Mualaf Dan Permasalahan Mereka Di Dalam Dunia Islam
Assalamualaikum wbh,
Berikutan artikel “Islam, Muslim dan Mualaf” yang lepas, penulis tlah memberikan sebab-sebab mengapa gejala murtad semakin berleluasa, dan juga masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan non-Muslim dalam mempertimbangkan untuk memeluk agama Islam atau kekal di dalam agama mereka. Sehubungan dengan artikel tersebut, penulis telah ditanya berkenaan masalah-masalah yang selalunya dihadapi oleh golongan mualaf, yang rata-ratanya kekal menjadi masalah sehingga kini.
Di antara masalah-masalah tersebut ialah:-
Pertama, penekanan ilmu dan ajaran agama yang salah diberikan keutamaan, terutamanya apabila kita terlalu mementingkan perkara-perkara fekah, seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, golongan yang masih baru memeluk agama Islam masih tidak mempunyai keimanan yang kukuh. Hati mereka masih lagi bergoyah di atas Islam, dan mereka masih lagi tidak dapat menerimanya secara total. Ini merupakan saat-saat kritikal bagi mereka, di mana jiwa mereka boleh bertukar langkah pada bila-bila masa. Pengukuhan yang komprehensif dan kukuh sangat-sangat mereka perlukan di sini, dan di antara perkara-perkara yang menjadi keutamaan di saat ini adalah
i) Ta’liful qulub, iaitu memberikan mereka sebahagian dari duit bayaran zakat masyarakat Islam kepada mereka. Ini merupakan perkara yang sangat penting, namun tidak berapa dipandang berat masakini. Ta’liful qulub merupakan sunnah baginda saw, dan wang ringgit diberikan kepada saudara baru, bagi memudahkan mereka mengukuhkan hati mereka kepada agama baru mereka. Kerana itulah kita dapati antara golongan yang berhak mendapat zakat ialah saudara baru. Seperti mana dengan beberapa perkara lain, hal ini kita telah pelajari di bangku sekolah, cuma sahaja kesedaran berkenaan kepentingannya harus kita berikan perhatian yang lebih.
ii) Mengajarkan intipati dan perkara-perkara asas di dalam aqidah Islamiyah kepada mereka, memastikan kefahaman mereka, menonjolkan kelebihan aqidah Islam berbanding agama lama mereka, dan mendahulukan silibus aqidah lebih dari mana-mana pelajaran yang lain di dalam Islam. Apabila menyebut aqidah, yang penulis maksudkan ialah rukun iman, dan yang dimaksudkan dengan rukun iman bukan sahaja sekadar membilang rukun yang enam, tetapi:-
a) Iman kepada Allah : Keesaan Allah dan kuasaNya yang mutlak, nama-nama dan sifat-sifat Allah yang Mulia, perkara-perkara yang Allah suka, perkara-perkara yang Allah benci, syirik dan bentuk-bentuknya seperti syirik sifat, syirik cinta, syirik tasarruf, syirik hulul dan sebagainya, bagaimana mengejar cinta Allah, rahmat iman dan Islam, sifat Pengasih Allah, keadilan Allah, rahmat Allah di dalam bentuk wahyu kepada manusia sekalian zaman, perkara-perkara yang menjadi kunci kepada dua kalimah syahadah, perbezaan antara ilah dan tuhan, menujukan segala amal ibadah hanya kepada Allah, dan sebagainya.
b) Iman kepada malaikat : Tugas-tugas para malaikat yang telah diberikan Allah, hubungan malaikat dengan manusia, hakikat kejadian malaikat, sifat para malaikat, amal ibadah para malaikat, sifat solat para malaikat, penciptaan malaikat yang sentiasa bersama dengan manusia, Jibrail as dan tugasnya serta perdampingannya yang akrab dengan Rasulullah saw, dan sebagainya.
c) Iman kepada kitab : hakikat Taurat dan fungsinya kepada Bani Israil, dan penyimpangan Bani Israil daripada kitab Allah, nama-nama Taurat dan sifat Taurat yang ada di dalam Al-Quran, hukum-hakam Taurat, Injil dan hakikatnya kepada Bani Israil dan juga masyarakat Kristian, penyelewengan Injil, siapa dia ahli kitab, ahli kitab dan kedudukan mereka di dalam Islam, hakikat Al-Quran, mengapa Al-Quran dikatakan sebagai mukjizat dan rahmat Allah kepada kita, pendekatan Al-Quran yang komprehensif, mukjizat sains di dalam Al-Quran, kehebatan Al-Quran di dalam berbahasa, kesan-kesan positif daripada membaca dan memahami Al-Quran, Al-Quran sebagai penenang jiwa dan penghibur hati, kaedah Allah memelihara Al-Quran dari zaman Nabi saw sehingga kini, mengapa Al-Quran perlu dipatuhi, adab dengan Al-Quran dan sebagainya.
d) Iman kepada nabi dan rasul : tugas para rasul di atas muka bumi, pembasmian syirik oleh rasul pertama, kelebihan para rasul berbanding manusia lain, rasul-rasul di dalam Al-Quran dan pengorbanan mereka, ujian kepada para rasul, rasul ulul azmi, hubungan rasul dengan Allah, kisah Nabi Muhammad saw terutamanya yang menyentuh hati, sirah baginda saw, kehidupan baginda saw yang sederhana, kewibawaan baginda saw sebagai seorang ayah, suami, jeneral dan sebagainya, sunnah baginda saw, kelebihan sunnah baginda saw, mengapa baginda perlu dicintai melebihi ibubapa sendiri, pengorbanan baginda saw, beban berat baginda di dalam menyampaikan risalah Allah, dan sebagainya.
e) Iman kepada hari kiamat : tanda-tanda akan berlakunya kiamat sepertimana di dalam Al-Quran dan hadis, tanda-tanda kecil, tanda-tanda besar, fitnah Dajjal, penurunan Nabi Isa as, Yakjuj dan Makjuj, kehidupan manusia sebelum menjelangnya hari kiamat, ketakukan di hari kiamat, susun atur hari kebangkitan, kebangkitan manusia dari kubur dengan pelbagai keadaan, perhimpunan di padang mahsyar dan penantian doa rasul akhir zaman, penghakiman di hadapan Allah, golongan awal, kanan dan kiri, telaga Nabi saw, siratul mustakim, perhimpunan ahli syurga di hadapan pintu syurga, kemaafan ahli syurga, perbezaan ahli tauhid, ahli syirik dan juga ahli tauhid yang berdosa besar, kehidupan ahli syurga dan ahli neraka, syafaat Nabi Muhammad saw, perbezaan syafaat baginda saw dengan syafaat rasul yang lain, penyaksian Muhammad saw terhadap ibadah kita, dan lain-lain.
f) Iman kepada takdir : perbezaan antara takdir yang mutlak dan pilihan yang bebas di antara manusia, qada’ dan qadar dan hubungannya dengan usaha manusia, pilihan antara syurga dan neraka, hasil kekuatan usaha dan doa terhadap takdir manusia, takdir baik dan buruk dan cara menunjukkan iman kepadanya, dan lain-lain.
iii) Mengajarkan mereka perbandingan yang nyata antara Islam dan agama-agama yang lain, seperti Buddha, Hindu dan Kristian. Ini kerana dengan perbandingan yang rata dan jelas, kelebihan Islam itu akan tampak lebih menonjol. Untuk itu bagi pandangan penulis, pendakwah tidak boleh tidak mengetahui ilmu perbandingan agama, rujukan yang selalu dijadikan hujah yang kuat oleh agama-agama lain dan cara mengatasinya. Disarankan juga agar pendakwah menyatakan hal-hal kekeliruan yang ada di dalam diri mualaf berkenaan agama mereka, dan demonstrasikan bagaimana Islam telah menjawab kesemua permasalahan aqidah secara muktamad, lojik dan total.
iv) Menjauhi dari membincangkan perkara-perkara sensitif yang memungkinkan mereka untuk menjauhi Islam, seperti kedudukan ibubapa dan ahli keluarga mereka yang tidak Islam, soal hukum memotong tangan di dalam Islam, memancung kepala, poligami bagi mualaf wanita, ‘jawi’ dan sebagainya. Bukan penulis katakan bahawa hukum-hukum ini hukum Islam yang tidak sesuai – subhanallah – Cuma sahaja penulis merasakan sekarang masih belum masanya lagi untuk mereka cuba mendengar dan menerima perkara-perkara ini. Tambahan pula, perkara-perkara sebegini memerlukan kemahiran pendakwah yang benar-benar tahu selok-belok perkara-perkara ini, dan mampu memberikan hujah-hujah yang kukuh dan baik, dan bukan semua pendakwah mempunyai kekuatan sedemikian.
v) Mengajarkan mereka perkara fekah satu persatu, dan tidak menerapkan kesemuanya sekaligus. Ajarkan secara beransur-ansur, dan ajarkan perkara yang baru hanya setelah mereka mampu mengamalkan suatu perkara dengan baik, lancer dan tidak membebankan iman mereka yang masih rapuh.
Masalah yang kedua, mereka selalunya keliru dengan tunjuk ajar masyarakat kita. Ini kerana suatu perkara yang penulis benar-benar memandang harus diberi perhatian, ialah sifat ego masyarakat kita di hadapan mereka yang baru memeluk Islam. Sikap ‘aku lebih dahulu masuk Islam’ ini, membuatkan mereka memberikan tunjuk ajar yang salah kepada saudara baru kita, yang mana mereka sendiri kadang kala tidak mempelajarinya dengan cara akademik. Mereka cuma mewarisinya secara turun-temurun, tanpa ada sandaran yang sahih. Akibatnya, lain orang dan lain tempat, maka lainlah ajarannya, dan selalunya kekeliruan yang timbul ini membuatkan saudara baru mengambil langkah senang, ‘baik aku terus je macam dulu. Islam banyak sangat pendapat, pening kepala’. Tambah pula sebagaimana yang penulis nyatakan di atas, kerap kali ‘permasalahan’ dan kekeliruan ini melibatkan hal-hal fekah yang ranting.
Ketiga, kurangnya ‘follow up’ dari Muslim selepas saudara mereka memeluk Islam. Tidak semestinya kita perlu pergi ke rumah mualaf setiap minggu, namun cukup sekadar bersahabat dengan mereka, sentiasa menanyakan khabar mereka, dan bersedia sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan dan kekeliruan. Baik juga andai kita selalu mengajarkan mereka untuk mengaji contohnya, kerana itu akan merapatkan kita dengan mereka, dan membuka pintu bagi mereka untuk tidak segan bertanya sekiranya perlu.
Keempat dan terakhir yang dapat penulis fikirkan, ialah rasa sunyi yang mereka tanggung apabila memeluk Islam. Merupakan cerita biasa andaikata kita mendengar mereka yang memeluk Islam dilarang pulang ke rumah ibubapa, saudara mara mereka tidak lagi rapat dengan mereka, mereka selalu dimarahi dan dicaci maki oleh sahabat handai, dan berbagai lagi isolasi social yang mereka alami, dan ini bukan merupakan masa yang selesa bagi mereka. Tambahan pula, gaya hidup mereka yang dahulu juga sudah berubah. Jikalau dahulunya mereka kaki kelab malam, kaki botol, memakan babi, seks bebas dan sebagainya, kesemua itu mereka harus tinggalkan dengan serta-merta. Perubahan yang drastik ini selalunya merupakan masa yang sukar bagi mereka. Bimbingan kita sebagai Muslim amat penting bagi mereka mencapai ketenangan di dalam keimanan kepada aqidah Islam yang suci, dan juga di dalam mendengar dan mempelajari ayat-ayat Allah, yang merupakan sebab utama mengapa begitu ramai masyarakat jahiliyah pada zaman Rasulullah saw dahulu memeluk Islam. Semoga mereka dapat menemui ketenangan di dalam perkara-perkara sebegini, dan mengenal pasti bahawa itulah ketenangan yang hakiki dan mententeramkan jiwa mereka dari melepaskan nafsu pada tempat yang haram.
Pada kesimpulannya, mualaf memerlukan banyak bantuan dan sokongan moral dari kita. Perubahan di dalam hidup mereka ini merupakan perubahan yang terbesar dan drastik, dan bila-bila masa sahaja mereka boleh membuat keputusan untuk berpatah balik. Tambahan lagi tekanan dari kaum keluarga, kesemuanya akan lebih menyukarkan mereka. Dalam masa yang sama, kita perlu ingat bahawa aqidah yang murni dan mantap merupakan perkara yang paling penting bagi mereka, dan itulah ajaran yang perlu diberikan keutamaan kepada mereka.
Ya Allah…bukakan pintu hati umat Muhammad ini kepada iman dan Islam, dan tetapkan hati mereka di atas Islam.
Ya Allah…bukakan pintu hati saudara seislamku untuk mencari ilmu, dan menambahkan kekuatan aqidah mereka. Perlihatkan mereka kekukuhan aqidah yang sejati, dan gerakkan hati mereka untuk mencari dan menyintainya.
Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan akhir zaman, Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan sahabat handai baginda semuanya, yang diredhai Allah untuk nikmat syurga dan melihat wajahNya.
Ya Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan