Isnin, Disember 16

Bab 4 (ii) .:: Dakwah Dan Jihad Ahli Tasawuf ::.


Bab 4 (ii)

.:: Dakwah Dan Jihad Ahli Tasawuf ::.

Dalam peperangan Salib, para ulama tasawuf telah memainkan peranan yang cukup penting sebagaimana yang dinukilkan di dalam 'Haqaiq'an al-Tasawuf' :

"Dan di Mesir, di waktu tentera Salib sampai di Dimyat, golongan sufiyyah seperti Syeikh Abu Hasan Asy-Syazili, 'Izzudin bin Abd Salam dan Abu Fath bin Daqiq al-'Iyd dan ulama-ulama lain telah memberikan khidmat yang sebaik-baiknya untuk menentang tentera Salib.'

Begitu juga dengan Imam Sanusi yang hidup di sekitar tahun 1200 Hijrah. Beliau mengetuai umat Islam menentang penjajahan Itali selama berpuluh-puluh tahun. Syeikh Abdul Qadir al-Jazairi juga adalah seorang panglima dan pemimpin agung gerakan menentang penjajahan Perancis di Algeria. Kita juga mungkin telah membaca sejarah dan menonton tayangan filem mengenai perjuangan Syeikh Umar Mokhtar yang gigih menentang penjajahan Itali di Libya di mana beliau akhirnya syahid di tali gantung.

Di benua India pula, kita menemui tokoh-tokoh perjalanan kerohanian seperti Syeikh Ahmad al-Sirhindi, Syah Waliyullah al-Dihlawi dan lain-lain yang sangat berjasa kepada Islam kerana jihad mereka dalam politik dan agama sehingga Syeikh Abu Hassan An-Nadwi menyebutkan pentingnya peranan mereka itu dengan katanya:

"Sesungguhnya saya sentiasa menyatakan bahawa jika tidak kerana wujudnya mereka itu dan jihad mereka, nescaya Islam telah (lenyap) ditelan oleh agama Hindu, tamadunnya dan falsafahnya."

Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokoh tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman keagungan empayar Islam Acheh pada abad ke-16 dan 17, kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd Rauf Singkel dan lain-lain lagi.

Sejarah kedatangan Islam di Terengganu, malah di Semenanjung Tanah Melayu juga berkait rapat dengan usaha dakwah golongan Tasawuf. Ia bemula di Kuala Berang yang menjadi pusat tamadun dan kerohanian Islam pertama.

Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam. Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi. Beliau merupakan keturunan Sayyidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Sayyidina Husin daripada sebelah ibunya.

Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Makkah. Selepas Makkah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit.

Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan "Kota Tamir" yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat. Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali ALLAH dan dimuliakan ALLAH dengan diberikan pelbagai karamah.

Tok Pulau Manis kemudiannya menubuhkan pula 'Kota Pulau Manis' dan mendirikan institusi pendidikan agama yang tertua dan terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Beliau telah mengambil jalan wara' dengan menyerahkan pemerintahan kerajaannya kepada menantunya iaitu Tun Jenal yang berkahwin dengan anaknya Siti Zubaidah. Tun Jenal ditabalkan sebagai raja di Tanjung Baru, hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan