FASAL {4}
Penjagaan anggota tubuh adalah juga asas yang penting dari melakukan maksiat dan dosa. Ia tidak digunakan selain untuk kepentingan akhirat.
Lidah adalah anggota yang perlu dijaga bersungguh-sungguh. Walaupun ia kecil, tetapi akibat penyalahgunaannya amat dahsyat. Peliharalah ia agar jangan sampai berbohong, mengumpat dan bercakap perkara-perkara yang terlarang.
Janganlah berbicara kotor dan berbincang dalam perkara-perkara yang tiada berfaedah walaupun bukan perkara haram. Hal-hal ini akan menyebabkan hati menjadi keras. Tambahan pula ia boleh membazir masa.
Perkara yang sepatutnya menjadi pertuturan seorang ahli suluk adalah membaca aL-Quran, zikir dan memberi nasihat sesama Muslim, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Seandainya perlu berbicara sedikit tentang urusan dunia, pastikanlah ia juga menjurus kepada kepentingan akhirat. RasuluLlah sallallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan kita dengan sabdanya:
Ertinya" "Semua bicara anak Adam adalah menjadi tanggungan (bebanan) ke atasnya dan bukan faedah baginya, kecuali zikir kepada ALLAH, menyeru kepada kebaikan mencegah kemungkaran."
Mata dan telinga adalah dua anggota menjadi pintu yang terdedah ke lubuk hati. Semua yang telah masuk melaluinya akan terus menetap di dalamnya. Berapa ramai orang yang telah melihat dan mendengar perkara yang tidak sewajarnya sehingga menetap di hati dan sulit untuk mengikisnya. Hati itu amat mudah dipengaruhi oleh sesuatu yang dialami. Setiap manusia sewajarnyalah bersungguh-sungguh memelihara mata dan telinganya. Sedaya mungkin meninggalkan sebarang dosa dan perkara yang tidak berfaedah.
Jagalah pandangan kepada dunia dan perhiasannya. Zahirnya dunia itu adalah fitnah dan di dalamannya amat penuh dengan pengajaran. Pelajari bagaimana mata itu mampu memandang dunia zahirnya sebagai fitnah dengan hatinya sebagai pengajaran.
Berapa ramai para ahli suluk yang memandang dunia dengan pengamatan sehingga mencintai, berusaha gigih untuk memiliki dan mengumpulnya.
Sehubungan itu, perlulah para ahli suluk sentiasa menundukkan pandangan kepada alam semesta. Jangan diendahkannya kecuali dengan tujuan mendapatkan pengajaran. Maksudnya memikirkan sesuatu yang kita pandang itu akan musnah. Ia juga bermula dengan tiada. Ingat berapa ramai orang yang telah melintasi dunia ini akhirnya dunia ini akan ditinggalkan begitu sahaja, sekadar menjadi warisan orang yang terkemudian darinya.
Pandanglah dunia dan perhiasannya dengan penuh erti. Kekaguman yang lahir dari pandangan itu kita dapat merasakan betapa hebat Sang Pencipta yang Maha Bijaksana, sehinggalah semua hati yang bersinar boleh mendengar dari ciptaan alam membicarakan dengan keadaannya betapa tiada Tuhan selain dari ALLAH yang Maha Lembut dan Bijaksana.
FASAL {5}Ahli suluk mestilah sentiasa dalam keadaan bersih dan memiliki air sembahyang. Jika batal air sembahyang segeralah memperbaharuinya dan sembahyanglah dua rakaat sunat wudhu'. Seandainya berkeluaga dan mendatangi isteri, segeralah membersihkan diri dari junub. Pastikan tidak kekal diri dalam kotor. Bantulah perjalanan itu dalam keadaan bersih. Kurangkan makan, ia juga dapat membantu untu
k berjaga malam.
Sebaik-baiknya tidak makan kecuali terlalu lapar dan tidak tidur kecuali terlalu mengantuk. tidak berbicara kecuali diperlukan. Tidak bercampur dengan sesiapa kecuali pergaulan itu memberi faedah.
Orang yang banyak makan akan rosaklah jiwanya, dan berat pula anggotanya untuk beribadah. Sebaliknya ia akan hanya banyak tidur dan bicara. Seorang ahli suluk yang banyak tidur dan bicara kemahuannya adalah sekadar igauan dan angan-angan belaka.
Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
Ertinya: "Sekiranya manusia itu membuat perutnya sentiasa penuh dengan makanan nescaya menjadi rosak dirinya. Memadailah bagi mereka dengan beberapa suap makanan untuknya. Setidak-tidaknya jadikanlah 1/3 bagi perutnya untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 untuk penafasan.
FASAL {6}
Bagi setiap ahli suluk wajib menjauhkan diri dari maksiat dan perkara-perkara yang dilarang. Mereka juga wajiblah menjaga amalan-amalan fardhu dan segala perintah. Sentiasa mengambil berat soal amalan yang menghampirkan diri kepada ALLAH. Perbanyakkan melakukan amalan baik. Mereka tidak mempunyai sebarang beza dengan orang lain kecuali dalam sudut besegera melaksanakan ketaatan kepada A
LLAH. Menjauhi dari segala bentuk kelalaian dalam pengabdian.
Mereka perlu sensitif terhadap jiwanya. Sangat menghargai waktunya. Pastikan tidak berlalu walau sesaat pun kecuali kepada amalan yang mendekatkan dirinya kepada ALLAH.
Memperbanyakkan membaca aL-Quran di samping mendalami maknanya dan keindahan lafaznya. Menjiwai sepenuhnya keagungan Sang Pembicara yang Maha Agung. Jangan sesekali membaca seperti orang-orang yang lalai. Dilafazkan dengan suara yang indah, lidah yang fasih, bacaan yang merdu, malangnya hatinya kosong dari perasaan khusyu' dan mengagungkan ALLAH. Baca sebagaimana aL-Quran itu diturunkan. Bermula dari Fatihah hingga ke akhirnya. Seandainya ia mengetahuinya nescaya mereka akan beramal dengannya. Ilmu adalah apa yang boleh dimanfaatkan.
Orang berilmu dan tidak beramal maka tidak ada beza dengan si jahil. Kecuali akan menjadi hujjah ALLAH ke atas mereka. Sekiranya demikian, maka menjadi si jahil lebih baik darinya. Dikatakan, "Setiap ilmu yang diberi tidak dimanfaatkan maka si jahil adalah lebih baik dari kamu."
Mestilah dari setiap ahli suluk mengambil perhatian terhadap solat Tahajjud. Waktu malam adalah waktu sunyi dan sesuai untuk hamba berkhalwat dengan Penciptanya. Banyakkan bertadharru' dan istighfar. Seulah Tuhanmu dengan penuh rasa hina dan pengharapan. Mohonlah dengan rasa lemah dan luluhnya jiwa kepada ALLAH.
Janganlah meninggalkan bangun malam. Apabila tiba waktu sahur pastikan anda duduk bersimpuh mengangungkan ALLAH Tabaraka wa Ta'ala..
FASAL {7}
Para ahli suluk perlulah juga memelihara sembahyang lima waktu. Dikerjakan dengan sempurna sama ada bacaan, khusyuk, ruku', dan setiap rukunnya serta sunat-sunatnya.
Mulailah dirikan sembahyang dengan merasakan kebesaran ALLAH, di samping menyedari ketika itu ia sedang berdiri di hadapan ALLAH azza wa Jalla yang Maha Agung.
Janganlah sesekali menyeru ALLAH dalam keadaan hati yang lalai dan pemikiran yang melayang dalam urusan keduniaan. Itu hanya akan menyebabkan kemurkaan ALLAH. Sabda Baginda s.a.w :
Ertinya: "Apabila seseorang bangkit untuk menunaikan sembahyang maka ALLAH akan menghadapnya. Sandainya ia memalingkan mukanya nescaya ALLAH akan kata padanya: Wahai anak Adam kenapa kamu berpaling ke arah yang kamu sangka lebih baik daripada Aku? Seandainya ia berpaling kali kedua nescaya ALLAH akan katakan dengan perkataan yang sama. Apabila ia berpaling kali ketiga nescaya ALLAH akan berpaling pula darinya."
Ini seandainya sekadar berpaling dengan wajahnya. Bagaimana jika hatinya ketika sembahyang berpaling ke arah dunia dan kemewahannya. Sesungguhnya ALLAH tidak melihat pada tubuh badan dan gambaran zahir. Tetapi ALLAH hanya memandang kepada hati dan apa yang tersirat di dalamnya.
Roh setiap amal ibadat itu adalah terletak mengikut sejauh mana kita menghadirkan diri kepada ALLAH. Siapa yang sunyi hatinya dari kehadiran ALLAH amalannya menjadi sia-sia. Diumpamakan orang beramal dengan hati kosong bagaikan orang memberi hadiah kepada pembesarnya dengan bekas yang kosong. Sudah tentu orang ini hanya akan menerima balasan dan kemurkaan..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan