Assalamualaikum wbh,
Tidak berapa lama dahulu, penulis telah berkesempatan untuk mengajar seorang lelaki berbangsa Cina yang telah memeluk agama Islam. Walaupun pembelajaran itu tidak lama kerana penulis perlu menyambung pelajaran, sempat juga penulis terfikir tentang faktor-faktor mengapa ada Cina dan juga India yang memeluk Islam, dan yang lebih penting lagi, mengapa masih ramai di antara mereka yang masih kekal dengan agama mereka? Baru-baru ini penulis terlintas dengan artikel yang menyatakan perihal cara para pendakyah Kristian mencari orang untuk diKristiankan. Ada yang melalui duit, ada yang melalui bertemu dengan masyarakat asli di dalam hutan, malahan ada juga yang mengambil anak-anak mangsa tsunami untuk dibesarkan dengan ajaran Kristian. Namun secara amnya, cara yang selalu mereka gunakan adalah tidak lain dan tidak bukan dengan wang ringgit. Ini kerana sememangnya diketahui umum bahawa pihak Vatican City sangat menyumbang di dalam gerakan Kristianisasi secara aktif.
Teringat penulis sewaktu mempelajari matapelajaran “Methods of Da’wah” semasa university dahulu, di mana pensyarah penulis me nceritakan bagaimana mudahnya pendakyah Kristian mendapat bantuan kewangan dari pihak Vatican. Dengan syarat mereka mesti mempunyai sasaran berapa ramaikah orang yang akan mereka Kristiankan. Andaikata sasaran mereka tercapai, maka semakin mudahlah hidup mereka dilimpahi wang ringgit. Selalunya pendakyah Kristian akan mengambil kesempatan di atas kesusahan hidup seorang Muslim, dan menggunakan wang ringgit untuk memerangkap mereka.
Di sinilah, insyaAllah, penulis akan garapkan beberapa sebab yang penulis perhatikan mengapa kian ramai para Muslim yang bertukar kepada agama Kristian. Malahan penulis juga akan membawakan sebab-sebab utama yang dipandang penulis mengapa mereka kurang cenderung untuk memasuki agama Islam.
1) Sebab-sebab mengapa semakin ramai Muslim yang murtad.
i) Pertama dan penting sekali, adalah kerana tiadanya pengajaran dan pembelajaran yang lengkap dan terperinci mengenai aqidah Islam. Penulis ulangi, bukan kurang pengajaran, tetapi TIADA pengajaran. Pada amnya mungkin tampak agak kasar bagi penulis untuk mengeluarkan kenyataan sebegini, namun jika kita lihat secara teliti, ianya benar sekali. Cuba perhatikan aqidah Islam yang di ajarkan di sekolah-sekolah kini, samada sekolah menengah ataupun rendah. Mereka diajarkan tentang sifat 20, contohnya ‘Allah Maha Pengasih’, lalu ditanya kenapa Maha Pengasih? “Kerana Dia menurunkan hujan bagi kita”. Begitulah seterusnya. Jikalau kita bandingkan dengan hakikat sebenar aqidah Islam yang sepatutnya mereka pelajari, seperti hakikat dua kalimah syahadah, makna tauhid, kepentingan tauhid, kedudukan para nabi dan rasul di sisi Allah, tafsir ayat-ayat Makkiyah, kedudukan ahli kitab di dalam Islam, sembelihan ahli Kitab, penyelewengan ahli kitab di dalam agama mereka, kelemahan aqidah ahli kitab, qada dan qadar menurut sunnah nabi, syurga, neraka dan susunan peristiwa hari akhirat, dan juga contoh tahap keimanan dan kesalihan para sahabat baginda saw, nescaya tidak sebegitu mudah anak-anak kita terpedaya dengan tipu daya Kristian. Penulis sangat-sangat menyarankan agar para pendakwah yang selalu muncul di kaca TV, apabila mereka berkata “Jadi tuan-tuan dan puan-puan, untuk menyelesaikan masalah ini, perlulah kita berbalik kepada Quran dan Sunnah”, agar mereka nyatakan intipati-intipati aqidah Islam secara terperinci. Dengan demikian, para pendengar akan boleh menyemak sendiri ilmu mereka, samada apa yang disebut itu sudah mereka ketahui atau belum. Maaf penulis nyatakan di sini, tetapi ungkapan ‘berbalik kepada Quran Sunnah’ itu penulis pandang perlu diperincikan lagi kepada orang ramai, kerana ungkapan itu terlalu luas, dan juga tidak tergolong di dalam kategori ‘operational solution’, atau dengan kata lain, penyelesaian kepada sesuatu masalah yang boleh dipraktikkan secara terus.
ii) Apabila kurangnya ilmu aqidah yang nyata-nyata penting, malahan lebih penting dari ilmu fekah seperti solat, puasa dan membaca Al-Quran, maka dasar ilmu masyarakat kita akan terbina di atas keraguan, dan juga tanggapan lemah bahawa jika seseorang itu sudah pandai solat dan membaca Quran, maka dia sudah pasti akan selamat dari dakyah Kristian. Kerana itulah kita selalu baca di dalam akhbar-akhbar apabila ibu dan ayah kepada anak yang murtad ditemubual, mereka akan berkata, “Mak cik hairan betul. Padahal Milah tu pandai baca Quran, pandai solat. Macam mana dia boleh murtad?”. Apa yang merisaukan, adalah kerana tanggapan Islam=solat, baca Quran ini bukan sahaja bertapak di dalam diri si ibu bapa, malahan di dalam diri si murtad itu sendiri! Apabila dihujahkan dengan hujah-hujah dakyah Kristian yang bersangkutan dengan soal aqidah, nyata-nyata mereka tidak mempunyai hujah dan benteng yang mampu menyelamatkan aqidah mereka. Perlu kita ingati bahawa ‘soft spot’ masyarakat kita ini, sangat diketahui oleh orang-orang Kristian kini. Inilah yang kita takuti sekarang, dan inilah merupakan antara pendorong yang kuat bagi kita untuk tingkatkan ilmu dan menyeru orang ramai kepada kembali mencari dan mengukuhkan iman mereka.
iii) Displin Kristian yang sangat longgar, memudahkan mendapat pengampunan Allah Cuma melalui pengampunan manusia (paderi), dan juga kebebasan untuk melakukan hamper apa sahaja, Cuma dengan syarat bahawa kita mempercayai pengorbanan Nabi Isa as di atas salib, untuk menebus segala dosa-dosa kita. Tiada solat 5 waktu, tiada puasa selama sebulan, tiada zakat, tiada haji yang wajib. Doa sekalipun hanya sambil menyanyi pada hari Ahad, itu sahaja. Malahan intipati ajaran Kristian tidak meliputi kesemua sudut dan aspek kehidupan, sebagaimana yang kita nikmati di dalam Islam.
iv) Rujukan kepada mereka yang bukan ahlinya, atau mereka yang tidak menguasai bidang perbandingan agama dengan baik, atau paling kurangpun, asasnya, dan mereka yang dirujuk ini cuma memberikan jawapan-jawapan yang tidak meleraikan kekusutan si penyoal, malahan menambahkan lagi kekeliruan mereka. Seorang pensyarah penulis pernah memasang rakaman-rakaman pengakuan mereka yang murtad, khususnya dari golongan orang-orang melayu. Tiga daripada lima pengakuan tersebut, menyebut tentang bagaimana mereka keliru dengan sesetengah perkara di dalam Islam dan Kristian, dan mereka merujuk kepada guru agama mereka. Apabila guru agama mereka gagal menjawab soalan mereka, malahan marah kepada mereka dan berkata, “Jangan kamu hampiri lagi hal-hal Kristian ni. Bahaya! Jangan fikirkan langsung!”, maka mereka pun bertanya kepada paderi Kristian, dan dari situlah segalanya bermula. “Jika guru agama yang belajar bidang agama tidak ada jawapannya, ertinya Islam memang tiada jawapannya!”. Ada juga seorang dari mereka yang bermimpi bertemu dengan kononnya Nabi Isa as, dan keesokan harinya pergi bertanya kepada paderi apakah ertinya mimpi tersebut! Padahal jika kita lihat kepada gambar lukisan Nabi Isa as mengikut tempat ianya dilukis, nescaya kita dapat lihat bagaimana pengaruh bangsa keturunan tempat ianya dilukis memainkan peranan. Contohnya jika gambar tersebut dilukis oleh pelukis Afrika, Nabi Isa as mempunyai kulit yang gelap dan rambut hitam kerinting. Jikalau ianya lukisan pelukis Eropah, Nabi Isa as akan mempunyai rambut perang, mata biru dan kulit putih terang. Dengan kata lainnya, tiada siapa yang tahu bagaimana rupa sebenar Isa as!
v) Contoh yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam masakini yang bukan merupakan contoh yang baik. Kes-kes yang memalukan umat Islam, seperti jenayah rompak, ragut, mat rempit, rogol, bunuh, murtad, pakaian yang tidak senonoh, pengaruh budaya Barat yang semakin menular di dalam diri anak-anak kita, kes-kes penceraian terutamanya yang melibatkan poligami, kesemuanya memberikan gambaran kepada semua bahawa dakwaan Islam itu cara hidup yang lengkap adalah salah. Daripada kesemua sebab-sebab yang penulis nyatakan di sini, ini merupakan sebab yang paling memalukan kita sebagai orang Islam, dan pada masa yang sama menyedihkan kita. Penulis juga teringat suatu ketika dahulu, ketika kerajaan Singapura mengharamkan lessen judi dan kasino, pemimpin mereka dengan megah berkata, “Jika (rakyat Singapura) ingin berjudi, maka pergilah ke Genting Highland (Pahang, Malaysia) dan juga Indonesia”, yang mana kedua-dua negara ini adalah negara Islam.
Adapun sebab-sebab utama mengapa golongan non-muslim agak jarang untuk memasuki agama Islam, adalah:-
i) Salah faham bahaya agama itu adalah budaya, dan budaya itu adalah agama. Dengan erti kata lain, masuk Islam bererti ‘masuk’ melayu. Masuk Islam bererti tiada lagi sambutan Tahun Baru Cina, tiada lagi pakaian tradisional cina, tidak boleh lagi makan masakan ibu di rumah, malahan mereka diwajibkan agar berjawi pada minggu pertama mereka memeluk Islam. Makanan yang menjadi kegemaran mereka sebelum ini juga tidak lagi boleh dimakan. Apa yang merunsingkan juga, adalah ‘Islam=budaya’ ini tidak hanya tertakluk kepada budaya melayu, malahan juga budaya Arab. Masuk Islam, terutamanya bagi kaum wanita bererti mereka tidak lagi boleh bersukaria bersama rakan-rakan seperti sebelumnya, dan mereka dituntun untuk hanya duduk di rumah, menjaga anak dan menguruskan hal-hal rumah sahaja. Jikalau keluar rumahpun hanya untuk bekerja atau membeli barang-barang keperluan rumah sahaja.
ii) Sebagaimana yang penulis nyatakan di atas tadi, contoh yang ditunjukkan oleh Muslim masakini bukanlah contoh yang baik. Mengapa mereka perlu memeluk agama Islam, hanya untuk menjadi sama seperti Muslim yang ada masakini?
iii) Kekeliruan yang mendalam terhadap agama Islam, dan ini disebabkan kita, Muslim sendiri yang begitu ‘misteri’ dan sukar mendedahkan selok-belok agama kita kepada non-Muslim. Apabila kita menyebut perkataan ‘Islam’ kepada mereka, apa yang mereka terbayang di fikiran mereka hanyalah solat, puasa, hari raya dan juga mungkin haji. Tidak mereka ketahui tentang zakat, falsafah di sebalik solat, tauhid, keistimewaan agama Islam berbanding agama lain, jauh sekali mereka mendengar kisah-kisah para rasul contohnya, terutama sekali kisah Nabi Muhammad saw. Apa yang mereka tahu tentang Nabi Muhammad saw, hanya sekadar setahun sekali umat Islam akan menyambut hari kelahiran baginda saw dengan berarak dan mengadakan ceramah-ceramah berkenaan sirah Nabi saw. Ini tidak diambil kira lagi dengan hukum-hakam Islam yang sering mereka dengari tetapi takut untuk menghadapinya, seperti hudud, pengharaman riba, pengharaman babi dan arak, poligami, hukum kisas dan juga ta’zir. Kata orang tak kenal maka tak cinta, dan tambah penulis, tak faham maka pasti akan takut.
iv) Aktiviti umat Islam sendiri yang masih tidak aktif di dalam gerakan untuk membuka hati non-muslim kepada Islam. Benar sekali gerakan-gerakan secara kecil-kecilan sudah ada, namun jika kita bandingkan dengan besarnya gerakan Kristianisasi, nescaya kita pasti akan dapati segala usaha kita masih belum mencukupi. Rata-ratanya kita hanya menunggu seorang non-Muslim untuk dating kepada kita dan menunjukkan minat terhadap Islam, barulah aka nada segelintir dari kita yang akan bertindak mengambil kesempatan yang ada.
v) Kurangnya ‘follow-up’ setelah mereka memeluk Islam, dan ini juga merupakan suatu masalah yang penulis pandang harus diberi perhatian. Ini kerana jiwa orang yang baru sahaja memeluk Islam masih lagi belum kukuh, maka segala tunjuk ajar dan gerak-geri kita di dalam mendidik mereka haruslah dilakukan dengan penuh cermat. Jikalau boleh, hal-hal yang sensitif seperti kedudukan kaum keluarga mereka akhirat kelak dan juga apa hukumnya jikalau mereka kembali murtad. Mulakan dengan hal-hal ketauhidan terlebih dahulu, sehingga jiwa mereka teguh dengannya, dan kemudian barulah dimulakan dengan perkara-perkara ranting atau “furu’”.
Begitulah sahaja yang dapat penulis coretkan pada kali ini, mudah-mudahan ada manfaatnya, dan mudah-mudahan ianya sedikit sebanyak dapat memberikan sedikit inspirasi kepada para pembaca, justeru mendorong kita semua untuk sama-sama menambahkan ilmu kita.
Ya Allah…bukakanlah hati mereka yang selama ini tertutup kepada Islam, terutamanya mereka yang mampu memperkuatkan agamaMu ini.
Ya Allah…limpahilah bumi tercinta ini dengan nikmat iman, dan bantulah kami dalam menjadi hamba yang lebih kepadaMu, hingga kami sama-sama mencapai nikmat yang terbesar di dalam melihat WajahMu kelak.
Ya Allah…leraikanlah kekeliruan yang ada di dalam diri kami tentang syariatMu. Perkukuhkanlah hati kami di dalam beriman dengannya, dan rahmatilah kami setelah kami beramal dengannya. Tiada sebarang undang-undang yang lebih baik dari syariatMu, dan izinkanlah kami semua untuk menyedarinya dengan lebih mendalam.
Amin, wassalam.
Ya Allah…sudahkah aku sampaikan risalahMu…?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan