Kalam Hikmah, maka kata Sheikh r.a (Muallif Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
Terjemahan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis;
Setengah daripada alamat “mati mata hati” itu ketiadaan dukacita atas luput akan dikau daripada segala kebaktian dan meninggalkan menyesal atas barang yang telah engkau perbuat akan dia daripada wujud segala kesalahan.
Keterangan Suluk
Kalam Hikmah di atas cuba mendedahkan setengah atau sebahagian daripada tanda-tanda yang menunjukkan buta mata hati atau alamat seseorang itu memiliki mata hati yang mati. Antaranya ialah perihal seorang hamba yang tidak sedikit pun merasa dukacita atau bersedih apabila tertinggal sesuatu hak kewajiban yang perlu dilaksanakannya. Contohnya seperti seorang yang tidak merasa apa-apa perasaan rugi atau bersalah setelah tertinggal mengerjakan sholat kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja seperti mesyuarat atau sebagainya. Malah dibiarkan luput begitu sahaja dengan tidak ada usaha untuk segera mengqadakannya.
Lebih jauh daripada itu setengah daripada alamat keadaan hati yang mati dapat dilihat/ditilik pada tingkah laku seorang hamba yang sedikitpun tidak merasa menyesal bila terjatuh dalam dosa atau maksiat pada Allah malah ada setengah daripada mereka merasa seronok dan berbangga dengan dosa dan maksiat yang dikerjakan itu. Lebih parah lagi ada yang suka pula menonjol-nonjolkan dan memperagakan maksiat dan penderhakaan mereka itu untuk ditontoni atau diketahui oleh orang lain. Banyaklah contoh-contoh manusia sebegini dalam masyarakat kita hari ini; yakni masyarakat yang mengejar dunia yang “glamour” ; masyarakat yang berfahaman rasionalis dan materialis malah ada yang sampai menganut fahaman “matlamat menghalalkan cara” yang dipelopori oleh iblis laknatullah.
Demikianlah pengertian pertama yang boleh diambil kefahaman daripada Kalam Hikmah di atas khususnya ditujukan atau dimaksudkan kepada golongan manusia awam yang lalai, jahil lagi secara terang-terangan meninggalkan sesautu kebaikan dan berebut-rebut dan berlumba-lumba pula mencipta, mencetus, dan melakukan dosa maksiat dan penderhakaan terhadap kemurniaan agama dengan mencabul dan memperkosa kemuliaan syariat Islam.
Pengertian yang kedua pula adalah ditujukan kepada golongan Salik yang sedang berjalan menuju Allah. Mata Hati yang hidup serta celik sangat diperlukan oleh mereka dalam meniti perjalanan mereka yang penuh dengan liku-liku, duri dan ranjau. Amalan-amalan Sunat atau Wirid-wirid yang khusus adalah merupakan kebaktian seperti yang terdapat dalam maksud Kalam Hikmah di atas. Jika terluput sesuatu amalan harian atau wirid-wirid yang selalu dikerjakan selama bertahun-tahun lamanya dengan kerana sesuatu perkara lain yang mendatangi dan segera mendatangkan rasa dukacita atau sedih; di samping bersegera untuk terus mengqadanya atau kembali bertawajjuh kepada Allah, maka itu alamat mata hati yang hidup dan celik. Sebab itulah wirid-wirid yang dikerjakan jika tertinggal kerana sesautu musyakkoh, ianya sunat diqadakan. Antara contohnya seperti Sholat Sunat Witir dsb.
Sebaliknya jika seorang Salik yang tidak merasa dukacita kerana terluput wirid hariannya atau segera menyesal bila berlaku pelanggaran dosa-dosa batin, maka ini menunjukkan hati yang sebelum ini hidup sedang sakit dan ada tanda-tanda untuk buta atau terus mati. Tidak sedih kerana tidak berupaya/berkesempatan melakukan amalan sunat; itu tanda hati mati. Tidak menyesal dan segera bertaubat bila timbul rasa ujub dan riya dalam amalan, itu tanda hati mati. Inilah sebahagian daripada makna-makna yang terhimpun dari kalam hikmah di atas. Guru suluk dalam usaha untuk menjelaskan perihal hidup dan matinya hati telah memetik kata-kata yang tersebut dalam Kitab Syarah Hikam sebagaimana berikut;
Mati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
* 1. Hubbul Dunia (Kasihkan Dunia)
* 2. Lalai daripada ZikiruLlah (meningati Allah)
* 3. Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
* 1. Zuhud dengan dunia
* 2. ZikruLlah
* 3. Bergaul atau berkawan dengan Aulia Allah.
Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;
Bermula Qalbun itu apabila ia hidup dengan Iman, maka bercita ia atas barang yang telah luput akan dia daripada segala Taat dan menyesal ia atas barang yang telah diperbuatnya daripada segala kesalahan.
Dan dikehendaki itu(Qalbun yang hidup dengan Iman ialah) wujud suka pada yang dikerjakannya dalamnya daripada segala taat dan dijauhinya daripada segala maksiat dan kejahatan.
Dan kata Ibnu Mas’ud r.a. ;
Bermula orang Mukmin itu melihat ia akan segala dosanya seperti bukit takut ia bahawa jatuh ia atasnya; dan orang yang derhaka itu melihat segala dosanya seperti lalat yang jatuh atas hidungnya.
Keterangan Suluk
Sebagai meneruskan penerangan yang selanjutnya Tok Pulau Manis menjelaskan bahawa Qalbun atau hati yang hidup dengan cahaya Iman akan selalu bercita-cita atau berhasrat dengan segera mendatangkan/mengqadakan atau menggantikan sesuatu amal kebajikan yang baik sama ada yang fardu atau yang sunat apabila ianya tertinggal atau terluput. Ini adalah kerana cahaya iman yang dimiliki itu akan menerbitkan keyakinan pada perkara-perkara ghaib dan dapat merasa akan azab siksa dan kerugian mereka apabila di alam barzakh , di masyar nanti dan di alam akhirat nanti. Pertemuan dengan Allah Taala di Yaumul Qiyamah sentiasa terbayang dalam mata hati yang hidup ini. Dengan itu sebarang kesalahan, dosa maksiat dan kelalaian terhadap Allah akan sentiasa disegerakan dengan merujuk dan bertaubat kepada Allah dengan hati yang betul-betul menyesalinya. Inilah sebahagian daripada maksud (Qalbun yang hidup dengan Iman).
Sebab itulah orang-orang mukmin sentiasa melihat dosa-dosanya besar seperti bukit walaupun ianya dosa kecil jika dihadapkan dengan Keadilan Allah yang bersifat Al-Qahar, Al-Qawi dan Al-’Azhim. Bagi mereka yang beriman ini tiada ada bezanya di sisi Allah dosa kecil atau dosa besar, malah dosa tetap dosa walau sekecil mana sekalipun jika dihadapkan dengan keadilan Allah.
Berbeda dengan orang-orang fasik yang derhaka. Mereka sentiasa memperlekehkan dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakan. Ada yang berkata, cukup dengan mengambil wudhu sahaja akan gugurlah dosa itu atau cukup dengan membantu atau memberi sedekah kepada yang berhajat, Allah akan mengampuni dosa-dosa kecil itu. Dengan fahaman yang salah ini mereka akan sentiasa mengekali dosa-dosa kecil ini sedangkan mereka tidak tahu, dosa-dosa kecil ini jika dikerjakan secara berterusan akan menjadi dosa yang besar pula. Malah yang lebih parah lagi ialah hati mereka akan mati dan berkarat dengan kerana kelamnya dosa-dosanya yang membekas pada hati mereka. Demikianlah sebahagian daripada makna-makna yang boleh diterangkan dari petikan kata Ibnu Mas’ud r.a di atas
Dengan kerana inilah sesuatu yang jahat atau salah wajib dianggap dan dikata salah atau jahat dan sesuatu yang baik itu sentiasa perlu dianggap tetap baik. Demikianlah pesanan dan pengajaran yang terdapat dalam petikan hadis yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis sebagai menyambung kupasan dan keterangan beliau seperti berikut;
Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan telah tersebut dalam hadis;
“Barangsiapa dibaikkannya (akan) kebaikan dan dijahatkannya (akan) kejahatan, maka (mereka itu )iaitu mukmin.”
Maka jikalau tiada ada hamba itu bersifat dengan sifat itu dan ketiadaan bercita-cita (mengqadakan) atas yang luput akan dia dan ketiadaan menyesal atas yang datang akan dia, maka iaitu “Mati Hati” kerana amal yang baik itu alamat yang diredhoi Allah dan amal yang jahat itu alamat yang dibenciNya atasnya.
Maka dalam “Hidup Hati” itu kuatlah harap(Roja’)nya atas bersungguh-sungguh dalam segala taat dan kuatlah takut(Khauf)nya atas bersungguh-sungguh dalam menjauh segala maksiat daipadanya.
Keterangan Suluk
Sesungguhnya setiap hamba yang mengerjakan amal kebajikan yang baik mengikut syariat atau syarak itu menjadi alamat dan petunjuk bahawa mereka telah mendapat keredhoan Allah Taala; sebaliknya barangsiapa yang sentiasa melakukan amal kejahatan secara angkuh dan berterusan, maka itu dalil atau alamat yang menunjukkan bahawa mereka dibenci dan dilaknat oleh Allah Taala.
Dengan kerana itulah ditegaskan oleh Tok Pulau Manis; barangsiapa tidak bersifat dengan sifat membesar-besar dan melaksanakan(serta menyebarkan) setiap perkara yang dianggap kebaikan oleh syarak di samping menjauhkan segala perkara-perkara kejahatan walaupun kecil ditambah lagi dengan tidak menunjukkan rasa bersalah di atas dosa dan kejahatan yang dilakukan secara bertebaran, maka itu dalil yang menunjukkan jiwa yang kaku atau “Hati Yang Mati”.
Seterusnya dinyatakan pula akan sifat-sifat hati yang terbit dari “Hati Yang Hidup”. Sifat Roja atau harapkan limpah keampunan dan pertolongan serta sifat Khauf atau takutkan pada balasan dan siksaan Allah di atas keadilannya merupakan antara sifat-sifat mahmudah yang membaikkan hati dan menjernihkan mata hati. Sifat-sifat ini juga merupakan perhiasan Aulia-aulia Allah dan pakaian para Nabi dan Mursalin.
Dua sifat hati yang mulia ini akan menjadi penimbang kepada seorang hamba yang sentiasa mendorong mereka untuk tidak mudah berputus asa dengan Allah (kerana kuatnya Roja’ pada Allah) dan tidak terlalu merasa selesa dengan amal kebajikan yang banyak (kerana kuatnya Khauf pada Allah)..
Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;
Dan adalah ubat “Mati Qalbun” itu dengan Muwazhobah(mengekali) atas “Zikir” dengan kuat(yakni bersungguh-sungguh) dengan menghadirkan barang yang telah dijanjikan dengan dia(zikir) kepada segala orang yang ahli maksiat. Dan yang demikian itu dengan berbanyak-banyak mendengar pengajaran yang menipiskan(menjernihkan) hati.
Keterangan Suluk
Hati yang mati adalah hati yang berpenyakit. Punca-punca dan sebab-sebab mati hati ialah sebagaimana yang telah dibincangkan di atas iaitu tidak merasa dukacita kerana terlepas dari mengerjakan amal kebaikan di samping tidak merasa menyesal setelah jatuh dalam dosa dan maksiat. Untuk menghidupkan hati dengan sifat-sifat yang mulia seperti Roja’ dan Khauf dan sifat-sifat lainnya, maka suatu ubat diperlukan demi untuk mengubat dan menghidupkan hati yang mati itu. Dasar dan konsepnya tetap sama dengan segala penyakit-penyakit anggota badan yang zhohir iaitu “Bagi setiap penyakit ada ubatnya” sebagaimana yang terdapat dalam hadis Rasulullah SAW.
Melalui keterangan Aulia Allah(Tok Pulau Manis) di atas, kita ditunjukkan dengan dua ubat yang amat berkesan untuk menghidupkan hati iaitu
* dengan Muwazhobah(mengekali) atas “Zikir” dengan kuat(yakni dengan bersungguh-sungguh) dan
* dengan berbanyak-banyak mendengar pengajaran yang menipiskan(menjernihkan) hati.
Maksud mendengar pengajaran di atas ialah menuntut atau mempelajari Ilmu Tauhid dan Ilmu Tasauf yang banyak membicarakan tentang hal-ahwal pembersihan hati. Ubat-ubat ini sebaiknya dicampur pula dengan ubat sebagaimana penjelasan guru suluk seperti di atas iaitu;
* Zuhud dengan dunia
* Bergaul atau berkawan dengan Aulia Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan