Ahad, Februari 5

Adakah Kita Mengenali Rasulullah S.A.W?



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.


Apakah kamu mengenali baginda?

Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal menyambut dengan pelbagai sambutan. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru sibuk berselawat. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru hendak mengadakan majlis keagamaan. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru pergi ke masjid-masjid. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal baru hendak mengadakan rancangan berbentuk kerohanian. Wahai kamu yang setiap kali datang 12 RabiulAwwal, baru hendak mengingati baginda dengan alasan kecintaan.

Saya ingin bertanya.

Apakah kamu mengenali baginda?

Apakah kamu mampu mempertahankan baginda dengan baik apabila baginda dihina?

Apakah kamu mampu membuktikan baginda itu susuk termulia di atas dunia ini bila dia dikeji?

Apa yang telah kamu lakukan pada sunnah baginda? Apakah daripada baginda yang kamu bawa dalam kehidupan?

Kamu bising mengetahui apa yang pasangan kamu suka, kamu tahu apa yang selebriti kamu cinta, kamu tahu apa yang silibus peperiksaan mahu, kamu tahu apa yang pensyarah kamu senangi, tetapi apakah kamu mengetahui apakah yang baginda Rasulullah SAW kehendaki?

Kamu bising hendak tahu apa yang boss kamu benci, kamu mesti hendak tahu apa yang guru kamu larang, kamu mesti hendak tahu apa yang pasangan kamu tidak senangi, kamu mesti hendak tahu apakah cara menjawab yang perlu dihindari, tetapi tahukah kamu apakah yang baginda Rasulullah SAW hendak kita sisihi?

Sampai ke tahap mana kamu mengenali baginda?

Sekadar tahu 12 RabiulAwwal?

Heh. Tidak hairanlah kita ini hanya Islam omongan sahaja.


Baginda mencintai kita

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya aku merindui ikhwanku”

Sahabat-sahabat bertanya: “Siapakah Ikhwanmu ya Rasulullah?”

“Mereka yang tidak pernah melihatku, tetapi berpegang teguh pada ajaranku”

Baginda merindui kita. Apakah kita merindui baginda?

Rasulullah SAW pada saat nazak, bertanya kepada Jibril AS,

“Wahai Jibril, apakah yang telah Allah sediakan untuk ummatku?”

Tidak baginda bertanya apakah Allah telah sediakan untuknya, apakah balasan Allah untuk segala pengorbanannya, apakah bentuk nikmat akan dia perolehi di syurga sana. Tetapi saat-saat akhir hayatnya, baginda bertanyakan keadaan kita.

“Ummati, ummati, ummati…” Itulah yang baginda sebutkan saat-saat hendak berpisah dengan dunia fana ini. Kita mengetahui bahawa, kematian itu sakitnya ibarat ditusuk 3000 pedang. Rasulullah SAW sendiri menyatakan dalam satu sabdanya: “Wahai Aisyah, sesungguhnya sakarat itu sangat menyakitkan”

Tetapi pada saat itu, kita yang disebutkan baginda.

Apakah yang telah kita lakukan dengan kecintaan baginda ini?



Di akhirat nanti

Saat kesukaran yang teramat sangat. Saat matahari hanya berjarak sejengkal. Saat manusia semua tunggang langgang, kucar kacir dan kelam kabut. Saat terbukanya hijab alam ghaib di mata manusia. Saat yang amat menakutkan.

Ketika ini ummat manusia bergerak dari nabi ke nabi, rasul ke rasul memohon perlindungan. Nabi Adam tidak menerima. Nabi Ibrahim juga tidak menerima. Nabi Musa juga tidak menerima. Nabi Isa juga tidak menerima. Semua berkata: “Aku tidak pernah melihat Allah murka seperti hari ini, sesungguhnya Dia tidak pernah murka sebegini, dan mustahil untuk Dia murka seperti ini selepas hari ini. Hari ini aku aku, dan kalian dengan urusan kalian sendiri”

Tetapi, akan ada satu suara yang memanggil.

“Ummati, ummati, ummati”

Di tengah kedasyatan hari perhitungan itu, baginda muncul dinaungi awan. Menyelamatkan ummat baginda. Kisah akan perihal ummat baginda. Sedia memberikan syafaat pada ummat baginda.

Hingga sampai tahap, menangis bila melihat ummat baginda memasuki neraka.

Rasulullah SAW akan melihat nanti ada ummat baginda yang tidak menyahut seruan baginda, tetapi dibawa oleh malaikat-malaikat penjaga neraka. Maka baginda akan resah dan bertanya kepada Jibril:

“Wahai Jibril, itu ummatku. Kenapa mereka tidak bersamaku hari ini?”

Jibril akan menjawab: “Sesungguhnya, kau tidak mengetahui apakah yang mereka lakukan sepeninggalan kau”

Menangis baginda dengan tangisan kesedihan ketika itu.

Apakah kita yang akan menjadi penyebab tangisan baginda nanti?


Penutup: Sejauh mana cinta kita kepada baginda?

Sejauh mana?

Tidakkah kita malu dengan susuk tubuh yang mulia ini?

Sejauh mana cinta kita kepada baginda?

Lihatlah hari-hari kita? Bagaimana kita laluinya? Bagaimana kita isi kehidupan kita? Apakah dengan ajaran baginda, atau dengan ajaran manusia-manusia yang memushi baginda?

Kita berarak, membawa sepanduk, menonton televisyen rancangan maulid, tetapi bagaimana kehidupan kita sehari-hari?

Kita pergi usrah, pergi kuliah agama, hafal sirah Rasul, belajar kuliah syariah, tetapi bagaimana pembumian amalan kita?

Kita rasa berat untuk dicucuk jarum atas perjuangan menjaga agama Allah SWT. Baginda telah berikat perut, memerah keringat, tertumpah darah dalam perjuangan ini.

Apakah yang telah kita balas terhadap pengorbanan baginda?

Tidakkah kita ada rasa hendak berterima kasih kepada susuk mulia ini? Tubuh suci yang telah sakit disebabkan hendak menyampaikan iman kepada kita? Tubuh suci yang telah dilukakan musuh kerana hendak menyampaikan Islam kepada kita? Tubuh suci yang telah diburu kerana hendak menyampaikan amanah Allah kepada kita? Tubuh suci yang telah berlapar kerana hendakkan kita merasai nikmat kehidupan yang sebenar.

Kita, baru diajak meninggalkan couple, sudah bising satu dunia. Baru diajak menutup aurat, sudah rasa macam hendak kiamat. Baru diajak meninggalkan kata mencarut, sudah rasa macam hendak mati.

Ummat jenis apakah kita ini?

Berbanding terluka dengan orang kafir yang melukis karikatur Rasulullah, yang menghina Rasulullah, saya lebih terluka dengan ummat Islam yang meninggalkan ajaran Rasulullah SAW.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan