Sabtu, Disember 24

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 29: KEBEBASAN (HURRIYAH)

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Rasulullah saw telah mengatakan, “Apa pun yang mencukupi keperluan seseorang, beerti cukup untuk siapa pun dari kamu. Semua perjalanan hanya akan berakhir pada empat hasta tanah [kuburan], dan segala sesuatu akan kembali kepada tempat kembalinya.”
Kebebasan beerti bahawa si hamba bebas dari bergantung dengan sesama makhluk; kekuasaan makhluk tidak berlaku atas dirinya. Tanda adanya kebebasan adalah bahawa seseorang tidak lebih menyukai satu hal daripada hal lainnya dalam hatinya, hingga semua kemungkinan kejadian duniawi ini sama saja baginya.
Harithsah ra mengatakan kepada Rasulullah saw, “Saya telah menjauhi dunia. Batu dan emas yang ada di bumi tidak ada bezanya bagi saya.” Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq menyatakan, “Orang yang datang ke dunia ini dalam keadaan bebas darinya, akan berangkat ke akhirat dalam keadaan bebas pula darinya.”
Ketahuilah bahawa kebebasan diperoleh dari penghambaan sepenuhnya, sebab jika penghambaan seseorang adalah ikhlas demi Allah, maka kebebasannya akan sempurna, bersih dari bergantung dengan selain Allah. Mengenai mereka yang mengkhayalkan bahawa ada waktu di mana seseorang boleh melepaskan ikatan perhambaan dan berpaling dari pembatasan yang tersirat dalam perintah dan larangan Allah, sementara dia dalam keadaan sihat akal, maka itu adalah kemurtadan.
وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأۡتِيَكَ ٱلۡيَقِينُ 
Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin. (Al-Hijr: 99)
Manakala para sufi berbicara tentang kebebasan, yang mereka maksud adalah bahawa si hamba tidak berada di bawah perbudakan oleh sesama makhluk ataupun diperbudak oleh perubahan keadaan kehidupan duniawi mahupun ukhrawi; dia akan sama sepenuhnya mengabdi kepada Allah Yang Ahad. Tidak sesuatu pun yang memperbudaknya, baik hal-hal duniawi yang bersifat sementara, pencarian kepuasan hawa nafsu, keinginan, permintaan, niat, keperluan ataupun kekayaan.
Asy-Syibli pernah ditanya, “Apakah anda tidak tahu bahawa Allah Maha Penyayang?” Beliau menjawab, “Tentu. Tapi kerana aku telah tahu bahawa Dia Maha Penyayang, maka aku tidak pernah meminta kepada-Nya agar menyayangiku.”
Para syeikh telah berbicara banyak tentang kebebasan. Al-Husain bin Mansur menyatakan, “Barangsiapa yang mengkehendaki kebebasan, hendaklah dia rela dalam perhambaan.” Ketika Junaid diberitahu mengenai seseorang yang kekayaan duniawinya hanya sebesar embun yang menempel di butir kurma, dia berkata, “Hamba yang masih terikat akan tetap menjadi hamba selama dia masih memiliki satu dirham pun.”
Dia juga mengatakan, “Engkau tidak akan mencapai kebebasan sejati selama masih ada setitik hakekat penghambaan kepada-Nya yang masih belum kau capai.”
Ketahuilah bahawa jenis kebebasan yang paling besar dihasilkan dari melayani orang-orang miskin. Abu Ali Ad-Daqqaq mengatakan bahawa Allah telah mengajarkan kepada Dawud as, “Jika engkau menjumpai seorang manusia yang mencari-Ku, maka layanilah dia.”
Nabi saw mengatakan, “Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka.”
Ibrahim bin adham berkata, “Orang yang mulia memindahkan dirinya dari dunia ini sebelum dia diambil darinya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan