Khamis, Jun 14

Nov 16 Pelajari Tasawwuf Bagi Pembentukan Akhlak Elias Hj Idris

Oleh: kaunselor

Bagi setiap orang sepatutnya tahu apa itu nas, dan apa itu istinbath, apa itu istidlal, dan apa itu ijtihad. Kalau sesuatu masalah tiada dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, secara lafzi (yang majoriti nasnya bersifat zhonni), dan tiada juga dalam ijma' sahabat, lalu para ulama' beristidlal dengan nas-nas Al-Qur'an dan As-Sunnah tentang ijtihad dan kefahaman mereka. Namun siapakah pula yang boleh menentukan ijtihad dan kefahamannya bersesuaian dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, sedangkan majoriti daripada nasnya bersifat zhonni?

Dalil Al-Qur'an dan As-Sunnah telah disertakan berdasarkan kefahaman para ulama' mengenainya, maka jelaslah dalam masalah ijtihad, tiada ijtihad boleh membatalkan ijtihad yang lain dalam masalah zhonniyah seperti ini.

Dalil Tasauf / Thoriqah dalam Ayat Alquran :

ھُو الَّذِي بَعَثَ فِي اْلأُمِّیِّیْنَ رَسُوْلاً مِّنْھُمْ یَتْلوُ عَلَیْھِمْ آیَاتِھِ وَیُزَكِّیِھِمْ

وَیُعَلِّمُھُمُ اْلكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا منْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِیْنٍ .

"Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ‘ayat-ayat Allah’ ( ilmu tauhid), dan ‘membersihkan’ mereka ( ilmu tasauf ), serta mengajarkan mereka ‘kitab Allah’ ( ilmu fiqh ) dan hikmah (ilmu kebijaksanaan). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata".(Jumu’ah: 2)

Mengikut para ulama kita dari ayat inilah maka timbulnya ilmu fardhu ain: tauhid, tasauf dan fiqh sebagai perlengkapan syariah.

Sebutan ‘ayat-ayat Allah’ ialah ilmu tauhid. (Iman), sebutan ‘membersihkan’ mereka ialah ilmu tasawwuf. (Ihsan), sebutan ‘Kitab Allah’ ialah ilmu fiqh. (Islam) sama ada dari Al-Quran atau Sunnah dan sebutan ‘hikmah’ ditujukan kepada apa sahaja ilmu yang menguntungkan seseorang dengan masyarakatnya, sama ada ilmu sejarah, matematik, sains, bahasa dan sebagainya.

Mengikut hadith pula ilmu tauhid terbahagi kepada 73 golongan di mana 72 semuanya sesat melainkan satu sahaja yang mengikuti sunnah nabi dan jamaah sahabat serta ulama. Golongan-golongan dalam tauhid dikenali sebagai ‘firqah’. Mengikut method-method kefahaman fiqih yang berbagai dalam firqah ‘ahlus sunnah wal jamaah hanya ada 4 yang muktabar. kefahaman ini dipanggil ‘mazhab’.


Mendalami dan mentaati ilmu - baca Al-Quran

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Hendaklah kamu menyampaikan kepada manusia sesuai dengan kadar kefahamannya". (Al-Hadith)
Daripada hadith ini kita dapati, di mana antara manhaj dakwah Rasulullah s.a.w. adalah dengan memerhatikan kepada siapakah Baginda s.a.w. ingin berinteraksi dan Baginda s.a.w. akan berinteraksi kepadanya sesuai dengan kadar akal dan kefahamannya. Jadi, kepada Rasulullah s.a.w. lah kita jadikan contoh dalam menyampaikan dakwah.

Dalam ilmu tasawwuf ini, ada tiga jenis perbahasan;

i)  berkaitan dengan asas-asas mengenal ilmu tasawwuf;

ii)  berkaitan dengan tasawwuf praktikal, atau amali;

iii)  berkaitan dengan ilmu-ilmu zauqi (dirasai oleh hati yang sudah mencapai muamalah dengan Allah s.w.t.).

Adapun perbahasan jenis pertama, iaitu asas-asas pengenalan terhadap ilmu tasawwuf, maka ia merupakan suatu perbahasan dalam rangka mmperkenalkan kepada orang tentang apa itu tasawwuf, kedudukan tasawwuf dalam Islam, sejarah perkembangan tasawwuf dan sebagainya. Ia juga dikenali sebagai pengantar ilmu tasawwuf. Ia perlu disebarkan secara umum kerana masyarakat Islam seluruhnya perlu mengetahui hakikat sebenar ilmu tasawwuf Islami agar mereka tidak terkeliru dengan dakyah musuh-musuh Islam yang cuba menjatuhkan ilmu tasawwuf Islami itu sendiri.

Perbahasan kedua pula adalah ilmu berkaitan dengan ilmu-ilmu praktikal dalam tasawwuf seperti perbahasan tentang taubat, zuhud, ahwal, maqam dan sebagainya. Ia juga perlu diajarkan kepada umum sesuai dengan kefahaman orang yang sedang kita berbicara dengannya. Ia perlu disampaikan kepada umum kerana ia perlu diamalkan oleh seluruh umat Islam, terutama bagi mereka yang sudah mempunyai mursyid yang membimbing mereka dalam perjalanan menuju Allah s.w.t..

Adapun perbahasan ketiga, iaitu perbahasan tentang zauq (perasaan-perasaan hati) yang merupakan natijah daripada seseorang yang sedang berjalan menuju Allah s.w.t. mahupun seseorang yang sudah sampai kepada perjalanan pada kebersamaan Allah s.w.t. Maka, ia kalaupun dibincangkan kepada orang yang tidak sampai tahapnya, tanpa sebarang tujuan ilmiah atau tanpa sebarang kemaslahatan, maka ia boleh menyebabkan orang tersebut terfitnah samada dia salah faham terhadap apa yang cuba disampaikan lalu sesat ataupun dia terus mendustainya sama sekali.

Janganlah cuba mengelirukan pembaca dengan membandingkan istilah akhlak dan tasauf ini. Sebenarnya kedua-duanya adalah berkait rapat - satu adalah jalan/wasilah dan satu lagi adalah matlamat/natijah; tiada apa-apa masalah sebenarnya.

Tasauf memang tidak boleh dipisahkan daripada akhlak.Tasauf dipandang dari sudut akhlak atau amalinya, namun kedudukan akhlak dalam tasauf bukan merupakan matlamat, tetapi hanya wasilah atau jalan dan kaedah.

Akhlak pada hakikatnya bukan masalah teori dan idea. Ia juga bukan masalah pendapat dalam bentuk pemikiran atau ilmu pengetahuan, tetapi ia adalah masalah didikan, latihan dan pembentukan yang bersifat amali..

Pendek kata tasauf merupakan ilmu yang membawa kepada penghayatan zahir batin syariat islam yang bersumber kepada Al-Quran dan sunnah, kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat serta para tabiin..Ia mengajar manusia bagaimana cara untuk membersihkan jiwa daripada sifat dan tabiat yg buruk.

Saya sebenarnya kurang faham mengapa ada pihak yang menyatakan belajar ilmu tasauf itu tidak wajib bagi  umat Islam. Pada sesiapa yang berpegang dengan kepercayaan ini maka sahih bahawa dia terlebih arif dan hebat ilmunya berbanding dengan Imam al-Ghazali dan beberapa tokoh Islam yang lain. Soalnya, adakah mereka ini telah merujuk kepada mana-mana ulama, tok guru atau mana-mana sumber rujukan sebelum menyatakan ilmu tasauf ini tidak wajib dipelajari!

Imam al-Ghazali berkata;

"Hukum mempelajari tasawwuf adalah fardu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau kekurangan kecuali para anbia."

Syeikh al-Syazili berkata;

"Siapa tidak mempelajari ilmu ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya."

Syeikh Dahlan al-Kadiri dalam kitabnya 'Siraj al-Talibin' menyatakan bahawa hukum belajar tasawwuf adalah wajib 'aini pada setiap orang mukalaf. Ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin. Imam Malik mengungkap "Siapa mempelajari tasawwuf tanpa fiqah, dia kafir zindik. Siapa mempelajari fiqah tanpa tasawuf, dia fasiq. Siapa mempelajari kedua-duanya nescaya dia tahkik (benar)."

Ibn 'Ajibah berkata;

"Orang yang mempelajari tasawwuf tanpa fiqah menjadi kafir zindik kerana dia mengucap dengan cara terpaksa tanpa mengetahui hikmah dan hukum-hukumnya. Manakala orang yang belajar fiqah sahaja tanpa tasawwuf menjadi fasiq kerana dia beramal tanpa memberikan sepenuh tumpuan, hati dan perasaannya kepada Allah. Ini menyebabkan amalannya tidak ikhlas".

Sementara tahkik hanya diperolehi melalui fiqh dan tasawwuf sehingga seorang itu dapat melaksanakan segala kewajipan berdasarkan ilmunya dan melakukannya dengan sepenuh hati.

Oleh itu, jelaslah bahawa tasawwuf dan fiqh itu dua cabang ilmu yang saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak sempurnalah fiqh itu tanpa tasawwuf, sebagaimana pincangnya tasawwuf tanpa fiqh.

Itu kaitan tasauf dengan fiqh. Bagaimana pula dengan ilmu tauhid; apa pula kaitan tauhid dengan tasawwuf?

Kita tahu Allah itu wujud (sifat 20), tetapi bagimana kita dapat merasakan kewujudan Allah swt? Kita tahu Allah Maha melihat, tetapi bagaimana kita nak tahu dan merasai yang Allah itu melihat kita? Dalam satu ilmu tasawwuf kita dituntut supaya mengamali, melazimi muraqabah, iaitu satu keadaan bahawa kita merasa Allah sentiasa mengawasidan memerhati segala perbuatan kita..

Seseorang yang lalai daripada Allah s.w.t. pun boleh menghafal sifat dua puluh yang wajib bagi Allah s.w.t. tersebut seperti qudrah (kekuasaan), iradah (kehendak) dan sifat-sifat lain bagi Allah s.w.t., namun tidak mampu merasainya dalam bentuk penghayatan dalam segenap kehidupannya. Oleh itu kita dapati, betapa ramai dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri yang menghafal sifat-sifat bagi Allah s.w.t. lalu mengetahui bahawasanya Allah s.w.t. itu wujud, Maha Berkuasa dan sebagainya, namun masih sanggup menderhakaiNya?

Bagaimanakah seseorang yang mengetahui Allah s.w.t. itu wujud dan Maha Berkuasa, dalam masa yang sama sanggup menderhakai Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang masih sanggup menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tauhu bahawa seluruh kehidupan dan tenaganya daripada Allah s.w.t.? Bagaimana seseorang sanggup mengunakan tenaga dan keupayaannya untuk menderhakai Allah s.w.t. sedangkan dia tahu bahawa semua tenaga, nyawa dan segalanya adalah daripada Allah s.w.t.?

Hal ini kembali kepada penghayatan seseorang itu sendiri, terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. itu sendiri. Hal ini (ketaatan mutlak kepadaNya) tidak akan berlaku dengan cara menghafal sifat-sifat Allah s.w.t. semata-mata, tetapi perlu kepada proses melawan hawa nafsu juga (mujahadah An-Nafs).

Proses menuju penghayatan terhadap kewujudan Allah s.w.t. dalam kehidupan seseorang manusia, dimulai dengan proses mujahadah an-nafs (melawan hawa nafsu) dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan maksiat terhadapNya, seterusnya diiringi dengan proses zikir yang berpanjangan sehingga nama-nama Allah s.w.t. tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk penghayatan dalam hati hamba tersebut...Dan semua ini melalui jalan tasawwuf.

Begitulah halnya kaitan antara ilmu tuhid dan tasawwuf yang juga saling melengkapi antara satu sama lain. Jadi kesimpulannya, ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf adalah saling melengkapi antara satu sama lain dan ia wajib dipelajari bagi menjadi insan yang kamil, InsyaAllah..

http://ikanlepu.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan