Sabtu, Disember 24

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 28: MALU (HAYA’)

أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ 
“Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?” (Al-Alaq: 14)
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah saw telah menyatakan, “Malu adalah sebahagian daripada iman.”. Diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud bahawa pada suatu hari Rasulullah saw menyatakan kepada para sahabatnya, “Malulah kamu sekalian di hadapan Allah dengan sebenar-benar malu.” Mereka berkata, “Tapi kami sudah merasa malu wahai Rasulullah, dan segala puji bagi-Nya!” Beliau berkata, “Itu bukanlah malu yang sebenarnya. Orang yang ingin malu dengan sebenar-benarnya di hadapan Allah hendaklah menjaga fikiran dan bisikan hatinya, hendaklah dia menjaga perutnya dan apa yang dimakannya, hendaklah dia mengingat mati dan fitnah kubur. Orang yang mengkehendaki akhirat hendaklah meninggalkan perhiasan-perhiasan kehidupan duniawi. Orang yang melakukan semua ini, beerti dia memiliki rasa malu di hadapan Allah”
Mukhlas menuturkan bahawa ayahnya telah mengatakan kepadanya, “Salah seorang bijaksana telah mengatakan kepadanya, ‘Jagalah agar malu tetap hidup dalam hatimu dengan cara berteman dengan orang yang terhadapnya orang-orang lain merasa malu.”
Ibn Atha' menegaskan, “Bahagian terbesar dari ilmu adalah rasa gentar dan malu. Jika yang dua ini lenyap, tidak ada lagi kebaikan yang tersisa dalam hati.
Dzun Nun Al-Mishri berkata, “Malu beerti bahawa engkau merasakan kegentaran dalam hatimu, sangat takut akan dan menyedari keburukan-keburukan yang telah engkau lakukan di hadapan Allah di waktu yang lalu.” Dia juga mengatakan, “Cinta membuat orang berbicara, malu membuat orang terdiam, dan takut membuat orang gelisah.”
Abu Utsman mengatakan, “Orang yang berbicara tentang malu namun tidak merasa malu akan apa yang dikatakannya di hadapan Allah beerti telah tertipu beberapa darjat.”
As-Sari mengatakan, “Malu dan keakraban masuk ke dalam hati seseorang. Jika keduanya menemukan warak dan zuhud, maka mereka akan menetap. Jika tidak, mereka akan meneruskan perjalanan.”
Al-Jurairi mengabarkan, “Pada generasi pertama [kaum Muslimin], orang menaruh perhatian pada agama, sampai agama menjadi lemah. Pada generasi kedua, mereka menekankan kesetiaan, sampai kesetiaan lenyap. Pada generasi ketiga, mereka menekankan kesatrian (futuwwah) sampai ia lenyap. Pada generasi keempat, mereka menekankan rasa malu sampai ia lenyap. Sekarang orang beramal kerana hasrat [ akan pahala] dan takut [akan seksa].
Dikatakan tentang firman Allah SWT,
وَلَقَدۡ هَمَّتۡ بِهِۦ‌ۖ وَهَمَّ بِہَا لَوۡلَآ أَن رَّءَا بُرۡهَـٰنَ رَبِّهِۦ‌ۚ ڪَذَٲلِكَ لِنَصۡرِفَ عَنۡهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلۡفَحۡشَآءَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ مِنۡ عِبَادِنَا ٱلۡمُخۡلَصِينَ 
Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji kerana sesungguhnya dia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. (Yusuf: 24)
bahawa “tanda” di sini adalah bahawa ketika wanita itu menutupkan selembar kain kepada sebuah patung yang ada di sudut ruangan. Ketika Yusuf bertanya kepadanya yang dilakukannya, dia menjawab, “ Aku malu [melakukan ini] di hadapannya.” Yusuf berkata, “Aku lebih punya alasan lagi untuk malu di hadapan Allah SWT.”
Dikatakan mengenai firman Allah SWT,
فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلۡتَ إِلَىَّ مِنۡ خَيۡرٍ۬ فَقِيرٌ۬

فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَٮٰهُمَا تَمۡشِى عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٍ۬ قَالَتۡ إِنَّ أَبِى يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَا‌ۚ فَلَمَّا جَآءَهُ ۥ وَقَصَّ عَلَيۡهِ ٱلۡقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفۡ‌ۖ نَجَوۡتَ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ 
Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan. (24) Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu. (Al-Qasas: 25)
bahawa, dia malu kepada Musa kerana menawarkan jamuan, dan malu kalau-kalau Musa menolak. Jadi malu adalah sifat tuan rumah. Itu adalah jenis malu yang muncul dari kemurahan hati.
Abu Sulaiman Ad-Darani menyatakan, “Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-Ku, selama engkau malu di hadapan-Ku, Aku akan membuat manusia lupa akan kekuranganmu, Aku akan membuat kawasan-kawasan di dunia lupa akan dosa-dosamu. Aku akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dari buku catatan takdir, dan Aku tidak akan membuat perhitungan amalmu pada Hari Kebangkitan.”
Seseorang bertanya kepada seseorang laki-laki yang terlihat solat di luar masjid, “Mengapa engkau tidak masuk dan solat di dalam?” Dia menjawab, “Saya malu memasuki rumah Allah kerana saya telah bermaksiat kepada-Nya.” Salah satu tanda bahawa seseorang memiliki rasa malu adalah bahawa dia tidak pernah terlihat dalam situasi yang membuatnya malu.
Salah seorang sufi menuturkan, “Suatu malam kami keluar dan melewati semak belukar. Kami lihat ada orang tidur di situ, sedang kudanya makan rumput dekat kepalanya. Kami membangunkan orang itu dan bertanya kepadanya, “Tidakkah engkau takut tidur di tempat yang mengerikan dan penuh binatang buas ini?” Dia mengangkat kepalanya dan menjawab, “Di hadapan-Nya, saya malu menakuti apa pun selain Dia.” Kemudian diletakkannya kepalanya kembali dan diteruskannya tidurnya.”
Allah SWT mewahyukan kepada Isa as, “Peringatkanlah dirimu. Jika ia menghiraukan peringatan itu, maka peringatkanlah manusia. Jika tidak, maka malulah kepada-Ku untuk memperingatkan manusia.”
Dikatakan bahawa ada beberapa macam malu. Yang pertama: adalah malu yang dikeranakan melakukan perlanggaran, seperti malunya Adam as, ketika dia ditanya, “Apakah engkau berniat lari daripada Kami?” Dia menjawab, “Tidak, aku malu di hadapan-Mu.”
Yang kedua: adalah malu kerana tidak mampu, seperti malunya para malaikat yang mengatakan, “Maha Suci Engkau! Kami telah menyembah-Mu tidak sebagaimana selayaknya Engkau disembah.”
Yang ketiga: adalah malu kerana menyaksikan kebesaran Tuhan, seperti malunya Israfil as, yang menutup sayapnya ke tubuhnya kerana malu pada Allah. Yang keempat: adalah malu kerana ketinggian budi, seperti malunya Rasulullah saw ketika beliau malu untuk menyuruh pergi tamu-tamu beliau dan Allah SWT lalu berfirman [kepada kaum Muslimin Madinah],
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتَ ٱلنَّبِىِّ إِلَّآ أَن يُؤۡذَنَ لَكُمۡ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيۡرَ نَـٰظِرِينَ إِنَٮٰهُ وَلَـٰكِنۡ إِذَا دُعِيتُمۡ فَٱدۡخُلُواْ فَإِذَا طَعِمۡتُمۡ فَٱنتَشِرُواْ وَلَا مُسۡتَـٔۡنِسِينَ لِحَدِيثٍۚ إِنَّ ذَٲلِكُمۡ ڪَانَ يُؤۡذِى ٱلنَّبِىَّ فَيَسۡتَحۡىِۦ مِنڪُمۡۖ وَٱللَّهُ لَا يَسۡتَحۡىِۦ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ وَإِذَا سَأَلۡتُمُوهُنَّ مَتَـٰعً۬ا فَسۡـَٔلُوهُنَّ مِن وَرَآءِ حِجَابٍ۬ۚ ذَٲلِڪُمۡ أَطۡهَرُ لِقُلُوبِكُمۡ وَقُلُوبِهِنَّۚ وَمَا كَانَ لَڪُمۡ أَن تُؤۡذُواْ رَسُولَ ٱللَّهِ وَلَآ أَن تَنكِحُوٓاْ أَزۡوَٲجَهُ ۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦۤ أَبَدًاۚ إِنَّ ذَٲلِكُمۡ ڪَانَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah dia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah. (Al-Ahzab: 53)
Yang kelima: adalah malu kerana segan, seperti malunya Ali bin Abi Thalib ra ketika dia menyuruh Miqdad bin Al-Aswad untuk menanyakan kepada Nabi saw tentang darah haid Fatimah ra. Yang keenam: adalah malu kerana menganggap sesuatu sebagai terlalu remeh untuk diungkapkan, seperti malunya Musa as ketika dia menyatakan, “Aku memerlukan sesuatu daru dunia ini, dan aku malu meminta kepada-Mu, wahai Tuhanku,” dan Allah lalu mengatakan kepadanya, “Mintalah kepada-Ku, bahkan untuk adunan roti dan jerami untuk domba-dombamu.”
Akhirnya: ada malu kerana sifat belas kasih, yang merupakan malunya Allah SWT. Dia memberikan buku yang dimeteri kepada seorang hamba setelah dia ini melewati jambatan di akhirat. Di dalam buku itu tertulis, “Engkau telah melakukan dosa ini dan itu.” Allah SWT berfirman, “Aku malu menunjukkannya kepadamu, kerana itu pergilah; aku telah mengampunimu.”

Pendapat tentang riwayat ini, Yahya bin Muadzz berkata, “Subhanallah! Maha Suci Dia yang kepada-Nya seorang hamba telah berbuat dosa, tapi justru Dia malu kepadanya!”
Al-Fudhail bin Iyadh menjelaskan, “Ada lima tanda celaka se0rang manusia: kerasnya hati, bengisnya pandangan, tiadanya rasa malu, hasrat terhadap dunia, dan harapan yang tidak terbatas terhadap keuntungan duniawi.”
Dalam salah satu kitab wahyu, Allah berfirman, “Hamba-Ku telah tidak memperlakukan Aku dengan adil. Dia berdoa kepada-Ku dan Aku merasa malu jika tidak mengabulkan doanya, tapi dia bermaksiat kepada-Ku tanpa merasa malu terhadap-Ku.”
Yahya bin Muadz menyatakan, “Bagi manusia yang malu di hadapan Allah ketika dia taat, maka Allah akan malu [menghukumnya] ketika dia melakukan dosa.
Manakala seseorang duduk di hadapan sekumpulan manusia, memperingatkan dan menasihati mereka, maka kedua malaikatnya berseru kepadanya, “Peringatkanlah dirimu sebagaimana engkau memperingatkan saudaramu. Jika tidak, malulah engkau di hadapan Tuhanmu, sebab Dia melihatmu.”
Ketika Al-Junaid ditanya tentang malu dia menjawab, “Keadaan yang disebut “malu” lahir dari pengetahuan bahawa rahmat Allah terus tercurah sekalipun orang yang bersangkutan lalai.”
Al-Wasiti berpendapat, “Orang yang melanggar batas-batas [yang ditetapkan Allah] atau melanggar sumpah beerti belum pernah disengat malu.”
Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq mengatakan, “Malu beerti meninggalkan semua kepura-puraan di hadapan Allah.” Abu Bakr Al-Warraq menuturkan, “Kadang-kala saya solat dua rakaat kepada Allah SWT dan membatalkannya kerasa merasa malu seperti seorang pencuri mengundurkan diri dari rumah yang dimasukinya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan