ILMU TAUHID -AWALLUDDIN MAKRIFATULLAH
Ilmu
tauhid adalah ilmu yang penting… sangat penting… malah yang
terpenting! Gagal ilmu tauhid bererti gagallah yang lain-lain. Tapi
dalam dunia hari ini, pelajaran ilmu tauhid semakin terpinggir.
Sebahagian besar para pendakwah sendiri mengabaikan ilmu ini dengan
hanya mengambil yang asas sahaja. Mereka rasakan ‘yang asas’ itu sudah
mencukupi lalu mereka tumpukan usaha mereka kepada gerak kerja
dakwah. Apabila kita mendengar percakapan mereka ataupun kita membaca
tulisan-tulisan mereka, barulah kita sedar yang mereka bermasalah
dalam tauhid. Malangnya…. mereka sendiri tidak sedar yang tauhid
mereka bermasalah. Kalau tauhid para pendakwah sendiri banyak yang
bermasalah, kita yang orang awam ini bagaimana?
Tentulah lebih banyak masalahnya! Sebab itulah para ulama terdahulu sangat menekankan ilmu tauhid.
PENGENALAN AWAL
Persoalan
mentajdid diri, keluarga, masyarakat dan umat sering diutarakan dalam
blog-blog website. Saranan-saranan baru, saranan-saranan pemulihan
dan saranan-saranan ‘meningkatkan keberkesanan’ silih berganti
menghiasi muka depan tetapi hal ehwal akidah kurang disentuh.
Sebahagian pelayar mungkin tertanya-tanya, mana tulisan tentang
tauhid? Bukankah ia persoalan asas lagi utama?
Bukanlah
niat kita untuk mengetepikan urusan teratas dalam agama ini tetapi
ada pertimbangan-pertimbangan tertentu yang terpaksa kita teliti.
Memang banyak individu dan perkumpulan yang mendakwa sedang berjuang
hari ini sebenarnya masih kabur dalam persoalan akidah dan mereka
tidak menyedarinya.
Sebahagiannya menyangkakan cukuplah ‘ilmu tauhid’ sebagaimana yang dihidangkan oleh orang atasan mereka.
Sebahagiannya
pula ‘tertolak’ beberapa sudut penting ilmu tauhid tanpa disedari
kerana menyangkakan hal itu bukan sebahagian daripada ilmu tauhid
ataupun kurang penting.
Sebahagiannya
lagi tidak mahu ambil tahu pun, cukup sekadar dia tahu yang Tuhannya
Allah dan dia menyembah Allah selama ini. Sangkaan-sangkaan sebegini
sebenarnya SANGAT BERBAHAYA menurut pandangan orang-orang yang faham.
Sebab itulah asas ilmu tauhid mesti dibereskan terlebih dahulu bersesuaian dengan ungkapan “Awwaluddin maghrifatullah”- Awal agama ialah mengenal Allah.
Kalau Tuhan tidak dikenal, kepada siapa kita berabdi selama ini? Ke
mana hala perjuangan kita selama ini? Kita menyembah Allah ataupun
kita tersembah ‘makhluk’ yang kita sangka Allah? Ataupun kita
tersembah Allah yang kita sekutukan dengan makhluk? Bagaimana kita
hendak tahu dengan pasti?
“Supaya janganlah kamu menyembah (berabdi kepada) selain Allah.” (Hud: 2)
Berbicara
lantang tentang hukum-hakam agama memang baik. Berjuang
bersungguh-sungguh untuk mendapatkan daulah juga sangat baik.
Demikianlah halnya dalam memperjuangkan idea-idea jemaah, ekonomi,
tajdid fiqh, dakwah, hiburan Islam, kemajuan teknologi dan lain-lain.
Tapi selama ini sedarkah kita setara mana KETAUHIDAN kita kepada
Khaliq? Ada yang berpendapat cukuplah dengan ‘asas’. Apakah ‘asas’
yang kita faham itu benar-benar asas untuk lulus dengan baik dalam
mentauhidkan Allah ataupun ia sekadar ‘asas kepada asas’?
Tulisan
di bawah disampaikan dalam gaya bahasa yang paling mudah agar dapat
difahami oleh ‘orang atasan’ mahupun ‘orang bawahan’, seolah-olah
berbicara saja lagaknya. Hal ini dilakukan kerana kita tidak mahu ada
yang tersalah faham. Sangat besar bahayanya jika berlaku sedemikian.
Satu
perkara yang sangat penting untuk kita faham ialah… contoh-contoh
yang dibuat untuk menerangkan isi kandungan ilmu tauhid ini umumnya
tidak ada yang tepat 100%. Hal ini berlaku kerana kita membicarakan
Allah iaitu Khalik sedangkan contoh-contohnya kita ambil daripada alam
makhluk. Mana mungkin contoh-contoh daripada alam makhluk dapat
menceritakan hal Khalik dengan tepat 100%!
“Dan tidak ada suatu apa pun yang setara dengan-Nya.” (Al-Ikhlas : 4)
“Tiada suatu apapun yang standing dengan-Nya, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura: 11)
Semoga penjelasan asas ini dapat membuka minda kita bersama.
PENGENALAN KEDUA
Ilmu
tauhid adalah ilmu yang penting… sangat penting… malah yang
terpenting! Gagal ilmu tauhid bererti gagallah yang lain-lain. Tapi
dalam dunia hari ini, pelajaran ilmu tauhid semakin terpinggir.
Sebahagian besar para pendakwah sendiri mengabaikan ilmu ini dengan
hanya mengambil yang asas sahaja. Mereka rasakan ‘yang asas’ itu sudah
mencukupi lalu mereka tumpukan usaha mereka kepada gerak kerja
dakwah. Apabila kita mendengar percakapan mereka ataupun kita membaca
tulisan-tulisan mereka, barulah kita sedar yang mereka bermasalah
dalam tauhid. Malangnya…. mereka sendiri tidak sedar yang tauhid
mereka bermasalah. Kalau tauhid para pendakwah sendiri banyak yang
bermasalah, kita yang orang awam ini bagaimana?
Tentulah lebih banyak masalahnya!
Sebab
itulah para ulama terdahulu sangat menekankan ilmu tauhid. Kata
mereka, “Awaluddin maghrifatullah”- Awal agama ialah mengenal Allah.
Permulaan agama ialah dengan mengenal Allah.
Ilmu-ilmu yang utama dalam agama Islam ini ada tiga iaitu
ilmu tauhid,
ilmu fiqh dan
ilmu tasauf.
Ringkasnya
tauhid-fiqh-tasauf. Setiap satunya ada beberapa nama lain. Contohnya,
ada orang sebut ilmu kalam, ilmu syariat dan ilmu akhlak. Banyak nama
tapi sebenarnya menceritakan benda yang sama. Jadi, tak perlulah kita
berbahas tentang nama ataupun istilah, nanti akan membuang masa.
Ketiga-tiga
ilmu ini tidak boleh dipisahkan. Semua orang mesti berusaha untuk
belajar dan memahami ketiga-tiganya setakat yang termampu. Kita tidak
boleh ‘ambil dua tolak satu’. Kita juga tentulah lebih tidak boleh
‘ambil satu tolak dua’. Ketiga-tiganya umpama batu tungku yang
digunakan untuk melapik kawah.
Bolehkah
kawah diletakkan di atas dua tungku sahaja? Jawapannya ‘tidak boleh’,
ataupun lebih tepat lagi ‘hampir-hampir mustahil” boleh.
Kalau satu tungku? Lagilah tak boleh! Akan terbaliklah kawah.
Samalah
misalannya dalam hal menembak musuh. Untuk menembak musuh dengan
senapang, mestilah ada tiga perkara utama iaitu tukang tembak
(manusia), senapang dan peluru. Seandainya tidak ada salah satu
perkara di atas, perlakuan ‘menembak musuh’ tidak akan berlaku.
Ada manusia ada senapang tapi tak ada peluru. Boleh tembak? Tak boleh.
Ada manusia ada peluru, tak ada senapang. Boleh tembak? Tak boleh juga.
Ada senapang ada peluru tapi tak ada manusia. Boleh tembak? Tak boleh juga.
Ketiga-tiganya mesti ada untuk membolehkan perlakuan ‘menembak musuh’ berlaku.
Tapi
orang sekarang ni pandai. Dia kata ‘ada peluru ada senapang tapi tak
ada manusia” boleh tembak. Macam mana? Kita programkan senapang tu
guna komputer. Apabila komputer berjaya mengesan penceroboh, secara
automatik senapang akan mencari sasaran dan melepaskan peluru!
Memang betul, tapi kita kena tanya balik- yang programkan komputer tu siapa dia? Bukankah manusia juga?
Jadi, tetap mesti kena ada ketiga-tiganya baru senapang tadi boleh menembak.
Kita bagi contoh lagi, supaya faham betul-betul.
Untuk suap makanan ke mulut, kena ada sekurang-kurangnya tiga perkara utama. Satu- makanan. Dua- tangan. Tiga- mulut.
Katakanlah
ada makanan ada tangan, tapi tak ada mulut. Macam mana? Ke mana
makanan nak dihalakan? Kalau makanan itu dihalakan ke ketiak, ia tidak
dinamakan suap. Kalau makanan itu dihalakan ke pusat, ia juga tidak
dinamakan suap. Kalau makanan itu disumbatkan ke telinga, adakah kita
sebut ‘suap”? Tidak kan?. Ia dinamakan ‘suap’ apabila makanan tadi
dihalakan ke mulut. Selain itu tidaklah dinamakan ‘suap’. OK?
Baik. Ada makanan ada mulut tapi tak ada tangan. Jadi tak ‘suap’? Tidak.
Ada tangan ada mulut… tak ada makanan. ‘Suap’ ke tu? Tak jugak.
Kesimpulannya, untuk ‘suap’… mesti ada ketiga-tiganya sekali iaitu makanan, tangan dan mulut.
Tauhid
ialah tahu, kenal dan faham Tuhan. Fiqh ialah cara-cara berabdi
ataupun beribadah kepada Tuhan. Tasauf pula ialah pemurnian kepada
tauhid dan fiqh tadi, untuk mencantikkan lagi tauhid dan fiqh.
Contohnya- orang hendak menjala ikan.
Sebelum
kita pergi menjala ikan kita kenalah tahu, kenal dan faham yang mana
jala dan yang mana tempat ada ikan. Jangan pula nanti kita bawa
cangkul ataupun joran ataupun senapang untuk menjala ikan. Ataupun
kita pergi menjala di kolam renang, kolah bilik air, kubang kerbau dan
sebagainya. Untuk itu kita kena belajar yang mana jala dan tempat
mana ada ikan yang boleh dijala. Inilah tauhid ataupun usuluddin.
Disebut juga ilmu usul dalam agama.
Setelah
kita tahu apa itu jala dan di mana ada ikan, kenalah ada CARA-CARA
menangkap ikan menggunakan jala. Cara-cara inilah yang kita katakan
fiqh ataupun syariat. Kita belajar pula cara menjala.
Ada
orang lempar jala yang kembangnya berbentuk bujur. Ada yang tak
terkembang. Ada yang bentuk huruf lapan. Ada yang bulat cantik
kembangnya. Dengan itu kenalah belajar pula pemurnian untuk
mencantikan lagi kembang jala itu. Ini dinamakan tasauf.
Apabila ketiga-tiga ilmu ini dipelajari dan dikuasai, barulah boleh mendapat ikan, barulah mudah mendapat ikan.
MAKSUD ILMU TAUHID
Kita masuk kepada definisi ataupun takrif ilmu tauhid.
Apakah
ilmu tauhid? Banyak takrif yang dibuat oleh para ulama. Ada yang
sebut Ilmu Kalam, ada yang sebut Ilmu Usuluddin, ada yang sebut Ilmu
Aqa’idul Iman dan sebagainya. Masalahnya… yang mana satu yang lebih
mudah untuk difaham oleh orang awam macam kita. Jadi saya rumuskan
satu takrif yang saya rasa paling mudah difaham oleh kita iaitu…
ilmu tauhid ialah ilmu untuk tahu, ilmu untuk kenal dan ilmu untuk faham Tuhan.
“Permudahkanlah, jangan menyulitkan.”
Apakah ilmu tauhid?
Ilmu untuk tahu, kenal dan faham Tuhan. Itulah ilmu tauhid.
Mengapa kita mesti belajar ilmu tauhid?
Supaya kita dapat tahu, faham dan kenal Tuhan.
Apa tujuan belajar ilmu tauhid?
Tujuannya untuk kita tahu Tuhan, kenal Tuhan, faham Tuhan.
Apa akan jadi kalau kita tidak belajar ilmu tauhid?
Kemungkinan besar kita tidak tahu Tuhan, tidak kenal Tuhan dan tidak faham Tuhan.
Apa risikonya jika kita tidak tahu, tidak kenal dan tidak faham Tuhan?
Risikonya-
kemungkinan besar segala amal ibadah kita tidak diterima oleh Tuhan.
Hal ini terjadi kerana kita tersalah sembah! Salah sembah, sia-sialah
amal ibadah kita.
“Berapa
banyak orang yang berdiri (mengerjakan solat sedangkan) daripada
solat itu (mereka mendapat) hanya penat dan lelah.” (An-Nasa’i &
Ahmad)
“Berapa
banyak orang yang berpuasa (sedangkan) daripada puasanya itu (mereka
mendapat) hanya lapar dan dahaga.” (An-Nasa’i & Ibnu Majah)
BEZA ANTARA TAHU, KENAL DAN FAHAM
Apa beza antara ‘tahu Tuhan’, ‘kenal Tuhan’ dan ‘faham Tuhan’?
Mula-mula
kita kena faham maksud tahu, kenal dan faham dulu. Ketiga-tiganya
berbeza. Kenal lebih tinggi daripada tahu, dan faham adalah lebih
tinggi daripada kenal. Yang paling atas ialah faham, kemudian kenal
dan kemudian barulah tahu.
Biasanya
disebut ilmu yaqin, ainul yaqin dan haqqul yaqin. Ada juga yang
menambah kepada satu tingkat lagi iaitu kamal yaqin.
Contoh.
Seorang
pelancong dari Barat yang datang ke Malaysia diberitahu tentang
sambal tumis ikan bilis. Sebelum ini dia tidak pernah dengar pun
masakan bernama ‘sambal tumis ikan bilis’. Ketika diberitahu, itulah
kali pertama dia TAHU adanya masakan yang disebut ‘sambal tumis ikan
bilis’.
Ilmu
peringkat ini dinamakan ilmu peringkat TAHU ataupun ILMU YAQIN - tahu
cerita tetapi tidak pernah melihat dan belum pernah merasa.
Kemudian
si pelancong diajak makan tengah hari mengikut hidangan orang-orang
Melayu. Dalam hidangan itu ada sambal tumis ikan bilis. Orang tempatan
menunjukkan kepadanya, “This is sambal tumis ikan bilis”. Itulah kali
pertama si pelancong melihat sambal tumis ikan bilis. Dilihatnya
sebagai sejenis masakan lauk berkuah, berwarna merah dan ada ikan-ikan
kecil di dalamnya.
Ilmu peringkat ini dinamakan ilmu peringkat KENAL ataupun AINUL YAQIN- tahu cerita dan sudah melihat tetapi belum merasa.
Seterusnya
si pelancong dipersilakan menjamah hidangan bersama sambal tumis ikan
bilis. Barulah dirasanya pedas, manis, masin, lemak, masam dan
lain-lain adunan rasa sambal tumis petai itu. Itulah sambal tumis
sebenar.
Ketika
ini ilmunya berada di peringkat FAHAM ataupun disebut HAQQUL YAQIN-
sudah tahu cerita, sudah disaksikan dan sudah dirasa/ dialami.
Contoh kedua…
Datang
beberapa orang beritahu kepada kita ada pokok tumbang merentang jalan
raya. Kita hanya tahu ada pokok tumbang daripada cerita mereka dan
kita belum melihat pokok tumbang itu. Ilmu peringkat ini adalah ilmu
peringkat TAHU ataupun ILMU YAQIN sahaja.
Kemudian
kita pergi melihat pokok yang tumbang itu. Memang betullah ada
sebatang pokok besar tumbang merentang jalan raya, kita lihat dengan
mata sendiri. Ilmu peringkat ini adalah ilmu peringkat KENAL ataupun
AINUL YAQIN sahaja, sudah melihat tapi belum tahu hal ehwal
ketumbangan pokok itu.
Kemudian
kita menyelidik perihal pokok tumbang itu hingga kita faham bagaimana
ia boleh tumbang, bila ia tumbang, apa yang menyebabkannya tumbang,
apa akibat daripada tumbangnya itu, benarkah ia tumbang dan lain-lain.
Ketika ini ilmu kita adalah di peringkat FAHAM ataupun HAQQUL YAQIN.
Contoh ketiga…
Para
sahabat berdakwah hingga ke negara China. Mereka perkenalkan Tuhan
kepada orang-orang China- “Tuhan kita ada satu sahaja iaitu Allah”.
Ada orang-orang China yang percaya. Ketika ini iman mereka adalah di
peringkat TAHU ataupun ILMU YAQIN sahaja. Mereka baru tahu Siapa yang
sepatutnya disembah tetapi belum tahu bagaimana keadaan Yang Disembah
itu.
Orang yang belajar ilmu Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rubbubiyyah sahaja biasanya sampai ke peringkat ini.
Kemudian
orang-orang China tadi belajar hingga mereka tahu keadaan Yang
Disembah itu. Mereka tahu Allah itu sedia ada sejak awal, tidak boleh
mati, tidak terpengaruh dengan warna, ruang, arah, bentuk dan tempat,
menguasai segala-galanya, tidak sama dengan makhluk, menciptakan
syurga dan neraka, mencipta semua makhluk, memberi wahyu dan
sebagainya. Mereka juga tahu sifat-sifat yang mustahil bagi Allah.
Iman peringkat ini adalah iman peringkat KENAL ataupun AINUL YAQIN.
Melalui kajian ataupun pembelajaran mereka, mereka sudah menyaksikan
bukti-bukti tentang Yang Disembah itu tetapi belum ‘MENYAKSIKAN’ Yang
Disembah itu sendiri. Peringkat ini dinamakan FAHAM ataupun HAQQUL
YAQIN.
(*
Perkataan ‘MENYAKSIKAN’ Yang Disembah dalam ayat tadi adalah istilah
sufi yang tidak dapat dihurai dengan perkataan. Ia tidaklah sama
dengan perkataan ‘menyaksikan’ sebagaimana yang biasa kita guna.
Harap maklum)
Orang yang belajar Tauhid Sifat 20 biasanya sampai ke peringkat ini.
Peringkat
seterusnya, mereka yang dikurniakan kebolehan oleh Allah dapat pula
‘MENYAKSIKAN’ Allah, ataupun ‘MEMANDANG WAJAH ALLAH’ ataupun ‘MERASAI
SENDIRI’ Allah. Inilah yang dikatakan beriman kepada Allah hingga ke
tahap Haqqul Yaqin.
(*
Perkataan-perkataan berhuruf besar adalah istilah sufi yang tidak
dapat dihurai dengan perkataan melainkan pemahaman. Maksud
perkataan-perkataan itu tidaklah sama dengan maksud
perkataan-perkataan yang biasa kita gunakan)
Orang yang belajar ilmu tasauf atau ilmu hakikat BOLEH mencapai peringkat ini.
Sebab itu ada ungkapan berbunyi:
Ahli fiqh menemui Allah dengan jalan mengkaji dalil-dalil al-Quran.
Ahli ilmu kalam menemui Allah dengan jalan berfikir
Dan ahli tasauf menemui Allah dengan jalan ‘MERASA SENDIRI’.
Manakah yang terbaik?
Yang terbaik ialah yang mengambil ketiga-tiga jalan dan menguasai ketiga-tiganya.
Jadi,
dengan penerangan ringkas lagi dhaif itu tadi, diharap dapatlah
memahamkan para pembaca akan perbezaan antara tahu, kenal dan faham.
Seterusnya dapat pula memahamkan pembaca akan perbezaan antara ilmu
yaqin, ainul yaqin dan haqqul yaqin.
BAHAYA JIKA TIDAK MENGENAL ALLAH
Penduduk
sebuah kampung hendak mengadakan kenduri. Mereka bercadang untuk
menyembelih empat ekor kerbau. Masalahnya, kerbau-kerbau itu
dilepaskan hidup secara liar di dalam hutan. Beratus ekor tinggal di
hutan itu. Pendek kata, masuk-masuk hutan saja akan terus terjumpa
kerbau. Mereka bersepakat mengerahkan empat orang pemuda yang diajar
menggunakan senapang berpeluru pelali untuk mendapatkan kerbau-kerbau
itu. Keempat-empat pemuda ini dberi masa dua puluh empat jam sahaja.
Siapa yang paling awal berjaya melalikan kerbau, akan dapat hadiah
istimewa.
Pemuda
A mengambil senapang lalu terus pergi entah ke mana dalam keadaan dia
tidak tahupun binatang apa yang penduduk kampung mahu, di mana
lokasinya dan bagaimana sifat-sifatnya serta apa sifat-sifat yang
mustahil bagi seekor kerbau. Dapatkah dia membawa pulang kerbau yang
dimaksudkan? 99.99% pasti dia tidak akan dapat kerbau kerana dia tidak
tahu pun binatang apa yang dimaksudkan oleh penduduk kampung. Setelah
sehari semalam berjalan baru dia terperasan, “Eh, orang kampung suruh
aku tembak binatang apa ya?”
Rakannya
Pemuda B tahu penduduk kampung mahukan seekor binatang bernama kerbau
dan dia tahu binatang itu tinggal liar di dalam hutan. Masalahnya,
dia tidak pernah melihat, tidak pernah tahu dan tidak pernah belajar
bagaimana rupa dan sifat-sifat kerbau. Yang dia tahu, ada binatang
bernama kerbau dan binatang itu tinggal di dalam hutan. Itu saja. Ada
kemungkinan tak dia akan dapat menembak kerbau? Besar kemungkinan
tidak kerana dia tidak pernah tahu kerbau itu bagaimana. Boleh jadi
dia akan menembak ayam hutan, ular sawa, rusa, monyet , babi dan
sebagainya yang disangkakannya kerbau.
Ini ilmu peringkat TAHU.
Pemuda
C pula, walaupun tidak pernah melihat kerbau tetapi ada belajar
tentang sifat-sifat kerbau. Diketahuinya kerbau itu berkaki empat,
bersuara menguak, mendengar dan bertelinga, bertanduk, biasanya
berwarna kelabu, suka berkubang, badannya besar, bentuknya macam
lembu, melihat dan matanya besar, ada ekor dan sebagainya. Sifat-sifat
mustahil bagi kerbau pun diketahuinya iaitu mustahil rupa kerbau itu
seperti kucing, mustahil bersuara seperti manusia, mustahil boleh
terbang, mustahil boleh memanjat pokok, mustahil berdiri di atas satu
kaki dan sebagainya. Bagaimana? Ada kemungkinan tak Pemuda C akan
memperolehi seekor kerbau? Ya, tentu. Kemungkinan besar dia akan
menembak kerbau dan bukannya binatang-binatang lain.
Ini ilmu peringkat KENAL.
Pemuda
D pula sudah ‘menyaksikan’ kerbau sedari kecil. Dia sendiri membela
beberapa ekor kerbau di rumahnya. Setiap hari dia ‘berinteraksi’
dengan kerbau-kerbaunya. Dimandikannya, diberus badan, ditunggangnya
di sawah, diubatnya jika ada penyakit ataupun tercedera, dipeluk dan
sebagainya. Ariflah dia akan hal ehwal hamba Allah yang bernama kerbau
itu. Bagaimana? Ada kemungkinankah dia mendapat seekor kerbau di
hutan itu? Pasti! Pasti jika tiada apa-apa aral lain yang melintang.
Betul tak?
Ini ilmu peringkat FAHAM ataupun MENYAKSIKAN.
Ringkasnya:
Pemuda A pasti tidak dapat kerbau.
Pemuda B kemungkinan besar tidak dapat kerbau.
Pemuda C kemungkinan besar dapat kerbau.
Pemuda D pasti dapat kerbau.
Contoh ini kita hendak gunakan untuk memahami betapa pentingnya tahu Allah, kenal Allah dan faham Allah.
Pemuda
Alif tidak tahu apa itu ‘Tuhan’, tidak tahupun Tuhan itu memang
wujud. Adakah dia menyembah Tuhan selama hari ini? Pasti dia tidak
menyembah Tuhan bahkan tidak menyembah apa-apa, sebab dia tidak
tahupun yang Tuhan itu memang wujud. Sampai bila-bila pun dia tidak
akan mendapat Allah. Samalah seperti Pemuda A tadi. Sampai bila-bila
pun dia tidak akan mendapat kerbau kecualilah dia belajar tentang
kerbau ataupun menyaksikan sendiri rupa kerbau.
Inilah
risiko yang dihadapi oleh mereka yang tidak pernah ambil tahu tentang
Tuhan, tidak pernah belajar agama kerana mereka tidak pernah TAHU,
KENAL dan FAHAM Tuhan.
Pemuda
Ba pula tahu Tuhan itu ada dan nama bagi Tuhan ialah Allah. Itu saja
yang diketahuinya. Dia tidak tahupun sifat-sifat Tuhan ada tidak tahu
juga sifat-sifat yang mustahil bagi Tuhan. Adakah B menyembah Allah
selama hari ini? Belum tentu! Ada kemungkinan dia tersembah selain
daripada Allah yang disangkakannya sebagai Tuhan. Samalah nasibnya
macam Pemuda B tadi yang mngkin tertembak ayam hutan, ular sawa, rusa,
monyet , babi dan sebagainya yang disangkakannya kerbau. Hal inilah
yang kita takut!
Inilah
risiko yang dihadapi oleh mereka yang belajar setakat Tauhid
Rubbubiyyah dan Tauhid Uluhiyyah sahaja. Mereka hanya tahu ‘Tuhan itu
ada” dan ‘Tuhan yang sebenar ialah Allah”. Itu saja. Mereka tidak tahu
apa sifat-sifat Tuhan dan apa sifat-sifat yang mustahil bagi-Nya,
ringkasnya mereka tidak belajar Sifat 20 ataupun ilmu yang setara
dengannya. Ada kemungkinan mereka akan tersembah selain Allah, sama
ada tersembah makhluk ataupun tersembah Allah yang bercampur dengan
makhluk.
Ringkasnya,
boleh jadi mereka tidak mengEsakan Allah yang menjadikan tauhid
mereka rosak. Ini kerana mereka TIDAK KENAL dan TIDAK FAHAM Tuhan,
hanya setakat TAHU Tuhan sahaja.
Pemuda
Ta tahu Tuhan itu ada dan nama bagi Tuhan ialah Allah, sama seperti
Pemuda Ba. Selain itu dia juga pernah belajar dan faham Allah itu
bagaimana. Diketahuinya apa sifat-sifat bagi Allah dan apa sifat-sifat
yang msutahil bagi Allah. Ringkasnya, dia belajar dan khatam ilmu
Sifat 20 ataupun yang setara dengannya. Adakah dia menyembah Allah
selama hari ini? Ya, kemungkinan besar dia menyembah Allah, iaitu
Tuhan yang sebenar. Sangat kecil risikonya untuk dia tersembah selain
daripada Allah. Samalah seperti Pemuda C tadi. Hampir-hampir mustahil
Pemuda C akan tertembak selain daripada kerbau. Hampir-hampir mustahil
juga Pemuda Ta akan tersembah selain daripada Allah, sama ada
tersembah makhluk ataupun tersembah Allah yang bersekutu dengan
makhluk.
Orang
jenis ini ialah mereka yang sudah menguasai ilmu Sifat 20 ataupun
yang setara dengannya. Ringkasnya, tauhid orang yang menguasai Sifat
20 adalah lebih selamat daripada tauhid mereka yang belajar Tauhid
Uluhiyyah sahaja. Ini kerana mereka sudah TAHU dan KENAL Tuhan, c uma
belum MENYAKSIKAN-NYA (FAHAM) saja lagi.
Pemuda
Tha seorang yang ‘ahli’ dalam tasauf dan Ilmu Hakikat. Dia
‘menyaksikan’ sendiri Allah. Adakah dia menyembah Allah selama hari
ini? Pasti! Ada kemungkinankah dia tersembah selain daripada Allah?
Mustahil! Samalah seperti mustahilnya Pemuda D tersalah tembak selain
daripada kerbau. Setiap hari dia bergelumang dengan kerbau, mustahil
dia akan sengaja menembak tupai, beruang, kumbang, kala jengking,
landak dan sebagainya yang disangkakannya kerbau.
Orang
jenis ini ialah mereka yang sudah menguasai Ilmu Hakikat (kita tidak
maksudkan ilmu hakikat yang sesat). Mereka TAHU, KENAL dan FAHAM
(menyaksikan) Tuhan. Ini peringkat paling selamat.
Kita beri contoh lagi supaya betul-betul faham.
Empat
pemuda Orang Asli hendak pergi berburu ke sebuah lembah. Tok Batin
maklumkan kepada mereka bahawa di lembah itu ada tuhan mereka iaitu
sebatang pokok cengal daripada sepuluh batang pokok cengal. Pokok
cengal yang menjadi tuhan mereka itu ialah pokok cengal yang paling
tua sekali. Sesiapa yang pergi ke sana mestilah menyembah dan sujud
sebanyak tujuh kali kepada tuhan mereka itu.
Pemuda
pertama datang lewat dan tidak sempat mendengar penerangan Tok Batin.
Apabila dia tiba di lembah itu, adakah dia akan menyembah apa-apa?
Tentu tidak sebab dia tidak tahupun di lembah itu ada tuhan mereka dan
tuhan mereka itu ialah pokok cengal yang paling tua. Pemuda ini TIDAK
TAHU, TIDAK KENAL dan TIDAK FAHAM,.
Pemuda
kedua tahu di lembah itu ada tuhan mereka dan tuhan mereka itu ialah
pokok cengal yang paling tua. Malangnya dia tidak tahu yang mana satu
pokok cengal, apakah sifat-sifat pokok cengal dan apakah sifat-sifat
yang mustahil bagi pokok cengal. Apabila dia tiba di lembah itu,
pastikah dia bersujud kepada tuhan mereka iaitu pokok cengal yang
paling tua? Besar kemungkinannya dia akan bersujud kepada selain pokok
cengal. Jika dia bersujud kepada pokok cengal pun, kemungkinan besar
dia sujud kepada pokok cengal yang bukan tuhan mereka.
Pemuda
ini sekadar tahu tuhan mereka ada dan tuhan mereka ialah pokok cengal
yang tertua di lembah itu. Samalah dengan orang yang belajar Tauhid
Uluhiyyah- dia tahu Tuhan itu ada dan Tuhan yang sebenar ialah Tuhan
yang Ilah iaitu Allah. Ini ilmu peringkat TAHU.
Pemuda
ketiga tidak pernah melihat pokok cengal, namun begitu dia pernah
belajar sifat-sifat pokok cengal dan sifat-sifat yang mustahil bagi
pokok cengal. Oleh kerana dia tahu sifat-sifat pokok cengal, tahulah
dia bagaimana keadaan pokok yang lebih muda dan keadaan pokok yang
lebih tua. Sampai di lembah itu, berjayakah dia bersujud kepada tuhan
mereka iaitu pokok cengal yang paling tua? Kemungkinan besar dia akan
berjaya.
Pemuda
ini tahu membezakan antara Tuhan yang sebenar dengan yang lain.
Samalah dengan orang yang belajar dan menguasai Sifat 20 ataupun ilmu
yang setara dengannya. Ini ilmu peringkat KENAL.
Pemuda
keempat pula sudah menyaksikan sendiri pokok cengal tertua yang
menjadi tuhan mereka itu. Setiap hari dia melalui lembah itu untuk
mencari madu dan petai. Dapatkah dia bersujud kepada tuhan mereka?
Sudah tentu! Adakah dia akan tersilap sembah dengan bersujud kepada
pokok-pokok lain? Mustahil. Ini ilmu peringkat FAHAM atau MENYAKSIKAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan