Isnin, Disember 16

Bab 4 (i) .:: Dakwah Dan Jihad Ahli Tasawuf ::.

Bab 4 (i)

.:: Dakwah Dan Jihad Ahli Tasawuf ::.

Sejarah membuktikan Ahli Tasawuf memainkan peranan penting di dalam usaha menegak dan mempertahankan agama ALLAH. Mereka bukanlah hanya menghabiskan masa dengan berzikir, tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak mengendahkan suasana di sekelilingnya. Sebaliknya mereka turut mengambil bahagian yang serius di dalam dakwah dan jihad, malah memberikan sumbangan yang besar dalam perjuangan umat Islam atau dalam jihad menentang kuffar di medan peperangan, mahupun menentang kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan golongan berkuasa.

Pembelaan para pemimpin kerohanian terhadap Islam sangat jelas di dalam lembaran sejarah. Di antaranya ialah Syeikh Hatim dan gurunya Syeikh Syaqiq. Mereka berdua telah mengambil bahagian dalam jihad di zaman mereka, dan guru beliau telah syahid di medan peperangan.

Ibrahim bin Adham, seorang wali ALLAH, di dalam manaqibnya ada dijelaskan bahawa beliau sentiasa mengambil bahagian dalam peperangan yang berlaku di zamannya, baik peperangan itu berlaku di darat mahupun di laut. Demikian juga Syeikh Abu Yazid Al-Bistami, beliau bukan sahaja seorang guru mursyid dan pemimpin kerohanian, bahkan merupakan seorang pejuang yang berani memasuki apa jua medan peperangan sehingga beliau sendiri pernah berkata:

"Aku telah ditetapkan ALLAH untuk bersama-sama dengan para mujahidin (di medan peperangan). Aku menetakkan pedang di muka musuh-musuh ALLAH itu bersama mereka di dalam masa yang lama."

Di dalam hal ini, Dr Abu Halim Mahmud di dalam sebuah bukunya menegaskan bahawa Syeikh Abu Yazid ketika berada di barisan hadapan, bukan hanya semalaman bersandar di tembok-tembok kubu Islam, tetapi beliau juga terus berdzikrullah tanpa putus-putus, sehingga beliau benar-benar menjadi orang Mukmin yang menepati kehendak sabda Rasulullah SAW :

"Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (di akhirat) ialah mata yang menangis kerana takutkan ALLAH dan mata yang celik sepanjang malam kerana menjaga (musuh) di dalam perang fi sabilillah."

Uwais Al-Qarni adalah seorang wali ALLAH dan semulia-mulia tabi'in. Sejarah mencatatkan bahawa beliau telah turut sama mempertahankan Sayyidina Ali di dalam peperangan Siffin kerana berpendapat golongan yang menentang Sayyidina Ali adalah salah, dan wajib memerangi mereka sehingga mereka bertaubat dan kembali kepada jalan sebenar. Kemudian ketika tentera Islam berperang dengan tentera Rom, beliau telah sama-sama mencabut pedang dan terjun ke medan perang. Beliau telah syahid akibat mengalami kecederaan di dalam peperangan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan