Sabtu, Disember 24

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 18: SYUKUR

Diriwayatkan oleh Abu Khabab, berkata Atha’, “Aku bersama ‘Ubaid bin Umair mengunjungi Aisyah ra dan berkata kepadanya, “Ceritakanlah kepada kami sesuatu yang paling mengagumkan yang Ibunda lihat pada Rasulullah saw.” Beliau menangis dan bertanya, “Apakah yang beliau lakukan, yang tidak mengagumkan? Suatu malam, beliau datang kepadaku, dan kami tidur di tempat tidurku [atau mungkin Aisyah berkata ‘di bawah selimutku’] hingga tubuh beliau bersentuhan dengan tubuhku. Setelah beberapa waktu, beliau berkata, “Wahai puteri Abu Bakar, izinkanlah aku bangun untuk beribadat kepada Tuhanku.” Aku menjawab, “Saya begitu senang berdekatan dengan tuan, tapi aku mengizinkanmu.” Kemudian beliau bangun, pergi ke tempat bekas air dan berwudhu’ dengan mencucurkan banyak air, lalu solat. Beliau mulai menangis hingga air matanya menitis ke dadanya, kemudian beliau ruku’ dan terus menangis, lalu sujud dan terus menangis. Terus-menerus beliau dalam keadaan demikian sampai Bilal datang dan memanggil beliau untuk solat Subuh. Aku bertanya kepada beliau, “Apakah yang menyebabkan tuan menangis, sedangkan Allah telah mengampuni dosa-dosa tuan, baik yang dahulu mahupun kemudian?” Beliau menjawab, “Tidakkah aku mesti menjadi seorang hamba yang bersyukur? Bagaimana aku tidak akan menangis sedangkan Allah telah menurunkan ayat ini kepadaku,

إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ 
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190)
Allah SWT bersifat menysukuri (Asy-Syakur) dalam erti menyebar luaskan anugerah-Nya, bukan dalam erti harfiah, Ini bererti bahawa Dia memberi ganjaran bagi sifat bersyukur. Kerananya, Dia telah menetapkan bahawa balasan bagi sikap bersyukur adalah sikap bersyukur pula (di pihak-Nya) sebagaimana telah dinyatakan-Nya
وَجَزَٲٓؤُاْ سَيِّئَةٍ۬ سَيِّئَةٌ۬ مِّثۡلُهَا‌ۖ فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ 
Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim. (Asy-Syura: 40)

Dikatakan bahawa bersyukurnya Allah adalah melalui pemberian balasan yang melimpah bagi amal yang sedikit.
Bersyukurnya seorang hamba kepada Allah SWT adalah penghargaan kepada-Nya dengan mengingat-ingat anugerah yang telah diberikan oleh-Nya. Sebaliknya, bersyukurnya Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dengan mengingat kebaikan si hamba itu kepada-Nya. Kebaikan si hamba adalah kepatuhan kepada Allah SWT, sedangkan kebaikan Allah adalah dengan memberikan rahmat-Nya kepada si hamba dengan menjadikan dia mampu menyatakan syukur kepada-Nya.
Syukur dibahagi kepada menjadi: syukur dengan lidah, yang berupa pengakuan atas anugerah dalam darjat kepasrahan; syukurnya tubuh dan anggota-anggota badan, yang beerti mengambil sikap setia dan mengabdi; syukurnya hati , dengan mengundurkan diri ke titik syahadah dengan terus-menerus melaksanakan penghormatan. Dikatakan bahawa kaum terpelajar bersyukur dengan lidah mereka, kaum pecinta bersyukur dengan perbuatan mereka, dan kaum arifin (ahli makrifat) bersyukur dengan ketabahan mereka terhadap-Nya di dalam setiap keadaan mereka.
Al-Junaid berpendapat, “Ada kekurangan dalam bersyukur, kerana manusia yang bersyukur melihat peningkatan bagi dirinya sendiri; jadi dia sedar akan bahagian untuk dirinya di saat ia juga sedar akan Tuhan.”
Abu Utsman menyatakan, “Bersyukur adalah mengakui ketidakmampuan diri untuk menjadi orang yang bersyukur.”
Dikatakan, “Bersyukur atas kemampuan untuk bersyukur adalah lebih lengkap daripada bersyukur sahaja. Ini disebabkan engkau menganggap bahawa beryukurmu datang kerana Dia telah memberikan kemampuan kepadamu untuk itu, dan bahawa tindakan-Nya itu termasuk anugerah yang paling besar terhadapmu. Jadi engkau bersyukur atas kebersyukuranmu, dan kemudian engkau bersyukur terhadap bersyukurmu atas kebersyukuranmu, dan seterusnya berlan-ulang secara tidak terhingga.”
Dikatakan, “Bersyukur adalah menisbatkan augerah kepada pemiliknya yang sejati dengan sikap kepasrahan.” Al-Junaid mengatakan, “Bersyukur adalah bahawa engkau tidak memandang dirimu layak menerima anugerah.”
Dikatakan, “Orang yang bersyukur (syakir) adalah orang yang bersyukur atas apa yang ada, dan orang yang sangat bersyukur (syakur) adalah dia yang bersyukur atas apa yang tidak ada.” Dikatakan, “Orang yang bersyukur (syakir) berterima kasih atas pemberian, manakala orang yang sangat bersyukur (syakur) berterima kasih kerana tidak diberi.”
Asy-Syibli menjelaskan, “Syukur adalah kesedaran akan Sang Pemberi Anugerah, bukan kesedaran akan anugerahnya.”
Abu Utsman menyatakan, “Kaum awam bersyukur kerana diberi makan dan pakaian, sedangkan kaum terpilih bersyukur atas makna-makna yang memasuki hati mereka.”
Dikatakan bahawa Daud as bertanya, “Wahai Tuhanku, bagaimana aku dapat bersyukur kepada-Mu sedangkan tindakan-Mu bersyukur itu sendiri adalah anugerah dari-Mu?” Allah mewahyukan kepadanya, “Engkau baru sahaja bersyukur.” Dikatakan bahawa Musa as mengatakan dalam dia munajatnya, “Ya Allah, Engkau telah menciptakan Adam dengan tangan-Mu, dan Engkau telah begin dan begitu [baginya]. Bagaimana dia bersyukur kepada-Mu?” Allah menjawab, “Ia mengetahui bahawa semua itu berasal dari-Ku, dan dengan begitu pengetahuannya tentang semua itu adalah tanda syukurnya kepada-Ku.”
Seseorang mendatangi Sahl bin Abdullah dan mengatakan kepadanya, “Seseorang pencuri telah memasuki rumahku dan mencuri barang-barangku!” Sahl berkata, “Bersyukurlah kepada Allah SWT. Seandainya seorang pencuri [yakni syaitan] memasuki hatimu dan merosak imanmu kepada tauhid, apa yang akan kau perbuat?”
Diaktakan, “Syukurnya mata adalah bahawa engkau menyembunyikan cacat yang engkau lihat pada sahabatmu, dan syukurnya telinga adalah engkau menyembunyi cacat yang kau dengar tentang dia.”
Dikatakan juga, “Syukur adalah menyibukkan diri dalam memuji-Nya kerana Dia telah memberimu apa yang kau tidak layak menerimanya.”
Al-Junaid menuturkan, “Manakala As-Sari berkehendak untuk mengajarku, dia biasanya mengajukan sebuah persoalan kepadaku. Suatu hari, As-Sari bertanya kepadaku, “Wahai Al-Junaid, apakah syukur itu?” Aku menjawab, “Syukur adalah jika tidak satu bahagian pun dari anugerah Allah SWT digunakan untuk bermaksiat kepada-Nya.” Dia bertanya lagi, “Bagaimana engkau sampai kepada [pengetahuan] ini? Aku menjawab, “Dengan duduk-duduk bersamamu.”
Diceritakan bahawa Al-Hassan bin Ali pernah bergayut pada sebuah tiang dan bermunajat, “Tuhanku, Engkau telah memberkati aku, namun tidak Kau dapati aku bersyukur. Engkau telah mengujiku, namun tidak Kau dapati aku bersabar. Namun Engkau tidak menahan anugerah-Mu kerana aku tidak bersyukur, dan Engkau tidak memanjangkan kersengsaraan kerana aku tidak bersabar. Tuhanku, hanya ada kemurahan dari Yang Maha Pemurah.”
Dikatakan, “Jika tanganmu tidak dapat kau gunakan untuk meraih pahala, maka engkau mesti lebih banyak mengucap syukur dengan lidahmu.”
Juga dikatakan bahawa ketika Idris as memperoleh khabar pengampunan, dia memohon diberi panjang umur. Ketika dia ditanya tentang permohonan itu, dia menjawab, “Agar aku dapat bersyukur kepada-Nya, kerana sebelum ini aku telah berjuang hanya untuk memperoleh ampunan.” Kemudian seorang malaikat menebarkan sayapnya dan membawanya ke langit.
Diceritakan bahawa salah seorang nabi Allah berjalan melewati sebuah batu kecil yang memancarkan air. Hal ini menghairankan nabi tersebut. Kemudian Allah menjadikan batu itu berbicara kepadanya, katanya, “Ketika aku mendengar Allah SWT berfirman
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ 
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim: 6)

Aku menangis kerana takut”. Nabi itu kemudiannya mendoakan agar Allah melindungi batu itu dari api neraka, dan Allah mewahyukan kepadanya, “Aku telah menyelamatkanya dari neraka.” Maka nabi itu lalu meneruskan perjalannya. Ketika dia kembali melewati batu itu, dia melihat air menyembur darinya seperti sebelumnya, yang membuatkannya hairan. Sekali lagi Allah menjadikan batu itu dapat berbicara, dan nabi itu lalu bertanya, “Mengapa engkau masih menangis sedangkan Allah telah mengampunimu?” Batu itu menjawab, “Sebelum ini, aku menangis kerana takut dan sedih, sekarang aku menangis kerana kerana syukur dan gembira.”
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ 
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Ibrahim: 7)
Diceritakan bahawa Allah SWT menyampaikan wahyu kepada Musa as, “Aku melimpahkan rahmat kepada hamba-hambaKu; mereka yang dicuba dengan penderitaan mahupun mereka yang dihindarkan darinya.” Musa bertanya, “Mengapa pula terhadap mereka yang dihindarkan dari penderitaan?” Allah SWT menjawab, “Dikeranakan kecilnya syukur mereka atas dihindarkannya mereka dari penderitaan itu.”
Dikatakan, “Pujian kepada Allah (Al-Hamd) adalah untuk nafas, dan syukur untuk anugerah pancaindera.”
Dalam sebuah hadis sahih dikatakan bahawa, “Orang pertama dipanggil masuk syurga adalah orang yang bersyukur kepada Allah dalam setiap keadaan.”
Dikatakan pula, “Pujian adalah untuk apa yang tidak diberikan, dan syukur untuk apa yang telah dilakukan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan