Ahad, November 25

Risalatul Murid 1 - 3


FASAL {1}

Ketahuilah jalan yang pertama untuk menuju kepada ALLAH adalah dorongan yang kuat yang dicampakkan ke dalam hati seseorang. Ia mampu mengejutkannya dan akan mendatangkan rasa bimbang serta menggalakkanya agar menuju kepada ALLAH dan hari Akhirat. Ia juga akan menjauhkan diri dari dunia yang sibuk dengan urusannya untuk membina, menghimpun kemewahan, memuaskan syahwat dan membanggakan ke
indahannya.

Dorongan ini merupakan sebahagian dari tenteranya ALLAH yang tidak dilihat oleh mata kasar. Ia merupakan kurniaan ALLAH dalam bentuk inayah sebagai tanda asasnya hidayah. Ramai di kalangan hamba yang dibuka jalan mereka melalui pintu ini dikunjungi oleh perasaan takut, rindu dan minat. Perasaan yang serupa akan dirasai ketika melihat wajah orang-orang yang hampir dengan ALLAH, atau mendapat pandangan dari mereka. Ada juga kurniaan ini diperolehi tanpa sebab.

Berusaha gigih untuk mendapat kurniaan ini adalah di tuntut. Menunggu tanpa usaha sekadar duduk dengan angan-angan adalah satu kelemahan dan kebodohan. Sebagaimana telah ditegaskan oleh Baginda s.a.w:

Ertinya: "Sesungguhnya bagi ALLAH Tuhan kamu pada setiap hari itu ada waktu pengurniaan, maka hendaklah anda sekalian merebutnya."

Barangsiapa dikurniakan oleh ALLAH dengan dorongan ini, hendaklah ia benar-benar mengenali dan menjiwai nilainya yang Agung. Ia harus merasai bahawa kurniaan ini adalah ni'mat teragung yang sulit untuk disyukuri. Namun berusahalah sebaik mungkin untuk mensyukurinya, memandangkan yang ia adalah limpahan kurnia Ilahi.

Bayangkanlah berapa ramai orang-orang Islam umurnya telah mencecah 80 tahun atau lebih, tetapi masih belum mengecapi ni'mat dorongan ini. Wajiblah bagi yang telah menyedarinya untuk berusaha bersungguh-sungguh memperkukuhkannya, memeliharanya dan menyahut seruannya.

Memperkukuhkannya dengan banyak berzikir kepada ALLAH. Memikirkan tentang apa-apa di sisi ALLAH dari keagungan dan kemuliaan yang tidak terhitung. Duduk bersama-sama orang yang jiwanya senantiasa bergantung kepada ALLAH.

Memeliharanya dengan menghindarkan diri dari majlis orang-orang yang jauh dengan ALLAH dan menjauhi diri dari hasutan syaitan.

Menyahut dengan bersegera dan kembali kepada ALLAH. Bersikap jujur dan benar untuk kembali kepada ALLAH. Jangan suka menangguh-nangguh apabila ALLAH telah mendorongnya. Jangan suka berlengah-lengah sekiranya ALLAH telah membuka pintu rahmat-Nya, bersegeralah untuk masuk. Tidak perlu untuk menunggu esok ataupun lusa, kerana itu adalah sebenarnya kerja-kerja syaitan. segeralah untuk menerimanya dan beramal tanpa merasa bimbang dan teragak-agak. Jangan dibuat-buat alasan dengan kesibukan dan kesuntukan masa.

Abu-Ar-Rabi' menyebut: "Berjalanlah kamu kepada ALLAH dengan pantasnya tanpa berpaling ke belakang dan dengan jiwa yang penuh rasa luluh. Janganlah anda menunggu waktu sihat, sebenarnya penantian itu adalah satu gangguan."

Ibnu Atha' dalam AL-Hikam pula menyatakan: "Sifat suka menangguhkan amalan dengan alasan sibuk adalah seperti ia dihinggapi penyakit yang merosakkan jiwa."
FASAL {2}

Jalan yang pertama yang akan direntasi oleh ahli suluk untuk menuju kepada ALLAH, adalah memperbetulkan TAUBAT. Adam bertaubat kepada ALLAH dari segala macam noda dan dosa. Seandainya ahli suluk ini masih mempunyai kesalahan terhadap orang lain perlulah ia bersegera memohon kemaafan dan dihalalkan apa sahaja darinya. Seandainya gagal berbuat demikian maka dirinya masih lagi tergantung d
aripada menerima rahmat ALLAH. Ia tidak akan mampu untuk berjalan menuju kepada ALLAH.

Syarat taubat yang sebenarnya adalah rasa kecewa terhadap dosa yang dilakukan di samping berazam untuk tidak kembali ke lembah maksiat. Sesungguhnya barangsiapa yang cuba untuk bertaubat sedangkan ia masih kekal dalam maksiat atau masih ada niat untuk melakukannya maka tidak ada erti langsung taubatnya.

Perlu juga sentiasa merasa bersalah dan mengaku terhadap keterlanjurannya, terutama ketika menunaikan sebarang kewajipan yang telah difardhukan kepadanya. Bila mana wujudnya jiwa yang merasa sedih terhadap dirinya yang berdosa maka ketika itulah ALLAH berada di sisinya. ALLAH berfirman dalam Hadith Qudsi:

Ertinya: "Aku ada bersama hamba yang sentiasa merasa luluh jiwanya kerana mengharapkan rahmat-Ku."

Setiap ahli suluk semestinya berwaspada dari segala macam dosa, sama ada yang kecil apatah lagi yang besar, sehingga melebihi daripada berhati-hatinya seseorang yang takut termakan racun yang boleh membunuh. Perlu diketahui bahawa dosa itu berperanan merosakkan hati seperti racun boleh merosakkan tubuh badan. Sedang hati naluri itu lebih utama dan penting dari tubuh badan.

Bahkan modal utama pada setiap ahli suluk adalah memelihara dan membangunkan jiwanya. Sedang tubuh badan terdedah kepada kebinasaan. Sebentar lagi ia akan luput ketika mati. Pemergiannya sekadar meninggalkan dunia yang bakal hancur. Sedangkan hati andainya musnah maka musnahlah akhiratnya. Ia tidak mampu lagi untuk diselamatkan dari kemurkaan ALLAH dan azab sengsara-Nya. Orang yang berjaya dan mendapat ganjaran yang ulung adalah orang yang datang dengan hati yang bersih.

FASAL {3}

Para ahli suluk mestilah bersunguh-sungguh menjaga hatinya dari penyakit was-was, angan-angan dan lintasan yang meragukan. Perlu dibina di pintu hati itu, sebuah benteng (Al-Muraqabah) yang mendindingi penyakit-penyakit itu. Seandainya penyakit-penyakit itu menembusi dinding jiwa insan, maka akan rosaklah ia dan lebih sulitlah pula untuk memulihkannya.

Mestilah bersungguh-sungguh memel
iharanya, sebagai tempat pandangan ALLAH. Janganlah sampai ia menjadi cenderung kepada syahwat dunia, seumpama penyakit dengki, khianat, penipuan dan buruk sangka (terhadap sesama muslim). Harus sentiasa menjadi penasihat kepada mereka, bersikap penyayang, pengasih dan menganggap mereka sentiasa dalam kebaikan. Kasihanilah mereka seperti diri sendiri, serta tanamlah perasaan benci terhadap keburukan yang menimpa mereka seperti bencinya kita jika menimpa diri kita sendiri.

Perlu juga kita fahami bahawa hati itu juga memiliki dosa. Bahkan dosanya lebih kotor dan buruk dari dosa yang dilakukan oleh anggota badan. Cinta kepada ALLAH tidak akan sempuna kecuali hati kita dibersihkan dari segala macam penyakit.

Seburuk-buruk penyakit hati ialah sombong, bangga diri dan dengki. Bagaimana sifat takbur dan sombong boleh menyelaputi dalam jiwa manusia sedangkan ia mengenali dirinya sebagai hamba ALLAH. Diri hamba berasal dari air seni yang hina. Sementara tidak lama lagi akan menjadi bangkai yang busuk. Seandainya ada sedikit kebaikan dan kelebihan, itu hanyalah kurniaan ALLAH. Dia tidak mempunyai keupayaan dan kepandaian untuk memperoleh sifat itu. Sewajarnya dia merasa takut untuk bersifat sombong terhadap makhluk ALLAH. Justeru kelebihan itu adalah anugerah ALLAH. Oleh itu tidak mustahil kelebihan itu akan dicabut kembali oleh ALLAH kerana rosaknya akhlak dengan menyamakan dirinya dengan sifat ALLAH yang Maha Berkuasa lagi Maha Mulia dalam kebesaran-Nya.

Sifat riya' pula yang dimiliki oleh seseorang adalah suatu tanda bahawa di dalam jiwanya sunyi dari merasakan keagungan dan kebesaran ALLAH s.w.t Mereka cuma memperelok-elokkan dirinya semata-mata kerana makhluk, dan mereka tidak yakin dengan apa yang diketahui oleh Tuhannya.

Barangsiapa yang beramal saleh dan amat mengharap orang lain mengetahuinya agar ia diagungkan maka dia adalah seorang yang riya', menunjuk-nunjuk dan jahil. Matlamatnya hanya dunia. Orang yang benar-benar zuhud adalah orang yang tidak melatah dengan pujian orang lain dan upahan yang diberikan. Namun sebodoh-bodoh manusia membuat amalan akhirat sekadar untuk dunianya. Sepatutnya walaupun dia tidak berupaya untuk berlaku zuhud cukuplah dia mencari dunia dengan memohon restu kepada Sang Pemilik dunia Yang Maha Esa. Ssungguhnya semua jiwa manusia adalah milik ALLAH. Dia akan menerima dan mengabulkan apa yang diharap dan dipintanya.

Penyakit hasad pula adalah musuh ALLAH yang nyata. Orang yang bersifat hasad sebenarnya cuba mempertikaikan kurniaan ALLAH terhadap hamba pilihan-Nya. Seandainya ada terlintas di jiwa insan perasaan ini, dia telah cuba untuk mencanggahi kehendak Sang Pencipta yang Maha Bijaksana. Orang ini layak mendapat kebinasaan.

Hasad ini boleh berlaku dalam urusan dunia, seperti kedudukan dan kekayaan. Ini merupakan yang sekecil-kecilnya. Namun sewajarnya orang itu bukan dijauhi tetapi dikasihi, memandangkan sebenarnya ia sedang diuji. Di samping itu sepatutnya ia bersyukur kepada ALLAH yang mana ia telah terselamat dari ujian itu.

Hasad juga boleh berlaku dalam urusan ilmu dan amal. Sesuatu yang amat buruk ialah apabila tertanam perasaan dengki kepada rakan sepenuntut. Bahkan sepatutnya ia merasa gembira beroleh teman sepejuangan yang boleh membantu dalam perjalannya untuk mengukuhkan ketaqwaannya. Orang mukmin itu menjadi utuh dengan saudaranya.

Salah satu kewajipan bagi seorang muslim ialah berusaha bersungguh-sungguh dengan jiwa dan raganya untuk menghimpunkan manusia yang mentaati ALLAH, tanpa menghiraukan siapakah manusia yang paling taat dan sipakah pula yang terhebat. Itu adalah kurniaan ALLAH. Dia mengurniakan kelebihan-Nya kepada siapa yang dikehendaki dengan cara-Nya.

Banyak akhlak hati itu terdapat pada diri manusia. Demi meringkaskan perbincangan hanyalah disebut sifat-sifat buruk yang menjadi punca kepada segala kerosakan. Punca utama dan asal segala penyakit hati adalah cinta kepada dunia. Hal ini telah ditegaskan di dalam hadith yang bemaksud: "Punca segala kerosakan adalah cinta dunia."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan