Apakah maksud hadis ini,
"Allah mempunyai 70 000 hijab cahaya
dan gelap; sekiranya Dia membuka hijab itu, maka Keagungan wajahNya
nescaya akan menelan tiap-tiap orang yang menelannya dengan
pandangannya"
(Setengah
mengatakan "70 000" hijab, dan ada pula yang mengatakan
"700" hijab).
Maka saya(Imam Ghazali) terangkan
demikian. Allah itu sendiri memang Agung dan Mulia. Hijab atau
tirai itu adalah berkaitan kepada mereka yang terdinding dengan Zat Yang Agung
itu. Ada tiga jenis hijab yang ada pada manusia iaitu; - Gelap sebenarnya,
- Campuran gelap dengan cahaya,
- Cahaya sebenarnya.
Pecahan kepada ketiga-tiga jenis itu adalah banyak. Setakat itu sahaja yang dapat
kita petikkan. Boleh juga dibanyakkan atau dibilang-bilangkan
pecahan-pecahan ini kepada yang lain, tetapi tidak berapa yakin dengan
hasil bilangan dan penentuannya itu. Tidak ada siapapun yang tahu sama
ada ianya benar-benar boleh dipastikan atau tidak. Perkara menentukan
bilangan itu sebanyak "700" atau "70 000" adalah perkara
yang hanya kuasa Kenabian sahaja yang boleh mengetahuinya. Pada pendapat
saya(Imam Ghazali) bilangan-bilangan ini bukanlah perkara yang tetap kerana
selalu juga bilangan-bilangan disebut tanpa bermaksud untuk membatas atau
menghadkan bilangan itu, tetapi hanya bermaksud untuk menyebut "banyak"
sahaja. Allah lebih mengetahuinya.
Oleh itu perkara bilangan
tersebut adalah di luar keupayaan kita untuk menentukannya. Maka sekarang
saya akan terangkan tiga bahagian atau pecahan yang utama dan beberapa
pecahan-pecahan selanjutnya daripada tiga itu. 1. Mereka Yang Terhijab Oleh Yang Sebenarnya.
Bahagian pertama ialah mereka yang terhijab atau terdinding oleh gelap yang sebenarnya. Mereka ini ialah orang "Atheis" tidak percaya dengan Allah dan hari kemudian. Inilah orang "yang kasih kepada kehidupan dunia ini lebih daripada kehidupan akhirat"- (Al-Quran); kerana mereka tidak percaya dengan apa yang akan datang kemudian.
Mereka ini pula terbahagi kepada beberapa pecahan.
Pertama, mereka yang hendak mencari sebab terhadap kehidupan di dunia ini dan mereka jadikan Alam Tabie ini sebagai sebab. Tetapi Alam Tabie ini ialah satu sifat yang ada pada benda-benda. Ianya pula adalah gelap kerana ia;
- tidak ada ilmu pengetahuan,
- tidak ada pandangan,
- tidak ada kesedaran terhadap diri sendiri,
- tidak ada kesedaran terhadap yang lain,
- tidak ada cahaya pandangan melalui perantaraan mata.
Kedua, mereka yang dipengaruhi oleh kepentingan diri sendiri dan tidak mahu mengetahui tujuan hidup ini. Mereka hidup sebagai kehidupan binatang. Hijab ini ialah diri mereka sendiri (self-centered ego) dan hawa nafsu gelap mereka itu. Tidak ada gelap yang lebih gelap daripada penghambaan kepada dorongan diri sendiri dan cinta diri sendiri.
Firman Allah yang bermaksud; "Tidakkah engkau orang yang mempertuhankan diri?"-(Al-Quran); dan sabda Nabi Muhammmad SAW.; "Mempertuhankan yang lain dari Allah, yang paling dibenci ialah mempertuhankan diri sendiri".
Bahagian yang kedua ini boleh dibahagi-bahagikan lagi kepada beberapa pecahan.
- Satu daripadanya ialah manusia yang menganggap dan berkeyakinan bahawa matlamat atau tujuan akhir hidup di dunia ini ialah untuk memuaskan hawa nafsu kebinatangan mereka sahaja, sama ada berkenaan dengan jantina(sex), atau makan-minum atau pun pakaian. Inilah hamba nafsu. Hawa nafsu itulah Tuhan mereka. Mereka percaya bahawa dengan memuaskan nafsu itu, mereka akan mendapat kebahagiaan. Inilah manusia yang merendahkan martabat mereka lebih rendah daripada martabat binatang. Adakah sesuatu yang lebih gelap daripada in????. Inilah orang yang dihijab sebenarnya.
- Satu lagi ialah golongan manusia yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah menakluk dan menguasai, seperti mengambil orang-orang tawanan, membunuh dan merampas. Demikian itulah anggapan orang-orang Arab, orang-orang Kurdi yang tertentu dan kebanyakan orang-orang yang jahil. Hijab pada mereka ialah sifat-sifat ganas dan garang. Sifat-sifat ini menguasai mereka. Mereka berasa senang hati dengan sifat-sifat mereka itu. Inilah orang-orang yang bersifat binatang. Mereka merendahkan martabat kemanusian mereka itu lebih rendah lagi daripada binatang.
- Satu golongan manusia ialah yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah kekayaan harta benda kerana kekayaan ini adalah alat untuk memuaskan tiap-tiap nafsu syahwat mereka. Mereka menghabiskan masa muda dan tenaga mereka dengan memperbanyakkan dan mengumpul harta kekayaan -wang ringgit, emas dan perak, tanah dan rumah yang indah, gedung-gedung besar dan lain-lain lagi. Mereka mengumpul dan menyimpan wang ringgit sebanyak-banyaknya. Mereka bertungkus lumus siang dan malam di mana sahaja untuk memperbanyakkan harta dengan puas-puasnya. Apa yang ada itu nampak sedikit dan mereka terus mencari lagi tanpa berhenti dan berpuas hati. Inilah orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah "orang malang, hamba orang!!!, orang malang, hamba emas!!". Adakah gelap yang lebih gelap daripada ini?" Mereka telah dibutakan oleh emas dan perak. Mereka tidak sedar bahawa emas dan perak itu adalah jenis logam yang tidak berguna jika semata-mata untuknya sahaja. Logam yang tidak lebih daripada batu-batu atau logam lainnya. Emas dan perak hanya bernilai jika ia dijadikan alat untuk mencapai tujuan-tujuan yang berfaedah dan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang berguna.
- Golongan keempat ialah yang lebih buruk lagi. Mereka ialah manusia-manusia yang menganggap bahawa kebahagiaan itu ialah dengan mencapai kemasyhuran diri, mencari "nama" dan memperluaskan pengaruh sampai ramai orang yang menjadi pengikutnya serta menyanjungnya. Mereka sentiasa berlagak dan melihat bayangan dirinya dalam cermin. Ada yang mencurahkan wang ringgitnya membeli pakaiannya yang indah-indah sampai bagus dipandang orang dan disaksikan kecantikkannya itu, meskipun ia menderita kekurangan dan dapur tidak berasap di rumahnya.
Banyak lagi jenis-jenisnya yang terhijab ini. Semua mereka itu terhijab dari Allah dengan hijab yang
paling gelap dan mereka sendiri pun gelap. Cukuplah dengan beberapa
jenis dan misalan yang saya beri itu. Tidak perlulah diterangkan
tiap-tiap semua jenis itu lagi. Satu daripada jenis yang patut kita
terangkan di sini ialah orang-orang yang mengucap dengan lidah mereka
kalimah "Syahadah" kerana disebabkan oleh ketakutan atau
bertujuan untuk mengemis daripada orang-orang Islam atau untuk bermuka-muka
dengan orang-orang Islam, atau hendakkan pertolongan kewangan dari
orang-orang Islam atau hendak menyokong pendapat nenek-moyang mereka secara
fanatik.
Jika kalimah syahadah itu tidak boleh merevolusikan atau mengubahkan
perangai seseorang itu supaya berbuat amal kebaikan, maka itu bererti
mereka belum lagi keluar dari gelap dan masuk ke dalam lingkungan cahaya.
Begitu juga wali-wali iblis yang membawa mereka keluar dari cahaya masuk ke
dalam lingkungan gelap. Tetapi bagi orang yang telah dipengaruhi
sebenar-benarnya kalimah itu dan ia beramal sholeh dan meninggalkan dosa maksiat,
maka inilah orang keluar dari dalam gelap meskipun mungkin ia masih ada dosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan