Tanah Melayu telah menerima Islam kira-kira 700 tahun dahulu hasil
usaha para pendakwah yang tidak mengenal penat dan lelah mnyampaikan
agama ALLAH kepada kita. Mereka meninggalkan tanah air dan merantau ke
serata pelusuk dunia bagi menyebarkan ajaran Tauhid.
Apa yang perlu kita lihat di sini ialah kejayaan para ulama ini dalam
menyampaikan dakwahnya sehingga seluruh Alam Melayu atau Nusantara dapat
di-Islamkan. Dakwah yang mereka bawa bukannya dengan pedang tetapi
dengan kebijaksanaan. Mereka begitu dihormati sehingga orang Melayu yang
kuat berpegang kepada agama Hindu dan Buddha telah berjaya di-Islamkan.
Bukan sekadar rakyat jelata tetapi juga di kalangan raja-raja.
Hasil dari dakwah mereka, maka lahirlah ulama-ulama yang berwibawa
sehingga orang Melayu amat cinta kepada Islam dan menjadi bangsa yang
dihormati. Ulama-ulama seperti Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh Ahmad
al-Fathani, Syeikh Abdul Malek (Tokku Pulau Manis), Tokku Paloh, Tok
Kenali, Syeikh Muhammad Said al-Linggi dan sebagainya telah berjaya
menyuburkan ruh Islam dalam masyarakat Melayu. Amalan kerohanian dan
keagamaan bukan sahaja hidup di kalangan rakyat, malah pemerintah dan
ulama bergandingan memerintah negeri. Contohnya Tokku Paloh yang menjadi
regu kepada Sultan Zainal Abidin III di Terengganu. Para ulama di zaman
itu amat dihormati pemerintah dan dikasihi rakyat.
Apa yang
mahu difokuskan di sini ialah kita sering lupa bahawa Tanah Melayu sudah
mempunyai model-model dakwah yang perlu kita ikuti. Hal ini terjadi
kerana kita kadang-kadang terlalu terpengaruh dengan idea dan pendekatan
tokoh-tokoh Islam dari luar seperti Maulana Illias, Imam Hassan
al-Banna, al-Maududi, Syed Quthub dan sebagainya, sehingga terlupa
kepada ulama-ulama dan tokoh pendakwah yang telah berjaya membina
Tamadun Islam di Tanah Melayu ini. Idea dan pendekatan dakwah yang kita
ambil dari luar, walaupun mempunyai kebenaran dan terbukti berjaya di
tempat mereka, tapi tidak semuanya sesuai dengan jiwa orang Melayu.
Sehingga hari ini, tokoh-tokoh pembaharuan Islam dalam masyarakat yang
hebat dakwahnya di kalangan (jamaah) mereka masih tidak boleh menandingi
kasih sayang dan ingatan masyarakat terhadap ulama-ulama dahulu. Ini
dapat dilihat di mana sehingga kini kitab-kitab, ilmu dan sejarah mereka
masih menjadi sebutan di bibir masyarakat. Maqam mereka masih
dikunjungi, ilmu dan nasihat mereka masih memberi kesan pada jiwa anak
Melayu.
Kalau ditanya pada orang Kelantan, nasihat siapakah
yang mereka akan dengar sama ada Tok Kenali atau ulama/pendakwah zaman
ini, nescaya mereka akan memilih Tok Kenali, walaupun mereka tidak
pernah melihatnya. Ini kerana pendekatan ulama tersebut memberi kesan
kepada orang Melayu sehingga kehebatannya menjadi buah mulut dari satu
generasi ke satu generasi. Oleh itu, kenapa kita perlu mengambil model
yang jauh, sedangkan belum tentu ideanya akan berjaya di sini.
Apa
yang diperhatikan, banyak gerakan Islam menjadi hancur pada
kemuncaknya. Ada yang menjadi beku dan buntu dengan tidak tahu ke arah
mana mereka mahu tuju. Programnya, sama ada program dalaman atau luaran
stereotaip sahaja, malah makin perlahan. Malah masyarakat semakin rosak walaupun pelbagai usaha yang mereka lakukan.
Idea
menubuhkan parti sebagai wasilah untuk berdakwah dan menegakkan Islam
juga semakin memperlihatkan banyak kelemahan. Ia bukan menjadi semakin
kuat tetapi semakin lemah. Memang tidak dinafikan ia juga banyak memberi
manfaat kepada Islam, dapat menghimpunkan masyarakat dan ulama supaya
menerima idea-idea yang dilontarkan. Tapi, pada pandangan saya, adalah
tidak praktikal menghimpunkan semua anggota masyarakat dalam parti
kerana politik kepartian hanyalah salah satu dari ribuan wasilah dakwah
yang boleh dilakukan, sebagaimana istilah "bil hikmah - bijaksana" dalam
al-Quran.
Apa
yang dibimbangkan, apabila masing-masing asyik menumpukan kepada soal
perebutan kuasa sesama sendiri, sibuk membida'ahkan sesama sendiri,
sibuk menyalahkan sesama sendiri, sibuk untuk mendapat nama dan
pengiktirafan - akhirnya penumpuan kepada agenda pembinaan manusia
diabaikan tanpa kita sedari. Masyarakat semakin rosak, iman makin luntur
dari jiwa mereka. Lebih malang lagi, kerosakan ini turut berlaku ke
atas anak-anak para pendukung jamaah Islam sendiri.
Dalam
satu kajian yang dilakukan oleh pakar motivasi Dato' Dr. Fadhilah
Kamsah, didapati 80% umat Islam hari ini tidak menyempurnakan dengan
cukup sembahyang fardhu lima kali sehari. Semua orang tahu bahawa
sembahyang merupakan tiang agama. Jika tiangnya sudah tiada, apa lagi
kekuatan kekuatan yang ada pada bangsa Melayu Islam ini. Ingatlah
kata-kata Sayyidina Umar al-Khattab (r.a) bahawa, "Bangsa Arab menjadi
mulia bukan kerana ia Arab, tetapi Arab mulia kerana ia memilih Islam.
Jika ia meninggalkan Islam, nescaya ia kembali menjadi hina."
Hal
yang sama boleh berlaku kepada bangsa Melayu. Islam juga telah membawa
kemuliaan pada bangsa ini, dari bangsa yang menyembah dewa-dewa, pohon
kayu dan perkara tahyul, Islam telah membawa mereka kepada Tuhan Semesta
Alam. Umat Melayu diberi penekanan ilmu sehingga lahirnya dari
Nusantara ini ulama-ulama dan pemerintah yang dihormati. Islam telah
membina jatidiri bangsa ini, Islam telah juga memberi kekuatan pada
bangsa ini, namun bangsa ini akan hilang jatidirinya bila mereka
meninggalkan Islam. Mereka akan menjadi bangsa yang lemah, ideologi dan
budaya Barat dijadikan pegangan, dan menuju kehancuran. Apa yang
dibimbangkan lagi, ALLAH akan menghina bangsa ini dan ALLAH memilih
bangsa lain untuk menegakkan agamaNya.
Gerakan
yang mendakwa mahu kembali kepada al-Quran dan Sunnah sehingga
membida'ahkan beberapa amalan yang sudah hidup subur dalam masyarakat
Islam, melarang bermazhab, menolak pengajian kitab tua dan sebagainya
tidak akan berjaya walaupun pelbagai usaha dilakukan. Ini disebabkan
idea tersebut bertentangan dengan pegangan para ulama-ulama tradisional
yang amat dihormati masyarakat. Idea tersebut mungkin diterima di
kalangan orang Melayu kelas menengah tetapi akan ditolak oleh orang
Melayu 'bawahan'. Golongan pertengahan pun belum tentu semuanya menerima
idea itu kerana mereka juga tidak boleh menerima jika ada golongan yang
mahu memperlekehkan atau menolak ulama-ulama dahulu. Apakah kelayakan
golongan itu pada kacamata mereka untuk membida'ahkan ulama-ulama dahulu
?
Begitu
juga dengan golongan yang merendahkan para sahabat Nabi SAW. Mereka
juga tidak boleh bertapak jauh walaupun tidak dinafikan ada segelintir
orang yang terpengaruh dengan idea-idea tersebut. Kebanyakan mereka
tidak mempunyai pengajian yang mendalam
terhadap kitab-kitab para ulama dahulu. Justeru itu sebaiknya kita cuba
menoleh kepada ulama-ulama dahulu dengan melakukan kajian yang mendalam
sehingga kita makrifat (mengenal dengan sebenar-benarnya) pada mereka.
Kita juga perlu mendalami dan mempelajari kehebatan ilmu, ibadah,
akhlak, dakwah, politik dan kepimpinan mereka untuk dijadikan model
dalam aspek pembinaan masyarakat Islam di Malaysia. Dalam konteks negara
kita, mereka merupakan role model yang terbaik untuk kita ikuti.
Cuba
kita lihat kejayaan para ulama dahulu dalam menyebarkan dakwah Islam.
Contohnya Syarif Muhammad al-Bahgdadi yang memulakan dakwah di Kuala
Berang, Terengganu 700 tahun yang lampau, Wali Sembilan di Indonesia dan
PengIslaman Kerajaan Pattani. Mereka telah berjaya mengembangkan Islam
dengan meluas hasil kebijaksanaan dakwah mereka. Islam tidak sukar
diterima sehingga dapat menukar budaya dan cara hidup Hindu/ Buddha
kepada cara hidup Islam secara beransur-ansur. Kebijaksanaan seperti
inilah digunakan penjajah Inggeris dalam menyebarkan budaya mereka
sehingga orang Melayu boleh menerimanya dan ramai yang tidak
menentangnya, walaupun budaya penjajah bertentangan dengan budaya Melayu
dan Islam.
Pada
hari ini keruntuhan orang Melayu dari segi agama dan budaya berlaku
satu demi satu. Jika tidak bangkit gerakan penyelamat, mungkin Islam dan
Melayu hanya tinggal nama sahaja sebagaimana kebanyakan Masyarakat
Melayu dan Islam.
Pada
hari ini keruntuhan orang Melayu dari segi Agama dan budaya berlaku
satu demi satu. Jika tidak bangkit gerakan penyelamat, mungkin Islam dan
Melayu hanya tinggal nama sahaja sebagaimana kebanyakan masyarakat
Islam di Selatan Thailand dahulu. Mereka hanya tahu bahawa Islam
mengharamkan makan babi sahaja, sedangkan budaya dan amalan agama mereka
telah hilang. Mereka 100% mengikut cara hidup orang Siam walaupun
mereka bukan penganut Buddha.
Apakah
erti Islam kepada penganutnya jika amalan Islam sendiri tidak
diketahui. Dari pengamatan yang dibuat sebenarnya kita juga telah
mengalami buta agama dan budaya di kalangan generasi muda hari ini.
Mereka langsung tidak memahami agama melainkan dalam perkara tertentu
sahaja seperti wajib sembahyang , puasa, zakat dan haji. Itupun seperti
yang didakwa oleh Dato' Dr Fadhilah Kamsah, hanya 20% sahaja yang
menunaikan sembahyang cukup 5 kali sehari. Yang kita takut ialah budaya
Barat yang membawa mesej untuk menyesatkan umat Islam itu diterima
dengan rasa megah dan akhirnya meruntuhkan amalan Islam di Malaysia dan
bangkitnya budaya Barat, walaupun pemerintah dan rakyatnya ramai di
kalangan orang Islam. Akhirnya kita tersungkur jatuh akibat rancangan
Yahudi dan Nasrani tanpa setitik darah syuhada. Kesimpulan yang boleh
dibuat ialah orang Melayu adalah bangsa yang begitu mudah mengikut apa
jua yang dibentangkan jika kena caranya.
Jika
difikirkan, pihak penjajah sepatutnya lebih sukar menundukkan orang
Melayu kerana mereka membawa suatu budaya yang bertentangan dengan agama
dan budaya orang Melayu seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan,
budaya minum arak dalam majlis pembesar, wanita tidak malu membuka
aurat. Namun kerana kebijaksanaan mereka membaca kelemahan orang Melayu,
rancangan mereka berjaya walaupun menghadapi kesukaran.
Sehingga
kini budaya mereka menjadi amalan kelompok masyarakat besar terutamanya
di Pantai Barat. Amalan Islam semakin terpinggir malah menjadi dagang
(asing). Yang membimbangkan, bila runtuhnya satu demi satu amalan Islam
dan budaya Melayu, akhirnya tertanggal pula akidah islam, maka hancurlah
bangsa ini dan menjadi hina di sisi ALLAH. Walaupun kita mohon ALLAH
jauhkan hal ini berlaku di negara kita yang tercinta ini, tapi tiada
mustahil ALLAH menurunkan balanya seperti yang ditimpakan ke atas
Palestin, Bosnia dan Iraq.
Tiada
masa lagi sebenarnya untuk kita leka. Semangat cintakan agama, bangsa
dan negara akan membangkitkan kekuatan untuk kita bangkit sebagai
penyelamat ummah. Saya melihat tiada sebab orang Melayu tidak boleh
menerima Islam dan kembali berpegang
teguh dengan ajarannya jika para pendakwah pandai mengolahkannya. Ini
kerana mereka adalah bangsa yang lembut jiwa dan mudah dibentuk jika
kena cara mendekatinya.
Dengan
kehebatan ilmu, fikrah dan gerak kerja ulama, para pendakwah dan para
pemikir moden di seluruh dunia yang kita ambil untuk membangunkan dakwah
di sini, alangkah baiknya juga kita menoleh kepada kehebatan
ulama-ulama silam dan kejayaan mereka merubah dan membentuk jatidiri
orang Melayu dari golongan istana sehingga golongan bawahan. Sehingga
kini tiada dapat kita nafikan mereka lebih dekat dengan orang Melayu
berbanding ulama zaman ini. Nama dan kitab mereka terus menjadi rujukan
utama orang Melayu, diajar di surau dan masjid. Kenapa pula kita terlalu
melihat kepada pendakwah di luar negara sehingga melupakan para
pendakwah di sini. Kita perlu mengkaji kembali ilmu, amalan, akhlak,
pemikiran, dakwah, politik dan budaya yang mereka bawa sehingga
runtuhnya kerajaan Hindu di Tanah Melayu dan Indonesia. Jika kita dapat
adunkan kehebatan pendakwah silam dan masa kini, insya ALLAH kita boleh
berjaya dalam usaha kita.
Tiga
asas penting yang telah dibina oleh ulama dahulu di Nusantara ini ialah
akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang berasaskan pegangan Imam Abu Hasan
al-Asya'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi, fekah mazhab Imam Syafie
dan tarekah tasawuf aliran Imam al-Ghazali. Ini dapat kita lihat pada
kitab-kitab mereka yang ada di tangan kita hari ini. Tiga asas ini
adalah pegangan majoriti umat Islam Nusantara. Jika gerakan dakwah tidak
menghormati asas-asas ini, mereka bagaikan menentang arus yang besar.
Dakwah mereka akan terpinggir walaupun mereka dikatakan golongan muda
yang ingin membawa perubahan dalam amal-amal Islam.
Pegangan
ini sudah sebati dengan jiwa orang Melayu. Walaupun kita memiliki
gelaran Phd. sekalipun, kita tak mampu merombak kasih sayang dan
kepecayaan orang Melayu terhadap keilmuan dan kehebatan ulama
tradisional Melayu. Cerita Tok Kenali dapat menjawab persoalan-persoalan
yang membingungkan ulama-ulama Arab di zamannya, sehingga keilmuan
beliau dikagumi di Mesir dan ini amat membanggakan orang Melayu.
Begitu
juga dengan Syeikh Ahmad al-Fathani, guru kepada Tok kenali. Beliau
adalah ulama yang diiktiraf sebagai guru di Masjidil Haram, Makkah, yang
mana ia menjadi pusat pengajian Islam bagi umat Islam di seluruh
pelusuk dunia ketika itu. Syeikh Ahmad juga dipanggil menjadi orang
tengah untuk menyelesaikan beberapa permasalahan ilmu yang timbul.
Ketinggian ilmu Syeikh Ahmad al-Fathani dapat dilihat pada
kitab-kitabnya yang menjadi rujukan ulama di seluruh dunia dan dijadikan
pengajian di madrasah-madrasah ilmu Alam Melayu dan Nusantara. Sehingga
kini tiada lagi ulama moden di negara kita yang mana kitabnya menjadi
rujukan di serata dunia atau pengajian kepada seluruh Nusantara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan