بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Alhamdulillahirobbil alamin, washolatu wassalamu 'ala asrofil ambiya iwal mursalin wa'ala alihi wasohbihi aj ma'in. Amma ba'du:: BICARA HIKMAH 2 ::
[1] Tauhid Benteng Tipuan Duniawi
Firman Allah SWT:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
"Apakah kamu mengira mereka dijadikan hanya untuk bermain-main sahaja, dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tiada Tuhan selain Dia. Tuhan yang mempunyai 'Arasy yang mulia."
[Al-Mukminun: 115-116]
Demi Allah, manusia sentiasa diuji Allah SWT pada setiap saat selagi nafasnya berfungsi pada kehidupan ini. Tiadalah yang diuji melainkan akidah kita. Kalimah 'Laa ilaha illaLlah, Muhammadur RasuluLlah' yang diucapkan itu, apakah benar kita memahaminya dan menghayatinya.
Ramai manusia yang tertipu sehingga akidahnya tidak bersih. Ia melakukan dosa yang tidak akan diampuni Tuhan di akhirat iaitu syirik. Mereka tertipu dengan segala apa yang berlaku di hadapan mereka. Apabila mereka diberi harta, pangkat, kepandaian, pengikut, lantas mereka merasa mereka kuat, merasa mereka hebat sehingga lupa akan hakikat diri mereka yang lemah, jahil, buta dan tuli. Mereka menjadi syirik kerana pergantungan hati telah berpaling dari Allah SWT. Mereka tidak memerlukan Allah SWT lantaran merasai diri mereka kuat sedangkan apa yang mereka miliki adalah lemah dan rapuh.
Tauhid telah mengajar kepada kita bahawa makhluk tiada memberi bekas tetapi ramai yang tewas dengan ujian tauhid. Mereka merasa mereka kuat apabila memiliki kuasa, kekayaan dan sebagainya, sedangkan ia adalah makhluk yang lemah yang tiada boleh memberi apa-apa manfaat. Tetapi manusia memujanya, menjadikannya bagaikan berhala yang boleh memberi kebahagiaan dan kesengsaraan sehingga (tanpa sedar) mensyirikkan Allah SWT dalam sifat kekuasaanNya.
Mereka beriman kepada Allah tetapi mensyirikkan Allah dalam sifat keTuhananNya. Mereka telah tewas dalam ujian Allah, mereka tewas dalam ujian akidah. Kalimah tauhid yang diucapkannya adalah batil kerana dalam hatinya mengakui adanya kuasa-kuasa yang lain boleh memberi kebahagiaan dan kesengsaraan kepadanya.
Umat Islam telah terpedaya dengan konsep hidup Barat yang tidak bertuhan. Mereka menjadikan ciptaan manusia sebagai kuasa kebahagiaan hidup manusia. Islam tidak pernah meletakkan kejayaan dan kebahagiaan manusia pada pangkat atau harta. Islam meletakkan kemuliaan seorang insan di atas kekuatan pegangannya kepada Allah SWT, kekuatan takwanya. Seorang yang memiliki Allah SWT tidak akan merasai atau bergantung pada kekuatan-kekuatan yang lain. Allah SWT sumber kekuatan, kebahagiaan, kekayaan, kesempurnaan.
Barangsiapa yang mengatakan dengan wang dan kuasa ia senang dan kuat, malah ia boleh melakukan apa sahaja, ia menjadi syirik kepada Allah SWT. Allah SWT menyuruh Nabi Musa menyeru Firaun supaya mengakui keTuhanan Allah dan menafikan ketuhanan dirinya. Firaun menjadi sesat kerana merasa kuat dengan pangkat, kekayaan dan pengikut yang ramai. Allah SWT menempelak Firaun dengan menenggelamkannya di dasar laut iaitu tempat yang paling rendah di bumi, tempat yang tiada didiami oleh manusia melainkan ikan-ikan dan tumbuhan.
Allah SWT menempelak Namud yang merasa dirinya Tuhan lantaran tertipu dengan pangkat, harta, tentera yang ramai, di mana Namrud mati dengan hanya seekor nyamuk yang masuk ke dalam otaknya. Allah SWT menghukum Kamal Artartuk yang angkuh dengan memberi penyakit yang aneh yang tidak boleh diubati walaupun di sekelilingnya terdapat pakar-pakar dalam bidang perubatan. Allah SWT menempelak mereka seolah-olah mengatakan 'Di manakah Tuhan-tuhan yang kamu sembah dan puja yang kamu merasa diri kamu kuat sehingga menolak Aku?'. Allah SWT telah mentajallikan sifat kekuasaan-Nya mengatasi segala kuasa yang ada pada manusia.
Firman Allah SWT :
وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
" Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
[Al-An'am: 17]
Berhati-hatilah dengan ujian Allah SWT dan jangan kita tertipu. Fahamilah bahawa dirimu dan segala apa yang berada di hadapanmu adalah lemah. Jika kamu sombong dengan apa yang dimiliki, kamu sudah tertipu dan bahayanya kamu boleh terjerumus ke lembah kesyirikan. Kenalilah Tuhan dengan pengenalan yang haq agar kamu tidak berhajat kepada sesuatu yang lain dalam kehidupan ini. Semoga Allah SWT menyelamatkan diri kita dari segala kejahilan dan kesyirikan..
Laa haula wala quwwata illa billahil'azim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan