Rabu, September 19

BICARA HIKMAH 2 : [16] Sajak : Munajat Seorang Hamba

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[16]  Sajak : Munajat Seorang Hamba

Ya ALLAH !
Kenapakah hati ini begitu keras untuk mengingati-Mu ?
Mungkinkah jiwaku sudah penuh dengan kekotoran ?
Setiap hari aku Solat, membaca aL-Quran
tetapi aku tidak dapat merasai kenikmatan
Bagaimanakah akan aku tempuhi hidup ini ?
Adakah jiwa ini dapat Engkau terima ?

Ya ALLAH ! Janganlah Egkau tinggalkan aku
Janganlah Engkau biarkan jiwa ini ternoda dengan kemaksiatan
apalah diri ini tanpa Mu
aku begitu lemah untuk mengharungi gelombang dunia ini..

Ya ALLAH !
Kasihanilah jiwaku yang kerdil ini
Aku sangat mengharapkan pimpinan-Mu
Aku sangat merindu belaian-Mu.
Bantulah aku, Ya ALLAH !
Bantulah aku Ya Rabbi !
Lemparlah cahaya-Mu ke dalam jiwaku...

Ya ALLAH !
Apalah erti kehidupan ini tanpa kehadiran-Mu
apalah gunanya potensiku
Yang aku miliki tanpa rahmat-Mu

Ya ALLAH ! Berikanlah petunjuk-Mu kepadaku
Aku tahu bahawa petunjuk-Mu adalah mahal dan perluku bayar
Aku redha, Ya ALLAH. Engkau ambillah apa yang aku miliki
Tetapi campakkanlah Nur-Mu ke dalam jiwa ini...

Ya ALLAH !
Aku malu untuk berhadapan dengan-Mu
aku begitu kotor dan jijik
Riak, tamak, sombong, dengki telah membelenggu hidupku
Jiwaku lemas, setiap kali  cuba mengingati-Mu
Setiap kali juga jiwaku menghalang
Fikiranku berkecamuk
Ya ALLAH ! dimanakah cahaya Mu ?

Ya ALLAH !
Hanya kepada Engkau tempatku mengadu
Hanya kepada-Mu tempat aku mencurahkan perasaanku
Kerana aku tahu hanya Engkau yang dapat membimbing jiwaku
yang kerdil ini
Maka bimbinglah aku Ya ALLAH
pimpinlah aku, pimpinlah aku,
Pimpinlah akuuuu... Ya ALLAH !

BICARA HIKMAH 2 : [15] Cetusan Nurani: Aku Dan Kehidupan

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[15]  Cetusan Nurani: Aku Dan Kehidupan

Kehidupan telah banyak mengajar aku tentang siapa aku. Aku yang sentiasa berubah mengikut masa dan suasana. Kedewasaan yang aku pijak sekarang telah membawaku kepada satu pemikiran dan kehidupan yang baru.

Masih aku ingat lagi bagaimana dahulu aku adalah insan yang hidup bermain-main dengan ulitan mimpi, berjalan ke arah yang tidak pasti. Hidupku dimanjai, nafasku sentiasa keriangan, namun aku amat merasai kekosongan, resah dan sunyi. Kalimat ketenangan dan kebahagiaan tiada dalam kamus hatiku.

Alhamdulillah, aku memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT. Aku kini mula mengenal sedikit sebanyak hakikat dunia yang aku sembah selama ini. Hatiku mula memahami mengapa ia amat dijauhi para kekasih ALLAH, sedikit aku dapat merasai bagaimana jiwa mereka rindu kepada perkampungan akhirat. Betapa hinanya dunia ini di sisi mereka.

Dalam satu riwayat diceritakan, pernah RasuluLlah SAW membawa sahabatnya ke satu longgokan sampah sarap yang terdapat baju-baju yang buruk dan tengkorak manusia. Rasulullah SAW bersabda, 'Inilah dunia,' sambil Baginda menunjukkan ke arah baju buruk dan tengkorak kepala manusia. 'Dia dahulu seperti kamu, suka pakaian mewah, makanan yang lazat, menyintai dunia' sambung Baginda lagi.

Aku juga pernah mendengar kisah bagaimana Imam Al-Ghazali rahimahullah, apabila kedatangan maut, ketika anak-anak muridnya yang mengelilingi tubuhnya sambil menangis, lalu dia bertanya, 'Kenapa kamu semua menangis?' Jawab murid-muridnya, 'Kami menangis kerana engkau akan meninggalkan dunia ini.' Berkata Imam Ghazali, 'Sepatutnya akulah yang menangis kepada kamu semua, kerana aku akan pergi ke satu alam yang penuh dengan rahmat ALLAH, bertemu dengan para solehin, sedangkan kamu semua berada di alam yang penuh hasad dengki, fitnah, dosa dan noda.'

Begitulah juga dengan Syeikh al-Junaid, ketika ditangisi oleh murid-muridnya ketika saat hampir ajalnya, beliau bertanya, 'Mengapa kalian menangis?' Jawab mereka, 'Kami menangis kerana memikirkan yang Guru akan meninggalkan kami semua,' Lalu al-Junaid berkata, 'Mengapa engkau belajar dengan yang mati (manusia), palingkan hatimu dengan belajar yang kekal (ALLAH).'

Benarlah kata-kata Al-Junaid, belajarlah dengan yang kekal abadi kerana kita mesti memahami apa jua yang berlaku ke atas diri dan kehidupan kita, baik berupa kesedihan, kegembiraan, suka duka, kerana di situ ada pengajaran daripada ALLAH SWT.

Aku menoleh kembali ke belakang, melihat akan suatu perkara yang dahulu aku tangisi dan kesali berlaku ke atas diriku. Kini aku amat bersyukur dengan peristiwa itu, kerana ia telah membawa aku kepada kehidupanku sekarang. Ya! Kini aku seolah-olah tersedar dari lamunan khayalan dan angan-angan. Aku bangkit memikirkan tentang siapa aku, dari mana aku datang, apa tujuan aku datang dan ke mana aku akan pergi. Dengan kesedaran ini aku melangkah ke gerbang menghayati ajaran Islam yang penuh dengan kenikmatan, ketenangan dan kebahagiaan.

Dulu aku menganggap Islamku sudah sempurna, namun apabila aku mendapat kesedaran tentang fikrah Islam yang sebenarnya, rupanya aku jauh ketinggalan di dalam melaksanakan amanah sebagai hamba ALLAH dan Khalifah-Nya di muka bumi. Aku lalai dari menunaikan tanggungjawab kepada Ruhku, akalku dan jasadku, keluarga, sahabat dan masyarakat.

Aku jauh ketinggalan untuk mengikuti jejak dan tapak kaki RasuluLlah SAW di padang pasir, namun tapak-tapak kaki suci itu sudah jelas di depanku kini. Akan ku turuti walaupun sudah ketinggalan jauh di belakang semoga ALLAH memasukkan aku di kalangan jemaah Baginda SAW. Aku mengharap debu-debu jihad yang berterbangan sedikit sebanyak melekat di pakaian dan kulitku...

BICARA HIKMAH 2 : [14] Cahayakan Hati Dengan Kasih Sayang

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[14]  Cahayakan Hati Dengan Kasih Sayang

Firman ALLAH SWT :

رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ

"Berkasih sayang sesama mereka."  [aL-Fath : 29]

Cahayakan hatimu dengan kasih sayang di mana kamu berada. Kasih sayangmu melampaui sempadan darah, warna kulit, bangsa, agama, geografi dan sebagainya. Bertindaklah dalam apa jua dengan mendahulukan kasih sayang. Jadikan dirimu penyebar kasih sayang, nescaya diri kamu dikasihi Tuhan dan makhluk yang melata.

Eratkan tanganmu sesama muslim walau apapun namanya, kumpulannya, platformnya atau kaedahnya. Selagi mereka benar dalam kalimah Tauhid ia adalah saudaramu. Perbezaan pendapat, cara, tarbiah bukan penghalang untuk kamu berkasih sayang dan bantu membantu. Ringankanlah tulangmu mmbantu saudara muslimmu jika ia mengharapkan pertolonganmu. Jangan biarkan mereka tidak mendapat apa-apa darimu. Itulah akhlak Rasulullah SAW yang amat lemah lembut dan suka membantu mereka yang mengharap bantuan.

Daripada Abu Hurairah (r.a.) bahawasanya RasuluLlah SAW bersabda:

"Pada Hari Kiamat ALLAH akan berfirman, 'Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku ? Hari ini Aku akan melindungi mereka sebab hari ini tiada perlindungan selain daripada perlindungan-Ku."  [Muslim]

Lapangkanlah dadamu dengan sentiasa memaafkan mereka yang memusuhimu, atau menyakitimu dan sambungkan silaturrahim dengan mereka yang memutuskannya.

Firman ALLAH SWT:

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

"Sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya di tangan ALLAH. ALLAH tidak menyukai orang-orang yang zalim."
[asy-Syura : 40]

Jika bertemu saudara yang tersasar dalam masalah akidah, hulurkan tanganmu kepada mereka , betulkanlah mereka dengan nasihat yang baik. Begitu juga kepada golongan bukan Islam sama ada di hadapanmu atau di belakangmu, kasihanilah mereka, pimpinlah mereka kepada hidayah, sesungguhnya mereka tidak mengetahui bahawa mereka akan menanggung azab ALLAH di akhirat nanti disebabkan kekufuran mereka. Pancarkanlah kasih sayangmu di mana sahaja kamu berada, jadikan dirimu sebagai pohon kayu yang besar, rendang dan mengeluarkan buah yang ranum, maka ramai manusia mendapat manfaat darimu.

BICARA HIKMAH 2 : [13] Tumpuan Pendidikan Murabbi

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[13]  Tumpuan Pendidikan Murabbi

Dunia adalah pentas dan kita adalah pelakonnya. Sentiasalah bertaubat agar dosa-dosa yang kita tahu atau tidak tidak ketahui, tidak melekat sebagai tompok hitam dalam hati kerana ianya mengeraskan hati. Alangkah amat pelik di zaman ini, manusia membicarakan tentang tarbiah tetapi tidak bermula dengan titik yang betul. Apabila kita menyebut tentang pendidikan manusia, fahamilah manusia itu terdiri dari tiga unsur yang besar, iaitu hati (ruh), akal dan jasad.

Antara ketiga-tiga ini, pendidikan mestilah menjuruskan pada pendidikan hati dahulu kerana ia adalah raja sebagaimana sabda Nabi SAW :

"Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, jika ia baik, baiklah seluruh anggota badannya, jika ia buruk maka buruklah seluruh anggota badannya. Ia adalah qalb (hati)."

Hati adalah tempat makrifat, hati tempat iman, hati tempat syirik, hati tempat cinta dunia, takbur, riya', dengki dan sebagainya. Hati tidak akan terubat sekadar dengan ilmu teori sahaja kerana ilmu bagaikan ubat-ubat, dan memakannya adalah bagaikan amal. Tetapi apabila anda hendak memakannya, anda perlukan bimbingan seorang tabib. Ia bermakna untuk menyembuhkan hati anda, perlu ada ilmu, perlu adanya amal dan perlu adanya guru yang mursyid dalam mengubati penyakit-penyakit hati.

Apabila seorang yang dikatakan seorang murabbi atau seorang pemimpin tarbiah itu mendidik manusia tetapi ia jahil dalam ilmu hati, maka rosaklah sistem tarbiah itu. Lahirlah tarbiah yang direka-reka dan diubah-ubah mengikut akal. Pemimpin seperti ini dengan sistem tarbiah sedemikian tidak akan mampu memecahkan nafsu ammarah hati pengikutnya. Sehebat mana amalnya sekalipun, jika ia tidak arif akan permainan syaitan dan nafsu, kita bimbang terkena penyakit tipu daya sehingga kembali bertemu dengan ALLAH SWT dalam keadaan ditolak segala amal, lantaran amal kita yang penuh dengan penyakit-penyakit hati.

Justeru itu, kerosakan tarbiah akan berlaku apabila seorang yang bukan ahli tentang tarbiah memegang jawatan tarbiah, lalu ia bermain-main dengan ayat-ayat ALLAH SWT untuk membenarkan cara dan tindakannya, dan memaksa mereka yang berada di depannya mengakui kebenaran dirinya, sedangkan ia hanya mengikut akal dan nafsu dalam dirinya. Benarlah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW :

"Akan berlaku kerosakan apabila amanah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya."

Manusia tidak akan baik walaupun suatu kertas kerja mengenai sistem pendidikan yang terbaik dibentangkan sekalipun, kerana kebaikan seorang itu datang daripada ALLAH melalui keberkatan orang-orang dikasihi oleh ALLAH. Mereka adalah orang yang mengamalkan apa yang mereka ucapkan, hati mereka hidup dan diri mereka sentiasa cemas dengan murka ALLAH SWT. Jiwa mereka diberi makrifat.. Keberkatan adalah penting dalam sistem pendidikan manusia, jangan kita terpengaruh dengan fahaman yang menolak para auliya' dan perjalanan para auliya'.

Sesungguhnya ALLAH SWT mengisytiharkan perang terhadap golongan yang memusuhi kekasih-kekasih-Nya

BICARA HIKMAH 2 : [12] Hati-Hati Dalam Kata-Kata

:: BICARA HIKMAH 2::

[12]  Hati-Hati Dalam Kata-Kata

Saudaraku,
Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu tentang agama ALLAH SWT, jangan kamu cepat menghukum dengan sesuatu yang kamu jahil tentangnya kerana ianya telah diperingatkan oleh RasuluLlah SAW kepada Abu Dzar

Nabi SAW bersabda:

"Hai Abu Dzar, Jika engkau ditanya sesuatu yang tidak engkau ketahui, jawablah saya tidak mengetahui supaya selamat dari tanggungjawabnya, dan jangan memberi fatwa terhadap apa yang engkau tidak ketahui, supaya selamat dari siksa ALLAH SWT pada Hari Kiamat."

Tanda orang alim yang warak dan merendah diri bukan terletak pada serban atau pakaiannya, tetapi kewarakan orang alim adalah berdasarkan sikap berhati-hati dalam fatwanya. Mereka lebih suka menyatakan "Wallahu a'lam" dalam hal yang mereka kesamaran. Ulama-ulama di zaman para sahabat sentiasa tolak-menolak di antara satu sama lain apabila datangnya orang bertanya meminta fatwa. Ini kerana mereka bimbang takut-takut tersalah dalam memberikan fatwa mereka. Bagi mereka, setiap kali orang meminta fatwa, ia bagaikan sebuah gunung yang dihempaskan ke atas kepala mereka.

Seorang yang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak memiliki sifat warak, adalah melambangkan keegoan dan sifat takabur. Iblis tersesat dan dimurkai Tuhan disebabkan kesombongannya, walaupun ilmu dan amalnya banyak. Janganlah kamu wahai saudaraku berlagak alim kerana berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali :

"Kerosakan agama akan berlaku apabila orang-orang jahil berlagak alim."

Dan dikatakan lagi di akhir zaman begitu ramai ahli pidato, tetapi sediikit ahli ilmu. Kita wajib bersifat warak dalam masalah ilmu agama kerana sejauh manakah kita mampu menguasai bahasa Arab dan segala syarat-syarat yang dikehendaki dalam mengeluarkan hujah. Begitu juga berapa ribu hadithkah yang kita ingat sama ada dari Hadith Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan sebagainya? berapa dalamkah kita mengaji usul fiqh dalam perbahasan kaedah ulama-ulama dalam mengeluarkan hukum?

Begitulah juga, kita perlu memahami bahawa setiap amalan yang tiada kita jumpa dalam aL-Quran perlu dirujuk kepada hadith dan dalam setiap matan hadith pula berapa banyak ulama berbeza pendapat. Bukan mereka menolak kebenaran hadith tetapi mereka berbeza pendapat dalam masalah mentakwilkannya. Ada yang mentakwil secara zahir hadith, ada yang secara batin hadith dan pelbagai lagi kerana ketinggian ilmu Islam itu begitu luas. Apabila sesuatu amalan itu tiada kita temui dalam hadith, rujuklah ulama yang soleh, apakah pendapat mereka. Jika pendapat ulama itu tidak ijma' dan ada ulama Islam lain menentangnya dan tidak bersetuju dengan pendapatnya, maka ia adalah khilafiah. Jika perkara itu khilafiah, kita perlu berlapang dada. Yakni kita boleh menerima dan mengamalkannya atau meninggalkannya dengan tidak mencerca pendapat yang lain.

Islam telah menyatakan satu kaedah bahawa tiada bidaah atau kemungkaran dalam perkara khilafiah, Tetapi, umat Islam hari ini berpecah-belah kerana begaduh dalam masalah pebezaan pendapat, sehingga dalam masalah fekah berlaku tuduh menuduh antara satu sama lain dan begitu juga dengan hal-hal yang lain. Sedangkan, ia tidak terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersandarkan kepada aL-Quran, as-Sunnah, Ijma' dan Qias.

BICARA HIKMAH 2 : [11] Fikir Hidup Sebenarnya Fikir Akhirat

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[11]  Fikir Hidup Sebenarnya Fikir Akhirat

Saudaraku yang dikasihi,
Apabila kita berfikir tentang hidup, sebenarnya kita berfikir tentang kematian, apabila kita berfikir tentang kematian, sebenarnya kita berfikir tentang alam barzakh, tentang alam akhirat. Apabila kita berfikir tentang kesudahan hidup, jawapannya hanyalah dua, sama ada saudara akan ke syurga atau ke neraka.

Saudaraku,
Berhati-hatilah, bahawasanya jiwa yang tidak pernah gundah bagaimana kesudahannya di akhir kalam (maut) adalah jiwa yang sudah dihinggapi penyakit takabur, yang merasai ia sudah banyak melakukan kebaikan, sedangkan pada hakikatnya, adakah ia mengetahui apakah segala amalannya diterima oleh ALLAH SWT?  Justeru itu berkata Abu Darda' r.a. :

"Sesiapa yang tidak pernah berfikir bagaimana akhir hayatnya, sama ada ia mati kufur atau beriman, ia akan mati kufur."  Na'uzubillah.

Saudaraku,
Persoalan hidup saudara, saudara yang perlu menentukannya. Sama ada saudara hendak ke syurga atau ke neraka. Jangan biarkan oang lain yang menentukan. Jika ada manusia yang membantu saudara, maka bersyukurlah. Tetapi jika tiada orang yang membantu, saudara mesti bangkit mencari jalan untuk keselamatan diri. Jangan hidup seperti pokok dedalu yang tidak mempunyai tapak sendiri untuk hidup atau seperti pohon yang selalu disirami. Jadilah seperti sang burung yang terbang mncari rezerkinya sendiri kerana hidup mengharapkan orang lain adalah kehidupan manusia yang dayus.

Saudaraku,
Hidupkanlah hati sentiasa dengan ALLAH SWT, bersihkanlah hati dengan zikrullah, muraqabah setiap saat, setiap minit, setiap jam... Perhatikan ke mana tertumpunya hati, sama ada kepada dunia atau kepada ALLAH. Hidupkanlah setiap degupan jantung dengan bersungguh-sungguh dengan kalimah ALLAH. Banyakkanlah memohon keampunan di atas kelalaian. Jadikan diri saudara sebagaimana manusia yang sentiasa memakmurkan hati dengan zikrullah dan memakmurkan dunia dengan buah fikiran, tindakan dan segala potensi yang ada. Sentiasalah saudara berfikiran besar dan berkeyakinan pada diri sendiri, moga-moga saudara adalah benteng-benteng yang akan mempertahankan Agama ALLAH dari kejahatan musuhnya, Insya ALLAH.

BICARA HIKMAH 2 : [10] Saat Kematian

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[10]  Saat Kematian

Ketika seseorang itu sedang nazak, ia akan diajar untuk menyebut nama ALLAH. Ketika itu ia tidak lagi disuruh melakukan ibadah lain, melainkan supaya ingat kepada ALLAH. Mati dalam keadaan ingat kepada ALLAH adalah tanda mati dalam iman. Sesungguhnya saat kematian adalah saat yang sangat genting. Ketika itu syaitan menggoncang imannya dengan pelbagai cara, kerana syaitan tidak akan membiarkan seseorang hamba ALLAH mati dalam iman.

Mengucap syahadah atau ingat kepada ALLAH menjelang sakaratul maut tidak semudah seperti yang disangka. Lebih-lebih lagi kalau ia seorang yang banyak berbuat maksiat, cinta dunia dan tidak pernah membuat persiapan untuk menemui ALLAH. Dalam kegawatan menghadapi sakaratul maut itu, kebimbangannya berkisar mengenai hartanya, perniagaannya, anak isteri dan perkara-perkara dunia yang dikejarnya ketika hidup. Syaitan telah mengaburkannya daripada hakikat kematian yang sebenarnya.

Firman ALLAH SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati ALLAH. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi."  [aL-Munafiqun: 9]

Alangkah dahsyatnya keadaan ketika menghadapi kematian. Imam Ghazali pernah ditanya kenapa beliau selalu menangis sedang beliau seorang yang kuat beribadah, alim dan wara'. Beliau menjawab, :Sesungguhnya semua itu tidak menjamin apa-apa menjelang saat kematian nanti."

Berkata Abu Darda' (ra) :

"Sesiapa yang tidak merasa bimbang sama ada dia mati dalam iman atau kufur, maka dia mati dalam kufur."

Sufyan at-Thauri berkata:

"Aku tidak takut bertemu dengan ALLAH walaupun membawa dosa yang banyak. Tapi aku yang paling takut ialah bila ALLAH cabut imanku ketika mati."

Untuk menghadapi kematian yang tidak diketahui saat dan waktunya. Seseorang itu perlu banyak berzikrullah, ingat kepada ALLAH. Apabila sewaktu hidup hati telah dilatih ingat kepada ALLAH sehingga sebati dalam setiap denyut jantungnya, ketika itu kalau ajalnya telah tiba, insya ALLAH ia mati dalam keadaan ingat kepada ALLAH.

Sebab itu lakukanlah apa sahaja amal yang boleh melatih kita untuk ingat kepada ALLAH, sama ada dengan berwirid, membaca aL-Quran, bertahajjud, memerhati kejadian alam dan sebagainya. Berlatihlah mengingati ALLAH mulai sekarang, demi keselamatan ketika menghadapi saat kematian, alam kubur dan di Padang Mahsyar.

Muaz bin Jabal (ra) meriwayatkan RasuluLlah SAW bersabda:
"Tiada seorang yang mengerjakan sesuatu amalan yang lebih selamat baginya dari siksa kubur daripada zikrullah."

Alangkah ruginya jika masa yang singkat ini disia-siakan daripada mengingati ALLAH kerana sesungguhnya ia berada dalam kesesatan.

Fiman ALLAH SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

"Maka kecelakaan besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingati ALLAH. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata."
[az-Zumar : 22]

BICARA HIKMAH 2 : [7] Puncak Cita-Cita Mukmin [8] Kesucian Ruh [9] Ingati ALLAH Setiap Masa

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[7]  Puncak Cita-Cita Mukmin

Sesungguhnya orang mukmin itu mengumpulkan bekal sedangkan orang kafir itu mencari kesenangan. Seluruh harta dan kehidupan orang mukmin adalah untuk di akhirat. Seluruh hati dan cita-citanya di sana sehingga mereka melakukan seluruh kehidupan dan ketaatan adalah untuk akhirat mereka.

Puncak cita-cita seorang mukmin adalah mendekati ALLAH SWT semenjak di dunia lagi. Walaupun kehidupan mereka sibuk dengan urusan duniawi seperti makan, minum dan sebagainya tetapi hati mereka sibuk dengan bertaqarrub kepada ALLAH SWT. Setiap aktiviti soleh yang dilakukan adalah untuk mendatangkan kesan bagi hati iaitu dapat mendekatkan hati kepada ALLAH SWT. Sepertimana ALLAH SWT sendiri telah menentukan bahawa sebenar-benar kehidupan manusia ialah mengabdikan diri kepada-Nya iaitu hati mereka sentiasa berusaha untuk mendekati ALLAH SWT.

Kata Abu Yazid Al-Bustami rahimahuLlah :

"Orang mukmin yang arif itu tidak menuntut dari ALLAH SWT akan dunia dan tidak pula akan akhirat tetapi mereka mencari Tuhan mereka."

Wahai orang yang beriman, kembalilah dengan hatimu kepada ALLAH kerana sesungguhnya orang yang bertaubat kepada ALLAH SWT ialah orang yang kembali kepada-Nya seperti mana firman ALLAH SWT :

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu."
[Az-Zumar :54]

Maksudnya serahkan segala sesuatu kepada-nya, serahkan jiwamu kepada-Nya.

Kata Syeikh Abdul Qadir aL-Jilani :

" Di dalam hatimu terdapat sekumpulan Tuhan iaitu takutmu terhadap raja dan pemerintahanmu itu kamu tempatkan sebagai Tuhan. Berpegangmu atas usahamu, untungmu, daya upayamu, kekuatanmu, penglihatanmu dan pukulanmu dijadikan sebagai Tuhan, penglihatanmu terhadap mudharat dan manfaat, pemberian dan pencegahan dari makhluk sebagai Tuhan. Kebanyakan manusia berserah diri kepada hal-hal ini dengan hati mereka dan mereka menampakkan bahawa mereka bertawakkal kepada ALLAH SWT. Sebutan mereka kepada ALLAH SWT hanya pada lidah tidak pada hati."

Oleh itu berlumba-lumbalah hati orang Mukmin mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.


:: BICARA HIKMAH 2 ::

[8]  Kesucian Ruh

Perkara paling penting yang akan dihitung ALLAH di akhirat nanti ialah kesucian seseorang. Oleh itu hendaklah ia sentiasa menilik hatinya, setakat mana ia dapat menikmati keasyikan dengan Tuhan.

Jika ia tidak rasa apa-apa ketika melakukan ibadah atau ketika nama Tuhan disebut, bermakna hatinya diselaputi kekotoran dan 'zulmah' (kegelapan), menyebabkan ia terhijab daripada ALLAH. Ibarat seorang yang sedang demam. Kalau diberi makanan yang paling lazat sekalipun, ia tidak dapat merasai kenikmatan makanan  itu. Bukan makanan yang tidak sedap, tapi ada sesuatu yang tidak kena pada saraf tubuhnya.
:: BICARA HIKMAH 2 ::

[9]  Ingati ALLAH Setiap Masa

Kehidupan kita adalah kurniaan ALLAH. Oleh itu, tujukanlah seluruh kehidupan kita kepada-Nya. Dalam setiap gerak dan diam, biarlah dilakukan semata-mata kerana ALLAH. Ingatlah ALLAH setiap masa, sama ada dalam keadaan senang atau susah, ketika melakukan kebaikan atau ketika jatuh dalam dosa.

Wali ALLAH berkata :

"Ingatlah kepada ALLAH walaupun kamu dalam maksiat dan jangan putus asa daripada rahmat ALLAH."

Walau besar mana kejahatan, janganlah sampai malu untuk istiqamah dalam ibadah. Awaslah kepada bisikan syaitan, ia akan berusaha menjauhkan kita daripada sifat berharap kepada rahmat ALLAH.

Syeikh Ibnu 'Athaillah berkata :
"Ingatlah kepada ALLAH dalam keadaan baik atau jahat."

Hendaklah kita takut kepada ALLAH dan berharap kepada rahmat-Nya. Takut kepada ALLAH akan menghindarkan kita daripada melakukan dosa, manakala harap akan menghindarkan kita daripada sikap putus asa daripada rahmat ALLAH.

Hati yang hidup adalah hati yang cinta kepada ALLAH, segala pengalamannya, gerak kerjanya untuk mencari cinta ALLAH. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa melihat segala sesuatu, gerak diam di alam ini adalah dari Tuhan. Mereka bersyukur dengan nikmat dan kebaikan, mereka sabar dan redha dengan musibah dan kejahatan. Mereka tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH, hati mereka teguh bagaikan pohon kayu yang kuat dalam keyakinan pada ALLAH, mereka bertawakkal kepada ALLAH.

Ingatlah, apabila kamu bertawakkal bermakna kamu tidak bersendirian, seluruh tentera ALLAH di langit dan bumi menjadi penolongmu...






.

BICARA HIKMAH 2 : [6] Hati Lemah Mudah Terpedaya

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[6]  Hati Lemah Mudah Terpedaya

Apabila hati seseorang itu lemah hubungannya dengan ALLAH SWT, maka ia amatlah mudah dihinggapi penyakit. Lebih parah lagi jika orang itu juga jahil dalam masalah ilmu hati. Ia tidak mengenal sifat-sifat mazmumah dan tipu dayanya dan tidak menghalusi perjalanan tasawuf yang benar.

Akibatnya, hati mudah diserang penyakit 'ujub, riya' dan takabur apabila ia berada di medan amal. Semakin banyak amalan dilakukan, semakin terasa sempurna diri dan sibuklah menghitung amalnya. Kesempurnaan diri menyebabkan hati tidak merintih dan merasa fakir dengan ALLAH.

Tidak berhajat dengan ALLAH untuk keselamatan dirinya dalam menghadapi tipu daya syaitan dan merasa diri selamat adalah penyakit iblis ('Azazil) yang merasa tak mungkin ia akan derhaka pada ALLAH lantaran banyaknya ibadah dan pangkatnya sebagai ketua Malaikat. Namun akhirnya, ia-lah yang derhaka dan dimurkai ALLAH.

Tertipu dengan amal, pangkat, keturunan, keilmuan, kekayaan dan kesibukan dakwah sehingga timbulnya takabur, merasa diri aman dari murka ALLAH SWT adalah hijab atau penyakit yang menyebabkan ia tidak mendapat pertolongan ALLAH SWT apabila diserang syaitan. Takabur sebesar zarah sekalipun jika ada dalam hati, nescaya ia diharamkan Syurga. Takabur juga menyebabkan seseorang itu diharamkan mendapat kasih sayang ALLAH SWT dan perlindungan-Nya.

Hati yang baik ialah hati yang sentiasa bimbang dengan ALLAH dan mengharapkan keampunan ALLAH. Ia sentiasa merintih pada ALLAH agar menerima amalnya, mengharap ALLAH meyelamatkan dirinya dari gangguan syaitan dan nafsu. Ia tidak pernah menghitung amalnya, sebaliknya sentiasa melihat keaiban dirinya. Inilah rintihan A'isyah radhiyaLlahu anha :

"Alangkah baiknya jika aku menjadi pohon kayu " dan "Alangkah baiknya jika aku dijadikan seekor biri-biri yang dilapah kulitnya tanpa dipertanggungjawab di akhirat nanti."

Berkata Abu Darda' radhiyaLlahu 'anhu :

"Sesiapa yang tidak pernah bimbang ia mati kafir atau beriman, ia akan mati dalam kekafiran."

Hati yang baik adalah hati yang sentiasa ada takut dan harap kepada ALLAH SWT. Justeru perhatikan dirimu, adakah ibadahmu selama ini telah meleburkan keegoan diri. Jika tidak, berhati-hatilah dengan fitnah keegoan kerana ia senjata syaitan yang ampuh untuk merosakkan kita.

Hati yang takabur tidak akan sepenuhnya bergantung kepada ALLAH. Ia sentiasa melihat kekuatan dirinya, ilmunya, amalnya, kekayaannya, pangkatnya dan manusia di sekeliling sebagai penolongnya. Sikap yang tidak bulat penyerahan diri pada ALLAH dan merasa fakir dan berhajat pada-Nya pada setiap saat menyebabkan ia tiada perlindungan apabila datangnya hembusan syaitan dan akhirnya tersungkur pada tipu dayanya.

Sesungguhnya syaitan  tidak berkuasa terhadap orang-orang yang beriman dan orang-orang yang bertawakkal kepada Tuhan. Tetapi syaitan hanya berkuasa terhadap orang yang mengambilnya sebagai pemimpin dan orang yang menyekutukan Tuhan.

BICARA HIKMAH 2 : [5] Mengapa Mudah Terkena Tipu Daya

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[5]  Mengapa Mudah Terkena Tipu Daya

Kita perlu memberi jawapan yang jujur pada soalan di atas. Demi ALLAH, sesungguhnya tipu daya syaitan amat hebat. Hanya mereka yang diselamatkan oleh ALLAH SWT yang akan selamat. Persoalannya kenapa ramai di antara mereka tidak diselamatkan ALLAH SWT ?

Kalau kita melihat secara mendalam sebab-sebab iblis tidak selamat dari kekufuran walau banyak ibadahnya ialah ia dibelenggu penyakit merasa sempurna diri atau ego. Ia merasakan dirinya tidak mungkin akan derhaka kepada ALLAH SWT. Penyakit ini menyebabkan ia kurang bergantung hati pada ALLAH, merasa aman dari murka ALLAH. Apabila datangnya ujian supaya sujud pada Adam, ia tersungkur tewas dalam lembah ketakburan.

Ia mengatakan ia lebih baik dari Adam, kenapa ia perlu sujud? Inilah perasaan yang bahaya yang tersembunyi dalam jiwa. Penyakit ini akan keluar apabila datangnya ujian. Ibadah yang dijadikan ALLAH SWT sebagai ubat, tidak berjaya menghapuskan kesombongan dalam hati.

Awasilah nafsu yang tersembunyi dalam hatimu, ia adalah musuh yang tersembunyi dalam dirimu sendiri. Perasaan kesombongan inilah yang boleh menyebabkan kita juga dimurkai Tuhan. Perasaan ini jugalah yang menjauhkan kita dari mendapat pertolongan ALLAH SWT. Amatlah bahaya jika kita tidak mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan ALLAH SWT. Inilah penyakit kebanyakan orang yang perlu diubati.

Kita lemah dan lalai dalam ibadah, lemah dalam tawakal, rasa hebat dengan ilmu, dengan perancangan, dengan idealisma dan sebagainya. Demi ALLAH, inilah dilema yang sebenarnya kita hadapi. Umat Islam hari ini tidak mempunyai kekuatan akidah. Pendidikan yang kita lalui hari ini hanya membei tumpuan kepada membina kekuatan akal, sebaliknya mengesampingkan kekuatan kerohanian.

Kekuatan akal hanya bergerak atas landasan logik, dan hanya dapat menghadapi musuh-musuh zahiriah. Kekuatan kerohanian adalah penghubung ia dengan Tuhan. Kekuatan inilah yang diperlukan untuk menghadapi musuh-musuh yang ghaib. Kerohanian adalah sumber kekuatan kerana ia melihat, mendengar dan merasai di lautan kerohanian yang dalam.

BICARA HIKMAH 2 : [4] Awasilah Syaitan dan Nafsu

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[4] Awasilah Syaitan dan Nafsu

Demi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kehidupan yang panjang ini penuh dengan bahaya yang menanti orang yang menuju Allah SWT. Syaitan sebagai musuh utama tidak akan membiarkan manusia dalam kebaikan, tidak akan membiarkan ibadah sampai ke langit.

Syaitan tidak menyerang manusia pada mata, telinga, kaki atau tangan tetapi ia melakukan serangan di tempat yang utama iaitu hati. Serangan yang dilakukan itu amat halus dan dengan pelbagai tipu daya, sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Ia mempunyai penolong yang setia yang berada dalam diri anak Adam iaitu ammarah. Perjalanan yang panjang inilah yang memberi peluang bagi syaitan untuk menghilangkan kebaikan yang kita lakukan. Ia mahu segala amal soleh menjadi hancur.

Cuba kita perhatikan bagaimana bijak dan busuknya syaitan dalam membawa manusia bersamanya ke neraka. Ramai mereka yang dahulunya hebat dengan dakwah sama ketika belajar atau ketika muda, apabila kahwin hilang entah ke mana. Ada yang kuat ibadahnya tetapi apabila kerja, menjadi manusia yang lalai. Ramai yang mulanya ikhlas berniaga, diniatkan jika berjaya mahu membantu agama dan membantu orang-orang miskin, namun apabila mereka berjaya mereka lupa malah menjadi orang yang sombong. Ramai yang begitu tinggi ukhuwahnya, selalu makan bersama dan berpelukan bila bertemu, tetapi akhirnya menjadi musuh yang ketat.

Syaitan menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu elemen keluarga, harta, pangkat, wanita dan senjata dalam diri manusia seperti sifat ego, dengki, cinta dunia, marah, dendam, taksub, suka berdebat, suka berehat, jemu dan sebagainya untuk melalaikan manusia dari Allah SWT. Apa yang malangnya banyak amal yang dilakukan menjadi hancur apabila syaitan berjaya memasukkan jarum 'ujub, riya' dan sombong.

Begitu juga mereka yang separuh abad usianya mengabdikan diri pada dakwah, namun apabila usia dihujung senja, ia menjadi manusia biasa. Ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang pejuang fi sabilillah, tetapi sebagai seorang doktor atau usahawan atau guru atau pegawai kerajaan. Alangkah ruginya usia dan masa.

Ada mereka yang bila perniagaannya menghadapi masalah, dia mengundurkan diri dan lupakan Tuhan, meninggalkan amal dan dakwah. Kalau kita bertanya kenapa ianya berlaku, tidakkah mereka merasa rugi sedangkan ganjaran dan kemuliaan mereka yang berada di medan dakwah adalah tinggi di sisi Allah SWT.

Mereka mempunyai ilmu, tahu ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang menerangkan kelebihan dakwah, malah ianya fasih disebut di lisan mereka, malah juga sentiasa memperingatkan diri sendiri dengan tipu daya syaitan dan nafsu. Namun, persoalannya apa lagi yang tiada pada mereka sehingga mereka hanyut. Syaitan yang mereka musuhi menjadi teman sejati, budaya hidup yang lalai menjadi keseronokan, dakwah yang menjadi agenda utama menjadi perkara yang membosankan, sahabat yang dicintai kerana Allah menjadi sahabat yang ingin dijauhinya.

Kalau kita mengadakan muhasabah perkara ini, ia dapat memberikan beberapa jawapan, tapi jawapan yang paling utama adalah disebabkan tipu daya syaitan setra nafsu. Ramai yang terkena serangan syaitan dan mereka tidak sedar dan tidak mampu menahannya. Demi Allah, syaitan tidak pernah berputus asa dan ia tidak pernah tidur atau berehat untuk merosakkan anak Adam. Dengan penuh kesabaran ia sentiasa menunggu peluang untuk ia bertindak di mana ketika itu kita lupa dan lalai.

Orang yang tenang dalam mengingati ALLAH adalah musuh syaitan. Ketenangan menyebabkan seseorang itu dapat berfikiran waras dalam setiap tindakannya. Justeru itu syaitan akan mengugat ketenangan diri manusia itu dahulu. Ia menggunakan isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara, perniagaan, harta, jawatan, musibah atau penyakit. Ia akan menggunakan sepenuhnya segala apa yang ada di sekeliling atau sifat dalam diri manusia untuk menggoncangkan ketenangannya.

Syaitan boleh menjadikan sahabat yang baik sebagai musuh ketat, anak buah sebagai penderhaka, orang yang dibantu suatu ketika dahulu menaburkan fitnah dan pelbagai lagi. Ia juga mendatangkan perasaan ketakutan terhadap masa depannya dengan pelbagai ancaman seperti dibuang keja, penjara atau pelbagai tekanan yang akan dihadapi.

Hari ini syaitan bertepuk tangan. Ia telah berjaya menyelinap ke dalam hati umat Islam sehingga berjaya mengugat dan memecahkan keharmonian kasih sayang sesama mereka. Mereka yang dahulunya kelihatan kuat, hebat dalam berpidato, berkasih sayang dengan erat, tapi hanya kerana masalah khilafiah, ada yang berpecah-belah sehingga bermusuhan bagaikan orang jahil. Caci mencaci, fitnah memfitnah, pulau memulau mula berlaku. Sesungguhnya segala permusuhan mereka itu adalah di atas jalan syaitan dan nafsu, bahkan tidak dibenarkan oleh syara'. Paling menyedihkan, segala bangunan kebaikan yang mereka dirikan bersama dulu hancur begitu sahaja.

Ramai yang gugur tetapi bukannya gugur di medan jihad, tetapi gugur di lembah nafsu. Mereka semua terkena bom yang dilontarkan oleh syaitan. Keilmuan, keimanan dan kasih sayang mereka tidak begitu kebal untuk menjadi benteng dalam mempertahankan diri. Sekadar mengutuk dan memarahi syaitan sebagai penyebab adalah menutup kelemahan diri. Sebagai musuh, ia sudah menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan kepada kita, ia akan bersabar sehingga ketika menghadapi sakaratulmaut pun ia akan terus mengumpul bala tenteranya untuk merosakkan kita. Yang penting bagi kita ialah menyiapkan pertahanan agar serangan yang dilemparkan tidak memberi kesan. Memandang rendah pada keupayaan musuh biasanya membawa akibat buruk.

BICARA HIKMAH 2 : [3] Hati Tempat Pandangan Allah

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[3] Hati Tempat Pandangan Allah

Rasulullah SAW bersabda :

"Dalam diri anak Adam ada seketul daging, jika ia baik, baiklah seluruhnya dan jika ia jahat, jahatlah seluruh anggotanya, ketahuilah ia adalah hati."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Hati ibarat sumber segala sesuatu, kebaikkannya akan membawa kebaikan kepada segala yang dilakukannya, keburukannya memberi keburukan juga kepada apa yang dilakukan. Ia adalah tempat yang akan dinilai Allah SWT di sebalik amal-amal kebaikan atau keburukan seseorang hamba.

Allah mencintai hati yang bersih, hati yang sentiasa merendah diri, hati yang ikhlas, hati yang gementar, hati yang cinta, hati yang sentiasa mengharap keampunan dan pengharapan. Nilai manusia terletak pada apa yang dilakukannya tetapi nilai Allah terletak pada apa yang tersembunyi dalam hatinya.

Ada orang yang melakukan amal begitu hebat di sisi manusia. Ke mana sahaja ia pergi, nama dan amalnya atau kejayaannya sentiasa menjadi sebutan manusia. Tetapi di sisi Allah SWT, segalanya tiada nilai malah ia mungkin lebih hina dari binatang kerana tiada keikhlasan dalam amalnya. Ada manusia yang amalnya sedikit atau kecil, tiada manusia yang memandangnya tetapi nilainya tinggi di sisi Allah SWT disebabkan keikhlasannya.

Di akhirat nanti, seluruh manusia akan berhadap dengan ALLAH SWT sama ada ia ulama, para syahid, para hafiz, para ahli ibadah, para ahli dermawan dan sebagainya untuk diperiksa hati mereka. Demi Allah, amat jahil dan butalah seseorang itu jika ia menganggap persoalan hati adalah perkara kecil, sedangkan di akhirat nanti ia adalah perkara yang utama yang menjadi nilaian Allah SWT.

Imam Nawawi rahimahullah dalam menyusun hadis 40 telah meletakkan hadis yang berkaitan dengan niat sebagai hadis yang utama. Syirik atau menduakan Allah SWT dalam amal adalah melambangkan tiada adab ia dengan Allah SWT, melambangkan tiada bersih hatinya. Mereka tiada ilmu dalam perjalanan nafsunya amat mudah tertipu.

Ramai manusia yang beribadah tetapi ibadahnya itu menyebabkan ia jauh dari Tuhan apabila ibadahnya dimasuki penyakit 'ujub, takabur atau riak. Ramai yang menasihati manusia kepada kebaikan tetapi malangnya ia menjadi manusia yang amat dimurkai Tuhan kerana ia sendiri tidak melakukan apa yang dia cakapkan. Ramai orang yang diberi kekayaan dan menyangka ia adalah nikmat padahal ia adalah istidraj untuk memusnahkan dirinya apabila harta tadi melalaikan ia dengan Allah SWT. Banyaknya ibadah dan amal bukannya menjadi nilai lagi di sisi Allah, tetapi keikhlasan ukuran utamanya.

BICARA HIKMAH 2 : [2] Makrifatullah: Jalan Keselamatan Diri Dunia Akhirat

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[2]  Makrifatullah: Jalan Keselamatan Diri Dunia Akhirat

Firman Allah dalam surah az-Zumar ayat 9 :

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ

"Adakah sama seorang jahil dengan orang berilmu ?"

Menurut ahli tasawuf, berilmu yang dimaksudkan di sini ialah Ilmu Makrifatullah. Inilah ilmu yang paling utama dan penyelamat bagi manusia. Mengenal Allah secara ilmu zahiri adalah pengenalan awal kepada diriNya sedangkan pengenalan melalui cahaya hati adalah pengenalan yang hakiki.

Hati yang bersih akan tersingkap baginya pelbagai rahsia ketuhanan. Semakin ia bersih, semakin memancarlah makrifat pada hatinya. Hati yang memancar ini adalah hati yang melalui proses ilmu, ibadah dan mujahadah yang istiqamah. Mereka tersingkap kepadanya rahsia ihsan (sentiasa melihat Allah atau Allah melihatnya) imannya tidak perlu kepada dalil atau bukti untuk membuktikan wujud Tuhan. Ini kerana hatinya sentiasa melihat Allah di dalam pandangan dan pendengarannya di mana sahaja ia berada.

Firman Allah :

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ ۚ

"Di mana kamu menghadap di situlah wajah Allah SWT."  [Al-Baqarah: 115]

Hati yang bersih dari segala hijab keduniaan dan nafsu akan melihat dan merasai ayat-ayat Allah dengan pandangan hakikat. Inilah kasyaf yang hakiki di mana hatinya dapat menangkap rahsia ayat-ayat Allah dengan penglihatan yang haq.

Firman Allah :


" Sesungguhnya tidaklah menyentuh Al-Quran itu melainkan mereka yang suci..."

Ayat ini ditafsir oleh ulama tasawuf dengan maksud bahawa ayat-ayat Allah tidak akan berada dalam jiwa yang kotor. Bacaan mereka hanyalah di lidah, bukan di hati. Ilmu mereka hanyalah di akal tapi tidak di hati. Tanyalah diri sendiri, bagaimanakah perasaanmu bila membaca ayat :

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ ۚ

"Dan Dia (Allah) bersama kamu di mana kamu berada." [al-Hadid : 4]

Kalau hati kamu keras dan tidak merasa apa-apa, ayat di atas hanyalah sekadar suatu maklumat pada akalmu sahaja. Dan apabila hal keTuhanan berada pada akal, ia akan hilang apabila kamu berfikir pada perkara yang lain pula. Tetapi jika hatimu bersih, ayat ini dapat dirasai dan dilihat dengan pandangan cahaya hati sehingga merasai kebersamaan dengan Allah di mana sahaja berada.

Mereka yang mengingati Allah dalam penghayatan dan penglihatan akan merasai kelazatan iman dan makrifat yang tidak terhingga. Allah adalah kekasihnya dan ia meninggalkan apa jua yang boleh melalaikan ia dengan Allah. Allah adalah yang dirindui dan ia menjadi perindu. Allah menjadi pujaan dan ia sebagai pemuja.

Ssiapa yang mengenal Tuhan, ia akan mencintai Tuhan dan leburlah segala keindahan yang lain. Sesiapa yang mengenal Tuhan, tiadalah ia resah gelisah dengan apa jua yang menimpanya. Memancar pada hatinya sifat kecintaan, keyakinan, ketakwaan, kerinduan dan ia mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ini disebabkan hatinya sentiasa bercahaya dengan zikrullah dan Allah memberi pengakuan dengan firmanNya :

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ

"Dan ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadanya.."   [al-Baqarah: 152]

Apabila Allah mengingatinya, nescaya hatinya dipenuhi dengan cahaya kebenaran dan terhapuslah cahaya kebatilan yang datang dari syaitan.

Firman Allah :

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ

"Apabila datangnya kebenaran akan terhapuslah kebatilan.."  [al-Isra' : 81]

Ada juga yang mntafsirkan mengingati Allah dengan melakukan kebaikan sedangkan pentafsiran seperti ini adalah berbentuk umum dan tidak muafakat di kalangan 'mufassirin' yang muktabar, apatah lagi tafsiran yang dihurai oleh ulama-ulama tasawuf yang merupakan pakar dala bidang kejiwaan manusia.

BICARA HIKMAH 2 : [1] Tauhid Benteng Tipuan Duniawi


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Alhamdulillahirobbil alamin, washolatu wassalamu 'ala asrofil ambiya iwal mursalin wa'ala alihi wasohbihi aj ma'in. Amma ba'du

:: BICARA HIKMAH 2 ::

[1] Tauhid Benteng Tipuan Duniawi

Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ  فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

"Apakah kamu mengira mereka dijadikan hanya untuk bermain-main sahaja, dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tiada Tuhan selain Dia. Tuhan yang mempunyai 'Arasy yang mulia."
[Al-Mukminun: 115-116]

Demi Allah, manusia sentiasa diuji Allah SWT pada setiap saat selagi nafasnya berfungsi pada kehidupan ini. Tiadalah yang diuji melainkan akidah kita. Kalimah 'Laa ilaha illaLlah, Muhammadur RasuluLlah' yang diucapkan itu, apakah benar kita memahaminya dan menghayatinya.

Ramai manusia yang tertipu sehingga akidahnya tidak bersih. Ia melakukan dosa yang tidak akan diampuni Tuhan di akhirat iaitu syirik. Mereka tertipu dengan segala apa yang berlaku di hadapan mereka. Apabila mereka diberi harta, pangkat, kepandaian, pengikut, lantas mereka merasa mereka kuat, merasa mereka hebat sehingga lupa akan hakikat diri mereka yang lemah, jahil, buta dan tuli. Mereka menjadi syirik kerana pergantungan hati telah berpaling dari Allah SWT. Mereka tidak memerlukan Allah SWT lantaran merasai diri mereka kuat sedangkan apa yang mereka miliki adalah lemah dan rapuh.

Tauhid telah mengajar kepada kita bahawa makhluk tiada memberi bekas tetapi ramai yang tewas dengan ujian tauhid. Mereka merasa mereka kuat apabila memiliki kuasa, kekayaan dan sebagainya, sedangkan ia adalah makhluk yang lemah yang tiada boleh memberi apa-apa manfaat. Tetapi manusia memujanya, menjadikannya bagaikan berhala yang boleh memberi kebahagiaan dan kesengsaraan sehingga (tanpa sedar) mensyirikkan Allah SWT dalam sifat kekuasaanNya.

Mereka beriman kepada Allah tetapi mensyirikkan Allah dalam sifat keTuhananNya. Mereka telah tewas dalam ujian Allah, mereka tewas dalam ujian akidah. Kalimah tauhid yang diucapkannya adalah batil kerana dalam hatinya mengakui adanya kuasa-kuasa yang lain boleh memberi kebahagiaan dan kesengsaraan kepadanya.

Umat Islam telah terpedaya dengan konsep hidup Barat yang tidak bertuhan. Mereka menjadikan ciptaan manusia sebagai kuasa kebahagiaan hidup manusia. Islam tidak pernah meletakkan kejayaan dan kebahagiaan manusia pada pangkat atau harta. Islam meletakkan kemuliaan seorang insan di atas kekuatan pegangannya  kepada Allah SWT, kekuatan takwanya. Seorang yang memiliki Allah SWT tidak akan merasai atau bergantung pada kekuatan-kekuatan yang lain. Allah SWT sumber kekuatan, kebahagiaan, kekayaan, kesempurnaan.

Barangsiapa yang mengatakan dengan wang dan kuasa ia senang dan kuat, malah ia boleh melakukan apa sahaja, ia menjadi syirik kepada Allah SWT. Allah SWT menyuruh Nabi Musa menyeru Firaun supaya mengakui keTuhanan Allah dan menafikan ketuhanan dirinya. Firaun menjadi sesat kerana merasa kuat dengan pangkat, kekayaan dan pengikut yang ramai. Allah SWT menempelak Firaun dengan menenggelamkannya di dasar laut iaitu tempat yang paling rendah di bumi, tempat yang tiada didiami oleh manusia melainkan ikan-ikan dan tumbuhan.

Allah SWT menempelak Namud yang merasa dirinya Tuhan lantaran tertipu dengan pangkat, harta, tentera yang ramai, di mana Namrud mati dengan hanya seekor nyamuk yang masuk ke dalam otaknya. Allah SWT menghukum Kamal Artartuk yang angkuh dengan memberi penyakit yang aneh yang tidak boleh diubati walaupun di sekelilingnya terdapat pakar-pakar dalam bidang perubatan. Allah SWT menempelak mereka seolah-olah mengatakan 'Di manakah Tuhan-tuhan yang kamu sembah dan puja yang kamu merasa diri kamu kuat sehingga menolak Aku?'. Allah SWT telah mentajallikan sifat kekuasaan-Nya mengatasi segala kuasa yang ada pada manusia.

Firman Allah SWT :

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

" Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
[Al-An'am: 17]

Berhati-hatilah dengan ujian Allah SWT dan jangan kita tertipu. Fahamilah bahawa dirimu dan segala apa yang berada di hadapanmu adalah lemah. Jika kamu sombong dengan apa yang dimiliki, kamu sudah tertipu dan bahayanya kamu boleh terjerumus ke lembah kesyirikan. Kenalilah Tuhan dengan pengenalan yang haq agar kamu tidak berhajat kepada sesuatu yang lain dalam kehidupan ini. Semoga Allah SWT menyelamatkan diri kita dari segala kejahilan dan kesyirikan..

Laa haula wala quwwata illa billahil'azim.

Selasa, September 18

Bisikan Sirr 32 - 33

[32]  ✿ܓ♥ DUA WAJAH, SATU HAKIKAT

Berbahagialah umat ini yang menyatukan cinta ar-Rahman dan ar-Rahim. Cinta ar-Rahman membawa kejayaan dunia, cinta ar-Rahim membawa kejayaan akhirat. Sesungguhnya tiada pemisahan antara dua wajah ini; dunia dan akhirat. Ia hanya satu dalam pandangan para memilik cahaya hati. Keduanya adalah tajalli (manifestasi) dari nama-Nya yang Maha Agung. Maka mencintai dunia dan akhirat adalah wajib, namun yang dilarang mencintai dunia dan akhirat dengan tiada melihat a-Rahman dan ar-Rahim di sebaliknya.

وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ

"....dan siapa yang menghendaki balasan dunia itu, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan siapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur."  [Ali-'Imran: 145]

[33]  ✿ܓ♥ NABI MUHAMMAD SUMBER KERAHMATAN

Kita dikelilingi oleh cinta ALLAH yang memancarkan dua nama-Nya bagi segala kejadian, iaitu ar-Rahman dan ar-Rahim. Maka dua nama tersebut memancarkan keni'matan dan kerahmatan. Namun hendaklah kita fahami bahawa punca bagi segala pancaran kerahmatan bagi sekalian alam adalah kewujudan Rasulullah.

مَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

" Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."  [Al-Anbiyaa': 107]

Ramai Mufassirin (Ahli Tafsir) mentafsirkan kalimah "ka" pada ayat tersebut tiadalah dinisbahkan kepada risalah yang dibawa semata-mata, tetapi "ka" itu adalah diri Nabi. Kewujudannya di alam ruh lagi sudah memberi kerahmatan sebagai Habibullah. Manakala kewujudan kita datang dari kerahmatan ALLAH yang dipancarkan melalui kewujudan Rasulullah.

Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-Nya sentiasa berslawat kepada Baginda dari alam ruh, zahir ke dunia sehingga ke alam akhirat. Justeru itu diperintahkan bagi sekalian mukmin berselawat ke atas Baginda sebagai tanda cinta dan syukur. Maka ALLAH amat mencintai kekasihnya Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Dia menyatukan nama-Nya dan nama Nabi-Nya di langit dan di bumi. Bahkan, Nabi Adam memohon keampunan pada ALLAH dengan bertawasul pada kekasih-Nya Muhammad.

Muhammad adalah makhluk-Nya tetapi martabatnya bukan seperti makhluk-Nya yang lain. Cinta-Nya bagaikan menyatukan Ia dengan Nabi, padahal Maha Suci Ia daripada bersatu. Namun ar-Rahman mengatakan:

" Barangsiapa mencintai kekasih-Nya Muhammad, adalah mencintai-Nya, barangsiapa yang menentang Baginda, adalah menentang-Nya. Sesiapa yang mencintai-Nya  tanpa mencintai Rasulullah , cintanya tiada akan diterima walaupun air mata rindu mengalir menjadi lautan sekalipun."

Bisikan Sirr 28-31

[28] ✿ܓ♥ CINTA AR-RAHMAN BAGAIKAN BUTA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Ar-Rahman dikurniakan kepada seLuruh makhluk-Nya walaupun yang derhaka, angkuh, sombong, berburuksangka, mencela dan lainnya. Cinta Ar-Rahman bagaikan buta kerana ia akan memberi dan tetap memberi walau bagaimana sekalipun keadaan hamba-Nya. Kerana Ar-Rahman, seluruh makhluk-Nya dapat bernafas udara-Nya, menikmati makanan, minuman, merasai kepanasan matahari, menikmati deruan ombak di pantai. Ia mencipta neraka atas sifat ar-Rahman-Nya untuk memberi keadilan kepada makhluk-Nya yang dizalimi, walaupun yang dizalimi itu tidak beriman pada-Nya atau yang dizalimi itu hanya seekor binatang.

Dia mahu makhluk hidup cinta-mencintai dan hormat-menghormati sebagaimana sifat-Nya, namun hukuman untuk pengajaran tetap diberi kepada hamba yang tidak hidup berdasarkan ruh ar-Rahman. Berlakunya pembunuhan, penipuan, fitnah, merampas hak orang lain dan sebagainya disebabkan terbunuhnya cinta di dalam hati. Dicipta neraka itu bagi mereka yang tiada cinta di dalam hati. Apinya akan membakar sifat tamak, benci, dendam, angkuh, lidah fitnah dan tangan yang membunuh.

Sifat ar-Rahman adalah sifat-Nya, sesiapa di kalangan hamba-Nya yang memakai sifat-Nya, neraka tiadalah dapat membakarnya. Cinta dapat menghilangkan kepanasan api seperti keadaan Nabi ALLAH Ibrahim 'aLaihis saLam yang dilontar ke dalam api. Cinta Nabi Ibrahim a.s kepada Tuhannya melenyapkan kepanasannya, hanya wajah api sahaja kelihatan namun sifat api lenyap di dalam ar-Rahman.

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ

Kami berfiman: "Hai api, Jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim !"
(Al-Anbiyaa': 69)

[29]  ✿ܓ♥ SUKARNYA KE NERAKA, JALAN KE SYURGA LUAS TERBENTANG

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Dengan sifat ar-Rahman pada makhluk-Nya, maka ALLAH bersifat adil, diwujudkan hari pembalasan untuk segala amal perbuatan hamba di dunia ini. Neraka diwujudkan agar hamba-Nya yang lemah, yang dianiaya, dirampas, dizalimi mendapat pembelaan.

Sifat ar-Rahim-Nya berkehendak agar tiada seorang pun hamba-Nya menghuni neraka. Sifat ini dizahirkan pada jiwa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dan para Nabi sebelumnya.

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu sorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."  [At-Taubah: 128]

Lantaran cinta yang mendalam, maka kerahmatan dan keampunan lebih luas dari kemurkaan-Nya. Jika dilihat ibadah hamba-Nya, tiada mampu untuk hamba itu ke Syurga, maka di datangkan-Nya musibah agar mereka sabar dan redha tanpa merungut. Dengan sifat itu membawa mereka ke Syurga.

Ar-Rahman dan ar-RahimNya sentiasa memberi peluang yang luas untuk hamba mendapat keampunan-Nya walaupun dipenuhi lautan dosa. Ar-Rahim ALLAH lebih terserlah di akhirat dengan menzahirkan ar-Rahim pada jiwa Nabi, membantu hamba-Nya yang kesalahannya melebihi kebaikan dengan syafaat kubra. Sifat ar-RahimNya juga memberi kuasa syafaat kepada golongan para syuhada', auliya', solehin, ayah dan ibu pada keluarganya.

Begitu juga kuasa syafaat suami bagi isteri, isteri bagi suaminya, anak pada ibu bapanya dan guru pada muridnya. Ada pun mereka yang syirik, ia di bawah urusan ALLAH. Namun yakinlah bahawa sifat ar-RahimNya akan membawa kepada keampunan kecuali mereka yang terlalu melampaui batas.

Kesalahan dengan manusia adalah halangan yang besar untuk ke Syurga kerana manusia tidak memiliki  sifat ar-Rahim yang tinggi, sedangkan sifat ar-Rahim ALLAH memberi keadilan dengan memberi hak kepada mereka untuk memaafkan atau tidak. Namun sifat ar-Rahim pada diri Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam akan membawa Baginda mengadakan rundingan dengan umat yang tidak mahu memaafkan, dengan pelbagai tawaran sehingga berlakunya kemaafan di kalangan mereka.


[30] ✿ܓ♥ UBUDIYYAH KERANA MEMBALAS CINTA ALLAH

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Para hamba yang sebenar memahami sifat ar-Rahman dan ar-Rahim ALLAH. Mereka tidak mahu membicarakan perihal sama ada ibadah membawa ke Syurga atau dosa menuju ke Neraka. Cinta ALLAH meliputi diri mereka sehingga pintu kerahmatan terbuka luas mendahului kemurkaan-Nya. Apa yang mahu dilakukan ialah membalas cinta ALLAH dengan mensyukuri ni'mat cinta-Nya dengan sepenuh jiwa dan raganya. Dia menjadikan kehidupannya untuk membalas cinta kekasihnya.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

" Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam."
[Al-An'am: 162]

Ibadah adalah kerangka, ruhnya adalah ikhlas. ruh ikhlas adalah cinta, ruh cinta adalah muwahid, ruh muwahid adalah tiada terpandang dalam syuhudiah (mata hati) pada yang lain melainkan wujud kekasihnya. Keasyikan cinta menyebabkan ia mabuk sehingga tiada melihat wujud lain malah wujud Diri-Nya sendiri.

Dia tidak lagi mempedulikan kepada sesiapa, matlamatnya hanyalah kepada kekasihnya. Tidak dibenarkan ada yang lain dalam ibadahnya, bahkan ibadahnya dipandang sebagai pemberian kekasihnya. Mereka tiada lagi mujahadah, kerana ubudiyah mereka adalah disebabkan pancaran cinta. Semakin dalam cinta mereka, semakin kuat ingatan kepada-Nya sehingga terasa sentiasa melihat-Nya atau dilihat-Nya (iman ihsan).

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:
"Ihsan itu ialah kamu beribadah kepada ALLAH bagaikan kamu melihat-Nya, jika tiada melihat-Nya, hendaklah kamu merasa dilihat oleh-Nya."    [Bukhari dan Muslim]

[31] ✿ܓ♥  CAHAYAKAN DIRIMU DENGAN NUR AR-RAHMAN

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Pandanglah alam dan sekalian makhluk dengan pandangan ar-Rahman. Pandanglah dengan cahaya ar-Rahman kepada mereka yang belum ada cahaya iman. Dekatilah mereka dengan penuh hikmah, munajat dengan ikhlas agar ALLAH melimpahkan hidayah kepada mereka.

Kita adalah penerus a-Rahim Nabi. Baginda tidak mahu seorang insan pun berpaling daripada cahaya kerahmatan-Nya. Pandanglah dengan ar-Rahim bagi  sekalian mukmin. Mudahkan urusan, berlemah lembut, merendah diri, membantu bila diperlukan, bersangka baik, menutup keaiban atau  memaafkan kesalahan mereka.

Begitulah adab di dalam pergaulan sesama mukmin tanpa mengira bangsa, pangkat, darjat dan keturunan. Sesungguhnya ar-Rahim menghapuskan permusuhan dan mewujudkan kasih sayang.

أَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوءًا بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابَ مِن بَعْدِهِ وَأَصْلَحَ فَأَنَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"....bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian dia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."  [Al-An'am: 54]

Bisikan Sirr 24 - 27

[24]  ✿ܓ♥ TAUHID TASAWWUF

Tauhid tasawwuf ialah iman zauqi (rasa). Ia diperolehi natijah dari ibadah, mujahadah dan adabiah. Dai iman iLmu kepada iman yang merasai hakikat keTuhanan dan sifat-sifat-Nya, sehingga si hamba merasa gerun dan malu kepada-Nya. Maka lahirlah sifat mahmudah kerana sifat mazmumah sudah terpendam, lahirlah hikmah kerana terbuka pintu laduni.

Tauhid tasawwuf membawa seseorang itu ke lautan redha, ke gunung sabar, ke langit tawakkal, ke bintang hikmah dan ke matahari makrifat. Milikilah emas di dalam dirimu, nescaya engkau akan memiliki kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

" Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali ALLAH (para kekasih ALLAH itu), tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.  [Yunus:  62]

[25]  ✿ܓ♥  YAKINI HIKMAH TAKDIRNYA

Jangan kamu menentang takdir ALLAH, ia adalah keputusan-Nya yang agung, tiada siapa yang boleh menahan atau membantah. Turun dan naiknya nafasmu itu adalah takdir ALLAH, kamu akan binasa jika menahannya. Terimalah takdir-Nya dengan keredhaan walaupun kamu buta untuk memahami kebaikannya. Ingatlah bahawa Dia tidak akan menzalimimu walau satu zarah sekalipun, tetapi engkau sebenarnya yang menzalimi dirimu andai engkau berpaling dari peraturan-Nya. Perbanyakkanlah wirid untuk memahami rahsia-nya. Hanya kekasih yang memahami bahasa kekasihnya.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27 ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (28)  فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي

"Wahai orang-orang yang memiliki nafsu mutmainnah (jiwa tenang). Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu redha dan diredhai-Nya. Masuklah dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!"   [Al-Fajr: 27-30]

[26] ✿ܓ♥ CAHAYA CINTA AR-RAHMAN

Pertamaku ungkapkan, 'Cinta ALLAH tiada perlu dicari kerana cinta ALLAH sudah ada pada dirimu'. Bermula segala penciptaan-Nya dengan Kalimah cinta 'Bismillahirrahmanirrahim', segala sifat-Nya takluk pada sifat ar-Rahman, ar-Rahim. Bagaikan sang ibu, apa sahaja perbuatannya dan perancangan pada anaknya, ia berpunca dari cinta. Cinta yang menggerakkan segalanya.

Perhatikan di sekelilingmu. Matahari, bulan, bintang, angin, udara, lautan, tumbuhan, ikan, bintang dan lainnya, tidaklah semua itu diciptakan melainkan untuk kita. Tidakkah alam ini bukti cinta? Lihatlah pada diri, mata, telinga, akal, nafas dan lainnya, adakah ia wujud di atas pilihanmu atau Tuhanmu? Segalanya diciptakan dari Kalimah cinta. Degupan jantung, kerdipan mata, pergerakan sel, darah, nafas dan lainnya, semuanya bergerak bukan dengan kudratmu tetapi ia adalah kudrat dari nyanyian cinta ar-Rahman. Bahkan seluruh alam ini bertasbih dengan nama ar-Rahman !

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

"Telah bertasbih kepada ALLAH apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."  [As-Saff: 1]

[27]  ✿ܓ♥ DIRIMU TIADA TERPISAH DENGAN CINTA AR-RAHMAN

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

ALLAH menciptakan alam dengan ar-Rahman, mentadbir alam dengan ar-Rahman. Seluruh alam ini diliputi dengan sifat ar-Rahman-Nya. Hiduplah segala makhluk-Nya sama ada manusia (yang beriman atau tidak beriman), jin, haiwan, tumbuhan dan lainnya, semuanya di atas cinta ar-Rahman. Berkata Bediuzzaman Said Nursi: "Tiada bergerak segala zarah di alam ini melainkan di atas nama Bismillahirrahmanirrahim...."

Justeru itu, cinta ALLAH tiada perlu dicari, kerana cinta-Nya sudah ada pada kita bermula ketika iradah-Nya mahu menjadikan kita lagi.

فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

"....ALLAH mencintai mereka dan mereka mencintai ALLAH...."    [Al-Maidah: 54]

Bisikan Sirr 20-23

[20]  ✿ܓ♥  NAFAS ITU KEHIDUPAN

Nafas adalah modal untuk perniagaan kamu di dunia. Jika kamu pandai mengendalikannya, kamu akan mendapat laba (keuntungan di akhirat). Jika kamu tidak menghagainya, kamu akan menangis dengan penyesalan yang amat sangat di akhirat nanti.

Kehidupan hanya di antara naik dan turun nafasmu. Jika ia naik tanpa turun atau turun tanpa naik, kamu akan mati. Hargailah nafas yang masih berhubung dengan jasadmu dengan tidak lupa pada-Nya walau setiap detik. Berniagalah ke jalan ALLAH, kamu tidak akan mengalami kerugian.

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

" Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya? dan ia Maha Kuasa (Membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)."   [Al-Mulk:  2]


[21]  ✿ܓ♥ AGAMA PEDOMAN HIDUP

Mempelajari agama bukanlah mempelajari akhirat semata-mata. Mempelajari agama adalah mempelajari pengurusan kehidupan supaya memiliki kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Agama datang mengajar pengurusan diri, keluarga, masyarakat dan negara berdasarkan wahyu ALLAH, bukannya pengurusan yang berdasarkan nafsu dan aqal.

Agama datang bukannya menyuruh meninggalkan dunia tetapi menguruskan dunia dengan pengurusan yang betul dan baik. Mengabaikan agama adalah suatu kebodohan dan penderitaan, pengurusan kehidupannya menuju ke martabat haiwan dan syaitan yang menyesatkan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

" Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (seluruhnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."   [Al-Baqarah: 208]

[22]  ✿ܓ♥  KEJAYAAN HAKIKI

Barat mengajak manusia kepada kejayaan dunia smata-mata. Sedangkan Nabi menyeru manusia kepada kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan hakiki ialah kejayaan yang mendapat barakah, mereka diberi prtolongan oleh ALLAH di dunia dan akhirat. Jangan memisahkan dunia dan akhirat krana sgala prbuatan dunia walau satu zarah sekalipun akan membawa kesan di akhirat. Pandai-pandailah mengendalikan pelayaran kehidupan ini, jangan sampai tenggelam atau tersasar ke pulau yang lain.

وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

" Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan semata-mata; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini)."   [Al-Ankabut: 64]

[23]  ✿ܓ♥ PILIHAN ITU DI TANGANMU

Untuk mencipta kehidupan sama ada bahagia atau derita, ia terletak di tanganmu, ia adalah pilihanmu. Jika kamu mahu kebahagiaan, sucikan dirimu dari sifat mazmumah. Jika kamu mahu derita, ikutlah nafsu mazmumahmu dan jangan membuangnya. Penderitaan dan kebahagiaan bukannya tletak pada luaran, tetapi ia di dalam dirimu sendiri. Neraka kehidupan itu ialah apabila hatimu buta dengan ALLAH, sedang Syurga kehidupan itu ialah apabila hatimu terpancar padanya cahaya makrifat.

وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا

" Dan sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya."   [Al-Israa':  72]

Isnin, September 10

Sebahagian Perkataan Imam Ahmad bin Hanbal r.a.

Bismillahirrahmanirrahim

Tafwidh Ma’na bagi Nas-nas Mutasyabihat



Imam Ahmad bin Hanbal r.a. mengikut manhaj majoriti Salaf yang menyerahkan makna bagi nas-nas mutasyabihat kepada Allah s.w.t. tanpa memahaminya dengan makna zahir atau dengan maknanya dari sudut bahasa.



Imam Ibn Qudamah meriwayatkan juga perkataan Imam Ahmad bin Hanbal r.a. yang berkata:



نؤمن بها ونصدق بها لا كيف ولا  معنى،



Maksudnya: “Kita beriman dengannya (ayat nuzul dan sebagainya) dan membenarkannya tanpa kaif dan tanpa makna...” [Lam’atul I’tiqad m/s 9]



Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjadikan perkataan ini sebagai dalil Tafwidh para ulama’ salaf dalam buku beliau Fusulun Fi Al-Aqidah (m/s: 68). Tafwidh bererti, menyerahkan makna sebenar bagi sesuatu lafaz kepada Allah s.w.t., kerana sesuatu lafaz tersebut tidak difahami dengan maknanya dari sudut bahasa.



Mengingkari Fahaman Tajsim



Imam Al-Baihaqi (ulama’ hadith yang agung) meriwayatkan (daripada perkataan Abu Al-Fadhl At-Tamimi):



وأنكر على من يقول بالجسم وقال إن الأسماء مأخوذة بالشريعة واللغة وأهل اللغة وضعوا هذا الاسم على كل ذي طول وعرض وسمك وتركيب وصورة وتأليف والله تعالى خارج عن ذلك كله فلم يجز أن يسمى جسما لخروجه عن معنى الجسمية ولم يجىء في الشريعة ذلك فبطل



Maksudnya: “Beliau (Imam Ahmad bin Hanbal) mengingkari mereka yang menyifatkan Tuhan dengan kejisiman. Beliau (Imam Ahmad) berkata: Sesungguhnya, nama-nama diambil daripada syariat dan bahasa. Adapun ahli bahasa (Arab) meletakkan nama tersebut -jisim- dengan maksud, sesuatu yang ada ukuran ketinggian, ukuran lebar, tersusun dengan beberapa anggota, mempunyai bentuk dan sebagainya, sedangkan Allah s.w.t. di luar daripada yang demikian (tidak mempunyai cantuman, anggota dan sebagainya) Maka, tidak boleh dinamai sebagai Jisim kerana Allah s.w.t. di luar makna kejisiman (tidak beranggota, tiada ukuran, tiada bentuk dan sebagainya) dan syariat tidak menyebutnya maka batallah (fahaman Tajsim atau Allah berjisim).”  [Manaqib Imam Ahmad oleh Imam Al-Baihaqi dan rujuk juga I’tiqad Al-Imam Al-Mubajjal Ibn Hanbal 294-295, dan lafaz daripada buku ini]



Berdasarkan perkataan Imam Abu Al-Fadhl At-Tamimi ini, Imam Ahmad r.a. menafikan bagi Allah s.w.t. sebarang makna-makna yang membawa kepada kelaziman-kelaziman jisim seperti berganggota, berukuran, mempunyai bentuk dan sebagainya.



Imam Ahmad bukan sekadar menolak fahaman Tajsim, tetapi diriwayatkan juga bahawasanya beliau mengkafirkan mereka yang berfahaman tajsim.



Imam Ibn Hamdan meriwayatkan dalam buku Nihayah Al-Mubtadi’in m/s 30 daripada Imam Ahmad r.a. bahawasanya beliau mengkafirkan mereka yang berkata tentang kejisiman Allah walaupun bukan seperti jisim-jisim lain. Ia diriwayatkan juga dalam Tasynif Al-Masami’e (m/s 346).



Imam Ibn Hajar Al-Haithami juga berkata:



واعلم أن القَرَافي وغيره حكوا عن الشافعي ومالك وأحمد وأبي حنيفة رضي الله عنهم القول بكفر القائلين بالجهة والتجسيم، وهم حقيقون بذلك



Maksudnya: “Ketahuilah bahawasanya Imam Al-Qarafi dan sebagainya meriwayatkan daripada Imam As-Syafi'e, Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah r.a. bahawasanya mereka berpegang dengan pendapat tentang mengkafirkan orang-orang yang menetapkan tempat dan kejisiman bagi Allah s.w.t.. Mereka benar dalam pegangan tersebut”. [Al-Minhaj Al-Qowim m/s: 224]



Menafikan Batasan (Had) bagi Zat dan Sifat-sifat Allah s.w.t.



Imam Ahmad bin Hanbal r.a. juga berkata:



إذا كانت بأسانيد صحاح ولا يوصف الله بأكثر مما وصف به نفسه بلا حد ولا غاية



Maksudnya: “Jika riwayat-riwayat (mutasyabihat) dengan sanad yang sahih, maka kita tidak menyifati Allah lebih daripada apa yang Allah s.w.t. sifatkan tentang diriNya tanpa had dan tanpa batas…” [Syi’ab Al-Iman 1/105]



Ta’wil Mutasyabihat



Manhaj Ta’wil adalah memalingkan sesuatu lafaz daripada maknanya yang asal dari sudut bahasa samada memberi makna lain selain dari makna zahir bagi sesuatu nas ataupun tidak. Ini kerana, konteks sesuatu perkataan dalam bahasa Arab boleh difahami samada secara zahir atau kiasan. Ia berdasarkan petunjuk dalam ayat tersebut. Jadi, para ahli bahasa menegaskan bahawasanya, jika ada halangan atau petunjuk untuk memahami sesuatu perkataan dalam bahasa Arab secara zahir, maka boleh difahami dengan makna kiasan. Makna kiasan atau makna lain inilah difahami sebagai Makna Ta’wil.



Imam Ahmad r.a. selalunya menta’wilkan nas-nas mutasyabihat tetapi tidak memberi makna lain lalu manhaj ini dikenali sebagai Tafwidh Ma’na. Namun, kadang-kala juga, beliau memberi ta’wilan bagi nas-nas mutasyabihat yang mana secara jelas dapat difahami dengan konteks keseluruhan ayat tersebut.



Misalnya, diriwayatkan oleh Al-Hafiz Imam Al-Baihaqi r.a. dalam Manaqib Imam Ahmad, daripada Al-Hakim (empunya kitab Al-Mustadrak), daripada Abu Amr As-Sammak daripada Hanbal (bin Ishaq bin Hanbal, anak saudara Imam Ahmad):



Bahawasanya Imam Ahmad r.a. menta’wilkan firman Allah: “Telah datang Tuhanmu…” dengan maksud: “Telah datang pahalaNya”. [Manaqib Ahmad bin Hanbal dan rujuk juga Al-Bidayah wa An-Nihayah 10/327]



Tawassul dengan Rasulullah s.a.w..



Sheikh Ibn Taimiyyah berkata dalam fatwanya:



“Imam Ahmad berkata dalam Mansaknya yang ditulis kepada temannya Imam Al-Maruzi bahawasanya beliau (Imam Ahmad) bertawassul dengan (kedudukan) Nabi s.a.w. dalam doanya” [rujuk fatwa beliau 1/140 dan juga dalam Al-Insaf  fi Ma`rifat Al-Rajih min Al-Khilaf `ala mazhab al-Imam al-Mubajjal Ahmad ibn Hanbal oleh Ala' al-Din al-Mardawi 3:456]



Sememangnya terkenal di mana Imam Ahmad r.a. membenarkan tawassul kepada Rasulullah s.a.w. secara khusus, berdasarkan dalil yang beliau sendiri riwayatkan dalam Musnad-nya tentang Saidina Uthman bin Hunaif r.a..  [rujuk Fusulun Fi Al-Aqidah oleh Dr. Al-Qaradhawi m/s: 261]



Tabarruk



Abdullah bin Ahmad bin Hanbal bertanya kepada ayahnya tentang seorang lelaki yang mengusap kubur Nabi s.a.w. dan mimbar, lalu Imam Ahmad menjawab: “Tidak mengapa begitu”. [Iqthida’ As-Sirat Al-Mustaqim m/s 401]



Dinukilkan jug oleh Ibnu Jamaah (as-Syafi’i) bahawasanya: “Abdullah bin Ahmad bin Hambal pernah menceritakan perihal ayahnya. Ia (Abdullah) meriwayatkan: Aku pernah bertanya kepada ayahku tentang seseorang yang menyentuh mimbar Rasul dan bertabarruk dengan mengusap-usap juga menciumnya. Dan melakukan kuburan sebagaimana hal tadi (mengusap dan mencium) dengan tujuan mengharap pahala Allah. Beliau menjawab: “Tidak mengapa” [Wafa’ al-Wafa’: 4/1414].



Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata lagi: “Saya melihat ayahndaku (Imam Ahmad) mengambil rambut Rasulullah s.a.w. lalu meletakkannya di mulutnya lalu menciumnya” [Siyar A’laam An-Nubala’ 11/212]



Mencium Maqam Nabi s.a.w.



Imam Al-Hafiz Al-‘Iraqi meriwayatkan:



أخبرني أبو سعيد العلاني قال: رأيت في كلام ولد أحمد بن حنبل في جزء قديم أن الإمام أحمد سئل عن تقبيل قبر النبي صلى الله عليه وسلم وتقبيل غيره، فقال: لا بأس بذلك



Maksudnya: “Abu Sa’id Al-‘Allani memberitahuku bahawasanya: “Aku melihat dalam perkataan anak Imam Ahmad bin Hanbal dalam Juz’ Qadim (risalah ringkas yang lama) bahawasanya Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya tentang mencium kubur Nabi s.a.w. dan mencium selainnya (selain maqam Nabi s.a.w.) lalu beliau menjawab: “Tidak mengapa demikian”. [Ar-Rad Al-Muhkam Al-Matin oleh Al-Ghumari m/s 273]



Dinukilkan juga oleh Sheikh Al-Imam Ahmad bin Muhammad al-Maqri  dalam kitab Fathu al-Muta’al bi Shifat an-Ni’al:



“Dinukilkan daripada Waliyuddin al-Iraqi yang menyatakan: al-Hafiz Abu Sa’id bin al-‘Ala menyatakan: Aku melihat ungkapan Ahmad bin Hambal pada cetakan/bagian lama (juz’ qodim) dimana terdapat tulisan tangan Khath bin Nashir dan dari beberapa al-Hafiz lainnya yang menyatakan bahawasanya: “Sesungguhnya Imam Ahmad (bin Hambal) pernah ditanya tentang mencium kubur Nabi dan mencium mimbarnya. Lantas beliau berfatwa: “Hal itu tidak mengapa”.



Ia (al-Hafiz Abu Sa’id bin al-‘Ala) berkata: “Lantas kutunjukkan hal itu kepada at-Taqi Ibnu Taimiyah kemudian dia terkejut dengan hal itu dengan menyatakan: “Aku hairan dengan (Imam) Ahmad yang sangat mulia disisiku, begini ungkapannya atau kandungan ungkapannya”.



Lantas (al-Hafidz Abu Sa’id bin al-‘Ala) berkata lagi: “Adakah ia hal itu menghairankan sedangkan kita telah mengisahkan berkaitan dengan Ahmad bahawa ia telah mencuci baju As-Syafi’ie (Ibn Idris) dan lantas meminum air bekas cucian tadi” [Lihat: Manaqib Ahmad karya Ibnu Jauzi m/s: 609, dan Al-Bidayah wa an-Nihayah 1/365 pada kejadian tahun 241 H].



Ia menguatkan lagi riwayat Abdullah bin Ahmad bin Hanbal sebelum ini yang menunjukkan pendirian Imam Ahmad yang membenarkan tabarruk khususnya dengan kesan-kesan peninggalan Rasulullah s.a.w..



Sufi dan Tasawwuf



Sheikh Ibn Taimiyyah menyebut dalam risalah berjudul As-Sufiyyah wa Al-Fuqara’ pada awal perbahasan beliau:



وقد نقل التكلم به من غير واحد من الأئمة والشيوخ كالإمام أحمد وأبي سليمان الداراني وغيرهما



Maksudnya: “Telah diriwayatkan daripada bukan seorang dari kalangan para imam dan syuyukh yang berbicara dengannya (lafaz Sufi dan Tasawwuf) termasuklah seperti Imam Ahmad, Abu Sulaiman Ad-Darani dan selain mereka”. [As-Sufiyyah wa Al-Fuqara’: 1]



Ibrahim bin Abdillah Al-Qalanasi meriwayatkan bahawasanya Imam Ahmad berkata tentang golongan sufi:



لا أعلم قوماً أفضل منهم.



Maksudnya: “Aku tidak dapati suatu golongan pun yang lebih baik daripada mereka”.



Lalu dikatakan kepadanya: “Tapi, mereka mendengar (qasidah-qasidah) dan saling tawajud (bergerak-gerak dalam menghayati qasidah)”.



Lalu Imam Ahmad berkata:



دعوهم يفرحوا مع الله ساعة



Maksudnya: “Biarkanlah mereka bergembira bersama Allah s.w.t. seketika itu (menghayati qasidah)”. [Ghiza’ Al-Albab: 1/120, Matba’ah An-Najah tahun 1906]



Imam Ahmad .r.a menasihati anaknya Abdullah dengan berkata:



Wahai anakku, hendaklah kamu duduk dengan ahli tasawwuf, kerana mereka ibarat sumber ilmu dan mereka sentiasa mengingati Allah dalam hati mereka. [Tanwir Al-Qulub: 405]



Pujuan Terhadap Sebahagian Ulama’ Sufi di Zaman Beliau



Imam Ahmad pernah ditanya tentang seorang sufi bernama Bisyr bin Al-Harith (w: 227) lalu beliau menjawab:



))هو رابع سبعة من الأبدال((



Maksudnya: “Dia adalah keempat daripada tujuh Abdal”



[Tarikh Baghdad oleh Al-Khatib Al-Baghdadi 7/72]



Suatu ketika, anak Imam Ahmad bernama Abdullah bertanya kepada Imam Ahmad tentang Ma’ruf Al-Karkhi, seorang ulama’ sufi. Beliau bertanya:



“Adakah Ma’ruf itu orang yang mempunyai ilmu?”



Lalu, Imam Ahmad menjawab:



كان معه رأس العلم وهو خشية الله



Maksudnya:



“Beliau mempunyai ketua bagi segala ilmu iaitulah takut kepada Allah” [Tarikh Baghdad 13/201]



Imam Ahmad juga sangat menghormati seorang sufi bernama Abu Ishaq An-Naisaburi. Beliau berkata sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Az-Zahabi



إن كان ببغداد أحد من الأبدال، فأبو اسحاق النيسبوري



Maksudnya:



“Jika di Baghdad ini ada seorang (wali) Abdal, maka sudah tentu dia ialah Abu Ishaq An-Naisaburi” [Siyar A’lam An-Nubala’ pada terjemah no 2228]



Mendengar Qasidah Sufi dan Bertawajud (Penghayatan kepada qasidah-qasidah Sufi)



Imam Al-Khalfani bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal r.a.: “Apakah pendapat kamu tentang qasidah-qasidah (kesufian) iaitu lagu-lagu (sama’) yang didengari oleh kaum sufi lalu mereka bertawajjud (mendapat penghayatan) dengannya?” Imam Ahmad bertanya: “Contohnya?” Maka Imam Al-Khalfani berkata:



إذا ما قال لي ربي *** أما استحييت تعصيني‏

وتخفي الذين من غيري *** وبالعصيان تأتيني‏



Maksudnya:



“Jika Tuhanku berkata (firman) kepadaku,

Tidakkah dikau malu tika menderhakaiKu?

Sedang engkau sembunyikan (maksiat) dari mereka (manusia) selainKu,

Dan dengan kederhakaan itu  yang engkau datang kepadaKu?”



Maka Imam Ahmad menutup pintu lalu mengulangi nasyid tersebut beberapa kali (dalam rumahnya bersendirian). [Tobaqat Al-Hanabilah: 3/132]



Imam As-Safarini Al-Hanbali meriwayatkan daripada Ibrahim Al-Qalanisi bahawasanya Imam Ahmad berkata tentang golongan sufi:



لا أعلم قوماً أفضل منهم.



Maksudnya: “Aku tidak dapati suatu golongan pun yang lebih baik daripada mereka”.



Lalu dikatakan kepadanya: “Tapi, mereka mendengar (qasidah-qasidah) dan saling tawajud (bergerak-gerak dalam menghayati qasidah)”.



Lalu Imam Ahmad berkata:



دعوهم يفرحوا مع الله ساعة



Maksudnya: “Biarkanlah mereka bergembira bersama Allah s.w.t. seketika itu (menghayati qasidah)”. [Ghiza’ Al-Albab: 1/120]



Membaca Al-Qur’an dan Menyampaikan Pahalanya kepada Si Mati



Imam Abu Bakr Al-Maruzi berkata: Aku mendengar Imam Ahmad bin Hanbal r.a. berkata:



إذا دخلتم المقابر فاقرؤوا آية الكرسي وثلاث مرات قل هو الله أحد ثم قولوا: اللهم اجعل فضله لأهل المقابر



Maksudnya: “Jika kamu memasuki kawasan perkuburan, maka bacalah ayat Al-Kursi dan bacalah tiga kali “هو الله أحد” kemudian katakanlah (berdoalah): “Wahai Tuhan, jadikanlah kelebihannya (bacaan tadi) bagi ahli kubur ini” [Al-Majmu’ah Al-Yusufiyyah 1/443 dan Ihya’ Ulumiddin 2/147]



Imam Abu Muhammad bin Qudamah Al-Maqdisi berkata di akhir kitab Al-Jana’iz dalam buku beliau Al-Mughni:



Tidak mengapa membaca Al-Qur’an di perkuburan. Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad r.a.:



إذا دخلتم المقابر فاقرؤوا آية الكرسي وثلاث مرات قل هو الله أحد ثم قولوا: اللهم اجعل فضله لأهل المقابر



Maksudnya: “Jika kamu memasuki kawasan perkuburan, maka bacalah ayat Al-Kursi dan bacalah tiga kali “هو الله أحد” kemudian katakanlah (berdoalah): “Wahai Tuhan, jadikanlah kelebihannya (bacaan tadi) bagi ahli kubur ini”. Ia sama seperti lafaz di atas tetapi dalam rujukan yang berbeza.



Pendirian Tentang Hadith Dha’if dalam Fadha’il Al-A’mal



Imam Ahmad r.a. berkata:



وإذا روينا عن رسول الله صلى الله عليه وسلم في فضائل الأعمال وثوابها وترغيبها وما لا يضع حكماً ولا يرفعه تساهلنا في الأسانيد



Maksudnya:



“Jika kami meriwayatkan daripada Rasulillah s.a.w. pada Fadha’il Al-A’mal, pahala-pahala amalan, dan galakan-galakannya, dan apa yang tidak berkaitan dengan meletakkan seseuatu ketentuan hukum atau mengangkatnya (hukum), maka kami mempermudahkan dari sudut (penelitian) sanad-sanad.” [Syazrat Az-Zahab oleh Ibn Al-‘Imad Al-Hanbali]



Imam Al-‘Iraqi berkata dalam syarah Alfiyahnya 2/291:-



“Adapun hadith tertolak yang tidak sampai tahap maudhu’ (palsu) sanadnya, riwayatkannya tanpa menjelaskan kedho’ifannya, jika ia bukan berkaitan dengan masalah hukum-hakam dan maslaah aqidah, tetapi sekadar dalam masalah targhib, tarhib, galakan, cerita-cerita, fadho’il amal  dan sebagainya… Ini pendapat sebahagian imam seperti Ibn Mahdi, Ibn Mubarak, Imam Ahmad dan sebagainya”



Imam As-Suyuti pula berkata dalam Tadrib Al-Rawi (1/298):-



 “Diriwayatkan daripada Imam Ibn Hanbal, Imam Ibn Mahdi dan Imam Ibn Mubarak berkata: “Jika dalam bab halal dan haram, maka kami akan menitikberatkan masalah kedudukan hadith namun jika kami riwayatkan dalam bab fadho’il dan sebagainya, maka kami akan mempermudahkan (bertoleransi)...”



Kepentingan Ilmu Fiqh



Bukan semua orang yang meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w., memahami apa yang diriwayatkan tersebut dengan kefahaman yang sahih. Oleh yang demikian, para ulama’ sangat menekankan penuntut ilmu mempelajari kefahaman agama yang sahih daripada para ulama’ muktabar, kerana sesuatu nas itu adalah petunjuk jika difahami secara sahih.



Imam Ahmad r.a. juga berkata:



“Mengetahui (makna) hadith itu dan menjadi faqih dalam hadith lebih aku sukai daripada menghafalnya (tanpa memahaminya).” [Minhaj As-Sunnah oleh Sheikh Ibn Taimiyyah 4/115]



Imam As-Suyuti r.a. juga meriwayatkan suatu kisah:



“Seorang manusia mencela Imam Ahmad bin Hanbal kerana menghadiri majlis Imam As-Syafi’e r.a. dan meninggalkan majlis Imam Sufiyan bin Uyainah r.a.. Maka Imam Ahmad r.a. berkata: “Diamlah. Kalau kamu kehilangan hadith dengan sanad yang ali’ (sedikit bilangan perawi antara kita dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-) maka kamu boleh dapatkannya dengan sanad yang nazil (banyak bilangan perawi antara kita dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-) dan ianya tidak memudaratkan kamu. Tetapi, jika kamu kehilangan akal (kefahaman) pemuda ini (Imam As-Syafi’e), maka aku takut kamu tidak akan mendapatkannya lagi”. [ibid]



Tidak Boleh Menyalahkan Ijtihad Ulama’ Lain dalam Masalah Fiqhiyyah (Zhonniyyah)



Kecenderungan sesetengah pihak menyalahkan ijtihad para ulama’ yang bercanggah dengan pandangan mereka tidak merai manhaj sebenar para ulama’ dalam berselisih pendapat pada masalah-masalah Fiqhiyyah.



Oleh sebab itulah, Imam Ibn Muflih berkata:



ونقل ابن مفلح في الآداب الشرعية (1/186) عن الإمام أحمد رضي الله عنه تحت عنوان: " لا إنكار على من اجتهد فيما يسوغ فيه خلاف في الفروع ". ما نصه: " وقد قال أحمد في رواية المروزي:...".



 “Imam Ahmad berkata pada riwayat Al-Maruzi:



لا ينبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهب ولا يشدد عليهم



Maksudnya: “Tidak boleh seseorang faqih mengajak manusia kepada sesuatu mazhab tertentu dan tidak boleh bersangatan ke atas mereka (memaksa seseorang mengikut ijtihad tertentu)”. [Al-Adab As-Syar’iyyah: 1/186]



Ini juga menjadi petunjuk bahawasanya, seseorang ahli ilmu tidak boleh mengingkari ijtihad ulama’ lain yang tidak sesuai dengan ijtihad yang dipegang olehnya, apatah lagi menuduh ijtihad-ijtihad ulama’ lain sebagai bid’ah dan sebagainya.



Wallahu a’lam...



Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil



Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari



‘AmalahuLlahu bi LutfiHi Al-Khafiy

Hakikat Kesufian: Faktor Utama Keberkesanan Tarbiah Ruhiyyah Dalam Jemaah Al-Ikhwan Al-Muslimun (di Peringkat Awal)

Suatu Sorotan: Kelahiran Insan Pembina Sejarah Untuk Kegemilangan Masa Hadapan Harum semerbak tatkala angin bertiup di bumi Kinanah. Kenangannya sesegar kecintaanku kepada buminya yang penuh barakah. Ia adalah bumi mahabbah terutamanya kepada para anbiya’, para auliya’, para ahlul-bait, para ulama’ dan para solihin. Persekitarannya yang mengajar kita erti hidup, ditempuhi dengan ketenangan dalam menghirup barakah ukhuwwah fillah sesama solihin. Inilah bumi yang melahirkan seorang insan dalam kenangan, yang menguntum harum di persada sejarah. Ramai manusia yang mengenal makna dakwah dan pergerakan (haraki), merasa bahagia untuk menisbahkan diri kepada fikrah. Semuanya seolah-olah adalah anak angkat kepada pemikirannya. Namun, tidak ramai yang ingin menisbahkan diri (bergabung) dalam suatu madrasah yang pernah melahirkan beliau, dan kepada madrasah itulah beliau terus menisbah diri. Beliau adalah Imam Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman Al-Banna, anak seorang ulama’ sufi yang tawadhuk lagi zuhud. Dari rumah sufi yang mulia inilah, lahirnya seorang insan yang melihat makna kehidupan dengan lebih jelas dan memahami suatu hakikat dakwah yang murni. Inilah tabiat manhaj tarbiah sufiyyah yang berjaya, di mana ianya melahirkan usrah islamiyyah yang islami dan berkualiti. Sudah tentu peranan ayahnda Hasan Al-Banna sangat berperanan dalam mentarbiah anakndanya sehingga keimanan utuh di dalam jiwa. Jiwa yang murni dan kerohanian yang tinggi menyebabkan Imam Hasan Al-Banna sentiasa mendampingi golongan orang-orang soleh khususnya golongan sufi. Perihal ayahnda beliau sendiri, iaitu Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman As-Sa’ati Al-Banna, memang seorang ulama’ sufi yang masyhur. Beliau sangat terkenal dengan keilmuannya. Beliau mewariskan kepada anakndanya Imam Hasan, ilmu dan tarbiah agar anakndanya dapat menjadi insan yang berguna di masa hadapan. Lalu, disemai manhaj tarbiah sufiyyah dalam usrah mubarakah (keluarga yang penuh keberkatan) sehingga bersemi cinta Allah, Rasul dan cinta solihin dalam diri Imam Hasan Al-Banna. Dari sudut keilmuan ayahndanya, tidak dapat dinafikan, beliau adalah sangat alim khususnya dalam bidang hadith. Beliau juga banyak meriwayatkan hadith dan ijazah daripad Sheikh Muhammad Sa’id Al-‘Urfi dan Sheikh Al-Hafiz Ahmad As-Siddiq Al-Ghumari [rujuk Tasynif Al-Asma’ oleh Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh: m/s 48]. Antara kitab karangan beliau adalah:- - Fath Al-Rabbani fi Tartib Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal As-Syaibani - Bulugh Al-Amani min Asrar Al-Fath Ar-Rabbani - Minhah Al-Ma’bud fi Tartib Musnad At-Thoyalis Abi Daud - Bada’ie Al-Minan fi Tartib Musnad As-Syafi’e Wa As-Sunan - Tanwir Al-Af’idah fi Adillah Azkar Al-Wazho’if Az-Zarruqiyyah - Tahzib Jami’e Masanid Al-Imam Abu Hanifah - Ittihaf Ahl Sunnah Al-Bararah Bi Ziyadah Ahadith Al-Usul Al-‘Asyarah Dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawasanya, Imam Hasan Al-Banna lahir daripada latar belakang keluarga yang mendalam ilmu agamanya. Malah, di samping kesufian Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman, beliau juga dari kalangan ulama’ tradisional dan mempertahankan pegangan tradisional (turath Islami) di Mesir. Ini menjelaskan tentang hubungan baik Imam Hasan Al-Banna dengan para ulama’ sufi dan institusi pengajian Islam tradisional di Mesir iaitulah Al-Azhar As-Syarif. Hembusan Kebahagiaan dalam Bersama Kaum Sufi yang Berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah (Sufi Sunni Muhaqqiq) Adapun sudut kesufian Imam Hasan Al-Banna, maka pengalaman kecintaan Imam Hasan Al-Banna terhadap kesufian dan golongan sufi yang sangat mendalam turut beliau kongsikan dalam buku Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah. Antaranya, beliau berkata: وظللت معلق القلب بالشيخ حسنين الحصافى رحمه الله حتى التحقت بمدرسة المعلمين الأولية بدمنهور مدفن الشيخ وضريحه وقواعد مسجده الذى لم يكن تم حينذاك , و تم بعد ذلك , و كنت مواظبا على الحضرة فى مسجد التوبة فى كل ليلة , وسألت عن مقدم الإخوان فعرفت أنه الرجل الصالح الشيخ بسيونى العبد التاجر , فرجوته أن يأذن لى بأخذ العهد عليه ففعل ووعدنى بأنه سيقدمنى للسيد عبد الوهاب عند حضوره , ولم اكن إلى هذا الوقت قد بايعت احدا فى الطريق بيعة رسمية وإنما كنت محبا وفق إصلاحهم Maksudnya: “Saya masih terikat hati (kasih) kepada Sheikh Hasanain Al-Husofi (mursyid kepada ayahndanya) sehinggalah saya masuk sekolah Al-Mu’allimin Al-Awwaliyyah di Damanhur, di mana tempat tersebut dikebumikan Sheikh dan kuburnya, begitu juga tiang-tiang asas masjid di sekitarnya yang masih belum siap ketika itu, namun sudah siap setelah itu. Saya sentiasa mengikut Hadrah (majlis zikir) di masjid At-Taubah pada setiap malam. Lalu saya bertanya tentang muqoddam (wakil mursyid) Al-Ikhwan (murid-murid tarikat tersebut), maka saya kenal, beliau seorang yang soleh, iaitulah Sheikh Besyuni seorang hamba soleh lagi peniaga. “Lalu saya mengharapkan agar beliau mengizinkan saya untuk mengambil bai’ah daripadanya (tarbiah sufiyyah) lalu beliau turuti lalu berjanji untuk membawaku kepada As-Sayyid Abdul Wahab (Al-Husofi, iaitu anaknda Sheikh Hasanain Al-Husofi) jika sekiranya beliau hadir. Saya tidak pernah sampai pada waktu ini (waktu ambil bai’ah tersebut), mengambil bai’ah daripada mana-mana murobbi tarikat dengan bai’ah rasmi (sebelum itu), walaupun saya mencintai kebaikan mereka.” Lalu beliau berkata lagi: وحضر السيد عبد الوهاب - نفع الله به - إلى دمنهور و أخبرنى الإخوان بذلك فكنت شديد الفرح لهذا النبأ , وذهبت إلى الوالد الشيخ بسيونى و رجوته أن يقدمنى للشيخ ففعل . وكان ذلك عقب صلاة العصر من يوم4 رمضان سنة 1342 هـ , وإذا لم تخنى الذاكرة . فقد كان يوافق الأحد حيث تلقيت الحصافية الشاذلية عنده وأذننى بأورادها ووظائفها Maksudnya: “Ketika As-Sayyid Abdul Wahab –semoga Allah memberi manfaat dengannya- hadir ke Damanhur, lalu teman-teman memberitahuku tentangnya, maka saya teramat gembira dengan berita tersebut. Maka saya pun pergi kepada ayahnda (gelaran bagi murobbinya) Sheikh Besyuni dan saya harap agar beliau membawaku berjumpa Sheikh (Al-Husofi) lalu beliau melakukannya. Pertemuan itu berlaku setelah solat Asar pada 4 Ramadhan tahun 1342 Hijrah, jika tidak salah dalam ingatan. Hari itu bertepatan dengan hari Ahad di mana saya mula mengambil At-Tariqah Al-Husofiyyah As-Syaziliyyah daripadanya lalu beliau memberi izin untuk membaca wirid dan wazho’ifnya (yang mana wazho’if ini dikenali sebagai Ma’thurat oleh Hasan Al-Banna ketika menubuhkan Ikhwan). [Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah: 25] Kerinduan hati dan kecintaan seseorang kepada kelompok sufi khususnya yang berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah antara tanda seseorang itu mendapat bantuan Allah s.w.t. untuk melalui proses tarbiah sufi yang mempunyai dasar dan manhaj tarbiah yang bersambung silsilah tarbiah mereka sehingga kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Hal ini sangat jelas sebagaimana menurut Imam Hasan Al-Banna r.a., beliau mencari seorang mursyid murobbi sufi yang benar-benar berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Beliau sangat tertarik dengan Sheikh Murobbi sufi bernama Sheikh Al-Hasanain Al-Husofi. Namun, beliau tidak sempat mengambil tarbiah daripada sheikh tersebut kerana sheikh tersebut sudah meninggal dunia. Namun, beliau mengambil tarbiah sufi daripada anaknda Sheikh Al-Hasanain bernama Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi r.a. yang mengikut jejak langkah ayahndanya yang sangat berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam manhaj tarbiah. Inilah isyarat Allah s.w.t. dalam diri Imam Hasan Al-Banna. Sebagaimana mujaddid-mujaddid terdahulu yang bermula dengan tarbiah sufi, seperti Imam Al-Ghazali r.a., Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a. dan sebagainya, Imam Hasan Al-Banna juga mendapat kemanisan ditarbiah oleh murobbi sufi yang mempunyai rantai izin tarbiah yang jelas bersambung kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Ini membolehkan Imam Hasan Al-Banna mendapat tarbiah daripada sumber tarbiah utama dalam masyarakat Islam sejak zaman salaf lagi. Imam Hasan Al-Banna mengakui keagungan manhaj tarbiah sufiyyah yang tidak akan dapat diganti oleh mana-mana manhaj lain sebagaimana dalam perkataan beliau dalam buku yang sama: “Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai mertabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).” Hal ini menunjukkan betapa Imam Hasan Al-Banna, biarpun sudah menubuhkan suatu jemaah yang banyak berperanan dalam masyarakat, namun masih mengakui bidang tarbiah khusus adalah bidang golongan sufi (muhaqqiqin), malah merekalah ahli tarbiah yang mana manhaj tarbiah mereka tidak dapat dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan golongan sufi. Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan aspek kerohanian ini ditarbiah oleh murobbi yang sempurna khususnya dari kalangan golongan sufi muhaqqiqin. Dalam ungkapan lain, beliau berkata: “Tidak syak lagi bahawasanya dengan berpegang kepada kaedah-kaedah tasawwuf dalam bidang tarbiah dan suluk membawa kesan yang sangat kuat dalam jiwa dan hati seseorang. Bahkan, kata-kata para sufi dalam bab tarbiah ini mempunyai kesan yang sangat mendalam, yang tidak akan didapati daripada kata-kata selain daripada golongan sufi…” [ibid] Imam Hasan Al-Banna juga memberi ruang luas kepada pengikutnya untuk mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi yang kamil. Malah, Imam Hasan Al-Banna juga mempunyai idea yang sangat jelas dalam dakwah iaitu, tidak terlalu pentingkan nama jamaah. Baginya, siapa sahaja yang sama fikrah dengan Ikhwan adalah dari kalangan Al-Ikhwan walaupun bukan dari kalangan ahli Al-Ikhwan. Malah, siapa sahaja yang tidak mempunyai fikrah sebenar ikhwan dianggap bukan daripada Al-Ikhwan walaupun berada dalam jemaah tersebut. Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna mempunyai ramai rakan karib khususnya dari kalangan para ulama’. Beliau sendiri tidak menjauhi ulama’ dan merasakan diri boleh berdakwah tanpa bantuan mereka, namun beliau sentiasa mengharapkan kerjasama khusus daripada golongan sufi dan ulama’ Al-Azhar (khususnya di Mesir), agar dakwah mereka terus berkembang. Antara ulama’ tersebut yang beliau dampingi (khususnya sejak dari awal usia) beliau adalah seperti Sheikh Yusuf Ad-Dijiwi, Sheikh Muhammad Hafiz At-Tijani, Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi, Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan sebagainya. Ini menyebabkan pada awal dakwah Al-Ikhwan, ramai ulama’ Al-Azhar membantu dalam menyebarkan risalah dakwah tersebut. Ini disebabkan eratnya hubungan Imam Hasan Al-Banna dengan ulama’ tradisional di Mesir (kalau di Malaysia, ulama’-ulama’ pondok-lah). Biarpun Imam Hasan Al-Banna membentuk jemaah dakwah yang baru, namun beliau tetap beriltizam dengan zikir-zikir yang telah beliau ambil daripada tarikat husofiyyah. Sheikhu Sheikhna Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi berkata dalam menceritakan tentang Imam Hasan Al-Banna: "وقد حدثني كبار رجاله و خواص أصحابه أنه بقى متمسكا بهذة الأأشغال و الأوراد إلى آخر عهده Maksudnya: “Pemimpin besar dan teman-teman rapatnya (Imam Hasan Al-Banna) memberitahuku bahawasanya beliau (Imam Hasan) sentiasa berpegang dengan wirid-wirid dan amalannya (Tarikat Husofiyyah) sehingga akhir usianya [At-Tafsir As-Siyasi lil Islam: 130] Malah, jemaah ikhwan juga dikaitkan dengan sufi sebagaimana diakui oleh Imam Hasan Al-Banna sendiri dengan slogannya antaranya “hakikat sufiyyah” dan dijadikan antara dua intipati utama jemaah Ikhwan iaitu “Sufi ‘Askari”. Sudut Kesufian Imam Hasan Al-Banna r.a.: Di sisi Para Ulama’ Ikhwan Sheikh Sa’id Hawwa, seorang ulama’ sufi dalam jemaah Ikhwan berkata: ثم إن الإخوان المسلمين نفسها أنشأها صوفي و أخذت حقيقة التصوف دون سلبياته Maksudnya: “Kemudian Al-Ikhwan Al-Muslimin itu sendiri diasaskan oleh seorang sufi yang mengambil hakikat tasawwuf tanpa sudut negatifnya (yang berlaku dalam sesetengah orang yang menisbahkan diri kepada sufi tetapi jahil). [Jaulat min Al-Fiqhain: 154] Dalam penggunaan jemaah Ikhwan juga, mereka mengambil istilah golongan sufi iaitu istilah mursyid yang digunakan oleh madrasah tarbiah sufiyyah sejak zaman berzaman. Ini merupakan isyarat yang jelas pengaruh manhaj sufi dalam Ikhwan walaupun sebahagian golongan pemuda yang menisbahkan diri kepada dakwah Hasan Al-Banna menjauhi golongan sufi muhaqqiq (berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah). Mereka dan Imam Hasan Al-Banna jauh masyrabnya (minuman kerohanian) yang sangat cenderung kepada mencintai kaum sufi. Oleh kerana itu juga, Sheikh Sa’id Hawwa menjelaskan bahawasanya, Imam Hasan Al-Banna sudah mencapai tahap mursyid kamil, suatu tahap yang melayakkan Imam Hasan Al-Banna memberi tarbiah khusus (kerohanian) kepada muridnya (ahli Al-Ikhwan), di sisi manhaj tarbiah sufi. [rujuk Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah: m/s 21] Malah, menurut Sheikh Sa’id Hawwa lagi, sememangnya mursyid kamil (di sisi manhaj tarbiah kaum sufi) adalah pewaris Nabi –shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang sempurna khususnya dalam bidang tarbiah. [Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah: 159] Sheikh Sa’id Hawwa berkata lagi secara khusus tentang tasawwuf dan kesufian dalam Ikhwan Muslimin dengan berkata: ولقد كتبت كتاب (تربيتنا الروحية) لتوضيح أحد مواضيع الفقهين الكبير و الأكبر وهو موضوع التصوف المحرر لأضع الأمور في مواضعها في قضية الحقيقة الصوفية التي هي إحدى السمات الرئيسية لدعوة الأستاذ البنا رحمه الله Maksudnya: “Saya telah menulis kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah untuk menjelaskan salah satu daripada dua F iqh samada Fiqh Al-Kabir dan Fiqh Al-Akbar iaitulah perbahasan “Tasawwuf Al-Muharrar” (yang bebas daripada sudut pandang yang samar-samar) untuk menjelaskan beberapa perkara khususnya melibatkan topik Hakikat Kesufian yang merupakan salah satu ciri-ciri khusus yang utama bagi dakwah Ustaz Al-Banna r.a..” [Al-Jaulaat: 17] Pengaruh Latar Belakang Sheikh Muhammad Abduh di Sebalik Imam Hasan Al-Banna Imam Hasan Al-Banna dinilai sebagai antara individu yang terpengaruh dengan idea islah dan tajdid Sheikh Muhammad Abduh, iaitu seorang tokoh dan pemikir di Mesir sebelum Hasan Al-Banna. Tidak dapat dinafikan, latar belakang Sheikh Muhammad Abduh mempunyai persamaan dengan Imam Hasan Al-Banna khususnya dalam mengambil tarbiah sufi. Sheikh Muhammad Abduh yang membesar di Tanta bersahabat dengan seorang murobbi sufi di Masjid Ahmad Al-Badawi iaitu Sheikh Darwish yang mengajarkan kata-kata mutiara golongan sufi dan kepentingan dakwah dan islah dalam masyarakat. Sudah tentulah, pengaruh Sheikh Darwish yang merupakan seorang sufi dalam masa yang sama menyeru ke arah islah masyarakat, menyumbang kepada pemikiran islah dalam Sheikh Muhamamd Abduh. Malah, Sheikh Darwishlah yang menyeru agar Sheikh Muhammad Abduh mendalami Al-Qur’an dengan penuh penghayatan. [Tarikh Al-Ustaz Al-Imam 1/23 dan Ulum Al-Qur’an oleh Sheikh Dr. Abdullah As-Syahatah m/s 32] Imam Hasan Al-Banna juga mengambil idea Islah dengan mafhum yang menyeluruh (syumul) dan usul dakwah yang berkesan daripada mursyid beliau, Imam Abdul Wahab Al-Husofi r.a.. Maka, dengan bimbingan kerohanian yang mendalam melalui madrasah sufi inilah akhirnya membuka ruang pemikiran yang luas dengan disinari suluhan limpahan cahaya Allah s.w.t.. Kesufian Umar At-Tilmisani (Mursyidul Am Ketiga bagi Al-Ikhwan Al-Muslimun) Al-Ustaz Umar At-Tilmisani (Mursyid Am Ikhwan Muslimin ketiga) juga seorang tokoh Ikhwan yang sangat mencintai golongan sufi dan para wali. Pada asalnya, beliau sendiri membesar dalam keluarga yang kuat mengikut fikrah Muhammad Abdul Wahab. Menurut beliau, datuk beliau sendiri kuat berpegang dengan fikrah Muhammad Abdul Wahab sehingga selalu berdebat dengan golongan sufi. Namun, cucunya (Umar At-Tilmisani) pula berbeza dengan pendirian datuknya dari sudut itu. Beliau lebih terbuka dengan golongan sufi khususnya setelah beliau terlibat dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Pengaruh sufi sangat kuat dalam diri beliau yang sering menziarahi maqam para wali sebagaimana yang dijelaskan dalam Syahid Al-Mihrab Umar bin Al-Khattab. Dalam buku tersebut juga mempunyai banyak amalan tawassul yang disyariatkan dalam Islam di samping saranan ke arah menziarahi kubur untuk tujuan mengingatkan kita kepada kematian dan sebagainya. Malah, dalam buku tersebut membahaskan tentang kehidupan Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di alam Barzakh, keutamaan mencintai para wali Allah dan sebagainya. Sheikh Umar At-Tilmisani pernah berkata dalam mengungkapkan kecintaannya kepada kaum sufi secara jelas: بقيت لدينا طائفة من المسلمين هم من أحب الناس إلى قلبي، ومن أقربهم إلى نفسي، أولئك هم أصحاب الطرق الصوفية، ولست أقصدهم جميعًا على إطلاقهم، وإنما عنيت منهم من صفت سريرته وطابت بالتقوى دخيلته، وحسنت بالإيمان نيته، أقصد منهم من عرف طريق التصوف حق معرفته فأخلص لله عمله وألزم نفسه سبيل المؤمنين" Maksudnya: “Masih kekal di sisi kami (Ikhwan Muslimin menurut beliau) suatu kelompok dalam kalangan umat Islam, yang mana mereka adalah manusia yang paling saya cintai dihatiku dan yang paling dekat kepada diriku. Mereka adalah ahli-ahli tariqat sufiyyah. Saya tidak bermaksud keseluruhan mereka secara mutlak. Tetapi, yang saya maksudkan adalah golongan yang bersih sirr (hati)nya, yang disulami taqwa dalamannya dan baik keimanannya dalam niatnya dalam kalangan mereka (sufi). Saya maksudkan daripada mereka adalah orang yang mengenali jalan tasawwuf dengan sebenar-benar pengenalan, maka dia mengikhlaskan amalannya kerana Allah dan beriltizam dengan jalan orang-orang beriman (syariat dan hakikat).” [Al-Ikhwan Al-Muslimun: Mabda’ wa Fikrah wa Aqidah tahun 1936] Sungguh sepertimana biasa, buku Syahid Al-Mihrab juga menjadi tempat kritikan sebahagian besar pengaku salafi lalu menghukum jemaah Ikhwan Muslimin sebagai jemaah sesat. Banyak fitnah dan salah tafsir terhadap ungkapan-ungkapan dalam buku ini dilakukan demi memburukkan Ikhwan Muslimin yang secara khusus mempunyai hubungan dengan kaum sufi yang mereka benci. Sheikh Sa’id Hawwa: Ulama’ Sufi Berpengaruh dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun Sheikh Sa’id Hawwa merupakan seorang tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimun yang sangat dekat dengan kaum sufi. Malah, beliau antara tokoh yang sangat berperanan dalam memasukkan ilmu tasawwuf islami ke dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya melalui kitab beliau Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah. Beliau berkata lagi: “Saya telah mengambil ilmu tasawwuf daripada beberapa ulama’ sufi yang menurut saya antara ulama’ agung tasawwuf pada zaman ini, juga ulama’ yang paling teliti dalam ilmu tasawwuf ini. Sebahagian masyaikh sufi memberi izin kepadaku untuk memberi tarbiah, membimbing murid-murid dan aku tidak bergantung dalam urusan tarbiah ini melainkan hanya kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah…” [Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 16] Beliau berkata lagi: “Saya –dengan sifat pemurah Allah- diberi izin atas tariqah sufiyyah untuk memberi talqin wirid-wirid yang umum ataupun talqin ism Mufrad (lafaz ALLAH) maka saya katakan: “Sesungguhnya Sheikh tidak patut bergantung melainkan kepada As-Sunnah.” [Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 301-302] Antara murobbi Sheikh Sa’id Hawwa adalah Sheikhu Sheikhna Sayyidi Abdul Qadir Isa Al-Halabi, pengarang kitab Haqo’iq ‘Ani At-Tasawwuf, yang juga merupakan murobbi kepada murobbi kami Sheikhna As-Syarif Yusuf bin Muhyiddin Al-Bakhour Al-Hasani. Peranan Sheikh Said Hawwa dalam jemaah Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya dalam bidang tarbiah ketehui umum. Beliau terlibat secara langsung dalam bidang tarbiah jemaah Al-Ikhwan berteraskan kelayakan beliau dalam bidang tarbiah kerohanian. Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud Al-Azhari: Murobbi Ikhwan yang Sufi Adapun Sheikhul-Azhar terdahulu iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud, maka beliau ialah seorang ulama’ sufi yang masyhur. Beliau sangat berperanan dalam mengembangkan islah dalam kaum sufi dan ilmu tasawwuf. Beliau banyak mengarang kitab-kitab yang membela ilmu tasawwuf dan kaum sufi. Antara kitab tasawwuf karangan beliau adalah seperti Madrasah As-Syaziliyyah, tahqiq kepada Latho’if Al-Minan dan sebagainya. Beliau membantu Imam Hasan Al-Banna dalam dakwah haraki beliau kerana dasar keterbukaan Imam Hasan Al-Banna yang mendekati para murobbi sufi untuk mentarbiah ahli Al-Ikhwan Al-Muslimun. Antara buku Sheikhul Azhar yang menjelaskan pendirian beliau terhadap Al-Ikhwan adalah: Al-Ikhwan Al-Muslimun: Ahdaath Sana’at At-Tarikh. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi: Sudut Kesufian yang Tersembunyi Inilah ungkapan yang diberikan oleh Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti dalam menilai Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau (Al-Qaradhawi) sendiri meriwayatkan perkataan Dr. Al-Buti yang berkata: “Al-Qaradhawi sufi yang menerima (tasawwuf) di sebalik zahir kesalafian (kerana selalu menggunakan lafaz-lafaz seperti Salafiyyah, Ibn Taimiyyah dan sebagainya)” [Al-Hayah Al-Rabbaniyyah wa Al’Ilm: muqoddimah dan Ahl Al-Qaryah wa Al-Kuttab]. Ini kerana, Dr. Al-Qaradhawi lebih cenderung menilai ilmu tasawwuf dari kaca mata Sheikh Ibn Taimiyyah dan Sheikh Ibn Qayyim walaupun beliau akui, Imam Al-Ghazali adalah antara sufi terawal yang mempengaruhi beliau menerusi kitab-kitab beliau antaranya Ihya’ Ulumiddin dan Minhaj Al-‘Abidin. [Al-Hayah Ar-Rabbaniyyah wa Al-‘Ilm: ibid] Adapun dari sudut praktikal, maka murobbi rohani Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi adalah Sheikhul Azhar sendiri iaitu Imam Abdul Halim Mahmud dan Sheikh Al-Bahie. Ini menunjukkan juga bahawasanya Sheikh Al-Qaradhawi mendapat bimbingan kaum sufi walaupun bukan dalam sistem tarbiah tarikat sufiyyah. * * * Antara tokoh-tokoh Ikhwan yang mempunyai latar belakang tarbiah sufi sebelum memasuki Al-Ikhwan adalah seperti Ustaz Al-Haj Farj Al-Najjar, Ustaz Mahmud Abu Riyyah, Sheikh Muhammad As-Sanusi dan sebagainya. Antara tokoh-tokoh Al-Ikhwan lain yang turut mempertahankan sudut Haqiqah Sufiyyah dalam Al-Ikhwan adalah seperti Sheikh Musthofa As-Siba’ie, Sheikh Abdul Rahman Al-Banna, Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Sheikh Dr. Ali bin Abdul Halim Mahmud, Al-Ustaz Taufiq Al-Wa’ie dan sebagainya (yang mana sesetengahnya dikafirkan atau dituduh sesat oleh sesetengah Jemaah Takfiriyyah). Begitu juga beberapa tokoh Al-Ikhwan yang mempertahankan tasawwuf sunni dalam tarbiah Al-Ikhwan seperti Sheikh Dr. As-Sayyid Nuh, Sheikh ‘Abduh Musthafa Dasuki (rujuk Al-Ikhwan Al-Muslimun wa As-Shufiyyah), Ustaz Abdul Aziz Kahil (rujuk: Hasan Al-Banna Al-Murobbi Al-Mujaddid), Ustaz Jum’ah Amin (rujuk risalah Halawah Al-Iman Wa Nur Al-‘Ibadah), Dr. Khalid Fahmi (rujuk Zahirah Ad-Du’ah Al-Judud… Ar-Ru’yah Al-Mu’arradhah), Dr. Mamduh Al-Munir (rujuk: Ar-Rajul Allazi Ahya Fikratahu bi Mautihi), Dr. Rafiq Habib, Dr. Jabir Qamihah, Dr. Muhammad Badi’e, dan sebagainya Seruan Imam Hasan Al-Banna Agar Pengikutnya Mendampingi Kaum Sufi Muhaqqiq Imam Hasan Al-Banna tidak mengasaskan jemaahnya tanpa tujuan. Malah, beliau sangat terkesan dengan dakwah tarikat husofiyyah yang beliau sertai. Ini kerana, manhaj tarbiah sufiyyah melahirkan masyarakat Islam yang menghayati makna hidup yang tinggi, yang membentuk sebuah bi’ah sholehah. Ketika meningkat remaja, Imam Hasan Al-Banna mencapai kematangan hidup dengan tarbiah rohani kaum sufi. Lalu, beliau mula memikirkan suatu idea untuk mengislah masyarakat Islam secara lebih progresif dan lebih meluas. Imam Hasan Al-Banna mengasaskan suatu jemaah di bawah Tarikat Husofiyyah dengan dikenali sebagai Jam’iyyah Al-Husofiyyah Al-Khairiyyah untuk meluaskan dakwah kepada mengajak masyarakat ke arah menghayati hidup dengan kefahaman Islami. Dakwah tersebut diterima secara meluas menjangkau pengikut Tarikat Al-Husofiyyah tersebut. Ini memberi isyarat halus dalam diri Imam Hasan Al-Banna untuk meluaskan skop dakwahnya, daripada batasan nama kumpulan atau tarikat tertentu. Disebabkan itulah, Imam Hasan Al-Banna menubuhkan jemaah Ikhwan Muslimin untuk meluaskan dakwah yang pernah dibawa oleh kaum sufi secara juz’ie (berpisah-pisah dan bercabang-cabang) berdasarkan kefahaman beliau. Dari sudut manhaj dakwahnya, Imam Hasan Al-Banna menyeru ke arah cara berdakwah sebagaimana salafus-soleh (bukan pengaku salafi moden) yang menjangkau batasan nama-nama pertubuhan dan sebagainya. Namun, jalan amalan yang dipegang adalah jalan sunni, iaitu yang menepati Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun, jalan sunni ini bukanlah sebagaimana yang difahami oleh sesetengah golongan yang menyempitkan makna bid’ah. Imam Hasan Al-Banna sendiri memahami makna bid’ah dan sunnah yang lebih luas. Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna tidak menganggap tawassul sebagai syirik, dan beliau sendiri menyambut maulidul Rasul. Jalan sunni yang beliau fahami adalah sebagaimana yang difahami oleh Al-Azhar As-Syarif sendiri yang tidak jumud dalam membid’ahkan masalah-masalah khilafiyyah. Namun, apa yang lebih penting, beliau tetap tidak mahu terpisah daripada manhaj kaum sufi yang pernah berperanan penting dalam membentuk syakhsiyyah beliau lalu menisbahkan jemaah beliau kepada sufiyyah dengan mengatakan bahawasanya, hakikat jemaah Al-Ikhwan adalah hakikat yang dimiliki oleh kaum sufi (haqiqah sufiyyah). Ini kerana, beliau sedar, walaupun beliau dapat melahirkan ramai ‘amilin yang terlibat dalam melakukan ‘amal islami, namun tanpa tarbiah para murobbi sufi yang kamil, pergerakan Islam beliau tidak akan membawa kepada natijah yang besar. Oleh kerana itulah, dalam Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah, beliau berharap agar kesatuan dapat diwujudkan antara kaum sufi yang muhaqqiq, para ulama’ Al-Azhar (merujuk kepada persekitaran Imam Hasan di Mesir) dan para penggerak dalam haraki. Menurut beliau, tanpa kesatuan antara ketiga-tiga kelompok terbesar ini, maka tidak dapat membentuk kekuatan besar dalam membawa kepada islah dunia Islam. Berdasarkan roh kesatuan inilah, Imam Hasan Al-Banna mengambil sikap terbuka dan sentiasa mendekatkan diri dengan para murobbi sufi dan menggalakkan para Ikhwan mengambil tarbiah sufiyyah khusus daripada kaum sufi agar mereka mendapat apa yang pernah beliau sendiri dapati daripada tarbiah sufiyyah. Di samping itu juga, beliau sangat mengharapkan agar para ulama’ sufi khususnya, membaiki keadaan yang berlaku dalam kelompok orang-orang awam yang menisbahkan diri kepada sufi, namun melakukan banyak penyelewengan dan kerosakan. Beliau sangat kagum kepada Sheikh Taufiq Al-Bakri dan Sheikh Abdullah Al-‘Afifi yang cenderung untuk melakukan islah dalam kelompok sufiyyah. Beliau juga sering mengunjungi para murobbi sufi terutamanya Sheikh Sayyid Muhammad Uthman dan sebagainya sepertimana yang diriwayatkan dalam Al-Ikhwan Al-Muslimin Al-Ahdaath Sona’at At-Tarikh [2/20]. Antara tanda-tanda Imam Hasan Al-Banna r.a. tidak memisahkan diri daripada manhaj sufiyyah adalah dengan menggunakan kitab-kitab turath kaum sufi dalam manhaj tarbiahnya dalam jemaah Ikhwan seperti kitab-kitab: - Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari oleh Imam As-Sakandari As-Syazili r.a. - Ihya’ Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali r.a. - Risalah Al-Mustarsyidin oleh Imam Al-Muhasibi r.a. - Al-Mawahib Al-Ladunniyyah oleh Imam Al-Qostollani r.a. - Al-Anwaar Al-Muhammadiyyah oleh Imam An-Nabhani r.a. - Ar-Risalah Al-Qusyairiyyah oleh Imam Al-Qusyairi r.a. Dan sebagainya [Al-Ikhwan wa As-Shufiyyah Maadhin ghair Musta’ad oleh Husam Tamam] Sikap Imam Hasan Al-Banna yang mendekati para murobbi sufi memberi impak besar dalam perkembangan jemaah beliau. Beliau tahu, tanpa bantuan para murobbi sufi dalam jemaah beliau, maka manhaj tarbawi dalam Ikhwan tidak akan mencapai tahap yang tinggi. Ini kerana, sememangnya bidang tarbiah adalah pengkhususan bagi para murobbi sufi. Dengan kepentingan inilah, Imam Hasan Al-Banna memberi dua cara untuk tidak memisahkan Ikhwan daripada para murobbi sufi. Pertama: Beliau mendekati para murobbi dan ulama’ sufi agar mereka membantu sudut tarbiah Ikhwan walaupun mereka tidak berintima’ kepada jemaah tersebut secara langsung. Kedua: Beliau memberi galakan kepada para ahli jemaahnya untuk mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi kerana para murobbi sufilah golongan yang ahli dalam tarbiah kerohanian. Pendirian Imam Hasan Al-Banna dalam mengalu-alukan bantuan para ulama’ murobbi sufi mendapat sambutan dari kalangan para murobbi sufi tempatan dan antarabangsa. Ramai para ulama’ sufi membantu Imam Hasan Al-Banna dalam sudut tarbiah khusus terutamanya seperti Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud dan sebagainya. Setelah itu juga, para ulama’ sufi seperti Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim dan Sheikh Mutawalli As-Sya’rawi juga turut terlibat membantu sudut tarbiah jemaah Ikhwan Muslimin. Sheikh Sa’id Hawwa di Syria juga mengembangkan ilmu-ilmu tasawwuf dalam institusi rujukan jemaah Ikhwan Muslimin. Fokus Utama Pada Tarbiyyah Ummah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun Menanamkan penghayatan terhadap makna kehambaan diri, makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam diri dan makna kehidupan adalah antara fokus utama dalam dakwah Ikhwan Muslimin, sebagaimana yang sangat ditekankan oleh para ulama’ mereka seperti Imam Hasan Al-Banna sendiri, Sheikh Sa’id Hawwa, Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud, Sheikh Muhammad Al-Ghazali dan sebagainya. Dalam marhalah ini, para ulama’ Ikhwan khususnya memfokuskan kepada proses tarbiah ruhiyyah dalam masyarakat Islam. Ini dikuatkan lagi dengan perkataan Sheikh ‘Abduh Mustofa Dusuki yang berkata: وهكذا كانت تربية الأمة أول اهتمامات جماعة الإخوان المسلمين، Maksudnya: “Begitulah sesungguhnya tarbiah Ummah adalah fokus yang paling utama bagi jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimin” [Al-Ikhwan wa As-Siyasah Al-Hizbiyyah (1)] Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi turut menjelaskan hal yang hampir serupa ketika membandingkan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan Al-Jamaah Al-Islamiyyah di India yang diasaskan oleh Sheikh Abu Al-‘Ala Al-Maududi. Beliau berkata: “Sebenarnya, tiada beza dari sudut tujuan-tujuan antara Al-Ikhwan dan Al-Jama’ah melainkan Al-Ikhwan lebih mementingkan sudut tarbiah sedangkan Al-Jama’ah lebih menumpukan sudut pemikiran…” [Ummatuna Baina Qarnain: m/s 67] Fokus utama kepada tarbiah ummah inilah sebenarnya inti dalam ungkapan haqiqah sufiyyah (hakikat kesufian) kerana fokus utama tersebut diambil dari manhaj tarbiah golongan sufi. Cuma, Imam Hasan Al-Banna cuba meluaskan skop dakwah kepada seluruh umat Islam dan meluaskan fokus kepada segenap aspek kehidupan. Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna menjelaskan, ketika ditanya adakah Al-Ikhwan Al-Muslimun itu suatu tarikat sufiyyah, maka beliau menjawab: طريقة صوفية نقية: لإصلاح النفوس وتطهير الأرواح وجمع القلوب على الله العلي الكبير. Maksudnya: “(Benar). Tariqah Sufiyyah yang bersih: iaitu untuk memperbaiki jiwa, membersihkan rohani dan menghimpunkan hati-hati kepada Allah s.w.t. yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. [ucapan beliau pada اجتماع رؤساء المناطق والشعب (perhimpunan pemimpin-pemimpin tempatan dan masyarakat)] Penulis melihat, hatta manhaj dakwah kaum sufi juga mempunyai skop dan fokus yang luas menjangkau sempadan jama’ie dan hizbi sebagaimana yang diinginkan oleh Imam Hasan Al-Banna. Cuma, penerapan terhadap penghayatan Islam dalam masyarakat oleh para ulama’ sufi berlaku secara tidak langsung dengan slogan dakwah mereka ke arah “satu ummah muhammadiyyah”. Mereka memfokuskan kepada “menuju Allah s.w.t.” dalam setiap gerak geri manusia. Namun, pergerakan dakwah golongan sufi tidak terungkap dengan slogan-slogan dalam muktamar-muktamar rasmi kerana mereka adalah suatu golongan yang lebih banyak “perlaksanaan” daripada “berkata-kata”. Oleh kerana itu, berdasarkan kajian dari sudut sejarah sahaja, didapati dakwah golongan sufi (sunni) meluas ke serata dunia di setiap zaman. Hal ini diakui oleh Imam Hasan Al-Banna sendiri dalam Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah. Sejarah telah membuktikan, terutamanya kedatangan Islam ke Nusantara, semuanya adalah daripada usaha dakwah para sufi khususnya dari Hadramaut dan sebagainya. Dakwah mereka dibantu oleh Allah s.w.t. kerana sekian lama, sememangnya golongan sufilah yang berperanan penting samada dalam menyebarkan dakwah mahupun tarbiah ummah. Kita dapat melihat pengaruh kesufian dalam para ulama’ Nusantara khususnya yang mengambil ilmu agama dari Tanah Haramain dan Mesir yang pada ketika itu dipenuhi para ulama’ sufi yang kamil. Agama Islam dikembangkan terutamanya dalam Nusantara dengan tangan-tangan para ulama’ sufi ini, yang dibantu oleh bantuan Allah s.w.t.. Oleh kerana itu, tidak timbul sebenarnya, dakwah sufiyyah tidak menyeluruh ke segenap aspek kehidupan, kerana dakwah sufiyyahlah yang melahirkan Imam Hasan Al-Banna itu sendiri dan beberapa mujaddid lain seperti Maulana Ilyas (pengasas jemaah Tabligh) dan sebagainya. Mungkin sebahagian orang awam yang menisbahkan diri kepada sufi menggambarkan suatu gambaran yang ganjil, namun para ulama’ dan murobbi sufi di serata dunia sangat berperanan dalam segenap aspek dalam masyarakat. Namun, berdasarkan ijtihad Imam Hasan Al-Banna, beliau ingin menjadikan wadah dakwah sufiyyah lebih meluas dengan tidak menggunakan nama tarikat sufiyyah namun mengekalkan intipati kesufian lalu menubuhkan jemaah Ikhwan Muslimin. Imam Hasan Al-Banna menyeru masyarakat Islam umumnya ke arah kefahaman “Islam syumul” yang difahami oleh beliau daripada tarbiah sufiyyah. Tradisi Menyambut Maulid Nabi -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di Sisi Pelopor-pelopor Al-Ikhwan Al-Muslimun Antara ciri-ciri utama tarbiah Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya di sisi para pelopornya adalah, menjadikan tradisi menyambut Maulidul Rasul sebagai suatu yang sangat digalakkan dan amalannya dilakukan secara meluas. Ini kerana, tradisi tersebut justeru adalah antara wasa’il (cara-cara) mendekatkan masyarakat Islam dengan “kecintaan kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Ini juga antara tradisi yang diamalkan oleh majoriti umat Islam khususnya para sufi. Antara pengisian-pengisian majlis Maulidul Rasul adalah seperti bacaan Al-Qur’an, bacaan Hadith-hadith, memberi pengisian tentang sirah Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- dan membaca qasidah-qasidah memuji Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang mana semua pengisian tersebut ada sandarannya dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Antara keganjilan lagi adalah, mereka yang terlibat dalam dakwah yang kononnya menisbahkan diri kepada Imam Hasan Al-Banna, namun menjauhi tradisi menyambut Maulidil Rasul -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Malah, lebih menghairankan, jika ada dari kalangan mereka berbangga tidak menyambut Maulidil Rasul -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- malah menyamakannya dengan amalan golongan Kristian (Na’uzubillah). Bukanlah perbahasan hukum menyambut Maulid Ar-Rasul -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang ingin dibahas di sini. Ianya sudah jelas hukum kebolehan mengamalkannya melainkan di sisi segelintir orang yang mengingkarinya -hanya kepada Allah s.w.t.-lah kita serahkan urusan mereka-. Imam Hasan Al-Banna menceritakan kecintaannya kepada amalan menyambut Maulid dengan berkata: وأذكر أنه كان من عاداتنا أن نخرج فى ذكرى مولد الرسول صلى الله عليه وسلم بالموكب ونحن ننشد القصائد المعتادة فى سرور كامل و فرح تام Maksudnya: “…dan saya sebut bahawasanya antara adat kebiasaan kami adalah dengan kami keluar memperingati Maulid Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di suatu tempat, lalu kami bernasyid dengan qasidah-qasidah yang biasa dibaca pada menzahirkan kegembiraan yang penuh dan keriangan yang sempurna.” [Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah: 48 dan 54] Sheikh Abbas As-Sisi menceritakan tentang sambutan Maulid bersama Imam Hasan Al-Banna r.a. di Masjid Nabi Daniel di Iskandariyyah, Mesir. Malah, Imam Hasan Al-Banna sangat menggalakkan amalan menyambut dan memperingati Maulid Rasulillah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- [Fi Qofilah Al-Ikhwan Al-Muslimin 1/48] Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud r.a. juga menceritakan tentang tradisi menyambut Maulid Rasul dalam kalangan Ikhwan: كنا نذهب جميعا كل ليلة إلى مسجد السيدة زينب فنؤدي صلاة العشاء، ثم نخرج من المسجد، ونصطف صفوفًا، يتقدمنا الأستاذ المرشد حسن البنا، ينشد نشيدًا من أناشيد المولد النبوي، ونحن نردده من بعده بصوت جهوري جماعي Maksudnya: “Kami selalunya pergi beramai-ramai pada setiap malam menuju Masjid As-Sayyidah Zainab lalu kami menunaikan solat Isya’. Setelah itu kami keluar daripada masjid lalu membentuk beberapa saf (barisan) yang dipimpin di hadapan oleh Imam Mursyid Hasan Al-Banna, lalu beliau bernasyid dengan nasyid daripada nasyid-nasyid maulid Nabawi lalu kami mengikutinya (dalam bernasyid) dengan suara yang kuat secara berjamaah” [Al-Ikhwan Al-Muslimun Ahdaath Sana’at At-Tarikh 1/109] Amat malang bagi sesetengah pemuda yang menisbahkan diri kepada dakwah Imam Hasan Al-Banna namun tidak pernah menghadiri acara-acara maulid yang mengandungi bacaan qasidah-qasidah memuji Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sebagaimana yang menjadi amalan golongan ulama’ tradisional, golongan sufi dan para pelopor Ikhwan Muslimin suatu ketika dahulu. Mereka ini seolah-olah terasing daripada masyrab (minuman kerohanian) para penghulu Al-Ikhwan Al-Muslimun dan pengasasnya, bagaikan mereka di suatu lembah dan Imam Hasan Al-Banna di suatu lembah yang lain. Ini membawa kepada perwatakan baru dalam kelompok yang menisbahkan diri kepada dakwah Imam Hasan Al-Banna setelah generasi Imam Hasan Al-Banna r.a.. Jika kita singkapi tradisi sebahagian ulama’ besar Ikhwan seperti Sheikh Musthafa As-Siba’ie, beliau sendiri sebagaimana dalam majalah Hadharah Al-Islam [562-563 edisi khas sempena pemergian Sheikh Musthafa] menyusun qasidah-qasidah indah memuji dan bertawassul kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di maqam Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam berdasarkan dalil-dalil yang jelas. Amalan tawassul dan sebagainya turut dibela oleh ulama’ besar Ikhwan iaitulah Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau mengarang suatu fasal khusus dalam kitabnya bertajuk Fusulun Fi Al-Aqidah dalam menyenaraikan hujah-hujah dari Al-Qur’an dan As-Sunnah tentang keharusan amalan tawassul dengan kedudukan para nabi dan para solihin yang telah meninggal dunia. Ia demi membela usul Imam Hasan Al-Banna yang menganggap tawassul adalah kaifiyyat berdoa, bukan maslalah aqidah sebagaimana yang dituduh oleh sesetengah Mutasallif. Ini antara lain menunjukkan secara jelas sudut kesufian dalam dakwah awal Al-Ikhwan Al-Muslimun sebelum bercampur dengan beberapa pemikiran asing ke dalam sesetengah kelompok dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Tarbiah Sufiyyah Sunniyyah: Keperluan Utama dalam Harakah Islamiyyah Al-Ikhwan Al-Muslimun, suatu jemaah atau kumpulan muslimin yang berhimpun dalam sebuah organisasi untuk merealisasikan risalah Islam ke segenap sudut kehidupan masyarakat Islam, dari setiap peringkat (individu muslim, keluarga Islami, masyarakat islami, negara Islami dan seterusnya khilafah Islamiyyah), sudah tentu sangat perlu kepada tarbiah rohani yang sempurna. Oleh yang demikian, ilmu tasawwuf dengan maknanya yang asal, iaitulah ilmu Tazkiyyah An-Nufus yang berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah, sangat diperlukan dalam sesebuah jemaah yang ingin menterjemahkan Islam dalam kehidupan dan meluaskan peranan Islam ke dalam segenap lapisan hidup. Malah, bimbingan para ulama’ dan murobbi sufi yang muhaqqiqin sangat diperlukan bagi membimbing para ‘amilin yang terlibat dalam Amal Jama’ie dan dakwah. Imam Hasan Al-Banna menceritakan kepentingan dan keagungan manhaj tarbiah kaum sufi dengan berkata: “Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).” [Muzakkirat Ad-Dakwah wa Ad-Da’iyyah] Beliau berkata lagi: “Cara menghadapi segala kesukaran dalam amal, fikrah dan segala prinsip-prinsipnya yang ditempuh (dilakukan) oleh golongan sufi, semuanya itu termasuk uslub mentarbiah (mendidik) dan cara berpolitik Ikhwanul Muslimin” [ibid] Sheikh Sa’id Hawwa berkata lagi secara khusus tentang tasawwuf dan kesufian dalam Ikhwan Muslimin dengan berkata: “Saya telah menulis kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah untuk menjelaskan salah satu daripada dua Fiqh samada Fiqh Al-Kabir dan Fiqh Al-Akbar iaitulah perbahasan “Tasawwuf Al-Muharrar (bebas dari sudut negatif)” untuk menjelaskan beberapa perkara khususnya melibatkan topik Hakikat Kesufian yang merupakan salah satu ciri-ciri khusus yang utama bagi dakwah Ustaz Al-Banna r.a..” [Al-Jaulaat: 17] Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata: “Apa yang saya dapati daripada pengalaman sendiri dan berdasarkan kebiasaan turun ke lapangan bersama orang-orang awam mahupun ahli ilmu, bersama orang-orang yang lalai, bersama orang-orang yang terlibat dalam jemaah-jemaah Islam yang pelbagai (du’at dan ‘amilin) dan sebagainya, bahawasanya mereka semua memerlukan kepada tarbiah iman yang benar untuk menyucikan hati mereka daripada cinta kepada dunia, daripada cintakan nafsu diri, yang mampu membawa mereka kepada Allah sw.t., yang mampu membebaskan manusia daripada kehambaan kepada kebendaan, nafsu dan khayal agar mereka berpegang dengan kehambaan hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata yang mana ianya dapat menyucikan akal mereka daripada syirik, hati mereka daripada nifaq, lidah mereka daripada dusta mata-mata mereka daripada khianat, perkataan-perkataan mereka daripada kelalaian, ibadah mereka daripada riya’, muamalah mereka daripada tiput dan kehidupan mereka daripada pertembungan (dengan nafsu). [Muqoddimah dalam Al-Hayah Al-Ruhiyyah wa Al-‘Ilm] Beliau berkata lagi: (Setelah menyebut beberapa aspek keperluan seperti penyucian jiwa dan sebagainya lalu beliau berkata) “Inilah dia kesimpulan daripada ilmu tasawwuf…” [ibid] Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata lagi: إننا نريد التصوف السني الملتزم بالنهج القرآني النبوي المتوازن Maksudnya: “Kita mahukan tasawwuf sunni yang berpegang dengan manhaj Al-Qur’ani An-Nabawi (Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang seimbang…” [Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah: 25] Begitu juga yang dijelaskan oleh Al-Ustaz Taufiq Al-Wa’ie bahawasanya, apa yang dipertahankan oleh Imam Hasan Al-Banna dan tokoh-tokoh Ikhwan adalah sufi yang berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah [rujuk Al-Ikhwan Al-Muslimun: Kubra Al-Harakat Al-Islmiyyah¬- Syubhat wa Rudud]. Secara jelasnya, Tarbiah Sufiyyah yang dimaksudkan oleh para tokoh Al-Ikhwan adalah tarbiah sufi yang bertepatan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Tarbiah ini juga yang dimaksudkan oleh para murobbi sufi yang muhaqqiqin dalam manhaj tarbiah mereka dalam madrasah tarikah sufiyyah. Hanya apa yang terzahir daripada keganjilan dan kepincangan yang dilakukan sesetengah kelompok awam yang menisbahkan diri kepada sufi dan tasawwuf, maka kesalahan tersebut tidak boleh dinisbahkan kepada kaum sufi keseluruhannya atau kepada ilmu tasawwuf keseluruhannya. Ia sangat jelas daripada ungkapan Sheikh Sa’id Hawwa yang berkata, sebagai kesimpulan fasal ini: والحركة الإسلاميه اعتمدت التربية الصوفية فكرًا وسلوكاً بشكل مجمل! Maksudnya: “Harakah Islamiyyah bergantung kepada Tarbiah Sufiyyah dari sudut fikrah dan suluk secara umumnya!” [Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 17] Inilah kepentingan ilmu tasawwuf Islami yang berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sangat diperlukan dalam masyarakat Islam umumnya, dan gerakan-gerakan dakwah khususnya. Sudah tentulah, ilmu tasawwuf ini perlu diambil daripada para murobbi sufi yang muhaqqiqin (berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang mewarisinya secara ilmu dan amal daripada para murobbi sufi muhaqqiqin terdahulu. Suhbah (Persahabatan) dengan Murobbi Kamil: Intipati Tarbiyyah Sufiyyah Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata: ونريد لباب التصوف الذي كان عليه الزهاد الأوائل، كالحسن البصري والفضيل بن عياض، وإبراهيم بن أدهم، وأبي سليمان الداراني، وأبي القاسم الجنيد، وأمثالهم Maksudnya: “Kami mahukan adalah intipati tasawwuf yang dipegang oleh golongan ahli zuhud terdahulu seperti Hasan Al-Bashri, Fudhail bin ‘Iyad, Ibrahim bin Adham, Abu Sulaiman Ad-Darani, Imam Junaid Al-Baghdadi dan sebagainya…” [Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah 25]. Sudah tentulah, intipati tasawwuf yang dipegang oleh para sufi terdahulu sewajarnya diambil daripada tarbiah murobbi sufi yang muhaqqiq yang bersambung silsilah tarbiah tersebut sampai kepada para ulama’ sufi tersebut. Ilmu tasawwuf bukanlah ilmu teori semata-mata, tetapi suatu ilmu penerapan kerohanian dan rawatan yang mendalam. Ia tidak boleh dipraktikkan hanya dengan membaca buku-buku akhlak dan tasawwuf. Bukan begitu Imam Hasan Al-Bashri mencapai kesempurnaan akhlak. Begitu juga Fudhail bin ‘Iyadh, Imam Junaid dan sebagainya. Mereka menerima tarbiah di bawah seorang murobbi yang sempurna. Inilah manhaj ‘amali (praktikal) dalam Tazkiyyah An-Nufus. Ustaz Muhammad Sholeh bin Ahmad berkata: وقد كان أوائل الصوفیة حالھم وعلمھم في صدورھم یأخذھما الطالب عن شیخھ شفاھا ومجالسة وصحبة، ویتربى على شیخھ؛ ثم یأخذھما عنھ تلمیذه Maksudnya: “Hal (keadaan hati) dan ilmu para ulama’ sufi terdahulu (salaf) tersimpa dalam dada mereka. Maka, murid mengambil kedua-duanya (hal keadaan hati dan ilmu tasawwuf) daripada Sheikhnya secara langsung, dalam majlisnya dan dengan bersahabat (suhbah). Maka, murid menerima tarbiah daripada Sheikhnya kemudian muridnya tersebut mengambil kedua-duanya (hal hati dan ilmu) daripada Sheikhnya (secara pewarisan rohani)”. [At-Tasawwuf wa Harakah Al-Islah wa At-Tajdid oleh Muhammad Sholeh bin Ahmad Al-Gharsi: 15] Oleh kerana itu, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata lagi: ولقد فكر الأستاذ البهي في أن يصطفي نخبة من خيرة شباب الإخوان، يدنيهم منه، ويربيهم في مدرسته، ويلقنهم فكره وذوقه، ويأخذهم بعزائم السلوك. فقد أكد رجال التربية الروحية حاجة المريد إلى شيخ يأخذ عنه، ويقتبس من نوره، وأن صحبة الشيخ لا يغني عنها قراءة الكتب... Sheikh Al-Ustaz Al-Bahiy (murobbi Sheikh Al-Qaradhawi dalam Ikhwan) telah memikirkan untuk memilih Nukhbah dari kalangan pemuda Ikhwan yang terpilih, yang mana Sheikh akan mendekatkan mereka kepadanya, lalu memberi tarbiah kepada mereka dengan manhaj tarbiahnya lalu menyemai fikrah dan zauq (perasaan hubungan seseorang dengan Allah)-nya kepada mereka lalu mentarbiah mereka dengan latihan tarbiah akhlak (tarbiah sufi). Para ulama’ Tarbiah (ulama’ sufi muhaqqiqin) menetapkan bahawasanya seseorang murid itu memerlukan kepada seorang Sheikh (Murobbi) yang membimbingnya, yang memindahkan cahayanya, yang mana (kesan daripada) bersahabat dengan seorang Sheikh Murobbi tidak dapat dicapai dengan hanya sekadar dengan membaca kitab…” [Ibn Al-Qaryah wa Al-Kuttab: 283] Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna r.a. berkata, beliau banyak mendapat manfaat daripada bersahabat dengan mursyidnya dengan berkata: فقد أفادتني صحبتُه أعظم الفائدة Maksudnya: “Aku telah mendapat manfaat yang terbesar dengan bersahabat dengannya (Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi)…” [Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah] Oleh yang demikian juga, menurut Sheikh Sa’id Hawwa, Imam Hasan Al-Banna sendiri adalah seorang murobbi sufi yang mendapat izin untuk memberi tarbiah kerohanian dengan berkata: إن الصوفية عندهم اصطلاح المرشد الكامل، ولقد كان الأستاذ البنَّا مرشداً كاملاً بشهادة كبار الصوفية أنفسهم، وكان كذلك مجدداً والإخوة النواب هم خلفاؤه الحقيقيون، وهي قضية يجب أن تأخذ مضمونها الكامل في الدعوة Maksudnya: “Sesungguhnya golongan sufi menggunakan istilah Mursyid Kamil di sisi mereka. Maka, Imam Hasan Al-Banna r.a. adalah seorang mursyid yang kamil sebagaimana diakui sendiri oleh para ulama’ sufi yang besar sendiri. Beliau adalah Mujaddid sedangkan para naib beliau adalah khalifah beliau yang hakiki. Inilah aspek yang sangat penting untuk diambil intipatinya secara keseluruhan dalam sesuatu usaha dakwah. [Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 21] Aspek mendapat izin dan pengakuan daripada para murobbi sufi dalam tarbiah adalah intipati asas dalam bidang tarbiah khususnya di sisi Imam Hasan Al-Banna t.a. sendiri. Maka, inilah antara faktor penyumbang kepada keberkesanan dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun di awal penubuhannya. Sudut Kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun: Antara Kejahilan Sesetengah Pemuda dan Kebencian Golongan Anti-Sufi Apa yang dapat dipastikan, sudut kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun ini samada sudah mula pudar dalam pandangan sesetengah pemuda yang jarang meneliti sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun atau mula dipinggirkan. Ia berlaku samada kerana sesetengah pemuda banyak membaca buku-buku terkini dalam sesetengah jemaah dakwah yang tidak banyak menyentuh mengenainya atau terpengaruh dengan pemikiran Salafi moden (istilah Dr. Al-Qaradhawi: Az-Zhahiriyyah Al-Judud). Ini kerana, sesetengah penulis dan tokoh Ikhwan lebih banyak membahaskan perkara-perkara yang mereka anggap sebagai lebih penting berbanding membahaskan sudut kesufian dalam Al-Ikhwan samada kerana tidak mempedulikan hal tersebut atau menganggapnya sebagai suatu sejarah yang hampir terhakis. Kita lihat sesetengah mereka yang terlibat dengan dakwah ala-Ikhwan di sesetengah tempat tidak mengamalkan lagi dasar “mengadakan hubungan baik dan suhbah” dengan para murobbi sufi yang muhaqqiqin. Seolah-olah, hampir tiada para murobbi sufi yang terlibat dalam sesetengah jemaah tersebut samada secara langsung ataupun tidak. Ini mungkin kerana kejahilan mereka (sesetengah pemuda tersebut) tentang tradisi dan manhaj golongan salaf (secara bahasa: golongan terdahulu) Ikhwan yang sangat mendekati para murobbi sufi di zaman mereka. Berdasarkan sedikit pemerhatian, sudut kesufian dalam sesetengah jemaah berdakwah ala-Ikhwan mungkin hanya tinggal dalam lipatan sejarah atau dalam tulisan-tulisan turath mereka, bukan lagi secara praktikal. Barangkali, ianya membawa kepada kejatuhan dari sudut tarbiah dalam sesetengah jemaah tertentu kerana tidak mengambilnya daripada para murobbi sufi muhaqqiq sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah pengasas dan tokoh Ikhwan terdahulu. Penulis yang faqir melihat antara tulisan-tulisan yang ditulis oleh sesetengah aktivis Ikhwan sendiri yang kelihatan memandang atau menghukum kaum sufi secara umum sebagai suatu kelompok yang tidak melakukan usaha dakwah dan islah dalam masyarakat Islam, lalu sekadar berseronok-seronok dengan ibadah siang dan malam sahaja, tanpa menonjolkan ratusan malah ribuan ulama’-ulama’ sufi yang sudah menyebarkan dakwah Islam ke serata dunia sejak sebelum kelahiran Ikhwan lagi sehingga hari ini, antara punca sesetengah pemuda yang terlibat dengan dakwah Al-Ikhwan agak bersifat menjauhi para murobbi sufi secara menyeluruh. Antara tulisan-tulisan tersebut adalah seperti tulisan Kaifa Nad’u An-Nas oleh Muhammad Qutb, Azmah Muslimi Amrika Al-Latiniyyah fi Hadith Syamil oleh Ahmad Ali As-Saifi, Najm Ad-Du’ah Hasan Al-Banna oleh Dr. Taufiq Ulwan dan sebagainya yang menisbahkan kejahilan sesetengah masyarakat awam sufi kepada keseluruhan kelompok sufi sedangkan dalam kalangan mereka, masih ramai ulama’ sufi yang sangat giat dalam dakwah dan islah. Arus atau gelombang fikrah baru “ala-salafi” dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun mungkin antara punca menyebabkan wajah Al-Ikhwan kelihatan menjauhi para sufi muhaqqiqin, bukan sahaja dapat dikesan oleh para pemerhati dari luar, namun juga ianya dapat dikesan oleh para tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimun sendiri. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi misalnya turut menyebut tentang gelombang baru ini dengan menyebutnya sebagai Tayyyar Salafi lalu berkata: “Telah masuk juga dalam Al-Ikhwan fikrah yang baharu, yang mana sebahagiannya adalah aliran Salafi yang mana ramai daripada mereka yang berpegang dengannya (salafi tersebut) mempunyai gejala Tasyaddud (melampau) dan Harfiyyah (terlalu berpegang kepada zahir daripada nas-nas)… Ramai orang yang terpengaruh dengan arus pemikiran Salafi ini adalah mereka yang tinggal di Arab Saudi dan Kuwait. “Pemikiran lain (dalam Al-Ikhwan) adalah perkembangan daripada pemikiran As-Syahid Sayyid Qutub melalui buku beliau: Ma’alim Fi At-Tariq…Pemikiran ini membawa kepada bibit-bibit mengkafirkan umat Islam… Kedua-dua fikiran ini adalah Salafiyyah dan Qutubiyyah (yang menyelinap masuk dalam Al-Ikhwan)” [Ibn Al-Qaryah wa Al-Kuttab: juzuk 4, Isnin 1 September 2008]. Kemungkinan juga, sesetengah ahli dalam jemaah dakwah yang terpengaruh dengan pemikiran Salafiyyah atau Qutubiyyah yang dimaksudkan oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi inilah yang sangat berperanan membuang sudut kekuatan asal yang utama bagi Al-Ikhwan suatu ketika dahulu iaitulah sudut Haqiqah Sufiyyah atau Tarbiah Sufiyyah Sunniyah. Mungkin juga, dari minda baru dalam Al-Ikhwan inilah, sesetengah pengkaji dan ahli ilmu mengaitkan Al-Ikhwan (dengan minda baru ini) sebagai Tasyaddud, Salafiyyah Wahhabiyyah ataupun “garis keras” (merujuk istilah dalam buku Ilusi Negara Islam oleh Abdul Rahman Wahid yang dianalisis secara kritis di banyak lapangan kajian di serata Nusantara). Namun, bagi penulis, itu mungkin hanya merujuk kepada sesetengah mereka yang berpegang dengan Salafiyyah atau Qutubiyyah dalam Al-Ikhwan dan anak-anak fikrahnya, sedangkan golongan veteran (Salaf) terutamanya, atau sebahagian ahli ilmu (ulama’ dan cendikiawan) dalam Al-Ikhwan masih lagi berpegang dengan fikrah Hasaniyyah (Imam Hasan Al-Banna) dan mempertahankan sudut kesufian dalam Al-Ikhwan. Dari suatu sudut yang lain pula, sesetengah golongan yang terkenal sebagai anti-tasawwuf secara mutlak menolak Ikhwan Muslimin sehingga ada sampai menganggap Al-Ikhwan Al-Muslimun sebagai kelompok yang sesat kerana melihat sudut kesufian dan aqidah Al-Asya’irah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Sehinggakan, sesetengah mereka menggelar Al-Ikhwan Al-Muslimun sebagai Al-Ikhwan Al-Muflisun (Na’uzubillah). Adakah mereka tidak melihat hatta Sheikh Ibn Taimiyyah dan Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah sendiri mempunyai sudut kesufian mereka yang tersendiri? Adakah kedua-dua tokoh ini juga sanggup mereka tuduh sebagai sesat kerana sudut kesufian mereka? Kalaulah golongan sufi secara mutlak dan golongan Al-Asya’irah secara mutlak, yang merupakan majoriti umat Islam sejak zaman berzaman pun, mereka dituduh sesat, maka setakat Al-Ikhwan Al-Muslimun yang majoritinya mempertahankan kedua-duanya (sufi yang benar dan Al-Asya’irah), begitu mudah lagilah untuk dituduh sesat dan dikafirkan. Berbahagialah bersama-sama dengan majoriti umat Islam (As-Sawad Al-A’zhom) dan malang sungguhlah bagi mereka yang terpinggir dari golongan As-Sawad Al-A’zhom (Man Syazza Syazza fi An-Nar). Al-Ikhwan Al-Muslimun Menolak Sufi kerana Menentang Bid’ah? Sesetengah pihak melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun tidak sepatutnya disamakan dengan golongan sufi atau sekurang-kurangnya berusaha menafikan sudut kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun atas alasan Al-Ikhwan Al-Muslimun menentang bid’ah. Persoalannya, adakah dengan menentang bid’ah dholalah khususnya, membawa kepada menentang tasawwuf dan kesufian secara mutlak? Ini suatu hal yang tidak benar sama sekali. Sesetengah pengkaji menilai tiada sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun kerana mereka menentang bid’ah samada tidak faham hakikat ilmu tasawwuf dan kesufian ataupun tidak faham mafhum bid’ah di sisi Al-Ikhwan Al-Muslimun (merujuk kepada fikrah para pelopornya), ataupun tidak faham kedua-duanya. Ilmu tasawwuf dan tarbiah kaum sufi sebenarnya adalah tarbiah yang bertepatan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Malah, ianya adalah ijtihad para ulama’ dan murobbi sufi dalam mengambil sudut tarbiah daripada kedua-dua nas Islam tersebut. Maka, apa sahaja amalan dan perlaksanaan yang bercanggah dengan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah lalu dinisbahkan kepada tasawwuf dan sufi, maka tasawwuf dan sufi yang sebenar berlepas tangan daripada amalan-amalan tersebut. Inilah pegangan majoriti ulama’ Islam termasuklah Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim, Sheikh Muhammad Abduh, Sheikh Rasyid Redha dan sebagainya. Sheikh Rasyid Redha yang kuat menentang bid’ah juga turut mengakui peranan kaum sufi muhaqqiqin dengan berkata: “Kaum sufi satu-satunya telah memiliki salah satu rukun agama yang agung yang tidak seorang pun dapat mengalahkan mereka dalam hal ini, iaitu -rukun- mendidik berdasarkan ilmu, ahlak dan hakikat. Lalu, tatkala ilmu-ilmu dalam agama dikategorikan, para sheikh sufi menulis tentang akhlak dan muhasabah diri (muhasabatun nafsi) [Majalah liwa' Al-Islam bil. 10 thn. 9 bertajuk Nadwah Liwa' Al-Islam: Shufiyah wa 'alaqatuha fil Islam m/s 494]. Maka, seseorang itu tatkala menentang bentuk-bentuk bid’ah dholalah terutamanya, tidak bermakna dia juga menolak tarbiah sufiyyah dan ilmu tasawwuf secara menyeluruh. Begitulah sikap para ulama’ yang faham tentang hakikat sebenar tarbiah sufi dan ilmu tasawwuf Islam seperti Sheikh Ibn Taimiyyah dan sebagainya. Mungkin perbezaan pendapat tentang beberapa masalah cabang timbul antara sesetengah ulama’, khususnya tentang kebid’ahan sesuatu amalan, namun tidak membawa kepada saling bermusuhan secara besar-besaran. Ia kembali kepada bagaimana seseorang itu memahami bid’ah itu sendiri. Majoriti ulama’ memahami bid’ah secara lebih luas seperti Imam As-Syafi’e r.a., Imam Al-Izz bin Abd As-Salam, Imam An-Nawawi, Imam As-Suyuti, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dan sebagainya, berbanding sesetengah ulama’ yang memahaminya secara sebaliknya seperti Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim, Sheikh Muhamamd Abduh dan sebagainya. Adapun para pelopor Al-Ikhwan Al-Muslimun seperti Imam Hasan Al-Banna, Sheikh Umar At-Tilmisani, Sheikh Sa’id Hawwa dan sebagainya, memahami mafhum bid’ah sebagaimana difahami oleh majoriti ulama’ Islam khususnya di Al-Azhar, iaitu dengan maknanya yang lebih luas. Oleh sebab itu kita dapati, Imam Hasan Al-Banna tidak menolak amalan tawassul dalam berdoa malah menyambut Maulidul Rasul dan sebagainya. Malah, dari sudut lain juga, para ulama’ sufi muhaqqiqin juga sangat cenderung menolak bid’ah seperti yang dilakukan oleh Imam Junaid Al-Baghdadi r.a., Imam Al-Ghazali r.a., Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a., Imam Ahmad Ar-Rifa’ie r.a., Imam Ahmad Az-Zarruq r.a., Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad r.a. dan sebagainya yang giat menentang bentuk-bentuk bid’ah dholalah. Namun, mereka memahami bid’ah berbeza dengan sesetengah kelompok yang menyempitkan kefahaman terhadap bid’ah lalu mudah membid’ahkan perkara-perkara khilafiyyah. Kesimpulan Penulis tidak cenderung untuk membandingkan beberapa pemikiran-pemikiran cabang (sub) dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun yang berbeza dengan fikrah “sudut kesufian dalam Al-Ikhwan” (atau Haqiqah Sufiyyah) yang dipegang oleh para pelopor Al-Ikhwan Al-Muslimun seperti Imam Hasan Al-Banna, Ustaz Umar At-Tilmisani, Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud, Sheikh Sa’id Hawwa, Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti dan sebagainya yang kuat mempertahankan haqiqah sufiyyah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Ini kerana, tujuan penulisan ini hanyalah untuk mendedahkan sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya berdasarkan tokoh-tokoh awal Al-Ikhwan Al-Muslimun, samada ianya kini sudah tinggal sejarah atau tersembunyi secara tidak langsung. Adapun sikap sesetengah pemuda dalam Al-Ikhwan dan beberapa jemaah dakwah ala-Ikhwan yang dilihat tidak mempunyai hubungan rapat dengan para murobbi sufi, maka itu adalah keterpinggiran fikrah peribadi mereka berbanding kaum salaf (secara bahasa) Al-Ikhwan yang hampir dengan para murobbi sufi muhaqqiqin. Walaupun sesetengah pihak menganggap Al-Ikhwan Al-Muslimun menuju ke arah menjauhi sudut kesufian yang menjadi antara asas kekuatan mereka, namun penulis masih yakin, sudut tarbiah sufiyyah adalah kekuatan asas mereka yang perlu mereka (dan seluruh pendakwah dalam mana-mana jamaah harakiyyah) berpegang dengannya dan perlu mengambilnya daripada ahli tarbiah itu sendiri. Sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun itulah yang pernah, malah, sentiasa menjadi kekuatan utama dalam keberkesanan manhaj tarbiah ruhiyyah dalam jemaah tersebut yang seterusnya membawa kepada suatu dakwah yang berjaya dalam segenap aspek. Kalau aspek ini terus digilap dan dipertahankan dengan terus menjalinkan hubungan suhbah dengan para murobbi sufi muhaqqiqin maka tarbiah ruhiyyah dapat direalisasikan dengan lebih berkesan. Idea memperkemaskan tarbiah ruhiyyah dengan mengambil tarbiah di bawah para ulama’ murobbi sufi dan mengajak mereka membantu jemaah-jemaah dakwah adalah suatu idea yang sedang dibincangkan juga dalam sesetengah pihak (sebahagiannya menyebut sebagai idea “sufi haraki”). Semoga Allah s.w.t. membantu usaha para ulama’ dan pendakwah Islam dalam mengajak manusia kepada jalanNya yang diredhaiNya. Amin… Wallahu a’lam Disusun –dengan bantuan Allah s.w.t.- oleh: Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari ‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah 13 Jun 2009 Putrajaya, Malaysia Rujukan: Al-Qur’an Al-Karim Sahih Al-Bukhari Sahih Muslim Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari oleh Imam As-Sakandari As-Syazili r.a. Ihya’ Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali r.a. Risalah Al-Mustarsyidin oleh Imam Al-Muhasibi r.a. Al-Mawahib Al-Ladunniyyah oleh Imam Al-Qostollani r.a. Tasynif Al-Asma’ oleh Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah oleh Imam Hasan Al-Banna Risalah Al-Aqa’id oleh Imam Hasan Al-Banna Risalah Muktamar Kelima oleh Imam Hasan Al-Banna Risalah At-Ta’lim oleh Imam Hasan Al-Banna At-Tafsir As-Siyasi lil Islam oleh Imam Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi Jaulat min Al-Fiqhain oleh Sheikh Sa’id Hawwa Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah oleh Sheikh Sa’id Hawwa Syahid Al-Mihrab Umar bin Al-Khattab oleh Al-Ustaz Umar At-Tilmisani Al-Ikhwan Al-Muslimun: Ahdaath Sana’at At-Tarikh oleh Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud Fi Qofilah Al-Ikhwan Al-Muslimin oleh Al-Ustaz Abbas As-Sisi Al-Hayah Ar-Rabbaniyyah wa Al-‘Ilm oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi Ummatuna Baina Qarnain oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi Kaifa Nad’u An-Nas oleh Muhammad Qutb At-Tasawwuf wa Harakah Al-Islah wa At-Tajdid oleh Muhammad Sholeh bin Ahmad Al-Gharsi Al-Ikhwan Al-Muslimun: Kubra Al-Harakat Al-Islmiyyah¬- Syubhat wa Rudud oleh Al-Ustaz Taufiq Al-Wa’ie Al-Ikhwan Al-Muslimun wa As-Shufiyyah oleh Sheikh ‘Abduh Musthafa Dasuki Hasan Al-Banna Al-Murobbi Al-Mujaddid oleh Ustaz Abdul Aziz Kahil Halawah Al-Iman Wa Nur Al-‘Ibadah oleh Ustaz Jum’ah Amin Zahirah Ad-Du’ah Al-Judud… Ar-Ru’yah Al-Mu’arradhah oleh Dr. Khalid Fahmi Ar-Rajul Allazi Ahya Fikratahu bi Mautihi oleh Dr. Mamduh Al-Munir Najm Ad-Du’ah Hasan Al-Banna oleh Dr. Taufiq Ulwan Ibn Al-Qaryah wa Al-Kuttab Majalah liwa' Al-Islam bil. 10 thn. 9 bertajuk Nadwah Liwa' Al-Islam: Shufiyah wa 'alaqatuha fil Islam Al-Ikhwan Al-Muslimun: Mabda’ wa Fikrah wa Aqidah tahun 1936 Azmah Muslimi Amrika Al-Latiniyyah fi Hadith Syamil oleh Ahmad Ali As-Saifi Al-Ikhwan wa As-Shufiyyah Maadhin ghair Musta’ad oleh Husam Tamam Risalah Al-Ikhwan wa As-Siyasah Al-Hizbiyyah (1) Sheikh ‘Abduh Mustofa Dusuki www.ikhwanonline.com