Isnin, Disember 16

Bab 3 .:: Umat Dakwah ::.


Kita perlu memahami bahawa kita adalah umat yang dipertanggungjawabkan dengan dakwah. Dakwah ialah membawa manusia kepada ALLAH. Sesiapa yang bernama manusia, mereka dipertanggungjawabkan oleh ALLAH dan Nabi untuk kita sampaikan dakwah tentang ALLAH, keRasulan Nabi SAW dan kerahmatan Islam. Kita wajib memahami al-Qur'an, menghayati dan menyebarkannya.

Setelah kita beriman, kita dipertanggungjawabkan menyampaikan iman kepada manusia. Kita ada janji dengan Nabi SAW. Baginda tidak meninggalkan apa pun kepada umatnya melainkan Islam, dan ia merupakan amanah atau wasiat yang menjadi tanggungjawab kita menyebarkannya. Umat nabi dahulu adalah umat ibadah, apabila nabi mereka wafat, mereka beruzlah untuk beribadah sehingga ALLAH mengangkat nabi yang lain. Berlainan dengan umat Muhammad SAW, ALLAH tidak membangkitkan nabi lagi selepasnya, tetapi tugas Baginda diambil oleh umatnya.

ALLAH menyatakan dalam Al-Qur'an yang mulia:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ

"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH."

(Ali-'Imran : 110)

Apabila kita meninggalkan dakwah bermakna tiadalah kemuliaan kita sebagai umat Muhammad SAW. Islam yang datang ke tangan kita bukan sahaja berkaitan dengan keTuhanan, ibadah, zikir dan doa, tetapi Islam di tangan kita ini penuh dengan manfaat kepada manusia iaitu kita ditugaskan membangunkan ekonomi, politik,pendidikan, sosial, kekeluagaan, akhlak, ketenteraan, keilmuan dan sebagainya mengikut prinsip Islam yang adil dan penuh kerahmatan.

Justeru, kita tidak boleh jumud dalam pengamalan semata-mata, tetapi memahami kepentingannya dalam menjana tenaga kerohanian bagi seorang mujahid yang memperjuangkan agamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan