tang manapun, di parit longkang, di dalam istana, di atas, di bawah, di tepi, di tengah, di laut atau di darat. Matlamat kita ialah kehambaan.

92. Pohonlah kepada Allah untuk berjumpa dengan guru yang boleh membimbing kamu ke jalan Allah.

93. Di dalam perjalanan Ahlullah, baka keturunan adalah salah satu perkara yang sangat penting. Sebab itulah Rasullullah S.A.W. suruh memilih perempuan yang beragama untuk dijadikan isteri.

94. Untuk menyucikan darah-darah keturunan yang tak terpakai, darah kejinnan, darah kekufuran dan kesyirikan. Hendaklah menghabiskan selawat sebanyak 5.6 juta.

95. Kalau kita tak larat nak berjalan, jadilah tangga untuk orang-orang yang nak berjalan.

96. Sesetengah orang seronok membaca dan mendengar keromah Syaikh Abdul Kadir Al Jilani. Nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani dia tak baca! Bacalah nasihat Syaikh Abdul Kadir Al Jilani, Fathul Ghaib dan Fathur Rabbani.

97. Ada dua jalan manusia menuju Allah S.W.T:

·

Jalan Nubuwwah
Jalan Nubuwwah bermula sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Muhammad S.A.W. Jangka masa ini tidak diketahui oleh sebarang manusia, kecuali Allah S.W.T sahaja. Inilah jangka masa manusia mencapai Allah S.W.T , di mana wahyu sentiasa di turunkan. Zaman Nubuwwah ini telah berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W dan tidak akan bermula lagi.

·

Zaman Wilayat (kewalian)
Zaman wilayat di mana para aulia menunjukkan manusia jalan kepada Allah S.W.T sehingga akhir zaman. Bila zaman Nubuwwah berakhir, maka dari situ zaman wilayat bermula. Wilayat bermula dengan para-para sahabat, diikuti oleh para tabien yang berlandaskan hadis Akbaru Tabik, Uwais Al Qarni. Jalan ini berterusan hingga Syaikh Abdul Kadir Al Jilani pada abad ke 5 Hijrah di mana mahkota wilayat telah di anugerahkan kepada beliau. Zaman wilayat ini bermula dari zaman sahabat hingga ke zaman Saiyidina Muhammad Al Mahdi. Semua aulia di dalam dunia ini mencapai Allah melalui warasatul aulia (bimbingan para aulia).

98. Allah S.W.T membimbing mereka melalui syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Pancaran nur kalimah ‘La ila haillallah’ yang di bawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sentiasa dikawal dan diperlihara oleh para aulia supaya memancar dan bersinar.

99. Saya kalungkan mutiara di leher anjing, mudah-mudahan ia menjadi kambing.

100. Sembahyang 5 waktu di wajibkan pada tahun ke 10 daripada kenabian dan kerasulan. Sebelum itu Rasulullah menyuruh para sahabat menguatkan iman dengan banyak menyebut ‘La ilaha illallah’.

101. Bilal bin Rabbah r.a seorang hamba abdi. Orang yang dipandang hina oleh masyarakat tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, dia seorang yang mulia dan cerdik. Beliau tidak tunduk kepada kekufuran dan kesyirikkan walaupun jasadnya disiksa. Di hari ini, kita ada ramai golongan cerdik pandai, ada pensyarah, ada jurutera, ada doktor, ada ulama; tetapi berhubung dengan keimanan dan tauhid, kita jauh ke belakang dan lebih bodoh daripada Bilal r.a.

102. Kamu jangan sangka, kamu ikut saya, duduk majlis saya, sembahyang belakang saya, kamu dah dapat masuk syurga. Saya pun belum tentu lagi Allah nak letak di mana, di syurga atau neraka!

103. 001 (zero, zero, one) ini nombor kod Ahlullah. Kosong dunia, kosong akhirat, hanya Allah yang Esa.

104. Bergaul dengan jutawan berasa nak manfaat dari mereka. Syirik! Tengok benda seronok, berasa seronok. Syirik dengan ‘seronok’. Duduk dengan orang jahat dan ganas, berasa takut dia kacau kita. Syirik dengan ‘takut’ pula. Bila tengok perkara yang tak elok dan tak berkenan, tak nak dan tak mahu pula. ‘Syirik dengan tak nak’. Tengok perkara yang berkenan dan menawan berasa nak. Syirik dengan ‘nak’ pula.

105. Kalau kereta rosak ada tukang yang akan baikinya. Kalau orang rosak siapa yang nak baiki?

106. Jadilah hamba Allah sehamba-hambanya. Kalau orang bertanya siapa yang paling banyak dosa? Angkatlah tangan!

107. Berdoalah kepada Allah supaya buta mata daripada melihat perkara yang dilarang. Pekak telinga daripada mendengar perkara yang di larang. Bisu mulut daripada bercakap perkara yang ditegah. Batukan anggota daripada melakukan perkara yang Allah larang.

108. Orang munafiq di zaman ini tak senang dengan pakaian sunnah.

109. La hau la wala quwwata illa billah. Cakap senang ,nak duduk di atas garisannya payah.

110. Kemerdekaan yang sebenar ialah apabila bebas daripada belenggu hawa nafsu.

111. Orang Melayu terhijab dengan bahasa Melayunya, orang India terhijab dengan bahasa Tamilnya. Orang Cina terhijab dengan bahasa Cinanya. Orang Jawa terhijab dengan bahasa Jawanya. Orang “ARAB” pun terhijab dengan bahasa Arabnya.

112. Perkara yang kita tak tahu tidak semestinya perkara tersebut tak betul.

113. Orang yang loyar buruk dengan ALLAH ialah orang yang loyar buruk dengan Aulia Allah.

114. Bala yang Allah kenakan kepada kita adalah setimpal dengan amal perbuatan kita.

115. Bila kita buat kebajikan. Pandanglah, bahawa itu semuanya anugerah dan rahmat Allah. Kalau buat perkara yang tak berbetulan dengan jalan keridhoannya janganlah disandarkan kepada Allah. Salahkan nafsu kita sendiri. Ini tidak! Bila buat kebajikan kita rasa ada “share” dengan tuhan. Bila buat maksiat dikatakan pula ini qodho tuhan. Inilah puncanya manusia tak sampai tuhan dan semakin jauh daripada “rahmatNya”. Tidak lain kerana biadabnya kita!

116. Guru saya pesan. “Mahmud! Janganlah ajar adab nanti mereka biadab. Ajarlah mereka beribadat sehingga mereka beradab!”

117. Apabila tidak senang dengan aturcara “perjalanan Ahlullah” itu tandanya ada darah kejinnan mengalir di dalam jasad. Untuk menghilangkannya hanyalah “Fana’-fi-syaikh” (ikut segala aturan guru). Guru yang ikhlas tidak akan membawa muridnya masuk “neraka”.

118. Para Aulia tidak menyembunyikan “Ilmu”. Orang dunialah yang menyembunyikan ilmu. Kerana ada kepentingan dan tak ikhlas. Mereka takut anak murid mereka lebih bijak! Bersalahan dengan aulia’, mereka mahu murid-murid mereka lebih cemerlang dan berjaya.

119. Bila buat sesuatu ikut hawa nafsu maka akan timbullah penyesalan yang berpanjangan.

120. Benda dan perkara yang dah berlaku, jangan kata “Silap!” Tuhan buat “Tak silap”. Yang silapnya pasal kita “Ikut hawa nafsu!”

121. “Buat apa nak zikir (suara) kuat-kuat? Allah S.W.T. bukan pekak! Zikir perlahan pun Allah S.W.T. dengar”. Ini cakap orang yang tidak kenal tuhan, cakap orang kafir. Habis itu Allah S.W.T. jadikan petir yang berbunyi kuat itu, dia tidak dengar ke? Memang Allah S.W.T. tidak pekak tetapi yang pekak itu “nafsu”, dia tidak mahu dengar dan ikut perkara yang Allah S.W.T. redha. Itulah sebabnya disuruh berzikir dengan suara yang kuat. Memang berzikir dengan sirr lebih afdhol daripada zikir (suara) kuat. Tapi ini untuk orang yang dah sampai.

122. Selaku umat Rasulullah S.A.W. di abad 15 ini. Saya akan bersungguh-sungguh memperjuangkan dan mempertahankan perjalanan Ahlullah.

123. Bacalah diri sendiri (tengok keburukan sendiri). Jangan baca (tengok) keburukan orang lain.

124. Bereskan kekufuran dan kesyirikan di dalam diri kita dulu. Janganlah bersibuk dengan kekufuran dan kesyirikan di luar kita.

125. Dalam hadis Rasulullah S.A.W. menyatakan “bahawa para sahabat umpama bintang-bintang di langit”. Walaupun mereka berlainan bidang seperti bertani, berniaga, kaya, miskin, panglima, hamba abdi dan lain-lain tetapi mereka mempunyai satu rahsia dengan tuhan iaitu memilikki sifat “kehambaan”. Inilah perjalanan Ahlullah.

126. Gagahnya satu-satu zaman itu di sebabkan gagahnya para Aulia di zaman itu.

127. Air hujan yang turun dari langit “jernih”. Tapi bila sampai di bumi jadi keroh, kotor dan berwarna merah disebabkan tanah. Begitulah rahmat Allah yang turun dari langit, “suci”. Tapi perut (hati) kamu yang mengotorkan rahmat Allah itu. Kenapa air hujan yang turun di laut jernih? Sebab air laut jernih.

128. Sembahyang ada waktu. Zikrullah tidak ada waktu tertentu. Zikrullah kena sepanjang waktu. Semua para nabi dan rasul berzikir.

129. Selagi mana kita terasa reti. Selama itulah kita tak reti!

130. Terasa adanya “kita”. Itulah kesalahan yang besar.

131. Selagi terasa adanya kita. Selama itulah kita menderita.

132. Kita tak soal UMNO ka, PAS ka, ADIL ka. Kita akan berganding bahu dengan orang-orang yang sanggup berdiri, mengikuti aturcara kebangkitan (Islam).

133. Abad 15 (hijrah) ialah (abad) kebangkitan Islam.

134. Semua para aulia di dalam dunia sepakat mengharamkan rokok.

135. Satu batang rokok yg dihisap menjadi hijab dengan Allah selama 40 hari.

136. Serban, Jubah dan janggut lambang orang soleh.

137. Pakai baju, dulukan tangan kanan, buka baju dulukan tangan kiri. Pakai kain dulukan kaki kanan, tanggalkan kain, dulukan kaki kiri, pakai seluar duduk dulu dan mulakan dengan kaki kanan kemudian barulah berdiri, buka seluar dulukan kaki kiri. Nak pakai kasut/selipar dulukan kaki kanan nak buka, dulukan kaki kiri. Pakai kain tindihkan kanan di atas pihak kiri. Ni kamu tidak! pakai ikut “DAN!”. Tak ikut sunnah, ikut syaitan, tak ada zikrullah. Zikrullah tak masuk dalam badan lagi. Kamu ingat perkara ni kecik! Kalau perkara kecik tidak boleh nak jaga, macam mana nak jaga perkara yang lebih BESAR?

138. Buang atau cukur janggut, simpan misai. Macam Hindu – ikut Hindu. Rasulullah S.A.W. suruh panjangkan janggut, andamkan misai.

139. Semua nabi-nabi dan Rasul-Rasul a`laihimussalatu wassalam dibangkitkan oleh Allah S.W.T. untuk menguatkan iman dan takwa dahulu. Bila iman dan takwa dah kuat, barulah perkara-perkara lain akan ikut kuat. Ini tidak, nak kuat ekonomilah, kuatkan itulah, inilah. Nabi Adam a.s. mula-mula di turunkan ke bumi ini apa yang dibuat dulu? Baginda menangis takutkan Allah S.W.T. selama 40 tahun. Adakah beliau buat benda lain dulu?

140. Kenapa orang Islam yang dulu-dulu hebat dan kuat. Sebab mereka kuat berpegang dengan Allah S.W.T. dan Sunnah. Kita sekarang tidak, sebab itulah orang Islam sekarang lemah.

141. Kita jangan di perbudak-budakkan oleh budak-budak dunia.

142. Orang yang baik merasa dirinya jahat!

143. Orang yang jahat merasa dirinya baik!

144. Dalam bala ada nikmat. Dalam nikmat ada bala. Sebab itulah semua kekasih Allah di dalam penderitaan.

145. Bala ada 4 jenis:-

· Sirajun-lil-ariffin

· Penerang bagi orang arifbillah.

· Yaqozatun-lil-muridin

· Penyedar bagi orang yang hendak mengenal Allah.

· Islahun-lil-mukmin

· Membaikkan orang yang beriman.
Halaqun-lil-ghafilin
Membinasakan orang yang lalai pada Allah S.W.T.

146. Punca bohsia dihari ini (keruntuhan moral) ialah disebabkan suntikan yang diberi kepada bayi yang mengandungi hormon lembu/kuda. Apa kerja lembu/kuda? Jadi budak-budak ini ikut perangai lembu/kudalah! Yang ada hormon manusia sahaja pun, payah nak asuh apatah lagi yang ada hormon lembu/kuda. Inilah cara Yahudi/Nasrani untuk melemahkan orang Islam. Mereka tahu sekarang ini adalah masa kebangkitan Islam. Mereka bunuh sel-sel kesolehan yang terdapat dalam anak-anak orang Islam. Sebagaimana Firaun membunuh anak-anak bani Israel kerana takutkan Musa a.s.

147. Wajib taat kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. dan orang-orang yang “mengajak” kita taat kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W.

148. Cara perubatan yang tak menggunakan dadah seperti akar kayu dan homeopati ini adalah lebih baik. Perubatan yang menggunakan dadah boleh merosakkan saraf kita. Itu yang menyebabkan payah masuk zikir jika saraf sudah rosak!

149. Saya buat kerja saya. Saya tak kesah orang nak marah ke atau suka!

150. Di jalan Allah S.W.T. tidak ada Mujadalah, Mubahasah, Munazaah dan Munakasyah (bertengkar, berdebat, berbahas). Yang ada di jalan Allah S.W.T. hanya amanu (beriman) dan wa a’milus solihah (dan beramal soleh).

151. Penyelewangan hadis. Betullah! Rasulullah S.A.W suruh tuntut ilmu sampai ke negeri China, tetapi masalahnya bila kita hantar penuntut kita ke China, mereka jadi China!, hantar ke Amerika jadi Amerika!, hantar ke England jadi England!. Pasal kita tidak beri mereka kekuatan (iman dan takwa) terlebih dahulu. Hadis ini Rasulullah S.A.W. menceritakan di mana dan pada bila? Pada masa iman para sahabat dah cukup kuat. Inilah penyelewengan hadis namanya.

152. Kalau perut dah kenyang macam-mana nak meratib?

153. Satu orang Tuan Guru (Sg. Pau Kedah) komen apa yang saya anjurkan. Saya bagi tahu dia, “Pak Cik! Kalau Mahmud buat ikut hati – mati. Ikut nafsu, lesu. Kalau Mahmud buat kerana Allah masyaAllah. Tengoklah nanti bagaimana Mahmud gila (majzub) ini memimpin manusia ke jalan Allah”.

154. Di dalam tubuh badan manusia ada 56 ribu titik darah. Untuk menyuci satu titik darah tidak terpakai, perlu berselawat sebanyak 100 kali. Bermakna untuk memproses setiap titik darah tersebut perlu berselawat sebanyak 5.6 juta.

155. Dalam perjalanan Ahlullah, selagi belum Mutmainnah dikira orang baru.Walau dah 30 tahun ikut tapi belum Mutmainnah di kira masih orang baru.

169. Cara-cara memohon guru mursyid.

· Selalu buat sembahyang hajat.

· Banyakkan membaca Laila hailla anta subhanaka inni kuntu minaz zolimin (istighfar) dan selawat.

· Berdoa – “Ya Allah dengan berkat Rasulullah S.A.W. dan berkat para waliMu yang besar-besar. Pertemukan aku dengan orang yang kau kasih untuk membimbing hambamu yang daif, zalim dan jahil lagi banyak dosa ini semata-mata dengan rahmatMu sahaja. Ya Allah!”.