Selasa, Mei 29

Persoalan Puasa Rejab - Bahagian 1


Sekarang kita berada dibulan Rejab. Suatu hal yang menyedihkan apabila terdapat segolongan manusia jahil tapi berlagak 'alim yang telah mengeluarkan pelbagai pendapat songsang mengenai dengan puasa Rejab. Ada diantara mereka yang membid'ahkan orang yang berpuasa Rejab. Ada yang mengharamkannya. Pendapat-pendapat sebegini meresahkan masyarakat yang telah sedia beramal dengan puasa Rejab. Oleh yang demikian saya bawakan disini satu risalah yang ditulis oleh al-Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Raof al-Bahanjee, al-A'liyy - Pondok Jalan Padang Ragut, Seri Repah, Tampin,. Negeri Sembilan, mengenai persoalan puasa Rejab. Moga-moga dengan tuan-tuan/puan-puan berolah manfaat daripadanya. Website al-Fadhil Tuan Guru boleh dilayari disini



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berkenaan mengenai puasa sunat di bulan Rajab , terdapat segelintir manusia yang mengembar gemburkan larangan berpuasa di bulan Rajab atau cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan beribadat dibulan Rajab dan tidak ada kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan selainnya ataupun sekurang-kurangnya cuba mengwas-waskan orang ramai terhadap keutamaan bulan Rajab dengan beralasankan hadits- hadits yang mengisahkan fadilat puasa di bulan Rajab adalah dhaif dan maudhu’. Maka mereka melarang atau sekurang- kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rajab dengan alasan yang tersebut sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para ulama yang muktabarah.

Ini boleh kita lihat kenyataannya daripada jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq al-Imam al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974 dalam kitab al-Fatawa al-Kubro al-Fiqhiyah karangan beliau juzu yang kedua, mukasurat 3, cetakan Darul Kutub al-Ilmiah.

Al-Allamah Ibnu Hajar ini hidup dikurun ke-9 Hijrah, kira-kira empat ratus tahun dahulu. Maka, persoalan ini sebenarnya telah dijawab terlebih dahulu kira-kira empat ratus tahun dulu lagi. Tiba-tiba hari ini datang seorang hamba Allah yang mendakwa dirinya mempunyai ilmu yang dipelajari melebihi tahap masa tiga (3) tahun , cuba membongkar semula masalah ini , atas alasan maudhu dan dhaif haditsnya. Maka tidak sunat puasa di bulan Rejab?. Apakah maksud sebenar beliau ini?, Kalau sekadar untuk memaklumkan maudhu dan dhaif haditsnya sahaja tidaklah menjadi masalah. Tetapi kalau sampai membatalkan hukum sunat berpuasa di bulan Rajab dan melarang orang ramai mendapatkan kelebihan bulan Rajab , maka sudah termasuk kategori melakukan suatu yang bercanggah dengan kepentingan awam Muslimin. Sebenarnya bukan orang ramai yang dilarang mendapatkan fadhilat berpuasa dibulan Rajab, beliaulah yang sepatutnya ditegah daripada menyebar–luas fahaman songsang tersebut.

Al-Allamah Ibnu Hajar al Haitami mengulas:
“Terdapat seorang ahli Feqah yang sentiasa menegah manusia daripada berpuasa di bulan Rajab adalah kerana kejahilan padanya, dan membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang sucinya. Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para Hakim Mahkamah Syariah melarangnya (menegahnya) daripada menyebarkan larangan tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang sepertinya dengan hukuman Takzir yang sungguh- sungguh, yang memberi faedah tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rejab. Seolah-olahnya Faqih (ahli fekah) yang jahil tersebut terpedaya dengan satu hadits yang diriwayatkan yang menyatakan:

“Bahawasanya Neraka Jahanam menyala-nyala bermula daripada haul (pusingan) daripada satu haul kepada satu haul bagi sesiapa yang berpuasa Rajab”.

Padahal Si Jahil yang terpedaya tersebut tidak mengetahui bahawasanya hadits yang termaklum itu adalah batil, dusta yang tidak halallah meriwayatnya sebagaimana yang telah menyebut oleh Syaikh Abu Omar bin Sollah (Ibnu Solah) dan menegah engkau dari (meriwayatkannya), kerana memeliharakan sunnah, dan memeliharakan kebesaran ilmu. Beliau berfatwa berbetulan dengan fatwa Izzudin bin Abdis Salam, yang mana sesungguhnya telah disoal mengenai catitan sebahagian Ahli Hadits terdapatnya TEGAHAN berpuasa di bulan Rajab dan membesarkan bulannya al-Haram, maka adakah sah nazar berpuasa pada keseluruhan bulan Rajab?

Izzudin Abdis Salam menjawab: “Nazar puasanya sah, beliau tersebut sebenarnya telah melazimkan penghampiran diri kepada Allah Taala dengan seumpama mengerjakan puasa . Mereka yang menegah daripada berpuasa di masa tersebut adalah jahil terhadap tempat ambilan (istinbat hukum-hukum syarak). Maka betapa pula dia menegahkan daripada berpuasa padahal bahawasanya para ulama` yang mana mereka telah menyusun (mentadwinkan) hukum–hukum syariah, tidak pernah ada dikalangan mereka seorang pun yang menyebut termasuk larangan yang makruh berpuasa bahkan sebenarnya puasanya adalah merupakan taqarub yakni penghampiran diri kepada Allah Ta’ala kerana berdasarkan beberapa hadits yang shahih yang menyungguh-nyungguh mendorong berpuasa seperti mana sabda Nabi صلى الله عليه وسلم, berfirman Allah Taala “ Tiap–tiap anak Adam adalah baginya (yakni boleh diketahui hitungan pahalanya) melainkan puasa. Dan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم : “Sesungguhnya berubah bau mulut seseorang yang berpuasa terlebih harum disisi Allah Taala daripada bau kasturi”.

Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وسلم: “ Sesungguhnya seafdhal- afdhal puasa ialah puasa saudaraku Daud عليه السلام. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari”. Adalah Nabi Daud عليه السلام berpuasa dengan cara tersebut tanpa mengaitkan dengan bulan- bulan yang selain daripada bulan Rajab dan tanpa mengaitkan selain daripada membesarkan bulan Rajab lain dari apa yang berlaku disisi puak jahiliyah yang mana mereka juga membesarkan bulan Rajab.

Maka Daud عليه السلام dengan sebab berpuasanya bukanlah pula mengikut jahiliyah. Tidaklah kesemua perkara yang dilakukan jahiliyah ditegah melakukannya, melainkan apabila terdapat Tegahan Syariat padanya, atau terdapat dalil-dalil qaedah syariat yang menegahnya. Dan tidak pula ditinggalkan perkara yang sebenar disebabkan kerana terdapat orang-orang yang mengikut sesuatu kebatilan melakukannya.


(Sebenarnya) Orang yang melarang berpuasa (Rejab) tersebut adalah seorang yang jahil yang terserlah kejahilannya. Tidak halal (yakni haram lah) seseorang Islam mengikuti agama orang tersebut. Kerana tidak harus bertaqlid (mengikut) agama orang tersebut disebabkan, seseorang Islam tidak dibenarkan mengikut (sesuatu fatwa) melainkan kepada mereka yang telah masyhur memahami, mengetahui dan mengertinya terhadap segala hukum Allah Ta’ala dan memahami, mengetahui dan mengertinya segala tempat pengambilan hukum yaitu dalil-dalil hukum.

Apa yang telah dibentangkan dan dibangsakan kepada ahli feqah tersebut adalah jauh dari faham, mengerti dan mengetahui berkenaan agama Allah Ta’ala. Maka janganlah diikut pada fatwa dan pendapatnya. Sesiapa sahaja yang mengikutinya, nescaya terpedayalah dengan agama ahli fekah itu”. - Tammat fatwa Izzuddin Abdis Salam.

Seterusnya Ibnu Sholah telah menjelaskan maksud Fatwa Izzuddin Abdis Salam dalam kitab Fatawa Kubro tersebut di muka surat yang sama.

“Dan telah mengisyaratkan oleh Izzuddin Abdis Salam bahawa memadai pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan apa yang telah diriwayatkan oleh beberapa hadits yang menunjukkan atas fadhilat (kelebihan) puasa
Yang mutlak (yakni yang umum, yang menyeluruh) dan
Yang khusus kelebihannya pada BULAN-BULAN HARAM.
Yaitu seperti hadits Abu Daud dan Ibnu Majah dan hadits riwayat selain mereka, daripada al-Bahili: Aku datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Saya adalah seorang lelaki yang datang bertemu Tuan pada tahun yang pertama. Baginda bersabda : Mengapa ku lihat tubuhmu kurus kering?. Jawab al-Bahili: Ya Rasulullah, tidak ada benda yang saya makan disiang hari yang saya makan melainkan (dimakan) pada malam sahaja. Bertanya Nabi صلى الله عليه وسلم: Siapa pula yang menyuruh engkau mendera dirimu?. Aku menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya kuat (berpuasa). Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dibulan sabar, dan tiga hari selepasnya dan berpuasalah dibulan-bulan Haram” .

Pada satu riwayat lain: “Berpuasalah dibulan sabar dan sehari pada tiap-tiap bulan.” Berkata al-Bahili: Tambahi lagi sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah dua hari. Berkata al-Bahili: Tambahilah lagi maka sesungguhnya daku mempunyai kekuatan. Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم: Berpuasalah tiga hari selepasnya dan berpuasalah di BULAN HARAM dan tinggallkanlah, puasalah dibulan Haram dan tinggalkanlah. Bersabda Rasululah صلى الله عليه وسلم sambil menghimpunkan jari-jari nya yang tiga kemudian melepaskannya”.

Para Ulama’ telah mengulas bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh al-Bahili berhenti berpuasa (beberapa ketika) kerana mendapati kesusahannya untuk membanyakkan puasa seperti yang telah dinyatakan pada awal-awal hadits pertama, dan sesiapa yang tidak kepayahan (yakni mampu), maka berpuasa keseluruhan adalah satu fadhilat (kelebihan).

Perhatikanlah: Perintah Nabi صلى الله عليه وسلم dengan berpuasa diBULAN-BULAN HARAM pada riwayat yang pertama dan Perintah Nabi صلى الله عليه وسلم berpuasa dalam sebahagian dari BULAN-BULAN HARAM pada riwayat yang kedua nescaya engkau akan dapati NAS PERINTAH BERPUASA REJAB atau BERPUASA SEBAHAGIAN DARINYA KERANA REJAB ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA BULAN-BULAN HARAM bahkan ia adalah yang paling AFDHAL dari semua bulan-bulan haram.

Maka perkataan orang jahil tersebut “Bahawa hadits-hadits berpuasa diBulan Rejab adalah maudhu’, jika dia memaksudkannya menyeluruh pada segala hadits-hadits yang menunjuk kepada berpuasa Rejab menurut umumnya hadits dan khususnya, itu sebenarnya adalah satu pendustaan dan pembohongan pula dari si jahil tersebut. Hendaklah dia bertaubat (dari fahamannya dan meyebar-luaskan fatwanya kepada orang ramai) kalau tidak mahu juga, di takzir lah atasnya dengan takzir yang sungguh-sungguh oleh pemerintah (lantaran fahaman songsangnya).

Disatu sudut memang betul juga terdapatnya banyak hadits-hadits yang maudhu, yang dusta berkenaan Puasa Rejab walhal para imam kita tidak langsung berpegang dengan hadits-hadits maudhu’ tersebut sebagai dalil Sunat Puasa Rejab. Jauhlah mereka hendak bertindak sebegitu. Sebenarnya hanyalah mereka berdalilkan sepertimana yang telah saya nyatakan dan terdapat lagi hadits-hadits dan dalil-dalil yang lain.

Sebahagiannya sepertimana terdapatnya hadits-hadits yang popular misalnya hadits yang:

1) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Anas, beliau telah memarfu’kannya:


. إن في الجنة نهرًا يُقال له رجب، ماؤه أشدُّ بياضًا من اللبن وأحلَى من العسل، مَن صام يومًا من رجب سَقاه اللهُ من ذلك النّهر "

Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu".


(2) Riwayat daripada Abdullah bin Said dari bapanya beliau memarfu’kannya:


مَن صام من رجب يوما كان كصيام سنة ومن صام منه سبعةَ أيّام غُلِّقت عنه أبواب جهنم . ومن صام منه ثمانيةَ أيام فُتِّحتْ أبوابُ الجنّةِ ، ومن صام منه عشرة أيام لم يسأل الله شيأ الا أعطاه الله اياه , ومن صام خمسة عشر يوما نادى مناد من السمأ قد غفر لك ما سلف فاستأنف العمل وقد بدلت سيِّئاتك حسنات ومن زاد زاده الله . ٍ

Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun , dan siapa yg berpuasa didalamnya tujuh (7) hari maka akan ditutup tujuh pintu-pintu neraka Jahannam, dan barangsiapa yg berpuasa lapan (8) hari maka lapan pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa sepuluh (10) hari, tidaklah jika dia berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa limabelas (15) hari, menyerulah penyeru dari langit: “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru, dan sesungguhnya telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.


Kemudian al-Baihaqi telah menaqalkan daripada Gurunya al-Hakim bahawa hadits yang pertama diatas adalah statusnya mauquf atas Abi Qilabah seorang Tabi’in. Orang yang seperti beliau tidak akan berkata-kata melainkan diambil daripada seseorang (yaitu para shahabat) yang perkataannya diambil pula daripada tuan yang menerima wahyu (yaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم).

Mengenai Hadits yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah pula “ Bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم tidak pernah berpuasa selepas Ramadhan melainkan Rejab dan Sya’ban “. Beliau berkata Isnad hadits tersebut dhaif . - Tammat komentar Ibnu Solah.

Syaikh al-Allamah Ibnu Hajar menjelaskan pula fungsi hadits-hadits dhaif yang berkisar dalam masalah Puasa Rejab ini. Beliau menulis di muka surat 5.

“Sesungguhnya para ulama’ telah menetapkan bahawa hadits-hadits dhaif, mursal, munqothi’, mu’dhal dan mauquf diamalkan dengannya pada fadho`ilil a’mal atas dasar IJMA’. Maka tidak syak lagi bahawa berpuasa Rejab adalah sebahagian daripada fadho`ilil a’mal. Memadailah padanya dengan hanya berdalilkan hadits-hadits dhaif dan yang sepertinya, tiadalah diingkari demikian itu melainkan orang-orang yang JAHIL YANG TERPEDAYA”. - Tammat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan