Isnin, Mac 8

Qada Dan Qadar I

Qada Dan Qadar I


SAYA masih kurang pasti dengan apa yang dimaksudkan dengan qada dan qadar. Adakah takdir seseorang itu telah ditentukan sejak kita lahir lagi? Jikalau begitu, adakah kita sudah ditakdirkan untuk masuk syurga atau neraka?
Apa yang saya pasti ajal maut sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. Cuma, dalam keadaan apa kita akan mati. Adakah sebagai seorang yang beriman atau tidak. Adakah itu juga telah ditentukan?
————————-
MENGIKUT pandangan Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari mentakrifkan: “Qada merupakan kehendak Allah s.w.t .yang bersifat azali yang bergantung dengan sesuatu yang berlaku.”

Beriman kepada qada Allah s.w.t. dan qadar-Nya adalah adalah salah daripada rukun akidah dan ia adalah rukun yang keenam daripada rukun-rukun iman.
Kesempurnaan iman seseorang bergantung rapat dengan kepercayaan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi akan ketentuan Allah s.w.t. yang diterimanya.

Persoalan berkaitan qada dan qadar menjadi pertelingkahan dan perdebatan di kalangan aliran pemikiran agama Islam. Ia juga menjadi punca kepada perpecahan sehingga lahirnya pelbagai aliran dengan pandangan yang sederhana dan pandangan yang ekstrem. Sehingga perbalahan itu menjadi punca kepada mengkafirkan golongan yang tidak cenderung kepada pandangan mereka.

Para ulama berbeza pendapat tentang perbezaan antara kedua istilah tersebut (qada dan qadar). Sebahagian mengatakan bahawa qadar adalah ketentuan Allah sejak zaman azali (zaman yang tak ada awalnya), sedangkan qada adalah ketetapan Allah terhadap sesuatu pada waktu terjadi.

Maka ketika Allah menetapkan sesuatu akan terjadi pada waktunya, ketentuan ini disebut qadar. Kemudian apabila tiba waktu yang telah ditetapkan pada sesuatu tersebut, ketentuan tersebut disebut qada.
Masalah ini (qada) banyak disebut dalam al-Quran, seperti firman Allah yang bermaksud: Sesuatu itu telah diqada. (Yusuf: 41)

41. "Wahai sahabatku berdua Yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. ada pun Yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara Yang kamu tanyakan itu".

Dan firman Allah lagi yang bermaksudnya: Allah mengqada (menghukum) dengan benar (adil). (Al-Mu’min/Ghafir: 20). Dan ayat-ayat lain yang serupa.

20. dan Allah memutuskan hukum Dengan adil, sedang Yang mereka sembah Yang lain dari Allah - tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.


Maka qadar adalah ketentuan Allah terhadap segala sesuatu sejak zaman azali, sedangkan qada merupakan pelaksanaan qadar ketika terjadi. Sebahagian ulama mengatakan kedua-dua istilah tersebut mempunyai satu makna.
Pendapat yang dianggap rajih (kuat) adalah bahwa kedua istilah tersebut bila dikumpulkan (qadar-qada), maka mempunyai makna berbeza, tetapi apabila dipisahkan satu dengan yang lain maka mempunyai makna yang sama.

Dr. Qahtan Abdul Rahman al-Duriy dalam kitabnya yang berjudul Usuluddin al-Islamiy membahagikan qada dan qadar kepada dua bahagian: Pertama: af’al al-idthirariyyah (perbuatan yang dilakukan oleh manusia secara terpaksa). Perkara yang tiada daya usaha bagi manusia dan manusia tidak boleh memilih, atau dalam erti kata yang lain tiada pilihan bagi manusia melainkan dihadapinya, seperti tangannya menggigil, bersin dan sebagainya.
Kedua: af‘al Ikhtiyariyyah (perbuatan yang boleh dipilih oleh manusia) untuk melakukannya atau tidak melakukannya seperti bercakap, berjalan dan sebagainya.
Berhubung dengan perkara ini Imam Nawawi mentakrifkan maksud qadar dengan berkata:

“Qadar atau takdir ialah semua perkara atau benda yang wujud di alam ini telah ditentukan dan ditetapkan mengikut garisan yang telah dibuat oleh Allah s.w.t. sebelum sesuatu itu berlaku dan terjadi, di mana Allah mengetahui apa sahaja yang akan berlaku dan yang akan terjadi ke atas sesuatu itu dalam masa dan waktu yang telah ditentukan Allah sesuai dengan garisan yang telah ditentukan-Nya.”
Selalu kita dengar ungkapan “kita merancang Allah jua yang menentukan”. Kita selaku hamba yang diciptakan hanya mampu merancang, biar hebat sekali manapun rancangan kita, namun keputusan muktamadnya daripada Allah s.w.t.

Cuma persoalannya apa yang kita rancang? Bagaimana kita merancang? Apa matlamat perancangan kita? Apa usaha kita untuk mencapai perancangan tersebut? Semua ini dilihat oleh Allah s.w.t. untuk menetapkan keputusan. Adakalanya keputusan daripada Allah s.w.t. berbentuk musibah.

Ketahuilah sesungguhnya setiap sesuatu yang menimpa manusia sama ada yang baik mahupun yang buruk adalah kehendak Allah s.w.t. Jika ketentuan itu merupakan nikmat wajib dia bersyukur dan sekiranya ketentuan itu merupakan musibah maka wajib dia bersabar. Ini kerana Allah menguji manusia dengan kenikmatan dan musibah.

Kita masuk syurga dengan pilihan kita dan kita masuk neraka dengan pilihan kita juga. Yang dimaksudkan dengan tertulis sejak azali lagi ialah, ilmu Allah s.w.t. mendahului perbuatan manusia. Contohnya, pada hari pertama seorang guru mengajar di bilik darjah, dia dapat menilai potensi kecerdikan seseorang murid.

Justeru itu, pada hari peperiksaan pelajar itu benar-benar cemerlang. Guru tadi dapat menilai sebelum peperiksaan dan keputusan dikeluarkan. Ilmu guru dalam menilai murid tadi adalah berdasarkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh guru tadi. Bagi Allah lebih daripada itu.

Allah s.w.t. menetapkan demikian kerana ilmu Allah telah mendahului perbuatan manusia. Untuk itu manusia tidak boleh berserah kepada takdir bulat-bulat tanpa berusaha ke arah mencari kebaikan untuk memanfaat di dunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan