Assalamualaikum wbh.
Allah swt telah menurunkan kepada kita, umat Muhammad saw bimbingan yang jelas, cahaya dan petunjuk ke jalan kebenaran, iaitu kalamNya Al-Quranul Karim, terpelihara sebagaimana ketika ia diturunkan sejak 14 abad yang lalu, sehingga kini, dan seterusnya sehingga ke hari kiamat. Beribu-ribu manusia di seluruh dunia menghafal isi kandungan Al-Quran tanpa sebarang cacat cela, dan itu merupakan sebahagian dari kaedah yang Allah swt gunakan di dalam memelihara keaslian Al-Quran. Firman Allah swt, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan peringatan (iaitu Al-Quran) dan Kamilah yang memeliharanya”.
Bersama-sama dengan Al-Quran juga, Allah swt telah menurunkan bagi kita pentafsir Al-Quran, bagi menjelaskan kepada kita isi kandungan Al-Quran. Pesuruh Allah itu bernama Muhammad saw, kekasih kita, rinduan kita, contoh ikutan kita di dalam setiap perkara. Firman Allah swt, “Sungguh Kamilah yang menurunkan ke atas kamu (wahai manusia) ‘az-zikra’ bagi menjelaskan kepada mereka apa yang diturunkan ke atas mereka (iaitu Al-Quran)”, dan pengertian perkataan ‘az-zikra’ di sini, tidak lain dan tidak bukan ialah sunnah baginda saw.
Oleh itu, as-sunnah dikatakan sebagai syaarihul Quran, iaitu (pensyarah, atau penerangan bagi Al-Quran.
Kali ini, insyaAllah kita akan melihat, apakah yang dimaksudkan dengan penerangan bagi Al-Quran, dan apakah dia hubungan di antara Al-Quran dan As-Sunnah, beserta denagn contohnya, insyaAllah, bagi memudahkan kefahaman kita terhadap perkara ini, dan seterusnya memberikan kita gambaran akan betapa bernilainya sunnah nabi saw di dalam usaha kita memahami syariat Islam secara keseluruhan.
Hubungan Al-Quran dan As-Sunnah datang di dalam beberapa bentuk:-
1) As-Sunnah menafsirkan perkataan yang ada di dalam Al-Quran.
Sebagai contoh, di dalam ayat “Mereka yang beriman dan tidak mencampur-adukkan keimanan mereka dengan sebarang kezaliman” surah Al-An’aam, ayat 6. Ketika nabi saw membacakan ayat ini kepada para sahabat ra, mereka bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah di antara kami yang tidak pernah berlaku zalim kepada dirinya sendiri? (ertinya setiap dari kami pernah melakukan kesalahan, maka mana mungkin bagi kami untuk digolongkan di dalam golongan yang Allah sebutkan ini)”. Maka sabda Rasulullah saw menjawab pertanyaan tersebut, “Tidakkah kamu pernah mendengar kata-kata hamba Allah yang soleh (Luqman Al-Hakim) “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang nyata”? Sesungguhnya zalim di dalam ayat ini diertikan dengan syirik kepada Allah”.
Secara jelas kita saksikan di sini, bagaimana penerangan dari nabi saw (hadis) merupakan penjelasan bagi perkara yang tidak difahami sahabat ra (perkataan ‘zalim’ di ayat Al-Quran di atas).
2) As-Sunnah menerangkan dengan lebih lanjut perkara yang datang secara ringkas di dalam Al-Quran.
Sebagai contoh, Allah swt berfirman, “Dirikanlah solat”. Maka bagaimana hendak kita solat? Bagaimanakah cara solat? Apakah gerak-geri dan bacaan di dalam solat? Apakah dia waktu-waktu yang wajib didirikan solat?
Segala persoalan di atas dijawab oleh Nabi saw, seraya bersabda, “Solatlah kamu sebagaiman kamu melihat aku solat”. Maka segala gerakan di dalam solat, segala bentuk bacaan dan seluruh perbuatan di dalam solat kita dapati dari contoh yang ditunjukkan Rasulullah saw.
Maka dengan ini kita katakana bahawa sunnah Nabi saw memperincikan bagi kita apa yng datang secara ringkas di dalam Al-Quran.
3) As-Sunnah menunjukkan dengan tepat apa yang datang secara mutlak di dalam Al-Quran.
Contoh yang terbaik ialah di dalam hukum hudud, iaitu memotong tangan si pencuri. Allah swt berfirman, “Dan pencuri dari kalangan lelaki dan pencuri dari kalangan perempuan, maka potong tangan kedua-dua mereka”.
Secara jelas Allah swt telah mewajibkan bagi kita agar memotong tangan mereka yang disabitkan dengan kesalahan mencuri, namun dari paras tangan yang manakah perlu kita potong? Dari siku? Dari bahu? Atau dari jari-jemarinya?
Maka dengan sunnah Nabi saw, jelas bagi kita bahawa bahagian tangan yang perlu dipotong ialah pergelangan tangan si pencuri.
4) As-Sunnah menyokong dan menguatkan apa yang datang di dalam Al-Quran.
Sebagai contoh, Allah swt berfirman, “Dirikanlah solat”, dan juga “Telah diwajibkan ke atas kamu amalan berpuasa”, dan juga “Dan keluarkanlah zakat”.
Maka hadis datang menguatkan lagi pernyataan-pernyataan ini dengan sabda baginda saw “Dibina Islam di atas lima perkara: Mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, memberikan zakat, berpuasa dan mengerjakan haji bagi yang mampu”.
5) As-Sunnah mengkhususkan apa yang datang secara am di dalam Al-Quran.
Sebagai contoh, Allah swt berfirman, “Maka apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarlah kamu akannya, dan hendaklah kamu diam”. Iaitu wajib bagi kita untuk diam apabila didendangkan bacaan Al-Quran. Namun di dalam hadis Nabi saw, “Tidak sah solat yang tidak dibacakan di dalamnya pembuka kitab (iaitu al-Fatihah)”.
Al-Quran dengan jelas menyuruh kita agar berdiam diri ketika ianya dibacakan, manakala hadis Nabi saw menyuruh kita membaca surah Al-Fatihah di dalam solat. Maka bagaiman dengan situasi solat berjemaah, di mana imam akan membacakan Al-Quran dengan kuat, dan kita pula wajib membacakan surah al-Fatihah di dalam hati?
Maka inilah yang dikatakan oleh Imam As-Syafie’, peranan sunnah di dalam mengkhususkan perkara yang am. Iaitu secara amnya, kita harus berdiam diri apabila dibacakan Al-Quran, namun khusus di dalam solat, kita harus membaca surah Al-Fatihah ketika imam sedang memperdengarkan bacaan ayat-ayat lazim.
6) As-Sunnah membawakan hukum yang baru.
Allah swt berfirman, “Apa-apa yang dibawa oleh rasul (Muhammad) kepada kamu, maka kamu ambillah (ikutilah ia), dan apa-apa yang dia (Muhammad) melarang kamu dari melakukannya, maka hentikanlah (amalan tersebut)”.
Kata Ali ra, “Telah diharamkan pada hari pembukaan kota Khaibar (yang sebelumya diduduki oleh kaum Yahudi) nikah muta’ah dan (memakan) daging keldai peliharaan”.
Hukum pengharaman nikah muta’ah dan hukum pengharaman daging keldai tidak didatangkan di dalam Al-Quran, maka di sini kita melihat peranan as-sunnah di dalam memberikan kita hukum yang baru.
Begitu juga dengan hadis, “Janganlah kamu menghimpunkan seorang wanita dengan mak ciknya dari sebelah ayahnya, dan tidak pula dengan mak ciknya dari sebelah ibunya (iaitu tidak boleh memadukan seorang wanita dengan anak saudaranya)”. Hukum ini tidak terdapat di dalam Al-Quran, tetapi dibawakan oleh hadis nabi saw.
Begitulah sahaja coretan ringkas penulis kali ini, moga dapat kita manfaatkan bersama.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan