Assalamualaikum wbt.
Di dalam artikel yang lepas, kita telah melihat secara terperinci akan tajuk asal Sahih Al-Bukhari, serta perkara-perkara yang boleh kita ambil pengajaran daripadanya. Kali ini, insyaAllah, penulis ingin menggunakan kaedah yang sama, di dalam memahami satu istilah yang lebih penting dari istilah-istilah di dalam tajuk Sahih Al-Bukhari, yang mana istilah ini bukanlah istilah yang asing bagi kita. Cuma sahaja jikalau kita melihat kepada perkataan-perkataan yang terkandung di dalam definisinya, maka insyaAllah kita akan memahami dengan lebih lanjut berkenaan istilah ini. Istilah yang penulis maksudkan di sini, adalah tidak lain dan tidak bukan, ialah perkataan ‘sunnah’.
Sabda Rasulullah saw di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ad-Daarimi di dalam bukunya, musnad Ad-Daarimi, “Sesiapa di antara kamu yang panjang umurnya, nescaya kamu akan melihat perpecahan/perselisihan yang amay banyak sekali di kalangan umatku (akhir zaman). Maka wajiblah bagi kamu agar berpegang kepada sunnahku dan juga sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin selepasku, genggamlah ia dengan gerahammu (ertinya pegang dengan kuat dan jangan sekali-kali meninggalkannya)”.
Oleh itu, penting bagi kita jelas dengan perkataan sunnah, dan apakah dia as-sunnah, moga-moga kita akan tergolong di dalam golongan yang berjaya. Amin.
As-Sunnah dari segi bahasa bermaksud ‘jalan’, atau ‘jejak langkah’. Maka apabila kita mengatakan ‘sunnah Nabi Muhammad saw’, itu bererti ‘jalan dan jejak langkah yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad saw’.
Adapun sunnah dari konteks penggunaan Islam, takrifan yang paling tepat bagi penulis ialah “Segala apa yang diriwayatkan dari nabi saw samada perkataannya, tingkah perbuatannya, pengiktirafannya, akhlak dan sifat jasmaninya, samada sebelum baginda diangkat menjadi rasul atau sebelumnya, dan juga sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin yang diberi hidayah oleh Allah swt”.
Mari kita lihat definisi ini dengan lebih terperinci.
1) Segala apa yang diriwayatkan dari Nabi saw.
Maksudnya segala perkara, asalkan ada sahaja perkara yang melibatkan Rasulullah saw, maka itu akan dikira sebagai hadis, atau sunnah Rasulullah saw. Dalam masa yang sama, ini juga bermaksud bahawa segala apa yang tiada di dalamnya sandaran pada nabi saw, maka itu tidak akan dikira sebagai sunnah. Sebagai contoh, pendapat peribadi para sahabat baginda saw, kata-kata dan pendapat para ulama’, seperti kata-kata Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan sebagainya, ataupun syair-syair Arab, itu semua tidak dikira sebagai hadis nabi saw.
Takrifan ini amat penting sekali bagi kita membezakan bahawa ketaatan yang mutlak kita hanyalah kepada Allah dan RasulNya, tidak kepada sesiapa yang lain. Pegangan kita ini amat berbeza dengan pegangan mazhab Syi’ah, yang memasukkan di dalam pengertian sunnah nabi saw itu, kata-kata para imam mereka.
2) dari perkataan baginda saw.
Ertinya segala apa yang dituturkan baginda saw adalah sunnah. Sebagai contoh, hadis “Solatlah kamu sebagaimana kamu semua melihat aku solat”, maka itu adalah sunnah. Ingin penulis ingatkan juga, bahawa perkataan ‘hadis’ itu sendiri bermaksud sunnah nabi saw yang baginda sampaikan dalam bentuk tutur kata baginda saw. Cuma sahaja, apabila kita menyebut perkataan ‘sunnah’ dan ‘hadis’ secara berasingan, maka kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama.
Begitulah sebaliknya, jika kita menyebut perkataan ‘sunnah’ dan ‘hadis’ secara serentak, maka perkataan ‘hadis’ lebih cenderung kepada maksud sunnah baginda saw yang disampaikan di dalam bentuk tutur kata.
Sunnah ini, iaitu perkataan baginda saw merupakan sunnah yang paling utama berbanding sunnah-sunnah yang lain, kerana pada kebiasaannya arahan yang jelas bagi sesuatu amalan yang wajib kita lakukan dating di dalam bentuk arahan tutur kata baginda saw.
3) dan perbuatan baginda saw.
Ini bermaksud segala yang baginda saw tunjukkan kepada kita di dalam bentuk amal perbuatan (action) baginda saw adalah sunnah. Sebagai contoh, cara bagaimana baginda saw solat, mengerjakan tawaf, sa’i, umrah dan haji, cara baginda saw makan dan minum, tingkah baginda saw memotong tangan orang yang mencuri dan merejam penzina, kesemua tersebut adalah dari sunnah baginda saw.
Termasuk di dalam pengertian ini juga, sunnah peninggalan baginda saw, atau dengan kata lain, selain dari mengerjakan apa yang baginda saw kerjakan, meninggalkan apa yang baginda saw tinggalkan juga adalah dari sunnah baginda saw.
Sebagai contoh, bacaan Al-Quran di sisi kuburan. Tidak pernah ada sama sekali mana-mana hadis yang menyebut bahawa baginda saw pernah duduk di mana-mana kuburan, dan membaca Al-Quran di sisinya. Maka timbul beberapa soalan bagi kita mencari lojik akal, mengapakah baginda saw tidak menghadiahkan bacaan Al-Quran kepada orang-orang mukmin yang sudah meninggal dunia?
a) adakah kerana baginda saw tidak kasihkan umatnya? Sudah tentu tidak! Firman Allah swt, “Telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu sendiri, yang sangat berpegang teguh kepada apa yang diutuskan kepada kamu, dan dengan kamu dia sangat-sangat mengharapkan ganjaran baik bagi kamu, dan adalah dia dengan orang-orang yang beriman, sangat-sangat BERBELAS KASIHAN”
b) atau adakah kerana baginda saw tidak megharapkan umatnya mendapat rahmat? Ini juga sama sekali tidak, sebagaiman firman Allah di atas, “Dan dengan kamu dia sangat-sangat mengharapkan ganjaran baik bagi kamu (iaitu agar kamu beroleh rahmat kasih Allah)”.
c) Atau adakah kerana keadaan peperangan yang berlanjutan di zaman baginda saw, sehingga tiada keamanan bagi baginda saw untuk duduk di sebelah kubur dan menghadiahkan bacaan Al-Quran kepada si mati? Ini juga sama sekali tidak, kerana tidak ada lagi perang yang berlaku di Madinah ataupun Mekah setelah terjadinya peristiwa pembukaan kota Mekah.
d) Maka jikalau semua itu jawabnya ‘tidak’, mengapakah tiada sebarang hadis yang mengatakan bahawa baginda saw beramal sedemikian?
Jawapannya, inilah yang dinamakan sunnah tarkiyah, iaitu ‘sunnah peninggalan’. Atau dengan kata lainnya, meninggalkan perbuatan tersebut, atau di dalam konteks ini, bacaan kepada si mati, adalah dikira sebagai sunnah Nabi saw, maka pahala diberikan oleh Allah swt kepada sesiapa yang berpegang kepada sunnah Nabi di dalam MENINGGALKAN amalan ini.
4) dan apa yang diiktiraf baginda saw.
Ini beerti sebarang perbuatan yang dilakukan para sahabat baginda saw di hadapan atau di saat baginda saw masih hidup, dan perbuatan tersebut tidak ditegah oleh baginda saw, maka itu bermaksud baginda saw mengakui bolehnya amalan tersebut untuk terus dilakukan, kerana dari sifat rasul itu bahawa baginda saw tidak akan senyap apabila berlakunya perkara-perkara yang salah di hadapan baginda saw.
Sebagai contoh, hadis yang sangat terkenal ketika baginda saw bermusafir dengan sahabat baginda Khalid ibnu Walid ra. Ketika mereka berhenti berehat, Khalid ra menangkap seekor biawak pasir, menyembelih dan memanggangnya, lalu dijamukan kepada Rasulullah saw. Kata Rasulullah saw, “Aku alah kepadanya”, lalu Khalid ra mengambil sedikit daging biawak padang pasir (dhob) tersebut, dan memakannya di hadapan Rasulullah saw. Nabi saw langsung tidak menegur perbuatan Khalid ra itu, maka difahami dari peristiwa ini bahawa dhob halal untuk dijadikan makanan. Ini kerana andai kata dhob itu haram, maka nabi saw pasti sudah mencegah Khalid ra dari memakannya, kerana seorang rasul tidak akan diam apabila terjadinya perkara yang dilarang dihadapannya.
5) sifat akhlak baginda saw.
Penerangan akhlak baginda saw, seperti cara baginda melayani para sahabat baginda, isteri-isteri baginda saw, orang-orang mukmin, orang-orang kafir yang berlindung di Madinah, kejujuran baginda, amanah baginda saw, kelembutan tutur kata baginda, sifat merendah diri baginda saw dan lain-lain, kesemuanya adalah sunnah.
6) sifat jasmani baginda saw.
Penerangan tentang sifat fizikal baginda saw, tingginya, raut wajahnya, warna matanya, warna rambutnya, lurus rambutnya, warna kulit baginda, pemakaian baginda saw dan sebagainya, juga dikira sebagai sunnah baginda saw.
Timbul persoalan, apa pentingnya kita mengetahui sifat fizikal baginda saw?
Ini adalah bagi membuktikan bahawa baginda saw adalah benar seorang Rasulullah di atas muka bumi, bahkan lagi bagindalah Muhammad Rasulullah. Ini kerana sifat fizikal baginda secara terperinci telah diberitahukan Allah swt kepada manusia, terutamanya ahli kitab sebelum kedatangan baginda saw lagi. Sifat-sifat baginda sudah ada di dalam Taurat, dan juga di dalam Injil, hatta Bible hari ini masih lagi menyimpan sifat-sifat bahkan nama baginda saw!
Ketika Allah mengangkat Nabi menjadi seorang rasul, kaum Yahudi mendapati bahawa sifat baginda 100% sama dengan sifat yang ada di dalam Taurat mereka, lalu mereka mengubah ayat-ayat tersebut, agar tidak lagi kelihatan sama. Jika di dalam Taurat dikatakan Muhammad itu berambut hitam, maka mereka tukat kepada perang rambutnya. Jika Taurat mengatakan kulit baginda saw putih kemerahan, mereka menukarnya menjadi berkulit biru, dan begitulah seterusnya, sehingga akhirnya gambaran keseluruhan Rasulullah saw yang mereka tukarkan tidak lagi berupa manusia!
Oleh kerana itulah juga hadis-hadis berkenaan sifat fizikal baginda saw juga diambil kira sebagai sunnah.
7) samada sebelum atau selepas kenabian.
Segala perbuatan baginda saw, termasuk dari sebelum baginda diangkat menjadi rasul, juga adalah sunnah. Ini adalah kerana baginda saw terpelihara dari melakukan dosa, bahkan setiap gerak-geri baginda saw sejak dari bayi lagi amat menarik hati sesiapa yang melihatnya. Begitu juga dengan kejujuran baginda di dalam berniaga, sifat amanah baginda, tidak pernah menipu, menghormati sekalian orang yang lain, jauh dari penyembahan berhala, dan juga dari segala perkara yang keji yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat jahiliyah di zaman dan tempat baginda dilahirkan dan dibesarkan. Semua itu juga dikira sebagai sunnah baginda saw.
8) sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin radiallahu ‘anhum jami’an.
Sunnah Abu Bakar As-Siddiq, Umar ibnu Al-Khattab, Uthman ibnu ‘Affan dan Ali ibnu Abi Talib, radiallahu ‘anhum jami’an.
Dari sini, timbul satu persoalan: Kesemua mereka amat cinta kepada sunnah baginda saw, malahan mereka adalah orang-orang yang terbaik dalam mengikuti jejak langkah baginda saw. Maka mengapakah di dalam hadis ini, Rasulullah saw menyebut ‘sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin sesudahku’? Jikalau mereka mengikuti sunnah baginda 100%, mengapakah baginda menyebut nama mereka sebagai berasingan dengan sunnah baginda saw?
Jawapannya, kerana ada di antara amalan Khulafa’ Ar-Rasydiin setalah kewafatan baginda saw, yang secara zahirnya tampak berselisih, atau tidak sama dengan sunnah baginda saw. Ingat kata penulis, ‘secara zahirnya’ tampak berselisih, namun secara telitinya, ianya selari, malahan sangat bertepatan dengan sunnah baginda saw. Mari kita lihat beberapa contoh.
i) tindakan Umar ra tidak menjatuhkan hukuman hudud memotong tangan pencuri.
Pada zaman Umar ra, beliau tidak mengambil tindakan hudud memotong tangan orang yang disabit dan disahkan sebagai pencuri. Beliau hanya menjatuhkan hukuman ta’zir, iaitu mungkin di dalam bentuk membayar ganti rugi, berkhidmat di sesuatu tempat membuat sesuatu kerja dan sebagainya. Adapun tangan si pencuri tidak beliau potong.
Mengapakah demikian? Bukankah itu menyanggahi sunnah nabi saw?
Ini kerana maksud Allah dan rasulNya di dalam memotong tangan si pencuri, adalah bagi mereka yang mencuri sebagai sumber mereka, dan kerana tamakkan harta. Perbuatan ini haruslah dihentikan segera, kerana ia adalah salah satu penyakit masyarakat.
Adapun mereka yang didapati mencuri di zaman Umar ra, adalah kerana mereka kebuluran, tidak mempunyai wang yang cukup untuk memberi makan kepada anak-anak dan isteri. Bahkan kebanyakan dari mereka juga mencuri makanan, bukannya wang ringgit. Di dalam kata lain, mereka di dalam dharurat, oleh kerana itu hukuman memotong tangan tidak dilaksanakan.
Ini semua adalah kerana Umar ra sangat-sangat memahami tujuan asal hukumam hudud potong tangan itu disyariatkan Allah. Mencuri kerana lapar, adalah bukan dari sebab yang ingin dicegah Rasulullah saw dengan memotong tangan, maka Umar ra mengambil keputusan untuk tidak melaksanakannya ketika itu. Tetapi dalam masa yang sama, tidak pula si pencuri dilepaskan begitu sahaja, hukuman ke atasnya masih ada, cuma bukanlah memotong tangan.
ii) tindakan Umar ra menjatuhkan hukuman sebat 80 kali ke atas peminum arak.
Ini juga agak sama degan sebab di atas. Pada zaman Nabi saw, hukuman sebat ke atas peminum arak adalah 40 kali. Begitu juga pada zaman Abu Bakar ra. Namun di zaman Umar, Umar menaikkannya kepada 80 kali.
Ini adalah kerana tujuan Rasulullah saw menyebat 40 kali itu, adalah bagi menghentikan gejala meminum arak di zamannya, dan ianya berkesan. Orang-orang Islam tidak lagi meminum arak. Begitu juga pada zaman pemerintahan Abu Bakar ra. Namun pada zaman Umar ra, hukuman 40 kali sebat itu tidak lagi menakutkan orang ramai, dan ramai di antara orang Islam kembali meminum arak, tanpa lagi takut dengan hukuman. Maka kerana itu, Umar ra menaikkan hukuman kepada 80 sebatan, bagi memastikan tujuan asal pensyariatan hukuman sebat ke atas peminum arak itu mendatangkan hasil sepertimana pada zaman Rasulullah saw.
Lihat dengan teliti, bagaimana Umar ra memahami maksud dan tujuan Nabi saw, dan meneruskan sunnah baginda saw yang sepatutnya diteruskan, iaitu mencegah orang Islam meminum arak, kerana itulah sunnah baginda saw yang sebenar dan hakiki, bukan pada bilangan 40 kali sebatan.
Komen Ali bin Abi Talib ra berkenaan perkara ini, “Kedua-duanya (iaitu sebat 40 kali dan 80 kali) adalah sunnah”.
iii) hadis unta yang sesat.
Sabda Rasulullah saw, “Andai kamu berjumpa dengan unta yang sesat (terlepas dari jagaan tuannya dan tidak tahu jalan pulang), maka biarkan sahaja unta tersebut berkeliaran. Ini kerana ia mampu untuk makan dan minum sendiri, sehinggalah ia kembali dijumpai tuannya”.
Tetapi pada zaman Uthman ra, beliau tidak membiarkan unta yang sesat terus berkeliaran, sebagaimana yang diarah nabi saw, tetapi beliau mengarahkan agar unta-unta yang sesat untuk ditambat di Baitul Mal, diberi makan dan minum. Mengapakah demikian? Adakah Uthman ra tidak beramal dengan sunnah nabi saw?
Bahkan Uthmanlah yang memahami maksud dan tujuan nabi saw berkata demikian. Nabi saw pada zamannya berkata demikian, supaya tuan punya unta tidak sukar untuk mencari kembali untanya yang hilang. Andai setiap sahabat nabi saw membawa pulang setiap unta yang mereka dapati sesat, maka susahlah si pengembala unta untuk mencari untanya. Kerana itulah pesan Nabi saw, biarkan sahaja ia berkeliaran agar mudah tuannya mencarinya.
Pada zaman Uthman ra, telah terjadi banyak kes di mana unta yang sesat terus hilang dari pandangan mata, dicuri, disembelih dan dimakan, dan ada juga yang dijual dan diambil wangnya. Oleh kerana itu, Uthman ra mengambil inisiatif untuk menambat unta-unta yang sesat di Baitul Mal untuk dipastikan ianya tidak dicuri, dan diberi makan dan minum kerana unta-unta tersebut tidak dapat mencari makanan mereka sendiri ketika ditambat. Mana-man pengembala unta yang kehilangan untanya, bolehlah datang ke Baitul Mal dan mengambil kembali untanya.
Sekali lagi, lihat bagaiman sahabat baginda saw memahami sunnah baginda di dalam hal ini, iaitu menjaga kepentingan pengembala yang hilang untanya, bukan melepaskan sahaja unta-unta untuk dicuri gara-gara mengikuti sunnah nabi tanpa memahami maksud di sebalik kata-kata Rasulullah saw.
Begitulah sedikit sebanyak yang dapat penulis kongsikan di sini, mudah-mudahan ada ilmu baru yang diperolehi. Sebelum mengundur diri, penulis ingin mengingatkan diri penulis dan orang ramai, bahawa tolak-ansur Khulaafa’ Ar-Rasyidiin dan sunnah yang mereka praktikkan yang zahirnya berselisih dengan sunnah nabi saw, adalah hanya di dalam perkara yang diberi ruang untuknya, dan juga berdasarkan kefahaman mereka yang mendalam berkenaan sunnah Nabi saw. Umat Islam secara individu sama sekali tidak boleh memutar belitkan sunnah baginda saw, tanpa ilmu yang mendalam tentangnya. Oleh itu, praktikal fekah di dalam hal-hal ini adalah di bawah tanggungjawab MUFTI, bukan muslim secara individu. Adapun contoh yang dibawakan penulis di sini, adalah bagi menunjukkan betapa tingginya taraf pemikiran dan kefahaman sahabat, dan betapa cintanya mereka kepada Rasulullah saw sehingga setiap amal yang mereka lakukan secara pasti berlandaskan pada hadis baginda saw.
Ya Allah…selawat dan salam ke atas keluarga Muhammad dan sahabat baginda, sesungguhnya mereka adalah umat terbaik yang Engkau utuskan. Izinkanlah kami hidup bersama mereka di syurga kelak, dan izinkanlah kami bergandingan tangan dengan mereka sewaktu menikmati kelazatan melihat WajahMu.
Ya Allah…tambahkanlah kecintaan kami kepadaMu, tambahkanlah kecintaan kami kepada sunnah nabiMu, bantulah kami dalam mempelajarinya dan meminumnya semasa hidup kami, agar kami dapat meneguk dari kolam NabiMu kelak di hari yang sangat mendahagakan.
Ya Allah…bukalah pintu hati umat Muhammad dalam mencari semula sunnah baginda saw seperti seorang ibu yang mencari anaknya yang hilang, bahkan lebih dari itu. Ya Allah bebaskanlah mereka dari belenggu taqlid, dan rahmatilah mereka dengan nikmat ilmu dan kebebasan di dalam berfikir.
Ya Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu…?
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan