Berkenaan mengenai puasa sunat di bulan
Rajab , terdapat segelintir manusia yang mengembar gemburkan larangan berpuasa
di bulan Rajab atau cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan
beribadat dibulan Rajab dan tidak ada kelebihan bulan Rejab berbanding
bulan-bulan selainnya ataupun sekurang-kurangnya cuba mengwas-waskan orang
ramai terhadap keutamaan bulan Rajab dengan beralasankan hadits- hadits yang
mengisahkan fadilat puasa di bulan Rajab adalah dhaif dan maudhu’. Maka mereka
melarang atau sekurang- kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta
untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rajab dengan alasan yang tersebut
sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri
ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para
ulama yang muktabarah.
Ini boleh kita lihat kenyataannya
daripada jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq al-Imam al-Allamah Ibnu Hajar
Al-Haitami رحمه
الله تعالى, wafat tahun 974
dalam kitab al-Fatawa al-Kubro al-Fiqhiyah karangan beliau juzu yang
kedua, mukasurat 3, cetakan Darul Kutub al-Ilmiah.
Al-Allamah Ibnu Hajar رحمه الله تعالى ini hidup dikurun ke-9 Hijrah, kira-kira empat ratus tahun
dahulu. Maka, persoalan ini sebenarnya telah dijawab terlebih dahulu kira-kira
empat ratus tahun dulu lagi. Tiba-tiba hari ini datang seorang hamba Allah yang
mendakwa dirinya mempunyai ilmu yang dipelajari melebihi tahap masa tiga (3)
tahun , cuba membongkar semula masalah ini , atas alasan maudhu dan dhaif
haditsnya. Maka tidak sunat puasa di bulan Rajab?. Apakah maksud sebenar beliau
ini?, Kalau sekadar untuk memaklumkan maudhu dan dhaif haditsnya sahaja
tidaklah menjadi masalah. Tetapi kalau sampai membatalkan hukum sunat berpuasa
di bulan Rajab dan melarang orang ramai mendapatkan kelebihan bulan Rajab ,
maka sudah termasuk kategori melakukan suatu yang bercanggah dengan kepentingan
awam Muslimin. Sebenarnya bukan orang ramai yang dilarang mendapatkan fadhilat
berpuasa dibulan Rajab, beliaulah yang sepatutnya ditegah daripada
menyebar–luas fahaman songsang tersebut.
Al-Allamah Ibnu Hajar al Haitami رحمه الله تعالى mengulas: “Terdapat seorang ahli Feqah yang sentiasa menegah
manusia daripada berpuasa di bulan Rajab adalah kerana kejahilan padanya, dan
membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang
sucinya. Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para
Hakim Mahkamah Syariah melarangnya (menegahnya) daripada menyebarkan larangan
tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang
sepertinya dengan hukuman Takzir yang sungguh- sungguh, yang memberi faedah
tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rajab.
Seolah-olahnya Faqih (ahli fekah) yang jahil tersebut terpedaya dengan satu
hadits yang diriwayatkan yang menyatakan: “Bahawasanya Neraka Jahanam
menyala-nyala bermula daripada haul (pusingan) daripada satu haul kepada satu
haul bagi sesiapa yang berpuasa Rajab”. Padahal Si Jahil yang terpedaya
tersebut tidak mengetahui bahawasanya hadits yang termaklum itu adalah batil,
dusta yang tidak halallah meriwayatnya sebagaimana yang telah menyebut oleh
Syaikh Abu Omar bin Sollah (Ibnu Solah) رحمه الله تعالى dan menegah engkau dari (meriwayatkannya), kerana memeliharakan
sunnah, dan memeliharakan kebesaran ilmu. Beliau berfatwa berbetulan dengan
fatwa Izzudin bin Abdis Salam رحمه الله تعالى, yang mana sesungguhnya telah disoal mengenai catitan
sebahagian Ahli Hadits terdapatnya TEGAHAN berpuasa di bulan Rajab dan
membesarkan bulannya al-Haram, maka adakah sah nazar berpuasa pada keseluruhan
bulan Rajab?
Maka Syeikh ‘Izzudin Abdis Salam رحمه الله تعالى menjawab: “Nazar puasanya sah, beliau tersebut sebenarnya telah
melazimkan penghampiran diri kepada Allah Taala dengan seumpama mengerjakan
puasa . Mereka yang menegah daripada berpuasa di masa tersebut adalah jahil
terhadap tempat ambilan (istinbat hukum-hukum syarak). Maka betapa pula dia
menegahkan daripada berpuasa padahal bahawasanya para ulama` yang mana mereka
telah menyusun (mentadwinkan) hukum–hukum syariah, tidak pernah ada dikalangan
mereka seorang pun yang menyebut termasuk larangan yang makruh berpuasa bahkan
sebenarnya puasanya adalah merupakan taqarub yakni penghampiran diri kepada
Allah Ta’ala kerana berdasarkan beberapa hadits yang shahih yang
menyungguh-nyungguh mendorong berpuasa seperti mana sabda Nabi صلى الله عليه وسلم, berfirman Allah Taala “ Tiap–tiap anak Adam adalah baginya
(yakni boleh diketahui hitungan pahalanya) melainkan puasa. Dan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : “Sesungguhnya berubah bau mulut seseorang yang berpuasa
terlebih harum disisi Allah Taala daripada bau kasturi”.
Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم: “ Sesungguhnya seafdhal- afdhal puasa ialah puasa saudaraku
Daud عليه السلام. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari”. Adalah Nabi Daud عليه السلام berpuasa dengan cara tersebut tanpa mengaitkan dengan bulan-
bulan yang selain daripada bulan Rajab dan tanpa mengaitkan selain daripada
membesarkan bulan Rajab lain dari apa yang berlaku disisi puak jahiliyah yang
mana mereka juga membesarkan bulan Rajab.
Maka Daud عليه السلام dengan sebab berpuasanya bukanlah pula mengikut jahiliyah.
Tidaklah kesemua perkara yang dilakukan jahiliyah ditegah melakukannya,
melainkan apabila terdapat Tegahan Syariat padanya, atau terdapat dalil-dalil
qaedah syariat yang menegahnya. Dan tidak pula ditinggalkan perkara yang sebenar
disebabkan kerana terdapat orang-orang yang mengikut sesuatu kebatilan
melakukannya.
(Sebenarnya) Orang yang melarang
berpuasa (Rajab) tersebut adalah seorang yang jahil yang terserlah
kejahilannya. Tidak halal (yakni haram lah) seseorang Islam mengikuti agama
orang tersebut. Kerana tidak harus bertaqlid (mengikut) agama orang tersebut
disebabkan, seseorang Islam tidak dibenarkan mengikut (sesuatu fatwa) melainkan
kepada mereka yang telah masyhur memahami, mengetahui dan mengertinya terhadap
segala hukum Allah Ta’ala dan memahami, mengetahui dan mengertinya segala
tempat pengambilan hukum yaitu dalil-dalil hukum.
Apa yang telah dibentangkan dan
dibangsakan kepada ahli feqah tersebut adalah jauh dari faham, mengerti dan
mengetahui berkenaan agama Allah Ta’ala. Maka janganlah diikut pada fatwa dan
pendapatnya. Sesiapa sahaja yang mengikutinya, nescaya terpedayalah dengan
agama ahli fekah itu”. - Tammat fatwa Izzuddin Abdis Salam.
Seterusnya Ibnu Sholah telah menjelaskan
maksud Fatwa Izzuddin Abdis Salam رحمه الله تعالى dalam kitab Fatawa Kubro tersebut di
muka surat yang sama.
“Dan telah mengisyaratkan oleh Izzuddin
Abdis Salam رحمه
الله تعالى bahawa memadai
pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan apa yang telah diriwayatkan oleh beberapa
hadits yang menunjukkan atas fadhilat (kelebihan) puasa Yang mutlak (yakni yang
umum, yang menyeluruh) dan Yang khusus kelebihannya pada BULAN-BULAN HARAM. Yaitu
seperti hadits Abu Daud dan Ibnu Majah dan hadits riwayat selain mereka,
daripada al-Bahili: Aku datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Saya adalah seorang lelaki
yang datang bertemu Tuan pada tahun yang pertama. Baginda bersabda: Mengapa ku
lihat tubuhmu kurus kering?. Jawab al-Bahili: Ya Rasulullah, tidak ada benda
yang saya makan disiang hari yang saya makan melainkan (dimakan) pada malam
sahaja. Bertanya Nabi صلى
الله عليه وسلم: Siapa pula yang
menyuruh engkau mendera dirimu?. Aku menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya
saya kuat (berpuasa). Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dibulan sabar, dan tiga hari selepasnya dan
berpuasalah dibulan-bulan Haram” .
Pada satu riwayat lain: “Berpuasalah
dibulan sabar dan sehari pada tiap-tiap bulan.” Berkata al-Bahili: Tambahi lagi
sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dua hari. Berkata al-Bahili: Tambahilah lagi maka
sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah tiga hari selepasnya dan berpuasalah di BULAN
HARAM dan tinggallkanlah, puasalah dibulan Haram dan tinggalkanlah. Bersabda
Rasululah صلى الله عليه وسلم sambil menghimpunkan jari-jari nya yang tiga kemudian
melepaskannya”.
Para Ulama’ telah mengulas bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh al-Bahili berhenti berpuasa (beberapa ketika) kerana
mendapati kesusahannya untuk membanyakkan puasa seperti yang telah dinyatakan
pada awal-awal hadits pertama, dan sesiapa yang tidak kepayahan (yakni mampu),
maka berpuasa keseluruhan adalah satu fadhilat (kelebihan).
Perhatikanlah: Perintah Nabi صلى الله عليه وسلم dengan berpuasa di BULAN-BULAN HARAM
pada riwayat yang pertama dan perintah Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa dalam sebahagian dari BULAN-BULAN HARAM pada riwayat
yang kedua nescaya engkau akan dapati NAS PERINTAH BERPUASA RAJAB atau BERPUASA
SEBAHAGIAN DARINYA KERANA RAJAB ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA BULAN-BULAN HARAM
bahkan ia adalah yang paling AFDHAL dari semua bulan-bulan haram.
Maka perkataan orang jahil tersebut
“Bahawa hadits-hadits berpuasa diBulan Rejab adalah maudhu’, jika dia
memaksudkannya menyeluruh pada segala hadits-hadits yang menunjuk kepada
berpuasa Rajab menurut umumnya hadits dan khususnya, itu sebenarnya adalah satu
pendustaan dan pembohongan pula dari si jahil tersebut. Hendaklah dia bertaubat
(dari fahamannya dan meyebar-luaskan fatwanya kepada orang ramai) kalau tidak
mahu juga, di takzir lah atasnya dengan takzir yang sungguh-sungguh oleh
pemerintah (lantaran fahaman songsangnya).
Disatu sudut memang betul juga
terdapatnya banyak hadits-hadits yang maudhu, yang dusta berkenaan Puasa Rajab
walhal para imam kita tidak langsung berpegang dengan hadits-hadits maudhu’
tersebut sebagai dalil Sunat Puasa Rajab. Jauhlah mereka hendak bertindak
sebegitu. Sebenarnya hanyalah mereka berdalilkan sepertimana yang telah saya
nyatakan dan terdapat lagi hadits-hadits dan dalil-dalil yang lain. Sebahagiannya
sepertimana terdapatnya hadits-hadits yang popular misalnya hadits yang:
1) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi
daripada Anas رضي
الله عنه, beliau telah
memarfu’kannya:
إِنَّ
فِي الْجَنَّةِ نَهْرٌ يُقَالُ لَهُ رَجَبٌ مَاؤُهُ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ
اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنَ الْعَسَلِ مَنْ صَامَ يَوْمًا مِنْ رَجَبٍ سَقَاهُ
اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ النَّهْرِ
Ertinya: Sesungguhnya didalam syurga ada
sebuah sungai yg dipanggil Rajab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya
lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rajab, maka
Allah akan memberi ia minum dari sungai itu".
(2) Riwayat daripada Abdullah bin Said
dari bapanya beliau memarfu’kannya:
مَنْ صَامَ
يَوْمًا مِنْ رَجَبٍ كَانَ
كَصِيَامِ سَنَةٍ، وَمَنْ
صَامَ سَبْعَةَ أَيَّامٍ
غُلِّقَتْ عَنْهُ أَبْوَاب جَهَنَّمَ . وَمَنْ صَامَ ثَمَانِيَةَ
أَيَّامٍ فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ ، وَمَنْ صَامَ عَشَرَةَ أَيَّامٍ لَمْ
يَسْأَلِ اللهِ شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ الله اِيَّاهُ، وَمَنْ صَامَ خَمْسَةَ
عَشَرَ يَوْمًا نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ قَدْ
غُفِرَ لَكَ مَا قَدْ سَلَفَ،
فَاسْتَأْنِفِ الْعَمَلَ، وَقَدْ
بُدِّلْتَ سَيِّئَاتك
حَسَنَات وَمَنْ زَادَ زَادَهُ اللَّهُ.
Ertinya: Barangsiapa berpuasa sehari
didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun , dan siapa yg berpuasa
didalamnya tujuh (7) hari maka akan ditutup tujuh pintu-pintu neraka Jahannam,
dan barangsiapa yang berpuasa lapan (8) hari maka lapan pintu-pintu syurga akan
terbuka, dan barangsiapa yang berpuasa sepuluh (10) hari, tidaklah jika dia
berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa limabelas
(15) hari, menyerulah penyeru dari langit: “Sesungguhnya telah diampunkan
bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru, dan sesungguhnya
telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang
melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.
Kemudian al-Baihaqi telah menaqalkan
daripada Gurunya al-Hakim bahawa hadits yang pertama diatas adalah statusnya
mauquf atas Abi Qilabah seorang Tabi’in. Orang yang seperti beliau tidak akan
berkata-kata melainkan diambil daripada seseorang (yaitu para shahabat) yang
perkataannya diambil pula daripada tuan yang menerima wahyu (yaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم).
Mengenai Hadits yang diriwayatkan
daripada Abi Hurairah رضي
الله عنه pula “Bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa selepas Ramadhan melainkan Rajab dan
Sya’ban “. Beliau berkata Isnad hadits tersebut dhaif . - Tammat komentar
Ibnu Solah.
Syeikh al-Allamah Ibnu Hajar رحمه الله تعالى menjelaskan pula fungsi hadits-hadits dhaif yang berkisar dalam
masalah Puasa Rejab ini. Beliau menulis di halaman 5: “Sesungguhnya para ulama’
telah menetapkan bahawa hadits-hadits dhaif, mursal, munqothi’, mu’dhal dan
mauquf diamalkan dengannya pada fadho`ilil a’mal atas dasar IJMA’. Maka tidak
syak lagi bahawa berpuasa Rajab adalah sebahagian daripada fadho`ilil a’mal.
Memadailah padanya dengan hanya berdalilkan hadits-hadits dhaif dan yang
sepertinya, tiadalah diingkari demikian itu melainkan orang-orang yang JAHIL
YANG TERPEDAYA”. - Tammat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan