Rabu, November 23

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 11:

LAPAR DAN MENAHAN NAFSU

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ


Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 155)
Anas bin Malik menuturkan bahawa ketika Fatimah ra memberikan sepotong kecil roti kepada Rasulullah saw, baginda bertanya, “Apa ini wahai Fatimah?” Dia menjawab, “Sepotong roti yang saya masak sendiri. Hati saya tidak akan tenang sebelum saya memberikan roti ini kepada ayah.”. Beliau menjawab, “Ini adalah sepotong makanan pertama yang memasuki mulut ayahmu sejak 3 hari ini.”
Dikatakan Sahl bin Abdullah hanya makan setiap 15 hari. Manakala bulan Ramadhan tiba, dia tidak makan sampai dia melihat bulan baru, dan tiap kali berbuka, dia hanya minum air sahaja.
Sahl bin Abdullah berpendapat, “Ketika Allah SWT menciptakan dunia, Dia menempatkan dosa dan kebodohan di dalam kepuasan nafsu makan dan minum, serta menempatkan kebijaksanaan di dalam lapar.”
Yahya bin Muadz mengatakan, “Lapar adalah latihan pecinta bagi para murid, sebuah cubaan bagi yang bertaubat, dan cubaan-derita bagi penolak dunia, dan tanda kemuliaan bagi para ahli makrifat.
Abu Ali Ad-Daqqaq menuturkan, “Seseorang datang menjumpai salah seorang syeikh, dan ketika melihat beliau menangis, dia bertanya, “Mengapa anda menangis?” Sang Syeikh menjawab, “Aku lapar.” Dia mencela, “Seorang seperti anda ini menangis kerana lapar?” Sang Syeikh balas mencela, “Diamlah. Engkau tidak mengetahui bahawa tujuan-Nya menjadikan aku lapar adalah agar aku menangis.”
Mukhallid mengkhabarkan bahawa Al-Hajjaj bin Furafisah sedang berada bersama mereka di Syam, dan selama 50 malam dia tidak minum air ataupun mengisi perut dengan makanan apa pun.”
Abu Utsman Al-Maghribi menyatakan, “Orang yang mengabdi kepada Tuhan hanya makan tiap 40 hari, dan orang yang mengabdi pada Yang Abadi hanya makan tiap 80 hari.”
Sahl bin Abdullah ditanya, , “Bagaimana pendapatmu tentang orang yang makan sekali sehari?” Dia menjawab, ‘Itu adalah makannya orang beriman.”Bagaimana dengan makan 3 kali sehari? Dia mencela, “Suruh saja orang membuat kantong makanan untuknya.”
Yahya bin Muadz berpendapat, “Lapar adalah pelita, dan memenuhi perut adalah api. Hawa nafsu adalah seperti kayu api yang darinya muncul api, yang tidak akan padam sampai ia membakar pemiliknya.”
Bertanya sang sufi, “Sudah berapa lama anda tidak makan?”
Sang Sheikh menjawab, “5 hari.”
Si sufi berkata, “Lapar anda adalah laparnya kerakusan. Anda memakai pakaian (bagus) sementara anda lapar. Itu bukanlah lapar orang miskin!”
Selama beberapa hari, Abul Khayr Al-Asqalani sangat ingin memakan ikan. Lalu sejumlah ikan sampai ketangannya melalui jalan halal. Tetapi ketika tangannya meraih untuk memakannya, sepotong durinya telah mengenai tangannya. Katanya, “Ya Allah, jika hal ini menimpa orang yang menghulurkan tangan kerana ingin memakan barang yang halal, apa pula yang akan terjadi pada orang yang menghulurkan tangannya untuk sesuatu yang haram?”
Malik bin Dinar berkata, “Syaitan takut kepada banyangan manusia yang telah menaklukkan hawa nafsu duniawi.”
Abu Ali Ar-Rudzbari mengajarkan, “Jika seorang sufi, setelah 5 hari tidak makan, mengatakan ‘Aku lapar,’ maka kirimkanlah dia ke pasar untuk memperoleh sesuatu.”
Seseorang bertanya kepada Syeikh, “Apakah tuan tidak menginginkan sesuatu?”
Beliau menjawab, “Aku menginginkannya, tetapi aku menahan diri.”
Syeikh yang lain ditanya, “Adakah sesuatu yang tuan inginkan?”
Jawabnya, “Aku menginginkan hilangnya keinginan. Yang terakhir ini amat mustahil.”
Bisyr berkata, “Telah bertahun-tahun aku ingin makan terung, tetapi aku belum ditakdirkan untuk memakannya. Aku tidak boleh memakannya sampai aku terbebas dari keinginanku untuk memakannya.”
Abu Abdullah bin Khafif memakan sepuluh butir kismis setiap kali berbuka puasa.
Abu Turab An-Nakhsyabi berpendapat, “Jiwaku tidak pernah cenderung kepada hawa nafsuku kecuali sekali: ia ingin sekali makan roti dan telur ketika aku sedang berada dalam perjalanan. Tiba aku di sebuah perkampungan, seseorang bangkit dan memegang tanganku sambil berkata, “Perompak!” Lalu orang-orang disitu memukuliku sebanyak 70 kali. Seorang laki-laki di antara mereka mengenaliku dan berkata, “Ini adalah Abu Turab An-Nakhsyabi!” Lelaki itu dengan rasa hormat membawa aku ke rumahnya dan menjamuku dengan roti dan telur. Maka aku berkata kepada diriku, “Makanlah setelah 70 kali pukul.”

TASAUF RASULULLAH SAW, PARA SAHABAT DAN AULIA ALLAH :

Bandingan untuk mereka yang meremehkan Syariat

Tercatat dalam Kitab Ilmu Tahqiq Manhalus Shofi Fi Bayaani Ahli-Ssufi peringatan yang sangat penting bagi mereka yang ingin memasuki dunia Tasauf sebagaimana berikut;
Setengah daripada yang tidak dapat tidak(yakni WAJIB) bagi orang yang murid yang hendak berjalan kepada Allah Subhanahuwa Taala, jalan Ahlullah, iaitu bahawa hendaklah melazimkan diri dengan "Adab Syariat" Nabi kita Muhammad SAW. Yakni dengan memelihara segala perkara yang disuruh dan yang ditegah. Kemudian masuk ia pada "Thoriqat Nabi kita SAW" yakni mengikut akan jalan yang dikerjakan oleh Nabi yang terdiri dari amal atas sekuasa-kuasanya. Tiadalah maqam yang terlebih(afdhal) daripada mengikut Nabi SAW pada perbuatannya, tegahnya, kelakuannya dan perangainya. Tiada dapat sampai kepada Allah melainkan dengan mengikut Nabi kita SAW kerana dialah Ariffin yang mengetahui dengan sesuatu yang menghampirkan dirinya kepada Allah dan kepada redhoNya. Sesungguhnya telah berjalan Ia(Rasulullah SAW) dengan Dia bagi dirinya dengan demikian jalan.
Barangsiapa yang mengikut akan dia(Rasulullah SAW) padanya, maka tiada maqam yang terlebih afdhal daripada maqamnya. Setengah daripadanya dapat kasih Allah Taala seperti firman Allah Taala;
"Katakanlah olehmu ya Muhammad! Jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikut oleh kamu sekalian akan daku nescaya dikasih akan kamu oleh Allah Taala"
Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a ada membuat peringatan ini dalam Kitab Hikamnya;
"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut"Thoriqat Muhammadiyah" (yakni Sunnah Rasulullah SAW) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".
Demikianlah dasar yang menjadi intipati sandaran para pendokong Ilmu Sufiah, tidak sama sekali berenggang jauh dengan petua dan amalan-amalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Sejarah telah membuktikan akan keluhuran dan ketinggian peribadi Rasulullah SAW, para sahabat-sahabat yang keistimewaan dan kekuatan jiwa dan ruh Islam yang hakiki mengalahkan tamadun-tamadun yang sebelum itu, semasa itu dan selepas itu dan "isme-isme" yang ada sekarang ini.
"Dan apa-apa yang telah mendatang ia akan kamu oleh Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa yang menegah ia akan kamu, maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan". (Al-Hasyr: 09)
Tulisan ini adalah sebagai lanjutan dari bicara mengenai Tasuaf dan maksud bertasauf. Di samping itu juga ia adalah merupakan usaha untuk mengheningkan kebingungan golongan yang mendakwa diri mereka pengamal tasauf sedangkan mereka telah tertipu dan terpedaya oleh syaitan laknatullah kerana meremeh-remehkan syariat malah ada yang sampai ke tahap membuang terus kemuliaan syariat ini semata-mata beralasan bila sudah berada dipuncak, segala hukum dan tuntutan syariat tidak boleh dipakai. Mereka bukan sahaja tergelincir dari "jalan yang benar" malah boleh menyebabkan orang awam(kebanyakan orang ramai) akan menjadi keliru dan turut terjebak dalam golongan yang suka saya gelarkan "Tasauf Pinggiranr".
Marilah sama-sama kita perhatikan bagaimana Tasauf membayangi kehidupan Rasulullah.
Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bersunyikan diri diri Gua Hira' sehingga menjadi Rasul. Rasulullah sangat kuat bertahajud, beristigfar, berzikir, sembahyang hingga bengkak kakinya kerana lama berdiri Qiyam. Rasulullah menangis kerana takutkan TuhanNya. Rasulullah menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang buruk buangan. Semua ini terang dalam hadis yang shohih.
Rasululah mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk.
Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman; "Aku di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya"
Rasulullah tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Omar Al-Khattab dengan keadaan Nabi itu.
Asas pembinaan peribadi yang luhur dengan ketaatan yang tinggi terhadap Allah Taala ini telah diwarisi oleh sahabat-sahabat baginda. Tiap-tiap seorang muslim pada zaman Rasulullah jadi Abid dengan hidup cara tasauf dalam kecergasan tabie semulajadi.
Sahabat-sahabat Nabi itu memandang dunia sebagai Rasulullah memandang dunia dengan rendahnya dan bersedia menghadap akhirat semata-mata kerana Allah. Kerana ringan dan murahnya nilai dunia ini, maka mudah sahaja dijijak dan diperhambakan hingga mereka menguasai dunia ini dan dengan dunia yang diperhambakan itu mereka membeli dan berjaya memenangi akhirat. Maka menguasai dunia untuk dijadikan tunggangan ke akhirat. Sekali-kali tidak ada peluang diberikan kepada dunia itu menakluki mereka atau mengatasi mereka. Kerana itu mereka berjaya di dunia dan di akhirat iaitu terus menang dlam jihad mereka.
Abu Bakar, bila beribadat kerana takut kepada Allah hingga bernyawa seperti jantung terbakar. Beliau membaca Al-Qur'an sepanjang malam; termakan makanan syubhat termuntah-muntah. Dalam satu peperangan Abu Bakar menyerahkan semua harta kekayaannya kepada Rasulullah kerana memenuhi seruan jihad. Inilah jiwa tasauf yang terpancar pada Abu Bakar Al-Siddiq.
Omar Ibni Al-Khattab yang menghancurkan Empayar Rum dan Parsi, menguasai timur dan barat yang bertamadun zaman itu penuh dengan kekayaan harta dan perbendaharaan; ia kerap makan tidak berlauk, bajunya bertampal 12 tampal, lambat satu hari ke masjid hingga tertunggu-tunggu jamaah yang hendak beriman akan dia. Bertanya sahabatnya; "Kenapakah lambat ya Amirul Mukminin?" Sahutnya; "Aku membasuh kain(dan tunggu hingga kering) tak ada kain lain". Inilah ruh Tasauf yang menjelma melalui Omar Ibni Al-Khattab.
Sayyidina Ali bin Abi Talib lebih lagi daripada Sayyidina Oma waraknya. Suatu hari dengan penatnya dia keluar mencari upah tetapi tidak berhasil. Bila balik didapatinya tersedia tiga biji tamar. Oleh kerabna sudah sehari suntuk tidak makan, tetapi bila ia hendak menyuap tamar yang ada di rumah itu teringat ia tidak tahu tamar siapa? hingga isterinya Fatimah menerangkan itu memang disimpankan untuknya. Baru ia hendak menyuap, tiba-tiba terdengar oorang memberi salam dan berkata; "Saya orang miskin kelaparan. Kerana Allah ..Ya Ali!!! berilah saya makanan". Tidak jadi ia menyuap makanan itu lalu diberikan kepada si miskin itu.
Bila akan menyuap yang kedua terdengar lagi satu salam dan menyeru; "Ya Ali.... saya anak yatim. Kerana Allah berilah saya makan kerana sangat lapar". Tidak jadi dimakannya tamar yang kedua itu lalu diberikan tamar itu.
Baru hendak menyuap yang ketiga, datang pula seorang lelaki. "Ya Ali...saya seorang yang merana. Kerana Allah berilah saya makan". Tamar yang akhir itu terus diberianya, tinggallah ia dengan kelaparan demi kerana Allah.
Pada hari wafatnya berpuluh-puluh janda meraung menangis hingga gempar dan hairan orang melihatnya. Bila ditanya kepada janda-janda itu?, jawab mereka:
"Tumbanglah harapan kami, putuslah pergantungan kami, kerana selama ini Ali lah yang menanggung dan menyara kehidupan kami" Tegasnya dalam sulit, tiada dengan tahu sesiapa Ali menolong janda-janda itu, Ali miskin kerana kesenangan orang lain. Inilah kemurniaan Tasauf yang bergemilapan pada peribadi Sayyidina Ali bin Abi Talib.
Abu Ubaidah bin Jarah, pahlawan Islam, pembuka dunia baru mengembangkan Islam, jadi Raja(Amir) di Syam negeri yang mewah makmur dengan kekayaan. Manakala Umar melawat Syam dan bila masuk ke istana tiada kelihatan apa-apa benda kecuali sebiji pinggang dan sehelai tikar. Umar pun menangis kerana kasihan dan sedihkan nasib Abu Ubaidah yang menderita dalam negeri yang mewah. Memandangkan hal itu, Abu Ubaidah berkata;
"Ya Amirul Mukminin, adakah tuan menangiskan nasib saya sedangkan saya telah menjaulkan dunia saya untuk membeli akhirat".
Generasi seterusnya terus mewarisi pesaka keluhuran budi dan ketinggian ubudiyah ini dengan
Melazimi dan mengekali wirid harian untuk mendapat Warid,
Imam Ali bin Hussin r.a sembahyang sunat sebanyak 1,000 rekaat sehari semalam.
Aulia Allah Daud Al-Thoni tidak mengunyah makanannya tetapii direndamnya dalam ayer dan menelannya. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat begitu, beliau menjawab, untuk menjimatkan masa kerana masa itu saya gunakan membaca al-Qur'an.
Sheikh Junaid Al-Bagdadi menegaskan: " Apa yang aku dapat dalam bidang kerohanian adalah melalui tiga perkara: Pertama - menjauhkan dunia; Kedua - puasa; Ketiga - berjaga sepanjang malam.
Beliau berkata lagi Kesufian itu ialah lari dari dunia menuju Allah dan berada sentiasa dalam ibadat, carilah kesufian itu dalam diri sendiri
Sejarah Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni mencatatkan selama 30 tahun dia tidak tidur malam.
Mansur bin 'Amar berkata; Kebersihan hati dicapai dengan empat latihan: bercampur dengan Aulia Allah, mengaji al-Qur'an, sembahyang di waktu malam, mengeluarkan air mata pada masa sembahyang.
Imamiyah Tasauf Sheikh Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan menahan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."
Jelasnya dan nyata sekali kini, bahawa Ilmu Tasauf ini bukanlah semata-mata ilmu yang hanya bermain-main dengan kata-kata hakikat atau makrifat yang dijadikan topik perbualan di kedai-kedai kopi dengan meremeh-remeh dan mempersendakan syariat. Ianya adalah sesuatu yang "besar" melebihi jangkaun fikiran. Hayatilah catatan pengalaman Hujjatul Islam Imam Ghazali ini yang tercatat dalam Kitabnya Minhajul 'Abidin sebagai satu rumusan mengenai Tasauf ini
Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.
Bayangan salah satu tempat celaka dan binasa ini boleh diambil iktibar dari kisah Sultanul Aulia Sheikh Abdul Qadir Jailani yang pada satu masa berada di dalam hutan tanpa makanan dan minuman beberapa lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan. Dapatlah Sheikh itu menghilangkan dahaganya. Dengan tdak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar tidak jauh dari situ dan lembaga itu berkata, "Aku ini Tuhan kamu. Sekarang ini aku halalkan segala yang haram untuk kamu". Mendengar itu Sheikh Abdul Qadir pun membaca; "A 'uzubillahi minassyathonir rajim". Lembaga itu bertukar jadi awam lalu berkata, "Dengan ilmumu dan rahmat Allah kamu telah terselamat dari tipu helahku" Kemudian syaitan itu bertanya kepada beliau bagaimana dia boleh mengenal syaitan itu dengan segera. Jawab Sheikh Abdul Qadir, bahawa apabila syaitan itu mengatakan yang ia menghalalkan yang haram, maka dengan serta-merta ia tahu bahawa bukan datang dari Allah Taala kerana Allah tidak menghalalkan segala yang haram.

APAKAH MATLAMAT BELAJAR TASAUF

Tujuan pokok Ilmu Tasauf ialah untuk sampai kepada Allah, untuk mencapai makrifat dengan ertikata yang sebenarnya, terbuka hijab antara hamba dengan Dia(Allah).
Telah berkata ahli-ahli sufi: "Permulaan tasauf adalah ilmu pengetahuan, pertengahan ialah Istiqamah dengan amal ibadat, akhirnya ialah Mahabbah adalah anugerah atau pemberian Allah".

Maka ilmu pengetahuan itu membukakan kehendak
Amal ibadat itu menolong apa yang dimaksudkan
Pemberian itu menyampaikan kepada apa yang dicita-cita.

Di samping itu banyak sekali tujuan-tujuan yang hendak diperoleh antara lain iaitu :
1. Dengan mengamalkan Tasauf bererti mengadakan latihan jiwa (Riadhah) dan berjuang
melawan hawa nafsu (Mujahadah), membersihkan diri dari sifat-sifat tercela dan diisi dengan
sifat-sifat terpuji dengan melalui perbaikan budi pekerti dalam berbagai seginya.sepertimana pakaian budi-pekerti Ambiya, Mursalin, Aulia Allah dan Sholihin.
2. Selalu dapat mewujudkan rasa ingat kepada Allah Zat Yang Maha Besar dan Maha Kuasa atas
segalanya dengan melalui jalan mengamalkan wirid dan zikir disertai tafakkur yang secara terus
menerus dikerjakan.
3. Dari sini timbul perasaan takut kepada Allah sehingga timbul pula dalam diri seseorang itu suatu
usaha untuk menghindarkan diri dari segala macam pengaruh duniawi yang dapat menyebabkan lupa
kepada Allah.
4. Jika hal itu semua dapat dilakukan dengan penuh ikhlas dan ketaatan kepada Allah, maka tidak
mustahil akan dapat dicapai suatu tingkat alam Ma'rifat, sehingga dapat pula diketahui segala rahsia di
balik tabir cahaya Allah dan Rasul-Nya secara terang-benderang.
5. Akhirnya dapat diperoleh apa yang sebenarnya menjadi tujuan hidup ini.
Demikian antara lain beberapa tujuan yang akan diperoleh bagi setiap orang yang mengamalkan
Tasauf. Untuk Ilmu dan Menyempurnakan Amal Ibadat. Jelasnya ia akan dapat mengerjakan syariat Allah dan Rasul-Nya dengan melalui jalan atau sistem yang menghantarkan tercapainya tujuan hakikat yang sebenarnya sesuai dengan yang dikehendaki oleh syariat itu sendiri.
Tegasnya jika saudara dapat menanggapinya akan sebenar-benar maksud dan tujuan Tasauf ini saudara akan menyedari bahawa seorang yang merasa dirinya belajar Ilmu Tasauf perlu memiliki petunjuk-petunjuk seperti di atas sebagai pengesahan bahawa mereka belajar dan mengamalkan tasauf. Suka saya senaraikan ringkasan perkara-perkara yang boleh dijadikan petunjuk agar saudara-saudara tidak terkeliru.

1. Seorang ahli tasauf yang tulen ialah seorang yang mengetahui dan memiliki Ilmu Fekah dan Ilmu Tauhid yang mantap sehingga digelar "Fakeh Yang Sufiah" bukan "Sufiah Yang Fakeh"
2. Sentiasa menjunjung dan memuliakan hukum syarak Allah
3. Amalan mereka sentiasa meningkat dari masa ke semasa malah melebihi kebanyakan orang sesuai dengan peningkatan maqamnya..
4. Memiliki ketinggian dan kehalusan budi-pekerti yang mulia mewarisi peribadi Rasul, Nabi, Aulia Allah dan Sholihin.
5. Mendasari kepada panduan al-Qur'an dan jalan Rasulullah SAW, para sahabat, Aulia Allah dan orang-orang Sholihin.
6. Ikhlas dalam membuat hubungan Allah dan dengan sesama makhluk
7. Bersifat zuhud dengan dunia.
8. Sedikit cakap tapi amal banyak.


Jika demikian bagaimanakah boleh terjadi "Ramai yang saya jumpa mereka-mereka yang belajar tasauf itu meringan-ringankan syariaat".
Macamana mereka belajar ni ? Kaedah mana yang dipakai? sehingga boleh meringan-ringan syariat sedangkan Tasauf ialah gabungan amalan ilmu tentang cara-cara beramal(ilmu syariat) dengan Ilmu yang hasil dari amalan(Warid). Tanpa amal maka tiada syariat. Bila tiada syariat maka tidak ada tasauf, demikian juga semakin lemah atau kurangnya wirid, maka semakin berkuranglah darjah kekuatan Ilmu Tasauf.
Dinisbahkan kaitannya dengan syariat, belajar ilmu tasauf ini adalah semata-mata untuk
menghidupkan ruh syariat di samping memperhiasinya dengan perhiasan dan pakaian jiwa aulia allah dan para Rasul dan Nabi. Tapi jika diringan-ringankan syariat, tidak ada syariat, atau dibuang syariat atau ditinggalkan syariat;

maka apakah yang hendak dihidupkan?
apakah benda yang hendak dihiaskan?
dan apakah benda yang hendak dipakaikan?.
mana amalan yang hendak dihakikatkan

Tentang ini, seringkali saya ingatkan dalam tulisan-tulisan saya dengan isyarat-isyarat seorang Aulia Allah akan kepentingan syariat ini seperti berikut;
"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thoriqat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."
Ini amat perlu diingat-ingatkan selalu!!! Jika sekiranya ini berlaku di kalangan mereka yang mengaku belajar tasauf tetapi dalam pada itu meringan-ringan syariat atau meninggalkan terus syariat, yakinilah bahawa sebenarnya mereka hanya mendakwa semata-mata, malah mereka adalah golongan bidaah yang amat bahaya dan boleh mencemarkan kesucian Ilmu Tasauf ini.
Berkata Abu Qasim Al-Qusyari r.a;
"Tiap-tiap syariat yang tiada dikuatkan dengan hakikat adalah dia tidak diterima. Tiap-tiap hakikat yang tak diikatkan dengan syariat tiadalah berhasil. Maka syariat itu mendirikan dengan barang yang disuruh, sedangkan hakikat memandangkan kepada barang yang diqada dan qadar sama ada yang tersembunyi dan yang nyata".
Berkata Imam Ghazali;
"Barangsiapa menyangka bahawa dia berserta Allah, sehingga menggugurkan daripadaanya kewajipan sembahyang, atau halal meminum arak, maka wajiblah dibunuhnya. Membunuh orang seumpama itu lebih baik daripada membunuh seratus kafir kerana adalah dhorurah dariapadanya itu lebih banyak".
Ibnu Taimiyah menyebutkan bahwa ia setuju dengan pandangan Al-Fudhil bin ‘Iyadh tentang satu ayat al-Quran: "Agar Dia menguji siapakah di antara kamu sekalian yang lebih amalnya." (Hud:7)
Kemudian dia melanjutkan; ...dengan ikhlas dan benar: Murid-muridnya bertanya; "mengapa mesti ikhlas dan benar?" Al-Fudhil menjawab;
"Karena Allah tidak akan menerima perbuatan benar tanpa didasari ikhlas Lillahi Ta’ala, pun sebaliknya Dia tidak meridhai amal yang kamu dasari hati ikhlas sedang itu adalah perbuatan salah, maka amalmu harus didampingi keduanya, ikhlas dan benar".
Berkaitan dengan ini Asy-Syubli berpendapat tentang cinta kepada Allah:
"Kamu durhaka kepada Allah, padahal kamu berharap cintanya. Hal itu jelas tidak logik, bila cintamu itu tulus, pastilah kamu mentaatinya. Sesungguhnya orang yang bercinta itu patuh kepada yang dicintainya."
Tersebut dalam Kitab Ilmu Tahqiq, Manhalus Shofi; Seorang Wali Allah yang tersohor, Abu Yazid Al-Bustomin, ketika mendengar munculnya seorang Wali di hujung sebuah kampung yang heboh diperkatakan oleh orang ramai. Beliau pun berhasrat untuk menemuinya lantas ke tempat tinggal Wali itu. Tapi setelah beliau melihat(sewaktu hampir sampai) orang yang dikatakan Wali itu meludahkan air liurnya ke arah Kiblat, Abu Yazid terus berpaling dan beredar dari tempat itu sambil berkata, "Lelaki yang tiada percaya atas sunnah syariat maka bagaimana pula percaya atas Rahsia Wilayahnya".
Jika dengan perkara makruh(meludah ke arah kiblat) pun diambil kira dalam menilaikan kesempurnaan atau betul salahnya, maka lebih-lebih lagilah jika ada yang mengerjakan perkara yang haram atau meninggalkan yang sunat. Semata-mata dusta dan jahil dalam agama. Dengan sebab itulah sebahagian dari takrif/maksud tasauf ialah "menghilangkan dakwa". Mendakwa diri seorang sufi atau beramal tasauf tetapi syariat-tunggang langgang. Ini manusia pembohong, pengkianat dan ahli bidaah yang mencemarkan kesucian ilmu orang-orang sholihin. Aulia Allah, para ambiya dan Mursalin. Dengan kerana adanya segelintir mereka inilah, berbagai-bagai fitnah dan tuduhan dilontarkan kepada Tasauf malah termasuklah kepada Aulia-aulia Allah. Kerena nila setitik rosak susu sebelanga.
Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."
Sebagai mentahqiqkan lagi kefahaman kita bahawa di dalam Ilmu Tasauf tidak ada sebarang kompromi dengan mereka yang mendakwa bahawa apabila sudah tinggi atau sampai ke puncaknya, maka tidak perlu bersusah dan berpenat-penat dengan amal yang banyak, sila ikuti sambungan bicara ini pada tajuk Tasauf Rasulullah, Para Sahabat dan Aulia-aulia Allah. Insya Allah akan terbukti bahawa mereka yang meringan-ringankan Syariat adalah golongan bidaah yang sesat, perosak kemurniaan Tasuaf, dan semata-mata " ditindih perasaan" atau mendakwa mereka ahli tasauf sedangkan mereka sebenarnya "Ahli Dakwa"
Jika terserempak dengan mereka, berilah Peringatan kepada golongan ini dengan kata-kata yang dipesan oleh Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni;
"Menganggap diri sendiri sebagai seorang Sufi itu adalah satu anggapan besar, sekurang-kurangnya dia bukanlah sufi".

APAKAH SEBENARNYA TASAUF

Menurut catatan Al-'alim Al-'Alamah A-Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Mustafa Al-Fathoni (Guru kepada Wali Allah Yang Tersohor Tok Kenali);
Kata "Tasauf" timbulnya dari banyak pengertian, akan tetapi dipersingkatkan dari dua istilah sahaja iaitu "Pengertian pada lughah" dan "Pengertian pada istilah ahli hakikat".
1. Makna pada lughoh ialah;
Memakai shauf ertinya bulu(bulu baju). Bahawa adalah sebahagian besar pengikut-pengikutnya pada zaman dahulu memakai baju yang dibuat daripada bulu-bulu. Kelakuan mereka dengan pakaian demikian itu menyalahi adat kebanyakan manusia yang selalu dengan pakaian yang serba indah. Pengikut tasauf tidak gemar dengan pakaian yang indah-indah.
2. Makna pada istilah ahli hakikat ialah;
Berakhlak dengan segala kelakuan "At-Thoifah Al-Sufiyah" bertawasul dengan segala sifat mereka, bertalian dengan rantai yang bersambung kepada mereka. Berkata Imam Sufi Al-Sheikh Junaid Al-Bagdadi;
"Dimatikan(fana) kamu oleh Al-Haq daripada engkau dan dihidupkan kamu dengan Dia"
Tasauf juga diertikan; "Berhenti dengan sekelian adab yang dibangsakan kepada Syarak yang zhohir dan yang batin".
Bererti juga; "Kesempurnaan manusia dengan Islam, Iman dan Ihsan".
Bererti juga; "Menyerahkan diri semata-mata kepada Allah atas sekelian kehendak dan cita-cita".
Sebahagian orang berpendapat; "Berpegang dengan kefakiran dan Iftikor(berhajat kepada Allah). Tahqiq dengan pemberian dan Aisar (pengutamaan akan orang lain), meninggalkan tentangan qada dan qadar dan ikhtiar".
Demikianlah pengertiaan Tasauf yang dibuat oleh Guru Tok Kenali.
Basyir Al-Haris salah seorang Ahli sufi dalam memberi erti Tasauf, ia berkata; "Orang sufi ialah yang telah bersih hatinya semata-mata untuk Allah".
Abu Muhammad Al-Jurairi berkata, Tasauf ialah masuk ke dalam budi menurut contoh yang ditinggalkan oleh Nabi dan keluar daripada budi yang rendah".
Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari berkata; "Tasauf ialah ilmu yang menerangkan hal-hal tentang cara mensuci-bersihkan jiwa, tentang cara memperbaiki akhlak dan tentang cara pembinaan kesejahteraan lahir dan batin untuk mencapai kebahgiaan yang abadi".
Kata guru Tok Kenali(Sheikh Ahmad Al-Fathoni), semua defenisi yang berbagai corak itu ragam yang lebih tepat di sisi penghulu kita Al-Sufiah dapat difahamkan daripada dua bait puisi ini;
"Bersalah-salahan manusia pada tempat pecahan sufi dan telah berlain-lainan pendapat mereka itu kepadanya; Mereka menyangka berasal daripada kata Saufa; Tiadalah aku memberi nama ini iaitu sufi itu akan yang lain daripada seorang pemuda yang bersih dan berpakaian Sauf sehingga dia dinamakan seorang sufi.
Asal kata sufi itu diambil dari kata "Sofa" yang dapat diertikan dengan bersih, jernih, dinamakan "SALIK" iaitu yang berjalan kepada Allah dengan cara-cara Sufi itu kerana bersih hatinya, suci batinnya dan bersih juga zhohirnya daripada lain daripada Allah. Perlu juga diperjelaskan nama-nama lain bagi Ilmu Tasauf ini. Berlain-lainan nama yang diberikan kerana berdasarkan perbezaannya pada hantarannya dan pendekatan yang digunakan, namun maksud dan arah tujuannya tetap satu jua. Antaranya ialah
1. Ilmu Batin
2. Ilmu Qalbi - Ilmu Hati
3. Ilmu Laduni - Ilmu di sisi Allah
4. Ilmu Mukasyafah - Ilmu Pembukaan
5. Ilmu Asror - Ilmu Sekelian Rahsia
6. Ilmu Maknun - Ilmu yang disembunyikan
7. Ilmu Hakikat
8. Ilmu Tahqiq
9. Ilmu Makrifat
10. Ilmu Diri
11. dan lain-lain lagi.
Tersebut dalam kitab "Jawahirul Feqah" bahawa Ilmu Qalbi itu adalah zauqi ertinya dibangsakan kepada perasaan semata-mata. Juga adalah dari Wujdan; ertinya dibangsakan kepada pendapat yang tidak dapat digigit, tak dapat dikomentrikan segala lidah kelam tak dapat ditulis oleh mata qalam, tak dapat meliputi oleh daftar dan waham. Status pada pengetahuan yang zhohir itu seumpama buah dengan pohon. Kemulian tetap bagi pohon kerana dia mendapat nama - tetapi pohon tidak bermanfaat jika tidak berbuah. Saya (Sheikh Ahmad Al-Fathoni) berpendapat;
"Buah tidak diperdapat jika pohon hidup tidak subur".
Kenyataan ini tidak berlawanan dengan penemuan kritis Imam Ghazali dalam memperkatakan tentang kedudukan Ilmu Tasauf ini jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu yang lain iaitu;
"Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan zatnya [bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir ilmu yang tersusun yang dalamnya terdapat seluruh Hal Ehwal dua ilmu yang tunggal. Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal mereka. Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun dari dua ilmu". Ilmu mereka terdiri dari

Hal,
Waktu,
Samaa',
Wujdan,
Sheikh,
Sakr,
Sohwu,
Isbat,
Mahwu,
Fakir,
Fana,
Wilayah,
Irodah,
Murid


dan apa yang berhubung dengan Hal Ehwal mereka serta tambah-tambahannya, sifat-sifat dan makam-makam.
Yang dimaksudkan dengan terhimpun dari dua ilmu ialah gabungan antara "Ilmu Tentang Cara-cara Beramal"(Ilmu Syariat) dengan Ilmu Yang Hasil dari Amalan. Dalam kitab-kitab tua kebanyakan pengarang lebih suka menggunakan istilah Wirid bagi menunjukkan amalan praktik Ilmu Syariat ini dan istilah Warid bagi menunjukkan Ilmu Yang Hasil dari Amalan Syariat.
Kita lihat pula satu catatan yang amat bermakna dari Imam Ghazali pada kitabnya Al-Munqidz-Minadhdholal(pembebasan dari kesesatan) yang boleh menjernihkan makna dan pengertian Tasauf ini sebagaimana berikut;
"Perhatianku berpusat kepada jalan Sufiah. Nyata sekali jalan ini takkan dapat ditempuh melainkan dengan Ilmu dan 'Amal. Pokoknya harus menempuh tanjakan-tanjakan batin dan membersihkan diri. Hal ini perlu untuk mengosongkan bathin dan kemudian mengisinya dengan zikir kepada Allah Taala. Bagiku ilmu lebih mudah daripada 'amal. Maka segeralah aku memulai dengan mempelajari ilmu mereka, membaca kitab-kitab mereka, di antaranya Kitab Qutul Qulub karangan abu Thalib Al-Makki dan kitab-kitab karangan Al Harsi Al Muhasibi serta ucapan-ucapan Al-Junaid, Asy-Syibli, Abu Yazid al-Bustomin dan lain-lain. Dengan itu dapatlah aku memahami tujuan mereka. Penjelasan lebih jauh aku dengar sendiri dari mulut mereka. Yang lebih dalam lagi hanya dicapai dengan Dzauk(rasa pengalaman bathin), pengalaman dan perkembangan bathin. Jauh nian perbezaan antara mengetahui erti sehat atau kenyang dengan mengalami sendiri rasa sehat dan kenyang itu. Mengalami mabuk lebih jelas daripada hanya mendengar keterangan tentang ertinya, padahal yang mengalami mungkin belum mendengar sesuatu keterangan tentang demikian itu. Tabib yang sedang sakit, tahu banyak tentang sehat, tetapi ia sendiri sedang tidak sehat. Tahu erti dan syarat-syarat zuhud tidaklah sama dengan bersifat zuhud. Yang penting bagi mereka adalah pengalaman bukan perkataan. Apa yang dapat dicapai dengan ilmu telah kucapai. Selanjutnya harus dengan Dzauk dan "suluk"(menempuh perjalanan batin).
Rumusan dan kefahaman yang boleh dibuat daripada definisi dan maksud-maksud di atas, Ilmu Tasauf ialah sesuatu Ilmu yang didasarkan kepada mengamalkan dengan Ilmu yang diketahui. Bukan semata-mata tahu teori dan bercakap dan menggunakan istilah-istilahnya, tetapi dengan beramal dan ianya mencakupi dalam mana-mana hal-ahwal mengikut kesucian jiwa dan ketinggian peribadi dan berperangai dengan sifat-sifat yang mulia sebagaimana isyarat berikut;
Seorang Arifbillah berkata; At-Tasauf, iaitu berhenti serta adab syariat yang zhohir dan batin. Maka ia melihat akan hukumnya daripada zhohirnya di dalam batinnya. Yang batinnya pada zhohirnya. Maka shahih daripada dua hukum itu, sempurna dengan tiada sempurna kemudian daripadanya. Atau dikata "Jernih zhohir" daripada dosa dan "jernih batin" daripada agyar".
Sekali-kali tidak berpisah dari hukum takhlif yang lima malah ia adalah pokok utama kepada Ilmu Tasauf. Bagaimana pula hukum takhlif(syariat) ini boleh diremeh-remehkan oleh seorang Sufi sebenar?.

Selasa, November 22

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 10: HUZN

SEDIH

وَقَالُواْ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَذۡهَبَ عَنَّا ٱلۡحَزَنَۖ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌ۬ شَكُورٌ


Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat) (Fathir: 34)

Diriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudhri bahawa Rasulullah saw menyatakan, “Manakala sesuatu keburukan menimpa seorang hamba yang beriman, apakah itu penderitaan, penyakit, kesedihan, atau rasa sakit yang merisaukannya, maka Allah SWT akan mengampuni dosa-dosanya.”
Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq mengatakan “Orang yang hatinya dipenuhi kesedihan mampu menempuh jalan Allah dalam waktu satu bulan, sepanjang jarak yang tidak dapat ditempuh dalam waktu satu tahun oleh orang yang tidak memiliki kesedihan.”
Dalah hadith dikatakan, “Sesungguhnya Allah mencintai setiap hati yang sedih.” Kitab Taurat menyatakan, “Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Dia akan menempatkan suatu kesedihan di dalam hatinya, dan jika Dia membenci seorang hamba, maka ditempatkan-Nya sebuah seruling di dalam hatinya.”
Ibn Khafif menjelaskan, “Sedih adalah mencegah diri dari bangkit mencari kesenangan.”
Sufyan bin Uyainah menyatakan, “Apabila ada seorang yang ditimpa kesedihan dan menangis di kalangan suatu kaum, maka Allah SWT akan mengasihani mereka semua kerana air matanya.”
Ath-Tha’i ketika ditimpa kesedihan, dan di malam hari dia akan mengatakan, “Wahai Tuhan, perhatianku terhadap Mu merosakkan perhatian terhadap yang lain dan menghalangi antaraku dengan tidurku.” Dan Allah menjawab, “Bagaimana mungkin bagi seorang yang penderitaannya diperbaharui setiap saat, akan mencari hiburan dari kesedihan?”
Dikatakan, “Sedih menahan seseorang dari makan, dan takut menahannya dari dosa.”
Sari As-Saqati menyatakan, “Aku ingin seandainya kesedihan seluruh manusia di muka bumi ini ditimpakan kepadaku.”
Orang tidak pernah melihat Hasan Al-Bishri pasti mengira bahawa dia baru sahaja mengalami bencana.
Fudhail bin Iyadh berpendapat, “Kaum salaf mengatakan, ‘Setiap sesuatu ada zakatnya, dan zakat hati adalah kesedihan yang berpanjangan.”

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 9: RAJA'

HARAPAN

Rasullah saw mengkahabarkan bahawa malaikat Jibril as mengatakan: “Allah SWT berfirman, ‘Wahai hamba-Ku, selama engkau menyembah-Ku, berharap akan bertemu dengan-Ku, dan tidak menyekutukan Aku, nescaya Aku akan mengampuni apa pun dosa yang engkau telah lakukan. Bahkan sekalipun engkau datang membawa keburukan dan dosa sebesar bumi, Aku akan menerimamu dengan pengampunan yang besar. Aku akan mengampunimu, dan tidak mempedulikan berapa banyak dosa yang telah engkau lakukan.
Anas bin Malik mengkhabarkan bahawa Rasulullah saw menegaskan, “Allah SWT akan befirman pada hari kebangkitan,“Keluarlah dari neraka, wahai kamu yang dalam hatinya masih terdapat iman walaupun sebesar biji gandum.” Kemudian Dia akan memerintahkan, “Aku bersumpah demi keagungan-Ku terhadap manusia yang beriman kepada-Ku hatta sesaat sahaja di siang hari ataupun malam, tidak akan sama dengan perlakuan-Ku terhadap orang yang tidak pernah beriman kepada-Ku.”
Hati menjadi hidup oleh harapan; harapan melenyapkan beban hati.
Harapan adalah sifat yang terpuji, tetapi angan-angan adalah suatu kelemahan pada diri manusia.
Ibn Khubaiq menjelaskan: “Ada 3 macam harapan: Ada manusia yang melakukan amal baik; harapannya adalah bahawa amal perbuatannya itu akan diterima oleh Tuhan. Ada lagi orang yang melakukan amal buruk, kemudian bertaubat; harapannya adalah beroleh keampunan. Akhirnya ada orang yang tertipu-tipu sendiri, yang harus melakukan dosa, sambil berkata, “Aku berharap untuk beroleh pengampunan.” Bagi orang yang tahu bahawa dirinya melakukan amal buruk, takut selayaknya lebih berkuasa atas dirinya daripada harap.
Dikatakan, “Harapan adalah mengandaikan kemurahan dari Yang Maha Pemurah, dan Maha Menyintai.”
Harapan adalah melihat kegemilangan Ilahi dengan mata keindahan.
Abu Ali Ar-Ridzbari berpendapat, “Takut dan harap adalah seperti kedua belah sayap burung. Manakala keduanya seimbang, si burung akan seimbang dan terbangnya akan sempurna. Tapi manakala salah satunya kurang, maka hal ini akan menjadikan si burung kehilangan kemampuannya untuk terbang. Apabila takut dan harap keduanya tidak ada, maka si burung akan terlempar ke jurang kematiannya.
Ahmad bin Ashim Al-Antaki ditanya, “Apakah tanda adanya harapan pada seorang hamba?” Dia menjawab, “Tandanya adalah manakala ia menerima anugerah, dia terilham untuk bersyukur, penuh harap akan penuhnya rahmat Allah SWT di dunia ini dan penuhnya pengampunan-Nya di akhirat.”
Abu Utsman Al-Maghribi menyatakan, “Barangsiapa mendorong dirinya untuk berharap sahaja, maka dia akan terjerumus ke dalam kemalasan, dan barangsiapa yang mendorong dirinya kepada takut sahaja, maka dia akan terjerumus kepada berputus asa. Yang patut adalah, ada waktu berharap, dan ada waktu untuk takut; keduanya mempunyai tempatnya sendiri.”
Yahya bin Muadz menegaskan, “Harapan yang kutaruh kepada-Mu bilamana aku berbuat dosa hampir-hampir lebih besar daripada harapanku kepada-Mu bila aku berbuat baik. Ini disebabkan apabila aku melakukan amal baik, aku mendapati diriku mengandaikan pada ketulusanku dalam melakukannya. Tapi bagaimana aku dapat menjaga amalku dari kekurangan sedangkan aku adalah makhluk yang bersifat penuh kekurangan? Sebaliknya, bilamana aku melakukan dosa, aku mendapati diriku mengandaikan ampunan-Mu. Bagaimana Engkau tidak akan mengampuni dosa-dosaku, sedangkan Engkau adalah Dzat Yang Maha Pemurah?”
Yahya bin Muadz menyatakan, “Wahai Tuhanku, anugerah paling manis dalam hatiku adalah harapan terhadap-Mu. Kata-kata paling indah yang keluar dari lidahku, adalah pujian terhadap-Mu. Saat yang ku anggap paling beharga adalah saat ketika aku akan berjumpa dengan-Mu.”
Rasulullah saw datang menemui sahabatnya melalui pintu Bani Syaibah. Beliau mendapati mereka sedang tertawa-tawa. Beliau berkata, “Apakah kamu tawakan? Seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit tertawa, dan banyak menangis. Beliau lalu meninggalkan mereka, kemudian kembali lagi dan berkata, “Jibril as muncul di hadapanku setelah aku meninggalkan kamu tadi. Dia menyampaikan firman Allah ini:
نَبِّئۡ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Beritahukanlah kepada hamba-hambaKu, bahawa sesungguhnya Aku Maha Pengampun dan Maha Penyayang. ( Al-Hijr :49)
Diriwayatkan oleh Aisyah, bahawa Rasulullah saw telah berkata, “Allah SWT tertawa ketika hamba-hamba-Nya ditimpa putus asa, sedangkan rahmat-Nya dekat dengan mereka.” Aisyah bertanya, “Demi ayah dan ibuku wahai Rasulullah, apakah Tuhan kita benar-benar tertawa?” Beliau menjawab, “Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, Dia benar-benar tertawa.” Aisyah mengatakan, “Dia tidak akan menjauhkan kita dari kebaikan, sekiranya Dia tertawa.”
Dikatakan, ada seorang Majusi yang meminta kepada Ibrahim as agar diizinkan menginap di rumahnya. Ibrahim berkata kepadanya, “Kalau kamu masuk Islam, aku mahu menjadikanmu sebagai tamuku.” Orang Majusi itu menjawab, “Jika aku memeluk Islam, bagaimana mungkin engkau akan berbuat kebajikan kepadaku?” Allah SWT berfirman kepada Ibrahim,“Wahai Ibrahim, engkau hanya mahu memberinya makan jika dia mahu mengubah agamanya. Jika engkau menerimanya satu malam, bagaimana hal itu akan menyusahkanmu?” Mendengar itu, Ibrahim lalu mengejar orang Majusi itu dan mengundangnya menjadi tamunya. Ketika orang Majusi itu bertanya kepadanya mengapa dia berubah fikiran, Ibrahim pun menyatakan kepadanya apa yang didengarnya dari Tuhannya. Orang Majusi itu bertanya, “Beginikah caranya Dia memperlakukan aku? Berikanlah Islam kepadaku.” Lalu dia masuk Islam.
Abu Bakr bin Isykib menuturkan, “Aku bermimpi bertemu dengan Syeikh Abu Sahl As-Sa’luki. Keadaannya sangat berbahagia tidak terkatakan. Aku bertanya, “Wahai Syeikh, bagaimana syeikh dapat mencapai hal ini?” Beliau mengatakan kepadaku, “Dengan berbaik sangka ku kepada Tuhanku.”
Ketika Malik bin Dinar terlihat dalam sebuah mimpi, dia ditanya, “Apakah yang telah diperbuat Allah terhadap dirimu?” Dia menjawab, “Aku datang ke hadapan Tuhanku SWT dengan membawa banyak dosa, tetapi baik sangka-ku terhadapNya menghapus semua dosaku itu.”
Rasulullah saw bersabda, “Allah SWT berfirman: ‘Aku adalah sebagaimana yang disangka oleh hamba-Ku, dan Aku ada bersamanya bilamana ia mengingat-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam hatinya, maka Aku akan mengingatnya dalam Diri-Ku. Jika dia mengingat-Ku di tengah kumpulan orang banyak, maka Aku akan mengingatnya di tengah kumpulan yang lebih baik dari itu. Jika dia datang kepada-Ku sejarak satu jengkal, Aku akan mendatanginya sejarak satu hasta. Jika dia melangkah kepada-Ku satu hasta, Aku akan melangkah kepadanya dua hasta. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
Diceritakan bahawa pada suatu ketika Ibn Mubarak sedang bertempur melawan salah seorang tentera kafir. Ketika tiba waktunya bagi orang kafir itu untuk bersembahyang, dia meminta waktu kepada Ibn Mubarak. Yang disebut akhirnya ia pun membiarkannya melakukan sembahyangnya. Ketika tentera kafir itu sedang bersujud ke matahari, Ibn Mubarak merasakan keinginan untuk menikamnya dengan pedangnya. Namun tiba-tiba dia mendengar sebuah suara di angkasa yang berseru,
ۥ‌ۚ وَأَوۡفُواْ بِٱلۡعَهۡدِ‌ۖ إِنَّ ٱلۡعَهۡدَ كَانَ مَسۡـُٔولاً۬

Dtan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Al-Isra': 34)
Mengapa kau tidak melaksanakan niatmu? Ibn Mubarak mengatakan kepadanya tentang suara yang didengarnya. Si penyembah berhala berseru, “Betapa sempurnanya Tuhan yang memarahi teman-Nya demi membela musuh-Nya!” Lalu dia pun masuk Islam dan menjadi seorang Muslim yang sangat baik.
Dikatakan: “Allah menjadikan manusia melakukan dosa ketika Dia menamakan Diri-Nya Yang Maha Pengampun.” Dikatakan, “Seandainya Allah mengatakan, ‘Aku tidak akan mengampuni dosa,’ nescaya tidak seorang Muslim pun yang akan pernah berbuat dosa.
Ibrahim bin Adham berkata, “Pada suatu ketika aku menunggu waktu luang dan tenangnya orang di sekitar Kaabah. Saat itu adalah malam yang gelap-gelita dan hujan turun dengan lebatnya. Akhirnya tempat itu pun sepi, dan aku pun mulai melakukan tawaf sambil berdoa, “Ya Allah, lindungilah aku dari dosa, lindungilah aku dari dosa!” Lalu aku mendengar suara yang mengatakan, “Wahai Ibn Adham , engkau meminta kepada-Ku untuk melindungimu dari dosa sebagaimana doa orang-orang lain. Tetapi jika Aku jadikan kamu semua tanpa dosa, lantas kepada siapa aku harus bersikap Maha Pengasih?”
Ketika Abul Abbas bin Syuraih menderita sakit yang akhirnya membawanya mati, dia bermimpi bahawa Hari Kebangkitan telah tiba Allah Yang Maha Kuasa bertanya, “Dimanakah para ulama itu?”
Semua ulama’ termasuk diriku maju kedepan. Allah SWT bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan dengan ilmu yang telah kamu pelajari?” Kami semua menjawab, “Wahai Tuhan, kami telah berbuat lalai dan kami telah berbuat jahat.” Maka Allah pun mengulangi lagi pertanyaan-Nya seolah-olah dia tidak menyukai jawapan yang telah kami berikan dan mengkehendaki jawapan yang lain. Maka aku pun maju ke depan dan menjawab, “Mengenal diriku, maka catatan amalku tidaklah mengandungi dosa menyekutukan sesuatu dengan-Mu, dan Engkau telah berjanji bahawa Engkau akan mengampuni segala dosa selain itu.” Allah SWT berfirman, “Pergilah kamu semua. Aku telah mengampunimu.” Abul Abbas meninggal dunia tiga malam setelah bermimpi.
Pada suatu ketika, adalah seorang pemabuk, yang mengumpulkan sekelompok teman-teman pemabuknya. Dia membrikan wang empat dirham kepada salah seorang budaknya dan menyuruhnya pergi membeli buah-buahan. Si budak pergi, dan di tengah jalan dia melewati majlis Manshur bin Ammar, ketika itu Manshur sedang merayu meminta kepada orang banyak untuk memberikan sedekah kepada beberapa orang pengemis, dengan mengatakan, “Barangsiapa yang memberikan empat dirham, aku akan panjatkan empat doa untuknya.”
Si budak memberikan wang empat dirham yang dibawanya kepada Manshur, yang lalu bertanya kepadanya, “Doa apa yang kau inginkan dariku?” Si budak itu menjawab, “Aku ingin bebas dari tuanku.” Manshur mendoakan hal itu, lalu bertanya lagi, “Apa lagi?” “Aku ingin agar Allah memberiku ganti wang 4 dirham itu.” Manshur mendoakan, dan bertanya “Apa lagi?” Aku ingin agar Allah menyedarkan tuanku supaya bertaubat.” “Apa lagi?” Aku ingin agar Allah mengampuni dosaku, dosa tuanku, dosamu, dan dosa semua orang yang ada di rumah tuanku itu.” Manshur mendoakan hal itu. Si budak lalu pulang ke rumah tuannya. Ketika tuannya bertanya kepadanya kenapa dia lambat pulang, dia menceritakan apa yang telah dilakukannya dengan wang empat dirham tersebut. Tuannya bertanya, “Dan doa apa sajakah yang engkau minta?”
Si budak menjawab, “Saya minta didoakan agar dibebaskan dari perbudakan.”
Tuannya berkata, “Engkau aku bebaskan. Apa permintaanmu yag kedua?”
Si budak menjawab, “ Agar Allah memberiku ganti wang empat dirham itu”
Tuannya berkata, “Ini, kuberi kamu 4000 dirham. Lalu apa permintaanmu yang ketiga?”
Si budak menjawab, “Agar Allah menyedarkan tuan supaya bertaubat.”
“Aku bertaubat kepada Allah. Apa permintaan mu yang keempat?”
Si budak menjawab, “Agar Allah mengampunimu, aku, orang-orang yang ada di rumah ini, dan juga Manshur.”
“Ini adalah permintaan yang berada di luar kemampuanku untuk memenuhinya.”
Malam itu ketika tidur, tuan itu tadi terdengar satu suara yang mengatakan, “ Engkau telah melakukan apa yang berada dalam batas kemampuanmu. Apakah engkau mengira bahawa Aku tidak akan melakukan apa yang berada di dalam batas kemampuan-Ku? Ku ampuni dosamu, dosa budakmu, dosa Manshur, dan dosa semua orang yang berkumpul di dalam rumahmu.”
Dikatakan bahawa Rabah Al-Qaysi telah mengerjakan haji beberapa kali. Suatu ketika dia berdiri si bawah talang air dan berdoa, “Wahai Tuhanku, aku telah menghadiahkan sejumlah sekian dan sekian dari ibadah hajiku kepada Rasulullah saw, sepuluh ibadah haji bagi sepuluh orang sahabatnya, dua ibadah haji untuk kedua orang tuaku, dan sisanya untuk semua kaum Muslimin.” Dia menghadiahkan semua ibadah hajinya tanpa menyisakan satu pun untuk dirinya sendiri. Kemudian dia mendengar suara ghaib yang mengatakan, “Inilah orang yang menunjukkan kemurahan hatinya kepada Kami! Aku ampuni dosamu, dosa kedua orang tuamu, dan dosa semua orang yang memeluk Islam.
[Diceritakan oleh Abdul Wahhab bin Abdul Majid Al-Tsaqafi mengenai mimpinya tentang seorang pemuda fasik] “Aku adalah orang fasik yang kau kuburkan siang tadi. Tuhanku telah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku disebabkan hinaan orang-orang kepadaku.”
Dikatakan bahawa Allah mewahyukan kepada Daud as, “Katakakanlah kepada manusia bahawa Aku menciptakan mereka bukan suapaya Aku memperoleh manfaat dari mereka, tapi Ku-ciptakan mereka supaya mereka memperoleh keuntungan dari-Ku.”

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 8: (KHAUF)

TAKUT

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw telah mengatakan, “Barangsiapa yang menangis kerana takut kepada Allah SWT, nescaya tidak akan dimasukkan ke dalam neraka selama air susu masih mengalir dari seorang ibu. [Disamping itu], debu dari jalan Allah tidak akan pernah bercampur dengan asap api neraka pada batang hidung seorang hamba.”
Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah saw berkata, “Seandainya kamu semua tahu apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”
Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq menjelaskan, “Takut memiliki berbagai tahap, iaitu khauf khasy-yah dan haybah. Khasy-yah adalah salah satu keadaan pengetahuan lahir, manakala haybah adalah salah satu keadaan pengetahuan batin.
Abul Qasim Al-Hakim mencatat, “Ada dua jenis takut, iaitu gentar (rahbah) dan takut (khasy-yah). Orang yang merasa gentar mencari perlindungan dengan cara lari ketika dia takut, tetapi orang yang merasa takut (khasy-yah) akan berlindung kepada Allah.”
Jika seseorang melarikan diri (rahaba), maka dia ditarik kepada hasratnya sendiri, seperti halnya pada rahib (ruhban) yang mengikuti hasrat mereka sendiri. Tetapi jika kendali mereka adalah pengetahuan yang didasarkan pada kebenaran hukum, maka itu adalah takut (khasy-yah).
Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq berpendapat, “Takut adalah bahawa anda berhenti mengemukakan dalih dengan kata-kata ‘asaa (mudah-mudahan) dan saufa (‘akan’ atau ‘mungkin sekali akan’).
Ibn Al-Jalla menyatakan: “Manusia yang takut (kepada Tuhan) bukanlah dia yang menangis dan menghapus air matanya, tetapi dia yang merasa aman dari hal-hal yang menakutkan.” ( atau meninggalkan apa yang ditakutinya akan mendatangkan hukuman.)
//hanya orang yang takut sahaja dapat melihat orang yang takut – sepertimana hanya ibu yang kehilangan anaknya saja yang mahu memandang kepada ibu-ibu yang berkabung//
Yahya bin Muadz mengatakan, “Alangkah malangnya anak Adam. Seandainya dia takut kepada neraka sebesar rasa takutnya kepada kemiskinan, nescaya dia akan masuk syurga.”
Abul Qasim Al-Hakim menyatakan: “Orang yang takut kepada sesuatu akan lari darinya, tapi orang yang takut kepada Allah SWT akan lari kepada-Nya.”
Dzun Nun ditanya, “Bilakah jalan takut menjadi mudah bagi seorang hamba?” Dia menjawab, “Apabila dia mengibaratkan dirinya dalam keadaan sakit dan menghindari dari segala sesuatu yang dikhuatirkan akan membuat penyakitnya berpanjangan.”
Dzun Nun mengatakan, “Manusia akan tetap berada di jalan selama takut tidak tercabut dari hati mereka, sebab jika takut telah hilang dari hati mereka, maka mereka akan tersesat.”
Ali Ar-Razi Ibrahim bin Syaiban berpendapat, “Manakala takut menetap di hati, maka keinginan nafsu akan terbakar habis darinya dan hasrat akan dunia akan terusir.”
Abu Sulaiman Ad-Darani menyatakan, “Adalah perlu bahawa tidak sesuatu pun yang memperoleh menguasai hati selain takut, sebab jika harapan memperoleh penguasaan atas hati, maka hati akan rosak.”
Al-Husain bin Manshur menyatakan, “Barangsiapa yang takut akan sesuatu selain Allah SWT atau berharap akan sesuatu selain Dia, maka, semua pintu akan tertutup baginya dan rasa takut akan mendominasinya, manabiri hatinya dengan 70 tabir, yang paling tipis di antaranya adalah keraguan.”
Saya mendengar Manshur bin Khalaf membacakan kisah: “Ada dua orang yang saling menemani dalam mengerjakan ibadat. Kemudian salah seorang di antaranya pergi meninggalkan sahabatnya. Setelah berlalu waktu yang lama, tidak terdengar khabar berita mengenainya. Sahabat yang ditinggal pergi itu ikut berperang bersama tentera Muslim memerangi bala tentera Bizantium. Dalam pertempuran itu, seorang tentera musuh yang memakai baju besi menyerang tentera Muslim dan memegang senjatanya. Seorang satria Muslim maju ke depan dan tentera Bizantium itu membunuhnya. Kemudian maju lagi seorang tentera Muslim, dan dia juga terbunuh. Satria Muslim ketiga yang maju ke depan juga terbunuh. Kemudian majulah sang sufi ke depan dan keduanya bertempur. Topeng yang menutupi wajah tentera Bizantium terlepas, dan ternyata dia adalah sahabat sang sufi yang dulu telah menemaninya beribadah selama bertahun-tahun. Maka berserulah dia. “Apakah ini?” Musuhnya menjawab, “Aku telah murtad dan kahwin dengan seorang wanita dari kaum ini. Aku sudah punya anak-anak dan harta kekayaan.” Sang sufi berteriak, “Dan engkau adalah orang yang dahulu biasa membaca Al-Quran dengan berbagai gaya bacaannya!” Dia menjawab, “Satu huruf pun aku tidak ingat lagi daripadanya.’ Maka sang sufi lalu berkata kepadanya, “Berhentilah kamu dari kelakuanmu itu, dan bertaubatlah.” Dia menjawab dengan keras, “Aku tidak mahu, sebab aku telah beroleh kemasyuran dan kekayaan. Tinggalkan sahaja diriku, atau aku akan melakukan kepadamu apa yang telah kulakukan terhadap ketiga orang temanmu.” Sang sufi berkata, “Ketahuilah bahawa engkau telah membunuh 3 orang Muslim. Tidak ada malu yang akan menimpamu jika kau pergi saja dari sini. Kerana itu, pergilah dan aku akan memberimu tempoh waktu.’ Maka orang itu pun mundur ke belakang dan berbalik. Sang sufi mengikutinya dan membunuhnya dengan pedangnya. Setelah menempuh perjuangan dan disiplin spiritual yang begitu lama dan berat, orang itu mati sebagai orang Kristian.
Dikatakan, “Ketika terjadi apa yang terjadi pada Iblis, Jibril dan Mikail tiba-tiba menangis dengan lamanya, hingga Allah SWT berfirman kepada mereka, “Wahai kamu berdua, kenapa kamu menangis demikian?” Mereka menjawab, “Wahai Tuhan kami, kami tidak merasa aman dari pengawasan-Mu.” Allah SWT berfirman, “Tetaplah begitu, dan janganlah merasa aman dari pengawasan-Ku.”
Abu Hafs menuturkan, “Selama 40 tahun aku benar-benar yakin bahawa Allah SWT memandangku dengan murka dan semua amal perbuatanku membuktikan hal itu.”
Dikatakan, Hatim Al-Ashamm menegaskan, "Janganlah kamu tertipu oleh tempat-tempat yang saleh, sebab tidak ada tempat yang lebih saleh daripada syurga, dan fikirkanlah apa yang telah menimpa Adam di tempat yang begitu saleh! Jangan pula kamu tertipu oleh banyaknya amal ibadah; lihatlah apa yang menimpa Iblis setelah dia begitu banyak beribadah. Juga, janganlah kamu tertipu oleh banyaknya ilmu, sebab Bal'aam pun mengetahui al-ismul a'zham, tetapi lihatlah apa yang terjadi kepadanya!Jangan kamu tertipu kerana bertemu dengan seorang yang saleh, sebab tidak ada orang yang takdirnya lebih agung dari Al-Musthafa saw, namun berjumpa dengannya sama sekali tidak memberi manfaat kepada (sebahagian dari ) karib kerabat dan musuh-musuhnya."
Ketika bertemu dengan sahabat-sahabatnya pada suatu hari, Ibn Al-Mubarak melaporkan, “Aku begitu berani terhadap Allah SWT kelmarin. Aku meminta syurga.”
Dikatakan bahawa Isa as sedang bepergian, dan bersamanya ada seorang saleh dari Bani Israel. Seorang pendosa yang terkenal kerana kejelekan akhlaknya, mengikuti mereka. Duduk agak jauh dari mereka berdua, dia berseru kepada Allah SWT dengan penuh kerendahan hati, “Wahai Tuhanku, ampunilah aku!” Sedang si soleh berdoa, “Ya Allah, bebaskan aku dari orang berdosa yang mengikutiku ini, mulai besok pagi.” Maka Allah SWT pun mewahyukan kepada Isa as “Aku telah mengabulkan doa dua orang yang berdoa ini; telah Ku-usir orang saleh ini dari syurga dan telah Ku-ampuni si pendosa ini.”
Ahmad bin Hanbal berkata, “Aku memohon kepada Tuhanku SWT agar membukakan pintu takut. Dia membukanya, dan aku pun lalu mengkhuatirkan kawarasan fikiranku. Kerana itu aku berdoa, “Ya Allah, anugerahilah aku rasa takut setakat yang boleh ku-tanggung.” Maka, kesan yang menggoyahkan kewarasan akalku itupun lenyaplah.
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمۡ عَنِ ٱلۡمَضَاجِعِ يَدۡعُونَ رَبَّہُمۡ خَوۡفً۬ا وَطَمَعً۬ا وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ 
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. (As-Sajdah: 16)


إِنَّمَا ذَٲلِكُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ يُخَوِّفُ أَوۡلِيَآءَهُ ۥ فَلَا تَخَافُوهُمۡ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ


Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yangbertujuan menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. (Ali-Imran: 175)


وَقَالَ ٱللَّهُ لَا تَتَّخِذُوٓاْ إِلَـٰهَيۡنِ ٱثۡنَيۡنِ‌ۖ إِنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬‌ۖ فَإِيَّـٰىَ فَٱرۡهَبُونِ

Dan Allah berfirman: Janganlah kamu bertuhankan dua tuhan, kerana sesungguhnya Tuhan itu hanyalah Tuhan yang satu; maka kepada Akulah sahaja hendaknya kamu gerun gementar. (An-Nahl: 51)
وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ مُخۡتَلِفٌ أَلۡوَٲنُهُ ۥ كَذَٲلِكَۗ إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ 
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Fathir: 28)


لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ‌ۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِى شَىۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَٮٰةً۬‌ۗ وَيُحَذِّرُڪُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُ ۥ‌ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ 
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu) dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu) dan kepada Allah jualah tempat kembali. (Ali-Imran:28)

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 7: SAMT

DIAM

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi saw mengatakan, “Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah dia tidak mengganggu tetangganya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah dia menghormati tamunya. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir,hendaklah dia berkata baik atau diam.” Dan Abu Umamah, bahawasanya, Uqbah Ibn Amir bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah Islam itu?” Beliau menjawab, “Jagalah lidahmu, berpuaslah dengan rumahmu, dan menangislah untuk dosa-dosamu.”

Syeikh Abu Ali Al-Daqqaq menyatakan, “Barangsiapa yang menahan diri dari mengucapkan kebenaran, adalah syaitan yang bisu.”
وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُ ۥ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ 
وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِى نَفۡسِكَ تَضَرُّعً۬ا وَخِيفَةً۬ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ 
إِنَّ ٱلَّذِينَ عِندَ رَبِّكَ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِهِۦ وَيُسَبِّحُونَهُ ۥ وَلَهُ ۥ يَسۡجُدُونَ

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (204) Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. (205) Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya dan mereka pula bertasbih bagiNya dan kepadaNyalah jua mereka sujud. (Al-A'raf: 206)
وَإِذۡ صَرَفۡنَآ إِلَيۡكَ نَفَرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَلَمَّا حَضَرُوهُ قَالُوٓاْ أَنصِتُواْ‌ۖ فَلَمَّا قُضِىَ وَلَّوۡاْ إِلَىٰ قَوۡمِهِم مُّنذِرِينَ 



Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya! Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. [Al-Ahqaf :29]
يَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَتَّبِعُونَ ٱلدَّاعِىَ لَا عِوَجَ لَهُ ۥ‌ۖ وَخَشَعَتِ ٱلۡأَصۡوَاتُ لِلرَّحۡمَـٰنِ فَلَا تَسۡمَعُ إِلَّا هَمۡسً۬ا

Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat - Nya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan. [Ta-Ha:108]


Para sufi mengarang:
Kurenungkan apa yang akan kukatakan saat kita berpisah,
Dan terus-menerus kusempurnakan ucapan permohonan,
Tapi lalu aku melupakannya ketika kita berjumpa,
Dan, kalau toh aku bicara, kuucapkan kata-kata hampa.

Wahai Laila, betapa sangat perlunya aku,
Tapi ketika kudatang padamu, Laila, aku tidak tahu apa keperluanku.

Betapa banyak kata-kata yang ingin kucurahkan bagimu,
Hingga ketika ada kesempatan bertemu denganmu,
Aku dibuat lupa semua itu.

Kulihat bicara menghiasi orang muda,
Sedang diam adalah paling baik bagi dia yang menjadi tenang,
Kerananya, berapa banyak huruf yang membawa maut,
Dan betapa banyak pembicara yang ingin andai mereka dibungkam?


Ada dua jenis diam: diam lahir dan diam batin. Hati orang yang mempercayakan dirinya sepenuhnya kepada Tuhan adalah diam, tidak menuntut serana penghidupan apa pun. Hati seorang arif diam sewaktu berhadapan dengan jalan Ilahi melalui sifat keselarasan. Yang disebut terdahulu adalah tawakkal melalui akhlak yang baik, dan yang disebut terkemudian adalah merasa puas terhadap semua yang ditetapkan oleh-Nya.

Orang-orang yang bergelut dengan mujahadah lebih menyukai diam kerana mereka mengetahui bahaya yang terkandung dalam kata-kata. Mereka juga menyedari senangnya nafsu berbicara, mempamerkan sifat-sifat yang mengundang pujian manusia dan sangat ingin menjadi terkenal di kalangan sejawatnya kerana keindahan bicaranya.

Setiap kali Umar Ibn Abd Al-Azizi menulis sesuatu dan merasa senang dengan penyusunan kata dan kalimat yang dia lakukan, dia selalu mengoyak kertas yang dia pergunakan dan menggantikannya.

Bisyr Ibn Al-Harits mengajarkan, “Apabila berbicara menyenangkan anda, diamlah. Apabila diam menyenangkan anda, berbicaralah.”

Bakar Al-Farisi menyatakan, “Apabila tanah kelahiran seseorang hamba bukanlah diam, maka hamba tersebut akan berbicara berlebihan, meskipun dia tidak mempergunakan lidahnya. Diam tidak terbatas pada lidah, tetapi meliputi hati dan semua anggota badan.”

Muadz Ibn Jabal ra mengatakan, “Sedikitkanlah berbicara dengan manusia, dan perbanyakkanlah berbicara dengan Tuhan, mudah-mudahan hatimu akan (dapat) melihat-Nya.

Dzun Nun Al-Mishri ditanya, “Di antara manusia, siapakah pelindung yang paling baik bagi hatinya?” Dia menjawab, “Iaitu orang yang paling mampu menguasai lidahnya.”

Dikatakan Abu Bakar Ash-Siddiq ra biasa mengulum sebutir batu di mulutnya selama beberapa tahun dengan tujuan agar lebih sedikit berbicara.

Ibn As-Sammak menuturkan bahawa Syah Al-Kirmani dan Yahya Ibn Muadz berteman, dan mereka tinggal di kota yang sama, tetapi Syah tidak menghadiri kuliah Yahya. Ketika dia ditanya alasannya, dia menjawab, “Sudah sepatutnya begini.” Orang banyak terus mendesak hingga suatu hari Al-Kirmani datang ke majlis Yahya dan duduk di penjuru di mana Yahya tidak dapat melihatnya. Yahya pun mulai berbicara; namun tiba-tiba dia menjadi diam. Kemudian dia mengumumkan, “Ada orang yang boleh berbicara lebih baik dariku,” dan dia tidak mampu melanjutkan bicaranya. Maka Al-Kirmani lalu berkata, “Sudah saya katakan kepada anda semua lebih baik saya tidak datang ke majlis ini.”

Barangkali seseorang yang hadir tidak layak mendengar pembicaraan berkaitan, hingga Allah SWT mencegah lidah si pembicara demi ketenteraman dan perlindungan dari mendengar pembicaraan itu.

Para syeikh berkata, “Terkadang alasan diamnya seseorang adalah kerana ada jin yang hadir, yang tidak mahu mendengarnya. Majlis para sufi tidak pernah sepi dari kehadiran sekelompok jin.”

Syeikh Abu Ali Ad-Daqqaq menuturkan, “Saya jatuh sakit di Merv suatu ketika, dan saya ingin kembali ke Nisyapur. Saya bermimpi bahawa satu suara menyeru kepada saya, “Engkau tidak boleh meninggalkan kota ini. Ada sekelompok jin yang menghadiri majlis-majlismu dan mereka memperolehi manfaat dari ceramah-ceramah yang kau berikan. Demi mereka, tinggallah di tempatmu.”

Seorang sufi mengatakan, “Belajarlah diam sebagaimana kamu berlajar berbicara. Jika bicara dahulu menjadi pembimbingmu, maka diam akan menjadi pelindungmu.”

Diam bagi kaum awam adalah dengan lidahnya, diam bagi kaum arif adalah dengan hatinya, dan diam bagi kaum pecinta adalah menahan fikiran menyimpang yang datang dari hati sanubari mereka.

Fudhail bin Iyadh menyatakan, “Barangsiapa memperhitungkan kata-katanya sebagai termasuk dalam amalnya, maka kata-katanya akan menjadi sedikit dan hanya bersangkutan dengan urusannya sendiri saja.”

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 6: ZUHUD

ZUHUD

Diriwayatkan dari Abu Khallad, bahawa Nabi saw mengatakan, “Apabila kamu sekalian melihat seseorang yang telah dianugerahi zuhud berkenaan dunia dan ucapan, maka dekatilah dia, kerana dia dialiri kebijaksanaan.”

Sementara orang mengatakan, “Zuhud bersangkutan dengan hal-hal yang haram sahaja, sebab hal-hal yang halal diperbolehkan Tuhan. Apabila Tuhan memberikan berkah kepada hamba-hamba-Nya berupa harta yang halal, dan hamba itu sendiri bersyukur kepada Tuhan atas berkah itu, maka sikap zuhud berkenaan dengan harta seperti itu, menurut syariah-Nya, makruh.”

Sebahagian orang yang lain mengatakan, “ Zuhud terhadap hal-hal yang haram adalah suatu kewajiban, sementara zuhud terhadap hal-hal yang halal adalah suatu kebaikan. Apabila hamba yang berzuhud miskin, tetapi sabar terhadap keadaannya, bersyukur atas apa pun yang telah dianugerahkan Tuhan kepadanya, dan berpuas hati dengan apa yang telah Tuhan beri kepadanya, maka hal itu lebih baik berbanding berusaha mengumpul banyak kekayaan di dunia.

Allah menyeru manusia bersikap zuhud berkenaan dengan memiliki kekayaan, melalui firman-Nya, di dalam Surah An-Nisa, ayat 77
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ قِيلَ لَهُمۡ كُفُّوٓاْ أَيۡدِيَكُمۡ وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيۡہِمُ ٱلۡقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ۬ مِّنۡہُمۡ يَخۡشَوۡنَ ٱلنَّاسَ كَخَشۡيَةِ ٱللَّهِ أَوۡ أَشَدَّ خَشۡيَةً۬‌ۚ وَقَالُواْ رَبَّنَا لِمَ كَتَبۡتَ عَلَيۡنَا ٱلۡقِتَالَ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنَآ
إِلَىٰٓ أَجَلٍ۬ قَرِيبٍ۬‌ۗ قُلۡ مَتَـٰعُ ٱلدُّنۡيَا قَلِيلٌ۬ وَٱلۡأَخِرَةُ خَيۡرٌ۬ لِّمَنِ ٱتَّقَىٰ وَلَا تُظۡلَمُونَ فَتِيلاً 

Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan) dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)? Katakanlah (wahai Muhammad): Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap) dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun. (An-Nisa: 77)

Sebahagian orang lain mengatakan, “Apabila seorang hamba membelanjakan harta dalam kepatuhan, bersabar, dan tidak mengajukan keberatan kepada apa yang dilarang oleh syariah untuk dia lakukan dalam kesulitan hidup, maka adalah lebih baik baginya bersikap zuhud terhadap hal-hal yang dihalalkan.”

Sebahagian yang lain berpendapat, “Adalah tepat bagi seorang hamba memutuskan untuk tidak bersikap zuhud dengan sengaja terhadap hal-hal yang halal, tidak pula berusaha memenuhi keperluan-keperluan secara berlebihan, kerana menyedari rezeki yang diberikan oleh Allah. Apabila Allah SWT menentukan dia berada pada batas hidup sederhana, maka dia hendaknya tidak memaksakan diri mencari kemewahan, kerana kesabaran merupakan sesuatu paling utama bagi pemilik harta yang halal. Berkenaan dengan makna zuhud, para sufi mengatakan, “Masing-masing orang berbicara sesuai dengan zamannya masing-masing dan menunjukkan batas (yang ditetapkannya) sendiri.”

Sufyan Al-Tsawri menyatakan, “Zuhud terhadap dunia adalah mengurangi keinginan untuk memperoleh dunia, bukan memakan makanan kasar atau mengenakan jubah dari kain kasar.”

Sari As-Saqati menegaskan, “Allah SWT menjauhkan dunia dari dari ahli sufi-Nya, menjauhkannya dari makhluk-makhluk-Nya yang berhati suci, dan menjauhkannya dari hati mereka yang Dia cintai, lantaran Dia tidak memperuntukkannya bagi mereka.” – sesuai dengan firman-Nya dalam surah Al-Hadid, ayat 23.
لِّكَيۡلَا تَأۡسَوۡاْ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمۡ وَلَا تَفۡرَحُواْ بِمَآ ءَاتَٮٰڪُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالٍ۬ فَخُورٍ 


(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Al-Hadid: 23)


Yahya Ibn Muadz menyatakan, “Zuhud menyebabkan kedermawanan berkenaan dengan harta, dan cinta menghantarkan kepada semangat kederwanan.”

Ibn Al-Jalla berpendapat, “Zuhud adalah sikap anda memandang dunia ini hina, kerana dunia ini fana setelah itu, maka berpaling darinya akan menjadi mudah bagi anda.”

Ibnu Khafif mengatakan, “Petanda zuhud adalah adanya sikap tenang ketika berpisah dari harta milik.”

Al-Nasrabadzi menyatakan, “Seorang zahid adalah orang asing di dunia ini, dan seorang arif adalah orang asing di akhirat.”

Dikatakan, “Bagi orang yang benar-benar bersikap zuhud, dunia akan menyerahkan diri kepadanya dengan penuh kerendahan dan kehinaan.”

Junaid mengajarkan, “Zuhud adalah begini: Hati kosong dari sesuatu yang tangan tidak memilikinya.” Abu Sulaiman Ad-Darani menegaskan, “Pakaian bulu domba adalah salah satu tanda zuhud; oleh sebab itu, tidak layak bagi seorang zahid mengenakan pakaian beharga 3 dirham jika dia menginginkan wang sebanyak 5 dirham.”

Al-Mubarak berpendapat, “Zuhud adalah tawakkal kepada Allah SWT dipadu dengan kecintaan kepada kefakiran.” Si hamba tidak mampu merelakan dunia kecuali dengan tawakkal kepada Allah SWT.

Abd Al-Wahid Ibn Zahid mengatakan, “Zuhud adalah menjauhkan diri dari dinar dan dirham.” Abu Sulaiman Ad-Darani mengatakan, “Zuhud adalah menjauhkan diri dari apa pun yang memalingkan anda dari Allah SWT.”

As-Sari mengatakan, “Kehidupan orang zahid tidak akan baik apabila dia tidak peduli terhadap jiwanya, dan kehidupan seorang airf tidak akan baik apabila dia terlalu mementingkan jiwanya.

Al-Junaid mengatakan, “Zuhud adalah mengosongkan tangan dari harta dan mengosongkan hati dari keterpautan.”

Yahya Ibn Mu’adz menyatakan, “Orang baru akan mencapai zuhud yang sebenar-benarnya apabila dia memiliki sifat-sifat ini: berbuat tanpa disertai keterikatan, berbicara tanpa disertai nafsu, dan kemuliaan tanpa adanya kekuasaan ke atas orang lain.”

Abu Hafs mengatakan, “Tidak ada zuhud kecuali dalam hal-hal yang halal.”

Abu Utsman mengatakan, “Allah SWT memberi seorang zahid sesuatu lebih daripada yang dia inginkan, dan Dia memberikan sesuatu kepada hamba yang dicintai-Nya kurang dari yang dia inginkan, dan Dia memberi hamba yang takut sebanyak yang benar-benar diinginkan.”

Muhammad Ibn Al-Fadhl mengatakan, “Kedermawanan kaum pecinta adalah pada waktu mereka berkecukupan, dan kedermawanan kaum pembela adalah pada waktu yang sangat diperlukan.”

Seseorang bertanya kepada Yahya Ibn Mu’adz, “Bilakah saya akan memasuki kedai tawakkal, mengenakan jubah zuhud, dan duduk di dalam majlis bersama kaum pecinta?” Dia menjawab, “Ketika anda tiba pada suatu keadaan – dalam latihan untuk cinta secara diam-diam – yang di dalamnya apabila Tuhan menghentikan nafkah anda selama 3 hari, jiwa anda tidak melemah. Tetapi, apabila tujuan ini tidak tercapai, maka duduk di atas karpet kaum pecinta hanyalah kebodohan, dan saya tidak dapat menjamin bahawa anda tidak akan terhinakan di tengah-tengah mereka.”

Dikatakan, “Manakala seorang hamba menjauhkan diri dari dunia, maka Allah SWT mempercayakan dirinya kepada malaikat yang menanamkan kebijaksaan di dalam hatinya.”

Ahmad Ibn Hanbal memberikan penjelasan, “Ada 3 macam zuhud: bersumpah menjauhi hal yang haram adalah zuhud kaum awam, bersumpah menjauhi berlebihan dalam hal-hal yang halal adalah zuhud kaum terpilih, dan bersumpah menjauhi apa pun yang mengalihkan sang hamba dari Allah SWT adalah zuhud kaum arif.”

Al-Nasrabadzi berpendapat, “Zuhud memelihara darah kaum pecinta dan menumpahkan darah kaum arif.”

Hatim Al-Asamm berkata, “Kaum pecinta menghabiskan isi dompetnya sebelum dirinya, dan orang bertarekat menghabiskan dirinya sebelum isi dompetnya.”

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 5: WARAK

Diriwayatkan oleh Abu Dzarr, Rasulullah saw bersabda, “Sebahagian dari kebaikan tindakan seseorang mengamalkan Islam adalah bahawa dia menjauhi apa pun yang tidak bersangkut paut dengan dirinya.”
Ibrahim Ibn Adham memberikan penjelasan, “Warak adalah meninggalkan apa pun yang meragukan, dan meninggalkan apa pun yang tidak bersangkut paut dengan anda beerti meninggalkan apa pun yang berlebihan.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw mengatakan, “Bersikaplah warak, dan kamu akan menjadi orang yang paling taat beribadah di antara ummat manusia.”
As-Syibli berpendapat, “Warak adalah sikap menjauhi segala sesuatu selain Allah SWT.”
Abu Sulaiman Ad-Darani mengatakan, “Warak adalah titik tolak zuhud, sebagaimana sikap puas terhadap apa yang ada adalah sebahagian utama dari redha.”
Yahya Ibn Mu’adz menyatakan, “Warak adalah membatasi diri makna zahir ajaran agama, dan tidak berusaha mentafsirkannya.”
Abdullah Ibn Al-Jalla’ mengatakan, “Saya mengetahui seseorang yang tinggal di Makkah selama tiga puluh tahun dengan tidak minum air zam-zam kecuali air zam-zam yang dia peroleh dengan timba dan talinya sendiri, dan dia tidak makan makanan yang dibawa ke sana dari kota-kota lain.”
Ali Ibn Musa Al-Thahirati menyatakan, “Sekeping wang logam kecil milik Abdullah Ibn Marwan jatuh ke dalam sebuah telaga berisi kotoran, lalu dia meminta bantuan seseorang untuk mengambilnya dengan membayarnya tiga puluh dinar. Ketika seseorang bertanya kepadanya, dia memberikan penjelasan, “Nama Allah SWT tertera pada wang itu.”
Yahya Ibn Muadz menegaskan, “Ada dua jenis warak: warak dalam pengertian zahir iaitu sikap yang mengisyaratkan bahawa tidak ada satu tindakan pun selain kerana Allah SWT, dan warak dalam pengertian batin iaitu sikap yang mengisyaratkan bahawa tidak ada sesuatu pun yang memasuki hati anda kecuali Allah SWT.” Dia juga magatakan, “Orang yang tidak memeriksa dan memahami selok-belok warak tidak akan mendapat anugerah.”
Shufyan Al-Tsawri berpendapat, “Saya belum pernah melihat sesuatu yang mudah selain warak. Apa pun yang diinginkan oleh hawa nafsu anda, tinggalkanlah.”
Makruf Al-Karkhi mengajarkan, “Jagalah lidah anda dari pujian, persis sebagaimana anda menjaga lidah anda dari kritikan.”
Bisyr Ibn Al-Hariths mengatakan, “Hal-hal yang paling sulit untuk dilaksanakan adalah bersikap dermawan di masa-masa sulit, warak adalah ‘uzlah, dan menyampaikan kebenaran kepada seseorang yang kepadanya anda takut, dan menggantungkan harapan.”
Saudara perempuan Bisyr Al-Hafi mengunjungi Ahmad Ibn Hanbal dan memberitahukan kepadanya, “Kami sedang memintal di atas atap rumah kami, ketika obor kaum Thahiri berlalu dan cahayanya menyinari kami. Apakah diperbolehkan bagi kami memintal di dekat cahayanya?” Ahmad bertanya, “Siapakah anda?” Dia menjawab, “Saya adalah saudara perempuan Bisyr Al-Hafi.” Ahmad menangis, lalu berkata, “Warak yang dilandasi kesolehan muncul dari keluarga anda. Jangan memintal di dekat cahaya itu.”
Ketika Sahl Ibn Abdullah ditanya mengenai hal yang halal, dia menegaskan, “Sesuatu yang halal adalah sesuatu yang padanya tidak terkandung dosa terhadap Allah SWT dan kealpaan kepada-Nya.”
Sewaktu Hasan Al-Bishri memasuki Makkah, dia melihat salah seorang keturunan Ali Ibn Abi Talib ra bersandar ke Kaabah dan berceramah di hadapan sekumpulan orang. Hasan bergegas menghampirinya, lalu bertanya, “Apakah dasar agama?” Dia menjawab, “Warak.” Hasan bertanya lagi: “Apakah yang merosakkan agama?” Dia menjawab, “Keserakahan.”
Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa as, “Seseorang yang mendekati-Ku mampu memindahkan malam kepada-Ku hanya melalui warak dan zuhud.”
Sedikit minyak kesturi yang berasal dari rampasan perang dibawa ke hadapan Umar Ibn Abdul Aziz. Umar yang mencium baunya berkata, “Satu-satunya menfaatnya adalah bau harumnya, dan saya tidak ingin hanya saya sendiri yang menciumnya, sementara seluruh kaum Muslim tidak berbagi mencium baunya.”
Ketika ditanya tentang warak, Abu Utsman Al-Hiri menyatakan, “Abu Salih Hamdun berada bersama salah seorang sahabatnya yang sedang menjelang maut. Orang tersebut meninggal, dan Abu Salih memadamkan lampu. Seseorang bertanya kepadanya tentang hal ini, lalu dia mengatakan, “Sampai sekarang minyak yang di dalam lampu ini adalah minyaknya, tetapi sejak saat ini dan seterusnya minyak ini menjadi milik para ahli warisnya. Carilah minyak yang bukan miliknya.”
Kahmas melaporkan, “Saya meratapi – selama 40 tahun – satu perbuatan dosa yang telah saya lakukan. Salah seorang saudara saya mengunjungi saya, dan saya membeli sepotong ikan yang direbus untuknya. Ketika dia berhenti memakannya, saya mengambil sebongkah tanah dinding milik tetangga saya, supaya dia dapat membersihkan tangannya dengannya, dengan tidak meminta izin terlebih dahulu dari tetangga itu.”
Seseorang sedang menulis catatan sewaktu dia di sebuah rumah sewa, dan dia ingin mengeringkan tulisannya dengan debu yang dia peroleh dari dinding. Dia teringat bahawa rumah tersebut adalah sewa, tetapi dia berpendapat bahawa itu tidak penting. Oleh kerana itu, dia mengeringkan tulisan tersebut dengan debu. Kemudian, dia mendengar sebuah suara mengatakan: “Orang meremehkan debu akan melihat betapa lama perhitungan amalnya kelak.”
Ahmad Ibn Hanbal menggadaikan sebuah timba kepada seorang penjual bahan makanan di Makkah. Ketika dia ingin menebusnya, penjual bahan makanan tersebut mengeluarkan dua timba, sambil mengatakan, “Ambil timba kepunyaan anda.” Ahmad menjawab, “Saya ragu. Oleh kerana itu simpan saja baik kedua timba dan wang itu.” Penjual bahan makanan tersebut memberitahu dia. “Ini timba anda. Saya hanya ingin menguji anda.” Maka dia menyahut, “Saya tidak akan mengambilnya,” lalu pergi meninggalkan timba kepunyaannya pada penjual bahan makanan itu.
Ibn Al-Mubarak membiarkan kudanya yang mahal berkeliaran dengn bebas ketika dia sedang melakukan solat zuhur. Kuda tersebut merumput di ladang milik ketua kampung. Oleh kerana itu, Ibn Al-Mubarak meninggalkan kuda tersebut dengan tidak mengenderainya.
Rabiah Al-Adawiyah menjahit bajunya yang koyak di dekat lampu sultan, tiba-tiba dia terkejut dan lalu sedar. Maka, Rabi’ah mengoyak pakaiannya dan dia menemukan hatinya.
Hasan Ibn Abi Sinan tidak tidur terlentang atau makan makanan berlemak atau minum air dingin selama 60 tahun. Seseorang bermimpi bertemu dengannya, lalu bertanya kepadanya tentang apa yang telah Tuhan lakukan atas dirinya. Dia menjelaskan,“Dia telah berlaku baik, kecuali bahawa pintu Firdaus ditutup bagiku disebabkan oleh sebuah jarum yang aku pinjam dan tidak pernah aku kembalikan.”
Abd Al-Wahid Ibn Zahid mempunyai seorang pembantu rumah tangga yang bekerja dengannya selama bertahun-tahun dan beribadah secara kusyuk selama 40 tahun. Sebelumnya dia adalah seorang penimbang gandum. Da ketika dia meninggal, seseorang bermimpi bertemu dengannya. Ditanya tentang apa yang telah Tuhan lakukan atas dirinya, dia menyatakan, “Dia telah memperlakukan saya dengan baik, kecuali bahawa saya dihalangi memasuki pintu Firdaus disebabkan oleh debu pada timbangan gandum yang dengannya saya menimbang empat puluh bahagian gandum.”
Sewaktu Isa putra Maryam as melewati sebuah makam, seseorang berteriak dari dalam kuburan. Allah SWT menghidupkannya kembali, dan Isa bertanya kepadanya siapakah dia. Dia menjawab, “Saya adalah seorang pembuat seramik, dan pada suatu hari sewaktu saya menghantarkan kayu bakar untuk seseorang, saya mematahkan sepohon kayu kecil. Sejak saya meninggal, saya dianggap bertanggungjawab atas hal itu.”
Abu Said Al-Kharraz sedang berbicara tentang warak, ketika Abbas Ibn Al-Muhtadi berlalu dihadapannya. Dia bertanya, “Wahai Abu Said, apakah anda tidak mempunyai malu? Anda duduk di bawah atap Abu Al-Dawaniq, minum dari penampungan air Zubaidah, dan melaksanakan jualbeli dengan riba, tetapi berbicara tentang warak!

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 4: TAKUT KEPADA TUHAN

TAQWA

Diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri, bahawa seseorang menghadap Nabi saw dan berkata, “Wahai Rasulullah, bimbinglah saya.” Beliau menjawab, “Semoga anda mempunyai ketakwaan kepada Allah, kerana ketakwaan adalah kumpulan seluruh hal yang baik. Semoga anda dapat melaksanakan jihad, kerana jihad adalah kerahiban kaum muslimin. Dan mudah-mudahan anda sibuk mengingat Allah, kerana zikir adalah cahaya bagi anda.”
Al-Kattani mengatakan, “Dunia dibagi secara adil sesuai dengan penderitaan yang dideritai dan kehidupan akhirat dibagi secara adil sesuai dengan takwa.”
Al-Jurairi mengatakan, “Orang yang belum menjadikan takwa dan kesedaran sebagai hakim, antara dirinya dan Tuhan tidak akan memperoleh makrifat dan kemanisannya.”
Al-Nasrabadzi menjelaskan, “Takwa adalah bahawa si hamba waspada terhadap segala sesuatu selain Allah SWT.” Sahl mengatakan, “Siapa pun menginginkan takwa yang sempurna, hendaklah menghindari setiap dosa.”
Seseorang menegaskan, “Tuhan menjadikan berpaling dari dunia mudah bagi orang yang benar-benar bertakwa. “ Abu Abdullah Al-Rudzbari mengatakan, “Takwa adalah menghindarkan diri dari segala sesuatu yang menjadikan anda jauh dari Tuhan.”
Abul Hasan Al-Farisi menyatakan, “Takwa mempunyai aspek luar dan aspek dalam. Aspek luarnya adalah perlaksanaan syariat dan aspek dalamnya adalah niat dan mujahadah.”
Dikatakan, “Takwa itu ditandai oleh tiga sikap yang baik: tawakkal terhadap apa yang belum dianugerahkan, berpuas hati dengan apa yang telah dianugerahkan, dan bersabar dalam menghadapi milik yang hilang.”
Talq Ibn Habib menjelaskan, “Takwa adalah bertindak sesuai dengan ketundukan kepada Tuhan melalui petunjuk-Nya, dan pada saat yang sama takut kepada hukuman-Nya.”
Pada suatu hari, Abu Yazid Al-Bustami membeli kunyit jingga di Hamadhan. Dia menjumpai hanya sedikit kunyit jingga, dan ketika dia kembali ke Bistham, dia menemukan dua ekor semut pada kunyit itu. Maka, dia kembali ke Hamadhan dan melepaskan kedua semut itu.
Abu Hanifah tidak pernah mahu berteduh di bawah kerindangan pohon milik orang yang berhutang kepadanya. Dia menjelaskan, “Sebuah hadith menyatakan, ‘Setiap hutang yang pengembaliannya disertai kelebihan adalah riba’.
Abu Yazid sedang mencuci jubahnya di luar kota bersama seorang sahabatnya, ketika sahabatnya berkata, “Jemurlah jubah anda dipagar dinding kebun buah itu”. Abu Yazid menjawab, “Jangan menancapkan paku di dinding orang.” Sahabatnya menyarankan, “Jemurlah di atas pohon.” Abu Yazid menjawab, “Saya khuatir ia akan menyebabkan cabang-cabangnya patah.” Dia berkata, “Bentangkanlah ia di atas rerumput.” Abu Yazid menjawab, “Rerumput itu makanan haiwan ternak. Jangan kita menutupnya dengan jubah ini.” Selanjutnya, dia menghadapkan punggungnya sehingga satu sisi jubahnya yang menghadap matahari menjadi kering, lalu dia menghadapkan sisi yang lain ke matahari sehingga kering.
Pada suatu hari Abu Yazid memasuki masjid dan manancapkan tongkatnya ke tanah. Tongkat itu jatuh dan menimpa tongkat seseorang yang berusia lanjut, yang juga menacapkannya di tanah, dan menyebabkan tongkat orang tua tersebut jatuh. Orang tua itu membongkok, lalu mengambil tongkatnya. Abu Yazid pergi ke rumah orang tua tersebut dan meminta maaf kepadanya, dengan mengatakan, “Anda tentu merasa terganggu disebabkan kelalaian saya, ketika anda terpaksa membongkok.”
Utbah Al-Ghulam tampak bercucuran keringat di musim dingin. Ketika orang-orang di sekitarnya menanyakan hal itu kepadanya, dia memberikan penjelasan, “Ini adalah tempat di mana saya telah memberontak kepada Tuhan saya.” Ketika diminta memberikan penjelasan lebih lanjut, dia mengatakan, “Saya mengambil sebongkah tanah dari dinding ini, supaya tamu saya dapat membersihkan tangan dengannya,tetapi saya tidak meminta izin terlebih dahulu kepada pemilik dinding ini.”
Dikatakan bahawa takwa mempunyai bermacam-macam aspek; takwa bagi kaum awam adalah menghindari syirik, bagi kaum terpilih menghindari dosa, bagi ahli sufi menghindari pergantungan kepada amal, dan bagi para nabi menghindari menisbatkan amal kepada selain Tuhan, demi Dia.
Amir Al-Mukminin Ali ra menyatakan, “Kaum yang paling mulia di antara seluruh ummat manusia di dunia adalah kaum dermawan, dan yang paling mulia di akhirat adalah kaum yang bertakwa.”
Diriwayatkan oleh Abu Umamah, bahawa Nabi saw menegaskan, “Apabila seseorang melihat kecantikan seorang wanita dan kemudian menundukkan matanya setelah tatapan pertama, maka Tuhan menjadikan tindakannya itu suatu ibadah yang rasa manisnya dirasakan oleh hati orang yang melakukannya.”
Al-Junaid sedang duduk-duduk bersama Ruwaym, Al-Jurairi dan Ibn Atha’. Al-Junaid mengatakan: “Seseorang hanya boleh selamat apabila berlindung secara ikhlas kepada Allah.”
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ 
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujraat: 13)
وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا لَعِبٌ۬ وَلَهۡوٌ۬‌ۖ وَلَلدَّارُ ٱلۡأَخِرَةُ خَيۡرٌ۬ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ‌ۗ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ 
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An'am: 32)
وَيُنَجِّى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ بِمَفَازَتِهِمۡ لَا يَمَسُّهُمُ ٱلسُّوٓءُ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ


Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk dan tidak akan berdukacita. (Az-Zumar: 61)

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 3 : MENGASINGKAN DIRI

UZLAH

Diriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Nabi saw mengatakan, “Di antara cara-cara terbaik bagi manusia dalam mencari penghidupan adalah: mengenderai kuda di jalan Allah (dalam perang jihad) dan apabila dia mendengar suara manusia-manusia yang panik atau ketakutan, dia memacu kudanya mencari mati syahid atau kemenangan di medan jihad; atau seseorang yang menggembalakan biri-biri dan kambing-kambingnya di puncak gunung atau di dalam lembah dan mendirikan solat, membayarkan zakat, dan beribadah kepada Tuhan sampai maut menjemputnya. Seluruh urusannya dengan sesama manusia didasarkan pada kebaikan.”
Sikap seorang hamba yang layak ketika dia memutuskan untuk memisahkan diri dari manusia adalah meyakini bahawa masyarakat akan terhindar dari kejahatannya, bukan bahawa dia akan terhindar dari kejahatan mereka.
Seorang melihat seorang rahib dan berkata kepadanya, “Anda seorang rahib.” Dia menjawab, “Bukan. Saya adalah anjing penjaga. Jiwa saya adalah seekor anjing yang menyerang umat manusia. Saya telah menjauhkannya dari mereka supaya mereka aman.”
Sesungguhnya, “Uzlah adalah menjauhi sifat-sifat yang tercela dan bertujuan mengubah sifat-sifat tersebut, bukan untuk mencipta jarak yang sejauh-jauhnya dari sesuatu tempat. Itulah sebabnya mengapa lahir pertanyaan, “Siapakah orang ‘arif itu?”. Mereka menjawab, “Orang yang dekat, dan pada saat yang sama, dia adalah orang yang jauh.” Ertinya, bersama dengan sesama manusia secara lahiriah, dan berada jauh dari mereka secara batiniah.
Syeikh Abu Ali Al-Daqqaq memberikan anjuran demikian, “Pakailah bersama sesama manusia apa yang mereka pakai, dan makanlah apa yang mereka makan. Tetapi terpisahlah secara batiniah.”
“Seseorang datang kepada saya dan berkata, “Saya datang dari tempat yang sangat jauh berkunjung kepada anda.” Selanjutnya saya mengatakan, “Masalah ini (yakni mendapatkan pengetahuan tentang Tuhan), tidak bersangkut paut dengan jauhnya jarak yang ditempuh. Berpisahlah dari diri anda sendiri dalam satu langkah sahaja, dan anda pasti mencapai tujuan anda.”
Yahya mengkhabarkan bahawa Abu Yazid mengatakan, “Saya melihat Tuhan dalam mimpi saya, lalu saya bertanya, “Bagaimana aku hendak bertemu dengan Mu?” Tuhan menjawab, “Tinggalkan dirimu dan datanglah.”
Yahya bin Muaz berkata, “Fikirkanlah apakah keakraban anda adalah dengan khalwat ataukah dengan Dia dalam khalwat. Apabila keakraban anda dengan khalwat, maka khalwat akan lenyap ketika anda keluar darinya. Apabila keakraban anda adalah dengan Dia dalam khalwat, maka di mana pun akan sama saja bagi anda, apakah di gurun pasir atau di padang rumput.”
Sahl mengatakan, “Khalwat baru sempurna dengan memakan makanan halal, dan memakan makanan halal baru sempurnadengan membayarkan zakat, yang adalah hak Tuhan.”
Dzun Nun Al-Mishri mengatakan, “Saya tidak menemukan satu hal pun yang lebih baik yang dapat melahirkan keikhlasan selain ‘uzlah.”
Abu Abdullah Al-Ramli menyatakan, “Gantikanlah kesertaan anda dengan orang lain menjadi sepi, makanan anda menjadi lapar, dan ucapan anda menjadi munajat. Maka anda akan mati atau mencapai Allah SWT.”
Dzun Nun Al-Mishri menyatakan, “Orang yang menyembunyikan dirinya dari sesama manusia melalui khalwat tidaklah seperti orang yang menyembunyikan dirinya dari sesamanya melalui Tuhan.”
Syuib Ibn Harb menyatakan, “Saya berangkat menemui Malik Ibn Mas’ud di Kufah, dan dia sendirian di dalam rumahnya. Saya bertanya, ‘Apakah anda tidak merasa sepi dan takut sendirian?” Dia menjawab, “Saya tidak menganggap bahawa seseorang yang bersama Tuhan adalah kesepian.”
Berkata Syuib Ibn Harb, “Wahai sahabatku! Sesungguhnya ibadah tidaklah kekal (istiqamah) dengan bergabung dengan yang lain. Orang yang belum akrab dengan Tuhan tidak akan menjadi akrab dengan apa pun.”
Seseorang ditanya, “Hal mengagumkan apakah yang telah anda temukan dalam perjalanan anda?” Dia menjawab, “Khidir as menjumpai saya dan dia ingin menyertai saya. Saya khuatir dia mengganggu pergantungan saya kepada Tuhan.”
Seseorang bertanya kepada Dzun Nun Al-Mishri, “Bila uzlah tepat bagi saya?” Dia menjawab, “Ketika anda sanggup memisahkan diri anda dari diri anda sendiri.”
Apabila Tuhan hendak memindahkan hamba-Nya dari kehinaan kekafikaran menuju kemuliaan ketaatan, Dia menjadikannya intim dengan bersendirian, kaya dalam kesederhaan, dan mampu melihat kekurangan dirinya. Barangsiapa telah dianugerahi semua ini beerti telah mendapatkan yang terbaik dari dunia dan akhirat.

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 2: BERDAYA UPAYA (MUJAHADAH)

MUJAHADAH

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ 


Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Al-Ankabut: 69)
Diriwayatkan dari Abu Said Al-Khudri, dari Rasulullah saw, “Jihad yang terbaik adalah perkataan yang adil yang disampaikan kepada seorang penguasa yang zalim”
Abu Uthsman Al-Maghribi menyatakan, “Adalah kesalahan besar bagi seseorang membayangkan bahawa dia akan mencapai sesuatu dijalan-Nya atau bahawa sesuatu di jalan-Nya akan tersingkap baginya tanpa berjihad”
Al-Hassan Al-Qazzaz menjelaskan, “Masalah ini (kerohanian) didasarkan pada 3 hal; anda makan hanya ketika hal itu diperlukan, anda tidur hanya ketika mengantuk, dan anda berbicara hanya dalam hal-hal yang mengharuskan anda berbicara”
Jihad pada dasarnya adalah mencegah jiwa dari kebiasaan-kebiasaannya dan memaksanya menentang hawa nafsunya sepanjang waktu. Jiwa mempunyai dua sifat yang menghalanginya dalam mencapai kebaikan: berlarutan dalam memuja hawa nafsunya dan menolak kepada kepatuhan. Manakalan jiwa, seperti seekor kuda, cenderung kepada hawa nafsu, maka hendaklah mengendalikannya dengan kesolehan.
Selama bertahun-tahun seorang syeikh melakukan solat pada saf terdepan jemaah dalam masjid yang sering dikunjunginya. Pada suatu hari, sesuatu menghalanginya dari tiba di masjid pada awal waktu. Dia terpaksa menempati saf paling belakang. Sesudah itu dia tidak hadir lagi ke masjid untuk jangka waktu tertentu. Ketika ditanya kepadanya mengapa dia tidak hadir, dia menjawab, “Saya selalu melakukan solat di saf hadapan dan saya merasakan selama setahun ini saya ikhlas dalam melakukannya untuk mencari redha Allah SWT. Tetapi pada hari saya terlambat, saya merasa malu dilihat orang lain melakukan solat dibahagian belakang masjid. Dari hal ini, saya mengetahui bahawa semangat saya hingga saat itu dalam melakukan solat tidak lain, hanyalah riya’.
Dikhabarkan bahawa Abu Muhammad Al-Murta’isy mengatakan, “Saya berangkat haji dengan berjalan kaki dan tidak membawa bekal. Pada suatu ketika saya menyedari bahawa saya telah dikotori oleh rasa senang saya dalam melakukannya. Ini saya sedari pada suatu hari saat ibu saya meminta saya mengangkat setabung air untuknya. Jiwa saya merasakan hal ini sebagai beban berat. Saat itulah saya mengetahui bahawa apa yang saya sangka merupakan kepatuhan kepada Tuhan dalam haji saya tidak lain hanyalah kesenangan saya, yang datang dari kelemahan dalam jiwa saya, kerana apabila jiwa saya murni, nescaya saya tidak akan mendapati tugas saya sebagai sesuatu yang mengganggu saya.”
Pada suatu ketika seorang wanita lanjut usia ditanya mengenai keadaannya. Dia menjawab, “Ketika saya muda, saya mempunyai semangat dan mengalami berbagai keadaan. Saya berfikir bahawa keadaan-keadaan itu berasal dari kekuatan sejati keadaan kerohanian saya. Ketika saya menjadi tua, keadaan-keadaan ini melemah. Kini saya mengetahui bahawa yang saya sangka keadaan-keadaan kerohanian tidak lain hanyalah semangat remaja. “
Dzun Nun Al-Mishri menyatakan, “Penghormatan yang Allah berkenan memberikan kepada seorang hamba adalah menunjukkan kehinaan dirinya kepadanya; penghinaan yang Allah kurniakan kepada seorang hamba adalah menyembunyikan kehinaan dirinya dari pengetahuan dirinya sendiri”
Muhammad Ibn Al-Fadhl mengatakan, “Istirah adalah kebebasan dari keinginan hawa nafsu.”
Al-Nasrabadzi mengatakan, “Penjara adalah jiwa anda. Apabila anda melepaskan diri darinya, nescaya anda akan sampai kepada kedamaian.”
Abul Husain Al-Warraq menyatakan, “Ketika kami mulai menempuh jalan-Nya iaitu jalan sufi di Masjid Abu Utsman Al-Hiri, amalan terbaik yang kami lakukan adalah bahawa kami diberi zakat, kami memberikannya dengan rela kepada orang lain; kami tidak pernah tidur dengan menyimpan sesuatu tanpa disedekahkan; kami tidak pernah menuntut balas kepada seseorang yang menyinggung hati kami dan kami selalu memafkan tindakannya dan bersikap rendah hati kepadanya; dan jika kami memandang hina seseorang dalam hati kami, maka kami akan mewajibkan diri kami untuk melayaninya sampai perasaan memandang hina itu lenyap.”
Abu Hafs mengatakan, “Jiwa (nafs) keadaannya adalah gelap gelita. Pelita jiwa adalah rahsianya. Cahaya pelita ini adalah terhasil dalam berjihad. Orang yang tidak dianugerahi keberhasilan dalam berjihad oleh Tuhan, maka dalam rahsianya, seluruh dirinya adalah kegelapan”
Abu Hafs memaksudkan bahawa rahsia seorang hamba adalah apa yang ada di antara dirinya dan Allah SWT. Itu adalah tempat keikhlasannya. Dengannya si hamba tersebut mengetahui bahawa semua peristiwa adalah ciptaan Tuhan; peristiwa-peristiwa bukanlah ciptaan dirinya, tidak pula berasal darinya. Bila dia mengetahui hal ini, dia akan bebas dalam setiap keadaannya, dari kekuatan dan kekuasaannya sendiri. Selanjutnya, dengan cahaya keberhasilan dalam berjihad, dia bakal terlindungi dari kejahatan-kejahatan jiwanya. Orang yang tidak berhasil dalam berjihad tidak akan memperoleh manfaat dari pengetahuan tentang jiwanya atau tentang Tuhan.
Abu Utsman menyatakan, “Selama seorang melihat sesuatu yang baik dalam jiwanya, dia tidak akan mampu melihat kelemahan-kelemahannya. Hanya orang yang berani mendakwa dirinya terus-menerus selalu berbuat salahlah yang akan sanggup melihat kesalahannya itu.”
As-Sari berpendapat , “Waspadalah terhadap orang yang suka berjiran dengan orang kaya, pembaca-pembaca al-Quran yang sering mengunjungi pasar, dan ulama-ulama yang medekati penguasa.”