Assalamualaikum wbh.
Sungguh kita menyaksikan bahawa Al-Quran itu adalah kalam Allah yang murni, penuh dengan hidayah, cahaya dan petunjuk bagi orang-orang yang banyak bersyukur, cinta, harap dan takut kepada Penciptanya.
Tiada satu pun ayat di dalam Al-Quran itu, yang tidak menggerakkan jiwa sesiapa yang membaca dan memahaminya, dan bagi memahami Al-Quran, tidak lain dan tidak bukann perlulah ada kemahiran di dalam bahasa Arab. Benar sekali kita ini mempunyai banyak terjemahan di dalam bahasa Melayu, akan tetapi bagi merasai manisnya kalam Allah, setiap ada masanya mengalir air mata kerana keindahannya, maka bahasa Arab adalah suatu kemestian. Bagi penulis samada kita sempat atau tidak mempelajari bahasa Arab sehingga mampu memahami Al-Quran, itu bukan persoalan utama. Persoalan utama ialah USAHA kita ke arah tersebut, kerana sungguh Allah mengira usaha kita, walaupun selangkah demi selangkah.
Bukankah ada hadis yang menyebut, "Barangsiapa yang mengamalkan apa yang dia tahu, nescaya Allah akan mengajarkannya perkara yang tidak dia ketahui".
Bila kita berbicara tentang Al-Quran itu sebagai mukjizat Allah kepada kekasih kita Muhammad saw, penulis sentiasa terkenangkan dua perkara:-
1) perkataan mukjizat itu sendiri. Apakah maksud mukjizat?
Kata 'mukjizat' berasal dari perkataan 'ajuz, atau lemah. Maka Al-Quran itu dikatakan mukjizat, kerana apabila datangnya Al-Quran, Al-Quran menampakkan pencabar-pencabarnya lemah, dan langsung tidak terdaya untuk menandingi kehebatan Al-Quran. Begitu juga dengan mukjizat-mukjizat nabi-nabi yang lain.
Sifat semulajadi mukjizat itu sendiri, bagi sekalian nabi-nabi, adalah berdasarkan apa yang ditaksubkan oleh umat nabi tersebut. Umat nabi Saleh as, taksub dengan pertukangan dan kemahiran mereka mengukir bukit-bakau menjadi rumah-rumah mereka. Itulah dia Petra di Jordan sekarang. Maka Allah memberikan kebolehan yang lebih istimewa kepada nabi Saleh as, iaitu baginda mengukir lereng bukit membentuk unta, lalu unta tersebut hidup menjadi unta yang hakiki.
Nabi Allah Musa as, umatnya taksub dengan sihir, maka Allah berikan kebolehan yang lebih tinggi kepada Musa as. Baginda meletakkan tangan baginda di dalam kocek baginda, dan apabila baginda mengeluarkannya tangan baginda bersinar-sinar dengan cahaya. Baginda dicabar oleh sihir ahli-ahli sihir Firaun, yang menggunakan sihir bagi menyeru jin menggerak-gerakkan tali-tali sehingga tampak seperti ular-ular yang merayap. Musa as mencampakkan tongkat beliau, maka Allah menukarkan tongkat beliau menjadi ular gergasi yang nyata, bukan olok-olok. Malahan baginda as memukul Laut Merah, dan terbelahlah Laut Merah kepada dua, memberikan jalan bagi mereka menyelamatkan diri dari Firaun dan bala tenteranya.
Nabi Allah Isa as, umatnya taksub dengan bidang perubatan. Maka mukjizat Nabi Isa as, baginda menyentuh pesakit sopak, sembuh penyakit mereka. Mereka menyentuh pesakit kusta, sembuh penyakit mereka. Baginda menyentuh orang-orang yang buta, dengan izin Allah mereka boleh melihat kembali. Baginda menyentuh burung merpati yang diperbuat dari tanah liat, patung tersebut bertukar menjadi burung yang hakiki. Malahan baginda menyentuh mayat yang sudah dicabut nyawanya, mayat tersebut bangun dan hidup semula!
Begitulah juga dengan Al-Quran. Masyarakat Arab ketika zaman Muhammad Rasulullah saw, taksub dengan syair, maka Allah turunkan Al-Quran di dalam bentuk syair yang mustahil untuk ditandingi sesiapa. Kerana itulah kita katakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw ialah Al-Quran.
2) sepanjang penulis menceburkan diri di dalam bidang ini, penulis tidak lekang dari kisah-kisah kebolehan luar biasa sesetangah pihak. Ada yang boleh berjalan di atas air, ada yang boleh solat di atas daun pisang, ada yang kebal, tidak lut ditikam senjata, malahan ada yang boleh ghaib dari pandangan ramai.
Ada masanya penulis keliru, kerana ada masanya penulis merasakan inilah yang kita mahukan dari keimanan kita, kita mahukan kebolehan luar biasa, dan sesiapa yang menampakkan kebolehan luar biasa itu kita anggap hebat, alim dan sebagainya. Ada masanya penulis merasakan inilah arah tuju kita.
Tidaklah sehingga penulis membaca Al-Quran...membaca tentang kisah-kisah kekasih Allah, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad saw dan selain mereka yang Allah golongkan sebagai orang-orang yang soleh. Maka penulis tertanya, adakah mereka dikategorikan sebagai orang yang saleh kerana kebolehan istimewa mereka, atau mereka diberikan kebolehan yang istimewa di atas kesolehan mereka? Jikalau begitu, apakah amalan mereka? Bagaimanakah iqtikad dan kepercayaan mereka, sehingga mereka sangat dikasihi Allah?
Di dalam Al-Quran, ada banyak kisah yang sangat menyentuh hati penulis. Akan dibawakan di sini dua kisah yang sangat penulis dapati mengharukan jiwa sesiapa yang membacanya.
1) Kisah Nabi Nuh as. Nuh as telah berdakwah selama hampir seribu tahun. Seribu tahun. Bayangkan umur kita 100 tahun, yang mana sepanjang umur ini, kerja dan tugas kita hanya satu. Celik mata, menyeru orang ramai kepada tauhid kepada Allah, sehingga malam hari, kembali tidur di rumah, kemudian esok paginya kembali membuat perkara yang sama. Setiap hari, tanpa jemu. Nah, umur kita, seperti penulis katakan tadi, 100 tahun. Darabkan dengan 10, menjadi seribu tahun, maka itulah tempoh yang dipikul oleh Nuh as dalam mengajak manusia kembali mengeEsakan Allah.
Dan setelah berlalu tempoh hampir seribu tahun itu, cuma 90 orang sahaja yang mengikutinya! 90 orang!
Alangkah berat terasa olehnya, penat jerih menyeru, namun dalam tempoh setahun, cuma lebih kurang 10 orang yang mendengar kepada Nuh as. Bukan itu sahaja, di akhir dakwahnya, anaknya sendiri ingkar kepadanya, dan tergolong di dalam orang-orang kafir. Sungguh bukan main berat lagi terasa olehnya.
Namun...Allah swt memberitahukan kepada kita, bahawa Nuh as itu, adalah hamba Allah yang paling banyak bersyukur kepadaNya.
Adakah sesiapa di antara kita yang berhati sebesar hati Nabi Nuh as, syukur dalam kehidupan perit yang tiada sesiapa pernah melaluinya? Usaha tanpa jemu, dengan hasil yang sangat sedikit?
2) kisah Nabi Allah, kekasih Allah, ayah dan penghulu kita, Ibrahim as. Penulis sangat tergerak dengan doa Nabi Ibrahim as di dalam surah Ibrahim.
Ini kerana ujian demi ujian telah Allah berikan kepadanya.
i) Baginda dicampakkan ke dalam api, dengan ayahnya sendiri menyaksikan kejadian tersebut. Namun sebelum baginda dicampakkan, ketika catapult (penulis tidak tahu istilah melayu alat ini) enggan mencampakkan baginda, baginda menyuruh agar ia mencampakkan baginda, kerana baginda khuatir ayah baginda akan malu di hadapan Namrud!
ii) Baginda tidak dikurniakan anak walau seorang pun, sehinggalah usia baginda tersangat lewat. Amat susah bagi baginda untuk mendapat cahaya mata, tidak sehingga usia yang tersangat tua hampir seratus tahun, barulah Allah mengurniakan baginda Ismail, dan kemudian Ishaq. Namun setelah lahirnya Ismail, Allah memerintahkan baginda agar meninggalkan Ismail dan Hajar di tanah yang tiada penduduk, air dan makanan.
iii) Setelah 14 tahun meniggalkan Hajar dan Ismail, tanpa sebarang khabar berita, akhirnya baginda bertemu dengan mereka. Setibanya pertemuan itu, Allah memerintahkan agar baginda MENYEMBELIH Ismail!
Kesemua arahan yang Allah turunkan di atas, dilakukan oleh Ibrahim as tanpa sebarang alasan atau soalan.
Malahan dengarkan sahaja doanya ketika sudah terdirinya Kaabah
"Dan (ingatlah olehmu) ketika Ibrahim berkata "Wahai Tuhanku, jadikanlah tanah ini (Mekah) tanah yang aman, dan jauhkanlah dari diriku dan anakku dari penyembahan berhala. Tuhanku sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan ramai manusia, maka sesiapa yang mengikutiku maka dia adalah daripadaku, dan sesiapa yang ingkar kepadaku, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. Wahai Tuhan kami...sesungguhnya aku telah menempatkan seorang anakku di wadi yang tiada sebarang tanaman, di sisi rumahMu yang haram. Wahai Tuhan kami...(ini adalah bagi) semoga mereka mendirikan solat...maka jadikanlah hati manusia senantiasa tertarik kepadanya (Kaabah), dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan agar mereka bersyukur. Wahai Tuhan kami...sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan (di dalam hati kami, segala harapan) dan apa yang kami zahirkan (dari amalan baik kami), dan tiada sesuatupun yang dapat menakutkan Allah di bumi atau di langit. SEGALA PUJI BAGI ALLAH, YANG TELAH MENGURNIAKAN BAGIKU PADA USIA TUAKU ISMAIL DAN ISHAQ, SESUNGGUHNYA TUHANKU SANGAT-SANGAT MENDENGAR PERMINTAAN. Wahai Tuhan kami...jadikanlah aku orang yang mendirikan solat, dan juga dari zuriat-zuriatku...wahai Tuhan kami terimalah kabulkanlah permintaan kami. Wahai tuhan kami...ampunkanlah dosa kami, kedua ibubapa kami, dan bagi sekalian orang yang beriman pada hari terjadinya perhitungan..."
Lihat sahaja kepada doa Nabi Ibrahim, harapannya, ketabahannya, kesyukurannya yang menebal, betapa besarnya hati seorang kekasih Allah.
Bandingkan dengan mereka yang menyibukkan diri dalam mencari perkara-perkara yang aneh. Terbang di langit, berjalan di atas air, kebal dan sebagainya. Bandingkan dengan doa Nabi Ibrahim, betapa hatinya sibuk dan penuh harapan dalam mencari keredhaan Allah swt, kasih dan cintaNya, dan betapa tingginya harapan di dalam hatinya agar anak-anaknya juga menjadi orang yang taat dan patuh kepada Allah swt.
Ya Allah...didiklah hati kami menjadi sebesar hati kekasihMu Ibrahim, sejahterakan baginda dan keluarga baginda, dan juga sekalian para nabi yang Engkau kasihi.
Ya Allah...jadikanlah kami orang-orang yang mendirikan solat.
Ya Allah...temukanlah kami dengan para nabiMu di syurga kelak.
Ya Allah Ya Tuhan kami...kurniakanlah kami kelembutan hati di dalam memahami kata-katamu, dan alirkanlah air mata kami sesuci, semurni air mata Ibrahim as...
Amin.
Dan Allah Mengetahui yang sebaiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan