Isnin, April 11

Rahsia Solat Lima Waktu

Ali bin Abi Talib r.a. berkata, “Sewaktu Rasullullah saw duduk bersama para
sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan
orang-orang Yahudi lalu berkata, ‘Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada
kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s.
yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat
muqarrab. ‘ Lalu Rasullullah saw bersabda, ‘Silakan bertanya.’ Berkata
orang Yahudi, ‘Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan
oleh Allah ke atas umatmu.’ “Sabda Rasullullah saw,

‘Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala
sesuatu kepada Tuhannya.
Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi.
Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam a.s.
Maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas dan kemudian
dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan
permintaannya.
Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul
sebelumku.
Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari. Ini kerana apabila
matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ
sujudnya setiap orang kafir.’

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah saw, lalu mereka
berkata, ‘Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakanlah
kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang. ‘
Rasullullah saw bersabda, ‘Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama
sembahyang yang pertengahan.
Sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam. Orang-orang mukmin
yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap
api neraka Jahanam pada hari Kiamat.’
Sabda Rasullullah saw lagi, ‘Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana
Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi. Orang-orang mukmin yang mengerjakan
sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.’

Selepas itu Rasullullah saw membaca ayat yang bermaksud, ‘Jagalah
waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan.
Sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam a.s. diterima.
Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta
sesuatu daripada Allah, maka Allah akan perkenankan.’
Sabda Rasullullah saw, ‘Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah
sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang
berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak
berjamaah, Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena nyala api neraka dan
diberikan kepadanya cahaya untuk menyeberangi Titian Sirath.’

Sabda Rasullullah saw seterusnya, ‘Sembahyang Subuh pula, seseorang mukmin
yang mengerjakan sembahyang Subuh selama 40 hari secara berjamaah,
diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu:
a) Dibebaskan daripada api neraka.
b) Dibebaskan dari nifaq.

“Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan daripada Rasullullah saw, maka
mereka berkata, ‘Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad
(saw).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan