Selasa, Oktober 30

Berzikir dengan mengangkat suara


Disyari’atkannya berzikir dengan suara nyaring sebenarnya terdapat dalilnya dalam al-Qur’an berikut ini:

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُواْ اللّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا

Ertinya: “Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu atau (bahkan) lebih keras dari itu…” [Q.S: al-Baqarah: 200]


Seorang pakar tafsir dari Mesir, Syeikh Ahmad Musthafa al-Maraghi (w. 1371 H/1952 M)[1], menafsirkan ayat itu sebagai berikut:


Ertinya: “Apabila kamu telah selesai dari ibadah haji dan kamu telah melakukan nafar, maka perbanyakkanlah zikir (dengan menyebut) Allah dan keraskan suaramu dalam berzikirnya itu sebagaimana kamu melakukannya ketika menyebut-nyebut nenek moyangnu dengan membangga-banggakan mereka dan sejarah hidup mereka.”[2]


Dan seorang pakar tafsir yang lahir di Mesir dan wafat di Madinah, Syeikh Ahmad al-Shawi al-Maliki (w. 1241 H/1825 M),[3] menafsirkan ayat itu dengan penafsiran yang agak ringkas sebagai berikut:


Ertinya: “Maka berzikirlah kamu (dengan menyebut) Allah, di mana menyebut nama Allah-nya itu sebagaimana kamu menyebut-nyebut nenek moyang kamu atau lebih keras lagi dari itu.[4]


Sekalipun ayat tersebut relevansinya dengan zikir setelah ibadah haji sebagaimana diketahui dari ayat dan tafsirnya, namun kita pun perlu mengetahui sebuah kaedah dalam kajian Ulum al-Qur’an di mana kaedah ini dipandang lebih sahih oleh majority (jumhur) ulama, yakni kaedah:


“al-‘Ibaratu bi ‘Umuumi al-lafzhi la bi khusuusi as-sabab”[5]

Ertinya: “Yang dipandang itu adalah umumnya lafazh, bukan khusus suatu sebab.”


Maksudnya, walaupun dalam ayat itu berkenaan dengan sebab tertentu, yakni ibadah haji, namun kerana lafaznya bersifat umum (Fadzkurullaaha = maka berzikirlah kalian dengan menyebut Allah), maka, berdasarkan kaedah tadi, yang dipandang adalah keumuman lafaz itu. Dengan demikian, yang dibolehkan menyaringkan suara dalam berzikir itu bukanlah hanya bagi orang yang baru menyelesaikan ibadah haji sahaja, akan tetapi bagi yang tidak ibadah haji pun dianjurkan agar menyaringkan suaranya ketika berzikir.


Selain itu, banyak hadith-hadith Nabi s.a.w yang berfungsi sebagai bayan (penjelas dari keglobalan (mujmal) ayat al-Qur’an yang menjelaskan tentang disyari’atkannya berzikir dengan suara nyaring (jahr), di antaranya ialah:

Hadith sahih riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Dawud dari sahabat Ibn ‘Abbas r.a., beliau berkata:

Ertinya: “Sesungguhnya menyaringkan suara saat berzikir sesudah orang-orang mengerjakan solat fardhu pernah dilakukan pada masa Nabi s.a.w. Selanjutnya Ibn ‘Abbas r.a. berkata: Aku mengetahuinya dan mendengarnya apabila telah selesai solatnya dan hendak meninggalkan masjid.” (Hadith Riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Dawud.)[6]

Berkenaan dengan hadith yang tidak diragukan lagi kesahihannya itu, pakar hadith dari Mesir, al-Hafizh Hajar al-‘Asqallani (w. 852 H) berkata:

Ertinya: “Dalam hadith ini dapat dijadikan dalil atas bolehnya menyaringkan suara ketika berzikir sesudah solat.”[7]

Demikian juga seorang pakar fiqih dan hadith dari Syria, Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (w. 676 H), mengulas hadith tersebut seraya berkata:

Ertinya: “Ini adalah suatu dalil bagi sebahagian ulama salaf, bahawasanya sunat hukumnya menyaringkan suara ketika membaca takbir dan zikir sesudah solat fardhu. Di antara ulama muta’akhirin yang dengan tegas menyatakan sunatnya hal itu adalah Imam Ibn Hazm al-Zhahiri.”[8]

Dari hadith sahih riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Dawud dari sahabat Ibn ‘Abbas r.a. beserta pendapat dua pakar hadith, Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani dan Imam Nawawi di atas, dapat kita fahami bahawa menyaringkan suara ketika berzikir itu, khususunya setelah selesai dari mengerjakan solat fardhu adalah benar-benar disyari’atkan, telah dilakukan oleh para sahabat di zaman Nabi s.a.w. masih hidup. Seandainya menyaringkan suara ketika berzikir itu terlarang (haram), tentulah mereka dilarang oleh Nabi s.a.w. untuk melakukannya. Dengan demikian, berzikir dengan suara nyaring itu, kerana telah dilakukan pada zaman Nabi s.a.w. dan beliau sendiri tidak melarangnya, maka hal itu dinamakan Sunnah taqririyah, bukan bid’ah dhalalah.

b. Hadith riwayat Imam Ahmad, Imam Abu Ya’la dan Imam Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dan Imam al-Hakim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. ia berkata:

Ertinya: “Perbanyakkanlah berzikir kepada Allah sehingga mereka berkata: Sesungguhnya dia itu orang gila.”[9]

c. Hadith riwayat Imam al-Thabrani dari Ibn ‘Abbas r.a. ia berkata, telah diriwayatkan dari Nabi s.a.w., bahawasanya beliau telah bersabda:

Ertinya: “Berzikirlah kalian kepada Allah (sehingga) orang-orang munafiq berkata: Sesungguhnya kalian orang-orang yang berbuat riya (menunjuk-nunjuk).[10]

Dari kedua hadith tersebut di atas, secara implicit (tersirat) bahawa Nabi s.a.w. menganjurkan kepada umatnya agar ketika berzikir itu dengan suara nyaring., kerana jika berzikirnya seseorang itu dengan suara perlahan/lembut, jelas tuduhan sebagai orang gila dan riya (menunjuk-nunjuk) itu tidak mungkin terjadi.

Oleh kerana itu, tepat sekali komentar seorang pakar tafsir dan hadith dari Mesir, al-Hafizh Imam Jalaluddin al-Suyuthi (w. 911 H) sehubungan dengan hadith tersebut di atas, beliau berkata:

Ertinya: “Segi pengambilan dalil (atas disyari’atkannya zikir secara nyaring) dengan dua buah hadith ini ialah bahawa adanya tuduhan gila dan riya itu dilontarkan ketika menyaringkan zikir. Tidak mungkin hal itu dilontarkan ketika seorang berzikir dengan suara perlahan/lembut.[11]

d. Hadith riwayat Imam Baihaqi dari Jabir bin ‘Abdullah r.a., ia berkata:

Ertinya: “Bahawasanya ada seorang lelaki yang menyaringkan suaranya ketika berzikir, lalu ada seseorang yang berkata: Alangkah baiknya jika ia merendahkan suaranya. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Biarkanlah dia, sesungguhnya dia itu sedang merintih.”[12]

c. Hadith riwayat Imam Baihaqi dari Zaid bin Aslam r.a., dari sebahagian sahabat Nabi s.a.w. Ia berkata:

Ertinya: “Pada suatu malam saya berjalan bersama Rasulullah s.a.w, lalu beliau melewati seorang lelaki yang sedang berzikir di masjid dengan menyaringkan suaranya. Maka saya pun berkomentar: Barabgkali orang ini sedang riya (menunjuk-nunjuk), maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak, akan tetapi dia itu sedang merintih.”[13]

Hadith di atas juga menjelaskan tentang disyari’atkannya berzikir dengan suara nyaring, bahkan seseorang dilarang meninggalkan zikir dengan suara nyaring hanya kerana khuatir dituduh berbuat riya.

Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (w.676 H) telah memberi nasihat yang amat berharga dalam masalah ini, beliau berkata:

Ertinya: “Kemudian, tidaklah patut jika seseorang meninggalkan zikir dengan lisan dan hati hanya kerana khuatir disangka berbuat riya (menunjuk0nunjuk). Bahkan hendaknya ia harus terus berzikir dengan lisan dan hatinya secara berbaringan dengan penuh motivasi semata-mata mengharap keridhaan Allah Ta’ala.”[14]

Memang ada firman Allah SWT di dalam al-Qur’an:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

Ertinya: “Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang. Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. [Q.S: al-A’raf: 205]

Ayat ini sepintas kelihatannya melarang orang berzikir dengan suara keras (nyaring), khususnya pada lafazh ‘wa duna al-jahr min alqaul’ (dengan tidak mengeraskan suara).

Untuk tidak terjadi kontradiktif dengan ayat dan hadith-hadith berzikir dengan suara nyaring, maka dipandang perlu untuk mengkompromikannya, mengingat adanya keterangan dalam kitab usul fiqih berikut ini:

“Berdasarkan pendapat yang lebih tepat, bahawasanya mengamalkan dalil yang kelihatannya kontradiktif sekalipun ditinjau dari satu seginya, hal itu lebih baik daripada tidak mengamalkan salah satu dari keduanya.”[15]

Untuk mengkompromikan ini, kami akan mengungkapkan pakar tafsir al-Qur’an ketika menafsirkan ayat 205 Surah alA’raf di atas.

Seorang pakar tafsir, hadith dan tarikh dari Damaskus – Syria, al-Hafizh Ibn Kathir (w. 774 H), ketika menafsirkan firman Allah:

وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ

(Dan dengan tidak mengeraskan suara), beliau berkata:

“Dan dengan adanya ayat itulah disunatkan zikir agar tidak dengan berteriak dan suara keras yang berlebih-lebihan.”[16]

Demikian pula hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Musa al-Asy’ari r.a., ia berkata:

Ertinya: “Kami telah bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu perjalanan. Apabila kami berada di tempat yang tinggi, kami membaca takbir. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Rendahkan suara kamu, kerana sesungguhnya kamu tidaklah menyeru yang tuli dan tidak pula ghaib, kamu menyeru Yang Maha Mendengar, Yang Maha Melihat dan Yang Maha Dekat.”[17]

Berdasarkan hadith sahih ini, yang sepintas melarang kita untuk menyaringkan suara ketika berzikir, seorang pakar hadith dari Mesir yang juga pensyarah hadith Bukhari, yakni Imam Syihabuddin al-Qasthallani (w. 923 H), telah memberikan intepretasi terhadap hadith tersebut di atas, khususnya pada lafazh hadith tersebut: rendahkanlah suaramu dengan ucapannya:

“Rendahkanlah suaramu dalam berzikir, janganlah kamu keterlaluan dalam menyaringkan suaramu.”[18]

Dengan adanya penjelasan dari pakar tafsir, al-Hafizh Ibn Kathir, berkenaan ayat 205 Surah al-A’raf, dan dengan adanya penjelasan dari pakar hadith, Imam Syihabuddin al-Qasthallani berkenaan dengan hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Musa alAs’ari r.a. di atas, nyatalah bagi kita bahawa sebenarnya antara ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi s.a.w itu tidaklah kontradiktif (ta’arudh), akan tetapi dapat dikompromikan (al-Jam’u), yakni pada prinsipnya menyaringkan suara ketika berzikir itu disyari’atkan, namun jika ada ayat al-Qur’an atau hadith Nabi s.a.w. yang nampaknya melarang menyaringkan suara ketika berzikir, sebenarnya yang dilarang itu jika menyaringkan suaranya dengan keterlaluan atau berlebih-lebihan (over acting).[19]

Oleh kerana itu, seorang ulama besar, Mujtahid Fatwa dalam mazhab Syafi’I yang bernama Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (w. 617 H), sebelum menuliskan hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim telah membuat judul bab dalam kitabnya, al-Adzkar dengan:
“Bab ini menerangkan larangan tentang berlebih-lebihan/keterlaluan dalam menyaringkan suara ketika membaca takbir dan seumpamanya.”[20]

Di akhirpembahasan sekitar hukum berzikir dengan suara nyaring ini, kami tertarik untuk mengemukakan fatwa seorang ulama kenamaan dari India, al-Imam Abu al-Hasanat al-Hindi berikut ini:

“Adapun menyaringkan suara dalam berzikir yang tidak melampaui batas – seperti teriak-teriak dan lain sebagainya – makabanyak sekali hadith-hadith Nabi s.a.w dan ucapan-ucapan sahabat Nabi s.a.w yang menegaskan bolehnya. Dan kami tidak menemukan satu dalil pun yang secara tegas mengharamkan atau memakruhkannya. Adapun pakar-pakar hadith dan fiqih dari kalangan mazhab Syafi’I dan sebahagian dari shabat-sahabat kami, mereka secara tegas telah membolehkannya.”[21]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan