Rabu, Januari 23

Ayat² Cinta

الســــلام عليكم ورحمة الله وبركـــاته





Titipan al-Fadhil Ustaz Md Mazdiuky Md Ishak حفظه الله تعالى : "KEHARUMAN MAJLIS SELAWAT NABI - Telah diriwayatkan bahawa RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :

"Tidak duduk (yakni hadhir) sesuatu kaum dalam sebuah Majlis kemudian mereka berpisah atau bersurai tanpa berselawat ke atasku melainkan perpisahan mereka itu atas bau busuk seperti bau bangkai himar."


Apabila sesuatu Majlis di mana para hadhirin yang menghadhirinya tidak berselawat ke atas RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم di dalamnya, akan menyebabkan mereka berpisah atau bersurai atas bau busuk seperti bau bangkai himar (keldai), maka tidaklah menghairankan jika Majlis yang di dalamnya diucapkan ucapan-ucapan selawat ke atas RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم akan menyebabkan para hadhirin yang menghadhirinya mendapat bau wangi yang paling harum dan paling baik.


Dan yang sedemikian itu adalah kerana RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم adalah makhluk yang terbaik dan yang paling suci, yang mana apabila Baginda bersabda dalam sesuatu Majlis, nescaya penuhlah Majlis tersebut dengan bau harum mewangi semerbak kasturi.


Maka demikianlah juga pada Majlis yang disebut di dalamnya akan RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم (yakni dengan berselawat, mendengar hadith-hadith baginda, mendengar ajaran-ajaran Baginda dan mendengar sirah atau kisah-kisah yang berkaitan dengan Baginda), nescaya akan terbitlah bau harum semerbak mewangi yang menembusi tujuh petala langit hinggalah ke `Arasy, keharumannya dicium oleh segala makhluk ALLAH سبحانه وتعالى yang di bumi selain daripada jin dan manusia.


Kalaulah manusia dan jin dapat mencium bau harum tersebut, nescaya lupalah mereka akan segala urusan penghidupan mereka, kerana terlalu sibuk menikmati kelazatan dan kenikmatan bau harum tersebut. Manakala, setiap malaikat dan makhluk ALLAH سبحانه وتعالى selain jin dan manusia, yang mencium bau harum tersebut akan berdoa memohon keampunan untuk orang-orang yang hadhir dalam Majlis tersebut, dan akan dituliskan bagi mereka yang hadhir itu pahala sebanyak bilangan makhluk ALLAH سبحانه وتعالى yang mencium bau harum tersebut serta diangkat darjat mereka menurut bilangan makhluk-makhluk tersebut. Maka setiap orang, masing-masing akan mendapat pahala yang sedemikian tadi tanpa mengira berapa jumlah mereka yang berhimpun dalam Majlis tersebut, sama ada hanya seorang ataupun seratus ribu orang, dan apa yang ada di Sisi ALLAH daripada pahala dan ganjaran adalah terlebih banyak lagi.


Maka wahai pencinta-pencinta RasuluLlah صلى الله عليه وآله وسلم hendaklah kamu berselawat ke atas Baginda nescaya ALLAH, Tuhan yang Maha Tinggi akan Memberikan kamu minuman kerohanian penghubung kasih, memakaikan kamu dengan pakaian keindahan dan kesempurnaan serta menghiasi kamu dengan kitabNYA yang mulia. - Nasihat al-Imam Ibnul Jauzi رحمة الله تعالى عليه"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan