Isnin, Disember 16

Bab 4 (iv) .:: Dakwah Dan Jihad Ahli Tasawuf ::.


Syeikh Shafiyuddin amat kuat beribadah, berkhalwat dan berzikir memohon pertolongan ALLAH dalam dakwahnya. Manakala kedua sahabatnya keluar meninjau dan mendapatkan maklumat-maklumat baru. Suatu hari tersebarlah berita bahawa Maharaja Antira iaitu pemerintah Patani mengalami penyakit yang berat. Maka sesiapa yang dapat merawatnya akan diberi upah yang besar. Sebelum ini telah ramai bomoh yang mengubati beliau, namun tidak juga sembuh-sembuh. Apabila pegawai raja sampai ke tempat syeikh-syeikh ini, salah seorang daripada mereka menyapa dan memberitahu bahawa terdapat seorang dukun yang sangat sakti yang mampu menyembuhkan maharaja itu. Dukun yang dimaksudkan itu sebenanya ialah Syeikh Shafiyuddin sendiri.

Keesokan harinya, ketiga-tiga orang Syeikh itu dijemput ke istana untuk mengubati raja. Sebelum upacara pengubatan dilakukan, terjadi perjanjian di mana jika raja sembuh hasil pengubatan Syeikh Shafiyuddin, maka raja mestilah menukar agama dari Buddha kepada Islam. Syarat itu dipersetujui raja. Kemudian, Syeikh mula membacakan doa-doa dan ayat-ayat al-Qur'an.

Dengan izin ALLAH, tiga hari selepas itu raja pun sembuh dari penyakitnya. Tapi raja engkar dengan janjinya untuk memeluk Islam. Dengan karamah Syeikh Shafiyuddin, penyakit raja berulang semula. Maka diubati lagi seperti janji yang pertama, dan sembuh kembali. Raja mungkir lagi, tiba-tiba penyakitnya datang kembali. Diubati lagi dan sembuh semula. Akhirnya raja Buddha itu pun memeluk Islam dan diikuti ramai rakyatnya. Sejak itu, ketiga-tiga wali ALLAH tadi mendapat tempat kedudukan yang tinggi di Kerajaan Patani.

Selain itu terdapat tokoh-tokoh lain yang juga berperanan besar dalam menegakkan Islam di Nusantara seperti Syeikh Abd Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Ismail Minangkabau, Muhammad Salleh al-Zawawi, Arsyad Banjari dan banyak lagi.

Di samping itu, yang sudah temasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abd Qadir Jailani, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mengenai hal ini, Al-Maududi berkata:

"Sesungguhnya mereka (ahli Tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India."

Abu Hasan Ali an-Nadwi pula menukilkan mengenai dakwah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dengan katanya:

"Kira-kira 70,000 orang telah menghadiri
majlis (ta'limnya). Lebih 5,000 orang Yahudi dan Nasrani telah memeluk Islam menerusi usahanya. Lebih 100,000 oang-orang jahat dan perompak atau pencuri bersenjata yang telah bertaubat menerusi usahanya. Beliau telah membuka pintu taubat dan bai'ah seluas-luasnya, maka orang ramai yang tidak diketahui bilangan mereka itu kecuali ALLAH sahaja, telah masuk ke dalamnya. Sehingga akhlak mereka menjadi baik dan demikian juga keislaman mereka itu."

Demikianlah beberapa contoh mengenai peranan golongan tasawuf, wali-wali ALLAH dan pengikut perjalanan kerohanian di dalam amal dakwah dan jihad. Jelaslah bahawa golongan tasawuf bukanlah mereka yang hanya berzikir dan beramal semata-mata, malah berada di barisan hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Bagi setengah golongan yang meninggalkan amal-amal seperti ini, bermakna mereka telah meninggalkan sunnah Nabi SAW dan perjalanan para sahabat (radiaLlahu 'anhum)

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan