Ahad, April 18

Layakkah Aku Memohon Untuk Ke Syurga...?

Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurgaMu,
Namun tak pula, aku sanggup ke nerakaMu…

Begitulah serangkap dari syair yang dinasabkan kepada Al-Imam Syafi’e rahimahullah, walaupun pada hakikatnya syair tersebut adalah nukilan Al-Imam Ghazali rahimahullah. Syair ini kerap kali kita dengari di album-album nasyid dari kumpulan-kumpulan yang terkenal. Begitu juga syair ini mengingatkan penulis tentang idea bahawa ibadah tidak boleh kita niatkan untuk beroleh tiket ke syurga, kerana kita tidak layak ke syurga di atas dosa-dosa kita.

Penulis teringat ketika khutbah Hari Raya Aidiladha 2004, di sebuah masjid rumah anak yatim di Selangor, di mana khatib membawakan kisah ahli ‘abid wanita yang terkenal, Rabi’atul Adawiyah. Di dalam kisah tersebut, Rabi’ah dikatakan berbincang dengan ulama’ ‘alim yang sangat terkenal, Sufyan Ath-Thauri dan Abdul Rahman Al-Auza’i. Tanya Rabi’ah kepada Sufyan, “Mengapa engkau beribadah kepada Allah?”, jawab Sufyan, “Kerana aku mengharapkan ganjaran kebaikan dariNya”. Balas Rabi’ah, “Engkau tidak ubah seperti seorang peniaga dengan Tuhanmu, beribadah kerana mahupun kebaikan kepada diri sendiri”. Tanya Rabi’ah kepada Abdul Rahman pula, “Mengapa engkau beribadah kepada TuhanMu?”, jawab Abdul Rahman, “Kerana aku takutkan azab seksaNya”. Jawab Rabi’ah, “Engkau tidak ubah seperti seorang hamba, beribadah kerana takut”. Lalu tanya mereka kepada Rabi’ah, “Lalu mengapa engkau beribadah kepada Allah?”, jawab Rabi’ah, “Aku beribadah kerana cintakan Allah”.

Pada dasarnya, memang kisah tersebut tampaknya lojik bagi akal. Namun sedarkah kita bahawa terdapat hadis sahih dari Rasulullah saw yang berbunyi, “Mintalah kamu akan Tuhan syurga (untuk dimasukkan ke dalamnya)?”. Juga begitu banyak hadis dalam bentuk doa yang berbunyi “Ya Allah ya tuhanku, jauhkanlah aku dari seksa api neraka”..?

Pada hakikatnya, niat ibadah kita kepada Allah boleh sekali dating dengan pelbagai sebab, malahan sebab-sebab yang banyak itu merupakan motivasi yang lebih kepada kita untuk beribadah. Di tiga ayat permulaan surah al-Fatihah:-

i) Alhamdulillahi rabbil ‘alamiin (Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam)

Kata Al-Imam Nawawi rahimahullah, ayat ini mengandungi unsur kesyukuran, kerana perkataan alhamdulillah itu digunakan di dalam hal-hal kesyukuran kepada Allah. Oleh itu, ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa sebab yang utama dan nombor satu kita ibadah kepada Allah, adalah bagi menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah swt atas segala perkara yang telah Dia kurniakan. Di dalam hadis Aisyah ra, ketika beliau melihat Rasulullah saw kuat bertahajjud, tanya Aisyah “Mengapa saya melihat tuan sangat kuat beribadah, sehingga bengkak-bengkak kaki tuan, sedangkan tuan sudahpun dijamin syurga?”. Balas baginda saw, “Wahai Aisyah, tidakkah kau mahu aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”. Maka kata ahli hadis, syukur merupakan sebab yang paling tinggi dan utama yang memotivasikan kita agar beribadah kepada Allah. Imam Nawawi menamakan ibadah ini sebagai ibadatul harir (ibadah orang merdeka, kerana orang merdeka selalu memanjatkan kesyukuran di atas kebebasan yang mereka nikmati).

ii) Ar-Rahmanir rahim (Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang)

Ayat ini mengandungi unsur mengharapkan belas kasihan Allah dan mengharapkan rahmat dan nikmatnya. Ini kerana di sini kita menyebut nama Allah sebagai Yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Oleh itu, mengharapkan nikmat dan rahmat Allah juga merupakan penggerak bagi kita beribadah kepada Allah swt. Imam Nawawi menamakan ibadah ini sebagai ibadatul tujjar (ibadah peniaga, kerana peniaga selalunya berusaha untuk beroleh keuntungan, atau di dalam kes ini, ibadah kerana rahmat Allah).

iii) Maaliki yaumiddiin (Yang Memiliki Hari Pembalasan)

Ayat ini membawa unsur ketakutan kita kepada Allah. Ini kerana ayat ini menyebut tentang sifat Allah yang paling menonjol dan megah sekali, iaitu Dialah satunya-satunya yang memiliki hari pembalasan, dan di hari inilah sifat Allah Yang Memiliki paling menonjol dan megah. Ini kerana firman Allah, “Pada hari itu (Hari Akhirat) tidak memiliki seorang diri itu orang yang lain dari dirinya suatu apapun. Dan segala urusan pada hari tersebut hanyalah bagi Allah”. Pada hari yang setiap makhluk akan sibuk dengan urusan dirinya sendiri, dan dia tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan menyerahkan segala urusan mereka kepada Yang satu-satuNya berkuasa untuk berbuat apa sahaja yang Dia mahu, samada memberikan nikmat kepada sesiapa yang dikehendakiNya, ataupun menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya, tanpa Dia memerlukan sebarang sebab untuk berbuat demikian.

Penulis pernah terlintas ayat di dalam Al-Quran, ketika Allah memberikan hujah tentang kenabian Isa as, dan bahawa dirinya Esa tidak mempunyai seorang anakpun, firman Allah “Katakan kepada mereka (hai Muhammad), ‘apakah yang menghalang Allah jika Dia berkehendak untuk menghancur musnahkan Isa dan ibunya’?”. Nabi Isa as merupakan kekasih Allah swt, Rasulullah, bahkan salah seorang dari rasul ulul ‘azmi, namun andai Allah berkehendak untuk menyeksa Isa as, serta ibunya, adakah Allah memerlukan alasan untuk berbuat demikian? Adakah salah bagi Allah jika Dia berbuat demikian? Tidak sama sekali! Begitulah mutlaknya kuasa Allah, betapa kuasaNya sedikitpun tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Tidakkah patut kita takut kepadaNya? Tidakkah wajar kita berasa takut?

Maka Imam Nawawi menamakan bentuk ibadah ini sebagai ibadatul ‘abiid (ibadah hamba, kerana hamba selalu berasa takut andai dihukum oleh tuannya).

Tambahan lagi, di dalam surah Aj-Sajaadah, firman Allah swt, “Jauh rusuk mereka dari tempat tidur mereka (gambaran Allah bagi orang yang bertahajjud) mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan yang penuh takut dan penuh mengharap”. Kata Al-Imam Ibnu Katsir, “takut dengan makna takut kepada azab Allah swt, dan harap kerana mengharapkan nikmat dan pertolongan Allah swt”.

Maka demikianlah, sumber motivasi kita untuk beribadah kepada Allah sebagaimana yang dipetik dari Al-Quran dan sunnah Nabi saw yang sahih. Amatlah penting bagi kita untuk menyemak amalan kita, kerana amalan yang bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan sunnah yang sahih merupakan amalan yang disukai Allah swt. Diingatkan juga bahawa amalan itu, bukan hanya di dalam bentuk solat dan puasa, malahan amalan itu terbahagi kepada tiga bentuk, hasil dari tiga bentuk yang kita dapati dari definisi Iman, iaitu:-

i) iman itu kepercayaan dengan hati, maka ibadah bagi kita menunjukkan keimanan kita dari definisi ini ialah ibadah hati, atau kita kenali sebagai I’tiqad. Kepercayaan dalam bentuk aqidah, dan yang utamanya, tauhid, merupakan contoh ibadah hati.

ii) iman itu ucapan dengan lidah, maka ibadah juga datang di dalam bentuk lisan. Bacaan Al-Quran, zikir, dan juga ucapan dan perkataan yang baik yang keluar dari mulut seorang Muslim juga merupakan ibadah yang baik. Bercakap tentang ucapan yang baik, teringat penulis tentang sepotong ayat Al-Quran yang berbunyi, “Kata-kata yang baik adalah lebih baik dari sedekah (samada dalam bentuk masa, wang ringgit atau budi baik) yang disusuli dengan gangguan (kepada saudaramu, di dalam bentuk kata-kata yang menyakitkan hati)”. Dengan kata lainnya, sekadar kita mengucapkan kata-kata yang baik dan tidak menyakitkan hati saudara seIslam kita, adalah lebih baik daripada kita menumbangkan dan mensedekahkan wang ringgit kita, atau masa kita, atau budi baik kita dalam bentuk tenaga dan pengorbanan, kemudian kita susuli dengan kata-kata yang mengguris perasaan saudara kita. Ini merupakan pesanan Al-Quran yang penulis rasakan baik untuk kita renungi dan jadikan pengajaran.

iii) iman itu amalan dengan anggota badan, maka ibadah yang ketiga ialah ibadah jasad, atau zikir di dalam bentuk amal perbuatan. Ini merupakan tingkatan amalan yang paling tinggi dan mulia di sisi Allah swt. Bukan hanya solat dan puasa, tetapi juga mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, berlumba-lumba dalam amal kebaikan, bersegera di dalam meninggalkan larangan Allah swt, menggalakkan penghidupan Al-Quran di dalam rumah tangga, mengikuti, mempelajari dan menyintai sunnah nabi saw, taat dan patuh di dalam mendengarnya, semua itu adalah ibadah jasad yang sangat disukai Allah swt.


Demikian sahaja yang dapat penulis kongsikan di sini kali ini, insyaAllah di masa akan dating akan dimasukkan lagi tulisan dan pandangan penulis tentang perkara-perkara sebegini.

Selawat dan salam ke atas Muhammad saw, dan ahli keluarga baginda, dan sahabat baginda yang telah berkorban nyawa dalam membela agama ini di masa ia dating, dan sejahteralah bagi mereka yang kini membela agama ini, agar ianya kembali tampak cantik, kemas dan ilmiah sebagaimana datangnya ia ke atas junjungan Muhammad saw.

Wassalam.

Dan Allah Mengetahui Yang Sebaiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan