Toleransi Islam dalam masyarakat berbilang agama
Harakahdaily
Mon | Jan 05, 09 | 12:36:30 pm MYT
Dalam sejarah panjang peradabannya, Islam adalah agama yang paling terkehadapan memprojekkan faham toleransi dan hubungan simbiosis rakyat berbilang kaum dan agama.
Ketika negara Islam pertama diwujudkan di Madinah, perlembagaan negaranya menggariskan peruntukan-peruntuk an yang cukup jelas tentang hak-hak warga negara termasuk kumpulan-kumpulan minoriti.
Allah berfirman: "Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka dan katakanlah: 'Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu; Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu; dan hanya kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri.'" (Surah al-Ankabut: 46)
Hak-hak asasi rakyat bukan Islam di negara Islam dibahagikan kepada dua iaitu hak dilindungi daripada segala ancaman luar dan hak dilindungi daripada segala penganiayaan dan pencerobohan dari dalam negara.
Hak paling utama yang diberikan kepada orang bukan Islam adalah perlindungan daripada kekejaman, penindasan dan ketidakadilan yang berlaku dalam negara. Dalam erti kata lain, rakyat beragama Islam mestilah menjaga diri dan lidah mereka daripada menyakiti rakyat bukan Islam. Mereka tidak seharusnya mempunyai perasaan bermusuhan, dendam dan benci kepada orang bukan Islam.
Seriusnya Islam dalam menjaga adab dan tuntutan ini digambarkan oleh sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa yang menyakiti zimmi (rakyat bukan Islam), maka dia telah menyakiti aku; dan sesiapa yang menyakiti aku, dia telah menyakiti Allah." (At-Tabrani)
Ketika Khalifah Umar r.a. melawat Baitul Maqdis di awal pemerintahannya, beliau terus ke tempat ibadah Nabi Daud lalu mendirikan solat di bawah pintu gerbang Nabi Daud. Umar kemudiannya melawat gereja Kristian yang terbesar di Jerusalem dengan diiringi paderinya. Ketika sampai waktu solat, paderi yang mengiringinya menjemput beliau menunaikan solat di dalam gereja tetapi pelawaan itu ditolak oleh Umar.
Umar sebaliknya berkata: "Sekiranya aku bersembahyang di gereja ini, aku khuatir suatu hari nanti orang-orang Islam akan menjadikannya helah untuk mengambilalih gereja ini dari kamu."
Itulah sekelumit kisah daripada ribuan kisah sejarah yang menjelaskan tentang toleransi Islam terhadap perbezaan agama.
Oleh kerana itulah, pastinya kita merasa hairan mengapakah masih wujud manusia yang bergelar Islam yang masih sanggup memainkan sentimen agama dan kaum demi kepentingan politik?
Apatah lagi mainan sentimen agama dan kaum itu lebih memburukkan imej Islam, ajaran dan perundangannya.
Gembar-gembur isu hudud yang dijadikan senjata awal Umno untuk berhadapan dengan PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu amat dikesalkan. Apatah lagi hudud dijadikan 'tebusan' oleh Umno bagi menakut-nakutkan rakyat bukan Islam terhadap PAS sekaligus dijadikan senjata untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat.
Istilah 'hudud PAS' dan pelbagai komen tidak bertanggung jawab dijadikan mainan media hinggakan mereka yang jahil dan tidak mengerti tentang 'maqasid syariah' dan tujuan syariah diturunkan Allah SWT turut galak memberikan pandangan.
Pastinya tujuan isu ini dimainkan oleh Umno dan BN adalah untuk meraih undi dan sokongan rakyat bukan Islam. Tetapi berbaloikah untuk pemimpin Umno mencemarkan kesucian Islam semata-mata kerana mahu mengekalkan kuasa dan pengaruh?
Pastinya kita tidak merasa pelik jika hudud dipandang penuh curiga oleh rakyat bukan Islam - tanpa mengira MCA, Gerakan mahupun DAP - kerana mereka tidak beriman dengan al-Quran.
Tetapi cerdikkah para pemimpin Umno untuk menjadikan hudud sebagai senjata politik dan berusaha menambahkan kecurigaan masyarakat bukan Islam terhadap hukum jenayah Islam itu?
Banyak yang perlu dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat bagi menyanggah kempen negatif Umno ini. Bagi masyarakat bukan Islam, hudud bukanlah hukuman yang dipaksakan ke atas mereka. Mereka boleh membuat pilihan. Hudud hanyalah untuk mereka yang beriman dan percayakan hari Akhirat. Soalnya, percayakah Umno?- tajdid _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan