Sabtu, Disember 24

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 26: IKHLAS

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُ‌ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحۡكُمُ بَيۡنَهُمۡ فِى مَا هُمۡ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى مَنۡ هُوَ كَـٰذِبٌ۬ ڪَفَّارٌ۬ 
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Az-Zumar: 3)
Anas bin Malik ra menuturkan bahawa Rasulullah saw telah menyatakan, “Kedengkian tidak akan masuk ke dalam hati seseorang Muslim jika dia menetapi tiga perkara: ikhlas kepada Allah dalam semua perbuatannya, memberikan nasihat yang tulus kepada penguasa, dan tetap berkumpul dengan masyarakat Muslim.”
Sebuah hadith sahih menyatakan bahawa Nabi saw menuturkan, berdasarkan riwayat Jibril as, yang menuturkan tentang Allah SWT, bahawa Dia telah berfirman, “Keikhlasan adalah rahsia yang diambil dari rahsia-rahsia-Ku. Aku telah menempatkannya sebagai amanat di hati hamba-hamba yang Ku-cintai.”
Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq menyatakan, “Keikhlasan adalah menjaga diri dari [perhatian terhadap] pandangan manusia, dan sifat amanah beerti membersihkan diri dari kesedaran akan diri sendiri. Orang yang ikhlas tidaklah bersikap munafik dan orang yang amanah tidaklah sombong.”
Abu Ya’qub As-Susi menyatakan, “Apabila mereka melihat keikhlasan di dalam keikhlasan mereka, maka keikhlasan mereka itu memerlukan keikhlasan.” Dzun Nun menjelaskan, “Ada tiga tanda keikhlasan: manakala orang yang bersangkutan memandang pujian dan celaan manusia sama saja; apabila mengerjakan amal kebaikan dia tidak menyedari, bahawa dia sedang mengerjakan amal kebaikan; dan jika dia lupa akan haknya untuk memperoleh pahala di akhirat kerana amal baiknya.”
Abu Utsman Al-Maghribi menyatakan, “Keikhlasan adalah keadaan di mana nafsu tidak memperoleh kesenangan. Ini adalah ikhlasnya orang awam. Mengenai ikhlasnya manusia pilihan, keihlasan datang kepada mereka bukan dengan perbuatan mereka sendiri. Amal kebaikan lahir dari mereka, tetapi mereka terpisah dengannya. Mereka tidak menyedari perbuatan baik mereka, tidak pula mereka punya perhatian terhadapnya. Itulah keikhlasan kaum pilihan.”
Abu Bakr Ad-Daqqaq menegaskan, “Cacat keikhlasan dari masing-masing orang yang dikatakan ikhlas adalah dari kesedarannya sendiri akan keikhlasan itu. Jika Allah mengkehendaki untuk memurnikan keikhlasannya, Dia akan menjadikannya tidak menyedari keikhlasannya sendiri, dan jadilah dia ikhlas [oleh Tuhan, mukhlash], bukan ikhlas [kerana dirinya sendiri, mukhlish].” Sahl berkata, “Hanya orang yang ikhlas (mukhlish) sajalah yang mengenal akrab kemunafikan.”
Abu Sa’id Al-Kharraz menyatakan, ‘Kemunafikan kaum arifin adalah lebih baik dari ikhlasnya para murid.”
Hudzaifah Al-Mar’asyi berpendapat, “Keikhlasan beerti bahawa perbuatan-perbuatan si hamba adalah sama, baik lahir mahupun batinnya.” Al-Fudhail menyatakan, “Menghentikan amal-amal baik kerana manusia adalah munafik, dan melaksanakannya kerana manusia adalah musyrik. Ikhlas beerti Allah menyembuhkanmu dari dua penyakit ini.”
Al-Junaid mengatakan, “Keikhlasan adalah rahsia antara Allah dengan si hamba. Bahkan malaikat pencatat tidak mengetahui sedikit pun mengenainya untuk dapat dituliskannya [dalam catatan amal seseorang]. Syaitan tidak mengetahuinya hingga dia tidak dapat merosakkannya, nafsu pun tidak menyedarinya sehingga ia tidak dapat mempengaruhinya.”
Ruwaym menjelaskan, “Ikhlas dalam berbuat kebaikan beerti bahawa orang yang melakukannya tidak menginginkan pahala baik di dunia mahupun di akhirat, tidak pula dia mencari perlakuan baik dari dua malaikat yang menanyai orang mati [ di dalam kubur].”
Ditanyakan kepada Sahl bin Abdullah, “Apakah hal yang paling berat pada diri manusia?” Dia menjawab, “Keikhlasan, sebab diri manusia tidak punya bahagian di dalamnya.”
Ketika ditanya tentang keikhlasan, salah seorang sufi menjawab, “Ikhlas beerti engkau tidak memanggil siapa pun selain Allah untuk menjadi saksi atas perbuatanmu.”
Salah seorang sufi menuturkan, “Aku menemui Sahl bin Abudllah pada suatu hari Jumaat di rumahnya sebelum solat. Ada seekor ular di rumahnya, hingga aku ragu-ragu di pintu. Dia berseru, “Masuklah! Tidak seorang pun yang mencapai hakikat iman jika dia masih takut pada sesuatu pun di atas bumi.” Kemudian dia bertanya, “Apakah engkau hendak mengikuti solat Jumaat?” Aku menjawab, “Jarak dari sini ke masjid di depan kita adalah sejauh perjalanan sehari semalam.” Maka dia lalu menjabat tanganku, dan sesaat kemudian kamu telah berada di masjid itu. Kami masuk ke dalam dan solat, kemudian keluar. Sahl berdiri di situ, melihat orang banyak, dan berkata, “Banyak orang yang mengucapkan LA ILAHA ILLA LLAH, tapi sedikit sekali yang ikhlas.”
Makhul menyatakan, “Seorang hamba yang ikhlas selama 40 hari akan mengalami kebijaksanaan yang memancar dari hati dan lidahnya.” Yusuf bin Al-Husain berpendapat, “Milikku, yang paling beharga di atas dunia ini adalah keikhlasan. Betapa kerapnya aku telah berjuang untuk membebaskan hatiku dari kemunafikan, namun setiap kali aku berhasil, ia muncul lagi dalam selubung yang lain!”
Abu Sulaiman berkata, “Jika seorang hamba berikhlas, maka gelombang godaan dan kemunafikan akan berhenti.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan