Allah berfirman:
“Allah tiada menghendaki untuk menjadikan kesukaran ke atas kamu, akan tetapi Dia menghendaki untuk mensucikan kamu.”
(al-Maidah:7)
Allah berfirman lagi:
“Padanya ada orang-orang yang suka sekali bersuci dan Allah mencintai orang-orang yang bersuci itu.” (at-Taubah: 109)
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Kunci sembahyang adalah bersuci.”
“Agama itu didirikan atas kebersihan.”
Orang-orang
yang mempunyai pandangan yang jauh dapat mengambil kesimpulan dari
keterangan-keterangan ini, bahawa perkara yang amat penting sekali ialah
mensucikan kebatinan, kerana jauh sekali maksud dari Hadith berikut
ini:
“ Kesucian itu adalah setengah dari iman.”
Iaitu hanya untuk mensucikan kelahiran saja, yakni dengan menyirami tubuh dengan air dan mengalirkannya ke
seluruh anggota badan, sedangkan kebatinannya tetap rosak dan
ditinggalkannya terisi dengan anasir-anasir yang jahat dan
kotor-kotoran. Alangkah jauh sekali ia boleh bermaksud demikian.
Taharah atau bersuci itu ada empat tingkatnya, iaitu:
-
Mensucikan anggota-anggota lahir dari hadas-hadas (najis-najis), anasir-anasir kotor dan yang tidak perlu.
-
Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.
-
Mensucikan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
-
Mensucikan
kebatinan dari tertumpu kepada semua perkara selain Allah Subhanahu
wa Ta’ala, dan ini adalah cara bersucinya para Nabi
Salawatullahi-alaihim dan juga para Siddiqin.
Seseorang
hamba tidak akan sampai ke tingkat yang tertinggi sekali, melainkan
setelah melalui tingkat yang rendah terlebih dulu. Dia tidak akan sampai
kepada tingkat mensucikan kebatinan dari sifat-sifat yang terkeji itu
dan menggantikan tempatnya dengan sifat-sifat yang terpuji, selagi belum
selesai membersihkan hati dari akhlak yang tercela dan menggantikan
tempatnya dengan akhlak yang baik. Demikian pula ia tiada akan sampai ke
tingkat ini, melainkan sesudah selesai dari mensucikan segala
anggota-anggota badan dari larangan-larangan Allah dan menggantikan
tempatnya dengan kerja-kerja ketaatan kepadaNya.
Oleh sebab itulah, apabila yang dituntut itu bernilai dan mulia,
tentulah lebih sukar dan susah untuk mencapainya, lebih banyak pula
halangan-halangannya. Maka janganlah anda menyangka bahawa tingkat itu
akan didapati dengan hanya bercita-cita saja, atau akan dicapai dengan
cara yang mudah.
Akan
tetapi bila seseorang itu buta mata hatinya dengan perbedaan
tingkat-tingkat ini. Tentulah dia tidak akan mengerti akan tingkat
taharah atau rahsia bresuci ini, melainkan tingkat yang terendah sekali,
yang diumpamakan seperti kulit atas yang boleh dilihat jika
dibandingkan dengan isi atau sari yang dicari. Maka oleh kerana itu, dia
sentiasa mementingkan perhatiannya kepada kulit semata-mata seraya
menghabiskan semua waktunya pada membicarakan istinja’, membersihkan
baju dan mensucikan anggota-anggota yang lahir saja, dan mengalirkan air
yang banyak. Sebab dia menyangka, samada kerana waswasnya ataupun
kerana khayalan fikirannya, bahawasanya kesucian yang dituntut atau yang betul itu mementingkan cara-cara ini.
Sebenarnya dia tiada mengetahui tentang perjalanan orang-orang yang terdahulu yang telah menumpukan segala perhatiannya dan
fikirannya kepada perkara mensucikan hati tanpa mengendahkan perkara
mensucikan yang lahir. Dia tiada mengetahui bahawa Saiyidina Umar r.a.
dengan ketinggian kedudukannya itu pernah berwudhu’
dengan air yang tersimpan dalam kendi seorang Nasrani. Orang yang
terdahulu itu juga sering bersembahyang di atas tanah dalam masjid.
Ataupun memadai hanya dengan menggunakan batu sewaktu beristinja’.
Nyatalah
kini bahawa segala yang diberatkan oleh mereka di masa itu ialah
mensucikan kebatinan. Dan jarang-jarang sekali pernah timbul satu-satu
pertanyaan dari mereka itu megenai hukum-hukum najis atau dari
pertanyaan-pertanyaan yang titik-bengik.
Sekarang
sudah sampailah giliran golongan manusia yang kononnya mengambil berat
tentang kebersihan, maka dihabiskanlah semua masanya pada menghiaskan
anggota-anggota lahir seperti sifatnya tukang andam yang menghiaskan
pengantinnya, padahal kebatinannya busuk penuh dengan kotoran-kotoran,
sifat-sifat sombong dan ujub (memuji diri), sifat-sifat kebodohan dan
riya’ serta nifaq. Malangnya tiada seorang pun yang mengingkarkan atau
memperhatikan perkara itu.
Akan
tetapi kiranya seseorang itu hanya menggunakannya batu dalam
istinja’nya, ataupun menunaikan sembahyangnya tanpa menggunakan sajadah
(tikar sembahyang), ataupun mengambil wudhu’nya dari wadah yang dimiliki
oleh orang kafir, maka akan tibalah kiamatnya. Orang-orang bodoh itu
akan segera bertindak menyalahkan orang-orang itu dan memanggil mereka
sebagai orang-orang yang kotor. Cubalah anda perhatikan bagaimana yang
mungkar itu menjadi yang baik, dan yang baik pula menjadi mungkar. Dan
lihat pula bagaimana orang ramai mempelajari dari agama itu hanya
gambarnya saja, sepertimana mereka mempelajari hakikatnya dan ilmunya.
Kiranya
anda telah maklum tentang muqaddimah ini, maka marilah kita berbicara
kini tentang tingkat-tingkat taharah atau kesucian. Pertama sekali kita
ambillah tingkatnya yang keempat, iaitu membersihkan anggota-anggota
lahir. Kita katakan bahawa pensucian lahir itu ada tiga perkara:
-
Membersihkan diri dari benda-benda najis.
-
Membersihkan diri dari hadas
-
Membersihkan
diri dari yang tidak diperlukan pada badan, dan yang ini dapat
dilakukan dengan memotong (seperti memotong kuku, cukur bulu ari-ari
dan sebagainya) dan mandi, menggunakan bedak, berkhitan dan
lain-lain lagi.
Mensucikan kotoran atau najis
Pembicaraan mengenai hal ini tergantung kepada tiga perkara, iaitu:
-
Benda yang disucikan.
-
Benda yang mensucikan.
-
Cara mensucikan.
Yang disucikan iaitu benda yang najis
Mata benda itu ada tiga: iaitu benda yang padat atau cair, binatang dan bahagian-bahagian dari binatang. Kesemua benda-benda padat atau cecairan dihukumkan suci kecuali khamar (arak) dan segala cecairan yang memabukkan. Dan kesemua binatang pula dihukumkan suci, kecuali anjing dan babi.
Tetapi apabila binatang-binatang itu mati, maka hukumnya najis melainkan lima, iaitu:
-
Manusia
-
Ikan
-
Belalang
-
Ulat buah-buahan atau seumpamanya yang terjadi dari makanan.
-
Semua
binatang yang tiada darah yang mengalir seperti lalat, lipas atau
sebagainya, maka tiadalah air itu menjadi najis bila
binatang-binatang serupa itu jatuh kedalamnya.
Tentang bahagian-bahagian binatang ada dua macam:
-
Anggota
yang terpotong dari binatang itu, maka hukumnya adalah hukum
bangkai kecuali bulunya. Bulu binatang tiada menjadi najis samada
matinya dengan sebab disembelih ataupun tidak tetapi tulangnya
adalah najis bila matinya tidak disembelih.
-
Benda
basah yang keluar dari dalam badan binatang itu, maka mana-mana
yang tidak mempunyai tempat yang tetap, maka hukumnya suci seperti
air mata, keringat, air liur, hingus: dan mana-mana yang tempatnya
tetap, maka hukumnya najis, melainkan apa yang asalnya berpunca dari
binatang itu sendiri, seperti air mani dan telur. Adapun nanah,
darah, tahi dan kencing dari binatang kesemuanya najis.
Dan tiadalah dimaafkan najis-najis tersebut samada sedikit atau banyak, kecuali dalam lima perkara:
-
Bekas
tempat keluar najis (dubur) sesudah istinja’ yang menggunakan batu,
dimaafkan kira najis yang keluar itu tiada melampaui tempat itu.
-
Lumpur
di jalanan ataupun debu dari kotoran tahi di tengah jalan, dimaafkan
walaupun diyakini kenajisannya, yakni dengan syarat sukar untuk
menjauhkan diri daripadanya, sehingga orang yang terkena lumpur atau
debu itu tidak boleh dituduh cuai atau lalai.
-
Najis-najis yang melekat di bawah khuf (sepatu yang ditentukan oleh syara’ boleh memakainya dalam sembahyang) yang
biasanya semuanya jalanraya tidak sunyi daripadanya. Maka najisnya
dapat dimaafkan sesudah dikikis semua najis-najis itu sewaktu hendak
digunakan.
-
Darah nyamuk, samada sedikit mahupun banyak, boleh dimaafkan kecuali
jika ia melewati batas kebiasaannya, samada yang melekat di pakaian anda
mahupun di pakaian orang lain yang anda memakainya.
-
Darah kudis atau bisul atau apa-apa yang terpisah daripadanya seperti
nanah, atau darah yang bercampur dengan nanah dimaafkan juga. Dalilnya,
pernah Ibnu Umar r.a. menggosok bisul di mukanya, maka keluarlah
daripadanya darah. Beliau terus bersembahyang tanpa membasuh darah itu
terlebih dulu. Dalam pengertian yang lain ialah segala yang memancar
dari kotoran-kotoran bisul yang biasanya keluar terus-menerus, begitu
juga bekas-bekas luka dari bekam (atau pembedahan dan operasi) melainkan
kalau yang terjadinya itu jarang-jarang sekali baik berupa luka atau
lain-lainnya, maka hukumnya samalah seperti hukum darah istihadhah
(darah yang keluar dari wanita yang menderita sakit), hukumnya tidak
boleh dikira sama seperti darah yang keluar dari bisul, yang pada banyak
hal manusia tiada berdaya untuk menahannya
Kelonggaran
syara’ dalam memaafkan najis-najis yang lima macam itu menunjukkan
bahawa perkara taharah atau bersuci itu diletakkan atas kemudahan dan
keringanan, sehingga ia tiada meninggalkan tempat untuk berwaswas, yang
mana waswas itu sebenarnya tiada berasal sama sekali.
Benda yang mensucikan
Benda yang mensucikan najis itu samada beku atau cair.
-
Yang
beku adalah batu yang digunakan untuk beristinja’ dan ia boleh
mensucikan secara ringan saja, syaratnya mestilah benda itu keras,
tahir (suci), boleh menghisap (tidak licin) dan bukan dari benda
yang muhtaram.
-
Yang
cair pula, maka najis-najis itu tidak akan dapat disucikan
melainkan dengan air saja. Dan airnya pula bukan sebarangan,
melainkan air yang lahir (suci) yang tiada rosak percampurannya
dengan sesuatu yang tiada diperlukan olehnya, dan air itu terkeluar
dari takrif suci bila ia berubah rasanya atau warnanya atau baunya
bila bercampur dengan benda najis. Tetapi kiranya ia tiada berubah
rasanya atau warnanya atau baunya bila bercampur dengan benda najis,
maka tiadalah dikirakan air itu sebagai najis,(* Menurut Mazhab Syafi’l air itu mestilah dari dua qulah, jika kurang, hukumnya najis, samada berubah atau tidak) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Allah
telah menjadikan air itu suci, tidak dapat dinajiskan oleh sesuatu
benda pun, melainkan kalau berubah rasanya atau warnanya atau baunya.”
Cara mensucikannya
Najis
itu samada dinamakan hukmiyah, iaitu bila tiada berjirim (tiada
berbekas) yang boleh dirasa, maka hukumnya cukuplah dengan mengalirkan
air di tempat yang dikatakan bernajis itu.
Ataupun dinamakan ‘ainiyah (kelihatan), maka wajibkan menghilangkan diri najis itu. Dan kalau ada juga bekas-bekas warna sesudah dikikis dan
dibasuh, maka hukumnya dimaafkan. Juga dimaafkan baunya kalau sukar
untuk menghilangkan. Dan memeras sesuatu barang itu berkali-kali samalah
seperti mengikis dan membasuhnya, kalau sesudah itu warnanya tidak
hilang juga, hukumnya dimaafkan.
Bagi
orang yang tabiatnya suka berwas-was, hendaklah ia menyakinkan dirinya,
bahawa kesemua benda-benda itu asalnya dijadikan tahir atau suci. Oleh
itu, jika ia tiada melihat dengan matanya sendiri pada sesuatu benda itu
ada najis, dan tiada mengetahui dengan yakin ada najisnya, maka
hendaklah ia bersembahyang saja dengannya.
Mensucikan hadas
Termasuk
perkara mensucikan hadas itu ialah wudhu’, mandi (wajib) dan tayammum,
dan sebelum itu didahulukan istinja’. Kini kita akan sebutkan
cara-caranya, satu demi satu, secara teratur beserta adab-adabnya dan
sunnat-sunnatnya.
Kita
mulakan dengan sebab-sebab berwudhu’ dan adab-adab orang yang
melepaskan hajatnya (buang air kecil dan besar). Insha Allah Ta’ala.
Adab melepaskan hajat
Seseorang
yang ingin melepaskan hajatnya, hendaklah memilih tempat yang jauh dari
pandangan orang ramai, seperti di tempat yang lapang.
Hendaklah ia menutup (berlindung) dengan sesuatu benda kiranya boleh
didapat. Dan jangan ia tergesa-gesa memuka auratnya, sebelum sampai ke
tempat duduk untuk melepaskan hajat itu. Janganlah hendaknya ia
menghadap kiblat atau membelakanginya ketika itu. Juga janganlah
hendaknya ia melepaskan hajatnya ditempat-tempat biasanya orang ramai
berkumpul kerana berbual-bual atau duduk-duduk berehat. Janganlah ia
membuang air kecil pada air yang bertakung (tidak mengalir), atau di
bawah pokok yang berbuah atau di lubang. Juga jangan di tempat yang
keras, atau di tempat tiupan angin agar terpelihara dari percikan air
kencing itu, dan hendaklah ia mengiring (dengan punggungnya bertenggong)
kepada kaki kirinya.
Apabila
ia ingin membuang air kecil di dalam bangunan (tandas), maka hendaklah
ia mendahulukan kaki kiri ketika memasukinya dan kaki kanan ketika
keluar. Jangan pula ia membawa bersamanya ketika itu sesuatu yang
tertulis padanya Allah Ta’ala atau nama RasulNya s.a.w.
Ketika masuk ia membaca:
“Dengan nama Allah saya berlindung denganNya dari gangguan syaitan, lelaki dan perempuan.”
Ketika keluar ia membaca:
“Segala
kepujian bagi Allah yang telah menghapuskan dariku apa-apa yang boleh
membahayakan aku, dan mengekalkan bagiku apa-apa yang boleh memberi
manfaat kepadaku.”
Sesudah
selesai buang air sebaik-baiknya ia beristibra’ (mengetus) tiga kali,
dan janganlah ia memikirkan terlalu banyak beristibra’ itu, agar ia
tiada berwaswas sehingga perkara ini merumitkannya. Jika ia merasakan
ada sedikit basah, hendaklah ia menganggap itu sisa dari air. Ketahuilah
bahawa orang yang paling ringan istibranya dikira paling pandai dalam
ilmu fiqhnya, sebab waswas itu menunjukkan ilmu fiqhnya cetek.
Antara
perkara yang diringankan lagi, membolehkan seseorang itu membuang air
kecil berdekatan dengan rakannya, tetapi mestilah ada tutup antaranya.
Yang demikian itu pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri
padahal baginda amat pemalu orang nya, tetapi itu adalah untuk mengajar
orang ramai tentang kebolehan melakukannya.
Cara beristinja’
Sesudah
membuang air atau melepaskan hajat itu dia pun beristinja’ dengan tiga
butir batu. Selain batu boleh boleh juga digunakan segala benda yang
kasar tetapi suci.
Selanjutnya dia beristinja’ pula dengan air; iaitu dengan menyiram air
dengan tangan kanan di tempat keluarnya najis itu, sedang tangan kirinya
mengosok tempat itu sehingga tiada lagi yang tinggal dari bekas najis
di situ. Ini dapat dirasakan oleh tapak tangan kiri yang menggosok
tempat keluarnya najis tadi.
Hendaklah ia tiada melampau pada mengorek atau meraba bahagian di dalam
(dubur), kerana yang demikian itu akan menimbulkan waswas pada diri.
Ketahuilah mana tempat yang tiada boleh sampai kepadanya air itu dikira
bahagian dalam, sedangkan hukum najis itu tidak terlibat pada kotoran-kotoran di segala bahagian dalam, selama ianya tiada terlihat atau dihukumkan pada hukum lahir.
Dan hukum najis itu hanya terkena pada bahagian-bahagian yang lahir
saja, dan batasan pensuciannya ialah dengan menyampaikan air kepadanya
dan menghilangkan najis itu dari situ. Dengan itu maka tidak perlu untuk
ditimbulkan waswas lagi.
Cara berwudhu’
Sesudah selesai istinja’ dan hendak memasuki sembahyang, maka hendaklah ia berwudhu’ terlebih dulu.
Mula-mula bersiwak (gosok gigi), kemudian dia duduk kerana berwudhu’
sedangkan keadaannya menghadap ke kiblat, lalu membaca
Bismillaahirrahmaanir-rahiim. Sesudah itu, dia membasuh pula kedua
tangannya dahulu sebelum memasukkanya ke dalam bekas. Kemudian dia
mengambil air itu di dalam mulutnya, kecuali jika ia sedang berpuasa.
Kemudian mengambil secedok lagi untuk dimasukkannya ke dalam hidung
untuk beristinsyaq tiga kali juga. Air itu hendaklah disedut hingga
sampai ke dalam lubang hidungnya serta dikocak-kocaknya.
Selesai
itu barulah dia mencedok secedok air lagi untuk membasuh mukanya, dan
hendaklah dia membasuhnya dari hujung dataran dahi hingga ke hujung
bahagian dari dagu memanjang; dan dari satu telinga ke telinga yang lain
melebar pula, dan air itu mestilah sampai kepada keempat-empat tempat
tumbuhan rambut; iaitu dua bulu kening, misai (kumis), bulu yang tumbuh
di bawah bibir dan bulu mata, dam rambut-rambut itu biasanya tipis saja.
Dan air itu mestilah sampai juga ke tempat tumbuhan janggut yang tipis.
Kalau janggutnya lebat, maka memadailah air itu sampai ke bahagian
lahirnya saja, tetapi sunnat disisirkannya dengan jari. Sunnat juga jari-jarinya dimasukkan di bulatan mata untuk membersihkannya dari tahi mata atau lebihan celak.
Sesudah
itu barulah dia membasuh kedua tangannya hingga kedua sikunya tiga
kali. Dimulakan dengan yang kanan dulu. Jika memakai cincin,
digerak-gerakkan cincin itu supaya air sampai di bawahnya.
Sesudah
itu diratakan kepalanya dengan menyapu dengan kedua tangannya, setelah
dibasahkan terlehih dulu dengan air. Caranya dengan mempertemukan
hujung-hujung jari kanannya dengan hujung-hujung jari kiri, dan
diletakkan kedua tangannya itu di muka kepala, lalu melalukan keduanya
itu hingga ke belakang kepala.
Sesudah
itu, disapu pula kedua telinganya di bahagian-bahagian luar dan dalam
dengan cedokan air yang baru, kemudian dia menyapu pula tengkuknya
dengan air yang baru juga.
Seterusnya, dibasuh pula kedua kakinya hingga ke bukulali serta disela-selakan antara jari-jari kaki.
Selesai melakukan itu semua, dia pun mengangkat kepalanya menadah ke langit seraya membaca:
“Saya
menyaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah, dan
menyaksikan sama bahawa sesungguhnya Muhammad itu hambaNya dan
RasulNya. Wahai Tuhanku! Jadikanlah saya termasuk golongan orang yang
bertaubat, dan jadikanlah saya termasuk golongan orang yang bersuci, dan
jadikanlah saya termasuk golongan hambaMu yang sholeh.”
Yang makruh dalam berwudhu’
Di
waktu berwudhu’ itu makruh melebihi dari tiga kali. Juga makruh
berlebih-lebihan menggunakan air. Nabi s.a.w. ketika berwudhu’ hanya
melakukan tiga-tiga kali saja, seraya bersabda:
“Siapa yang melebihi (yakni lebih dari tiga kali), maka ia telah membuat salah dan menganiaya.”
Sabdanya lagi:
“Akan datang suatu kaum dari ummat ini, suka melampaui batas (berlebih-lebihan) dalam perkara berdoa dan bersuci.”
Ada
dikatakan, bahawa antara kelemahan seseorang dalam ilmu agamanya,
gemarnya membuang-buang air ketika bersuci. Makruh juga
merenjis-renjiskan tangan sehingga air terpercik daripadanya, ataupun
menampar-nampar muka dengan air.
Maksud bersuci
Sesudah
selesai dari berwudhu’ dan hendak memulakan sembahyang, hendaklah ia
menyakinkan di dalam hatinya, bahawasanya ia telah bersuci segala
anggota lahirnya; iaitu tempat pandangan orang ramai kepadanya.
Sepatutnya dia juga harus merasa malu kalau hendak bermunajat kepada
Allah Ta’ala tanpa terlebih dulu membersihkan hatinya, iaitu tempat
pandangan Allah s.w.t. Sayugialah hendaknya ia merasa yakin bahawa
kesucian hatinya dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. dan menjauhkan
diri dari segala akhlak yang terkeji serta berkelakuan dengan akhlak
yang terpuji itu, adalah lebih utama dari hanya mensucikan anggota yang
lahir saja.
Perumpamaanya sama seperti seorang yang ingin mengundang seorang raja
ke rumahnya, lalu dibiarkan dalam rumah itu penuh dengan kotoran,
padahal pintu rumah itu dibersihkan dan dicat baik-baik. Bukankah yang
demikian itu akan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan raja, dan
menyebabkan dia menerima balasan daripadanya.
Cara mandi wajib
Mula-mula
ia membasuh kedua belah tangan tiga kali, kemudian beristinja’ dan
menghilangkan segala macam kenajisan yang ada pada badan, kalau memang
ada. Sesudah itu, barulah ia berwudhu’ kerana mahu bersembahyang,
sebagaimana yang telah kita huraikan sebelum ini, kecuali membasuh kedua
belah kaki, maka hendaklah ia menangguhkannya dahulu.
Kemudian mulalah ia menyirami badan dengan air, bermula dari kepala, kemudian bahagian kanan, kemudian bahagian kiri pula.
Selesai
menyirami air, ia pun menggosok bahagian hadapan dari badan, kemudian
bahagian belakang pula. Dan hendaklah ia menyela-nyela rambut yang di
atas kepala, begitu juga dengan janggut, supaya air itu sampai ke
pangkal tempat tumbuhnya rambut-rambut itu, samada rambut-rambut itu lebat mahupun tipis.
Seorang
perempuan yang mandi wajib tidak perlu menghuraikan siputnya, kecuali
kalau ia bimbang air tidak akan sampai ke celah-celah rambut, dan
hendaklah ia memelihara pula lipatan badannya (agar air dapat meratai
seluruh badannya).
Mandi itu menjadi wajib dengan empat perkara:-
-
Kerana keluar air mani.
-
Kerana persetubuhan.
-
Kerana haidh.
-
Kerana nifas.
Selain
dari mandi-mandi tersebut di atas itu adalah sunnat hukumnya, seperti
mandi kerana dua hariraya, kerana hadir sembahyang Jum’at, kerana
berihram, kerana wuquf di Arafah, kerana masuk negeri Makkah dan bagi
orang yang memandikan orang mati.
Cara bertayammum
Barangsiapa
yang uzur tidak dapat menggunakan air kerana ketiadaannya; samada
setelah berusaha mencarinya tetapi tidak dapat, ataupun kerana adanya
halangan untuk sampai ke tempat air seperti binatang buas, ataupun ada
orang yang menahannya untuk pergi ke tempat air, ataupun air itu ada
tetapi hendak digunakan untuk minumannya sendiri atau minuman hambanya,
ataupun air itu kepunyaan orang lain, sedangkan orang yang mempunyai air
itu tiada ingin menjualnya melainkan dengan harga yang lebih mahal dari
harga biasanya, ataupun pada anggotanya ada luka-luka atau ada semacam
penyakit yang kalau digunakan air pada anggota itu nescaya akan
bertambah penyakitnya atau rosak, maka hukumnya hendaklah ia menunggu
sehingga masuknya waktu sembahyang.
Sesudah tiba waktu
sembahyang, barulah dia mencari debu yang bersih dari tanah yang suci.
Bertayammum ialah menepuk kedua belah tapak tangan dengan semua
jari-jarinya rapat antara satu dengan yang lain, lalu menyapukan kedua
belah tapak tangan yang berdebu itu keseluruh wajahnya sekali saja.
Jangan dipaksakan sangat agar debu itu sampai ke dalam sela-sela rambut,
sama ada rambutnya tebal atau nipis.
Kemudian
hendaklah menanggalkan cincin (kalau bercincin) dan menepuk sekali
lagi, sedangkan jari-jari tangan direnggangkan pula, dan menyapukan
tangan kanan dengan tapak tangan kiri dan menyapukan pula tangan kiri dengan tapak tangan kanan.
Dengan
satu tayammum, ia boleh bersembahyang satu sembahyang fardhu saja,
manakala sembahyang sunnat boleh dilakukan sebanyak yang diperlukan.
Kalau mahu melakukan sembahyang fardhu yang lain, hendaklah ia
bertayammum sekali lagi.
Kebersihan dari kelebihan-kelebihan yang tahir
Ada dua jenis yang harus dibersihkan iaitu; Jenis-jenis kotoran di badan dan najis-najis kelebihannya.
Jenis-jenis kotoran di badan
Adapun jenis-jenis kotoran atau benda basah yang melekat di badan iaitu delapan:
-
Apa-apa
yang berkumpul dari kotoran-kotoran di rambut kepala seperti daki
dan kutu. Membersihkan ini semua adalah digalakkan oleh syara’,
iaitu dengan mandi dan menyisir kemudian memakai minyak rambut,
sehingga hilang semua kotoran itu dan nampak bersih. Rasulullah
s.a.w. sendiri sering meminyaki di rambutnya dan menyisirnya, dan
demikianlah baginda mengajar ummatnya supaya melakukan itu.
-
Apa-apa yang terkumpul dari kotoran di lubang telinga, hendaklah dibersihkan
-
Apa-apa yang terkumpul dari kotoran-kotoran di dalam lubang hidung, yang boleh dibersihkan dengan menyedut air ke dalamnya dan mengocak-ngocakkannya.
-
Apa-apa
yang terkumpul dari kotoran-kotoran di gigi dan di hujung lidah,
boleh membersihkannya dengan bersiwak atau menggosok gigi kemudian
berkumur-kumur.
-
Apa-apa yang terkumpul dari kotoran-kotoran di janggut, seperti debu-debu atau kutu,
yang boleh dibersihkan dengan mandi dan menyisirnya dengan sisir
(sikat). Adapun membiarkan janggut secara tidak teratur untuk
menunjukkan zuhud, ataupun tidak mengambil berat tentang urusan diri
adalah dilarang oleh syara’. Meninggalkan cara-cara serupa ini
kepada perkara-perkara yang serupa ini adalah perkara-perkara
kebatinan antara seorang hamba dengan Tuhannya Azzawajalla.
Ketahuilah olehmu bahawa Allah s.w.t. mengetahui akan tujuan hati
orang itu, dan mengelirukan keadaan tidak ada faedahnya sama sekali.
-
Kotoran-kotoran yang terkumpul di celah-celah jari. Orang-orang Arab dahulukala tidak
biasa membersihkannya, kerana mereka jarang sekali membasuh tangan
selepas makan. Oleh itu, sering pulalah berkumpul bekas-bekas
makanan itu dicelah-celah jari, maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan
supaya membasuh celah-celah jari itu.
-
Membersihkan hujung-hujung jari dari kotoran-kotoran. Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh
ummatnya untuk membersihkan hujung-hujung jari dari kotoran-kotoran
yang yang ada di dalam kuku, sebab terkadang-kadang bila dipotong
kuku masih tertinggal sebahagian kotoran di situ, maka hendaklah
dibersihkannya.
-
Daki-daki yang terkumpul di merata badan, tersebab oleh peluh atau debu-debu yang melekat di situ. Membersihkannya ialah dengan mandi dan menggosoknya.
Tata-tertib dalam bilik mandi
Tidak salah bermandi di tempat-tempat mandi umum (kolam renang) asalkan menjaga tata-tertibnya. Sahabat-sahabat Rasulullah pernah bermandi di tempat-tempat mandi umum di negeri Syam.
Ada pepatah yang berkata: Sebaik-baik tempat ialah tempat mandi. Ia
membersihkan badan dan mengingatkan tentang api neraka. Kata-kata ini
diriwayatkan dari Abu Darda’ dan Abu Ayub al-Anshari r.a. Ada yang lain
berkata pula: Seburuk-buruk tempat ialah tempat mandi di mana para
pemandinya mendedahkan aurat dan orang ramai sudah kehilangan malu.
Perbedaan di antara dua tempat mandi ini, ialah yang pertama
mendedahkan bagi kita faedahnya yang kedua pula mendedahkan bencananya.
Tidak mengapalah kita mengambil faedah dari tempat mandi itu, dalam pada
itu jangan sampai kita tercebur kepada bencananya pula.
Selain
dari itu, atas orang yang menggunakan tempat mandi itu adalah pula
tugas-tugasnya dari perkara-perkara yang disunnatkan dan yang
diwajibkan. Ada dua kewajiban atas pengguna tempat mandi umum untuk
memelihara auratnya dan dua kewajiban yang lain untuk memelihara aurat
orang lain.
Dua
kewajiban untuk memelihara auratnya ialah, menjaga agar auratnya jangan
sampai ternampak oleh orang lain dan menjaganya juga dari disentuh oleh
mereka. Jangan sampai dibiarkan diperlakukan sesuatu ke atasnya, atau
dibersihkankan kotoran daripadanya melainkan dia yang melakukannya
sendiri. Kalau ada orang yang membantu menggosok, maka jangan sampai
dibenarkan menyentuh bahagian paha dan bahagaian diatasnya hingga ke pusat.
Dua kewajiban untuk melihara aurat orang lain, ialah menutup mata dari memandangnya
seraya melarang orang itu dari mendedahkan auratnya, sebab melarang
orang dari mendedahkan auratnya adalah wajib hukumnya. Ia wajib
mengingatkan orang itu, tetapi bagi orang yang diingatkan itu tidak
wajib menurut pula.
Adapun
perkara sunnatnya, di antaranya ialah niat. Maka janganlah hendaknya ia
masuk ke tempat mandi kerana sesuatu maksud dunia , atau untuk
bermain-main atau suka-suka saja, akan tetapi hendaklah ia meniatkan bersuci yang dituntut oleh agama, kerana menyediakan untuk bersembahyang.
Hendaklah
ia masuk dengan kaki kiri, dan janganlah ia tergesa-gesa masuk ke dalam
tempat mandi yang panas, melainkan sesudah ia keluar peluh pada tempat
mandi yang pertama. Jangan banyak membuang (membazir) air, malah wajib
ia mengambil air sekadar hajat saja, sebab itulah yang diizinkan
kepadanya kalau hendak diperhitungkan. Mengambil air lebih dari yang
dihajati akan menyebabkan penjagaan tempat mandi itu tidak rela, kiranya
ia mengetahui, terutama sekali dari air panas. Sebab perbelanjaannya
tentulah besar dan menggunakan lebih dari yang diperlukan akan
menyusahkan pemilik tempat mandi itu.
Dan
hendaklah ia mengingat pula betapa panasnya api neraka itu kelak kalau
dibandingkan dengan panasnya air tempat mandi itu. Dianggapnya pula
dirinya seolah-olah sedang dalam penjara yang berhawa panas ketika itu,
kemudian diperbandingkan juga dengan Neraka Jahannam yang kira-kira sama
tempat itu dengan tempat di Jahannam, yakni api dari bawahnya dan gelap-gelita dari atasnya na’uzu billahi min zalik (kita berlindung kepada Allah dari keadaan itu).
Tidak menjadi salah untuk berjabat tangan dengan rakan yang baru masuk ke tempat itu
atau berkata: Tuhan memberikan kepadamu afiat. Boleh dibiarkan badannya
digosok oleh orang lain, begitu juga belakangnya dan tangan serta
kakinya dipicit-picit oleh orang lain juga.
Sebaik-baik
saja dia keluar dari tempat mandi itu, segeralah dia mengucap syukur
kepada Allah s.w.t. atas nikmat yang baru dikecapnya tadi, sesudah itu
jangan pula disiram kepalanya dengan air sejuk ketika hendak keluar atau
meminum air sejuk, kerana yang demikian itu bertentangan dengan peraturan kesihatan.
Orang-orang
perempuan, makruh pergi ke tempat-tempat mandi, melainkan kerana
sesuatu dharurat, dan itu pun dengan menjaga tutup badan dengan rapi.
Jenis-jenis kelebihan di badan
Adapun jenis-jenis kelebihan atau yang tumbuh di badan itu ada delapan macam:
-
Rambut kepala: Boleh dicukur botak bagi orang yang menginginkan kebersihan kepalanya dan boleh juga dipendekkan, tetapi dengan memakai minyak dan menyikatnya secara teratur.
-
Misai: Disunnatkan memotong misai yang panjang melebihi bibir dan boleh membiarkan hujung-hujungnya melebar ke kanan atau ke kiri.
-
Bulu ketiak: Disunnatkan membuangnya paling kurang setiap 40 hari sekali, atau lebih awal lagi dari itu.
-
Bulu
kemaluan: Disunnatkan membuangnya dengan dicukur, atau dengan kapur
paling kurang setiap 40 hari sekali, ataupun lebih cepat lagi dari
itu.
-
Kuku: Memotongnya adalah sunnat disebabkan memang hodoh sekali kelihatannya
bila terlalu panjang, tambahan pula akan banyak sekali kotoran yang
terkumpul padanya. Dalam cara memotong kuku tidak ada riwayat yang
sahih dari Nabi s.a.w.
-
Kelebihan pada pusat: Tali pusat hendaklah dipotong ketika bayi dilahirkan.
-
Kulit yang menutupi kemaluan: Membersihkannya adalah dengan berkhitan pada hari ketujuh dari hari lahirnya. Tetapi kalau dikuatiri akan berlaku bahaya, tidak mengapa jika ditunda.
-
Janggut yang panjang: Diriwayatkan dari setengah para sahabat dan tabi’in, yang panjang
itu adalah lebih dari cekakan tangan, maka hendaklah dipotong.
Setengah yang lain berkata pula: Membiarkan janggut panjang lebih
baik. Perkara ini terserahlah kepada diri orang itu sendiri, asalkan
tidak terlalu panjang sekali sehingga menghodohkan rupa dan muka,
kelak orang ramai akan memandang jijik kepadanya dan mencelanya.
Oleh itu, hendaklah ia berjaga-jaga jangan sampai berlaku keadaan
yang serupa itu.
Mengenai janggut, ada sepuluh perkara yang dimakruhkan dan sebahagian darinya lebih makhruh dari yang lain:
-
Mewarnakannya hitam, atau
-
Memutihkannya dengan kapur,
-
Mencabutnya, atau
-
Mencabut rambut-rambutnya yang putih,
-
Mengurangi atau menambahnya,
-
Menyikatnya dengan cara menunjuk-nunjuk kerana tujuan riya', atau
-
Meninggalkannya bercelaru kononnya kerana kezuhudan,
-
Terpengaruh dengan kehitamannya kerana menganggap diri masih muda, atau
-
Terpengaruh dengan keputihannya kerana membesarkan diri, sebab sudah tua, dan
-
Mewarnakannya merah tanpa sebab, hanya kerana berangan-angan hendak menjadi orang saleh.
Adapun
mewarnakannya hitam, ada diriwayatkan larangan kerananya, sebab yang
demikian itu akan menarik orang itu kepada kemegahan diri, ataupun
pengeliruan orang ramai. Manakala mewarnakannya putih dengan kapur,
mungkin kerana hendak menunjukkan kepada orang ramai bahawa umurnya
telah meningkat tua untuk tujuan meninggikan diri atas orang-orang muda,
ataupun untuk menunjuk-nunjuk dirinya banyak ilmu, kerana mungkin
disangkakannya kelebihan umur itu akan menghasilkan kelebihan
kedudukanya, alangkah batilnya pandangan serupa itu! Kerana kelebihan
umur itu tidak akan menambahkan si jahil melainkan kejahilan juga. Hanya
ilmu pengatahuan sajalah yang boleh menjadi buah dan akal fikiran, dan
ia pula adalah suatu bakat yang dikurnakan oleh Tuhan, manakala umur tua
itu tidak akan meninggalkan apa-apa kesan kepadanya. Orang yang
sifatnya jahil atau kurang akal, maka sepanjang umurnya ia akan hidup
menunjukkan kejahilannya atau kekurangan akalnya. Orang-orang tua dahulu kala sentiasa menonjolkan anak-anak muda kerana ilmu pengatahuannya.
Khalifah
Umar Ibnul-Khattab r.a. pernah mengemukakan bnu Abbas dalam majlis para
sahabat yang tua-tua, sedangkan Ibnu Abbas ketika itu masih muda lagi.
Mereka pun bertanya kepada akan hal-ehwal agama mereka.
Berkata
Ibnu Abbas r.a.: Allah Azzawajalla tiada mengurniakan seseorang
hambaNya sesuatu ilmu, melainkan sewaktu masih mudanya dan kebaikan itu
tetap ada pada usia muda, kemudian beliau membacakan firman Allah yang
berbunyi:
“Mereka
mengatakan bahawa kami mendengar ada seorang anak muda yang
menyebut-nyebutkan mereka dan anak muda itu dipanggil Ibrahim.” (al-Anbia’:60)
Dan firman Allah lagi:
“Mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman dengan Tuhan mereka, lalu Kami (Allah) pun menambahkan bagi mereka hidayat.” (al-Kahf: 13)
Dan firmanNya lagi:
“Dan Kami (Allah) memberikan kepadanya kebijaksanaan, ketika ia masih kecil." (Maryam: 12)
Berkata Ayub as-Sakhtiani:
Pernah aku terjumpa seorang tua yang berumur 80 tahun sedang mempelajari sesuatu dari seorang anak kecil.
Pernah Abu Amru Ibnul-Ala’ ditanya: Maniskah seorang yang sudah tua belajar dari seorang anak kecil? Abu Amru menjawab: Kiranya kejahilan itu akan menampakkan seseorang itu bodoh di muka ramai, maka pelajaran pula akan menampakkan ia elok di hadapan mereka.