Ahad, April 18

Berkenaan Komentar-Komentar Artikel Sebelum Ini.

Assalamualaikum wbh,

Pertama sekali, terima kasih kepada para pembaca yang telah meluangkan masa di blog ini, dan juga kepada mereka yang telah meninggalkan beberapa komen berkenaan artikel ‘Lafaz Kalimah Allah: Tinggalkan Emosi, Tingkatkan Ilmu’. Terutamanya kepada saudara marhaenr yang telah menambah lagi tentang kekeliruan dan kesalahan di dalam Bible. Alangkah bagusnya jika komen yang membina dan berkongsi ilmu sebegini banyak diberikan, besar manfaat dan pahala yang dapat kita kongsi bersama.

Penulis menulis artikel kali ini, bagi menjawab dan memberikan sedikit komen berkenaan beberapa komentar yang diberikan, dan penulis meletakkannya di sini agar dapat dikongsi bersama.

Pertama sekali kepada saudara Izzaz. Penulis tidak dapat mencari sumber bagi surat yang dikatakan janji Rasulullah saw kepada kaum Kristian tersebut. Cuma sahaja penulis ingin mengetengahkan beberapa isi berkenaan surat tersebut secara amnya, bukan khusus terhadap surat tersebut.

1) Janji dari seorang pemerintah Islam kepada mana-mana penganut agama lain yang memohon perlindungan dan pertolongan negara Islam merupakan suatu kewajipan, dan juga sunnah Rasulullah saw. Bukan hanya di dalam kes ini, malahan mana-mana penganut agama lain yang memohon perlindungan Rasulullah saw telah baginda saw berikan, hatta kepada orang-orang Yahudi yang sememangnya terkenal dengan pembohongan dan sifat terkutuk mereka di dalam pelbagai perkara, bukan hanya keagamaan. Fakta ini harus kita perhatikan dengan baik, dan suai-carakan dengan situasi kita hari ini. Hanya sahaja sehingga penyelewengan kaum Yahudi itu sampai ke tahap mengancam keselamatan Madinah dan nyawa orang-orang Islam, barulah Rasulullah saw mengambil tindakan keras ke atas mereka. Sila lihat artikel penulis “An Answer To Geert Wilders and His Wild Thoughts” untuk kisah yang lebih terperinci.

2) Di dalam Al-Quran memang ada menyebut, “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani". Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.” (Al-Maidah 82).

Syeikh Ibnu Uthaymeen pernah ditanya, ‘Adakah kita wajib berbuat baik dan beramah-mesra dengan sebaik-baiknya dengan orang-orang Kristian? Kerana firman Allah swt (ayat di atas)”. Jawab Syeikh Uthaymeen, bahawa benar ayat tersebut disebut di dalam Al-Quran, cuma sahaja bukan semua orang Kristian boleh kita kategorikan sebagai golongan ini. Bahkan ayat ini secara khususnya menyebut dan memuji Kristian Raja Najasyi dan pengikutnya, yang telah memberikan orang-orang Islam yang berhijrah ke negaranya kebebasan untuk beribadah dan mengamalkan Islam, dan juga jaminan perlindungan dari sebarang penganiayaan di negaranya. Memang secara hakikatnya ada Kristian sebegini, namun terlalu sedikit bilangan mereka sekarang. Bahkan Syeikh Ahmad Deedat (moga Allah merahmatinya) pernah menyatakan bahawa antara kesemua ulama dan pendeta Kristian yang beliau berdebat, cuma satu atau dua sahaja yang tergolong di dalam golongan ini. Selebihnya ada yang melemparkan beliau kata-kata kesat, serangan peribadi malahan juga ancaman bunuh. Kita perlu ingat, bahawa di dalam masa yang sama, terdapat banyak ayat-ayat lain di dalam Al-Quran yang mengutuk aqidah umat Kristian, malahan juga ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” Al-Maidah 51.

Secara kesimpulannya, orang-orang Kristian yang dimaksudkan Rasulullah saw (jika benar kesahihan surat tersebut) adalah dua:-

i) Orang Kristian yang berlindung di bawah negara Islam, dan
ii) Orang Kristian yang dikategorikan di dalam ayat tadi, yang mana mereka amat-amat sedikit sekali dan sukar dijumpai. Mereka suka mendengar kepada kalam Allah, menangis apabila dikisahkan tentang Nabi Isa as dan ibunya di dalam Al-Quran, dan mereka akui betapa hampirnya Islam kepada agama mereka.

Keduanya, penulis ingin menjawab komen seorang pembaca, yang mempersoal mengapa perlu kita bertolak-ansur dengan mereka.

1) Allah swt sendiri merakamkan di dalam Al-Quran, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya.” Al-Maidah 18. Perhatikan bahawa di dalam kalam Allah yang suci sendiri, Allah telah merakamkan bagaimana sejak dahulu lagi mereka telah menggunakan perkataan ‘Allah’. Namun tidak ada pula Allah berkata, atau menyuruh Rasulullah saw berkata, “Jangan kamu guna perkataan Allah!”, kerana dikhuatiri orang ramai keliru, dan tiada pula Rasulullah saw mengarahkan agar Bible dirampas kerana menggunakan perkataan Allah, membakar gereja atau sebagainya. Sebaliknya di dalam Al-Quran menyebut, “Katakanlah (hai Muhammad) ‘Jika kamu semua menyintai Allah maka ikutilah aku, Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa kamu”. Perhatikan dengan baik di sini, bagaimana cabaran Allah dan rasulNya terhadap ahli kitab adalah berbentuk ilmu dan amal soleh, bukan berbentuk menindas dan kuasa. Malahan cabaran ilmiah sebegini adalah lebih kukuh, akademik dan juga sukar ditandingi oleh ahli kitab, lebih berkesan dari penindasan dan kekerasan!

2) Mari kita contohi kebijaksanaan dan kaedah yang digunakan Rasulullah saw. Sewaktu Bai’ah Ridwan, yang mana orang-orang Islam memiliki ketenteraan yang kuat melebihi kekuatan kafir Quraisy, dan amat mudah bagi mereka untuk menyerang dan mengalahkan kafir Quraisy di Mekah ketika itu dek kerana ramainya bilangan mereka, Rasulullah saw telah memilih untuk mengikat perjanjian dengan mereka (yang mana merupakan perjanjian berat sebelah, sila rujuk artikel penulis ‘An Answer To Geert Wilders and His Wild Thoughts). Jika kerana bilangan ramai itu, atau dengan kata lain majoriti merupakan penentu sama ada untuk menggunakan kuasa atau tidak, nescaya di saat inilah Rasulullah saw telah menggunakan kelebihan ketenteraan yang baginda saw miliki. Namun bukan itu yang dilakukan Rasulullah saw, bahkan kerana kesabaran dan kebijaksanaan baginda saw, umat Islam selepas kejadian Bai’ah Ridwan kian bertambah sehingga ke puluhan ribu orang. Sungguh benar sekali firman Allah, “Sesungguhnya benar ada bagi kamu, di dalam diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik kepada sesiapa yang mengharapkan keredhaan Allah”.

3) Kepada soalan, “Bagaimana dengan orang yang kurang kefahaman agamanya? Tidakkah mereka akan keliru?”. Jawabnya, ilmu, ilmu dan ilmu. Ilmu itu kunci utama bagi segala perkara di dalam dunia ini. Bukan penulis katakan bahawa “Mari kita adakan perhimpunan besar-besaran untuk berceramah tentang Bible”, jika itu dapat dilakukan, maka alhamdulillah. Tetapi yang penulis tekankan di sini, mulakan dengan sesuatu yang kecil. Mulakan dengan diri sendiri. Di dalam internet contohnya, website yang ilmiah seperti Ahmad Deedat, Islamqa, Islam Online dan sebagainya amat bagus untuk dijadikan tempat membaca. Kemudian setelah membaca, ajarkan kepada anak-anak, bualkan dengan rakan-rakan. Cuba bayangkan hal yang sekecil ini, tetapi kita promosikan dan serukan kepada orang ramai untuk melakukannya, hatta setiap umat Islam berbuat demikian, bukankah masyarakat kita akan lebih berilmu? Malahan negara kita juga penuh dengan para ustaz, guru dan imam. Mana-mana sahaja di antara mereka akan berlapang hati untuk menjawab sebarang pertanyaan. Begitu juga peranan sekolah-sekolah, seperti yang penulis sarankan. Mungkin ada baiknya kita selitkan pelajaran tentang ahli kitab dan kedudukan mereka di sisi Islam kepada anak-anak kita, sebagai perisai bagi mereka hidup di dalam masyarakat majmuk ini.

Penulis amat memahami rasa semangat yang wujud di dalam diri saudara, malahan penulis merasakan itu adalah perkara yang baik, kerana itu menunjukkan rasa cinta saudara kepada Islam. Alhamdulillah, alangkah baik jika kesemua kita mempunyai semangat sedemikian. Dan alangkah lebih indahnya juga, jika semangat sedemikian kita salurkan ke jalan menuntut ilmu, mempersibukkan diri dalam memenuhkan dahaga jiwa dan hati kita terhadap ilmu. Dengan amalan sebeginilah, hidayah Allah itu akan menyentuh jiwa kita, amin.

Penulis juga memaafkan sedikit kekasaran bahasa yang saudara gunakan di dalam komen saudara. Firman Allah swt, “Muhammad Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).”

Penulis mendoakan agar Allah swt dengan limpah kurniaNya meningkatkan ilmu kita berdua, dan mengizinkan kita untuk beramal dengan lebih banyak dan soleh, hingga kita dapat saling bermaafan di hadapan pintu syurga kelak, dan sama-sama kita memasukinya, amin.

Dan Allah Mengetahui yang sebaiknya.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan