Rabu, November 23

APAKAH MATLAMAT BELAJAR TASAUF

Tujuan pokok Ilmu Tasauf ialah untuk sampai kepada Allah, untuk mencapai makrifat dengan ertikata yang sebenarnya, terbuka hijab antara hamba dengan Dia(Allah).
Telah berkata ahli-ahli sufi: "Permulaan tasauf adalah ilmu pengetahuan, pertengahan ialah Istiqamah dengan amal ibadat, akhirnya ialah Mahabbah adalah anugerah atau pemberian Allah".

Maka ilmu pengetahuan itu membukakan kehendak
Amal ibadat itu menolong apa yang dimaksudkan
Pemberian itu menyampaikan kepada apa yang dicita-cita.

Di samping itu banyak sekali tujuan-tujuan yang hendak diperoleh antara lain iaitu :
1. Dengan mengamalkan Tasauf bererti mengadakan latihan jiwa (Riadhah) dan berjuang
melawan hawa nafsu (Mujahadah), membersihkan diri dari sifat-sifat tercela dan diisi dengan
sifat-sifat terpuji dengan melalui perbaikan budi pekerti dalam berbagai seginya.sepertimana pakaian budi-pekerti Ambiya, Mursalin, Aulia Allah dan Sholihin.
2. Selalu dapat mewujudkan rasa ingat kepada Allah Zat Yang Maha Besar dan Maha Kuasa atas
segalanya dengan melalui jalan mengamalkan wirid dan zikir disertai tafakkur yang secara terus
menerus dikerjakan.
3. Dari sini timbul perasaan takut kepada Allah sehingga timbul pula dalam diri seseorang itu suatu
usaha untuk menghindarkan diri dari segala macam pengaruh duniawi yang dapat menyebabkan lupa
kepada Allah.
4. Jika hal itu semua dapat dilakukan dengan penuh ikhlas dan ketaatan kepada Allah, maka tidak
mustahil akan dapat dicapai suatu tingkat alam Ma'rifat, sehingga dapat pula diketahui segala rahsia di
balik tabir cahaya Allah dan Rasul-Nya secara terang-benderang.
5. Akhirnya dapat diperoleh apa yang sebenarnya menjadi tujuan hidup ini.
Demikian antara lain beberapa tujuan yang akan diperoleh bagi setiap orang yang mengamalkan
Tasauf. Untuk Ilmu dan Menyempurnakan Amal Ibadat. Jelasnya ia akan dapat mengerjakan syariat Allah dan Rasul-Nya dengan melalui jalan atau sistem yang menghantarkan tercapainya tujuan hakikat yang sebenarnya sesuai dengan yang dikehendaki oleh syariat itu sendiri.
Tegasnya jika saudara dapat menanggapinya akan sebenar-benar maksud dan tujuan Tasauf ini saudara akan menyedari bahawa seorang yang merasa dirinya belajar Ilmu Tasauf perlu memiliki petunjuk-petunjuk seperti di atas sebagai pengesahan bahawa mereka belajar dan mengamalkan tasauf. Suka saya senaraikan ringkasan perkara-perkara yang boleh dijadikan petunjuk agar saudara-saudara tidak terkeliru.

1. Seorang ahli tasauf yang tulen ialah seorang yang mengetahui dan memiliki Ilmu Fekah dan Ilmu Tauhid yang mantap sehingga digelar "Fakeh Yang Sufiah" bukan "Sufiah Yang Fakeh"
2. Sentiasa menjunjung dan memuliakan hukum syarak Allah
3. Amalan mereka sentiasa meningkat dari masa ke semasa malah melebihi kebanyakan orang sesuai dengan peningkatan maqamnya..
4. Memiliki ketinggian dan kehalusan budi-pekerti yang mulia mewarisi peribadi Rasul, Nabi, Aulia Allah dan Sholihin.
5. Mendasari kepada panduan al-Qur'an dan jalan Rasulullah SAW, para sahabat, Aulia Allah dan orang-orang Sholihin.
6. Ikhlas dalam membuat hubungan Allah dan dengan sesama makhluk
7. Bersifat zuhud dengan dunia.
8. Sedikit cakap tapi amal banyak.


Jika demikian bagaimanakah boleh terjadi "Ramai yang saya jumpa mereka-mereka yang belajar tasauf itu meringan-ringankan syariaat".
Macamana mereka belajar ni ? Kaedah mana yang dipakai? sehingga boleh meringan-ringan syariat sedangkan Tasauf ialah gabungan amalan ilmu tentang cara-cara beramal(ilmu syariat) dengan Ilmu yang hasil dari amalan(Warid). Tanpa amal maka tiada syariat. Bila tiada syariat maka tidak ada tasauf, demikian juga semakin lemah atau kurangnya wirid, maka semakin berkuranglah darjah kekuatan Ilmu Tasauf.
Dinisbahkan kaitannya dengan syariat, belajar ilmu tasauf ini adalah semata-mata untuk
menghidupkan ruh syariat di samping memperhiasinya dengan perhiasan dan pakaian jiwa aulia allah dan para Rasul dan Nabi. Tapi jika diringan-ringankan syariat, tidak ada syariat, atau dibuang syariat atau ditinggalkan syariat;

maka apakah yang hendak dihidupkan?
apakah benda yang hendak dihiaskan?
dan apakah benda yang hendak dipakaikan?.
mana amalan yang hendak dihakikatkan

Tentang ini, seringkali saya ingatkan dalam tulisan-tulisan saya dengan isyarat-isyarat seorang Aulia Allah akan kepentingan syariat ini seperti berikut;
"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thoriqat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."
Ini amat perlu diingat-ingatkan selalu!!! Jika sekiranya ini berlaku di kalangan mereka yang mengaku belajar tasauf tetapi dalam pada itu meringan-ringan syariat atau meninggalkan terus syariat, yakinilah bahawa sebenarnya mereka hanya mendakwa semata-mata, malah mereka adalah golongan bidaah yang amat bahaya dan boleh mencemarkan kesucian Ilmu Tasauf ini.
Berkata Abu Qasim Al-Qusyari r.a;
"Tiap-tiap syariat yang tiada dikuatkan dengan hakikat adalah dia tidak diterima. Tiap-tiap hakikat yang tak diikatkan dengan syariat tiadalah berhasil. Maka syariat itu mendirikan dengan barang yang disuruh, sedangkan hakikat memandangkan kepada barang yang diqada dan qadar sama ada yang tersembunyi dan yang nyata".
Berkata Imam Ghazali;
"Barangsiapa menyangka bahawa dia berserta Allah, sehingga menggugurkan daripadaanya kewajipan sembahyang, atau halal meminum arak, maka wajiblah dibunuhnya. Membunuh orang seumpama itu lebih baik daripada membunuh seratus kafir kerana adalah dhorurah dariapadanya itu lebih banyak".
Ibnu Taimiyah menyebutkan bahwa ia setuju dengan pandangan Al-Fudhil bin ‘Iyadh tentang satu ayat al-Quran: "Agar Dia menguji siapakah di antara kamu sekalian yang lebih amalnya." (Hud:7)
Kemudian dia melanjutkan; ...dengan ikhlas dan benar: Murid-muridnya bertanya; "mengapa mesti ikhlas dan benar?" Al-Fudhil menjawab;
"Karena Allah tidak akan menerima perbuatan benar tanpa didasari ikhlas Lillahi Ta’ala, pun sebaliknya Dia tidak meridhai amal yang kamu dasari hati ikhlas sedang itu adalah perbuatan salah, maka amalmu harus didampingi keduanya, ikhlas dan benar".
Berkaitan dengan ini Asy-Syubli berpendapat tentang cinta kepada Allah:
"Kamu durhaka kepada Allah, padahal kamu berharap cintanya. Hal itu jelas tidak logik, bila cintamu itu tulus, pastilah kamu mentaatinya. Sesungguhnya orang yang bercinta itu patuh kepada yang dicintainya."
Tersebut dalam Kitab Ilmu Tahqiq, Manhalus Shofi; Seorang Wali Allah yang tersohor, Abu Yazid Al-Bustomin, ketika mendengar munculnya seorang Wali di hujung sebuah kampung yang heboh diperkatakan oleh orang ramai. Beliau pun berhasrat untuk menemuinya lantas ke tempat tinggal Wali itu. Tapi setelah beliau melihat(sewaktu hampir sampai) orang yang dikatakan Wali itu meludahkan air liurnya ke arah Kiblat, Abu Yazid terus berpaling dan beredar dari tempat itu sambil berkata, "Lelaki yang tiada percaya atas sunnah syariat maka bagaimana pula percaya atas Rahsia Wilayahnya".
Jika dengan perkara makruh(meludah ke arah kiblat) pun diambil kira dalam menilaikan kesempurnaan atau betul salahnya, maka lebih-lebih lagilah jika ada yang mengerjakan perkara yang haram atau meninggalkan yang sunat. Semata-mata dusta dan jahil dalam agama. Dengan sebab itulah sebahagian dari takrif/maksud tasauf ialah "menghilangkan dakwa". Mendakwa diri seorang sufi atau beramal tasauf tetapi syariat-tunggang langgang. Ini manusia pembohong, pengkianat dan ahli bidaah yang mencemarkan kesucian ilmu orang-orang sholihin. Aulia Allah, para ambiya dan Mursalin. Dengan kerana adanya segelintir mereka inilah, berbagai-bagai fitnah dan tuduhan dilontarkan kepada Tasauf malah termasuklah kepada Aulia-aulia Allah. Kerena nila setitik rosak susu sebelanga.
Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."
Sebagai mentahqiqkan lagi kefahaman kita bahawa di dalam Ilmu Tasauf tidak ada sebarang kompromi dengan mereka yang mendakwa bahawa apabila sudah tinggi atau sampai ke puncaknya, maka tidak perlu bersusah dan berpenat-penat dengan amal yang banyak, sila ikuti sambungan bicara ini pada tajuk Tasauf Rasulullah, Para Sahabat dan Aulia-aulia Allah. Insya Allah akan terbukti bahawa mereka yang meringan-ringankan Syariat adalah golongan bidaah yang sesat, perosak kemurniaan Tasuaf, dan semata-mata " ditindih perasaan" atau mendakwa mereka ahli tasauf sedangkan mereka sebenarnya "Ahli Dakwa"
Jika terserempak dengan mereka, berilah Peringatan kepada golongan ini dengan kata-kata yang dipesan oleh Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni;
"Menganggap diri sendiri sebagai seorang Sufi itu adalah satu anggapan besar, sekurang-kurangnya dia bukanlah sufi".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan