Benarlah kata-kata para ulama “ Seseorang tersebut akan menjadi musuh kepada perkara yang tidak diketahuinya”.
Hanya kerana tidak mampu memahami kalam para ulama sufi dengan baik
maka terus ditohmah dan dicerca malah ditaburkan fitnah bahawa para
ulama sufi adalah golongan yang sesat. Tidak dinafikan bahawa sebahagian
ucapan para ulama sufi menimbulkan tanda tanya kepada yang membaca dan
mendengarnya. Namun , sikap professional yang sebenar jika tidak
memahami bukanlah dengan melemparkan tuduhan tetapi bertanya kepada yang
memahaminya. Siapakah yang mampu memahami kalam-kalam mereka? Maka
jawapannya sudah tentulah golongan yang menceburkan diri di dalam
bidangnya.
Layakkah bagi saya yang tidak mendalami ilmu perubatan akan mencerca dan menempelak bilamana saya tidak mampu memahami bahasa yang digunakan oleh para ilmuan di dalam bidang kedoktoran? Adakah disebabkan saya tidak memahaminya maka saya akan mengatakan bahawa ilmu kedoktoran ini adalah sesat lagi menyesatkan? Saya kira, orang gila juga akan mengatakan bahawa golongan yang berpendapat sedemikian adalah lebih gila daripada dirinya.
Pagi ini saya membelek helaian demi helaian kitab Fatawa al-Hadithiyah karangan ulama besar Islam yang bermazhab Syafie , al-Imam al-Allamah al-Muhaddis al-Sufi Syaikhul Islam Ahmad Syihabuddin bin Hajar al-Haitami al-Makki radhiyallahu anhu (909- 974 H). Kitab ini diperakui oleh para ulama mempunyai nilai ilmu yang cukup tinggi. Di dalamnya, al-Imam Ibn Hajar al-Haitami radhiyallahu anhu menjawab segala persoalan yang terkadang kita merasakan ianya agak pelik namun mampu dijawab oleh beliau dengan hujjah ilmiyyah yang cukup mantap.
Antara soalan yang menarik perhatian saya adalah berkenaan tohmahan sebahagian ulama terhadap golongan ulama sufi, serta bagaimanakah keadaan mereka ?
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menjawab bahawa tidaklah sepatutnya bagi seseorang tersebut mengingkari serta meletakkan kebencian kepada para ulama sufi. Ini kerana ianya umpama racun yang mampu membunuh jiwa si pencaci itu sendiri. Ini terbukti dengan perkara-perkara yang disaksikan sendiri oleh umat pada ketika itu berlaku kepada pembenci golongan sufi ini.
Al-Imam Ibn Hajar menceritakan bahawa terdapat seorang ulama yang cukup membenci seorang wali Allah taala .Ulama tersebut bernama Ibn al-Saqqa’ . Sejarah membuktikan bahawa Ibn Saqqa’ kemudiannya mati di dalam keadaan kafir nau’zubillahi min zalik. Ketika Ibn al-Saqqa’ di dalam keadaan nazak, setiap kali orang memalingkan wajahnya ke arah kiblat maka dia akan berpaling membelakanginya. Begitulah seterusnya sehinggalah dia mati di dalam keadaan berpaling wajahnya daripada kiblat. Ibn al- Saqqa’ adalah merupakan seorang yang sangat alim pada zamannya malah seorang yang sangat cerdik serta masyhur. Namun akhirnya dia memeluk agama Kristian.
al-Imam Ibn Hajar juga menceritakan bahawa al-Imam al-Arifin Sultan al-Auliya’ al-Syeikh Abdul Qadir al-Jilani radhiyallahu anhu bersama dua lagi sahabatnya pernah bertandang ke rumah seorang wali Allah taala. Kedua-dua sahabat yang datang bersama al-Imam Abdul Qadir tidak menjaga adab ketika bersama dengan wali Allah tersebut maka mereka tidak mendapat keberkatan di dalam hidup mereka. Namun al-Imam Abdul Qadir al-Jilani cukup menjaga adab maka berkat adab yang ditunjukkan , wali Allah taala tersebut mendoakan agar Allah taala menjadikannya salah seorang wali Allah taala malah mencapai peringkat al-Qutb.
Salah seorang ulama sufi lagi arif billah mengatakan bahawa : “ Sekurang-kurang balasan kepada seseorang yang membenci orang-orang soleh di sisi Allah taala adalah dengan diharamkan bagi mendapatkan keberkatan”.
Kata mereka lagi : “ Dibimbangi golongan sebegini akan mati di dalam keadaan yang tidak baik, semoga Allah taala melindungi kita daripada ketentuan yang tidak baik di akhir kehidupan kelak”.
Para ulama mengatakan bahawa : “ Tidaklah Allah taala mengisyhtiharkan perang kepada sesuatu maksiat melainkan kepada golongan yang memerangi para wali Allah taala serta para pemakan riba. Setiap daripada dua golongan ini sentiasa dibimbangi akan mati di dalam keadaan yang tidak baik . Ini kerana Allah taala tidak akan mengisytiharkan perang melainkan kepada golongan kafir”.
Allahu Allah… Semoga kita semua tidak termasuk di dalam golongan yang membenci para ulama sufi .
INGATAN BERSAMA
Perlu diingatkan bersama, kami yang mempelajari manhaj al-Azhar al-Syariff tidaklah suka mengkafirkan golongan yang berbeza pendapat dengan kami sewenang-wenangnya. Malah para guru kami tidak pernah mengajarkan kepada kami untuk mengkafirkan golongan Salafi aka Wahabi . Golongan wahabi aka salafi ini adalah golongan yang terlalu bersemangat serta tidak mempunyai manhaj yang jelas. Disebabkan itulah mereka terlalu cepat meletakkan hukum itu dan ini kepada manusia umumnya terutama kepada sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka. Golongan ini perlu diberikan tunjuk ajar yang terbaik. Pendekatan bergaduh serta mencaci maki di antara satu sama lain tidaklah dituntut di dalam Islam.
Semoga semua dapat mengambil manfaat daripada tulisan ringkas saya kali ini. Saya tidaklah menterjemahkan satu persatu fatwa al-Imam Ibn Hajar tersebut. Sekadar berkongsi sedikit sebanyak apa yang terdapat di dalamnya.
Beradablah selagi diberikan peluang oleh Allah taala, bimbang menyesal di kemudian hari.
http://nazrulnasir.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan