Sabtu, Mei 25

Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah





Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang IndahPerkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…AllahSang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kitayang kamu sangka sekadar berdua”.Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..Wallahu a’lam…Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-LathifRaja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari‘AmalahuLlahu bi LutfhiHi Al-Khafiy

Tiada ulasan:

Catat Ulasan