Isnin, Disember 16

Bab 7 .:: Pesanan Buat Mujahid ::.

Saudaraku, Semoga ALLAH SWT memberi kamu kefahaman akan jalan yang dibawa dan menjadi orang yang benar-benar beramal dengannya. Semoga ALLAH sentiasa merahmati kita dan mengampuni dosa kita jika di sana adanya hawa nafsu yang tersembunyi. Tekunlah beramal dengan amalan yang dibai'ahkan. Tumpukan bersungguh-sungguh ke arah qalbumu dengan kalimah ALLAH. Hidupkan ia sentiasa, walau bagaimana sekalipun keadaan kamu dan di mana kamu berada. Jika terasa lalai, beristighfarlah dengan segera, jadikan kecintaan menyebut nama-Nya sebagai keutamaan sehingga hati kamu menjadi istiqamah dengan asma'-Nya.

Setiap asma' yang akan terlimpah pada hatimu penuh dengan keasyikan, kamu akan rasa dzauq yang berbeza. Setiap asma' juga mengandungi muraqabah yang tersendiri. Jadikan diri kamu benar-benar memperoleh maqam dalam kerohanian. Setiap maqam rohanimu mengandungi hal yang berbeza. Bersungguh-sungguhlah kamu mencapainya dengan sentiasa bertaubat, menjaga syariat dengan baik, menjaga makan minum dengan teliti, juga tutur-katamu, juga penglihatanmu, kuatkan amalan sunat, biasakan berlapar, banyakkan tadabur Al-Quran dan qiam di malam hari. Di mana sahaja kamu berada, rendahkan hatimu, cintailah majlis ilmu, muliakanlah ulama-ulama, para hafiz, para syeikh dan khalifah sufi yang benar, para mujahid, para pendakwah yang ikhlas, pemimpin yang baik dan orang-orang yang soleh.

Segalanya bergantung pada diri kamu. Dalam amalan kerohanian, tiada istilah 'orang lama' atau 'orang baru'. Walaupun seseorang itu baru, jika dia bersungguh-sungguh beramal dan bermujahadah, dia mampu memperolehi natijah yang hebat berbanding orang lama yang malas bermujahadah. Begitu juga, murid boleh mengatasi guru dalam kerohanian, semuanya dalam kudrat Ilahi untuk melimpahkan kurniaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Pengalaman yang bersungguh-sungguh akan melahirkan natijah pada kamu dari segi kerohanian. Jika berlaku hal-hal yang berkaitan dengan kerohanian sama ada dalam bentuk mimpi, ilham, kasyaf, pertukaran zikir atau perasaan dzauq atau datang pengajaran dari alam ghaib, ia perlu dirujuk kepada guru.

Di antara ciri-ciri seorang mujahid itu ialah :

a) Mengingati ALLAH Setiap Masa :

Seorang mujahid hendaklah sentiasa hatinya itu dalam mengingati ALLAH.

Firman ALLAH SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ

"Ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu."

[Al-Baqarah ; 152]

Di mana kamu berada atau apa jua pekerjaan yang kamu lakukan, ingatlah ALLAH, ikhlaskan amal kamu, jaga batas-batas syariat. Hati yang hidup adalah hati yang cinta kepada ALLAH, segala pengamalannya, gerak kerjanya untuk mencari cinta ALLAH. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa melihat segala sesuatu, gerak diam dalam alam ini adalah dari Tuhan. Mereka bersyukur dengan nikmat dan kebaikan, mereka sabar dan ridha dengan musibah dan kejahatan. Mereka tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH, hati mereka teguh bagaikan pohon kayu yang kuat dalam keyakinan pada ALLAH, mereka bertawakkal kepada ALLAH. Ingatlah, apabila kamu bertawakkal bermakna kamu tidak bersendirian, seluruh tentera ALLAH di langit dan bumi menjadi penolongmu.


b) Mengamalkan Sunnah Nabi SAW

Seorang mujahid ialah orang yang memelihara dan mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.


Firman ALLAH SWT :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ

"Katakanlah wahai Muhammad, sekiranya kamu cinta kepada ALLAH, maka hendaklah kamu mengikuti aku, nescaya kamu dicintai oleh ALLAH.."

[Al-Imran : 31]

Hati yang mencintai ALLAH akan mencintai apa yang dicintai oleh ALLAH, dan tiadalah makhluk yang paling dicintai olh ALLAH melainkan Nabi SAW. Mencintai Tuhan tanpa mencintai Baginda adalah dusta sehingga disebut oleh Nabi SAW kepada Sayyidina Umar radhiyallahu 'anhu bahawa tidak sempurna iman seseorang itu jika ia tidak mencintai ALLAH dan Rasul-Nya melebihi dirinya sendiri.

Dalam kitab Darul an-Nafis disebut bahawa tangga untuk meningkatkan kerohanian seseorang itu ialah dengan mempebanyakkan selawat kepada Nabi dan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda SAW. Apabila akhlak atau sunnah Nabi hidup dalam diri seorang mukmin, dihidupkannya sunnah dalam rumahtangganya, berlakunya keberkatan dalam kehidupan mereka dan anak-anak. Anak-anak ini yang akan berada dalam masyarakat dan mencorakkan masyarakat.

Lahirnya ummah yang kuat dan indah kerana masyarakat yang lahir adalah dari keluarga dan pemimpin yang benar-benar menghayati sunnah Rasulullah SAW. Pertolongan ALLAH tidak akan sampai kepada ummah yang memandang rendah dan meninggalkan sunnah malah boleh menyebabkan ummah diberi bala oleh ALLAH SWT.


c) Kasih Sayang

Seorang mujahid juga perlu memiliki perasaan kasih sayang yang tinggi sebagaimana firman ALLAH SWT :


رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ

"Berkasih sayang sesama mereka."
[Al-Fath : 29]

Cahayakan hatimu dengan kasih sayang di mana kamu berada. Kasih sayangmu melangkaui sempadan darah, warna kulit, bangsa, agama, geografi dan sebagainya. Bertindaklah dalam apa jua dengan mendahulukan kasih sayang. Jadikan dirimu penyebar kasih sayang, nescaya diri kamu dikasihi Tuhan dan makhluk yang melata. Eratkan tanganmu sesama muslim walau apa pun namanya, kumpulannya, platformnya atau kaedahnya. Selagi mereka benar dalam kalimah Tauhid ia adalah saudaramu.

Perbezaaan pendapat, cara, tarbiah bukan penghalang untuk kamu berkasih sayang dan bantu membantu. Ringankanlah tulangmu membantu saudara muslimmu jika ia mengharapkan pertolonganmu. Jangan biarkan mereka tidak mendapat apa-apa darimu. Itulah akhlak Rasulullah SAW yang amat lemah lembut dan suka membantu mereka yang mengharap bantuan.

Daripada Abu Hurairah (r.a) bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :

" Pada Hari Kiamat ALLAH akan berfirman, 'Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku akan melindungi mereka sebab hari ini tiada perlindungan selain daripada perlindungan-Ku.' "

[HR Muslim]

Lapangkan dadamu dengan sentiasa memaafkan mereka yang memusuhimu, atau menyakitimu dan sambungkan silraturahim dengan mereka yang memutuskannya.

Firman ALLAH SWT :

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

"Sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya di tangan ALLAH. ALLAH tidak menyukai orang-orang yang zalim." [Asy-Syura : 40]

Jika bertemu saudara yang tersasar dalam masalah akidah, hulurkan tanganmu kepada mereka, betulkanlah mereka dengan nasihat yang baik. Begitu juga kepada golongan bukan Islam sama ada di hadapanmu atau di belakangmu, kasihanilah mereka, pimpinlah mereka kepada hidayah, sesungguhnya mereka tidak mengetahui bahawa mereka akan menanggung azab ALLAH di akhirat nanti disebabkan kekufuran mereka. Pancarkanlah kasih sayangmu di mana sahaja kamu berada, jadikan dirimu sebagai pohon kayu yang besar, rendang dan mengeluarkan buah yang ranum, maka ramai manusia mendapat manfaat darimu.

d) Mencintai Akhirat

Seorang mujahid adalah orang yang amat mencintai kehidupan Akhirat. Dunia hanyalah jambatannya untuk mengumpul bekalan yang sebanyak-banyaknya untuk kesejahteraan di akhirat nanti.


Firman ALLAH SWT :

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni'matan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana ALLAH telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan,"
[Al-Qasas : 77]

Mengutamakan kehidupan akhirat adalah melambangkan kecerdikan dan ketajaman mata hati. Orang yang buta mata tidak nampak keindahan dunia, mereka yang buta mata hati tidak dapat melihat keindahan akhirat. Cintamu pada akhirat membawa dirimu dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat. Dirimu akan tenang dan redha dengan apa jua ujian di dunia kerana bagimu dunia terlalu kecil untuk kamu tangisi kesusahannya dan terlalu kecil untuk kamu gembira dengan kenikmatannya. Berapa ramai mereka yang mengetahui akhirat lebih mulia dan afdhal tetapi kehidupan mereka tidak memfokuskan kepada akhirat, ini disebabkan pengtahuannya belum meresap dalam hatinya, hatinya masih diselaputi cinta dunia. Cinta dunia menyebabkan dirimu menjadi kerdil dan resah gelisah, dunia tidak akan memberi kamu kebahagiaan kerana dunia bersifat ujian.

Cintailah akhirat dan jadikan segala perjalananmu, nafasmu, perkataanmu untuk mencari kehidupan akhirat. Mereka yang mencintai akhirat akan menjadi manusia yang hebat, mereka akan manfaatkan segala usia mereka untuk membuat kebajikan semaksima mungkin agar setiap nafasnya menjadi modal yang menguntungkan apabila ia pulang ke negeri akhirat nanti. Ia tidak akan rugi satu saatpun jika amalnya ikhlas walaupun ia tidak dihargai oleh manusia. ALLAH yang Maha Adil tidak pernah melihat pada rupa, pangkat dan keturunan, ALLAH hanya melihat sekeping hati yang suci yang benar-benar mencintai-Nya dan percaya pada janji ALLAH bahawa apa yang ada di sisi ALLAH lebih baik daripada apa yang ada di sisi manusia.

Firman-Nya :

وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

"Sesungguhnya apa yang ada di sisi ALLAH lebih baik dan lebih kekal."
[Al-Qasas : 60]


e) Mengutamakan Keharmonian

Mujahid agama amat mengutamakan keharmonian dalam seluruh gerak kerja dakwahnya. Ia sentiasa mencari titik pertemuan yang dapat dijadikan asas dalam kerjasama dengan pihak lain. Ia sentiasa berlapang dada dalam perkara yang tidak disepakati dalam apa jua yang dilakukannya, sama ada berhubung dengan organisasi, fikrah, amalan, prinsip, kaedah, tarbiah dan sebagainya. Menjauhi besifat menentang dan mujadalah.

"Salaman", begitulah ucapannya kepada si jahil yang menentangnya. Sentiasalah ia mencari ruang perdamaian walaupun dengan musuh sekalipun. Dijauhnya lisan yang boleh melahirkan perpecahan dan permusuhan, malahan dirinya itu bersifat seperti yang disabda Nabi SAW :

"Orang mukmin itu mudah berurusan dan orang mudah dengannya."

Apabila bertemu dengan perkara yang boleh merosakkan keharmonian, cepat-cepatlah membuat tindakan yang bijaksana supaya keharmonian itu berkekalan. Islam lebih mengutamakan maslahah ummah dari maslahah individu. Keharmonian juga bukannya hanya melibatkan perkara kemasyarakatan tetapi ia juga berkait dengan permasalahan agama yang melibatkan perkara khilafiah sama ada dari segi mazhab, ideologi politik dan sebagainya. Tetapi perkara yang berkaitan dengan akidah perlu bertegas, tiada berkompromi.

Keharmonian bagaikan air yang sentiasa bergerak. Ia akan menembusi apa jua penghalangnya sama ada melalui atas, bawah, tepi, atau di celah-celah ruang yang kecil dan sebagainya, asalkan objektif dapat dicapai dan tiada apa yang boleh menghalangnya untuk bergerak. Hati yang lapang dan bijaksana dalam menangani masalah adalah asas penting dalam mewujudkan keharmonian. Prinsip Harmoni ini menekankan kepentingan meletakkan keutamaan dalam apa jua perkara. Jika bertemu dua perkara yang haq, utamakan yang lebih penting kebaikannya kepada ummah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan