Ahad, April 15

BICARA HIKMAH: #3 Jalan Kebahagiaan Ke Akhirat

3 Jalan Kebahagiaan Ke Akhirat
Wahai anakku,
Berpeganglah kamu dengan pesananku ini, mudah-mudahan ia menjadi ubat mujarab untuk kehidupan kamu di dunia dan akhirat.

Hendaklah kamu memiliki ilmu kerana ilmu adalah cahaya, ilmu adalah penyuluh. Tanpa ilmu, manusia dalam kegelapan, manusia mudah tersesat. Justru itu, ilmu mesti mendahului amal, amal tanpa ilmu bagaikan debu yang berterbangan. Orang yang tiada ilmu akan mudah ditipu oleh syaitan, mereka mudah tersesat dengan manusia yang pandai bercakap, yang mempunyai kelebihan dan sebagainya. Jika kita mahu menghidupkan hati, tiada jalan lain untuk menempuhnya melainkan dengan jalan ibadah. Apabila kita mahu beribadah, kita mestilah berilmu kerana ibadah tanpa ilmu akan hancur malah penuh kerosakan.

Ilmu yang perlu dipelajari adalah :
1.  Ilmu Tauhid yang mengesahkan pengenalan kita dengan sifat Tuhan iaitu Wajib, Mustahil dan Harus.
2.  Ilmu Fekah yang mengesahkan ibadat kita dari hukum bersuci, solat, puasa, zakat, sehinggalah kepada seluruh kehidupan.
3.  Ilmu Tasauf yang membicarakan persoalan akhlak, hati, keaiban, tipu daya syaitan dan nafsu.
4.  Ilmu fikrah yang berkaitan dengan kesyumulan Islam agar kehidupan kita benar-benar berada dalam kelompok umat yang pertengahan. Umat yang tidak melampau dalam ibadah dan tidak melampau dalam keduniaan.

Wahai anakku,
Dimana sahaja kamu berada atau apa jua pekerjaan yang kamu lakukan, ingatlah ALLAH, ikhlaskan amal kamu, jaga batas-batas syariat.

Firman ALLAH SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

" Ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu."
[Al-Baqarah : 152]

Hati yang hidup adalah hati yang cinta kepada ALLAH. Segala pengalamannya, gerak kerjanya untuk mencari cinta ALLAH. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa melihat segala sesuatu, gerak diam di alam ini datang dari Tuhan. Mereka bersyukur dengan nikmat dan kebaikan, mereka sabar dan redha dengan musibah dan kejahatan. Mereka tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH, hati mereka teguh bagaikan pohon kayu yang kuat dalam keyakinan pada ALLAH, mereka bertawakkal kepada ALLAH. Ingatlah, apabila kamu bertawakkal bermakna kamu tidak bersendirian, seluruh tentera ALLAH di langit dan bumi menjadi penolongmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan