Sabtu, Mei 25

Andai Kelalaian Itu Melalaikan…




Andai Kelalaian Itu Melalaikan…

Keliru

Manusia sering keliru. Mereka hidup seolah-olah sedang mencari yang pasti dari selain Allah s.w.t.. Padahal, apa yang dicari itu, kalaupun memang sesuatu yang pasti, tetapi hanya pasti akan berpisah dengannya suatu hari nanti. Kehilangan itu bermula pada sebuah kehendak untuk mengekalkan apa yang tidak akan kekal sehingga mengabaikan yang Maha Kekal.

Ada orang merasa puas kerana sekurang-kurangnya dia tidak macam orang lain. Kalau dia ingin berpuas hati dengan tahap dirinya, maka memadai dia mencari orang yang berada di bawah tahapnya.

Sebab itulah, ada insan yang lalai masih boleh berkata: “Walaupun saya buat maksiat, tetapi saya juga solat. Ada orang langsung tak solat.” Agamanya adalah pada ukuran orang lain.

Ada juga orang yang terkeliru dengan apa yang dicari, kemudian menganggap sekelilingnya sebagai yang keliru ketika berinteraksi dengannya. Ada orang yang tidak sanggup untuk berubah, lalu mengharapkan orang lain pun tidak berubah sepertinya. Kalau ada orang yang berubah, dia akan mengatakan: “alah, semalam orang itu lebih buruk dari saya.” Adakah keburukan manusia semalam itu adalah cerminan hari ini-nya atau masa depannya, sedangkan yang lalai tidak pun mula melangkah menuju sebarang perubahan. Jutaan keburukan semalam bisa Allah s.w.t. langsaikan sekelip mata dengan keampunan, bagaimana itu tidak menjadi motivasi untuk kembali kepada Tuhan? Akhirnya, bukan hidup kita sebagai Tuhan untuk menilai agama orang lain, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk agama sendiri.

Jangan jadikan kebaikan kita adalah pada kejahatan orang lain. Memang mudah melakukan kebaikan dengan mengukur keburukan orang lain sebagai definisi kebaikan. Seorang yang tidur walaupun tidak buat apa-apa kebaikan tetapi lebih baik daripada seorang yang mencuri. Tapi, takkan itu alasan untuk terus tidur tanpa melakukan tugas kehambaan?

Hidup Kita adalah Tentang Kita

Hidup kita adalah tentang kita. Bahkan, hubungan kita kepada orang lain dan dengan orang lain adalah tentang kita, iaitu tentang kita menjadi hamba Allah s.w.t melalui mereka semua. Bukan tugas kita memasukkan sesiapa ke neraka dan tidak pula kita layak memasukkan sesiapa ke dalam syurga. Tetapi, kita diamanahkan untuk menguruskan hidup kita sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki.

Sekeliling kita adalah cara menyempurnakan diri kita, bukan sebab untuk merasa diri sempurna. Beza antara menyempurnakan diri kita (takmil) dengan merasa diri sempurna (kamal) adalah, asas menyempurnakan diri adalah kita merasa diri kita serba kekurangan dan perlu melakukan pembaikian diri dan terus menyempurnakan kekurangan diri dan tidak pernah berhenti menyempurnakannya. Ini kerana, tidak ada kesempurnaan yang tidak boleh disempurnakan lagi dalam diri seseorang insan.

Adapun orang yang menjadikan persekitaran sebagai sebab untuk merasa diri sempurna, maka dia akan membandingkan dengan mereka yang lebih buruk daripada dirinya, atau mencari kesalahan setiap manusia, lalu tidak melakukan apa-apa kerana merasakan dirinya sudah sempurna dan lebih banyak masa untuk menilai keburukan orang lain dan menghukum sekeliling. Memang semua orang ada kesalahan, sebagaimana semua orang ada kebaikan.

Mengapa buang masa dengan keburukan orang untuk tidak melakukan perubahan diri, sedangkan boleh menjadikan kebaikan orang sebagai contoh ikutan untuk memperbaiki diri? Katanya, hidup di dunia cuma sekali. Adakah sekadar untuk tidak melakukan apa-apa, merasa puas dengan diri sendiri, mengejar kepuasan diri dan menilai manusia di sekeliling, lalu akhirnya mati?

Pandangan dan Persepsi

Semua orang berhak memberi pandangan. Tetapi, bukan semua perkara akan mengikut persepsi yang kita inginkan. Hakikat itu wujud sebelum kita diciptakan. Hakikat kita adalah makhluk yang diadakan daripada tiada tidak akan berubah setelah kita ada. Hakikat kita adalah milik Tuhan yang menciptakan kita tidak pernah berubah sekalipun kita rasa memiliki segala-gala yang kita inginkan. Adakah kita yang tidak pernah menciptakan apa-apa dalam kehidupan kita, layak memiliki apa yang diberi oleh Tuhan dalam kehidupan kita, tetapi kita tidak merasakan kelayakan Allah s.w.t untuk memiliki kita, sedangkan kita ini diciptakan oleh-Nya?

Kita boleh memilih untuk tidak mahu melihat Allah s.w.t. dalam kehidupan. Tetapi, dengan tidak mahu melihat Allah s.w.t., tidak menyebabkan Allah s.w.t tidak melihat kita, dalam kehidupan kita. Kita sangka kita lakukan apa yang betul, tetapi apa yang betul tidak pernah mengikut apa yang kita sangka. Kalau kita yang lalai menyangka, bahawa kelalaian itu adalah kefahaman terhadap kehidupan, mengapa kelalaian itu akhirnya terhenti dengan kematian? Apa gunanya kita faham “kehidupan” tanpa memahami kematian? Kehidupan duniawi semakin menjauhi kita sedang kematianlah yang semakin menghampiri kita. Apabila orang kata: “kubur masing-masing”, maka jawapannya: “maka sebab itulah nasihat ini diberikan wahai teman”. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok.

Pujian dan Celaan

Ketika Saidina Ali r.a. dipuji lalu beliau mengucapkan: “Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. dalam kebaikan yang disebutkan oleh mereka dan semoga Allah s.w.t. mengampuni keburukanku yang mereka tidak ketahui.”

Ini adalah ungkapan seseorang yang hidupnya adalah kerana Allah s.w.t.. Selagimana yang sudi memandang adalah Allah s.w.t., itu sudah memadai bahkan itulah segala-galanya. Sebagaimana pujian manusia adalah pinjaman, begitu jugalah celaan, hanyalah ujian.

Suatu ketika, seorang lelaki menjerit memanggil Imam Hasan Al-Bashri r.a. dengan menyebut: “Wahai orang yang menunjuk-nunjuk…”. Hasan Al-Bashri r.a. terus datang kepadanya lalu mencium tangannya lalu mengucapkan: “Terima kasih kepada orang yang telah menunjukkan keaibanku lalu aku dapat membaikinya.

Jadi, hidup ini, lakukanlah perubahan kerana Allah s.w.t., kerana Dialah yang kita cari dalam kehidupan. Lakukan apa sahaja untuk diri kita, namun jika tanpa bantuan Allah s.w.t., tiada apa yang dapat diperolehi. Jika telah mendapat pandangan redha Allah s.w.t., apa sahaja yang dilakukan adalah kehampiran kepada-Nya.

Jangan takut melakukan kebaikan kerana celaan sebagaimana jangan melakukannya kerana pujian. Jika ada manusia yang memujimu, itu menunjukkan adanya juga manusia yang mencelamu. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai manusia paling agung dan mulia, yang tiada ruang kelemahan dan kecelaan pun, tidak terlepas dari celaan manusia. Memadai bagi Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam, Allah s.w.t. meredhai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan mencintai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam.

Sebagaimana seseorang tidak hidup dengan pujian manusia, dia juga tidak akan mati dengan cacian mereka, sebagaimana disebutkan oleh Yasin Sulaiman. Sebagaimana orang-orang yang memuji kita pun akan mati, begitu juga orang-orang yang mencela kita juga akan mati, bahkan kita juga sendiri akan mati. Akhirnya, masing-masing mempunyai perjalanan kehidupan akhirat yang tersendiri. Maka, fokus kepada satu pandangan, iaitulah pandangan Allah s.w.t., maka kita akan tahu apa yang perlu kita lakukan dalam kehidupan.

Hari Ini Bukan Semalam dan Bukan Esok

Kita hidup adalah untuk melakukan yang terbaik hari ini dan sekarang. Jutaan semalam telah berlalu. Jika ada kebaikan, maka ia adalah daripada Allah s.w.t. dan syukurilah. Jika ada keburukan, maka ia adalah untuk ditaubati. Tapi hari ini, dan sekarang, adalah apa yang kita perlu lakukan. Jangan tangguh apa yang boleh dan perlu kita lakukan sekarang, untuk hari esok, kerana ia belum pasti. Kita adalah makhluk baru setiap saat.

Segala perubahan, pemurnian dan taubat, perlu dilakukan sekarang. Jangan tambah semalam yang kelam untuk membinasakan masa depan yang diharapkan sebagai rumah kebahagiaan. Mati itu hadir bila-bila masa sahaja. Walaupun semalam, kematian tidak hadir kepada kita, tetapi ia hadir kepada orang lain. Itu membuktikan tiada yang terlepas daripada kematian. Pelajarilah apa yang perlu dalam kehidupan daripada pesekitaran untuk penyempurnaan diri. Carilah yang pasti dan jangan fantasikan realiti demi merealitikan fantasi. Sebab, di luar akal dan minda kita, yang wujud hanyalah hakiki dan realiti, biar seindah mana pun fantasi dan persepsi akal kita. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok.

Kehambaan

Semua orang perlu ada sebab untuk berubah. Bahkan, memang semua orang ada sebab untuk berubah. Ia adalah tanggungjawab dalam kehidupan duniawi. Semua orang tahu dirinya diciptakan untuk disempurnakan. Allah s.w.t. menjadikan hubungan kita kepada-Nya sebagai hubungan kehambaan. Maka, pada hubungan kehambaan itulah, kita melaksanakan proses penyempurnaan. Iaitu, menyempurnakan sudut kehambaan dengan ketaatan.

Dosa memisahkan kita daripada Allah s.w.t.. Kita yang terus keliru dalam kehidupan, tanpa kembali kepada Allah s.w.t.. Orang yang hipokrit dalam menuju Allah s.w.t. pun merasa seronok dengan perjalanannya itu, kerana mendapat pujian atau sebagainya, bagaimana pula dengan orang yang jujur menuju Allah s.w.t.? Bahkan, sudah tentulah lebih bahagia dan itulah sebenar-benar bahagia, iaitu jujur dalam mencariNya. Orang yang mengaku sebagai wali Allah pun seronok dengan pendakwaannya, bagaimana pula kebahagiaan di hati para wali Allah s.w.t. yang hakiki, yang telah mendapat penerimaan daripada Allah s.w.t.?

DIALAH ALLAH

Jangan salah sangka. Bukan ibu bapamu yang memaksa kamu menjadi seorang insan yang soleh. Bukan ustaz yang mengajar di sekolahmu yang sebenarnya menyuruhmu melakukan ibadah dan menjadi hamba Allah s.w.t.. Bukan imam di masjid atau ustaz yang berceramah yang menyuruhmu menjadi hamba yang soleh lagi taat. Bukan penulis tulisan ini yang menyuruhmu dan dirinya sendiri, menjadi hamba Allah s.w.t. yang sebenar.

Tetapi, ALLAH... Allah s.w.t. yang menyuruh kita menjadi hamba yang diredhai-Nya dengan melaksanakan tugas-tugas kehambaan lalu Dialah yang akan membalasinya. Penulis tulisan ini, imam masjid, ustaz yang berceramah atau yang mengajar di sekolah, hatta ibu bapa sekalipun, siapa kami dan siapa mereka, untuk menyuruh kamu (dan diri penulis), menjadi hamba Allah s.w.t. yang baik dan taat? Tetapi, yang menyuruh kita menjadi hamba-Nya yang taat adalah ALLAH s.w.t., Tuhan yang menciptakan kita daripada tiada kepada ada, daripada tidak memiliki apa-apa kepada mendapat segenap nikmat kurnia, daripada air yang tiada nilai kepada insan yang mulia dan Dialah yang akhirnya Tuhan yang akan mengadili kita setelah kita kembali hanya kepada-Nya setelah mati nanti. Harap maklum.

Kalau kita diberi peluang untuk melawan Allah s.w.t. sekalipun, kita sudah tentu tidak mampu untuk melawan Allah s.w.t.. Apatah lagi, kita tidak beri peluang langsung untuk bertanya apa yang Dia telah dan akan lakukan kepada kita, sedangkan kitalah yang akan dipertanyakan. Adakah seseorang itu menyangka dia ialah seseorang (somebody) jika melakukan penderhakaan kepada Allah s.w.t. dan Allah s.w.t tercabar dengan kedegilan itu? Sejak bila Allah s.w.t. perlukan kita untuk ambil kisah dengan tindakan buruk kita dan sejak bila kerajaan Allah s.w.t. boleh berkurangan dengan penderhakaan kita andai kita sanggup menderhakai-Nya?

Kita tidak cerdik kalau memilih untuk melakukan apa yang kita percaya, hanya kerana itu yang kita percaya, tanpa mengambil kira samada ianya adalah suatu yang hakiki atau khayalan fantasi sendiri. Kalau kita bukan penasihat kepada diri kita sendiri, maka tiada yang boleh menasihati kita. Orang boleh ajak kita berfikir, tetapi orang tidak boleh berfikir untuk kita. Kita pun faham, kita tidak pernah mampu membahagiakan diri kita sendiri dengan apa yang kita cari. Akhirnya, kebahagiaan itu adalah daripada Allah s.w.t. dan dengan Allah s.w.t.. Hidup untuk diri sendiri tidak berbaloi kerana mati nanti akan menjadi pemisah terhadap semua yang kita kumpulkan untuk kepentingan sendiri dan diri sendiri pun tidak ada nilai melainkan apa yang di sisi Allah s.w.t... Hidup kerana Allah s.w.t. tidak pernah mengecewakan, kerana setiap saat kita berinteraksi dengan-Nya sebagai tujuan. Sebagaimana kita tidak pernah meninggalkan-Nya dalam setiap tindakan, kita juga tidak akan ditinggalkan-Nya dalam setiap ketentuan. Bahkan, kita sentiasa bersama dengan-Nya dan bersama dengan kebersamaan tersebut.

Kita masih ada masa, tetapi jangan buang masa. Kita masih ada peluang, tetapi jangan jadikan sebagai alasan. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok. Salah itu bukan alasan untuk terus salah, tetapi adalah sebab untuk melakukan perubahan dan pembetulan ke arah penyempurnan kehambaan.

Ianya adalah tentang sekarang, untuk lakukan apa yang perlu, untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah s.w.t.. Allah s.w.t. Maha Penerima Taubat, bagi mereka yang jujur untuk kembali kepada-Nya. Namun ingatlah, Dia juga Maha berat siksaan-Nya, bagi mereka yang mempunyai rasa berani menderhakai-Nya dan berterusan dalam kelalaian kerana puas dengan penderhakaan tersebut. Taubat boleh membawa kepada menghilangkan dosa besar dengan keampunan Allah s.w.t. sedangkan berterusan melakukan dosa walaupun kecil, tanpa keampunan Allah s.w.t., ia akan menjadi masalah besar kepada si pelakunya di akhirat. Ia bukan tentang dosa seseorang, tetapi tentang kepada siapa dia melakukan dosa.

Kita adalah hamba samada kita akuinya mahupun tidak. Bahkan, kita adalah hamba, samada hamba kepada Allah s.w.t., yang merupakan suatu kemuliaan di sisi-Nya, atau hamba kepada nafsu sendiri, yang merupakan suatu kehinaan di hadapan-Nya. Allah s.w.t. adalah Allah s.w.t. jua, tanpa kita. Namun, siapalah kita, tanpa-Nya?

Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

‘Amalahullahu bi Lutfihi Al-Khafiy

Merasakan Diri Paling Hina...



Imam Al-Arif biLlah Sheikh Abdul Wahab As-Sya'rani r.a.:-

"Kami telah berjanji kepada para masyaikh (guru-guru) kami: untuk melihat diri kami paling hina dalam kalangan muslimin, walaupun kepada mereka yang paling fasiq dalam kalangan muslimin tersebut, maka hendaklah kita merasakan diri kita lebih fasiq daripada mereka.

Sesiapa yang tidak meyakini konsep ini, dari kalangan ahli dakwa (yang mendakwa dirinya baik daripada orang lain), maka periksalah dirinya sendiri, dari sudut kefasikan sepanjng umurnya, dan jika dibandingkan dengan sifat kefasikan yang terzahir daripada orang-orang muslimin yang lain, nescaya dia akan dapati sifat kefasikan dirinya lebih banyak berbandiang sifat muslimin yang lain dengan yakin, kerana Allah s.w.t. Maha Menutupi Keaiban. Allah s.w.t. tidak pernah menzahirkan sifat-sifat kekurangan para hambaNya yang lain kepada kamu melainkan sedikit sahaja, kerana selebihnya Allah s.w.t. menyembunyikannya daripada kamu. Adapun apa yang disembunyikan olehNya, maka tiada manusia layak menghukumnya dan tiada siapa yan layak melemparkan tuduhan kefasikan terhadap orang-orang yang disembunyikan kefasikannya daripada kita, sedangkan kefasikan diri kita sendiri, sudah jelas kelihatan pada diri kita sendiri, walaupun Allah s.w.t. menyembunyikannya daripada orang lain (maka dengan demikian, tahulah kita bahawa kita adalah yang paling fasiq kerana melihat kefasikan kita termasuklah yang tersembunyi, lebih banyak daripada orang lain).




Fahamilah dan ketahuilah bahawasanya, inilah perjanjian induk yang menjadi ibu bagi terealisasinya perjanjian-perjanjian yang lainnya. Sesiapa yang tidak melaksanakan perjanjian ini, nescaya tidak mampu untuk melaksanakan perjanjian-perjanjian ketaatan yang lainnya, kerana sesiapa yang sentiasa melihat keburukan makhluk, nescaya akan memandang hina kepadanya dan merendah-rendahkan hak-hak mereka, serta tidak dapat mengambil manfaat dan pelajaran daripada mereka, berbeza deengan mereka yang melihat kebaikan makhluk sahaja.

Syariat hanya menyuruh kita melihat kebaikan-kebaikan yang wujud sahaja. Jika pandangan kita terlihat akan keburukan seseorang, maka hendaklah kita menyuruh makhluk tersebut bertaubat kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kita menegahnya daripada kesalahan tersebut, dan dalam masa yang sama, tetap menyaksikan terhadap diri kita, bahawa kita lebih rendah martabatnya berbanding hamba tersebut.

Sesungguhnya, syariat hanya menyuruh kita mencegah orang-orang yang melakukan kemungkaran daripada melakukan kemungkaran tersebut sahaja. Adapun memandang hina kepada mereka dan merendah-rendahkan mereka, maka Allah s.w.t. melarang kita daripada melakukan hal yang sedemikian.

Diriwayatkan daripada Imam At-Tirmizi dan Ibn Hibban bahawasanya, Rasulullah s.a.w. telahpun bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memandang hina seseorang muslim, maka ke atasnyalah, laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menerima sebarang amalan daripadanya", iaitu samada amalan wajib mahupun sunat.

Sesungguhnya, orang-orang yang fasiq dan zalim, tetap seorang muslim tanpa syak lagi kerana diapun mengucapkan dua kalimah syahadah, maka fahamilah.
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sepotong hadis yang lain: "Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sebutir zarrahpun daripada sifat kibr (rasa diri lebih baik daripada orang lain)". Para sahabat r.a. bertanya: "Apakah kibr itu? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Al-Kibr (takabbur) itu, yang menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia", maka fahamilah.

Ketahuilah bahawasanya, tiada satu pintu pun bagi kita, untuk memandang rendah kepada manusia yang lain, melainkan satu jalan sahaja, iaitu dengan kemaksiatan yang telahpun mereka lakukan. Oleh yang demikian, sesiapa yang melihat yang kebaikan manusia yang wujud, tanpa memandang akan keburukan manusia, bererti dia telahpun menutup pintu memandang rendah kepada sesama manusia, berbeza dengan seseorang yang sentiasa memandang akan keburukan manusia, maka dia telahpun membuka pintu untuk merendah-rendahkan manusia yang lain, sehingga membutakannya daripada kebaikan manusia lain. Maka, dengan demikian (merendah-rendahkan manusia lain), dia akan musnah bersama-sama orang-orang yang musnah.

Manusia tidak terlepas daripada dua unsur iaitu kebaikan dan keburukan melainkan para nabi dan para malaikat., tetapi orang yang kamil (sempurna) ialah orang yang sentiasa memerhatikan kelemahan dirinya sehingga hampir tidak terlihat lagi akan aurat orang yang lain, daripada kalangan makhluk Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, amat kurang pengingkaran daripada orang-orang yang mengenal Allah s.w.t. (Al-Arifin) kerana sentiasa melihat akan kebaikan manusia, dan sentiasa membuat kemungkinan dan sangkaan kepada manusia dengan sebaik-baik kemungkinan dan sangkaan, sehingga sesiapa yang tidak mengenal akan hal mereka, akan menyangka bahawa mereka berdiam daripada kemungkaran dengan konsep taslim kepada Allah s.w.t. padahal tidak sedemikian.

Ketahuilah bahawasanya, sekurang-kurangnya, kebaikan yang dapat kamu lihat wahai saudaraku, terhadap orang yang melakukan maksiat, walaupun kamu tidak melakukan kemaksiatan yang dilakukan oleh ahli maksiat tersebut, kemungkinan juga boleh melakukan maksiat tersebut, dalam hukum takluk kekuasaan Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t. Maha Berkuasa dalam melakukan apa sahaja. (Jadi, bersyukurlah kepada Allah s.w.t. sentiasa yang telahpun menjaga kita, alhamdulillah).

Aku mendengar daripada saudara lelakiku, Afdholuddin r.h.l. pernah berkata: "Aku malu sangat dengan jiranku." Maka aku bertanya kepadanya: "Mengapa sedemikian?" Lalu dia menjawab: "Hal ini kerana, dialah yang tenggelam dalam lautan zina, liwat, minum arak, dan pelbagai maksiat yang lain, siang dan malam, sehingga aku merasakan bahawasanya, dia (jiran tersebut) sebenarnya sedang memikul kotoran dosa kemaksiatan daripada keadaaanku yang pada hakikatnya berdosa, dan dia memikul kotoran yang asalnya daripadaku. Sesungguhnya, dia termasuk dalam lingkungan rumah-rumahku juga, dan apa sahaja yang memisahkan antara dindingnya dengan dindingku (untuk menyebabkan dia tidak terkesan dengan kehinaan dan kekotoranku)?"

Aku sering mendengar guruku Saiyidi Ali Al-Khawas mengatakan bahawasanya: "tidak sah bagi seseorang hamba yang melangkah ke atas jalan kaum, melainkan dia melihat dirinya paling rendah daripada serendah-rendah lapisan terendah muka bumi ini, yang mana tiada dibawahnya sesuatu yang lebih rendah lagi daripada dirinya..."
Maka dapat diketahui bahawasanya, setiap yang merealisasikan perjanjian ini, dengan melihat dirinya lebih rendah martabatnya berbanding orang lain, maka seluruh kewujudan ini akan menjadi pembantu kepadanya (dalam menuju Allah s.w.t.) kerana setiap kewujudan seperti martabat seorang sheikh kepadanya, yang sentiasa memberi pengajaran dan bantuan dalam perjalanannya menuju Allah s.w.t., maka tidak terhitung banyaknya para guru dan pembimbingnya dalam menuju Allah s.w.t. (kerana dapat belajar daripada setiap makhluk yang wujud untuk sampai kepada Allah s.w.t.). Hal ini kerana, tiada yang berlaku dalam kewujudan ini, melainkan ada keistimewaannya yang Allah s.w.t. letakkan di dalamnya. Maka, orang yang sudah sampai maqam ini (merasakan diri paling hina), akan sentiasa melihat keistimewaan dalam setiap kewujudan dan mengambil kebaikan tersebut sebagai pengajaran untuk diamalkan dalam dirinya, walaupun teman-temannya tidak bersifat dengan sedemikian, kerana kedegilan mereka terhadap keistimewaan yang Allah s.w.t. telah letakkan pada kehidupan mereka.

Dia dapat mengambil iktibar daripada orang-orang yang melakukan kezaliman, penzina, peminum arak dan sebagainya, dengan merenungi dalam diri: bahawasanya Allah s.w.t. yang mengizinkan orang tersebut melakukan hal sedemikian, Dia juga boleh meletakkanku dalam hal yang serupa, maka bersyukurlah kepadaNya kerana kamu tidak melakukannya dengan bantuanNya.

Kemudian, dia dapat mengambil iktibar daripada kesabaran hamba tersebut dalam duduk di bawah takdir dan ketentuan Allah s.w.t., dan kesabarannya dalam menghadapi hinaan manusia ke atasnya dan celaan mereka terhadapnya, serta sikap manusia dalam menjauhinya. Katakanlah kepada dirimu: adapun engkau wahai diri, kalau Allah s.w.t. uji dengan kemaksiatan sebegitu misalnya, walau hanya sekali cuma, nescaya kamu akan merasakan bahawasanya dunia ini terlalu sempit, kerana takutkan kedudukan dan kemuliaan kamu tergugat di sisi manusia, bukan kerana kamu takutkan Allah s.w.t..

Kamu juga boleh mengambil pelajaran bermakna hatta daripada seeokor anjing, yang amat penyayang dan setia kepada tuannya, sehingga sanggup menjaga tuannya, dan sentiasa merintih kerinduan apabila berjauhan daripada tuannya, serta ketaatannya kepada tuannya.

Apabila seseorang hamba yang meletakkan dirinya paling hina dalam kalangan makhlukNya, melihat hal kepatuhan si anjing kepada tuannya tersebut, maka dia akan berkata kepada dirinya: lihatlah anjing itu wahai diri. Lihatlah betapa patuhnya anjing itu kepada tuannya. Bagaimana pula dirimu dengan Tuhanmu, takkala Dia menyuruh kamu melakukan ketaatan namun kamu masih lagi memungkiriNya? Kalau begitu, sifat anjing itu lebih baik daripada kamu.

Lihatlah pula kepada apa yang dimakan oleh anjing tersebut, yang tidak seberapa, berbanding ketaatannya kepada tuannya, dan ia tidak pernah mengeluh dan sentiasa redha dengan apa yang diberikan oleh tuannya walaupun tidak seberapa. Adapun kamu wahai diri, sudahlah ketaatanmu kepada Tuhanmu lebih buruk halnya berbanding anjing tersebut, namun masih memakan makanan yang lazat-lazat anugerah Tuhanmu yang tidak pernah jemu untuk memberi rezeki kepadamu, sedangkan kamu masih sentiasa menderhakaiNya, malah tidak pernah puas dengan apa yang diberi olehNya dan tidak mensyukuriNya.

Begitu juga, si hamba tersebut boleh mengambil pejaran daripada keldai, bahgal, unta dan sebagainya, tentang kesabaran binatang-bintang tersebut dalam berkhidmat kepada manusia, dalam memikul bebanan dan sebagainya. Bahkan, ada juga yang sanggup menahan pukulan-pukulan tuannya dalam berkhidmat kepada tuannya tersebut.

Lalu, si hamba yang rendah diri tadi pasti berkata kepada dirinya, kalaulah Allah s.w.t. mengujinya dengan hal yang sedemikian, pasti dia tidak mampu sabar terhadap ujian tersebut walau sehari cuma. Bahkan, dia juga tidak mampu sabar dalam berkhidmat kepada manusia.

Begitulah terus, mereka mengambil pengajaran daripada setiap haiwan. Bahkan, ada sebahagian fuqoro' (orang-orang sufi) yang dibuka kepadanya dengan kasyaf, melihat hatta benda-benda yang tidak bergerak seperti batu, hidup dan mengambil iktibar daripada benda-benda tersebut.

Kemudian ketahuilah olehmu wahai saudaraku, sesungguhnya hukum madad (bantuan) itu seumpama hukum air. Air tidak akan mengalir melainkan ke tempat yang rendah sahaja. Adapun tempat yang tinggi, maka air tidak akan mengalir menujunya (tempat tinggi tersebut) secara semulajadi. Adapun tempat yang sama rata, maka air tidak bergerak dan terus bertakung.

Oleh yang demikian, sesiapa yang melihat dirinya lebih tinggi kedudukannya berbanding manusia yang lain, ataupun sama taraf dengan mereka, maka akan tertegah daripada mendapatkan bantuan kepadanya walaupun ada upaya yang boleh untuk bantuan sampai kepadanya, seperti hukum air naik ke tempat yang lebih tinggi, ataupun tempat yang sama rata, tetapi amat sukar untuk merealisasikannya.

Adapun tanda-tanda terealisasinya sifat rendah diri ini ialah, dengan sanggup meghadapi kesulitan dan kesusahan daripada manusia lain. Hal ini kerana, seluruh manusia baginya, bagaikan tuan-tuan kepadanya, sedangkan dia seperti hamba di sisi seluruh manusia tersebut. Kalaulah dirinya menganggap manusia seluruhnya seumpama tuan-tuan baginya, maka, pasti dia sanggup untuk menghadapi penghinaan mereka, cacian mereka, pukulan mereka dan sebagainya Kalaulah seseorang tidak melihat dirinya lebih rendah daripada orang lain, maka dia tidak mampu untuk menghadapi ancaman dan perbuatan buruk manusia lain.

Antara tandanya lagi adalah, dia tidak akan mengecewakan sesiapa sahaja yang meminta kepadanya, dengan memberikan apa sahaja yang mampu diberinya kepada sesiapa sahaja yang meminta daripadanya."

(rujuk buku Al-Bahrul Maurud fil Mawasiq wal 'Uhud

Mutiara Hadith 1: Hadith Kelazatan Iman



Mutiara Hadith: Hadith Mengenai Kelazatan Iman

Dari Saidina Al-Abbas ibn Abdul Muttalib r.a., beliau berkata, bahawasanya: “saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):

“Seseorang akan merasai kelazatan iman, jika dia meredhai bahawa Allah s.w.t. sebagai Rabbnya, dan jika meredhai bahawa Islam ialah agamanya, dan meredhai bahawa Muhammad s.a.w. ialah seorang Nabi (Allah)”

Hadith riyawat Imam Ahmad bin Hanbal r.a. dalam musnadnya, Imam Muslim r.a., dan Imam Ar-Rifa’ie r.a. dalam buku “Halah Ahl Haqiqah Ma’a Allah”.


Telah berkata Imam Ahmad Ar-Rifa’ie dalam buku beliau “Halah Ahl Haqiqah Ma’a Allah”: Zauq (perasaan dan kelazatan) tersebut tumbuh dari sifat redha, (adapun redha tersebut) ialah suatu makrifat (ilmu dan pengenalan) tentang Allah s.w.t.. Makrifat (mengenal Allah s.w.t.) ialah cahaya yang diletakkan oleh Allah s.w.t. di dalam hati seseorang yang dikasihi-Nya dari kalangan para hamba-Nya. Tiada satupun perkara yang lebih mulia dan agung dari cahaya tersebut (jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah s.w.t. yang lain kepada para hamba-Nya). Hakikat Makrifat (mengenal Allah s.w.t.) ialah kehidupan hati dengan Tuhan yang Maha Menghidupkan seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidakkah jika seseorang itu mati, maka kami hidupkannya…” (Surah Al-An’am: 122).

Imam Ar-Rifa’ie seterusnya berkata lagi: “Sesiapa yang telah mati nafsunya, maka duanianya akan menjauhinya, dan sesiapa yang mati hatinya, maka Allah s.w.t. akan jauh darinya.”

Sheikh Ar-Rifa’ie berkata juga: “sesiapa yang melihat kepada Allah s.w.t. (menghalakan pandangan mata hatinya menghadap Allah s.w.t.), tidak akan melihat kepada dunia, dan tidak pula melihat kepada akhirat. Mentari hati seseorang Arif (orang yang telahpun mengenal Allah s.w.t.), lebih bercahaya dari mentari di siang hari…”

Alfaqir yang hina, menambah dengan bantuanNya:

Maksud dari perkataan As-Sheikh, bahawa “sesiapa yang melihat kepada Allah s.w.t…” ialah, seseorang itu mula menghalakan seluruh tujuan hidupnya, seluruh tujuan amal perbuatannya, kepada Allah s.w.t.. Setiap perkara yang dilakukannya, setiap masa yang digunakannya dari usianya, dan seluruh gerak diamnya, hanya kerana Allah s.w.t., di bawah payungan rahmat Ilahi s.w.t. di dalam konsep kehambaan yang mutlak kepada Allah s.w.t..

Ini difahami oleh kaum sufi dengan istilah “At-Tawajjuh”. Hal ini merupakan intipati dari makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “katakanlah bahawasanya: solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah kerana Allah s.w.t..”

Antara hadith yang turut menjelaskan tentang perkara ini ialah hadith Jibril a.s., dalam perbahasan ihsan, di mana Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa: “Ihsan ialah, kamu menyembah Allah s.w.t. sepertimana kamu melihat-Nya. Kalaulah kamu tidak melihat-Nya sekalipun, sesungguhnya Dia melihat kamu”.

Ramai di kalangan para ulama’ sufi yang membincangkan hadith ini dari sudut batinnya, di dalam buku-buku mereka dengan perbahasan-perbahasan zauqiyah, namun cukuplah di sini, kita kutip salah satu kefahaman ringkas dan mudah dari hadith ini iaitu, berkenaan dengan musyahadah dan muroqobah.

Musyahadah (penyaksian) ialah suatu keadaan hudur Al-Qalb fi Hadratillah atau kehadiran hati yang sentiasa melihat bahawasanya Allah s.w.t. melihatnya. Kehadiran hati tersebut merupakan lawan bagi kelalaian.

Muroqobah (pengawasan) merupakan peringkat di bawah peringkat musyahadah, dan ianya merupakan peringkat asas sebelum sampai kepada peringkat musyahadah. Muroqobah bererti, pengawasan diri dan sentiasa menanamkan dan mengingatkan diri kita, bahawa Allah s.w.t. sentiasa melihat dan memerhatikan setiap gerak geri kita.

Demikianlah sedikit sebanyak tentang hadith tersebut.

Seterusnya, apabila kita sudah mengakui bahawasanya, seluruh amalan dan kehidupan kita serta kematian kita adalah kerana Allah s.w.t., bererti kita juga telah mengakui bahawa, apa yang sebenarnya dicari oleh kita di dalam kehidupan kita ialah redha dari Allah s.w.t. yang mana, kepada-Nyalah kita mempersembahkan dan memperbentangkan amalan kita kepada-Nya.

Apabila kita dapati bahawa, makna dan tujuan kita hidup di dunia ini tidak lebih daripada untuk “hidup dan mati kerana Allah s.w.t.”, maka tergamakkah kita mempersembahkan dan memperbentangkan amalan-amalan kita kepada selain daripada-Nya?

Sudah pasti, apabila makna “hidup dan matiku kerana Allah s.w.t.”, sudah terealisasi dan tersemat erat di dalam jiwa seseorang, sudah tentu dia tidak lagi mengadapkan tujuan kehidupannya untuk mencapai selain dari redha dan rahmat dari Allah s.w.t..

Makna “kehidupan dan kematianku kerana Allah s.w.t.” juga membawa pelbagai maksud tauhid yang lain seperti “kehidupan dan kematianku untuk Allah s.w.t.”, “kehidupan dan kematianku dengan kehendak Allah s.w.t.” dan “kehidupan dan kematianku dari Allah s.w.t.”.

Pernyataan “kehidupan dan kematianku dari Allah s.w.t.” merupakan pintu untuk mencapai kefahaman-kefahaman yang lain.

Apabila seseorang melihat dalam dirinya sendiri, dia pasti merenung, dari manakah datangnya diriku ini? Kalau dari ibu dan bapa, bererti mereka berkuasa dalam menjadikanku. Tetapi, mereka juga akhirnya mati seperti ibu bapa mereka (datuk nenekku), menunjukkan bahawa, mereka juga tidak berkuasa terhadap diri mereka sendiri, bagaimana mungkin pula berkuasa terhadap diriku ini? Akhirnya, pmikirannya yang waras akan serta-merta menunjukkan kepada natijah iaitu, di sana, adanya satu Tuhan yang berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dari Dialah kita wujud.

Apabila sudah memahami bahawasanya: “kehidupan dan kematianku dari Dia yang Maha Berkuasa” tersebut, kita juga seterusnya bermuhasabah diri di hadapan ajaran-ajaran agama Islam untuk meningkatkan kefahaman kita tentang diri kita ini.

Apabila kita selami makna dari roh ajaran Islam itu sendiri, kita fahami bahawa, tujuan hidup dan mati kita adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah (kepada-Ku)”.

Dari kefahaman ini, kita seoalah-olah dilintasi oleh hembusan syaitan yang mempersoalkan bahawa: “mengapa kita perlu beribadah kepada-Nya, sedangkan kita diberi kebebasan untuk memilih apa yang kita suka?” Jadi, nafsu turut meronta-ronta untuk tidak tunduk kepada perintah Samawi tersebut, seraya berkata: “kalau anda ikut agama, untuk beribadah kepada-Nya, tentu anda akan keletihan. Pilihlah hala tuju yang menyenangkan anda, dengan tidak patuh kepada-Nya”.

Dalam menangkis pelbagai hasutan syaitan dan tipu daya nafsu, anda sudah tentu terfikir tentang suatu hakikat yang lebih besar dari pelbagai tipu daya tersebut. Ia turut tersemat di dalam kata-kata Sheikhuna (guru kami) Sheikh Yusuf Al-Hasani: “Sesiapa yang keluar ke dunia (lahir ke dunia) bukan kerana pilihan dirinya sendiri, pasti akan keluar dari dunia bukan kerana pilihannya sendiri juga. Oleh yang demikian, di mana pula letaknya kebebasan kehendak kita di antara kedua-duanya (antara kamu hidup bukan kerana pilihanmu dan kamu mati bukan kerana pilihanmu)”.

Pernyataan Sidi Yusuf Al-Hasani cuba menjelaskan bahawa:

Kita lahir ke dunia bukan kerana kita yang memilih untuk hidup di dunia ini.

Kita juga akan mati bukan kerana kita yang memilih untuk meninggalkan dunia ini.

Ajal dan usia sememangnya di tangan Allah s.w.t.. Berapa ramai orang yang berkahwin (sebab untuk mendapatkan anak), tetapi tidak mempunyai anak. Berapa ramai yang cuba membunuh diri (sebab untuk menghilangkan nyawa), tetapi tidak berjaya untuk mati.

Ini menunjukkan bahawa, kita sebenarnya (bahkan seluruh kewujudan), sebenarnya bergerak di bawah kehendak, izin dan kekuasaan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, walaupun kita diberi kebebasan majazi untuk memilih, ianya tidak terlepas dari kekuasaan dan kehendak Allah s.w.t., kerana kita sudah tentu tidak mampu membuat sebarang pemilihan melainkan dengan izin Allah s.w.t.. Dari izin Allah s.w.t. tersebut, yang merupakan dari kehendak-Nyalah, kita dapat membuat pemilihan, bahkan kita sendiri dapat saksikan bahawa, bukan semua yang kita mahukan, kita akan mendapatinya.

Realiti ini menunjukkan bahawa, kita yang diberi peluang untuk memilih dengan izin Allah s.w.t. ini, tidak akan memilih melainkan untuk taat kepada-Nya, dengan keinginan kita sendiri. Allah s.w.t. boleh memaksa seluruh manusia taat dan patuh kepada-Nya, dengan kehendak dan kekuasaan-Nya, tetapi dengan ilmu dan Lutf (kelembutan) Allah s.w.t., yang menyembunyikan hikmah-hikmah di sebalik perbuatan-Nya, Dia membiarkan seluruh manusia dengan kebebasan memilih, yang merupakan pemberian dari-Nya, untuk menguji yang manakah di antara mereka yang akan mentaati-Nya dengan kerelaan dan yang mana akan mengkufuri nikmat “kebebasan memilih” tersebut dengan kerelaannya juga.

Oleh yang demikian, Allah s.w.t. menjanjikan nikmat syurga kepada para hamba-Nya yang taat, untuk menzahirkan kasih-sayang-Nya kepada para hamba-Nya dan untuk menyembunyikan cinta-Nya kepada para hamba-Nya, dari musuh-musuh para kekasih-Nya.

Demikian juga, Allah s.w.t. menjanjikan siksaan neraka kepada mereka yang ingkar dalam mentaati-Nya, untuk menzahirkan kebesaran dan keagungan-Nya serta memberi peringatan kepada manusia sebelum mereka mati, supaya kembali kepada-Nya dengan ketaatan, selagi ada hayat.

Dari sinilah, jika kita memahami bahawa, hidup dan mati kita pun daripada-Nya, mengapa tidak kita jadikan seluruh hidup dan mati kita untuk-Nya dan beramal di dalam kehidupan kita semata-mata kerana-Nya. Pilihan untuk beramal kerana-Nya dan metaati-Nya kerana-Nya semata-mata merupakan sebaik-baik pilihan, kerana dengan memilih sebaliknya (iaitu untuk menderhakai Allah s.w.t.), ia sebenarnya mengundang kepada kebencianAllah s.w.t. dan tidak membawa sebarang kebaikan bagi kita.

Apabila seseorang sudah menghayati bahawa, dirinya hidup dengan izin dan kuasa Allah s.w.t., dia akan menghayati bahawa, dia juga perlu menjadikan seluruh hidupnya untuk Allah s.w.t., kerana itulah tujuan Allah s.w.t. menciptakan dirinya.

Sheikhuna (guru kami) Sidi Yusuf Al-Hasani menegaskan makna ini dengan katanya: “Tauhid ialah, kamu jadikan diri kamu hanya untuk Dia yang Maha Esa semata-mata”.

Dari sinilah, apabila kamu melakukan sesuatu, kerana diri kamu untuk Allah s.w.t., maka kamu tidak akan melakukan sesuatu melainkan kerana-Nya, kerana kamu ialah, semata-mata hanya untuk-Nya.

Apabila ia menyerap ke dalam hati seseorang, maka, di sinilah timbulnya ikhlas, di mana, apabila dia melakukan kebaikan, beribadah kepada Allah s.w.t., menolong sesama manusia, dan sebagainya, dia tidak akan melakukannya melainkan kerana Allah s.w.t..

Apabila nilai-nilai kehambaan ini kembang mekar di dalam diri seseorang hamba, maka keharuman “redhanya kepada Allah s.w.t. sebagai Tuhannya” akan menyelubungi seluruh kehidupannya. Pada ketika itulah, keredhaannya kepada Allah s.w.t. sebagai Tuhannya akan berkembang sehingga dia redha dengan seluruh apa yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan meredhai seluruh ketetapan hukum dan ketentuan Allah s.w.t.. Lahirlah dari perasaan tersebut, keredhaannya kepada Islam sebagai agamanya, dan Rasulullah s.a.w. sebagai rasul dan kekasih Allah s.w.t..

Dari sinilah timbulnya benih-benih makrifat yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut sebagai “kelazatan iman”. Bukankah kelazatan tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa perkataan? Bukankah sesuatu kelazatan itu tidak dapat diketahui dan difahami melainkan orang yang pernah merasakannya sahaja. Anda tidak akan tahu kelazatan sesuatu makanan melainkan anda sendiri pernah merasakannya. Ketahuilah bahawasanya, kefahaman kita terhadap hakikat sesuatu merupakan makanan rohani kita, dan sebaik-baik makanan rohani ialah, kefahaman kita terhadap Allah s.w.t. yang seterusnya membawa kepada makrifatullah (mengenal Allah s.w.t.).

Begitulah seperti kata-kata Sheikhuna Sisi Yusuf Al-Hasani: “Rezeki rohani ialah rezeki yang paling istimewa. Ketahuilah bahawasanya, rezeki rohani ialah kefahaman kita mengenai Allah s.w.t..”

Oleh yang demikian, tiada suatu nikmatpun yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada seseorang hamba-Nya, melebihi kenikmatan takkala mengenali diri-Nya. Ini kerana, makrifatullah (mengenal Allah s.w.t.) ialah nikmat yang paling tinggi nilainya bagi seseorang hamba, kerana ia merupakan roh sesuatu kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t..

Diriwayatkan bahawasanya, Yahya bin Mu’az r.a. (m 258H) pernah berkata: “makrifat ialah kehampiran hati dengan yang Maha Dekat (Allah s.w.t.), kewaspadaan roh di sisi Kekasihnya (Allah s.w.t.), dan menyendirikan hatinya dari selain Allah s.w.t. dan menjadikan ia hanya untuk Allah s.w.t. yang Maha Pemerintah lagi Maha Menjawab segala permintaan.”

Dari makna inilah, kita dapati bahawa, seseorang yang sudah mengenali Allah s.w.t., sudah mengenali kehinaan diri di hadapan keagungan-Nya, dan sudah mengenali kehinaan dunia di sisi Allah s.w.t., sudah tentu tidak lagi memalingkan dirinya kepada dunia yang lebih hina dari dirinya, dan sebaliknya memalingkan seluruh tujuan kehidupannya untuk Allah s.w.t..

Maka, pada ketika itu, dunia sedikitpun tidak mampu lagi untuk menggodanya, dengan perhiasan-perhiasan dan kecantikannya, kerana di matanya (hamba tersebut), hanya ada Allah s.w.t., yang Maha Agung lagi Maha Cantik.

Jadi, sesiapa yang jujur dalam mengharapkan Allah s.w.t., sudah pasti tidak akan memalingkan dirinya dengan mengadap dan mengemis di hadapan dunia yang fana’ ini, seperi kata Imam Ja’far bin As-Sodiq r.a. (m 148H).

Imam Al-Rifa’ie r.a. berkata: Makrifah itu seperti pohon yang mempunyai tiga ranting utama.

Ranting Pertama: Tauhid
Ranting Kedua: Tajrid
Ranting Ketiga: Tafrid

Tauhid ialah pengakuan kita bahawa tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t.. Ia merupakan langkah melenyapkan seteru Allah s.w.t. dari diri kita.

Tajrid pula ialah berkaitan dengan keikhlasan kita kepada Allah s.w.t., dengan memotong segala asbab. Dalam erti kata yang lain, tidak memandang dan bergantung kepada asbab (sebab-sebab) tetapi bergantung harap kepada Allah s.w.t. semata-mata.

Adapun Tafrid ialah memutuskan seluruh keterpautan hati secara keseluruhannya, dan hanya melihat dan berpaut kepada Allah s.w.t. pada setiap keadaan. Ia merupakan suatu yang amat tinggi. Tafrid juga bermakna, berhubungan dengan Allah s.w.t. tanpa sebuah perjalanan, tanpa sesuatupun hatta tanpa selain dari-Nya. Ini lebih menjurus kepada perbahasan Al-Fana’ dan Al-Baqo’ dalam istilah kaum sufi.

Imam Ar-Rifa’ie seterusnya menjelaskan bahawa: “jalan untuk mencapainya (makrifat) ada lima iaitu:

Pertama: Takut kepada Allah s.w.t. dalam keadaan sendirian ataupun di khalayak awam.
Kedua: Ketaatan mutlak dalam kehambaan (kepatuhan dengan melaksanakan syariat Allah s.w.t..)
Ketiga: Memutuskan sebarang keterpautan hati melainkan hanya berpaut kepada-Nya dan menghadap-Nya secara keseluruhan.
Keempat: Ikhlas dalam perkataan, perbuatan dan niat.
Kelima: Berwaspada dan berjaga dalam setiap lintasan dan setiap pergerakan.

Kesimpulan dari perbincangan berkisar tentang hadith yang mulia tersebut, sesungguhnya makrifatullah itu merupakan suatu kalazatan yang dirasai oleh hati seseorang hamba Allah s.w.t.. Kelazatan tersebut sebenarnya merupakan natijah dari kejujuran nilai-nilai kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t. dalam menunaikan perintah Allah s.w.t. dan redha terhadap segala apa yang datang dari Allah s.w.t..

Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kepada kita sifat redha tersebut supaya dengannya, kita terbang menuju redha-Nya di laman kemurahan dan rahmat-Nya.

Amin…

Wallahu a’lam…

Diolah, diringkas dan dinukilkan oleh:

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
UTMKL, 14 December 2006

DESTINASI CINTA (Mestica)

Sememangnya, jika kita menggunakan hati yang peka terhadap hubungan kita terhadap yang Maha Pencipta, sudah tentu kita akan dapat mengambil manfaat daripada setiap pemerhatian kita, dalam rangka membentuk kesempurnaan kehambaan diri kita kepadaNya. Adapun dalam lirik nasyid DESTINASI CINTA, maka ianya mengandungi makna yang sangat agung dalam memahami erti hubungan cinta seseorang hamba dengan Tuhannya. Di sini, ada disertakan sebuah huraian ringkas terhadap lirik nasyid tersebut, sesuai dengan apa yang telah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kepada alfaqir yang penuh kehinaan ini, untuk dikongsi bersama, agar ianya memberi manfaat kepada semua.



Menyingkap tirai hatiMengintai keampunanDi halaman subur rahmat-Mu, TuhanTiap jejak nan bertapakDebu kejahilanAkan ku jirus dengan madu keimanan
Tak ternilai airmata dengan permataYang bisa memadamkan api nerakaAndai benar mengalir dari nasuha nuraniTak kan berpaling pada palsu duniawi
Destinasi cinta yang ku cariSebenarnya terlalu hampirHanya kabur kerana dosa di dalam hatiTelah ku redah daerah cintaYang lahir dari wadah yang alpaTiada tenang ku temuiHanya kecewa menyelubungi
C/OKu gelintar segenap mayaDambakan sebutir hakikatUntuk ku semai menjadi sepohon makrifatMoga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu
Namun ranjaunya tidak akan sunyiSelagi denyut nadi belum berhentiDurjana syaitan kan cuba menodaiSegumpal darah bernama hati(Destinasi cinta Ilahi)
Lestarikan wadi kalbuku, oh TuhankuLeraikan aku dari pautan nafsuBiarpun sukar bagiku melamar redha-MuNamun masihku mengharap ampunan-MuWahai Tuhanku? Ya Allah?

Huraian yang Terukir Dari Insan Faqir-Dengan izin Allah Al-Aziz Al-Qodir:
Menyingkap tirai hatiMengintai keampunanDi halaman subur rahmat-Mu, Tuhan

Al-Faqir yang serba jahil ini mengulas sedikit dengan izin Allah:
Seseorang hamba yang terperangkap dalam belengu hijab duniawi, pasti terkadang-kala merasa letih dek terlalu mengejar keduniaan. Biarpun dari sudut mata pandangan, dunia kelihatan indah mempesona, tetapi jauh di sudut hati, terasa letih dalam misi mengejar duniawi.
Selalunya, ramai manusia yang lemas dalam lautan kebendaan duniawi, pasti alpa dalam menyahut seruan Ilahi s.w.t., untuk berbakti sebagai hambaNya di muka bumi ini. Serakah dek mengejar kelazatan dalam memenuhi kerakusan syahwat yang singkat, ramai yang mengabaikan tugas utama dia diciptakan di dunia ini, iaitu sebagai hamba Ilahi, lantaran meninggalkan segala suruhan dan melakukan sekian larangan, demi syahwat nafsu, dan hawa yang menipu.
Sesekali, dalam menempuh kerakusan kebendaan ini, setiap manusia pasti dilintasi oleh panggilan Ilahi s.w.t., yang menyerunya agar kembali ke pangkuan Rabbul Izzati s.w.t..
Samada dengan ditimpa musibah dan ujian, ataupun diberi seribu satu kesenangan, manusia pasti pernah terfikir, walaupun sekali Cuma, untuk kembali kepada Ilahi s.w.t., Tuhan yang menciptakannya dari tiada. Kadang-kala, dengan musibah yang menimpa, seseorang hamba terdetik di hatinya, bertanya-tanya, akan siapakah lagi yang mampu membantunya dalam menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu satu ujian. Akhirnya, terlihat satu cahaya, berserta suara nurani menjawab:
“Dialah ALLAH! Hanya Dialah yang Maha Membantu, dan hanya Dialah yang mampu membantu setiap para hambaNya, kerana ujian daripadaNya dan hanya Dia yang mampu menolong para hambaNya yang diuji.”
Sejenak, seorang insan yang mempunyai fitrah yang jernih, biarpun dikelabui syahwat yang semakin membuak-buak, pasti terdetik untuk kembali kepada DIA, yang hanya DIA, tiada DIA melainkan DIA. Ini kerana, dia hanya memerlukan DIA dalam kehidupan ini, dan dalam kehidupan setelah mati nanti. Keletihan duniawi terkadang mampu menewaskan egois syaitani dalam diri manusia, sehingga akhirnya terhadapkan wajahnya kepada DIA yang MAHA BERKUASA.
Lalu, dilema melanda. Antara nafsu dan YANG MAHA SATU. Setelah diri menghitung dosa dan noda sewaktu lemas dalam arus duniawi, setelah diri mengingkari janji sebagai hamba Ilahi, adakah masih ada lagi ruang untuk kembali menagih belas ihsan dari DIA YANG MAHA AGUNG? Layakkah untuk kembali dalam kebersamaan denganNya setelah mengkhianatiNya buat sekian lama, takkala leka dengan kelazatan duniawi yang fana?
Lalu, nafsu katakan: “Tidak! Jangan! Engkau sudah banyak dosa. Engkau tidak layak untuk menagih belas Allah s.w.t. lagi! Teruskanlah mengejar cinta duniawi yang selama ini Engkau cari. Itulah kebahagiaan hakiki!”
Hati yang rimas dalam lemas mula melontarkan suara halus bernada suci: “ Dialah yang Maha Penyayang. Dia Maha Penerima Taubat. Dia menyayangimu sebelum kamu diciptakan. Takkanlah setelah kamu diciptakan, Dia akan mensia-siakanmu? Dialah yang bersifat dengan sifat Maha Pengampun sebelum kewujudan sifat lemahmu, takkanlah Dia tidak bersifat dengan Maha Pengampun setelah kewujudan sifat lemahmu? Mustahil sama sekali. Kembalilah kepadaNya”.
Si hamba mula menoleh ke arah RUBUBIYYAH (KeTuhanan) Allah s.w.t. yang Maha Pengampun. Hati yang selama ini diselaputi titik hitam noda dan dosa, mula disirami cahaya, dek rasa kekesalan dan taubat dalam jiwa. Terdetik di hatinya, dengan izinNya, untuk kembali kepadaNya, dan menyesali segala salah dan silapnya dalam pengkhianatannya selaku hamba.
Sedikit demi sedikit, tirai hati mula tersingkap, dengan rasa penyesalan dan taubat. Tercari-cari ia akan KEAMPUNAN TUHANnya yang MAHA PENYAYANG. Ya, tiada lagi tempat untuk mengemis keampunan, melainkan di HALAMAN SUBUR RAHMATMU TUHAN.
Suburnya halaman (hadrah Qudsiyyah) rahmatMu kerana Engkaulah Yang Maha Memberi Rahmat. Subur halaman rahmatMu dengan sifat Maha Pemurahmu. Jika atas dasar keadilan, nescaya tidak layak seorang hamba yang sudahpun mengkhianati tuannya, mampu kembali ke halaman tuannya memikul segunung pengkhianatan terhadap tuannya. Tetapi, ALLAH, bukan calang-calang tuan, bahkan DIALAH TUAN segala tuan. Hanya dengan rahmatNyalah, seseorang mampu bersimpuh di halaman rahmatNya, kerana tanpa rahmat dan belas kasihNya, siapalah sang hamba yang hina dengan lautan pengkhianatan ini, mampu mengadapNya yang Maha Agung.
Tiap jejak nan bertapakDebu kejahilanAkan ku jirus dengan madu keimanan 
Setelah memikul dosa pengkhianatan yang menggunung, si hamba tersebut berusaha untuk menagih simpati dariNya yang Maha Mulia, agar diberi sekali lagi kesempatan untuk membuktikan kehambaannya kepadaNya, dengan bantuanNya.
Janji dilafazkan, untuk menghilangkan setiap debu kejahilan yang menjadi punca pengkhianatan, dengan madu keimanan. Biarlah kemanisan iman itu menjadi kekuatan baru untuk bertapak dengan jejak yang baru, jauh dari debu kejahilan, sekaligus ditemani oleh siraman hujan madu keimanan dari Tuhannya, dengan izinNya.
Kejahilan menjadi punca sebenar seseorang itu melakukan maksiat kepada Tuhannya. Ini kerana, dia jahil tentang hakikat dirinya dan dia jahil tentang hakikat Tuhannya. Kalaulah dia kenal, siapa ALLAH yang dikhianatinya, nescaya tiada lagi penyesalan lebih besar dalam dirinya, selain daripada menyesal bahawa dia pernah hidup di dunia. Namun, Allah s.w.t. Maha Pemurah, dengan menganugerahkan taubat kepada para hambaNya untuk menjadi pintu utama buat para hambaNya yang ingin kembali kepadaNya setelah sekian lama mengkhianatiNya.
Tak ternilai airmata dengan permataYang bisa memadamkan api neraka.
Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala malu bercampur gembira, ketika diberi peluang mengadapNya semula. Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala takut bercampur harap, ketika diberi anugerah untuk bertaubat kepadaNya. Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala menyaksikan, akan PENYAYANGnya ALLAH yang Maha Penyayang.
Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala mensyukuri, anugerah linangan air mata tersebut yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepadanya. Inilah hakikat. Dia menangis bukan atas kekuatan dirinya. Ini kerana, kalau manusia mampu menangisi dosa mereka di hadapan Tuhannya, nescaya semua manusia boleh menangis kerana dosa. Berapa ramai manusia yang ingin menangis dalam taubatnya namun tidak mampu. Jelaslah bahawa, tangisan itu anugerah. Hanya yang terpilih sahaja, akan menangis dalam taubatnya. Siapa yang memilih kalau bukan Allah yang Maha Memilih?
Jadi, dia faham, tangisan itu juga suatu anugerah. Jadi, bertambahlah tangisannya dalam tangisan, kerana mensyukuri nikmat menangis kerana dosa tersebut, yang merupakan anugerah dari Allah s.w.t. kepadanya.
Bahkan, bertambahlah tangisan dalam tangisan dalam tangisan, kerana memahami bahawa, tangisan kerana dosa tersebut merupakan satu anugerah baginya untuk melepaskan dirinya daripada neraka Allah s.w.t., dengan izinNya. Teringat Dia akan janji Tuhannya bahawa, dua mata yang tidak akan disiksa dalam api neraka, antaranya ialah: “mata yang menangis kerana bertaubat dari dosanya…”
“Ahh…Ya Allah, sudahlah aku mampu menangis bertaubat dari dosa keranaMu, lalu Engkau pula menjanjikannya sebagai pelepasan dari api neraka. Maha Pemurah lah Engkau takkala memberi peluang untuk aku melepaskan diriku dari siksa neraka”, rintih hati, malu di hadapan yang Maha Mencintai. Bertambah malu dengan layanan mulia dari Allah s.w.t. setelah mengenang pengkhianatannya terhadapNya yang menggunung.
Lalu, dari rasa malu terhadap Tuhannya, kerana layanan dariNya yang mulia, kepada dirinya yang serba hina, dari rasa takut kepada keagunganNya, maka, si hamba itu berjanjilah untuk menunaikan segala perintah Tuhannya untuk membuktikan kehambaannya kepadaNya dengan bantuan dan izinNya. Berjanji, untuk menagih simpati…
Lalu, pintu pertama yang harus ditempuh untuk membuktikan kehambaannya kepadaNya ialah, dengan merealisasikan taubat nasuha itu sendiri. Namun, apa bukti taubat nasuha
Andai benar mengalir dari nasuha nuraniTak kan berpaling pada palsu duniawi
Tanda kejujuran taubat seseorang hamba dan tanda taubat nasuha seseorang hamba ialah, tidak lagi ada keinginan di hatinya untuk kembali berpaling kepada palsu duniawi.
Setelah dia tahu, dunia itu palsu dan Allah itu hakiki, setelah dia tahu, dunia ini fana, dan hanya Allah s.w.t. itu Maha Kekal, setelah dia tahu hanya Allahlah yang dia perlukan, bahkan dunia sering menyusahkan, maka, setelah sesalan yang disulami kejujuran, daripada kealpaan dan pengkhianatan, sudah pasti tersemat erat di dalam hatinya, janji untuk terus bertawajjuh mengadap Tuhannya semata-mata, dan tidak mahu lagi berpaling kepada musuh yang berjaya menawannya suatu ketika dahulu.
Seseorang hamba yang jujur dalam taubatnya, pasti tidak lagi teringin untuk kembali kepada hasutan palsu duniawi yang memukau. Dia akan sentiasa meminta bantuan daripada Allah s.w.t., untuk membantunya melawan tipu daya duniawi.
Jika sesekali, dia terjerumus dek arus deras palsu duniawi, lantas dia bersegera dalam mengulangi taubatnya dan berazam dengan sebenar-benar azam, untuk tidak kembali lagi kepada kealpaan. Itulah tanda kejujuran dalam taubatnya.
Taubatnya Saidina Umar Al-Khattab r.a., daripada seorang yang tiada belas kasihan, kepada seorang yang penyayang, bahkan menyayangi Rasulullah s.a.w. melebihi dirinya sendiri. Taubatnya Malik bin Dinar, melakar sejarah baru dalam dunia kesufian, takkala si dia yang mabuk dengan kepalsuan “wanita”wi dan “khamar”wi, berubah menjadi seorang yang mabuk dalam lautan cinta Ilahi. Taubatnya Rabiatul Adawiyah, merubah hidupnya dari seorang hamba kepada seorang hamba, kepada seorang yang merdeka di persada kehambaan sejati.
Taubat bisa mengubah seseorang daripada yang dahulunya, seluruh alam malu menyaksikannya, kepada seorang yang mana, seluruh alam berbangga dan bergembira dengan kewujudannya. Yang penting ialah kejujuran dalam taubat itu sendiri, takkala seseorang tidak berpaling semula kepada apa yang ditinggalkannya daripada maksiat yang telah dilakukannya, hatta tidak pula mengingati maksiat yang telah dilakukannya tanpa sebarang tujuan.
Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah berkata: “Mengingati maksiat itu maksiat”.
Maknanya, seseorang yang mengingati maksiat tanpa tujuan, setelah mana dia bertaubat nasuha, maka ia suatu perkara yang tercela kerana bisa menjadi sebab yang menariknya semula kepada melakukan maksiat tersebut kembali.
Suatu ketika, Sheikh Sirri As-Saqoti bertanya kepada seorang pemuda: “Apakah yang dimaksudkan dengan taubat?”
Tanya pemuda itu pula: “Di sisi kamu, apa pula yang dimaksudkan dengan taubat itu?”
Sheikh As-Sirri As-Saqoti berkata: “Bertaubat ialah, seseorang mengenang dn mengingati dosa-dosanya yang lalu.”
Pemuda itu lantas berkata: “Bertaubat menurut saya ialah, melupakan dosa yang pernah dilakukan dan terus beradab di hadrah Kebersamaan dengan Allah yang suci. Tidak boleh membawa kotoran (mengingati dosa) dalam hadrah yang suci (dalam kebersamaan dengan Allah s.w.t.).”
Sheikh Sirri As-Saqoti kagum dengan pemuda tersebut, lalu menceritakannya perihal tersebut kepada anak muridnya, Sheikh Junaid Al-Baghdadi. Sheikh Junaid lalu berkata: “Benar pemuda itu. Dia telah mengajar kita hakikat taubat”.
Jadi, seseorang yang telahpun bertaubat, jika taubatnya jujur, pasti hatinya cuba melarikan diri daripada kepalsuan duniawi sedaya mungkin. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tiga perkara, yang mana, jika seseorang tersebut ada perkara-perkara tersebut dalam dirinya, maka dia akan merasai kelazatan iman…Antaranya…Seseorang itu benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan semula ke neraka”.
Destinasi cinta yang ku cariSebenarnya terlalu hampirHanya kabur kerana dosa di dalam hati
Setelah bermujahadah melawan nafsu yang sentiasa mengajak untuk mencintai kepalsuan duniawi, dengan bantuan Allah s.w.t., Allah s.w.t. akan menyingkap kepadanya sedikit demi sedikit, akan hijab hatinya daripada hakikat dirinya.
Makin dia melawan hawa nafsu untuk meraih keredhaan Allah s.w.t., dengan izin Allah s.w.t., makin Allah s.w.t. menyingkapkan kepadanya tentang hakikat dirinya. Semakin dia mengenal dirinya, semakin dia mengenal Allah s.w.t., kerana jalan untuk mengenal Allah s.w.t. ialah melalui kenal diri terlebih dahulu.
Selama ini, dek terkaburnya pandangan mata hati, terhadap hakikat yang dicari, dengan kabur-kabur noda duniawi dan syahwat nafsi, pandangan terus menujukan cinta kepada yang fana. Cinta yang mulia, dicurahkan kepada sampah yang tiada berharga. Yang dikejar selama ini, dari kenikmatan duniawi, dek kejahilan dan terhijabnya hati, dari Keagungan Ilahi, membuatkan seseorang itu menjadikan dunia dan segala isi kelazatannya sebagai destinasi cintanya yang dicari.
Setelah sekian lama mabuk dalam hiruk pikuk kepenatan duniawi, dan setelah menemui hakikat diri dan hakikat Ilahi, barulah terbit hikmah di hati, dari lintasan nurani Ilahi, bahawa: “DESTINASI CINTA YANG KU CARI, SEBENARNYA TERLALU HAMPIR”.
Sebenarnya, selama ini, yang perlu dicintai bukanlah suatu yang menyakitkan seperti duniawi. Selama ini, yang perlu dicintai, bukanlah suatu yang tidak menjanjikan sebarang kepastian bahkan menjanjikan perpisahan abadi. Selama ini, yang perlu dicintai bukanlah suatu yang bisa mengecewakan dan tidak pernah menghargai.
Kini, baru ku tahu, siapa yang ku cari untuk dicintai. Kini, baru ku mengerti, tiada destinasi cinta abadi selain daripada Dia Rabbul Izzati. Dialah yang mencintai tanpa meminta ganti. Dialah yang mencintai tanpa mengenal erti kehinaan diri hamba ini. Dialah yang mencintai, tanpa merungut takkala sering dikhianati. Dialah yang mencintai…ah…sebelum dicintai. Dialah CINTA HAKIKI. Dialah DESTINASI CINTA ABADI. Tiada cinta melainkan daripadaNya kepadaNya, untukNya dan keranaNya, denganNya.
Baru ku mengerti kini, kata hamba abdi tadi, bahawa DIALAH yang ku cari selama ini untuk dicintai, kerana DIALAH yang selama ini mencintaiku tanpa disedari. Ketika aku di dalam kandungan ibu, DIALAH yang membelaku. Ketika aku lahir ke dunia, DIALAH yang tidak pernah sudah dalam memberi kasih sayang sejati, walaupun selama ini aku tidak pernah mengendahkannya dek tertipu dengan duniawi, kata si hamba sambil menghitung diri.
HUWA…DIALAH segalanya. Jika DIALAH destinasi cinta, bererti destinasi cintaku selama ini terlalu hampir bahkan semakin menghampiri, bisik hati.
FirmanNya yang Maha Suci: “DIALAH yang sentiasa bersama kamu walau di mana kamu berada”.
FirmanNya dalam Hadis Qudsi: “Jika seseorang hamba menghampiriKu dengan satu jengkal, maka Aku akan menghampirinya satu hasta. Jika seseorang hamba menghampiriKu dengan berjalan, maka Aku akan menghampirinya secara berlari”.
Ya Arhamar Rohimin…
Betapa mulianya hadrah Jamaliyah (sifat-sifat kecantikan)Mu. Aku malu denganMu yang tidak segan silu untuk menceritakan akan keghairahanMu dalam menghampiriku takkala ku ghairah menghampiriMu. Demikianlah luahan rasa hati hambaNya takkala disapa dengan kalam Qudsi tersebut.
Selama ini, rupanya, yang dicari oleh seorang hamba, ialah yang telahpun dijumpai olehnya, kerana Dia terlalu hampir dengannya. Cuma, sedekat-dekat manapun sesuatu itu, kalau cari di tempat yang salah, atau tidak tahu apa yang dicari, maka selagi itulah akan kehilangan. Kehilangan dalam kebersamaan. Yang kehilangan bukanlah kerana kejauhan, tetapi kerana tidak tahu akan kebersamaan itu sendiri.
Persoalannya, apakah yang mampu melenyapkan makna kebersamaan dengan Allah s.w.t. selama hidup seseorang hamba, yang sanggup berlaku dusta dan khianat kepada Tuhannya.
Ya, jawapannya ada pada ungkapan:
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Dosalah yang semakin menutupi hati dari melihat kebersamaan Allah s.w.t. dalam dirinya. Dosa kerana kejahilan terhadap hakikat diri dan hakikat Ilahilah, yang menyebabkan dia terus dibuai angan kepalsuan sehingga terlupa bahawa, mimpi tetap mimpi, walaup seindah mana ia dapat dinikmati, dan hakiki tetap hakiki, biar sejauh mana ia menghilangkan diri.
Telah ku redah daerah cintaYang lahir dari wadah yang alpa
Benarlah, selama ini yang tertipu bukanlah tipah, melainkan diriku sendiri, bisik hati hamba dalam muhasabah diri. Selama ini, daerah cinta palsu iaitu duniawi, telahpun diredahi untuk mencari cinta abadi, namun ianya hanya kerana kealpaan diri terhadap hakikat kewujudan ini.
Benarlah, kerana wadah yang alpa dalam diri, menyebabkan seseorang itu keliru, dalam pencariannya di daerah cinta itu sendiri. Ini kerana, di dalam daerah cinta, bukan daerah itu yang perlu dicintai, tetapi DIALAH, yang menciptakan daerah itulah yang perlu dicintai, kerana kita memerlukan cintaNya, bukan cinta daerahNya yang tiada erti.
Benarlah, kekeliruan itu berpunca dari wadah yang alpa dalam diri, yang menyebabkan seseorang itu mencari apa yang bakal pergi, dan melupai Dia yang bakal kepadaNya, dia kembali.
Setelah sekian lama bernafas dalam selut duniawi, tercungap-cungap diri memanggil nama: “DIA…DIA”, bantulah dia. Siapa DIA? ADAKAH DIA yang dimaksudkan ialah destinasi cinta yang dicari? Kalau DIA ialah desitnasi cinta yang dicari, siapakah yang dimaksudkan dengan DESTINASI CINTA dalam dirinya?
Perempuan, teman dan taulan, harta kekayaan, lelaki-lelaki tampan, dunia dan kebendaaan dan segala isi keduniaan? Adakah itu destinasi cintamu wahai insan? Kalau itulah destinasi cintamu, pohonlah bantuan dari mereka takkala dihimpit seribu keresahan dari mereka jua. Merekalah yang menjadi DESTINASI CINTAMU, mereka jugalah yang memenatkanmu. Jadi, siapa lagi yang dikau cari wahai insani?
AKU? Firman Allah s.w.t. dalam kebersamaan qudsi. “YA. AKU DESTINASI CINTA segala makhluk. Namun, kenapa engkau mencari dan mencurahkan cinta kepada makhluk, bukan kepada DESTINASI CINTA?”
Kala itu, hati berubah malu. Terkenangkan siri-siri keinsafan yang lalu. Benarlah, akhirnya ku temui, dunia yang selama ini tempat aku mencurah kasih dan cinta setulus hati, sebenarnya tidak pernah membahagiakan diri ini, sebaliknya bisa menghancurkan hala tuju hidupku sendiri.
Tiada tenang ku temuiHanya kecewa menyelubungi
Benarlah kata si bijak bistari: Kalau cintakan bunga, bunga kan layu. Kalau cintakan wanita, wanita kan mati. Kalau cintakan dunia, kita yang akan pergi…Ya, cinta duniawi itu mengundang kecewa. Kecewa yang perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Cinta.
Sememangnya, dunia tiada menjanjikan ketenangan yang dicari. Cinta kebendaan tidak pernah menjanjikan kebahagiaan, kerana di sebaliknya ada perpisahan yang bakal menundang kekecewaan. Dunia dan isinya tidak pernah mencintai kita, walaupun selautan kasih telah kita curahkan kepadanya. Itulah kecewa hakiki. Bahkan lebih kecewa lagi, apabila kita sibuk mencintai yang tidak mencintai kita, di samping melupai dan mengabaikan DIA yang mencintai kita selamanya sejak sebelum kita wujud lagi.
Takut dirasakan oleh sang hamba, takkala teringat akan pengkhianatannya terhadap cinta Tuhannya kepadanya. Maka, bermohonlah oleh hamba itu akan setinggi-tinggi keampunan dari Tuhan, agar dia dapat bersimpuh dalam kebersamaan denganNya, dan menyaksikan kebersamaan tersebut dengan Musyahadah hati yang tidak pernah palsu.
Lantas, berdoalah si hamba itu kepada Tuhan yang Maha Satu:

Ku gelintar segenap mayaDambakan sebutir hakikat
Gelintar dalam jiwa, takkala ketakutan bersulam rindu untuk bertemu Dia yang lama merindu. Bergetak sudut hati, mendambarkan makrifat diri, untuk terus mengenali, DIA yang lama mencintai.
Hamba terus pasrah, dalam memelihara adab UBUDIYYAH (kehambaan), dalam melaksanakan apa yang diperintah, serta meninggalkan apa yang membawa kepada marah. Wara’ di hadrahNya terus dipelihara, dalam menempuh hari-hari dengan ketaatan kepadaNya, dalam meneruskan kehidupan selaku hamba, demi meraih redhaNya.
Dalam mujahadah, muroqobah, sair ila Allah (perjalanan menuju Allah) dan Sair Fil Lah (perjalanan pada kebersamaan dengan Allah s.w.t.), si hamba mendambakan sebutir hakikat, dalam memelihara adab Allah yang Maha Kuat, untuk memastikan kehambaannya terus tersemat erat.
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifatMoga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu
Hakikat itu didambakan untuk menjadi benih, bagi menanam akan pohon makrifat. Hakikat ialah, takkala seseorang mula mengenal dirinya dan kewujudan makhluk sekelilingnya. Benih hakikat yang sempurna ialah, apabila ia membawa seseorang itu kepada fana’ dari kewujudan diri dan alam ini, dengan fana’ dalam kebersamaan dengan Allah s.w.t..
Fana’ ialah benih yang subur dari hakikat itu. Darinya, dapat disemai ke dalam bumi tawajjuh (mengadap Allah s.w.t.), agar bisa menumbuhkan sepohon makrifatuLlah (mengenal Allah s.w.t.), dengan siraman inayah (bantuan) Allah s.w.t. dan madadNya.
Yang mana, supaya dari pohon makrifat tersebut, dapatlah seseorang hamba berteduh di rendang kasih Ilahi s.w.t.. Seseorang yang mengenal Allah s.w.t., pasti akan mengenal bahawa Allah s.w.t. telah lama mengasihinya. Jadi, rendangnya sesebuah pohon makrifat itu, apabila seseorang hamba telahpun mengenal Allah s.w.t. dengan musyahadah, dan melihat dengan mata hati, akan kasihNya kepadanya. Inilah keredupan abadi yang membahagiakan seseorang insan, dari kepanasan palsu duniawi yang menipu sakan.
Jadi, hamba tersebut berdoa agar Allah s.w.t. memberi peluang kepadanya untuk berteduh di bawah kasihNya, dengan memberi mudah jalan untuk menyampaikannya kepada teduhan tersebut, dengan bantuan dan izinNya. Dia tahu, tiada daya dan upaya melainkan milik Allah s.w.t. dan dariNya. Seseorang tidak akan sampai kepadaNya melainkan dengan kehendak, izin dan bantuanNya.
Namun ranjaunya tidak akan sunyiSelagi denyut nadi belum berhentiDurjana syaitan kan cuba menodaiSegumpal darah bernama hati
Sememangnya, ranjau duniawi tidak pernah sudah dalam menggoda hati manusia, bahkan lebih kuat tarikannya bagi mereka yang sudahpun berazam untuk kembali kepada Allah s.w.t.. Syaitanlah yang berperanan untuk terus menyerang dan menghasut hati, agar mengikut hasutan dan godaan duniawi, di samping nafsu tidak pernah jemu dalam menipu hati agar mencintai kelazatan duniawi.
Selagi denyut nadi belum berhenti, selagi nafas masih di rongga ini, selagi itu syaitan, nafsu, duniawi dan makhluk menjadi musuh sejati, dalam menjauhkan sang hamba dari Tuhannya yang mencintainya setulusnya.
Hati yang menjadi raja diri, menjadi sasaran utama musuh-musuh yang ingin menodai kehambaan sejati. Syaitan menyerang dengan bisikan dan janji palsu. Nafsu menyerang dengan bayangan kelazatan syahwat yang indah. Makhluk menyerang dengan memberi tawaran ta’alluq (ketergantungan hati kepada selain dari Allah s.w.t.) dalam diri. Dunia pula menyerang hati dengan pelbagai perhiasan kecantikan yang palsu lagi beracun.
Ke mana mahu lari?
Larilah kepada Allah s.w.t.! Tiada daya melainkan dayaNya. Tiada kekuatan melainkan kekuatanNya. Mintalah bantuan daripadaNya dalam usaha untuk kembali kepadaNya dan meraih makrifatuLlah.
Berdoalah:
Lestarikan wadi kalbuku, oh TuhankuLeraikan aku dari pautan nafsu
Hati berada dalam kekuasaan Ar-Rahman, yang membolak-balikkannya mengikut kehendakNya. Berdoalah, agar Dia mampu meneguhkan hati kita dalam keimanan dan ketaqwaan kepadaNya, bukan kerana kelayakan kita untuk keimanan, tetapi kerana keperluan kita untuk memiliki iman, bahkan juga kerana, DIALAH yang MAHA MENEGUHKAN IMAN.
Hanya, dengan bantuanNyalah, hati seseorang akan dapat terlepas dari pautan nafsu ammarah bis suk (nafsu yang sentiasa mengajak manusia kepada kejahatan). Pohonlah pada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. memberi kenikmatan Iman kepada kita dan membersihkan nafsu kita agar bisa menjadi nafsu mut’aminnah (jiwa yang tenang dalam kebersamaan denganNya, dengan musyahadah kepadaNya).
Biarpun sukar bagiku melamar redha-MuNamun masihku mengharap ampunan-MuWahai Tuhanku? Ya Allah?
Sememangnya, jika melihat hakikat diri, memanglah sukar untuk melamar redha Allah s.w.t. yang Maha Agung nilainya. Tidak layak rasanya diri yang selama ini mengkhianati cintaNya, untuk melamar redha dan cintaNya. Siapalah diri untuk melamar redha dan cinta suci, sedangkan diri masih penuh dengan keladak kotoran dusta dan pengkhianatan cinta sebelum ini?
Namun, bila melihat hakikat diri dari sudut yang lain, tiada yang paling diperlukan oleh diri melainkan ALLAH. Hanya Allah s.w.t.lah yang menjadi tempat kembali. Kalau tidak menagih redha dan cintaMu ya Allah, luah hamba tersebut, maka kepada siapa lagi aku ingin menagih cinta, padahal selain dariMu, semuanya palsu?
Biarpun sukar bagiku melamar redhaMu, kerana rasa diri tidak layak untuk itu, tetapi, disebabkan aku masih memerlukan cinta dan redhaMu, kalau tidak layak menerima cintaMu sekalipun, sekurang-kurangnya tidak mengapakan, untuk aku mengharap ampunan-Mu?
Kalaupun aku yang telah mengkhianati cintaMu selama ini tidak layak untuk menerima keampunanMu, rasanya tidak salah untuk aku meminta keampunan dariMu, kerana Engkau selalu menyuruhku meminta keampunan daripadaMu. Ya, aku memerlukan keampunanMu ya Allah, dalam ketidaklayakan ku untuk itu, tetapi sekurang-kurangnya, janganlah Engkau marah kepadaku, takkala aku meminta ampun dariMu, sekurang-kurangnya kerana Engkau menyuruhku meminta ampun kepadaMu.
Inilah satu adab kehambaan yang tinggi, yang mana setelah itu, terdengarlah akan khitab qudsi:
Nabi s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: “Orang yang bertaubat merupakan kekasih Allah” (Hadis riyawat Al-Munawi dalam Faidh AL-Qadir 3/276).
Begitu juga dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Allah s.w.t. terlebih bergembira dengan taubat seorang hamba, takkala dia bertaubat kepadaNya…” hadis riwayat Imam Muslim 4/2103, Al-Bazzar dan Al-Munziri)
Ya Allah, walaupun setelah sekian lama si hamba ini mengkhianati cintaMu, namun masih Kau bergembira dengan taubat hambaMu yang Maha tidak layak ini? Siapa lagi nak ku ganti, agar menjadi destinasi cintaku yang hakiki, setelah mengenaliMU YA ILIAHI, rintih hati suci si hamba tadi. Katanya
"Barulah kini ku kenali, Siapa itu DESTINASI CINTA yang hakiki….
Oleh Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qowiy Al-Latif
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

Risalah Mahabbah: Kalau Bukan Kerana Cinta...



Kalau bukan kerana cinta, masakan dunia wujud daripada tiada. Kalau bukan kerana rindu, masakan manusia menyahut seru. Manusia dan kehidupan, punya makna dan penghayatan. Itulah antara hakikat yang tidak dapat dinafikan.


Allah s.w.t. menciptakan seluruh alam ini, dek kerana kasihNya kepada makhluk-makhlukNya. Allah s.w.t. memberi kemudahan kepada manusia dalam lapangan kehidupan mereka, agar kehambaan mereka mudah terlaksana. Penghulu makhluk yang paling dicintaiNya adalah Saidina Rasulullah s.a.w., penghulu para perindu. Nilai cinta Allah, ada dalam diri setiap zarrah.

Namun, bagi yang terus lalai, dirinya itulah sendiri yang tiada nilai. Bagi yang terus mendustai kebenaran, dirinya itulah sendiri yang menuju kemusnahan. Allah s.w.t. menganugerahkan kepada manusia akal dan fikiran, supaya mereka berfikir dalam mencari kebenaran. Kebenaran itu lebih dekat dengan dirinya daripada dirinya sendiri.

Kebenaran abadi adalah, di sebalik setiap gerak diam setiap kewujudan, ada yang Maha Pentadbir yang menggerakkan dan mentadbir setiap urusan. Seseorang yang dahaga, lalu meminum air dari telaga, tanpa menyaksikan di sebaliknya ada yang Maha Pencipta, nescaya dia kan terus terleka dengan keakuan dirinya.

Tetapi, bagi mereka yang menyaksikan diri sentiasa dengan Allah s.w.t. dalam setiap gerak dan tindakan, pasti mereka mengerti akan hakikat kewujudan. Pabila dia dahaga, dia tahu, bukan dialah yang akan menghilangkan dahaga tersebut. Dia juga tahu, bukan airlah yang menghilangkan dahaga tersebut. Tetapi, ALLAHlah yang terus menerus memberi nikmat imdad dan bantuan kepadanya, bahkan kepada setiap insan terus hidup. Dia faham, kalau bukan Allah s.w.t. yang menciptakan air, maka dia juga tidak dapat minum untuk hilangkan dahaga. Kalaulah di sana ada air, tetapi Allah s.w.t. tidak memberi keupayaan dalam dirinya untuk bergerak, seperti lumpuh dan sebagainya, maka dia juga tidak dapat mengambil manfaat daripada air tersebut kerana tidak mampu bergerak untuk mengambil air. Kalaulah ada air dan kekuatan, tetapi air tersebut diciptakan oleh Allah sebagai air yang tidak menghilangkan dahaga, seperti air laut, maka nescaya dia juga tidak dapat menghilangkan dahaga walaupun ada kekuatan dan ada air. Maka, hakikat ini akan membawa seseorang kepada menghayati di sana adanya ALLAH…ALLAH…ALLAH… di sebalik setiap yang wujud.

Hidup ini berkaitan dengan mencari erti. Hidup ini berkaitan dengan memberi bakti. Itulah risalah ketuhanan dalam makna kehambaan dan khilafah. Dengan kehambaan, seseorang perlu terus mencari erti hubungannya dengan Tuhannya, lalu menunaikan makna kehambaannya kepada Tuhannya, sehinggalah mencapai keredhaan dari Tuhannya.

Dengan peranan sebagai khilafah, seseorang perlu berinteraksi dengan alam sekeliling secara adil, dalam rangka untuk menunaikan tugas kehambaannya kepada Tuhannya. Dia perlu menjaga alam ini, memakmurkan alam ini dan menjadikan alam ini sebagai tempat untuk menunaikan kehambaan makhluk kepada Tuhan Maha Pencipta.

Dalam diri manusia yang berperanan itu juga, ada peranan cinta Allah s.w.t. dalam menterjemahkan hakikat ketuhananNya melalui kelembutanNya yang abadi. Dalam setiap ketentuanNya, melalui pandangan kebersamaan Allah, seseorang akan melihat akan kelembutanNya (lutf). Dalam pentadbiran kewujudan makhlukNya, melalui hati yang dipenuhi cahaya ihsan, seseorang akan menghayati kebijaksanaanNya (hikmah).

Allah s.w.t. itu lebih dekat kepada makhlukNya berbanding makhlukNya kepada diri mereka sendiri, kerana tanpaNya, tiadalah makhluk itu sendiri. Keakuan makhluk hanya terzahir di pandangan waham makhluk tersebut tatkala hijab melingkari hati daripada menyaksikan keagungan Allah s.w.t. dan ketuhananNya di sebalik yang wujud. Bukalah mata, dan saksikanlah cinta…

Islam mengajarkan kita erti kehambaan. Namun, hakikat kehambaan itulah hakikat diri kita sejak diciptakan. Dengan mengamalkan Islam, bererti kita menterjemahkan erti kehambaan kita. Dengan mengukuhkan keimanan, bererti kita menterjemahkan nilai-nilai kehambaan kita. Dengan anugerah Ihsan, bererti kehambaan kita diterimaNya… ALLAH…ALLAH…ALLAH…

Manusia makin menuju mati, samada merinduiNya atau mengkhianatiNya. Kepada yang terus lalai dari mempersiapkan diri untuk menemuiNya, maka samada dia menipu dirinya sendiri atau dirinya tertipu dengan dirinya sendiri. Kedua-duanya adalah kecelakaan dalam kecelakaan.

Dunia ini, makin banyak yang dihimpun, makin banyak yang akan ditinggalkan. Dunia ini, makin tamak manusia mengejarnya, makin terbeban untuk meninggalkannya. Dunia ini, nilainya pada kehambaan. Dunia ini, ertinya pada kemerdekaan jiwa dalam menunaikan ketaatan kepada Allah s.w.t. yang Maha Menciptakan.

Jalan ini, jalan cinta. Jalan cinta, menyaksikan yang dicinta tanpa pencinta. Nilainya pada kebersamaan. Keagungannya pada keredhaan. Seseorang itu sempurna bukan kerana banyaknya amalan, tetapi sempurna di sisiNya kerana Dia meredhainya. Jalan keredhaan Tuhan bukan pada bergantung kepada amalan, tetapi sejauh mana seseorang menghayati bahawa setiap amalan yang dikerjakannya adalah daripada Tuhan.

Amal dengan keakuan, itulah pengkhianatan. Syukur melalui amalan, itulah kehambaan. ALLAH…ALLAH…ALLAH… Nabi Muhammad s.a.w., Rasulullah, itulah seagung-agung qudwah dan tauladan.

Wallahu a'lam

HambaNya yang faqir lagi sentiasa memerlukan hanya kepadaNya yang Maha Penyayang

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

'AmalahullaHu bi altofiHi Al-Khafiyyah

(Semoga Allah berinteraksi dengannya dengan kelembutan-kelembutanNya yang tersembunyi, Amin)

Berinteraksi Dengan Allah s.w.t. Melalui Kehidupan


Kehidupan ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya semata-mata.

Hidup ini suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.
Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.
Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?
Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna. Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya. Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.
Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya. Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam segenap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.
Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah s.w.t. dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya. Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan zauqi (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbirnya dan seluruh alam ini.
Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhuk, istiqomah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.
Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut. Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah s.w.t. dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah s.w.t. yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.
Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah s.w.t. akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.
Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya, sedangkan orang yang merungut di hadapan Allah s.w.t. mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.
Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah s.w.t. tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t., tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah s.w.t. agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya. Adapun orang yang merungut kepada Allah s.w.t. membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t. dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah s.w.t., seolah-olah dia lebih pandai dari Allah s.w.t.. Berbeza antara menzahirkan rasa lemah dengan menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah s.w.t..
Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah s.w.t. dengan berdoa (dalam hizb al-kabir):
"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"
Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. dalam doa Baginda s.a.w. ketika di Thaif dengan berdoa:
"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".
Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.
Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukannya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.
Adapun takkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah s.w.t., bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.
Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemurah.
Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah s.w.t. menganugerahkan makrifatuLlah(mengenal Allah s.w.t.) kepadanya, dan menganungerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya. Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. yang berfirman dengan maksud: "jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmat"… Penambahan nikmat yang agung adalah, kefahaman tentang hakikat diri, hakikat kehidupan dan hakikat ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya seharian.
Hidup ini ialah tempat bemualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal hakikat dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. yang perlu beradab kepadaNya, tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah s.w.t. dalam berinteraksi kepadaNya dan tidak mengenali Allah s.w.t., Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?
Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah s.w.t. dalam segenap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya. Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya. Setelah seseorang mencapai istiqomah dalam sabar dan syukur dalam segenap kehidpannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah s.w.t., maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya.
Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia tidak lagi merasai beza antara ketentuan dengan ketentuan, tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah s.w.t. di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah s.w.t.. Sesungguhnya, redha kepada Allah s.w.t. ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah s.w.t. melainkan setelahmana Allah s.w.t. meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.
Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya. Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya selaku hambaNya. Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia. Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah "makan". Makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan. Akhirnya, dia di sisi Allah s.w.t. bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.
Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah s.w.t., tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.
Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah s.w.t.. Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda s.a.w. yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.
Wallahu a'lam…
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Qadir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi
('AmalahuLlahu bi lutfiHi)