Ahad, April 29

Bisikan Sirr 18-19

[18] ✿ܓ♥ BURU KASIH SAYANG ALLAH

Kasih sayang adalah anugerah ALLAH. Ramai manusia menderita dan bahagia kerananya. Kasih sayang menyebabkan ramai yang menderita apabila hidupnya diabdikan buat memburu kasih sayang manusia. Ibu bapa menangis apabila anak tidak menyayanginya. Anak-anak sedih apabila ia tidak disayangi, adik badik cemburu antara sesama sendiri untuk disayangi ibu bapa. Suami isteri dicengkam prasangka bimbang tidak disayangi, teman-teman bergaduh kerana berebut untuk disayangi, dan pelbagai kekecewaan akan menghantui apabila merasai diri tidak disayangi.

Berpalinglah dirimu dari kepenatan memburu kasih sayang manusia, tapi rebutlah kasih sayang ALLAH. Sayangilah manusia kerana ALLAH, atas tujuan beribadah kepada ALLAH. Jangan dengan tujuan untuk mendapat kasih sayang manusia. Jika kamu disayangi, bersyukurlah. Jika kasih sayangmu tidak dihargai, ingatlah ALLAH sentiasa menyayangimu jika segala perbuatanmu hanya kerana mencari cinta-Nya.

وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ ۗ

" Adapun orang-orang yang beriman itu amat sangat cintanya kepada ALLAH."   [Al-Baqarah:  165]


[19]  ✿ܓ♥   HIJAB DIRIMU

Jangan kagum dengan ilmumu. Mungkin ia adalah penghijabmu. Jangan kagum dengan ibadahmu, mungkin ia akan membinasakanmu. Kesombongan adalah jalan kebinasaan, merasa fakir dengan ALLAH adalah kunci keselamatan. Walau banyaknya ilmumu, ia hanyalah setitik dari lautan ilmu-Nya. Walau banyak manapun ibadahmu, ia tidak akan mampu membayar harga walaupun satu zarah ciptaan-Nya dalam tubuhmu.

Kenapa perlu mengembangkan dada sedangkan nasibmu di dalam rahsia-Nya. Kecilkan dirimu dalam lautan kebesaran-Nya, fanakan dirimu dalam lautan kewujudan-Nya. Engkau tiada memiliki apa-apapun di dunia ini melainkan segalanya adalah ujian bagimu.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَّا يَجْزِي وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ

"...maka janganlah kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah ALLAH."    [Luqman:  33]

Bisikan Sirr 14-17

[14]  ✿ܓ♥ PILIHAN SYURGA ATAU NERAKA

Ingatlah, tanda ahli syurga ialah golongan yang tiada ingat akan kebaikannya dan sentiasa mengingati kesalahan dirinya. Ahli neraka pula ialah golongan yang sentiasa mengungkit kebaikan dan melupai kesalahan diri. Jika kebaikan kamu dihargai, bsyukurlah kamu kepada-Nya. Jika tidak dihargai, janganlah kecewa, hiburkan dirimu dengan janji ALLAH dan brsabarlah, sesungguh-Nya ALLAH tidak akan mensia-siakan kebaikanmu.

وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"....dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kejakan."  [An-NahL: 96]


[15]  ✿ܓ♥  ANAKMU ANUGERAH ALLAH

Hargailah anugerah ALLAH. Anak-anakmu adalah hadiah yang amat berharga dari Tuhanmu. Amat indah ciptaan-Nya. Ia menjadikan manusia berpasang-pasangan dan disulami keindahan dengan kehadiran cahaya mata.

Anak yang sering didambakan dalam keluargamu tapi andai disalah asuh sehingga terlupa siapa sebenar dirinya, bagaikan dilontarkan ke dalam gaung kegelapan. Mereka lupa asal dari mana mereka datang, untuk apakah kehidupan ini dan ke manakah mereka akan pergi? Mereka hidup tanpa pedoman, disajikan keni'matan zahir tetapi diabaikan keni'matan jiwa. Disogok dengan kejayaan dunia namun diabaikan kejayaan akhirat.

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

" Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar."   [At-Taghaabun: 15]

[16]  ✿ܓ♥  HARGAILAH MEREKA DI SEKELILINGMU

Setiap insan mempunyai kehebatan, mereka adalah khalifah ALLAH yang terpilih. Fahamilah, insan yang ada di sisimu sudah termaktub daLam kitab-Nya yang azali, telah disusun oleh ALLAH Yang Maha Bijaksana. Mereka ditetapkan menjadi suami, isteri, anak-anak, adik beradik, saudara dan sahabatmu di alam ini. Mereka adaLah terbaik di sisimu. Jangan memandang rendah akan kekurangan mereka. Mungkin kekurangan mereka itu yang menjadikan dirimu kuat. Mungkin disebabkan kekurangan mereka itulah juga yang menolak kamu ke syurga kerana keberkatan kesabaranmu ke atasnya.

HargaiLah kekuatan mereka. Kekuatan itulah yang membantu kelemahanmu yang membawamu ke Syurga. Mereka adalah pasukan pilihan ALLAH padamu. Pilihan ALLAH adalah terbaik. Bersamalah dengan mereka ketika susah dan senang. Setiap mereka ada hak atas dirimu di dunia dan akhirat. Mereka boleh membawa kamu ke Syurga dan mereka juga boleh mengheret dirimu ke Neraka. Hargailah setiap insan yang ada di sisimu, sayangilah mereka, hulurkan tanganmu ketika mereka memerlukan bantuan, berkorbanlah demi kasih sayang. Berhati-hatilah dengan syaitan yang sentiasa cuba memecahkan pasukan pilihan ALLAH. Sesungguhnya kamu memerlukan mereka dan mereka memerlukanmu dalam kehidupan yang penuh penderitaan dan cabaran...

إِنَّ الْإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ

"Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan Ni'mat Tuhannya."  [Al-'Adiyat: 6]

[17] ✿ܓ♥   MAKNA KEBEBASAN

Jangan terpengaruh dengan seruan kebebasan tanpa memahami hakikatnya. Kebebasan yang hakiki adalah mentauhidkan ALLAH dan bebas dari nafsu ammarah. Syirik dan nafsu memenjarakan dirimu dalam kancah penderitaan. Ia adalah pendinding dirimu daripada mencapai cahaya kebahagiaan. Islam datang membebaskan daripada kedua-duanya. Segala ajarannya adalah anak-anak kunci yang membuka mangga pintu penjara. Jika Islammu masih dikuasai oleh syirik dan nafsu, engkau belum benar-benar memahami dan menghayatinya.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

" Dialah yang telah mengutuskan dari kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH (yang membuktikan keesaan ALLAH dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab ALLAH (aL-Quran) dan aL-Hikmah (pengetahuan yang mendalam). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu dalam kesesatan yang nyata.   [Al-Jumu'ah:  2]

Islam bukan mengawal kebebasanmu, tetapi membebaskanmu dari penjara nafsu dan syaitan. Kedua-duanya membawa kamu ke penjara yang gelap, sesat dan penuh penderitaan. Agama membawa kamu ke arah kehidupan yang sebenar-benarnya. Syaitan nafsu pula membawamu ke alam khayalan. Kerosakan dunia hari kini disebabkan manusia terpengaruh dengan seruan kebebasan Barat. Mereka mentafsirkan sesuatu dengan aqal dan nafsu, justeru dunia kini tiada keamanan, jenayah semakin berleluasa.

Semakin hari masalah semakin parah, kaum wanita semakin dihina, bertelanjang, zina dan sebagainya. Menderhakai suami dianggap bertamadun, si kaya angkuh dengan kezaliman, ibu bapa bimbang keselamatan anak-anak, malah anak-anak semakin menjauhi ibu bapa. Si kaya bimbang kehilangan hartanya, yang berkuasa bimbang hilang kuasanya, si miskin merungut dengan kehidupannya, para remaja liar mengejar keseronokan. Kemarahan, angkuh, dengki, khianat, dendam semakin subur. Itulah dunia kebebasan ciptaan manusia yang terpenjara.

Bisikan Sirr 12-13

[12]  ✿ܓ♥ IKHLASKAN DIRIMU

Apabila melakukan kebaikan, jangan mengharapkan balasan manusia, nanti engkau akan kecewa.

يَا أَيُّهَا الْإِنسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَىٰ رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلَاقِيهِ

" Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya)."  [Al-Insyiqaq: 6]

Ikhlaskanlah dirimu semata-mata kepada ALLAH, jangan mengharap pujian dan jangan menghiraukan celaan. Insya-Allah kamu akan menemui kebahagiaan dunia dan akhirat. Imam Ghazali rahimahullah menulis menerusi suratnya, 'Ayyuhal Walad'. "Wahai anakku, engkau bertanya kepada-Ku apa itu ikhlas? Ikhlas itu ialah engkau berbuat sesuatu semata-mata untuk ALLAH, tidak engkau sombong dengan pujian manusia, dan tidak engkau terjejas apabila dicela."

[13]  ✿ܓ♥ ANAK AMANAH ALLAH

Berapa ramai ibu bapa kini yang kecewa menghantar anak menuntut ilmu agar dapat bergantung hidup kepada mereka apabila bekerja kelak, namun malangnya anak tidak mempedulikan mereka. Terkeliru, adakah mereka cintakan ilmu atau cintakan pembalasan. Pengorbanan memberi ilmu pada anak-anak adalah jihad, namun segala pengorbanan itu akan sia-sia di sisi ALLAH jika terdapat kesyirikan.

Jangan bergantung masa depan dan rezeqi dengan anak-anak, bergantunglah dengan ALLAH dalam setiap urusan. Sesungguhnya ALLAH adalah sebaik-baik jaminan. Amat dibimbangi, ALLAH akan mencabut keberkatan kerana niat yang salah, lalu hilanglah kasih sayang anak-anak dalam hati mereka terhadap ibu bapanya. Walaupun pada zahirnya kelihatan baik tetapi hati mereka mendoakan kematian, kerana merasakan ibu bapanya menyusah dan menjadi beban pada mereka. Ada yang membiarkan ibu bapa meringkuk kesusahan dalam meniti hari-hari tua.

Ingatlah anak-anak adalah amanah ALLAH, memberi ilmu adalah menunaikan amanah dalam rangka ibadah kepada-Nya. Tidak terungkit ianya sebagai jasa, bahkan ia merupakan kewajiban dan membiarkan mereka jahil adalah dosa.  Ikhlaslah dan bergantunglah kepada ALLAH dalam kehidupan. Jangan bergantung kepada sesiapa walaupun kita banyak berjasa pada mereka. ALLAH yang menjamin dan memberi rezeqi, Dia adalah sebaik-baik penjamin.

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِ مِن مَّالٍ وَبَنِينَ (55)  نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ ۚ بَل لَّا يَشْعُرُونَ

" Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami segera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak! sebenarnya mereka tidak menyedarinya.  [Al-Mukminuun: 55-56]

Dia akan jadikan orang di sekelilingmu menyayangi dan tidak lupa kepadamu walaupun engkau tidak mengharap balasan atas kebaikan yang kamu lakukan. Sesungguhnya segala hati manusia dalam genggaman-Nya. Jangan syirik kepada-Nya, nanti engkau akan menderita dunia dan akhirat.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

"....Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka."  [Al-Baqarah: 201)

Bisikan Sirr 10-11

[10]  ✿ܓ♥ JANGAN MEMUSUHI TAQDIR

Sesungguhnya matahari itu berputar di atas paksi yang telah ditetapkan oleh-Nya. Hidup bagaikan putaran alam, ada malam dan siang. Jika sentiasa siang, bumi akan musnah dengan kepanasan. Jika sentiasa malam, bumi akan musnah dengan kesejukan. Begitu juga taqdir ALLAH ke atas manusia. Ia berjalan di atas paksinya. Adakalanya di sayangi dan dibenci, dipuji dan dihina, bahagia dan derita, hidup dan mati.

Sesungguhnya di sebalik kejadian itu, ada penawar bagi hati, sebagaimana siang dan malam adalah penawar bagi bumi. Jangan memusuhi taqdir kerana ia datang dari ar-Rahman, ALLAH tidak akan datangkan sesuatu yang menzalimi hamba-Nya.

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

" Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut taqdir (yang telah ditentukan)."  [AL-Qamar: 49]

Berburuk sangka menunjukkan hatimu kering dari mengenal-Nya. Musuhilah dirimu sendiri kerana gagal memahami bahasa cinta ALLAH dalam setiap taqdir-Nya. Engkau tidak akan mengenal-Nya selagi engkau tidak bangun menyucikan dirimu dari lumpur dosa dan ammarah.


[11]  ✿ܓ♥ PENAWAR DERITA

Hidup ini penuh penderitaan; disakiti dikhianati, difitnah, dimusuhi dan pelbagai musibah yang mendatangi, kehilangan harta benda, orang kesayangan, pangkat dan hancurnya impian.

Suatu ketika dulu, seorang raja di Indonesia menghadapi suatu musibah. Anak kesayangannya meninggal dunia, lalu hancur luluh dan gelaplah pandangan raja dan permaisuri. Mereka hidup dalam duka kesedihan, sehinggakan rakyat merasai kesannya dan tiada ditemui ubat untuk membantu  mereka. Namun setiap penyakit ada ubatnya. Penyakit zahir diubat secara zahir, penyakit rohani diubat secara rohani. Dengan kekendak ALLAH datang kepada mereka Syeikh Abdul Wahab Rokan, seorang ulama sufi yang masyhur ketika itu. Syeikh mengajak baginda berdua bersuluk (beruzlah dengan berzikir dan bertafakkur dengan kaedah yang diajar oleh Guru untuk mencapai darjat makrifat) agar dengannya segala duka nestapa terangkat daripada hati mereka. Raja dan permaisuri yang berduka itu bersetuju dan jadilah keduanya murid yang baik. Setelah mereka menjalani suluk, terubatlah hati mereka bagaikan disapu luka kedukaan itu dengan tangan ghaib yang menyembuhkan. Kehidupan merka kembali gembira.

Imam Ghazali rahimahullah juga pernah mengalami konflik jiwa yang hebat dalam kehidupannya. Walaupun beliau seorang ulama yang tersohor, namun hati nuraninya gelisah kerana dirasakan dirinya munafiq dengan iLmunya. Akhirnya beliau terjun ke dalam lautan sufi, beruzlah dengan berzikir dan bertafakkur di bawah bimbingan gurunya yang mursyid. Di situ dia menemui jawapan dan ubat yang memberi kesembuhan kepada jiwanya.

Tiada ubat lain untuk menyembuhkan penderitaan dan musibah, melainkan menenggelamkan diri dengan ALLAH melalui ibadah, zikir, tafakkur, mujahadah dan mendengar tazkirah sang sufi. Dengannya insya-Allah, akan terbuka cahaya makrifat pada hatimu. Ia membawa dirimu tenggelam dalam lautan Tauhid yang suci dan hening. Kedukaan akan bertukar kepada kesyukuran, derita bertukar kepada bahagia. Carilah penawar dalam rahsia-Nya dan dengan para kkasih-Nya. Jangan berpaling dari wajah-Nya, kerana di situlah penawar dalam mengharungi bahtera dunia penderitaan.

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

" Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh bermujahadah (jalan untuk makrifat) kepada Kami, nescaya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang makrifat itu)..."  [AL-Ankabut: 69]

Bisikan Sirr 9

[9] ✿ܓ♥  CINTA DUNIA PUNCA DERITA

Dunia bukanlah Syurga. Mereka yang mencintai dunia adalah mencintai penderitaan. Penderitaan berpunca daripada nafsu dan aqal. Mereka yang tidak memiliki keduanya adalah bebas dari merasai apa yang berlaku. Aqal menangkap peristiwa, hati menerima dan mengolahkannya. Jika hati bernafsu ammarah, segala peristiwa akan diolah oleh nafsu ammarah. Maka jiwanya tidak pernah kenal diam dan merungut, kecewa, dengki, marah, dendam dan kesedihan. Hatinya tidak akan tenang walaupun memiliki segunung emas.

Nafsu ammarah adalah punca penderitaan insan. Lihatlah dunia hari ini yang sarat dengan penderitaan. Ia adalah jeLmaan nafsu ammarah yang ada dalam diri ramai manusia dan pemimpin dunia. Nafsu tamak, angkuh dan gilakan kekuasaan, tiada belas kasihan adalah pendorong kepada kemusnahan alam. nafsu ammarah adalah sebahagian nyalaan api neraka yang ada dalam diri insan. Ia sentiasa membakar hati dan aqal, maka lahirlah tekanan dalam kehidupan.

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

" Apakah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya ? Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara ke atasnya ?"  [AL-Furqan: 43]

Mereka yang menyimpan neraka dalam dirinya, sudah merasai kepanasannya di dunia ini lagi, kehidupan sentiasa resah dan gelisah, tiada ketenteraman, bagaikan pesalah yang diburu. ALLAH tidak akan memberi ketenangan dalam kehidupan selagi engkau menyimpan musuh kederhakaan dalam dirimu. Nafsu ammarah adalah tunggangan syaitan, memeliharanya mnyebabkan syaitan begitu mudah menunggang dirimu, maka tiada tempat yang dituju melainkan ke lembah penderitaan dan kesesatan.

Semakin jauh dirimu dari ALLAH maka semakin musnahlah hidupmu, bahkan engkau tidak akan menemui setitik pun cahaya kebahagiaan di dunia apatah lagi di akhirat. Kembalilah kepada fitrah, sucikan dirimu dari ammarah dengan penawar daripada aL-Quran.

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ

" Dan Kami turunkan (dengan beransur-ansur) dari aL-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya..."  [AL-Israa': 82]

Berzikirlah mengikut petunjuk dari para guru sufi, palukan qalbi dengan cemeti mujahadah, nescaya akan bersinarlah mentari makrifat, tenggelamlah di dalamnya dan di situlah hakikat dirimu akan menghirup kebahagiaan.

Bisikan Sirr 8

[8] ✿ܓ♥  SELAMILAH HAKIKAT KEHIDUPAN


Manusia adalah alam. Ia bagaikan bintang-bintang di langit. Setiap diri ada kehidupannya sendiri, ada kitabnya sendiri, ada kisah hidupnya sendiri yang berlainan walaupun tidur sebantal. Antara suami dan isteri, antara ibu bapa dan anak-anak, antara abang dan adik, antara teman dengan teman, mereka berada di atas pentas yang sama tetapi melakar kisah yang berlainan. Mereka menempuh ujian yang sama tetapi dalam wajah yang berbeza.

Para Sultan, menteri, si kaya dan si fakir semuanya sama di dalam menempuh tribulasi kehidupan. Cuma, ada ujian yang dapat dilihat dan ada yang terlindung. Jika hidup tanpa ranjau dan duri, ia bukan kehidupan namanya. Kehidupan dunia adalah perjuangan untuk kehidupan akhirat. Sesiapa yang melaluinya dengan baik, mereka adalah orang yang berjaya dan bahagia. Jangan kecewa atau sombong dengan kehidupan dunia, ia bukannya hakikat segalanya. Ia hanya secebis kisah kehidupan diri, filemnya terlalu singkat di sini tetapi akan berkekalan di sana. Kematian bukan penghujung kehidupan, bahkan sebenarnya kematian adalah permulaan kehidupan yang hakiki.

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ

" Dan (balasan) di akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa.." [ An-Nisa' : 77]

Carilah kebenaran kehidupan di sana bukannya di sini. Buatlah perancangan yang rapi agar kehidupan ini membawa kejayaan di sana. Segala perbuatan di sini akan membuahkan gambaran yang hakiki di sana. Nabi mngajak manusia kepada matlamat kehidupan yang jelas. Daripada alam yang sempit dan sementara kepada kehidupan yang luas dan abadi. Ingatlah, manusia mempunyai ceritanya sendiri. Di akhirnya mereka akan berjalan nafsi-nafsi, kecuali Nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai kemuliaan dan darjat yang tinggi. Ingatlah, jangan kecewa dengan kegagalan, kesusahan, kecacatan, kekurangan atau kesempurnaan. Ini kerana segalanya hanyalah gambaran ujian, segalanya ilusi kehidupan.

Tajamkan mata hatimu kepada ALLAH. Perhatikan sedalam-dalamnya khidupan Nabi-nabi, para sahabat, para auliya', ulama akhirat dan golongan yang soleh. Belajarlah dengan mereka bagaimana menghadapi dan melalui kehidupan ini. Jangan terperangkap dengan cara, fahaman, fikiran, budaya hidup Yahudi dan Nasrani dalam kehidupan. Mereka menyangka bayangan adalah realiti, menyangka dunia adalah hakikat kehidupan, menyangka dunia adalah jawapan segala persoalan, menyangka kehidupan akhirat adalah khayalan. Sesungguhnya ALLAH adalah haq, firman-Nya adalah haq, Nabi adalah haq kehidupan akhirat adalah haq. Banyakkan istighfar, berselawat,   beribadah dan berpegang teguhlah dengan akidah dan syariah. Insya-Allah, Dia akan membuka mata hatimu untuk memandang hakikat yang sebenar-benarnya.

لَّقَدْ كُنتَ فِي غَفْلَةٍ مِّنْ هَٰذَا فَكَشَفْنَا عَنكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ

" Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya segala hakikat)    [Qaaf: 22]

Engkau tidak akan menangis dengan kehidupan ini, engkau akan memikul segala keperitan dengan senyuman. Segalanya akan menjadi emas dan permata di akhirat. Tukarlah tangisanmu, dari tangisan nasib di dunia kepada tangisan nasib yang akan dihadapi di akhirat. Menyesallah sebelum terlambat. Sesungguhnya Nabimu tidak berdusta dengan apa yang dikhabarkan tentang kehidupan. Nabi amat menyayangi umatnya tetapi ramai umatnya kini yang tidak menghargai kasih sayang Baginda. Janganlah kamu menjadi golongan yang tidak menghargai kasih sayang Baginda.

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman."
[At-Taubah: 128]

Bisikan Sirr 7

[7]  ✿ܓ♥  KENALI DAN CINTAI TUHANMU


Tiadalah harta yang bernilai yang ditinggalkan Nabi melainkan iLmu makrifat kepada ALLAH. Dengan makrifat, hamba-Nya tenggelam dalam ketauhidan, ketauhidan menenggelamkannya kepada ibadah, ibadah membuahkan akhLaq yang indah dengan ALLAH dan manusia. Maka zahirlah syariat membina tamadun manusia yang hebat. Manusia yang benar-benar memiLiki makrifat kepada ALLAH, mereka adaLah RAJA KEBAHAGIAAN DUA KERAJAAN dunia dan akhirat.

Jangan jauhi diri daripada agama . BeLajar dan beramallah sungguh-sungguh mengikut jalan para kekasih-Nya, agar kamu mendapat makrifatullah, yang dengannya kamu memperoleh kunci kebahagiaan.  Jika dalam dada dirimu dan anak-anakmu memiLiki makrifat, tidurlah dengan lena dari igauan masa depan. Orang yang hidup dalam kecintaan kepada ALLAH, masa depannya  terjamin di dunia dan akhirat, jiwanya dikurniakan permata kebahagiaan. Sang Kekasih tidak akan membiarkan kekasih-Nya menuju kebinasaan. Hidup tidak terjamin apabila kamu bergantung kepada manusia, harta, pangkat atau sijiL. Ia bagaikan bergantung pada dahan yang amat rapuh. Sebaliknya, bergantunglah kepada ALLAH, nescaya hidupmu akan terjamin dunia dan akhirat.

Carilah iLmu sampai ke negeri China, tetapi hatimu jangan bergantung kepada iLmu itu kerana ia hanyalah alat untuk menjaLani kehidupan. Ia bukannya kuasa yang boleh mengubah kehidupan, kerana segaLanya daLam kekuasaan ALLAH. Berapa ramai orang yang beriLmu, tapi berakhir hidupnya dengan kebinasaan dan kesesatan. Mereka menyangka dengan iLmu, mereka akan seLamat, sedangkan iLmu yang tidak disertakan dengan tauhid kepada ALLAH akan menyebabkan kita tertipu. Mereka akan menangis penyesaLan apabila ditutup mata hati, akhirnya lidah kelu untuk menyebut Kalimah tauhid di hujung kehidupan.

مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ اللَّهِ بَاقٍ

" (Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi ALLAH tetap kekaL...." [An-NahL : 96]

Larilah daripada yang lain, kosongkan hatimu dari segala berhala kesyirikan. Hanya kepada-Nya engkau menyerah diri. Barangsiapa yang hidupnya bertawakkaL kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH akan menyelesaikan segaLa kesulitannya. Itulah iLmu yang hakiki, MENGENAL ALLAH dan bergantung pada-Nya.

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ

" Dan sesiapa berserah diri bulat-bulat (bertawakkaL) kepada ALLAH, maka cukuplah ALLAH baginya (menoLong dan menyeLamatkannya)...." 
[At-Taalaq : 3]

BISIKAN SIRR 6

[6] ✿ܓ♥ PIMPIN KELUARGAMU KE SYURGA

Nabi s.a.w bersabda bahawa di akhir zaman, ibu-ibu akan melahirkan tuan. Ya, benarlah engkau wahai Nabi ALLAH ! Di zaman ini ibu bapa gerun pada anaknya, mereka sudah hilang hak untuk menasihati si anak. Ada ibu yang dibayar gaji untuk  menjaga cucu. Ramai ayah dan ibu kini menitiskan air matanya kerana disakiti oleh anak yang dahulu ditatangnya seperti minyak yang penuh. Apabila dewasa, anak sudah lupakan mereka, tidak dijaga perasaan mereka yang  inginkan perhatian.

Apakah ia adalah ujian Tuhan atau musibah? Muhasabahlah sedalam-dalamnya sebelum kita menyalahkan takdir. ALLAH SWT tidak menzalimi hamba-Nya, ALLAH amat menyayangimu. Dia menjadikan hukum alam dengan sebab dan musabab. Dia tidak mengubah nasib dirimu jika engkau tidak mahu berubah.

ALLAH SWT telah datangkan kepada hamba-Nya Nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat, sebagai cahaya untuk engkau membawa perubahan, daripada penderitaan kepada kebahagiaan, daripada kegelapan kepada cahaya. Kemudikan dirimu dan ahli keluargamu dengan jalan Nabi, nescaya engkau dan keluargamu memiliki dua kebahagiaan iaitu dunia dan akhirat. ILmu pertama yang wajib diajar itu bagi ahli keluarga ialah mengenal ALLAH SWT, kemudian iLmu fiqh yang berhubung hukum beribadah, kemudian ajarkan mereka akan iLmu adab yakni tasawuf yang berhubung adab dengan ALLAH dan adab dengan manusia. Kemudian ajarkan lagi mereka akan iLmu fardhu kifayah yang berhubung dengan keduniaan. Bertawakkallah kepada ALLAH dan yakini rezeki dari ALLAH. Jangan ajar mereka bergantung selain dari ALLAH SWT.

Yakinilah, jika anak memiliki jiwa akhirat, dunia akan mereka miliki. Namun jika memiliki dunia, belum tentu dunia itu membahagiakan mereka dan belum tentu akhirat akan diperolehi. Jika di dunia anak-anak sudah tidak membantu, bagaimana mereka mahu membantumu di akhirat nanti. Yakinilah, jika mereka memiliki akhirat, dunia dalam genggaman mereka. Mereka tidak akan susah walaupun seluruh dunia mengatakan mereka susah, batin mereka tenang dalam dakapan ar-Rahman. Mereka akan menjadi anak yang akan memberi kasih sayang padamu walau apapun keadaan mereka. Mereka akan membantu engkau di dunia dan dapat memberi syafaat di akhirat nanti.

Jiwa yang terikat dengan taqwa tidak akan kering dengan kasih sayang. Kasih sayang adalah sifat ALLAH yang dianugerahkan kepada hamba-Nya yang dikasihi. Ramai yang tidak yakin dengan ALLAH. Mereka lebih yakin dan bergantung pada perkara yang lain, yang dianggap menjamin masa depan. Adakah ada lagi kekuasaan yang hebat selain daripada-Nya untuk menjamin masa depan? Keraguan melambangkan tiadanya cahaya pada hati. Ia menjadi buta untuk melihat kebesaran ALLAH dalam menjamin dan memelihara hamba-Nya. Cukuplah ALLAH sebagai penjamin dan pelindung.

Sesungguhnya Dia amat bersifat pengasih dan penyayang. Jika anak terlalu liar dan keras hati, banyakkan membaca doa Nabi ALLAH Ibrahim 'Alaihis Salam:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

" Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku..."  [Ibrahim:  40]

dan ayat kegembiraan Nabi Yaakub sehingga sembuh matanya dari buta apabila menyentuh baju Nabi Yusof.

Sesungguhnya anak itu bagaikan kain putih. Ibubapalah yang mencorak jiwa, pemikiran dan budaya hidupnya, sama ada dengan jalan Islam, Yahudi atau Nasrani. Itulah yang disabdakan Nabi s.a.w :

"Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanya-lah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." [HR Bukhari dan Muslim]

Siapakah yang perlu ditangisi? Kepada anak yang tidak mengenag budi atau pada diri sendiri yang tersalah jalan mendidik mereka. Diri terlalu memikirkan jaminan hidup anak di dunia sehingga lupa jaminan hidup diri sendiri dan anak-anak di akhirat.

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh keinsafan. Bertaubatlah dengan taubat nasuha dan jangan berputus asa berdoa agar anak-anak mendapat hidayah. Tebus kesalahanmu. Jika kamu ada iLmu atau harta, infaqkanlah ia kepada usaha membimbing anak-anak kecil umat Muhammad kepada Islam. Mereka menjadi anak-anakmu dalam keturunan rohani, merekalah yang akan menjadi pembantumu di akhirat nanti, insya-Allah.

وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

" (Ya ALLAH) berikanlah kebaikan kepadaku (dengan memberi kebaikan) kepada anak-anak dan keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya akau dari orang-orang yang berserah diri."
[Al-Ahqaaf:  15]

Ahad, April 15

BISIKAN SIRR 1-5

[1] ✿ܓ♥ KASIH SAYANG ALLAH

ALLAH amat menyayangimu. Kewujudanmu adalah bukti kewujudan-Nya. Apakah maknanya Dia mewujudkanmu jika Ia membencimu?

Renunglah ke dalam dirimu dengan renungan yang sedalam-dalamnya. Sesungguhnya pada dirimu sudah nyata akan kasih sayang-Nya, jika kamu memahami.

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

" Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?   [Az-Dzaariyaat: 21]

[2] ✿ܓ♥ CINTA ALLAH

Daripada-Nya engkau datang dan kepada-Nya engkau akan kembali. Engkau tidak memahami bahasa cinta jika engkau berpaling daripada wajah-Nya.

قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

".... mereka berkata : ' Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali."    [Al-Baqarah :  156]

[3] ✿ܓ♥  BELAIAN KASIH YANG MAHA PENCIPTA

Segala apa yang engkau pandang, dengar, rasai dan miliki adalah kosong pada hakikatnya. Jika Engkau memeluk apa yang ada di sekelilingmu itu, engkau akan jauh daripada cahaya kasih sayang-Nya. Nafsumu adalah penghalang besar untuk dirimu merasai sentuhan belaian-Nya yang amat lemah lembut.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

" Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kpada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak; harta benda yang banyak bertimbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia, dan (ingatlah), pada sisi ALLAH ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."   [Ali-Imran :  14]

[4] ✿ܓ♥ HAKIKAT UJIAN

Musibah adalah fitrah kehidupan. Ia bagaikan badai dan gelombang di lautan. Ujian bagaikan cemeti kehidupan. Justeru itu ramai yang menyangka ALLAH menjauhinya, tidak menghiraukannya, malah ada yang berburuk sangka pada-Nya. Renunglah wahai diri dengan cahaya hatimu.

Fahamilah, musibah adalah seruan untuk hamba itu kembali ke dalam dakapan-Nya. Bagaikan cemeti sang pegembala kepada ternakannya, agar ternakannya kembali ke kandang. Kita laLai, angkuh, lupa diri dengan sedikit kelebihan atau melanggar ajaran-Nya. Hadapilah dengan redha, sabar, tenang, bersegera bertaubat dan sujud pada-Nya. Yakinilah ALLAH tidak menzalimi hamba-Nya. ALLAH amat menyayangi dirimu. Insya-ALLAH pada segala kesulitan itu akan datangnya kerahmatan.

مَّنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

....dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya ". [FussiLat: 46]

[5] ✿ܓ♥ JALAN BAHAGIA

ALLAH tidak menolong kaum yang fasiq. Apakah makna hidup ini jika ALLAH meninggalkanmu? Dia amat menyangimu tetapi perbuatanmu terlalu melampau. Dia jadikan hatimu satu, tetapi engkau mengisinya deengan pelbagai kecintaan. Engkau lebih cinta pada seruan nafsu dan syaitan, bahkan engkau berpaling dari seruan-Nya melalui petunjuk Rasul-Nya.

Jika begitu, bagaimana engkau mahu mencapai kebahagiaan? Engkau tidak akan menemui Syurga dalam kehidupanmu di dunia, apatah lagi di akhirat nanti. Perjalananmu menyimpang ke Neraka dan engkau akan derita. Dunia ini akan mendatangkan pelbagai masalah, bagaikan kapal yang bocor di mana air laut akan mula melimpah masuk ke dalamnya sedikit demi sedikit. Tutuplah lubang itu dalam kasih sayang-Nya dengan taubat nasuha. Berdiri teguh dengan aqidah dan syari'at serta sentiasa berzikir pada-Nya, berselawat pada Nabi-Nya, insya-Allah segala kebocoran akan tertutup.

Dia tidak akan meninggalkanmu, Dia akan menyebutmu apabila engkau sentiasa menyebut-Nya. Dia tidak menciptamu untuk membencimu. Percayalah, tiada keraguan padanya.

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

" Tidakkah mereka mengetahui bahawa ALLAH lah yang menerima taubat dari hamba hamba-Nya?"  [At-Taubah:  104]

BICARA HIKMAH : #7 Hakikat Kebahagiaan dan Ketenangan

7 Hakikat Kebahagiaan dan Ketenangan
Ketahuilah wahai anakku,
Hakikat kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan tidak berada di dunia. Ia berada di langit. Ia adalah anugerah Tuhan kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya.

Harta, pangkat, keluarga, kekuatan. kebijaksanaan dan lain-lain hanyalah pagar-pagar untuk memantapkan kebahagiaan.

Justeru, walaupun ramai manusia yang memiliki segala-galanya di dunia ini tetapi kebahagiaan tidak mereka miliki. Dan berapa ramai manusia yang tidak memiliki apa-apa tetapi hidup mereka disinari kebahagiaan.

Ingatlah anakku,
Hidup ini adalah perjuangan. Jadikan dunia ini sebagai sahabat kamu untuk mendapatkan Syurga. Janganlah kamu meninggalkannya. Kuasailah pelbagai bidang di mana dengannya kamu dapat memakmurkan bumi. Hanya di tangan orang-orang soleh, dunia ini akan menghentikan tangisannya.

WAHAI DIRI ✿ܓ♥

Wahai diri
Ingatlah setiap masa pada ALLAH
Hingga terasa manis kalimah itu
Apabila berdenyut di hati sanubarimu

Wahai diri
Janganlah engkau lupa
Setiap masa dan ketika
Dirimu akan dikembalikan
Ke hadrat Tuhanmu
Sama ada engkau redha
Atau engkau tidak bersedia
Perbetulkan akal dan hatimu
Kehidupan adalah persediaan
Untuk menuju kematian
Janganlah tertipu dengan dunia

Ya Tuhan ku
Akulah pengembara
Menuju Cinta-Mu
Tanpa ragu dan jemu
Akan ku ketuk pintu Rahsia-Mu
Agar tenggelam diriku di lautan
Wajah Mu Yang Maha Indah

Ya Tuhan ku
Akulah pengemis setiap masa
Berdiri dengan penuh harapan
Di pintu rahmat-Mu
Perjalanan yang panjang ini
Adalah suatu ujian padaku
Sama ada langkahku pincang
Atau langkahku terisi dengan
cinta Ilahi

Alangkah sukarnya dan berliku
Perjalanan mencari hakikat diri
Nafsu dan syaitan
Akan berhemah berjuang
Merosakkan dan melalaikan
Daripada sampai ke penghujung

Engkau adalah rahsia-ku
Aku adalah rahsia-Mu
Engkau berada di sebalikku
Hilang wujudku nyatalah wujud-Mu
Begitulah hakikat perjalananku ✿ܓ♥

BICARA HIKMAH : # 6 Tekunlah Beramal dan Mujahadah

6 Tekunlah Beramal dan Mujahadah

Wahai anakku,
Tekunlah beramal dan bermujahadah, cintailah ilmu pengetahuan dan cintailah kehidupan akhirat. Jadikan dirimu sebagai pengembara yang sentiasa dahaga dengan cinta ALLAH, rahmat ALLAH dan pengampunan ALLAH. Pandanglah dunia ini bagaikan tempat persinggahan kamu ketika turunnya hujan, apabila berhentinya hujan kamu kembali berjalan menuju ke destinasi asalmu.

Wahai anakku,
Sakitilah nafsumu kerana ia adalah tunggangan syaitan. Jika ia lemah maka syaitan akan lemah kerana tiada tunggangan untuk digunakan bagi merosakkanmu. Bakarlah ia dengan api zikir, lemahkan ia dengan kurang tidur dan makan, bebankan muatan atasnya dengan ibadat yang khusyuk'.

Janganlah kamu terikut manusia yang hatinya buta dengan akhirat. Mereka mencari kebahagiaan dengan menuruti hawa nafsu sedangkan kamu carilah kebahagiaan dengan menentang hawa nafsu. Hiburan kamu adalah ujian ALLAH, kesengsaraan kamu adalah kehidupan yang tidak teruji hawa nafsu. Tahanlah lidahmu dari dusta dan umpatan kerana ia menghancurkan amalan kamu sekelip mata bagaikan letupan yang menghancurkan gunung.

Berhati-hatilah dalam perjalanan ini, hanya mereka yang berilmu dan beramal serta mengalirkan air mata darah akan tersenyum di alam yang kekal abadi.

BICARA HIKMAH : # 5 Perjalanan 'Ubudiyyah

5 Perjalanan 'Ubudiyyah

Wahai anakku,
Kasihanilah dirimu jika kamu diselaputi perasaan takabur, ini bermakna kamu jahil dengan apa yang kamu lakukan. Kejahilan akan mengheret kamu kepada kesesatan dan penyelewengan. ALLAH tidak akan melihat kepada amal kamu jika ia disertai perasaan takabur. Walaupun kamu menyembah ALLAH tapi hakikatnya kamu menentang ALLAH.

Seorang hamba ialah seorang yang tidak punya apa-apa. Segala-galanya milik ALLAH. Jadi mengapa harus merasa sombong dan takabur? Sifat itu hanya layak bagi ALLAH, ia adalah milik ALLAH sahaja, siapa yang mengambilnya nescaya amat dimurkai ALLAH.

Ingatlah anakku,
Kamu adalah pengemis di sisi Tuhan, engkau mengemis belas kasihan-Nya, dirimu kotor dan kelaparan. Jadikanlah amal-amal kamu sebagai tempurung untuk mengisi belas kasihan-Nya, bukannya kamu berbangga dengan tempurungmu itu. Itu adalah sifat orang yang jahil dengan ALLAH dan dirinya. Tiada lain maksudmu, hanya ALLAH menjadi tujuanmu. Hatimu mestilah sentiasa bimbang akan kemurkaan Tuhan. Dengan ilmu, kefahaman dan jalan yang kamu miliki, ia adalah amanah ALLAH SWT yang perlu disebarkan kepada manusia. Setiap amanah akan dipersoalkan oleh ALLAH dari yang kecil hingga yang besar.

Wahai anakku,
Tanamkanlah dirimu dalam tanah kerendahan agar benih yang ditanam nanti subur dan memberi manfaat. Begitu juga dengan dirimu, sentiasa rendahkan hatimu agar amal dan ilmu-mu memberi manfaat kepada jiwamu sehingga engkau mencapai maqam hati orang-orang arif, jiwa yang tenang dan merindui Tuhan. Apabila engkau menghadap Tuhan, jangan dihitung amal kamu kerana amal adalah melambangkan khidmatmu pada Tuhan sedangkan renungkan sebaik-baiknya, adakah sudah tinggi khidmatmu jika hendak dibandingkan Tuhan yang memberi khidmat pada dirimu.

Dia menjaga dirimu setiap masa; perjalanan darah, kerdipan mata, denyutan jantung, nafas yang keluar masuk dan pelbagai lagi nikmat yang tidak terhitung. Hitunglah kehinaan dirimu, maksiatmu dan kelalaianmu. Jangan cemas jika kamu kurang amal untuk menghadap ALLAH SWT kerana merasa hina itulah sifat sejati seorang hamba yang hanya mengharap rahmat kasih sayang dari Tuhan. Jika ditanya, " Apakah amal kamu yang kamu bawa pada-Ku?," Katakan, "Tiada apa-apa wahai Tuhanku, hanya sekeping hati yang cinta padamu, sekeping hati yang merasa hina di sisi-Mu dan sekeping hati yang sentiasa yakin dengan belas kasihan-Mu."

BICARA HIKMAH: #4 Jangan Butakan Hatimu

4 Jangan Butakan Hatimu

Wahai anakku,
Berlindunglah dengan ALLAH daripada ditimpa penyakit buta hati. Buta hati akan menyebabkan kita buta akhirat dan buta hakikat diri sendiri. Celikkanlah mata hati agar dapat melihat kebenaran, bahawa dunia ini adalah tempat untuk makrifat kepada ALLAH.

Firman ALLAH SWT :
وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا

" Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat nanti ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (jalan benar)."  [aL-Israa' : 72]

Sentiasalah bermuraqabah dan bermusyahadah kepada ALLAH dengan mengisytiharkan perang kepada nafsu. Berkata Imam aL-Ghazali rahimahullah dalam 'Bidayatul Hidayah' :

" Bermula perjalanan mengenal ALLAH ialah mengisytiharkan perang ke atas hawa nafsu."

Hindarkanlah diri daripada kemalasan dalam ibadah, terutamanya bangun di waktu malam kerana tanda banyak dosa ialah tidak boleh bangun di waktu malam untuk beribadah.

Janganlah ragu dengan janji-janji ALLAH. Gunakanlah peluang hidup di atas dunia ini untuk membersihkan hati agar makrifat kepada-Nya. Carilah rahsia hati kita kerana ia terkandung rahsia ALLAH. Sesungguhnya, hanya manusia yang diberi kelebihan untuk makrifat kepada-Nya. Sebab itu, ia lebih mulia daripada para malaikat, jin dan makhluk-makhluk lain.

Hati yang telah dapat 'melihat' ALLAH ialah hati yang diterangi nur, tenang dan dipenuhi kecintaan sepenuhnya kepada ALLAH. Ia rindu untuk bertemu ALLAH.

Muliakanlah orang lain. Jangan sekali-kali merasakan kita lebih tinggi kedudukan daripadanya. Bukankah kita belum tahu keadaan kita ketika menghadapi sakaratul maut? Barangsiapa yang merasa dia selamat, ketahuilah dia adalah orang yang paling tidak selamat. Siapa yang tidak merasa berdosa, maka dia berdosa. Sentiasalah meneliti keaiban diri sendiri daripada mlihat keaiban orang lain. Moga-moga ALLAH mengampunkan kita.

Awasi diri kita dengan solat. Jangan melewat-lewatkannya kalau tidak ada alasan syar'ie. ALLAH memberitahu, neraka Weil disediakan untuk mereka yang lalai dalam solatnya. Dahulukanlah ALLAH dalam segala urusan, nescaya Dia akan menyelesaikan urusan kita dengan manusia.

Solat adalah jalan untuk kita merasai akan kewujudan ALLAH, mengenal hakikat diri sendiri, bahawa kita ini adalah lemah, bisu, pekak, buta...kita tidak mempunyai apa-apa. Hakikatnya segala hanya milik ALLAH Yang Maha Besar dan Agung. Hilanglah diri di dalam Kehebatan ALLAH.

BICARA HIKMAH: #3 Jalan Kebahagiaan Ke Akhirat

3 Jalan Kebahagiaan Ke Akhirat
Wahai anakku,
Berpeganglah kamu dengan pesananku ini, mudah-mudahan ia menjadi ubat mujarab untuk kehidupan kamu di dunia dan akhirat.

Hendaklah kamu memiliki ilmu kerana ilmu adalah cahaya, ilmu adalah penyuluh. Tanpa ilmu, manusia dalam kegelapan, manusia mudah tersesat. Justru itu, ilmu mesti mendahului amal, amal tanpa ilmu bagaikan debu yang berterbangan. Orang yang tiada ilmu akan mudah ditipu oleh syaitan, mereka mudah tersesat dengan manusia yang pandai bercakap, yang mempunyai kelebihan dan sebagainya. Jika kita mahu menghidupkan hati, tiada jalan lain untuk menempuhnya melainkan dengan jalan ibadah. Apabila kita mahu beribadah, kita mestilah berilmu kerana ibadah tanpa ilmu akan hancur malah penuh kerosakan.

Ilmu yang perlu dipelajari adalah :
1.  Ilmu Tauhid yang mengesahkan pengenalan kita dengan sifat Tuhan iaitu Wajib, Mustahil dan Harus.
2.  Ilmu Fekah yang mengesahkan ibadat kita dari hukum bersuci, solat, puasa, zakat, sehinggalah kepada seluruh kehidupan.
3.  Ilmu Tasauf yang membicarakan persoalan akhlak, hati, keaiban, tipu daya syaitan dan nafsu.
4.  Ilmu fikrah yang berkaitan dengan kesyumulan Islam agar kehidupan kita benar-benar berada dalam kelompok umat yang pertengahan. Umat yang tidak melampau dalam ibadah dan tidak melampau dalam keduniaan.

Wahai anakku,
Dimana sahaja kamu berada atau apa jua pekerjaan yang kamu lakukan, ingatlah ALLAH, ikhlaskan amal kamu, jaga batas-batas syariat.

Firman ALLAH SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

" Ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu."
[Al-Baqarah : 152]

Hati yang hidup adalah hati yang cinta kepada ALLAH. Segala pengalamannya, gerak kerjanya untuk mencari cinta ALLAH. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa melihat segala sesuatu, gerak diam di alam ini datang dari Tuhan. Mereka bersyukur dengan nikmat dan kebaikan, mereka sabar dan redha dengan musibah dan kejahatan. Mereka tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH, hati mereka teguh bagaikan pohon kayu yang kuat dalam keyakinan pada ALLAH, mereka bertawakkal kepada ALLAH. Ingatlah, apabila kamu bertawakkal bermakna kamu tidak bersendirian, seluruh tentera ALLAH di langit dan bumi menjadi penolongmu.

BICARA HIKMAH : #2 Carilah Kebahagiaan Dalam Dirimu

2  Carilah Kebahagiaan Dalam Dirimu
Wahai anakku.

ALLAH SWT berfirman :

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27)ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (28)  فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan dalam keadaan Ia redha kepadamu dan engkau redha kepada-Nya, masuklah engkau dalam golongan hamba-Ku, masuklah engkau ke dalam Syuga-Ku."  [Al-Fajr: 27-30]

Aku memperingatkan diriku dan dirimu agar sentiasa memelihara iman dan mengawasinya serta menjauhi perkara yang boleh menyebabkan hilang kemanisannya. Iman akan memuncak cahaya makrifatnya apabila kekotoran yang diselaputi oleh hawa nafsu dapat dikikis.

Ketahuilah anakku, nafsu ammarah adalah musuh yang paling besar dalam perjalanan menuju kepada Tuhan. Ia adalah punca hati manusia tidak tenteram di bawah taqdir ALLAH. Nafsu ini akan merungut-rungut, memberontak, berkeluh kesah dengan apa jua taqdir yang menimpanya sama ada ia berbentuk nikmat atau berbentuk musibah.

Ia tidak aman dari merungut sehingga manusia yang mendengar bisikannya akan menjadi manusia yang miskin walaupun di tangannya mempunyai segala perkara yang diidamkan manusia seperti kuasa, kekayaan, keluarga dan sebagainya. Mereka yang berjaya mendidik nafsunya sehingga sampai kepada peringkat mutmainnah (nafsu yang tenang dengan kehendak ALLAH) sahaja akan dapat merasai kebahagiaan. Dadanya lapang, hatinya tenang, walaupun ALLAH mentaqdirkan ia tidak memiliki apa jua sebagaimana bahagianya Nabi Isa 'Alaihis Salam.

Wahai anakku,
Kebahagiaan yang hakiki adalah dalam dirimu. Layarkan dirimu ke lautan kebahagiaan dengan sanggup merempuh badai gelombang dipermulaannya. Kuatkan kapal dan besarkan ia agar tidak terasa gelombang ombak dan tiupan badai. Jika tiupan badai terlalu kuat, hanya sedikit sahaja terasa goncangannya, dan dirimu masih boleh tersenyum dan menikmati hidangan tanpa rasa takut. Nakhoda yang hebat ialah seorang yang mempersiapkan kapal dengan segala kekuatan agar dapat menghadapi segala gelora pelayaran dengan tenang. Ia juga mempunyai ilmu dalam menghadapi dan mengatasi gelombang dan taufan.

Wahai anakku,
Didiklah nafsumu dengan ilmu, ibadah dan mujahadah yang berterusan sehingga ia menjadi nafsu yang tenang dengan tadbir Tuhan, bukannya senang dengan kehendaknya. Ia perlu ditekan dengan bersungguh-sungguh sehingga pecah segala kejahatannya dan terbukalah tadbir penipuan yang melindungi dirimu selama ini dari melihat kebenaran. Akan tersingkaplah rahsia dirimu dari alam keTuhanan, rahsia dunia yang penuh penipuan, rahsia akhirat yang penuh dengan keindahan. Dengan itu, engkau telah mencapai hakikat kebahagiaan sebagaimana hati para kekasih-Nya.

BICARA HIKMAH: #1 Jangan Tersilap Membuat Pilihan

#1 Jangan Tersilap Membuat Pilihan

Wahai anakku,
Rehatkan sebentar segala pemikianmu dan keinginanmu.Marilah kita berbicara pesoalan yang penting dalam kehidupan ini, iaitu apakah maknanya hidup ini? Memang dunia tidak akan behenti dari putarannya, angin akan terus bertiup, laut tetap bergelombang dan ombaknya sentiasa menghempas ke pantai. Namun kita adalah manusia, kita tidak boleh mengikut mereka. mereka adalah makhluk yang tiada menghadapi persoalan besar. Mereka tiada akal, mereka tiada cita rasa, mereka tiada dosa dan pahala.

Wahai anakku,
Apa yang menjadi masalahnya, kita telah dicipta sebagai makhluk yang bernama manusia, manusia yang diberi daya fikir yang tinggi, daya perasaan yang halus, dicipta-Nya anggota tubuh yang cantik. Maka kita perlu jujur dan berbicara dengan diri yang ghaib di alam diri kita, berbicara tentang soal kehidupan. Kita perlukan kejujuran, kesucian dan kemurniaan. Kita boleh menipu manusia dengan berselindung di sebalik senyuman, kerjaya yang baik, pangkat, memiliki harta atau keluarga bahagia, namun persoalannya adakah perkara itu sebenarnya kebahagiaan?

Dahulu persoalan ini sentiasa bermain dalam fikiranku. Aku merasakan bahawa apa sahaja yang dikatakan nikmat dunia ini telah aku perolehi, namun ia tiada penghujung, ia bagaikan bintang yang ada di waktu malam, namun hilang pada siangnya.

Wahai anakku,
Engkau mesti mencari jawaban terhadap persoalan-persoalan ini. Jangan biarkan kamu teraba-aba dalam kehidupanmu, jangan biarkan dirimu tiada arah, tiada tujuan, tiada jawaban. Soalan pertama yang hendak ku tanya pada dirimu ialah, adakah engkau mempercayai Tuhan, adakah engkau percaya kewujudan-Nya, adakah engkau percaya kasih-sayang-Nya, kekuatan-Nya, kebijaksanaan-Nya. Kalau kamu mengatakan "Ya", maka soalan keduaku ialah adakah benar dirimu telah menunaikan hakmu sebagai hamba-Nya, adakah dahimu sujud pada-Nya, adakah suci dan ikhlas dirimu ketika beribadah pada-Nya, adakah kehidupanmu bermatlamat untuk-Nya atau untuk diri dan kepuasanmu semata-mata?"

Jika kamu tiada melakukan hal demikian apakah kamu tidak takut dan malu pada-Nya, adakah kamu menyangka bahawa segala perbuatanmu terlepas dari penglihatan-Nya, pengetahuan-Nya. Adakah kamu menyangka bahawa ia akan menerima kamu sebagai hamba-Nya jika kehidupan asyik menyembah hawa nafsu mu sendiri, bukan Diri-Nya.

Adakah kamu menyangka kamu akan terlepas dari murka-Nya. Kalau kamu mengatakan bahawa kamu tidak percaya akan wujud-Nya, maka setakat ini sahajalah perbicaraan kita, tiada guna membuang masa. Hiduplah kamu sepuas-puasnya dengan kepercayaanmu. Engkau meletakkan dirimu tiada beza dengan haiwan, tumbuhan, gunung dan dengan segala makhluk yang ada.

Hiduplah kamu untuk memuaskan nafsumu walaupun engkau tahu akalmu begitu jauh bezanya dengan haiwan. Kalau kamu yakin matimu bagaikan haiwan yang tiada tanggungjawab dengan kehidupan, teruskanlah kepercayaanmu itu jika kamu yakin ianya benar. Namun aku menasihati kamu, jika kamu benar berakal waras, mempunyai suara hati yang jujur, kamu akan menentang kepercayaan bodoh itu. Jika kamu tilik sedalam-dalamnya diri sendiri, ia akan memberi jawaban bahawa mustahil bagimu untuk menolak kewujudan-Nya.

Wahai anakku,
Aku percaya semua manusia inginkan syurga. Mereka mencari syurga di dunia ini, namun sayang mereka tidak mencarinya dalam perjalanan para Nabi, para Sahabat, para Auliya' dan Solihin. Mereka mencari dengan telunjuk syaitan, mereka melihat kehidupan Barat, kehidupan artis, kehidupan bebas, kehidupan nafsu, kehidupan berpangkat, berharta adalah syurga. Begitu dangkalnya nilaian mereka, begitu sempitnya dunia mereka, mereka sanggup mati, bergaduh, memfitnah, berlaku zalim demi menjayakan kepercayaan mereka.

Percayalah wahai diri anakku, jangan tersilap membuat pilihan, hidup tidak diberi peluang untuk dua kali. Pilihan yang tepat mesti dibuat agar setiap nafas yang keluar tidak dalam kerugian dan kemurkaan-Nya.

Mengenal Diri Dan Rawatannya

Seorang murid perlu mengawal nafsu dan mengenal segala sifatnya kerana nafsu itu sangat mengajak ke arah melakukan kejahatan walaupun ke atas orang yang amat dalam pengetahuan tentang nafsunya sendiri.



Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sendiri mengawal dirinya daripada nafsu serta memohon perlindungan ALLAH SWT daripada kejahatannya. Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata, "Perumpamaan diriku dengan nafsuku ibarat gembala dengan kambing-kambingnya; apabila dikumpul setempat ada sahaja yang bertempiaran."



Sidi Abu Bakar al-Warraq berkata, "Dalam semua hal nafsu mahu menunjuk-nunjuk, dalam kebanyakkan hal nafsu adalah munafiq, dalam sebahagian hal nafsu adalah musyrik."



Sidi al-Washiti pula berkata, "Nafsu ibarat berhala; syirik kalau memberi muka kepadanya tetapi sekianya dikoreksi dapat menjadi ibadah."



Ulama' sufi berkata, "Sifat nafsu menzahirkan kebaikan menyembunyikan kejelekan, ibarat bara api; warnanya menarik hati, tetapi awas ia membakar. Nafsu kalau dihukum akan merayu mahu bertaubat dan merujuk. Tetapi apabila dibiarkan ia akan menjadi degil, makin melampau dengan kemahuannya."



Firman ALLAH SWT:



وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْإِنسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَىٰ بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ



"Dan apabila Kami kurniakan ni'mat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa - merayu dengan panjang lebar."   [Surah Fussilat: 51]



Perpatah sufi mengatakan, "Nafsu ibarat air jernih yang tidak mengalir; apabila dikacau air itu akan naiklah keladaknya dan terbitlah bau busuknya."



Ketahuilah bahawa nafsu itu sifatnya musuh serta mahu menyaingi ALLAH SWT. ALLAH SWT menyuruh hamba-hamba-Nya memuji dan menghargai Dzat-Nya lalu nafsu pun minta dipuji dan dihargai. ALLAH SWT menuntut hamba-hamba-Nya jangan melanggar perintah dan larangan-Nya lalu nafsu pun menuntut perintah dan larangannya mesti dipenuhi.



ALLAH SWT menyuruh para hamba-Nya beramal setulus hati berhabis-habisan kepada-Nya lalu nafsu pun menuntut perkara yang sama. ALLAH SWT mahu daripada hamba-hamba-Nya agar menjadikan hanya Dia yang dicintai dan hanya Dia yang ditakuti lalu nafsu pun membuat tuntutan serupa daripada kita.



Ada pendapat mengatakan nafsu adalah perasaan yang halus diletak dalam acuan hati, ia menjadi tempat untuk akhlak mahmudah sepertimana mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hidung untuk menghidu.



Ulama' sufi berkata, "Roh adalah sumber kebaikan manakala nafsu sumber kejahatan. Akal sebagai tentera roh, keinginan-keinginan diri pula menjadi tentera nafsu. Sekiranya ALLAH SWT memberi taufiq maka roh akan mendapat kekuatan, sekiranya tewas maka yang kuat adalah nafsu. Hati pula akan tunduk kepada pihak yang menang."



Ketahuilah bahawa setiap perkara itu sama ada:



1-   jelas kebaikannya maka wajib diteruskan.

2-   jelas keburukannya maka wajib dihindarkan.

3-   samar-samar hakikatnya maka wajib ditinggalkan sehingga iLmu atau akal dapat menjelaskan baik dan buruknya.



Ulama' sufi berkata, "Sekiranya kamu menjadi ragu terhadap dua pilihan; mana satukah yang terbaik, maka lihatlah yang paling tidak sesuai dengan nafsumu, itulah yang mesti dipilih kerana itulah yang terbaik."



Seorang murid mesti bermujahadah membuang perangai mazmumah nafsu seperti ego, bakhil, loba, angan-angan, keras kepala, hasad, riya', pura-pura, suka bergaduh, mengumpat, mencetus perkelahian, buruk sangka, tidak tahu malu dan lain-lain mazmumah supaya dapat diganti dengan akhlak mahmudah. Semoga ALLAH SWT memberi taufiq.



~ Imam al-'Arif Billah Sidi Abu Najeeb as-Suhrawardiy ~

EHWAL PEKERJAAN HATI

Istilah al-ahwal (dalam literasi Tasawuf) atau 'hal' bererti pekerjaan hati. Ertinya perasaan hati yang lahir daripada ketulusan zikir.



Sidi Junaid al-Baghdadi berkata. "Hal itu suatu keadaan yang turun ke hati, tetapi tidak kekal."



Antara Tingkatan HaL Adalah:



1.  Al-Muraqabah; ertinya merenung pada yang ghaib dengan setulus keyakinan.

2.  Kemudian al-qurb; ertinya menetapkan jiwa di 'hadapan" ALLAH SWT dengan meng"ghaib"kan diri daripada selain-Nya.

3.  Kemudian al-mahabbah: ertinya cinta apa-apa yang dicintai-Nya, benci apa-apa yang dibenci-Nya.

4.  Kemudian ar-raja'; ertinya yakin dengan janji ALLAH SWT.

5.  Kemudian al-khauf; ertinya memperlihatkan hati akan maha kerasnya ALLAH dan balasan buruk daripada-Nya.

6.  Kemudian al-haya'; erinya malu dengan ALLAH SWT, lantas menjaga hati daripada rasa lega. Sebabnya, apabila hati mula dekat dengan ALLAH SWT datanglah perasaan yang pelbagai ragam; ada yang terasa maha hebat dan maha agungnya ALLAH SWT lalu perasaannya menjadi takut dan malu, ada pula yang terasa maha lemah lembutnya ALLAH SWT dan belas ihsan-Nya mengatasi kemurkaan-Nya lalu perasaan menjadi cinta dan harap.

7.  Kemudian as-syauq; ertinya rindu pada ALLAH SWT, hati jadi tidak tentu hala apabila terkenangkan Dia.

8.  Kemudian al-uns; ertinya mesra dengan ALLAH SWT dan meminta pertolongan kepada-Nya dalam setiap perkara.

9.  Kemudian at-thuma'ninah; ertinya tenang menghadapi segala taqdir.

10. Kemudian al-musyahadah; ertinya menghayati dengan mata hati yang yakin, tidak hanya dengan mata kasar.



Inilah yang disabdakan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, mafhumnya:



"Sembahlah ALLAH seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat merasakan yang demikian itu maka sesungguhnya (hayatilah) bahawa Dia melihatmu."



Musyahadah adalah hal yang terakhir dalam tingkatan ahwal, sesudah itu pembukaan daripada ALLAH SWT, pemberian-Nya, kurniaan-Nya dalam pelbagai bentuk adalah sesuatu yang tidak terjangkau oleh ibadah lagi.



Firman ALLAH SWT:



وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ



"Dan jika kamu menghitung ni'mat ALLAH nescaya kamu tidak dapat menentukan bilangannya.."



[Surah Ibrahim: 34]

MaQam HAMBA Di Hadapan ALLAH

Istilah MAQAM (daLam literasi Tasawuf) bererti pencapaian atau darjat hamba di hadapan ALLAH SWT dalam beribadah kepada-Nya. Firman ALLAH SWT :



وَمَا مِنَّا إِلَّا لَهُ مَقَامٌ مَّعْلُومٌ



" Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu."

[As-Saaffaat: 164]



Tingkatan MaQam yang Dimaksudkan adaLah seperti berikut:



1.  Permulaan maqam adalah 'Kesedaran'; ertinya menginsafi diri daripada kelalaian terhadap ALLAH SWT.



2.  Kemudian 'Taubat'; ertinya kembali kepada ALLAH SWT (setelah menginsafi kelalaian) dengan kekal menyesali dosa serta banyak beristighfar.



3.  Kemudian 'Inabah'; ertinya mengubah diri daripada lalai kepada zikir mengingati ALLAH SWT. Ada pendapat mngatakan taubat ertinya rasa gerun (dengan ancaman ALLAH SWT), inabah ertinya keinginan untuk kembali kepada ALLAH SWT. Pendapat lain mengatakan: taubat pada yang zahir, inabah pada yang batin.



4.  Seterusnya 'Warak'; ertinya meninggalkan yang syubhat (tidak jelas halal haramnya).



5.  Kemudian 'Muhasabatun Nafs'; ertinya memperbaiki diri sama ada meningkat atau menurun, sama ada bertambah kebaikan atau kejahatan.



6.  Kemudian 'Iradah' (kehendak); ertinya terus beramal tanpa rehat.



7.  Kemudian 'Zuhud'; ertinya meninggalkan kenikmatan dunia yang halal, menjauhi dunia dan segala syahwatnya.



8.  Kemudian 'Faqr' (fakir); ertinya tidak memiliki harta benda dunia serta mengosongkan hati daripada apa yang tidak tercapai oleh tangan.



9.  Kemudian 'Jujur'; ertinya: Zahir dan batin sama sahaja.



10. Kemudian 'At-Tasabbur' (menahan sabar); ertinya menguatkan diri menempuh segala rintangan dan menelan kepahitan. Menahan sabar adalah maqam terakhir bagi golongan murid.



11. Selepas mendapat maqam At-Tasabbur, meningkat pula ke maqam 'Sabar'; ertinya tidak mengadu dalam menanggung kepedihan.



12. Kemudian 'Redha'; ertinya: Rasa manis dengan ujian.



13. Kemudian 'Ikhlas'; ertinya dalam beramal tidak nampak lagi makhluk, tujuannya hanya kerana ALLAH SWT.



14. Kemudian 'Tawakkal' kepada ALLAH SWT; ertinya bergantung semata-mata kepada-Nya, sama sekali tidak mengharap selain-Nya.