*Berjumpa Jesus dalam hutan*
"Suatu hari seorang ayah telah memanggil anaknya yang baru pulang ke kampung untuk berhari raya. Selama ini sang ayah tidak percaya dengan khabar angin yang mengatakan anaknya telah murtad dengan memeluk agama Nasrani justeru setiap kali Hari Raya dia akan pulang ke kampung menyambutnya bersama keluarga.
Cuma setiap kali waktu sembahyang, anak lelakinya itru akan menghilangkan diri yang disangka oleh si ayah pergi ke surau atau masjid di pekan berhampiran. Ketika solat Hari Raya juga begitu.. Oleh kerana itu tidak timbul sebarang rasa syak pada diri si ayah akan perubahan aqidah anaknya itu. Sehinggalah apabila muncul dengan hebatnya kisah-kisah orang Melayu yang murtad, sementelahan pula sering diasak oleh khabar-khabar angin yang bertiup kencang umpama puting beliung, si ayah tergerak untuk bertanya sendiri dengan anaknya. Sang ayah percaya, anaknya akan bercakap benar kepadanya kerana itulah yang diajar selama ini.
Sebaik sang anak melayarkan punggungnya di atas sofa empuk di ruang tamu, si ayah mula membuka tutur bicaranya, " Nak, ayah tahu selama ini tidak ada ahli keluarga kita yang pernah dilatih untuk berbohong, bercakap bohong atau tidak jujur sesama kita." Si anak mula gelisah melihat mata ayahnya yang berkaca merenung tepat ke arah matanya yang berselindung di sebalik lapisan kaca mata.
" Pada pagi ini secara jujur ayah ingin mengetahui kebenaran. Tidak ada lain melainkan kebenaran yang sejujur-jujurnya, "sambung si ayah sambil tangannya pantas memutarkan biji tasbih. Menahan perasaan mungkin.
Si anak menundukkan kepalanya merenung lantai. Tidak berani menatang wajah seorang ayah yang sangat difahami akan perangai dan ketegasannya sejak dari lahir lagi. Benak fikirannya pantas meneka apakah soalan yang bakal menerjahnya hari itu.
" Benarkah seperti apa yang ayah dengar, bahawa kau telah meninggalkan agama Islam yang suci untuk mengikut agama Nasrani ? Ayah mahukan kebenaran. Jika ia kebenaran, ayah pun akan turut serta dengan kebenaran itu...."
Tersentak si anak mendengar bait-bait kata ayahnya. Serba salah untuk menjawab pertanyaan itu. Dia tidak pernah diajar berbohong. Lagipun kata-kata ayahnya mahukan " kebenaran" mengundang seribu makna yang tidak dapat ditafsirkan. Mungkin ini saatnya untuk dia menyerlahkan kebenaran. Kebenaran tentang dirinya, tentang anutannya. Dengan suara perlahan, agak gementar, terketar, dia menjawab." Ya Ayah. Saya minta maaf. Tetapi saya telah menemui kebenaran... ."
Sang ayah hanya tersenyum. Tasbih di tangannya menjadi perlahan. Sang pemuda semakin bingung. Masakan seorang ayah yang sangat kuat pegangan agamanya tidak menjadi marah setelah mengetahui kebenaran ? Sambil tersenyum si ayah bertanya lagi," Nak. Ceritakan kenapa engkau jadi begini ? "
Dengan suara yang kembali normal, si anak bercerita tentang pengalamannya semasa berkhemah di hutan Belum satu ketika dahulu dan dia telah tersesat selama hampir satu minggu. Semasa tersesat, setiap kali selepas solat, dia telah berdoa agar ditunjukkan jalan keluar. Sehinggalah pada hari keenam dia hampir berasa putus asa.Tiba-tiba muncul satu cahaya dari langit, dan seorang lelaki berdiri di hadapannya. Sambil tangan kanannya memegang tongkat, tangan kirinya memimpin pemuda tersebut menuju jalan keluar. Dia selamat, dan lelaki berjubah itu lenyap." Ayah tahu siapa lelaki itu ? " tanya pemuda itu kepada ayahnya. Sang ayah menggelengkan kepala, perlahan." Dia Jesus Christ, ayah. "
Suasana hening seketika." Mana engkau tahu dia itu Jesus Christ ? Kau ada bertanya kepadanya ?" Si ayah memecah suasana." Tidak, kami tidak berbicara sepatah pun. Saya tahu dia itu Jesus Christ kerana rupanya serupa dengan gambar-gambar Jesus Christ yang pernah saya lihat. Lagipun tongkat yang dipegangnya berupa salib, ayah."
Si ayah tersenyum lebar. Si pemuda semakin keliru. Mungkin ayahnya telah menemui " kebenaran ".Inilah peluang dakwah untuk ayah, kemudian ahli keluarga yang lain.
" Lantas, kau telah temui kebenaran ? Dan kau menjadi Nasrani ? " Tanya si ayah dengan senyuman yang tidak pernah lekang." Ya, saya yakin akan kebenaran Jesus Christ...., juru
selamat manusia akhir zaman ....."" Anak, anak. Sebenarnya kau tersesat.... "
Sang anak terkedu seketika. Kalau dia tersesat kenapa ayahnya tidak melenting seperti mana ketika dia tidak solat semasa darjah tiga dahulu. Habis balar-balar badannya disebat kerana dia tidak sembahyang. Tapi, kini....." Nak, ayah juga bernah ketemu dan diselamatkan oleh Jesus Christ ketika ayah terumbang-ambing semasa di lautan dahulu.." sambung si ayah yang pernah menjadi nelayan ketika mudanya. Si ayah menghela nafasnya panjang. Si anak semakin teruja untuk mendengar." Ayah berada di lautan selama dua belas hari dan tidak putus-putus berdoa agar selamat. Pada hari terakhir ayah juga hampir putus asa dan hanya berserah kepada siapa sahaja yang bakal menyelamatkan ayah......"
Ayah berhenti seketika. Merenung jauh seakan mahu mengingati peristiwa lampau itu. Kemudian menyambung, " Tiba-tiba datang satu cahaya dari langit, muncul pula ikan lumba-lumba di keliling perahu ayah. Satu lembaga manusia memegang tongkat berbentuk salib berada betul-betul di hadapan ayah sambil tersenyum. Dia telah mengarahkan ikan lumba-lumba seakan menunda perahu ayah hingga ke pesisir pantai kampung kita."
Si anak semakin teruja mendengarnya. Si ayah menyambung lagi, *" Apabila ayah sudah pasti akan selamat, ayah memberanikan diri memberikan salam kepada lelaki itu dan dia telah menjawab salam ayah. Ayah bertanya, siapakah gerangan dia itu. Dia tidak menjawab, cuma tersenyum sambil mengatakan, dia adalah juru selamat manusia yang akan membantu seorang pemimpin membunuh pemimpin kejahatan. Kemudian dia hilang."*
" Kemudian ayah terlihat gambarnya di rumah jiran kita Michael Wong, sebiji seperti orang yang ayah temui atas perahu. Ayah bertanya kepada Michael Wong siapakah yang ada pada gambar itu, lalu dikataklan itulah Jesus Christ, penyelamat manusia. Ternyata ayah telah menemui kebenaran... "
Si anak tidak sabar-sabar bertanya kepada ayahnya, " kalau begitu kenapa ayah masih Islam ? " Si ayah tidak terus menjawab, sebaliknya ketawa kacil yang panjang.
" Kerana Jesus Christ itu Islam dan dia akan turun satu masa nanti untuk menyelamatkan manusia serta membantu seorang pemimpin iaitu Imam Mahdi membunuh Dajal pemimpin kejahatan. Bukankah hal itu telah banyak Nabi Muhammad beritahu dalam hadis-hadisnya. Kerana itu ayah tetap Islam justeru Jesus Christ telah menjawab salam ayah secara Islam."Sang anak terpinga-pinga semakin keliru agaknya. Sang ayah tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu anaknya, " Engkau silap kerana tidak bertanya sendiri kepada Jesus Christ yang engkau temui dalam satu saat dan peluang yang tidak pernah orang lain dapati, sebaliknya engkau membuat andaian sendiri bahawa Jesus Christ itu adalah kebenaran Nasrani. Tidak ! Jesus Christ aadalah kebenaran tentang Islam....." sambil si ayah meninggalkan anaknya tersandar di kerusi...... ......... ......."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan