Ahad, April 18

Ilmu Dan Amalan: Kunci Ke Syurga.

Assalamualaikum wbh.

Persoalan ilmu dan amalan, yang mana satu di antaranya berdua yang patutu kita utamakan di dalam hidup kita, merupakan persoalan yang sudah lama diketengahkan. Ada yang beranggapan bahawa penting bagi kita untuk belajar, dan ada yang mengatakan bahawa wajib bagi kita memperkuatkan amalan dengan ilmu yang sedia ada. Manakah di antara pendapat ini yang bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah?

Al-Imam Bukhary rahimahullah telah menulis satu bab yang khas di dalam sahihnya, dan bab itu berbunyi “Bab mengutamakan ilmu sebelum amal atas dasar firman Allah swt “Maka ketahuilah olehmu bahawa tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Dia””. Maka jelas, secara amnya ilmu perlu didahulukan, namun wajib selepas itu untuk kita beramal dengan apa yang kita pelajari. Ini kerana ilmu tanpa amalan adalah ibarat pohon yang tidak berbuah.

Ilmu dan amalan, perlulah berjalan dengan kadar kelajuan yang sama. Semakin kita beramal, semakin kita perlu mencari ilmu, dan semakin kita mencari ilmu, semakin banyaklah amalan kita yang kita kerjakan.

Penulis tertarik dengan tulisan Imam Ibnul Qayyim, yang telah menggariskan sususan taktik syaitan bagi menyesatkan manusia, iaitu:-

i) melakukan yang haram.
ii) meninggalkan yang wajib.
iii) meninggalkan yang sunat.
iv) Mengerjakan yang makruh.
v) Meninggalkan yang afdal.

Maka daripada susunan yang telah diberikan Imam Ibnul Qayyim di atas, penulis telah menyusun semula susunan ini menjadi susunan (ranking) amal ibadah yang perlu kita berikan keutamaan, di mana sesetengahnya adalah lebih utama dari sesetengah yang lain. Susunan tersebut:-

i) melakukan perkara-perkara yang wajib dengan baik.
ii) Meninggalkan larangan Allah swt.
iii) Menambahkan amalan-amalan sunat.
iv) Meninggalkan amalan-amalan yang makruh, dan
v) Mengutamakan perkara-perkara yang afdal.

Sebagai seorang Mu’min, ilmu dan amalan merupakan kunci utama bagi kkita meraih keredhaan Allah swt. Di dalam sepotong hadis, ketika sahabat bertanya kepada Rasulullah saw akan tafsiran ayat surah Al-Fatihah “Jalan yang telah Kau berikan nikmat ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai, (dan bukan pula jalan) mereka yang sesat”. Bertanya sahabat, “Siapakah mereka yang dimurkai ya Rasulullah?”, jawab baginda saw, “Yahudi”. “Dan siapakah pula mereka yang sesat ya Rasulullah?”, jawab baginda saw, “Nasrani”.

Di dalam tafsir Ibnu Katsir rahimahullah, dinyatakan bahawa Rasulullah saw menyebut golongan Yahudi sebagai golongan yang dimurkai, kerana mereka mempunyai ilmu, mereka mendengar ajaran Nabi Allah Musa as, bahkan mereka diturunkan Taurat yang merupakan cahaya dan petunjuk Allah swt khas buat mereka. Namun, sebagaimana yang direkodkan di dalam Al-Quran, tatkala mereka mendengar ajaran Musa as, mereka berkata “Kami dengar (hai Musa), dan kami tolak (enggan beramal dengannya)”. Kerana itulah Allah swt menjatuhkan kemurkaan kepada mereka.

Adapun golongan kedua, iaitu orang-orang Nasrani, dikatakan sesat, kerana mereka merupakan golongan yang bertentangan dengan golongan Yahudi, iaitu mereka mendahulukan amalan tanpa mempunyai ilmu tentangnya. Mereka mengambil Isa as sebagai anak Allah, Jibrail as sebagai ruh suci, pemimpin mereka (pope) sebagai ma’sum dan suci dari sebarang kesalahan.

Kita lihat bagaiman benarnya sabda Nabi saw ini. Agama Kristianlah merupakan agama yang mencetuskan beratus-ratus tahun Zaman Gelap di Eropah suatu ketika dahulu. Segala amalan dan kepercayaan orang awam ketika itu haruslah selari dengan kata-kata gereja yang buta-tuli. Kita masih lagi mengingati bagaimana ahli saintis mereka, Galileo Galilea dihukum bunuh oleh pihak gereja, gara-gara mengeluarkan teori bahawa Bumi berputar berpaksikan matahari, bukan sebaliknya. Di antara contoh kesesatan yang dibawa mereka lagi:-

i) mereka menangkap wanita-wanita yang dikatakan beramal dengan ilmu sihir, tanpa sebarang usul periksa. Malahan wanita-wanita yang mengalami masalah mental, yang didapati memakan serangga-serangga (sejenis penyakit psikologi) juga ditangkap. Wanita-wanita ini akan diseksa, disebat, dipukul dengan rantai, dicakar dengan cakar besi, ditarik tangan dan kaki mereka dari arah yang bertentangan, bagi memaksa mereka mengaku bahawa mereka ada membuat perjanjian dengan syaitan. Lihat bagaimana kesemua perbuatan kebinatangan ini dibuat di atas nama Allah, Isa dan Jibrail! Mereka juga turut mereka ‘ujian’ bagi menguji samada seorang wanita itu beramal dengan sihir atau tidak, iaitu dengan mengikat mereka dengan bebola besi, dan mencampakkan mereka ke dalam sungai. Berpandukan bahawa besi yang tulen tanpa ada campuran akan tenggelam di dalam air, maka mereka yang terus tenggelam dan mati kelemasan akan diisyhtiharkan sebagai suci. Manakala mereka yang di dapati timbul di atas air, mereka akan diisyhtiharkan sebagai pengikut syaitan, dan akan dibakar hidup-hidup.

ii) pihak gereja menjual surat pengampunan dengan harga yang sangat-sangat mahal. Fungsi surat pengampunan ini ialah, bagi mereka yang mampu membelinya, maka dosa mereka akan terus diampunkan Allah, dengan duit hasil pembelian surat tadi dikutip oleh gereja.

iii) mereka mengumumkan bahawa sains adalah sebahagian dari ilmu syaitan. Oleh kerana itu, berapa ramai di antara ahli saintis mereka yang ditangkap, dilecurkan kulit mereka dengan besi panas yang berbentuk salib, dipotong tulang empat kerat mereka dan dicampakkan di sekitar bandar Rom, bagi menakutkan orang ramai daripada mempelajari sains.

Maka kerana itulah, adalah kewajipan umat Islam untuk berilmu, dan kemudian meletakkan amalan mereka selari dengan ilmu yang mereka pelajari.

Penulis teringat sepotong hadis nabi saw di dalam sahih Bukhari yang menegur perbuatan sesetengah sahabat yang mementingkan amalan ibadah sahaja, tanpa menitik beratkan ilmu sebelum mereka beramal. Beberapa orang sahabat telah datang menemui Aisyah ra di rumah baginda saw untuk bertanyakan bagaimana amalan Rasulullah saw. Setelah Aisyah ra menceritakan kepada mereka betapa sempurna dan kyusuknya Rasulullah saw di dalam beribadah kepada Allah swt, seorang dari mereka berkata, “Aku hendak berpuasa setiap hari dan langsung tidak berbuka”. Kata seorang yang lain, “Aku ingin sentiasa bangun solat malam dan aku tidak akan tidur”. Seorang lagi berkata, “Aku tidak akan lagi menyentuh isteriku”, dan berkata lagi yang lain, “Aku tidak akan makan daging”. Maka perihal ini telah sampai ke pengetahuan Rasulullah saw. Tatkala baginda saw berkhutbah pada hari Jumaat, baginda saw menyebut, ((Apakah orang-orang ini, yang aku mendengar mereka berkata: aku berpuasa tidak berbuka, aku solat tidak tidur, aku tidak mendekati isteri-isteriku, aku tidak akan makan daging? Sesungguhnya akulah orang yang paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu, tetapi (ada hari) aku berpuasa dan (ada hari) aku berbuka (iaitu tidak berpuasa), aku bangun solat pada malam hari, kemudian aku tidur, aku mengahwini isteri-isteriku, dan aku memakan apa yang Allah halalkan bagiku. Sesiapa yang benci kepada sunnahku, maka dia bukanlah sebahagian daripadaku)).

Ertikata ‘bukan sebahagian daripadaku’ ialah, mereka yang tidak megikuti apa yang diajarkan Allah dan RasulNya, maka mereka berlepas diri dari Allah dan RasulNya, dan tidaklah Allah berikan pahala ke atasnya.

Demikian sahaja yang dapat dikongsikan penulis pada kali ini Mudah-mudahan ada di antara coretan di sini memberikan manfaat kepada yang membacanya.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan