30 Wasiat Imam Muslim
Oleh: Abu Ahmad Yasin
Penghimpun dan penyusun hadis terbaik kedua setelah Imam Bukhari adalah Imam Muslim. Beliau dikenali juga dengan “Amirul Hadis Kedua”.
Nama lengkapnya ialah Imam Abul Husain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim bin Kausyaz al Qusyairi an-Naisaburi. Ia juga mengarang kitab As-Shahih (terkenal dengan Sahih Muslim). Ia salah seorang ulama terkemuka yang namanya tetap dikenal hingga kini. Ia dilahirkan di Naisabur pada 206 H dan meninggal dunia pada petang hari Ahad bulan Rejab tahun 261 H dan dikuburkan di Naisaburi.
Wasiat 1:
Tidak setiap hadis yang sahih menurutku, aku mencantumkan hadis-hadis yang telah disepakati oleh para ulama hadis. Oleh itu, berhati-hatilah dengan hadis yang dhaif dan palsu.
Wasiat 2:
Allah Ta’ala menjanjikan kehidupan yang kekal di akhirat, dan menjadikan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju akhirat. Oleh itu penuhilah janji hamba kepada-Nya supaya Allah menunaikan janji-Nya kepada kita.
Wasiat 3:
Allah Ta’ala menjadikan manusia dalam kejadian yang sempurna (fie ahsani takwim), iaitu melalui beberapa tahapan kejadian yang menakjubkan. Ia dijadikan hanya dengan satu tujuan iaitu untuk beribadah kepada Allah.
Wasiat 4:
Seorang yang soleh akan bertambah takwanya apabila menghadapi kesulitan hidup. Hatinya akan bertambah dekat dengan Allah serta ia bertambah taat dan meningkatkan amal dan ibadahnya. Oleh itu jadikan amal soleh sebagai pembela.
Wasiat 5:
Iman mempunyai benteng-bentengnya seperti yakin, ikhlas, istiqamah, memperbanyak amalan sunat, khusyuk dan berakhlak mulia. Oleh itu perkuatkanlah benteng keimanan itu dengan meningkatkan kualiti ibadat.
Wasiat 6:
Kekasih Allah adalah yang tidak pernah ragu dengan takdir dan qada’ Allah terhadap dirinya, dengan terus mengekalkan sifat takwa dan kesungguhan dalam beribadat kepada-Nya.
Wasiat 7:
Hidayah atau petunjuk Allah tidak diberikan kepada sebarang orang. Untuk mendapatkannya perl kesabaran sambil menguatkan ibadat.
Wasiat 8:
Menegakkan kebenaran dan menumpaskan kebatilan adalah tugas setiap Muslim. Tidak ada iman bagi orang yang enggan berbuat demikian.
Wasiat 9:
Mencuri rezeki yang halal dianggap ibadat, dan pahalanya menyamai pahala sayatan di medan perang.
Wasiat 10:
Masuk syurga adalah impian setiap insan. Syurga itu bertingkat-tingkat, dan manusia masuk ke dalamnya sesuai dengan tingkatan amalnya.
Wasiat 11:
Warak adalah meninggalkan perbuatan sia-sia walaupun ianya halal. Sifat warak bermakna sikap waspada dan berhati-hati menjaga keimanan.
Wasiat 12:
Fitnah An-Nazhar (bahaya pandangan) merupakan salah satu fitnah terbesar yang menimpa kaum mukminin. Oleh itu jaga pandanganmu agar terpelihara hatimu.
Wasiat 13:
Sebelum mata kita terpejam, bertafakurlah sekejap agar kita dapat menghitung dosa dan kesalahan kita pada hari ini. Kenang kembali setiap gerak-geri kita, agar yang salah tidak terulang kembali.
Wasiat 14:
Setiap Muslim yang berakal sewajarnya menjaga lidahnya dan tidak menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah. Lebih baik diam daripada berkata-kata yang dapat menimbulkan sengketa. Sesungguhnya di dalam diam itu terdapat hikmah.
Wasiat 15:
Malu adalah sebahagian daripada iman. Malu merupakan perhiasan sejati Muslim. Orang yang tidak mempunyai rasa malu bererti imannya cacat. Oleh itu tumbuhkan rasa malu, kerana ianya merupakan sifat-sifat para Nabi dan Rasul.
Wasiat 16:
Sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan. Oleh itu suburkanlah sifat lemah-lembut kerana ianya dapat menawan hati kawan dan lawan.
Wasiat 17:
Seorang Muslim itu mestilah bersifat benar dan jujur. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang.
Wasiat 18:
Allah Maha Mengetahui bahawa ramai di antara manusia yang tidak bersyukur, seperti dalam firman-Nya: “Sangat sedikit daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”
Wasiat 19:
Manusia menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran dari otak. Oleh itu luruskanlah akal agar tidak dikotori oleh syaitan laknatullah.
Wasiat 20:
Semua gerak-geri Nabi Muhammad s.a.w. adalah didorong oleh wahyu Allah. Manusia tidak akan sesat sekiranya berpegang dan menjadikan Baginda sebagai ikutan.
Wasiat 21:
Al-Quran adalah ubat segala penyakit kecuali maut. Semoga hendaknya Allah matikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.
Wasiat 22:
Di dunia, kita ditugaskan mencari seberapa banyak bekal untuk dibawa ke akhirat. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan di dunia sementara dan bersifat palsu.
Wasiat 23:
Rajak adalah harapan akan keampunan Allah. Khauf pula takutkan azab (neraka) Allah. Maka tingkatkan rajak, dan kuatkan khauf.
Wasiat 24:
Basyir adalah be-ria gembira tentang ganjaran syurga dan keseronokannya, nazir pula adalah amaran tentang bahaya neraka dan kejahatannya.
Wasiat 25:
Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum.
Wasiat 26:
Anak adalah amanah supaya kita menjaga dan mendidiknya sesuai dengan syariat. Kesalahan mendidik anak boleh menyebabkan ibubapa masuk neraka. Oleh itu didiklah anak dengan cara Islam.
Wasiat 27:
Islam menggalakkan perpaduan ummah. Mereka yang terlibat menjalinkan cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah. Jalinlah ikatan kemesraan sesama makhluk supaya Allah menjalinkan kemesraan dengan kita.
Wasiat 28:
Perintah taubat tersebut di dalam al-Quran secara berulang-ulang, sehinggakan taubat dianggap sebagai ibadat yang besar fadhilat dan keutamaannya. Malahan Nabi Adam a.s. dan Rasulullah s.a.w. sangat mencintai taubat.
Wasiat 29:
Orang yang beriman tidak akan terpengaruh akan salakan iblis kerana dia telah berlindung dalam beberapa lapis benteng untuk mengalahkan dan menawan tipu dayanya.
Wasiat 30:
Amanah merupakan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. Untuk menjadi darah daging, amanah bukan hanya perlu dipelajari dan diamalkan, tetapi juga mesti dirasai dan dihayati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan