FASAL {11}
Ketahuilah bahawa permulaan perjalanan itu adalah kesabaran dan akhirnya kesyukuran, mulanya kepenatan akhirnya keselesaan, mulanya kepayahan akhirnya pembukaan dan sampai ke medan yang diharapkan. Itulah makam pengenalan, di mana tercapainya hamba kepada makrifat serta terhibur dengannya. Sehinggalah bersimpuh di hadapan pintu Sang Pencipta yang Mulia bersama para Malaikat.
Barangsia
pa mengasaskan dirinya di setiap urusan dengan kesabaran maka ia akan mencapai kemuliaan dan dapat memilih segala yang dicita-citakan.
Barang diketahui sesungguhnya nafsu itu bermula dengan nafsu Ammarah (nafsu yang mengajak kepada keburukan). Tugasnya menyeru manusia berbuat jahat dan melarang berbuat baik. Sekiranya manusia berusaha (mujahadah) dan sabar dalam menentangnya maka nafsu akan bertukar kepada Lawwamah yang mencela. Sekiranya manusia berusaha (mujahadah) dan sabar dalam menentangnya maka nafsu akan bertukar kepada Mutma'innah yang tenang. Ia boleh berubah di antara dua keadaan. Jika ia berjaya nescaya ia akan berupaya menuju kepada ALLAH. Ketika itu ia akan memandunya ke sisi ALLAH - mendorong diri berbuat kebaikan dan kelazatannya; menjauhi dari melakukan kejahatan serta membencinya dan menjadi orang yang memiliki jiwa yang tenang.
Perkara yang menjadi kehairanan terhadap manusia ialah apabila mereka mencanggahi sebarang ketentuan dan ketaatan sedangkan di dalamnya ada kesenangan, ketenteraman dan aman. Demikian juga orang yang suka melakukan maksiat dan dosa, sedangkan keadaan di dalam maksiat itu keluh kesah, keasingan, pembohongan. Mereka menyangka melakukan sesuatu yang benar dalam kedua-dua perkara, seperti yang dirasai oleh jiwa yang tenang.
Kemudian dia kembali menyemak dirinya. Mengingati apa yang pernah dia rasai ketika mengikut dorongan syahwat dan kelazatannya. Dibandingkan pula dengan amalan ketaatan dan kejerihannya. Maka dia dapati tidak akan sampai kepada tahap ini, kecuali dengan mujahadah yang lama di samping mendapat inayah daripada ALLAH.
Maka perlu diketahui kesabaran dalam menghadapi maksiat dan syahwat serta sentiasa melakukan ketaatan, satu-satunya jalan kejayaan yang akan membawa kepada makam yang mulia serta murni. Sebagaimana yang ALLAH telah nyatakan dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan jadilah orang-orang yang sabar, berhubunglah dan bertaqwalah kepada ALLAH moga-moga kamu berjaya." [Ali Imran: 200]
Firman-Nya lagi:
وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ الْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا ۖ
Ertinya: "Sempurnalah kalimah ALLAH yang Mulia terhadap kaum Bani Israel di atas kesabaran mereka." [ Al-A'af: 137]
Firman-Nya lagi:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Ertinya: "Kami juga telah jadikan mereka pemimpin membawa hidayah dalam urusan Kami kerana kesabaran dan keyakinan mereka dengan ayat-ayat Kami."
[As-Sajdah: 24]
Di dalam Hadith Qudsi disebutkan, mafhumnya:
" Yang paling sedikit apa yang Aku telah berikan kepada kamu ialah keyakinan dan keazaman sabar. Barangsiapa yang telah diberikan bahagiannya, maka janganlah dihiraukan barang yang luput dari bangun malam (Qiamul-laiL) dan puasa siang hari."
FASAL {12}Barangsiap diuji dengan kesusahan dan kemiskinan seharusnya bersyukur kepada ALLAH dan merasakan ia adalah sebesar-besar ni'mat, kerana dunia itu adalah musuh orang-orang yang bertaqwa. Syukurlah kepada ALLAH kerana menyerupai sifat para nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang yang salih.
Junjungan mulia, semulia-mulia hamba ALLAH di bumi ini Saiyyidina Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam pernah mengikat perutnya dengan batu disebabkan lapar. Pernah juga sehingga lebih dua bulan dapur rumah Baginda s.a.w tidak pernah menyala apinya kerana tiada apa-apa yang hendak dimasak. Sekadar mengalas perut dengan air dan tamar. Ketika dikunjungi oleh tetamu, Rasulullah s.a.w mencari apa-apa yang boleh dijamu di rumah-rumah isteri Baginda s.a.w. Namun malangnya sedikit pun tidak didapati. Di hari kewafatan Baginda s.a.w, perisai Baginda s.a.w masih tergadai pada seorang Yahudi untuk mendapat beberapa cupak gandum. Sehinggalah tida seorang pun di rumah Baginda s.a.w dapat makan dengan gandum yang hanya sedikit.
Binalah niat dan kemahuan dalam perjalanan ini dengan bersih. Jadikan diri sekadar dan seadanya, dengan sehelai kain untuk menutup aurat. Sedikit makanan yang dapat menghilangkan rasa lapar. Hati-hatilah daripada racun yang boleh membunuh, iaitu telalu seronok dan gembira dengan ni'mat dunia. Ketahuilah setiap bentuk ni'mat yang diperolehi akan dipesoal. Sekiranya hamba itu mengetahui betapa kejerihan yang dialami, kesusahan yang dihadapi dan kebimbangan yang dikecapi oleh pencari dunia niscaya ia akan dapati dari pencariannya lebih dahsyat dari apa yang diperolehi.
Memadailah orang yang mengejar dunia mendapat celaan dari ALLAH seperti yang tertera dalam firman-nya:
وَلَوْلَا أَن يَكُونَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً لَّجَعَلْنَا لِمَن يَكْفُرُ بِالرَّحْمَٰنِ لِبُيُوتِهِمْ سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ وَمَعَارِجَ عَلَيْهَا يَظْهَرُونَ. وَلِبُيُوتِهِمْ أَبْوَابًا وَسُرُرًا عَلَيْهَا يَتَّكِئُونَ. وَزُخْرُفًا ۚ وَإِن كُلُّ ذَٰلِكَ لَمَّا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَالْآخِرَةُ عِندَ رَبِّكَ لِلْمُتَّقِينَ
Ertinya: "Kalaulah tidak kerana manusia ini ummah yang satu niscaya Aku kurniakan kepada orang-orang kafir itu istana yang beratapkan perak, bumbung-bumbungnya yang besar megah, rumah yang banyak biliknya, katil-katil yang terukir indah tempat mereka berehat dan itulah keseronokan dunia. Sebenarnya habuan (istimewa) di akhirat hanya untuk orang-orang yang bertaqwa."
[Az-Zukhruf: 33-35]
Sabda Rasulullah s.a.w, Ertinya: "Dunia itu penjara bagi orang mukmin, Syurga bagi orang kafir. Kalaulah berat dunia itu setimbang kepaknya lalat di sisi ALLAH, niscaya tidak akan dapat minum orang kafir walau seteguk air." Sesungguhnya ALLAH SWT tidak pernah memandangnya semenjak ia (dunia) dicipta.
Ketahuilah bahawa rezeki itu ada yang telah ditetapkan dan ada yang telah dicatukan. Ada hamba dimurahkan rezeki seluas-luasnya. Ada juga sebaliknya. Itulah hikmah ALLAH. Andainya rezeki yang telah ditentukan itu sempit sebaiknya bersabar, redha dan bersikap sederhana atas apa yang telah dikurniakan. Andai pula rezeki yang dikurniakan itu agak luas dan mewah. Gunakanlah rezeki itu dengan sempurna dan secukupnya. Lebihannya hendaklah dibelanjakan ke arah kebaikan.
Apabila seseorang ingin menuju kepada ALLAH, bukanlah seorang itu dimestikan atau terpaksa meninggalkan hartanya. Tidak perlu ia meninggalkan profesionnya, perniagaannya dan minatnya. Bahkan apa yang menjadi kepastian wajiblah sentiasa dalam taqwa di setiap gerak gerinya. Tidak meninggalkan kewajipan dan amalan-amalan sunnah. Tidak juga melakukan kemungkaran dan perkara-pekara sia-sia.
Ilmu, hati dan agama seseorang tidak akan menjadi sempuna kecuali menjadikan dunia di belakangnya. Harta kemewahan atau sebarang sebab-sebab duniawi tidak dijadikan matlamat. Seandainya para ahli suluk memiliki keluarga, wajib baginya bertanggungjawab terhadap makan minum dan pakaian mereka. Kecuali orang-orang yang tidak berupaya.
Tiada siapa yang mampu untuk mempertahankan dirinya untuk kekal dalam ketaatan, meninggalkan segala macam maksiat dan meninggalkan dunia. Selain setiap individu itu hendaklah menyedari yang semuanya akan pergi ke alam yang kekal. Maka bersedialah untuk mati, kerana pemergian itu boleh berlaku pada bila-bila masa.
Tidak boleh kita panjangkan harapan. Inilah yang akan menjadi punca cintakan dunia, sehingga jadi malas dan senang melakukan maksiat.
FASAL {13}
Banyak perkara-perkara buruk yang menimpa ahli suluk, seperti pengkhianatan, pemulauan dan penghinaan. Walau apa pun, mereka perlulah sentiasa bersabar, tidak menyimpan dendam dan sentiasa bersih hati dari rasa dengki serta menyembunyikan rasa marah.
Jangan pula senang mendoakan orang-orang yang berlaku jahat dengan kejahatan. Tidak boleh juga mengharapkan kecelakaan menimpa mereka. Setelah bersabar, sebaiknya memaafkan segala kejahatannya. Doakan kebaikan untuknya. Demikianlah akhlak orang-orang yang Siddiqin.
Anggaplah segala perilaku orang lain sebagai satu ni'mat dari ALLAH. Tidak mustahil jika mereka sentiasa bersama-sama dengan para ahli suluk akan menyebabkan orang-orang menjadi sibuk. Seandainya berlaku pemujian dan mengagungkan seseorang maka ketika itu hati-hatilah dengan fitnah itu. Bersyukurlah kepada ALLAH atas segala-galanya.
Seandainya para ahli suluk merasa bimbang terhadap amalannya itu menjadi lakonan semata-mata, sebaiknya pada ketika itu ia menjauhkan diri (seketika) dari orang ramai yang mengenalinya ke tempat yang belum ada mengenalinya.
Pastikan diri sentiasa tersembunyi dari rasa megah. Jauhilah rasa ingin menjadi terkenal dan sebutan orang lain. Itulah sebenar-benar fitnah dan ujian. Para salaf berkata; "Demi ALLAH tidak menjadi ahli Siddiq kecuali hamba itu langsung tidak merasa apa-apa dengan kedudukannya."
"Orang yang dirinya paling senang menjadi terkenal di sisi manusia maka hilanglah agamanya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan