Isnin, Disember 16

Bab 2 .:: Ilmu Penyuluh Kebenaran ::.

Firman ALLAH SWT :

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

"Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?"

(Az-zumar : 9)

Ilmu adalah cahaya, ilmu adalah penyuluh. Tanpa ilmu, manusia dalam kegelapan, manusia mudah tersesat. Justeru itu, ilmu mesti mendahului amal, amal tanpa ilmu bagaikan debu yang berterbangan. Orang yang tiada ilmu akan mudah ditipu oleh syaitan, mereka mudah tersesat dengan manusia yang pandai bercakap, yang mempunyai kelebihan dan sebagainya. Jika kita mahu menghidupkan hati, tiada jalan lain untuk menempuhnya melainkan dengan jalan ibadah. Apabila kita mahu beribadah, kita mestilah berilmu kerana ibadah tanpa ilmu akan hancur malah penuh kerosakan.

Ilmu yang perlu dipelajari adalah:
1. Ilmu Tauhid yang mengesahkan pengenalan kita dengan sifat Tuhan iaitu sifat Wajib, Mustahil dan Harus.
2. Ilmu Fekah yang mengesahkan ibadah kita dari hukum bersuci, solat, puasa, zakat sehinggalah kepada seluruh kehidupan.
3. Ilmu Tasawuf yang membicarakan persoalan akhlak, hati, keaiban, tipu daya syaitan dan nafsu.
4. Ilmu Tasawwur Islam yang berkaitan dengan kesymulan Islam agar kehidupan kita benar-benar berada dalam kelompok umat yang pertengahan. Umat yang tidak melampau dalam ibadah dan tidak melampau dalam keduniaan.
5. Ilmu Fardhu Kifayah (yang berhubung dengan keduniaan)

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW dan khalifah ALLAH di atas muka bumi, kekuatan ilmu adalah sangat utama. Ilmu Tauhid, Fiqh dan Tasawuf adalah ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari kerana ia bagaikan tunjang dalam segala perkara yang dilakukan oleh Muslim. Tanpa tunjang yang kukuh ini, mereka akan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan dan nafsu keduniaan sehingga mengabaikan tanggungjawab dakwah dan perjuangan menghadapi anasir-anasir yang mahu meruntuhkan Islam dan menghancurkan umatnya.

Ilmu pula perlu diterjemahkan dalam bentuk amal bagi membina Muslim yang memiliki iman yang hakiki, kuat kerohaniannya dan menjadi mujahid agama. Adapun pendidikan tasawuf itulah jalannya dalam melahirkan insan yang kamil, insan yang hatinya terikat dengan Tuhan, insan yang hatinya penuh rahsia Tuhan, insan yang hidupnya penuh keyakinan dan keimanan, hati yang mampu mempertahankan agamanya. Dengan hati yang mencintai Tuhan, mereka menjadi mujahid kepada agama ALLAH. Pada pandangan penulis, inilah sebaik-baik matlamat dalam pendidikan tasawuf mutakhir ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan