Seseorang hamba Allah s.w.t. yang menghayati bahawasanya,
tiada yang berkuasa dalam kewujudan ini dengan kuasa yang mutlak melainkan
Allah s.w.t., pasti akan merasakan kekurangan dan kelemahan diri di hadapan
Allah s.w.t.. Pada ketika itu, penyaksian hatinya terhadap kekuasaan Allah
s.w.t. membuatkan dirinya sentiasa merasakan dirinya memerlukan Allah s.w.t.
dalam setiap saat kerana pada hakikatnya, tiada daya dan upaya bagi seseorang
melainkan dengan bantuan Allah s.w.t..
Allah s.w.t. yang menganugerahkan nikmat keupayaan dan kuasa
dalam diri seseorang manusia dalam rangka untuk berusaha dan melakukan
perbuatannya, namun kuasa dan keupayaan yang terkandung dalam diri seseorang
tidak terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t. kerana sifat keupayaan yang
dimiliki oleh manusia adalah daripada sifat kuasa Allah s.w.t. itu sendiri.
Seseorang yang menghayati perasaan ini adalah orang yang
telahpun teralisasinya makna La Haula wa La Quwwata illa biLlah (Tiada
daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah) dalam dirinya. Ungkapan tauhid
ini mengandungi rahsia keagungan ketuhanan Allah s.w.t. dan rahsia ketinggian
kehambaan seseorang hamba itu sendiri jika dia menghayatinya lalu
menterjemahkannya ke dalam kehidupan.
Seseorang yang tenggelam dalam lautan penyaksian wahdah (kesatuan
sifat-sifat Allah) pasti menghayati bahawasanya manusia dan seluruh alam ini
tidak pernah terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian,
seseorang itu tidak mampu untuk keluar daripada kehambaan diri mereka kepada
Allah s.w.t. lalu memilih untuk tidak mentaatiNya kerana penghayatan terhadap
rasa kelemahan diri di hadapan kekuasaan Allah s.w.t..
Adapun orang yang lalai daripada penghayatan ini adalah
orang yang terkeliru dalam memahami erti dirinya sendiri dan erti kehidupan di
sekelilingnya sehingga terhijab daripada hakikat bahawasanya dia tidak terlepas
daripada kekuasaan Allah s.w.t.. Hijab orang yang lalai tersebut adalah dirinya
sendiri di samping makhluk-makhluk di sekelilingnya sehingga dia menyangka
bahawasanya yang berperanan dalam memberi manfaat dan menolak kemudaratan
daripada dirinya adalah dirinya sendiri dan makhluk-makhluk di sekitarnya,
sedangkan pada hakikatnya, hanya Allah s.w.t. -lah yang Maha Pemberi Manfaat
dan Maha Menolak Kemudaratan.
Namun, kerana seseorang yang lalai itu terhijab dengan
perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. (af'aal) melalui makhluk-makhlukNya (infi'al),
maka dia gagal menghayati makna sebenar kewujudan seluruh makhluk tersebut
iaitulah untuk menjadi tanda kepada kewujudan dan keesaan Allah s.w.t. yang
Maha Zahir melalui perbuatan-perbuatanNya. Mereka yang terus terhijab dalam
kepompong hukum sebab musabbab, kepompong adat tabi’e dan sebagainya sebenarnya
tidak dapat menghayati konsep qudrah (kekuasaan), iradah dan ilmu Allah
s.w.t. dalam kehidupannya.
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyebutkan
kepada Saidina Ibn Abbas r.a. bahawasanya, jika seluruh makhluk berhimpun untuk
menegah apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. ke atas seseorang itu, nescaya
makhluk-makhluk tersebut tidak mampu untuk menegah ketentuan Allah s.w.t.
kepada orang tersebut. Begitulah juga sebaliknya. (hadith sahih. Sila rujuk Al-Ar'biin
oleh Imam An-Nawawi).
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengajar
konsep sebenar kekuasaan Allah s.w.t. dan betapa lemahnya makhluk di hadapan
kekuasaan Allah s.w.t.. Aqidah ini jika diterjemahkan dalam diri seseorang
muslim, maka dia akan menghadapi kehidupan ini dengan penuh ketergantungan hati
kepada Allah s.w.t. tanpa rasa kebimbangan terhadap masa hadapan dan
sebagainya.
Apa yang dikerjakan adalah apa yang dituntut oleh Allah
s.w.t. dan tidak perlu risau apa yang dijamin oleh Allah Y ke atas dirinya. (rujuk Hikam
Ibn 'Atho'illah As-Sakandari). Allah s.w.t. -lah yang Maha Berkuasa lagi
Maha Bijaksana.
[Waspada] Janganlah seseorang itu, tatkala mengetahui bahawasanya hanya
Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa dalam kehidupan ini, maka dia pun meninggalkan
"berusaha" dan beramal dalam kehidupan ini, kerana mendakwa bahawa
apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. pasti datang walaupun tidak berusaha.
Ini suatu
angan-angan yang dusta. Ia juga merupakan bahasa orang-orang yang leka dan
tertipu dengan kemalasan diri semata-mata. Sesungguhnya Allah s.w.t. sentiasa
menyuruh para hambaNya berusaha dalam rangka menunaikan tugas kehambaan diri
kepada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, usaha yang kita lakukan, kita lakukan
kerana ianya adalah perintah Allah dan ianya dilakukan sebagai ibadah, bukan
kerana kita bergantung kepada usaha kita.
Kita tidak boleh
mengabaikan sifat upaya dalam diri kita yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.
untuk menjadi pemalas dengan tidak melakukan apa-apa dalam kehidupan ini,
kerana selaku hamba, kita perlulah mengerjakan apa yang diperintahkan oleh
Allah s.w.t. kepada kita samada ibadah tersebut adalah ibadah khusus seperti
solat, puasa dan sebagainya mahupun ibadah umum seperti mencari rezeki dan
sebagainya.
Dalam pegangan ahlus-sunnah,
merepa menetapkan konsep Al-Kasb iaitu usaha bagi hamba-hamba Allah
yang faham akan hakikat kehambaan diri. Usaha adalah sesuatu yang dituntut oleh
Allah s.w.t. ke atas kita kerana Dia telahpun menganungerahkan akal dan
keupayaan dalam diri kita untuk melakukan tugas-tugas kehambaan dalam kehidupan
seharian.
Imam Abdullah
As-Syarqowi r.h.l. berkata:
"Adapun
mazhab ahlus-sunnah bahawasanya perbuatan-perbuatan semuanya terbit
dengan qudrah Allah semata-mata, namun dalam masa yang sama masih
menetapkan wujudnya qudrah bagi hamba walaupun mereka menafikan qudrah
hamba memberi kesan, namun bagi hamba itu masih ada bahagian untuk memilih
(kurniaan Allah) yang daripada itulah dihitung untuk diberi pahala atau
disiksa". (syarah Hikam Al-Kurdi m/s 165)
Imam Junaid
Al-Baghdadi r.a. ketika diberitahu tentang golongan yang meninggalkan amal lalu
menjawab: "Sesungguhnya golongan arifin itu mengambil amal daripada
Allah (maksudnya: tidak meninggalkan amalan), dan kepadaNya jua mereka
kembalikan amalan tersebut (dengan melakukan amalan keranaNya dan
denganNya)…"
Wallahu a’lam...
Al-Faqir ila
Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad
Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi
‘AmalahuLlahu
bi AlthofiHi Al-Khafiyyah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan